Thursday 22 August 2019

KURA-KURA TERBANG TERLUPA PESANAN

ASSALAMUALAIKUM


Cerita rakyat
Olahan
Paridah Ishak

KURA-KURA TERBANG TERLUPA PESANAN

Maka tersebutlah kisah di dalam sebuah desa yang semakin kering-kontang kerana dilanda musim kemarau yang panjang. Langitnya kelabu berjerebu kerana ada hutan-hutannya yang telah terbakar.  Sungai dan tasik semakin kering airnya. Tanah sawah yang selama ini digunakan petani untuk menanam padi telah mula merekah. Cuaca di siang hari terasa sangat panas berbahang.
Penghuni desa itu mengambil keputusan untuk berpindah dari situ. Meninggalkan desa itu dengan membawa bersama semua barang-barang mereka dan juga binatang ternakan mereka. Mereka amat bersedih kerana terpaksa meninggalkan desa yang telah lama dihuni selama ini.
Namun tindakan itu terpaksa diambil demi keselamatan dan meneruskan kehidupan  di tempat yang lebih baik keadaan cuacanya. Setelah semua penghuninya berpindah, sepi sekali desa itu. Kelihatan seekor kura-kura merangkak perlahan. Menjengulkan dirinya daripada rimbunan semak-samun yang bergerigis rantingnya lantaran daun-daunnya telah gugur.  
Kura-kura berasa hairan kerana mendapati desa itu amat sunyi keadaannya. Tidak kelihatan  sesiapa pun berada di situ.
“Kemana agaknya mereka semua pergi?” rungutnya.  Kura-kura tidak menyedari bahawa semua penghuni desa itu semuanya telah berpindah kerana dia tertidur ketika itu. Keadaan dirinya pun tidak berapa sihat.
Dia bersedih, memikirkan nasib dirinya kini tinggal sendirian di sini. Bimbang pula akan keadaan kemarau akan berterusan dan akan memberi akibat buruk kepada dirinya. 
“Aku hendak berjalan jauh pun tidak berdaya, bagaimanalah aku hendak berpindah meninggalkan desa ini. Agaknya aku akan mati di sini.” “Kura-kura merintih sedih mengenangkan  nasib dirinya.
Tiba-tiba hinggap dua ekor angsa putih di atas batang kayu berdekatan dengannya. Entah dari mana angsa-angsa itu terbang, tidaklah diketahuinya. Gembira sedikit hatinya kerana telah ada kawan untuk saling berkata-kata.
“Kamu tidak ikut orang-orang desa ini berpindahkah Kura-kura? Tadi sewaktu kami berdua terbang melintasi ruang sini, kami melihat gerombolan orang-orang desa bersama keluarga dan ternakan mereka meneruskan perjalanan ke suatu tempat.” Pertanyaan dua ekor angsa putih itu telah menjelaskan kepadanya akan sebab keadaan sepi desa ini. 
“Aku pun memang hendak ikut orang-orang desa ini berpindah tapi apalah dayaku. Aku tidak larat hendak berjalan jauh..Sudah berapa hari aku demam. .Mungkin badanku tidak tahan kepanasan melampau. Air di sungai dan tasik telah kering, jadi tidak dapatlah aku berendam untuk menyejukkan badanku.”
“Oh begitukah! Kasihan kami mendengar cerita kamu ini. Alangkah baiknya kalau kami dapat membawa kamu keluar dari desa yang mulai kering-kontang akibat kemarau ini. Kami memang ingin menolong kamu!” Angsa putih itu saling berpandangan sesama mereka.
“Tidak mengapalah  wahai angsa berdua. Niat baik kamu amat aku hargai. Kamu berdua begitu prihatin dengan nasib diriku. Aku reda saja dengan takkdirku. Apa-apa saja yang berlaku ke atas diriku akan kuterima.” Kedua-dua ekor angsa putih itu merasa belas mendengar kata kura-kura.
“Biar kami berdua berfikir dulu bagaimana caranya untuk membawa kamu keluar daripada sini. Kami tidak sampai hati hendak meninggalkan kamu sendirian di sini.”  Kedua-dua ekor angsa itu berjalan beriringan meninggalkan kura-kura sendirian sebentar.
“Apa fikiran kau Angsa Besar?” Tanya angsa yang berbadan  kecil sedikit kepada angsa yang yang lebih besar daripada dirinya.
“Aku pun buntu memikirkan cara bagaimana kita hendak menolong kura-kura itu,” sahut  Angsa Besar.
“Kalau kita tak tolong dia, siapa lagi? Tentu dia akan mati kerana di sini sudah tidak ada apa yang boleh dimakan atau diminum. Kasihan dia!” balas Angsa Kecil 
Mereka termenung sambil berfikir lagi. Angsa Kecil memandang sekitarnya yang dipenuhi dengan daun-daun kering dan ranting-ranting kayu yang patah dan bersepahan di tanah.
“Aku rasa aku sudah mendapat ilham!” beritahu Angsa Kecil kepada Angsa Besar dengan teruja. Wajahnya kelihatan berseri.
“Oh…iakah! Cepatlah beritahu. Semoga cepat kita dapat selesaikan masalah kura-kura itu.”  Angsa Kecil meninggalkan Angsa Besar menuju pohon jambu yang dilihatnya banyak dahannya yang telah patah. Dia mengambil dahannya yang kecil dengan mulutnya lalu membawa kepada Angsa Besar.
Angsa Besar masih tidak faham apakah maksud Angsa Kecil dengan dahan kayu  jambu yang dibawa kepadanya.
“Nak dibuat apa dengan kayu ini?” Tanya Angsa Besar agak keliru.
“Dahan jambu ini kuat. Tidak mudah patah. Dan mampu menahan beban yang berat..” kata Angsa Kecil kepada Angsa Besar. 
“Ya. Aku mulai faham maksud kau Angsa Kecil!. Kau mahu kita menerbangkan kura-kura itu. Dan membawanya keluar dari sini dengan menggunakan kayu jambu ini.”
“Apakah kamu bersetuju dengan cara begitu, Angsa Besar? Aku pun sudah tidak tahu hendak fikirkan cara lain lagi untuk menolong kura-kura itu..”
“Aku setuju..Lagipun kura-kura itu tidaklah besar. Kita berdua mampu menerbangkannya menggunakan dahan kayu jambu ini.  Ayuh kita beritahu kepada kura-kura rancangan kita. Aku harap dia juga akan menyetujuinya.”
Kedua-dua ekor angsa putih itu berjalan bersama menuju ke tempat kura-kura sambil membawa kayu dahan jambu  dengan mulut mereka. Kura-kura kehairanan akan perbuatan kedua-dua ekor angsa itu.
“Kami  sudah mendapat cara untuk mengeluarkan kamu dari sini. “
“Bagaimanakah caranya?” Tanya Kura-kura  ingin mengetahuinya.
“Kami akan menerbangkan kamu dengan menggunakan dahan kayu jambu ini.”
“Aku masih tidak faham.” Sahut Kura-kura kebingungan.
“Mudah saja!  Kamu gunakan mulut kamu untuk memegang kayu ini. Dan kami berdua akan berada di sebelah kiri dan kanan kamu untuk memegang kayu dengan paruh kami dan menerbangkan kamu.” Angsa Kecil menjelaskan perkara itu.
“Oh. Aku mulai faham! ” Harapannya untuk menyelamatkan dirinya daripada bencana kemarau semakin cerah.
“Terima kasih kerana kamu berdua mahu menolong aku dengan menerbangkan aku keluar dari desa ini. Kamu berdua memang sangat baik hati.”
“Tapi sebelum kami bawa kamu terbang, kamu dengarlah dulu pesanan kami. Demi untuk keselematan kamu juga.” Angsa Besar berkata perlahan.
“Apa pesanan itu?”
“Sepanjang masa kami membawa kamu terbang, walau apa terjadi sekalipun janganlah kamu membuka mulut kamu.”
“Mudah saja pesanan itu, boleh kulakukannya.” balas Kura-kura dengan yakin..
“Baik. Sekarang kamu bersedialah berada di antara kami untuk memegang  kayu ini. Bolehlah kita bersama terbang meninggalkan desa ini.” Angsa Besar memberi arahan kepada kura-kura.
Angsa Besar dan Angsa Kecil membawa kura-kura terbang melintasi sebuah perkampungan. Orang-orang di kampung itu melihatnya dengan takjub  kerana dua ekor angsa membawa kura-kura terbang bersamanya. Mereka bersorak-sorak. Kura-kura terleka dan merasa bangga dirinya menjadi perhatian orang ramai. Dan dia ingin berkata sesuattu kepada angsa putih di kirinya.

Sebaik terbuka saja mulutnya maka melayanglah ia jatuh ke bawah. Dan kedua-dua angsa putih itu meneruskan penerbangan mereka ke destinasi tanpa menyedari bahawa kura-kura telah terjatuh.

10 comments:

  1. teringat baca kisah ni dulu2 masa sekolah rendah.... dana dulu suka ddk kt library... dr sekolah rendah sampai sekolah menengah itu la port nya...

    sedap olahan kak PI

    ReplyDelete
  2. Baca kisah kura2 ni masa kat sekolah rendah dulu.
    Ada ikhtibar daripadanya

    ReplyDelete
  3. tak pernah baca kisah ni .. thanks for sharing

    ReplyDelete
  4. TKSH DANA...YA KISAH TU MMG ADA DLM BUKU DI LIBRARI DULU2 LA NI DH XDE KOT

    ReplyDelete
  5. TKSH WP..YA KAT SEKOLAH ADA BUKU KISAH NI..KAK OLAH SEMULA JA

    ReplyDelete
  6. TKSH TATIE..YEKE DULU2 MMG ADA DI LIBRARI SEKOLAH

    ReplyDelete
  7. cerita rakyat perlu disebarkan kpd kanak2 skrg agar mereka ingat n hayati nilai2 murni di sebalik cerita tersebut...

    ReplyDelete
  8. TKSH CIKGU AK...YA BETUL SANGAT TU

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist