Tuesday 3 December 2019

PUSPA ANGGERIK RIMBA

ASSALAMUALAIKUM

https://drive.google.com/file/d/1UaLawUvKLTX5VdwKyYCa5YmNA2WPAwHU/view?ts=5dde7df6

KALAU MINAT NAK DENGAR PURBAWARA INI YANG DISIARKAN RADIO KLASSIK KLIK LINK DI ATAS DAN DOWNLOAD DULU YA

RANCANGAN: PURBAWARA.
PENERBIT:        YUSMMAWATI YUNOS.
TAJUK:               PUSPA ANGGERIK RIMBA.
PENULIS:          PARIDAH BINTI ISHAK.
ALAMAT:          NO.7, JLN 7F, DESA  MELOR, SERENDAH, SELANGOR.
K/P:                    
HP/ E-MEL:        019-2525742 / paridahishak@gmail.com
AKAUN BANK:        


                           
PELAKON:        1. ………………………….......... sebagai KELANA.
                            2. ………………………….......... sebagai IBU.
                            3. ………………………….......... sebagai BUNGSU.
                            4. ………………………….......... sebagai PUTERI ANGGERIK /
                                                                                    ANGGERIK FATIMAH.
                            5. …………………………............sebagai SULTAN RIMBA PURA.

                           
EFEK:                 1. SUASANA MALAM. SUARA CENGKERIK DAN BURUNG
HANTU.
                            2. SUARA TANGISAN HALUS PEREMPUAN.
                            3. SUARA BEBURUNG BERKICAU DAN BUNYI LOTONG.
4. SUARA BACAAN YASIN BERAMAI-RAMAI.
                           

SINOPSIS:    
Di kebunnya, Kelana menemui pohon anggerik kuning yang berbunga cantik. Dibawanya pulang dan disangkutkan di pondok anggerik di laman rumahnya. Pada waktu malam, dia mendengar tangisan di pondok anggeriknya. Dia dan ibunya menyedari bahawa anggerik yang dibawa pulang itu yang menangis. Keesokannya  Kelana mengembalikan anggerik itu ke tempat asalnya. Di situ Kelana bertemu sahabatnya, Bungsu yang mengajaknya melihat taman anggerik di tengah rimba. Secara tiba-iba, Bungsu meninggalkan Kelana.
Kelana ditegur Puteri Anggerik ketika sedang mencari kawannya itu. Kelana dipelawa Puteri Anggerik melihat-lihat taman anggerik milik Puteri Anggerik. Kelana mendapati dirinya berada di alam berlainan yang persekitarannya indah belaka. Sultan Rimba Pura terpikat dengan baik budi dan tingkah laku Kelana yang selama ini dalam pengetahuannya. Baginda mempelawa Kelana mengahwini anaknya, Puteri Anggerik. Kelana meminta izin pulang untuk menemui ibunya terlebih dahulu sebelum memberi keputusannya. Apabila sampai di rumah, betapa terkejutnya Kelana melihat apa yang telah berlaku sepeninggalannya.


GRAM:              MUZIK PENGENALAN.
JURUHEBAH:   Wahana citra warisan bangsa, dipersembahkan dalam Purbawara. (PAUSE) Purbawara dengan kisah “PUSPA ANGGERIK RIMBA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor. “PUSPA ANGGERIK RIMBA”.
SYAIR:               Syair diperi kisah Kelana,
                            Pemuda baik laku sempurna,
                            Bersama ibu rajin menjana,
                            Khazanah alam nian berguna.

Kelana suka bunga anggerik,
Corak warnanya hati tertarik,
Sekitar rimba mata melirik,
Di pohon tinggi akan ditarik,
GRAM:              MUZIK.
KELANA:          (MENARIK NAFAS) Huh… Sudah lama hamba mencangkul, melambuk tanah dan membuat batas. Tubuh hamba pun sudah bermandi peluh dan kelelahan. Biarlah hamba berehat sebentar, menyandar diri di pohon cemara itu. (PAUSE) Wah, wanginya… Haruman apakah ini? (PAUSE)  Oh! Rupa-rupanya kamu yang harum mewangi ya, anggerik kuning. Cantik sekali bungamu menjurai dari pohon cemara ini. Terpesona hamba melihat keindahan kamu. (PAUSE) Nampaknya, terpaksalah hamba panjat pohon ini untuk menurunkan kamu. Kamu kelak akan bertemu dengan rakan-rakanmu, pelbagai jenis anggerik yang bergayutan di pondok anggerik hamba.
GRAM:              MUZIK.
IBU:                    Di sini kamu, Kelana? Sudah pulang daripada megerjakan tanah kita di pinggir rimba?
KELANA:          Ya, ibu. Baru saja Kelana pulang. Tanah kebun itu sudah Kelana siapkan beberapa batas untuk ditanam sayuran dan pelbagai jenis ubi. Ubi yang telah ditanam dahulu,  bolehlah kita gali untuk bekalan makanan kita pada musim hujan yang mendatang.(PAUSE)  Tenguk ni, ibu. Apa yang Kelana bawa pulang.
IBU:                    (TERUJA) Wah! Cantik sekali anggerik kuning ini. Bunganya pun sungguh harum. Di mana kamu temuinya?
KELANA:          Dicelah pohon cemara. Terpesona sekali Kelana memandang keelokannnya. Lalu Kelana panjat pohon cemara itu untuk menurunkannya dan bawa pulang ke pondok anggerik Kelana. 
IBU:                    Oh, begitu… Ibu memang tahu kamu amat sukakan bunga anggerik sejak kecil dahulu. Tapi berhati-hatilah tatkala mengambil anggerik di rimba. Bimbang mengundang petaka yang tidak disangka... Kadang-kadang bunganya indah luar biasa, tapi ada pemiliknya.
GRAM:              MUZIK.
EFEK:                SUASANA MALAM. SUARA CENGKERIK DAN BURUNG HANTU.
KELANA:          Ibu masih belum siap mengikat akar kayu yang pelbagai jenis ini?
IBU:                    Ya, Kelana. Masih ada lagi beberapa ikatan akar kayu yang perlu ibu siapkan. Semuanya untuk penuhi pesanan mereka di pesara esok. Hasil jualannya akan ibu simpan untuk pernikahan kamu nanti.
KELANA:          (KETAWA GELIHATI) Ada-ada sajalah ibu ini. (PAUSE) Biarlah Kelana tolong ibu... Ramai juga yang mahukan ubat akar kayu ibu. Kenapa mereka tidak berjampi bermentera dengan pawang sahaja?
IBU:                    Entahlah, Kelana. Setiap kali ibu berdagang akar kayu ini di pesara, ada saja yang membelinya. Mungkin tubuh mereka lebih serasi dan kembali sihat sediakala setelah mium air rebusan akar kayu ibu.
EFEK:                (SUARA TANGISAN HALUS PEREMPUAN).
KELANA:          Eh... Kedengaran suara perempuan menangis di luar sanalah, ibu.
IBU:                    Hmm... Yalah… Siapalah gamaknya? Seram pula ibu rasa.
KELANA:          Ayuh kita keluar melihatnya, ibu. Mungkin ada seseorang yang perlukan bantuan kita. Usah kita berburuk sangka.
IBU:                    Err, ha, yalah. (PAUSE) Tiada nampak siapa pun. Tapi… (PAUSE) Eh, kamukah yang menangis sayu aduhai anggerik kuning?
KELANA:          Oh, rupa-rupanya kamu tidak suka tergantung di dalam pondok anggerik hamba ini. Jangan menangis lagi,duhai anggerik kuning. Esok, sebaik cerah tanah hamba akan kembalikan kamu ke tempat asalmu. Maafkanlah hamba membawamu pulang tanpa kerelaanmu.
IBU:                    Ha, tengok… Anggerik kuning tidak lagi menangis walang. Esok segeralah kamu kembalikan ke tempat asalnya.
GRAM:              MUZIK.
EFEK:                SUARA BEBURUNG BERKICAU DAN BUNYI LOTONG.
KELANA:          (BERCAKAP SENDIRIAN)  Hamba letakkan semula kamu di celah pohon cemara ini, ya... Sekali lagi hamba mohon maaf.
BONGSU:          Cantiknya anggerik kuning ini, kenapa pula diletakkan di situ,
sahabatku?
KELANA:          (TERKEJUT) Eh... Tuan hamba ni, Bungsu. Mengejutkan hamba saja. Dari mana pula tuan hamba, tiba-tiba saja muncul di sini?
BUNGSU:          Tanah hamba bukankah bersebelahan saja? Jadi, hamba datanglah ke sini. Mana tahu boleh merasa bekalan yang tuan hamba bawa.
KELANA:          Oh, itu sebenarnya maksud tuan hamba… (KETAWA KECIL) Ada ni
sedikit nasi dan lauk. Ubi rebus pun ada. Jemputlah menjamahnya.
BUNGSU:          Hemm… Sedap sekali. Terima kasih mahu berkongsi rezeki. Alhamdulillah.  (PAUSE) Tapi hamba ingin bertanya, kenapa tuan hamba letakkan anggerik itu di pohon cemara? Bukankah tuan hamba ini penggemar anggerik serbaneka?
KELANA:          Anggerik kuning tidak mahu bersama hamba, Bungsu. Dia menangis sayu malam tadi hendak pulang ke tempat asalnya di sini.
BUNGSU:          Ceritera tuan hamba sukar hendak dipercayai. Tapi segala yang berlaku dengan izin-Nya jua. (PAUSE) Ha, hamba pernah temui sepohon nyatoh yang ditumbuhi pelbagai jenis anggerik di hujung kebun hamba! Tentu tuan hamba ingin melihatnya. Ayuh hamba tunjukan tempatnya.
KELANA:          Tak mengapalah, Bungsu. Bayang-bayang pun sudah terpijak kaki sendiri. Maknanya sudah tengah hari. Sudah masanya hamba harus pulang, agar ibu hamba di rumah tidak merasa bimbang.  
BUNGSU:          Ayuhlah sebentar saja. Lepas melihatnya kita pulanglah.
GRAM:              MUZIK.
KELANA:          (JERIT) Bungsu! Bungsu! Di manakah tuan hamba? (MONOLOG)
Memang cantik sekali anggerik-anggerik yang hidup di pohon besar sepemeluk ini. Pelbagai corak dan warna. Cukuplah hamba memandangnya sahaja. Tidak mahu hamba membawanya pulang. Bimbang kisah anggerik menangis berulang lagi. Tapi, ke mana pula menghilangnya si Bungsu ini? Puas sudah dicari, tak juga ditemui. Tidak mungkin aku pulang seorang dan meninggalkannya di sini.
P. ANGGERIK: Assalamualaikum… Apa yang tuan hamba tercari-cari?
KELANA:          Waalaikummussalam… (TERKEJUT) Eh, siapa pula tuan hamba, tiba-tiba saja munculnya?
P. ANGGERIK: Hamba Anggerik. Hamba tinggal berdekatan sini. Tadi hamba sedang menanam bunga-bungaan. Terlihat tuan hamba keseorangan, tercari-cari sesuatu. Mungkin hamba boleh membantu.
KELANA:          Hamba mencari sahabat hamba, si Bungsu. Entah ke mana pula menghilang… Tidak molek pula meninggalkan dia di sini seorang.
P. ANGGERIK: Mungkin dia ke mana-mana. Sebentar lagi tibalah gamaknya. (PAUSE) Hamba perhati tuan hamba sangat rajin bertanam sayur dan bunga-bungaan... Mahukah tuan hamba melihat taman bunga hamba? Ada pelbagai jenis bunga-bungaan dan anggerik yang hamba tanam. Pohon buah-buahan pun banyak juga. Mungkin tuan hamba mahu mengambil benihnya dan bolehlah ditanam di kebun tuan hamba. 
KELANA:          (MONOLOG) Gadis ini seolah-olah sangat mengenali aku. Tapi aku langsung tidak mengenalinya. (BERKATA KEPADA ANGGERIK) Tidak megapalah, tuan hamba. Lain kali saja. Hamba mahu pulang,
hari sudah semakin senja.
P. ANGGERIK:         Taman anggerik hamba tidaklah jauh. Cuma melangkah beberapa tapak saja dari sini. Ayuhlah sebentar saja...
KELANA:          (MONOLOG) Kenapalah hati hamba bagai ditarik-tarik untuk mengikuti Anggerik? Ibu, maafkan Kelana terlewat pulang hari ini.
P. ANGGERIK:         Ayuhlah. Usah difikirkan si Bungsu. Mungkin dia juga sedang berada di taman hamba. Selalu juga dia ke sana.
KELANA:          (MONOLOG) Benarkah apa yang dikatakan Anggerik? Bungsu tidak pernah pula bercerita kepadaku tentang taman Anggerik...
SYAIR:               Kelana teruja Bungsu berkisah,
                            Sahabat sejiwa bersenang susah,
                            Melihat anggerik mengurai resah,
Ditinggal pula hati gelisah.
                            Disapa dara tatkala sendiri,
Bersopan santun gerak dan geri,
Ke taman Anggerik langkah selari,
Hati menurut tanpa disedari.
GRAM:              MUZIK.
KELANA:          (TERKEJUT) Wah! Indah sekali taman bunga-bungaan dan anggerik milik tuan hamba ini. Cantik berseri. Ada pula pohon buah-buahan yang lebat berbuah. Kesemuanya segar dan subur. Terpesona hamba!
P. ANGGERIK: (KETAWA KECIL) Boleh jadi tanah di sini terlalu subur berbanding
tanah di tempat tuan hamba. (PAUSE) Tuan hamba duduklah di sini,
sebentar. Hamba ambilkan minuman dan makanan buat tuan hamba.
KELANA:          Usahlah susah-susah, tuan hamba. Rasanya hamba sudah lama di sini. Taman anggerik pun sudah puas dilawati. Tolonglah tunjuki hamba jalan pulang yang patut hamba lalui.
P. ANGGERIK:         Janganlah begitu. Adat bertamu mesti menjamah sesuatu. Apakah tuan hamba tidak sudi? Ketemulah dahulu dengan ayahanda hamba.
KELANA:          (SERBA SALAH) Eh bukan begitu!
P. ANGGERIK: Tuan hamba tunggu sajalah, sebentar saja. 
KELANA:          (TERKEJUT/ MONOLOG) Eh, ajaib! Pondok yang tadi kecil, kini sudah bertukar menjadi sebuah istana! Tapi istana raja mana pula ni? Indah sekali. Bagaimana pula aku tidak melihat akan kewujudannya di taman ini tadi? Menakjubkan!
SULTAN :          Assalamualaikum.
KELANA:          (TERKEJUT) Waalaikummussalam. Eh siapa pula tuan hamba berdua? Berbusana indah laksana puteri dan  raja. Ma.. Maafkanlah hamba tersasar ke sini.
P. ANGGERIK:         Silakan menjamah hidangan yang hamba sediakan.
SULTAN:           Beta Sultan Ahmad, sultan Rimba Pura. Ini anakanda beta Puteri Anggerik. Usahlah tuan hamba berfikiran bukan-bukan. Tuan hamba tidak melakukan sebarang kesalahan.
GRAM:              MUZIK.
KELANA:          Maafkan hamba, tuanku, kerana tidak mengenali Puteri Anggerik tadi.
Hamba sangkakan Puteri Anggerik cuma gadis desa yang layak berkawan dengan hamba rakyat biasa. Rupa-rupanya dia seorang puteri yang amat jelita!
SULTAN:           (TERTAWA) Sebenarnya anakanda beta menyamar saja untuk mengenali tuan hamba.
P. ANGGERIK: Ah, ayahanda ini memalukan anakanda saja. (PAUSE) Biar anakanda ke dapur istana, melihat santapan malam kita yang sedang dimasak.
SULTAN:           Silakan anakanda. (PAUSE) Kenapa tuan hamba resah sahaja?
KELANA:          Hamba terkenangkan ibu hamba. Tentu risaukan hamba belum pulang.
SULTAN:           (KETAWA) Usahlah runsing terlalu. Tentu ibu tuan hamba baik-baik saja. (PAUSE) Tuan hamba memang seorang anak yang soleh lagi beriman. Sangat berbakti kepada orang tua yang dikasihi sepenuh hati. Sifat tuan hamba begitu terpuji dan beta amat kagumi.
KELANA:          Berbakti kepada ibu sudah jadi tanggungjawab hamba, tuanku. Tanpa ibu hamba, tiadalah hamba lahir ke dunia.
SULTAN:           Tuan hamba seorang pemuda yang berbudi mulia dan baik pekerti.
Buat hati beta berkenan sekali jodohkan tuan hamba dengan anakanda beta, Puteri Anggerik. Puteri beta perlukan teman pendamping yang sebaik tuan hamba untuk mengubat hatinya yang berdukalara kerana baru saja kemangkatan bondanya. Sebab itulah,  masanya hanya dihabiskan di taman anggeriknya. Kadang kala, jauh langkahnya sehingga ke kebun tuan hamba, memerhati tuan hamba bekerja. 
KELANA:          Oh begitukah? (MONOLOG) Benarkah puteri ini sering perhatikan aku? Tapi aku tidak pernah pula melihatnya. Aneh sungguh.
SULTAN:           Beta fikir, puteri beta sukakan tuan hamba dan beta juga setuju dengan pilihan anakanda beta. Apakah tuan hamba mahu jikalau beta melamar
tuan hamba untuk mengahwini puteri beta?
KELANA:          (TERKEJUT) Ha? Tidakkah keputusan tuanku ini tergesa-gesa! Hamba ini hanya pacal yang hina. Miskin pula.
SULTAN:           Beta perlukan keputusan segera kerana beta akan meninggalkan kerajaan ini untuk beribadah haji di kota suci Mekah. Rimba Pura ini beta serahkan kepada tuan hamba dan puteri beta, mentadbirnya.
KELANA:          (MONOLOG) Apakah hamba ini sedang bermimpi? Tiba-tiba akan beroleh isteri seorang puteri secantik bidadari…
SULTAN:           Tuan hamba bersetujukah dengan permintaan beta? Lama benar tuan hamba terdiam tanpa sepatah kata.
KELANA:          Ampun tuanku. Maafkan hamba. Hamba tergamam dan tidak tahu
hendak menyusun bicara. Namun hamba amat berbesar hati kerana
tuanku mempercayai hamba untuk memperisteri puteri tuanku. Tapi,
hamba juga perlu persetujuan dan restu ibu hamba terlebih dahulu.
SULTAN:           Baiklah. Selepas makan malam nanti, bolehlah tuan hamba pulang. Beta akan minta puteri beta tunjuki jalannya.  
GRAM:              MUZIK.
ANGGERIK:      Tuan hamba sudah hendak pulang, ya? Sudah terlalu rindu pada ibu nan tercinta. Tapi jangan lupa janji tuan hamba dengan ayahanda beta.
KELANA:          Insya-Allah, jika tersurat sudah jodoh kita di Loh Mahfuz pasti terjadi apa yang diimpi. Berserah sahaja pada Ilahi.
P. ANGGERIK: Bersama kita mendoakannya. (PAUSE) Tuan hamba lalui jalan yang terentang ini… Seketika saja, tuan hamba akan sampai ke rumah.
GRAM:              MUZIK.
EFEK:                SUARA BACAAN YASIN BERAMAI-RAMAI.
KELANA:          Eh… Aku terdengar suara orang ramai membaca Yasin? Apa yang telah berlaku? Risau pula hatiku ini. (MELAUNG) Ibu...  ibu... Kelana sudah pulang, ibu. Maafkanlah Kelana terlambat pulang…
BUNGSU:          Eh, tuan hamba sudah pulang? Segeralah naik... Ibu tuan hamba sudah lama berduka menunggu kepulangan tuan hamba.
KELANA:          Err… Eh, bagaimana tuan hamba terlalu hairan akan kepulangan hamba? Sedangkan tuan hamba yang tinggalkan hamba di rimba tatkala melihat anggerik di pohonan tinggi?
BUNGSU:          Hah! Iyakah? Maafkanlah hamba terlupa. (PAUSE) Naiklah, temui ibu tuan hamba segera. (MONOLOG) Bila pula aku tinggalkannya di rimba? Sedangkan aku baru saja pulang ke desa setelah sepurnama
di kota... His! Bingung aku…
KELANA:          Ibu...maafkanlah Kelana terlambat pulang. Tapi kenapa ibu tidak beritahu Kelana hendak berkenduri membaca Yasin hari ini?
IBU:                    (MENANGIS) Syukur, Alhamdulillah. Kamu sudah pulang, Kelana. Tidaklah ibu merasa walang lagi.
KELANA:          (TERHARU) Usahlah ibu menangis hiba. Kelana tiada cuma  seketika...
IBU:                    Bukan seketika kamu tiada. Tapi sudah sepurnama. Setiap hari  berlalu ibu diiring dengan doa. Genap sepurnama pemergianmu, di hari Jumaat ini, ibu berkenduri sambil membaca Yasin. Mengharap semoga Allah buka hatimu untuk pulang ke pangkuan ibu.
KELANA:          (TERKEJUT) Apa? Begitu lama Kelana pergi? Kelana pun tidak faham apa yang sebenarnya berlaku kepada Kelana. Nanti Kelana
ceritakan satu persatu kepada ibu.
GRAM:              MUZIK.
EFEK:                SUASANA MALAM. SUARA CENGKERIK DAN BURUNG HANTU.
KELANA:          Apa pendapat ibu tentang lamaran Sultan Ahmad kepada Kelana untuk mengahwini Puteri Anggerik, anakandanya?
IBU:                    (MENARIK NAFAS) Huh... Alam mereka dan alam kita berbeza, anakku. Apakah Kelana tega tinggalkan ibu dan Kelana berpindah ke alam bunian itu?
KELANA:          Masakan Kelana tega tinggalkan ibu. Tentulah kita akan bersama-sama ke alam itu. Sebenarnya, hamba merasa sudah jatuh cinta dengan
Puteri Anggerik sejak pertama kali bersua dengannya.
IBU:                    (TERPERANJAT) Puteri Anggerik?
GRAM:              MUZIK.
IBU:                    Kelana, ke mari. Ada sesuatu yang hendak ibu katakan.
KELANA:          Baik, ibu. (PAUSE) Apakah itu, ibu?
IBU:                    Tadi ibu bertemu Maulana Ahmad yang mengajarkan ilmu agama di madrasah di desa kita ini. Maulana Ahmad baru sebulan lalu berpindah ke sini. Ibu ada bertanyakan persoalan yang kita hadapi.
KELANA:          Apa kata maulana itu?
IBU:                    Hukum Islam tidak membenarkan kita berkahwin dengan mereka yang diam di alam berbeza. Kerana kita Allah jadikan berlaianan kewujudan. Jodoh pasangan kita adalah di kalangan kita yang wujud nyata di alam ini.
KELANA:          Nampaknya tidak dapatlah Kelana meperisterikan Puteri Anggerik. Betapa kecewanya hati Kelana...
ANGGERIK:      Assalamualaikum.
IBU:                    Waalaikummussalam. Siapa pula yang datang? Biar ibu tenguk siapa yang datang. (PAUSE) Eh, Anggerik. Naiklah, Anggerik.
KELANA:          (MONOLOG) Anggerik? Puteri Anggerikkah? (GEMBIRA) Suaranya persis Puteri Anggerik.
IBU:                    Kelana... Ini Anggerik Fatimah, anakandanya Maulana Ahmad. Anggeriklah yang rajin membantu ibu sepanjang ketiadaan Kelana.
KELANA:          (TERKEJUT) Tuan hamba Puteri Anggerik?
ANGGERIK:      Anggerik Fatimah nama hamba, panggil Anggerik saja.
KELANA:          Maafkan hamba... Wajah dan suara tuan hamba saling tak tumpah
seperti wajah dan suara Puteri Anggerik anakanda Sultan Ahmad.
ANGGERIK:      Puteri Anggerik? Anak raja negeri mana pula tu, tuan hamba? (TERTAWA GELIHATI).
SYAIR:               Hati Kelana sungguh kecewa,
                            Impian diri tidak terbawa,
                            Hukum agama tidak dilewa,
                            Puteri Anggerik bukan jodohnya.
                            Demikian kisah kejadian alam,
                            Seperti siang dan juga malam,
                            Ada yang nyata ada yang kelam,
                            Rahsia Allah silang bersulam.
GRAM:              MUZIK PENUTUP.
JURUHEBAH:   Demikian Purbawara dengan kisah “PUSPA ANGGERIK RIMBA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.
PELAKON:
                            1. ……………………………...………………………………………..
                            2. ……………………………...………………………………………..
                            3. ……………………………...………………………………………..
                            4. ……………………………...………………………………………..
.                           5.……………………………...………………………………………..
                            PENYAIR: …………………………………………………………….
Purbawara khazanah seni warisan bangsa, diterbitkan oleh YUSMAWATI YUNOS.



14 comments:

  1. tahniah untuk karya kak. teruskan lagi hasilkan karya2 terbaik ^_^

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Tahniah kak, tidak jemu menghasilkan karya-karya yang terbaik. Insya-Allah, saya akan cuba meluangkan masa untuk mendengarnya nanti. Moga akak terus sukses!

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah.Tahniah kak PI..sukanya PC baca.Seronok.

    ReplyDelete
  4. tahniah kak, indah semua ayat, perkataan yang digunakan dalam karya akak tu...

    ReplyDelete
  5. wahhh tahniah kak! nnt sy nk rujuk la mcm mn nk buat skrip drama mcm ni

    ReplyDelete
  6. TKSH UMI NAZRAH INSYAA ALLAH TULIS2 SAJA

    ReplyDelete
  7. TKSH WP SOKONGANNYA INSYAA ALLAH

    ReplyDelete
  8. WSALAM..MOGA USTAZ N FAMILI JUGA SHT SEJAHTERA..ADA KELAPANGAN CUBALAH DGR YA

    ReplyDelete
  9. TKSH PC INSYAA ALLAH KAK TULIS2 SAJA

    ReplyDelete
  10. TKSH DANA INSYAA ALLAH BAHASA MELAYU PURBAWARA NI MMG KLASIK

    ReplyDelete
  11. TKSH ANIES YA RUJUKLAH KALAU NK CUBA TLS SKRIP PURBAWARA

    ReplyDelete
  12. Alhamdulillah, tahniah lagi kak PI.. terbaik ni :) :)

    ReplyDelete
  13. AMIIN TKSH DIK KK INSYAA ALLAH ADA MASA CUBA DENGAR YA

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist