Wednesday 29 May 2019

CERPEN SEAWAL TIGA PAGI...

ASSALAMUALAIKUM


Cerpen
Oleh
Paridah Ishak



SEAWAL TIGA PAGI

Surah Al-Kafirun sudah kubaca. seusai membaca doa penerang hati.
Robbisyrohlii Sodrii. Wayasirlii Amrii. Wahlul Ukdatammillisaanii. Yafkohuu Koulii.

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku" 
(Surah Taha : 25,26,27,28)
Insyaa-Allah doa yang berulang kali kubaca ini mampu menyinari gelap gelemat kalbuku. Akan melancarkan lisanku tanpa aral gangguan. Memang kuakui, mindaku agak lembam dan sukar untuk menghafaz walau ayat lazim yang pendek surahnya. Namun tetap kuusahakan semampu dayaku. Persis kata pepatah titisan air setiap hari menimpa batu mampu juga melekukkannya.
Fahaman mudah yang tidak menyusahkanku amat kusenangi. Tidak memaksa jiwaku lakukannya segera dan drastik untuk  meraih pencapaian yang diimpikan. Bersederhana dalam segenap perkara itulah diriku.  Menjadi diriku adalah pilihan kemahuanku..
Amalan membaca surah-surah pendek yang kuhafaz seawal tiga pagi menjadi rutinku kini dalam ibadah solat sunat yang diakhiri solat sunat witir. Bersama-sama rakan-rakanku di sini melakukannya langsung tidak bosan, malah amat menenangkan jiwaku yang rusuh selama ni.
Setelah itu menyambung tidur seketika sebelum bangun menunaikan solat subuh berjemaah. Berterusan pula dengan aktiviti yang dtentukan pengurusan sekolah tahfiz di pinggir bandaraya gunung ini. Tidur selepas solat subuh perbuatan yang jelek dan tidak digalakan. Jadilah seperti burung burung yang terbang bertebaran segenap pelosok alam mengutip butir rezeki yang bertaburan di awal pagi
Amir, rakan sepengajianku sedang menyusun kitab-kitab rujukan yang telah digunakan dalam kuliah pengajian bersama ustaz  Bahari sebentar tadi. Pengupasan tentang surah Kafirun ini begitu jelas laksana mentari  bersinar pagi. Menekuni dengan sabar setiap ajaran ustaz Bahari. Setelah itu tugasan yang ustaz beri adalah menghafaznya mengikut tertibnya tidak lari daripada tajuid Al-Quran sebenar menurut sebutan makhraj terbitan huruf disebut..
Aku turut menyusun kitab-kitab yang telah digunakan di raknya. Menolong Amir mempercepatkan kerjanya. Bolehlah setelah itu bersaing dengannya ke kebun jagung di belakang pusat tahfiz ini pula. Pohon-pohon jagung yang telah kutanam bersama Amir dan rakan-rakan sepengajianku beberapa bulan lalu. Meninjau perkembangannya samaada segar subur atau sebaliknya.
Telah tumbuh tegak berpucuk hijau pekat setinggi berdiri. Dan ada yang telah menghulur sunaknya di celah dedaunannya yang leweh melempai. Projek tani anjuran pihak sekolah tahfiz ini untuk menambah sumber kewangan disamping mengisi masa kami agar tidak tersia. Dan membuang masa tanpa apa-apa kegiatan. Pusat tahfiz yang dirikan untuk mentarbiah murid-murid tua yang bermasalah rohaninya.
“Mir kau balik ke mana raya ni?” sunyi terkoyak sebaik terlantun suaraku lirih.
Amir tidak membalas pertanyaanku. Fokus sangat dengan kerja yang sedang dibuatnya mungkin. Leka sekali mencabut rumput dan mengumpulnya setempat. Aku pun malas hendak mengulang tanya lagi. Bersabar saja..Sebentar lagi kawanku itu kukira akan teringat untuk membalas jawapanku. Biarkanlah dulu.. Tiba-tiba Amir mendongak menentang mataku.
“Aku sambut raya di sini je Di. Setiap tahun di sini. Seronok juga.Sambut raya bagiku sama saja walau di mana pun.” Selamba saja jawapannya tanpa sebarang emosi beriak.
“Sejak kau masuk belajar di sini kau tak pernah balik kampung? Kau tak rindu pada keluarga kau di kampung?” banyak pula soalan yang kutanyakan.
“Mestilah rindu. Rindu sangat.Siapalah yang tak rindu apatah lagi kalau berpisah lama. “
“Habis kenapa kau tak balik beraya dengan keluarga kau?”
“Dah tak ada siapa di kampung Di. Mak ayah aku dah lama meninggal.”
“Oh! Tapi adik beradik kau tentu masih ada?”
“Adalah juga. Tapi adik beradik aku tak sukakan aku. Buat apa aku nak beraya dengan mereka. Aku hanya menyusahkan mereka pada anggapan mereka. Mereka  malu kalau berlaku kehilangan harta benda, orang kampung tentu menuduh aku, adik mereka. Orang kampung kenal aku sebagai penjahat, penagih dadah yang akan jahat selama hidupnya. Aku tak salahkan anggapan mereka. Hak merekalah tu
Aku hanya manusia biasa, sentiasa tak sudah berbuat silap. Tapi Allah sedarkan aku untuk berubah. Macam kau juga kan. Kita berada di sini sebab kita nak berubah menjadi orang baik sebelum kita mati kan? Lagipun di sini kita dapat memperbaiki diri, bertaubat dan menambah ilmu yang kurang.”
Syahdu anak matanya bulat merenungku redup..Apa yang berladung dalam fikirannya tidak kuketahui. Aku terdiam di sisinya.
Amir menepuk bahuku.
“Jom kita ke hujung sana. Kita bersihkan rumput yang menjalar tinggi kat bawah pokok-pokok jagung situ.” Aku mengikuti langkahnya yang diatur cepat.
            Kisah Amir terhenti di situ. Tidak bersambung walau aku masih sedia mendengar setiap periwayatan pengalaman hidupnya. Bukan asing kepadaku kisah-kisah sebegini. Sentiasa ditulis dan disebarkan di media massa. Juga tular di media sosial. Kisah klise era lalu hingga kini namun menuntut pengamatan matang.
“Kau balik kot raya ni?”
“Mungkin!”   Kemungkinan segalanya. Antara ya dan tidak. Kemungkinan besarnya tentulah tidak. Hatiku menggelupur ingin pulang menemui ayahku, . Memeluknya. Menciumi sepasang tangannya yang pernah mendokongku dengan segenap kasih sayangnya yang tulus tika aku kecil.
Menatap wajahnya yang semakin diselirati garis kerutan lantaran berusia. Ingin menolong kerjanya menguruskan perniagaannya kerana aku tahu dirinya tidak lagi berdaya seperti dahulu. Sesungguhnya sebenarnya aku teramat rindu untuk berada di sisi ayahku.
Memohon ampun maaf akan kesilapanku yang terlanjur, tidak sengaja atau tersengaja. Tapi ayahku telah membuangku jauh dari hatinya. Tidak mahu lagi menerima kehadiranku di sisinya. Kenapalah jadi begitu. Tidak aku mengerti. Dulu aku sangat pasti ayahku amat sayangi aku.
Apa salahku sebenar tidaklah aku tahu. Mindaku simpang perenang memikirkannya. Belum kutemui jawapan pasti.  Rasanya aku tidak pernah membantah setiap arahan ayahku. Seawal 3.00 pagi aku sudah bangun membantu ayahku menguruskan perniagaannya di tapak pasar borong berdekatan pertempatan kami. Usiaku tika itu baru 10 tahun.
Setiap awal pagi rutinku memang begitu tanpa membantah. Tidak pernah merungut walau amat kepenatan. Setelah itu lekas pula bergegas bersiap untuk ke sekolah. Ayahku menghantarku dengan lori kecilnya.
Di dalam kelas pula aku sering tersengguk-sengguk lantaran mengantuk. Kawan-kawanku dan guru kelasku memahami situasiku dan kondisiku yang kelelahan kerana membantu ayahku berniaga mencari rezeki. Guru kelasku amat prihatin akan masalahku. Membiarkan saja diriku tersengguk lalu tertidur di meja tika beliau sedang mengajar.
“Awak ni cikgu tenguk letih sangat. Selalu tertidur saja dalam kelas.”
“Saya bangun awal pagi cikgu dan menolong ayah saya berniaga.” Jawabku kelam-kabut sambil menggenyeh-genyeh mata. Aku tersedar setelah terlelap sebaik disapa guru di sisiku.
“Cikgu tahu tu. Tapi ayah awak tak sepatutnya minta awak menolongnya pada awal pagi. Awak sepatutnya tidur masa tu. Awak pun perlukan cukup tidur untuk ke sekolah. Di sekolah boleh awak belajar dengan selesa dan cergas beraktiviti dengan kawan-kawan awak..Ini kat sekolah awak asyik tidur saja..Awak ni cikgu tenguk memang ada potensi untuk berjaya. Sebab cikgu tenguk walau awak sering tertidur kat kelas tapi awak lulus semua subjek  peperiksaan dengan baik. Rugilah kalau potensi awak tak digilap sedang awak masih muda..”
“Cikgu cakaplah dengan ayah saya. Mungkin cakap cikgu ayah nak dengar. Selamat saya tak payah nak bangun pukul tiga pagi, tolong ayah kat pasar borong. Bolehlah saya tumpu kepada pelajaran saya saja..” Aku amat mengharapkan itu berlaku.  Tapi cikgu Norfaizah tidak berani juga berdepan dengan ayahku yang sentiasa mencuka wajahnya itu untuk menyatakan bahawa ayahku  telah melakukan penderaan ke atas diriku justeru mengeksploitasi tenagaku walau usiaku masih rendah. Tidak sepatutnya aku bangun seawal pukul tiga pagi untuk membantu ayahku berniaga.
Tiada perubahannya rutin hidupku. Lestari berlaku sehingga tamat persekolahan tingkatan lima. Aku merasa mendapat kebebasan sebenar setelah ayahku melepaskan aku keluar daripada belenggunya dengan alasanku hendak hidup sendiri berdikari. Sekolah pun telah tamat dengan keputusan SPM mendukacitakan. Gagal. Lulus semua subjek yang kuambil tapi tidak layak mendapat sijil.
Ayahku langsung tidak menyetujuinya kerana katanya aku yang bakal mewarisi perniagaannya yang semakin berkembang maju. Namun aku bertegas dengan maksudku. Ayahku mengalah. Namun melafazkan kata dua sekiranya aku melangkah keluar daripada ruang hidupnya, aku tidak akan diterimanya kembali lagi. Fikiranku tidak panjang. Apa yang dimaksudkan ayahku lewa kuanggap. Lagipun aku sudah jemu bangun seawal tiga pagi untuk bekerja di pasar borong membantu ayah.
Ayahku memberiku wang simpanan yang disimpan untukku atas namanya. Banyak juga jumlahnya hasil penat lelahku berkerja membantu ayahku selama ini. Bertambah riak hatiku untuk meniggalkan ayahku kerana.dalam usia semuda ini  telah miliki wang belasan ribu RM.  Mengujakan aku untuk meneroka dunia baru. Dunia yang lebih saujana luas selain berada di seputar premis niaga ayahku
Aku terbang bebas laksana unggas dan higggap di mana saja terasa. Kawan-kawanku sekelilig pinggang.  Mengerumuniku lagak semut bertemu gula. Sungguh seronok aku miliki kawan yang ramai. Sikapku yang tidak lokek berbelanja apa sahaja diminta mereka  membuat diriku sangat disenangi.
 Selama ini aku tidak berkawan. Usai sekolah aku pulang ke rumah untuk tidur. .Jika aku tidak tidur tentu aku mengantuk kala dikejutkan ayahku untuk bangun bekerja di awal pagi. Sepanjang usia kanak-kanak banyak masaku habis untuk tidur di siang hari saja.
Kini aku mahu menebus saat indah zaman kanak-kanakku yang langsung tidak kunikmati dulu. Hanya berkawan dengan adik-adikku Amri dan Azri sahaja. Mereka pula tidak disuruh ayahku membantunya berniaga. Membuat hatiku tersinggit pedih. Apa bezanya aku dengan mereka? Mereka juga anak-anak ayahku. Hampir sebaya mereka denganku.
 Oh! aku lupa bahawa mereka adalah anak-anak kesayangan mamaku! Aku mesti maklumi itu.   Mama yang dikahwini ayahku setelah umiku meninggal dunia tika melahirkan adikku yang turut juga bersama umi menemui Ilahi. Aku kehilangan umi yang sangat menyayangiku juga adik kecilku yang sangat comel wajahnya itu. Tidak sempat untuk berkawan dan berkasih-sayang dengan adik kecilku itu.
Kini siapa saja yang mahu berkawan denganku akan kuterima tanpa mempersoalkan niatnya waima baik atau sebaliknya. Tidak penting untukku ambil tahu semua itu. Utamanya menggembirakan hatiku apahal pun.
Wang yang diberi ayahku semakin nipis dibelanjakan untuk hidup dan kawan-kawanku.  Rokok, ganja, syabu, ekstassi, pil kuda adaalah kegemaranku dan kawan-kawanku.  Mereka yang mengenalkan aku dengan semua itu. Kononnya untuk menggembirakan hatiku.
 Aku pun tidak pernah menolak. Terbuai dalam keseronokan yang baru ku rasai. Akibatnya tidak kufikirkan.  Akhirnya wang simpananku habis. Untuk menyara kehidupan aku mula bekerja merata tempat. Kerja kasar yang sesuai dengan keupayaan dan kelulusanku.
Ketagihanku terhadap dadah yang berjenis-jenis itu meresapiku. Hendak membelinya tidak berwang. Pilihan mudah yang murah dan mampuku dapatkan cuma gam. Gam dibeli di bengkel motorsikal kuhidu. Aroma gam mengosongkan mindda celaruku.
Akhirnya adikku menemuiku merayau di pekan tempat ayahku berniaga dalam keadaan compang-camping sambil bercakap sendiri mengutau-utau tangan kanan kiri.Kadangkala ketawa terbahak-bahak. .Azri membawaku ke hospital. Sahlah aku diserang skizofrenia akibat dadah terlarang  kuambil.
Kini adikku itulah berusaha memulihkan sakit mentalku dengan menghantarku ke sekolah tahfiz merangkap pusat rawatan rohani  ini untuk memulih sakit jiwa ragaku. Ayahku tidak lagi mempedulikan aku. Mengotakan janjinya. Mungkin juga tiada maafnya lagi atas kesilapanku. Total aku kehilangan ukhuwah kasihnya juga umiku.
Di malam terakhir Ramadan syahdu,seawal tiga pagi aku menangis tersedu dalam tahajjudku.

TAMAT  


14 comments:

  1. Assalamualaikum kak, selamat menjalani ibadah berpuasa.
    Alhamdulillah, selesai menghadam cerpen ini..Menyentuh hati, Moga 'aku' diberikan kesembuhan sepenuhnya dalam munajat tiga pagi..

    ReplyDelete
  2. Ada pengajaran daripada cerita tersebut.

    ReplyDelete
  3. WSALAM TKSH USTAZ SUDI BACA CERPEN KAK...INSYAAALLAH WATAK HIDUP BERBEZA BEZA.

    ReplyDelete
  4. TKSH WPSUDI BACA CERPEN KAK..MENULIS DRPD PEMERHATIAN

    ReplyDelete
  5. Pintu-pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang mahu melakukannya..seronok baca cerpen ni kak PI.

    ReplyDelete
  6. bertaubatlah sebelum nyawa sampai di kerongkong

    ReplyDelete
  7. TKSH WP ALHAMDULILLAH MOGA BERMANFAAT

    ReplyDelete
  8. TKSH ANIES YA BERTAUBAT SELALU

    ReplyDelete
  9. cerpen yg menginsafkan...manusia boleh berubah..

    ReplyDelete
  10. sedihnya.... taubat lah selagi belum tutup mata kita

    ReplyDelete
  11. TKSH NOHAS SUDI MEMBACA YA ALLAH AKAN BERI HIDAYAHNYA KPD SESAPA SAJA

    ReplyDelete
  12. TKSH DANA SUDI BACA YA HUSNUDZON INSYAA ALLAH

    ReplyDelete
  13. Terima kasih atas perkongsian sebagai nasihat dan peringatan buat diri ini. Semoga Allah sentiasa memberkati... aamiin.

    ReplyDelete
  14. TKSH DIK KK SUDI BACA MOGA BERMANFAAT

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist