بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM


SECEBIS KISAH OKU

Ibunya menyebut namanya perlahan sekali dan amat lemah getarannya. Wajahnya tidak senang dan meriak marah. Hatinya mungkin berkata, mengapalah orang yang hodoh ini dan hanya terbujur di tilam ini seringkali memanggil-manggil namanya. Dia langsung tidak kenal siapa orang ini. Dan langsung tidak faham kenapa ramai pula orang turun naik rumah atoknya kemudiannya mengelilingi orang yang terbaring itu.

Setelah beberapa lama di rumah atok, abahnya membawanya dan orang sakit itu pulang ke rumah mereka pula. Sesampai di rumah barulah dia menyedari bahawa orang yang dimarahi kerana sering menyebut namanya itu adalah aku ibunya. Ibunya yang terlantar tidak berdaya akibat kecederaan teruk kemalangan jalanraya. Dia, kakaknya, abangnya dan adiknya yang baru berusia 50 hari turut terlibat sama.

Alhamdulillah kesemua mereka selamat dan cuma mengalami kecederaan kecil. Sebab atoknya terpaksa merawatku, ibunya yang sakit, abahnya terpaksa menyerahkan adiknya kepada makngahnya yang tinggal di KL untuk diasuh.

Kini hanya dia penemanku kala atoknya dan abahnya berkerja. Dia akan berusaha menyuapkan nasi ke mulutku dan memberiku minuman. Lebih banyak makanan yang tumpah daripada yang masuk ke mulutku.

Sikap anak kecil yang baru berusia tiga tahun berusaha menolong ibunya yang sakit berat itu mengait rasa hiba setiap yang memandangnya.

Anak itu sentiasa di sisiku ibunya hingga aku bermaya sedikit dan mengurusinya pula masa demi masa.
"Kalau saya masuk universiti nanti sapalah nak teman mak ya..."
"Mak duk soranglah..."
"Tak takut?"
"Mati pun sorang jugak..."
Akupun  tersengih kegembiraan kerana anakku yang baru bersekolah tahun tiga sudah bercita-cita memasuki menara gading.

Dan anakku yang ketiga  itu berjaya merealitikan impiannya sebagai graduan menyususuli langkah kakak sulungnya yang berjaya menamatkanpengajian sehingga ijazah sarjana .

Sebenarnya tidaklah mudah aku hendak mendidik anak-anak mengikut halatuju yangku ingini kerana kelemahan upaya diri. Selain itu aku juga kehilangan suara sebagai wahana komunikasiku dengan mereka. Mujur anak-anakku itu dapat menerima setiap yang inginku sampaikan hanya melalui nota-nota pendek. Dan aku berserah kepada-Nya akan takdir-Nya.   




KEPERIHATINAN IBU BAPA DAN KELUARGA

"Jomlah kita pergi berubat ke utara sana...dengarnya di sana ada seorang bomoh yang handal." Ajak ibuku.

Selama aku sakit selepas kemalangan jalanraya yang menyebabkan aku koma hampir sebulan dan setelah itu lumpuh terbaring selama tiga tahun, kedua ibu bapaku tidak pernah jemu berusaha untuk mengubati sakitku.

Hampir seluruh semenanjung Malaysia telah dikunjungi setiapkali terdengar khabar ada perawat sakit yang mampu menyembuhkan sakit yangku deritai.  Perbelanjaan kerananya pun tidak sedikit yang habis. 

Akhirnya walau tidak sembuh sepenuhnya dan kurang upaya,  Allah berikanku sedikit kekuatan untuk bangun mengurus diri dan anak-anak. Syukur Alhamdulillah. Rasanya sudah puas mengubat diri sendiri. Untuk sementara waktu terpaksalah diabaikan dulu kerana beberapa sebab.

"Tak boleh lagi...la ni banyak nak guna duit. Kakak kat universiti tu tiap bulan nak kena bagi duit, adiknya lagi sedang buat diploma tu nak duit juga. Tunggulah hingga kakak habis belajar baru boleh pergi berubat."
'Lepas kakak habis belajar nak kahwin pula, tentu nak pakai duit banyak nak buat kenduri kahwin pula..'detak hatiku.

"Kalau nak tunggu habis semua tu, tak berubatlah kau. Duit yang ada semua dihabiskan untuk keperluan anak-anak. Kau tu makin lama makin tua makin lemah. Masa muda sikit ni lah nak berubat sebelum terlambat."

Padaku apa yang dikatakan ibuku itu memang benar. Tapi apakandaya hendak menyetujinya kerana anak-anakku cuma ada aku tempat menyandarkan semua masalah mereka. Tidak mungkin aku mengabaikan anak-anakku demi belanja perubatan untuk diriku.

"Masa ni kau boleh lagi berjalan pelan-pelan walau selalu tersungkur tak mengapalah tak berubat...nantilah bila dah berumur, sakit orang tua pun dah sampai...tanggunglah. Kau tu dah lah sakit tak habis lepas eksiden dulu tu...bertambah-tambah lah sakitnya." Ujar emakku justeru aku menolak saranannya.

                                             
'Entahlah mak...tak tau nak kata apa lagi. Semoga Allah memberiku kekuatan jiwa raga untuk melepasi apa jua ranjau dugaan-Mu yang merintang di laluan hidupku....InsyaAllah...' Suara hatiku  bergemersik halus.

SOSIO KEMASYARAKATAN

Hidup kita ini memang saling bergantungan dan perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak kira samaada mereka itu jelas hubungannya dengan kita umpamanya ibu ayah, adik beradik, saudara mara terdekat atau sesiapa saja yang berada di sekeliling kita.

Selain itu tentulah jiran-jiran tetangga kita. Jiran-jiran itu adalah saudara kita yang paling akrab sehinggakan mereka dirasakan seolah berhak ke atas harta kita menurut Nabi SAW. Namun tidaklah sampai begitu sekali.

Aku merasa amat bersyukur justeru sepanjang hidupku ini, aku di kelilingi jiran-jiran yang amat baik lagi prihatin terhadap aku dan keluargaku. Mereka ini membantu apa saja kesulitanku tanpa imbalan apa-apa. Bukan senang hendak hidup sebagai OKU sekiranya tiada tangan-tangan yang sudi menghulur pertolongan.

Kak Fauziah dan suaminya abang Din, Darus dan isterinya Hamidah juga anak-anaknya seringkali membantu masalahku. Begitu juga dengan jiranku Imah, suaminya Hassan dan anak-anaknya menjadi tempatku meminta bantuan kala kesusahan. 

Jiranku yang di sisi kanan rumah adalah kak Idah dan suaminya Jusuh serta anak-anaknya. Kak Idah ini pantang melihat laman rumahku diserabuti rumput-rumput atau anak-anak pokok, beliau tidak senang duduk untuk membersihkannya. Aku boleh buat juga. Tapi tentu saja kerja-kerja yang dibuat OKU lambat siapnya. Dengan pertolongannya bertambah mudah kerja-kerja yang perluku buat.

Beliau ini juga gemar sekali menghantar apa saja penganan yang dibuatnya kepadaku. Bersusun pinggan makanannya yang tidak sempatku pulangkan di rumahku. Jikalau aku ditimpah musibah banjir, pokok-pokok tumbang atau apa saja beliaulah yang pertama akan muncul di muka pintu. Sebelum jiranku yang lain tiba.

Terima kasih banyak-banyak kak Idah kerana seringkali membantuku. Dan aku pasti jiranku yang sangat baik ini akan terus membantuku selagi aku hidup dan beliau masih bernafas.

Demikian kisah salah seorang daripada jiran-jiranku yang kesemuanya baik-baik. Baru-baru ini aku mengadakan kenduri akikah cucu bersekali dengan sambut menantu. Kesemua jiran-jiranku berdekatan datang  membantu menguruskan majlisku sehingga selesai segala-galanya.

 Mereka berlenggeng tangan bergotong royong menyiapkan semua keperluannya sedang aku cuma memerhati. Aku amat berterima kasih sungguh kepada semua jiran-jiranku yang
bersusah-payah membantu menyempurnakan majlisku itu.

HOBI SEORANG OKU
Kebiasaannya pada sebelah pagi selesai urusanku di atas rumah, aku membawa diri mengitari halaman rumahku yang agak luas bergantung dengan sebatang cangkul yang dijadikan tongkat.

Dengan tanganku yang kanan saja mampu berfungsi aku akan menanam apa saja benih pokok yangku ingini. Kalau aku terjatuh aku akan berusaha bangun semula meskipun dengan bersusah-payah. Dan matlamat yang hendakku capai akanku laksana jua.

Dengan kesungguhanku penuhlah laman rumahku dengan tebu hitam yang menjadi tambahan rezeki kepadaku kerana dibeli penjual air tebu iaitu jiran-jiranku. Jiranku itu Ita dan suaminya Zaki,Ida dan suaminya Mail  tidak menyusahkan aku untuk menebangnya. Semuanya mereka buat sendiri.

Belakang rumahku dipenuhi dengan tanaman serai dan lain-lain herba dapur. Kalau ada yang mahu membelinya secara banyak, pembeli itulah yang terpaksa mencabutnya. Tapi sekadar kegunaan jiran-jiranku berhampiranku berikan saja. Apalagi sekiranya mereka hendak berkenduri.

Sementara di serambi rumahku tergantung aneka jenis orkid yang sentiasa berbunga silih ganti meriakan hati, mengusir sepiku menikmati keindahannya. Dan di sekeliling pagar yang memisahkan rumahku dan rumah jiran-jiran kutanami pelbagai jenis puding dan bunga raya aneka jenis dan warnanya mengindahi suasananya.

Setelah usai kerja diluar rumah, masuk ke rumah merehatkan diri, baring-baring sambil menulis dan membaca. Menulis dan membaca memang sudah menjadi hobiku semenjak tahu tulis baca.

Pernah menghasilkan tulisan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia, Dewan Sastera, Majalah Peneroka tika akhir 70-an. Tapi kesukaan menulis ditinggalkan setelah berkahwin dan beranak kecil. Dan selama menjadi OKU banyaklah yang telah ditulis mengisi masa berlalu.

Dengan teknologi computer mudahlah aku menulis semua karyaku menggunakan computer pula. Belajar menggunakan computer dengan computer.  Dahulu aku pernah bekerja sebagai jurutaip, kerani,,guru tapi semua sementara dan tahu sikit-sikit  bahasa Inggeris jadi dapatlah aku mengoperasikannya     

Anakku yang sulung menyedari kesukaanku menulis dan menggalakkanku menyertai sayembara puisi DBP dan beliau sendiri yang menguruskannya. Ekoran itu aku diberi peluang menyertai kursus penulisan cerpen untuk pesara 2007 di hotel Dynasty KL.

Ramai penulis ternama tanah air yang menyertainya, termasuk Mokhtar Rahman, Kursiah Hanum. Baharudin Ismail, Noorlaila Ghafar dan ramai lagi di bawah bimbingan sifu penulisan Zaharah Nawawi.

Penulis/penyair Noorlaila Ghafar hingga kini adalah sahabat akrabku yang sering membantu susahpayahku terutama membimbingku dalam bidang penulisan.

Sejak adikku Pazeli Ishak menolong membuka akaun facebook dan blog dapatlah aku beriteraksi dengan ramai lagi penggiat sastera. Antaranya ustaz Ilhami Hisham penerbit BeTA. Bersama BeTA, empat buah antologi puisi bersama penulis/penyair lain berjaya diterbitkan. Terima kasih ustaz Ilhami Hisyam yang turut memberi ilmu penulisan danpeluang berkarya kepadaku.

Bersama SPTA di bawa bimbingan penerbitnya sifu Tabir Alam telah berjaya menerbitkan sejumlah  antologi puisi bersama.  Terima kasih sifu Tabir Alam.
Bersama KARYAWAN PERAK  diberi peluang Dr. Zabidin menerbitkan 10 antologi puisi bandar bandar di Perak bersama ramai penyair/penulis terpilih.  Terima kasih Dr. Zabidin. Juga berpeluang menerbitkan antologi cerpen dan puisi bersama penerbitan PENA PADU, DBP, JOM SASTERA, PEMUISI, PENYAIR, TUN KREATIF dan CIKGU KHAIRI.


UJIAN HIDUP TIDAK PERNAH HABIS

Aku pernah nasihatkan sahabatku lela (Noorlaila Ghafar) yang menghantar msg mengatakan beliau terjatuh terpijak kulit tembikai di surau asrama sekolahnya agar berhati-hati tika melangkah jangan biarkan diri terjatuh selalu sebab di usia yang telah banyak ini tulang semakin reput dan mudah patah.

Sekali lela tak apa-apa aku pula yang ditimpa ujian-Nya. Itulah pandai-pandai sangat nak menasihat orang sihat sedang awak tu OKU saja dah terima padahnya.

Selepas solat subuh aku bermsg dulu dengan lela memberitahunya hendak ke dapur bersarapan sebelum memulakan rutinku mengemas rumah dan lain-lain maklum esoknya  dah nak raya haji.

Kata lela beliau belum bersarapan dan teringat pula hari ni hari Tasyrik dan sunat berpuasa. msg lela masuk selepas aku dah tersungkur tepi lemari dapur dengan dahi pecah berdarah dan kaki kiri terus tegang dan  sakit sangat. tak terbangun sendiri dah... macam selalu tu. Memang aku kerap jatuh tapi biasanya aku boleh berusaha bangun.

Anak yang sedang tidur lambat pula bangunnya walau dijerit berkali-kali dengan suaraku yang halus tidak mampu memberi riak apa-apa. jadi tersadailah aku di situ sebelum pertolongan tiba menahan kesakitan teramat.

Adikku dan anaknya Soni tiba setelah diberitahu dan Soni mengcempungku ke kereta Ayie anak jiran sebelah rumahku menghantarku ke hospital jengka. setelah di xray katanya dislocate. ambulan segera pula menghantarku ke hospital Temerloh.

X-ray lagi. Doktor di sini kata tulang kiri patah. dah tak boleh nak ditolong lagi, kena tunggu sembuh sendiri. Dan selama tiga hari aku beraya di sini bersama ramai doktor-doktor dan misi-misi yang melayaniku sangat ramah dan baik.

Setelah pulang ke rumah adik dan anak menantu membawa pula bertemu bomoh patah di Gelanggi. Kata bomoh sendiku terkeluar. Berderak bunyi sendi yang dimasukan ke tempat asalnya. Akupun mengadoi kesakitan...

Terima kasih banyak kepada adikku Saadiah, Ilah, Tan, anak saudaraku Soni, jiran-jiranku petugas hospital Jengka dan Temerloh  yang berusaha membantuku di saat kritikalku...juga Jee/Fauziah Samad adik iparku yang prihatin memberitahu kawan-kawan fb/blog tentang tahap kesihatanku. doa kalian semua bermakna sekali dan sangat-sangat dihargai

Akibat patah tulang pinggul dan kemudiannya tulang kaki aku sudah tidak boleh bergerak seperti duhulu lagi. Hobiku berkebun terpaksa kutinggal. Yang masih boleh hanyalah menulis. Dan nampaknya aku akan menjadi penulis selagi tanganku berdaya digerakan.



11 comments - "SECEBIS KISAH SEORANG OKU"

norhidana delete icon 15 August 2019 at 12:20

sedihnya baca kak.... moga di beri kekuatan dan kesembuhan

paridah delete icon 15 August 2019 at 14:50

TKSH DANA SUDI BACA AMIIN..ALHAMDULILLAH

nohas delete icon 15 August 2019 at 17:04

Allahu...syafakillah, semoga Allah memberi kesembuhan yg sebaiknya..

sedihnya baca kisah hidup akak..tabahnya akak..Alhamdulillah, Allah hadirkan jiran2 yang baik dan anak2 akk semuanya berjaya..

ada sikit khilaf, kak, bukan hari Tasyrik, tapi hari Arafah..

paridah delete icon 15 August 2019 at 17:46

TKSH NOHAS SUDI BACA CATATAN PANJANG KAK...OH HARI ARAFAH YA BUKAN HARI TASYRIK...HEH..HEH..KAK MAIN TULIS JE...TKSH BERITAU KAK

Tuan Hanafi delete icon 15 August 2019 at 18:20

rasa sebak memmbaca posting ini..

mudah-mudahan setiap kepayahan diberi pahala yang besar

teruskan menulis Kak PI sebagai saham akhirat

paridah delete icon 15 August 2019 at 21:08

TKSH TN HABAFIE SUDI BACA POSTING KAK...ITULAH SECEBIS KISAH HIDUP KAK SEADANYA...REDA TAKDIR-NYA..ALLAH PANJANGKAN USIA KAK AGAR MANFAATKAN BAKAT SEBAGAI PENULIS SEBAIKNYA..INSYAA ALLAH..HANYA KEPADA-NYA PASRAH DAN TAWAKAL

Warisan Petani delete icon 15 August 2019 at 23:10

Semoga terus diberikan kekuatan dan semangat.
Jaga kesihatan dan pemakanan.

paridah delete icon 16 August 2019 at 07:22

TKSH WP SUDI BACA CATATAN KAK...INSYAA ALLAH

Abam Kie delete icon 16 August 2019 at 12:11

saya amat kagum dgn ketabahan kak dah menempuh kehidupan sbg OKU. Tahniah kak dah!

paridah delete icon 17 August 2019 at 08:46

TKSH CIKGU AK SELAGI BERNAFAS NIKMATI HIDUP SEADANYA TABAH N TEGAR SEMANGAT GENGGAM KUAT WALAU HATI MENANGIS JUA

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”