بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM

Cerpen
Oleh
Paridah Ishak
JINGGA
Jingga kulihat berada di atas alang rumahku. Tentu ada sesuatu yang menarik minatnya. Dan  dia sedang  mencarinya. Pantas saja Jingga  meniti alang  ke sana sini. Dan kelibatnya tidak kelihatan lagi. Sudah hilang Jingga daripada pandanganku. Cergas dan pantas sekali pergerakan Jingga, kucing kesayanganku itu. Entah kemana pula dia.
            Puas aku tercari-cari akan keberadaannya. Tapi tidak pula kutemui.  Aku melangkah membawa diriku ke serambi. Mataku menyoroti arah halaman. Mungkin si Jingga berada di situ pula. Kelihatan anak ayam yang kecil lagi comel mengikuti ibunya mematuk-matuk dan mengais tanah. .Aku mengira  anak-anak ayam itu satu persatu. Kesemuanya sepuluh ekor jumlahnya. Gamaknya anak-anak ayam ini baru saja menetas daripada telur yang   dieram ibunya.  Aku menduga saja.                                             
            Ralit aku perhatikan ibu ayam mengais-ngais tanah. Tentunya dengan hajat mencari makanan berupa ulat untuk diberi kepada  anak-anaknya.  Aku jadi  terlupa akan niat sebenarku iaitu mencari kucingku, si Jingga. Ibu ayam dan anak-anaknnya telah hilang  daripada pandanganku setelah mereka  bergerak melewati rumpun bunga loceng berwarna kuning. Ibuku  yang menanam bunga loceng kuning itu di sepanjang sempadan yang memisahkan rumah  kami dan rumah jiran, suatu waktu dahulu.
            “Heh. Apa yang kau  perhati, ralit sangat tu?” pertanyaan itu mengejutkan aku. Segera aku menoleh ke arah suara itu. Tiba-tiba saja Ibuku sudah berada di sisiku. Entah dari mana ibuku itu tiba-tiba muncul.
            “Tadi saya cuba cari Jingga. Kut dia ke sini. Tapi tak nampak pula. Entah kemana pula kucing saya tu merayau.” Aku memberi    tahu Ibu tentang tujuanku.
            “Kucing kan ada empat kakinya, tentulah jauh langkahnya. Penat saja kau membuang masa menunggunya di sini..” Kata ibuku
            “Kau nak buat apa dengan kucing tu?” Tanya ibuku lagi.
            “Saya nampak Jingga tu comot sangat. Bulunya tak bersih dan berselut.  Hajatnya  saya nak mandikan dia. Biar kelihatan lebih bersih agar bulunya kembang  dan cantik.” Aku berterus-terang kepada Ibu. 
            “Terlebih rajinlah pulak anak Ibu sorang ni!. Kucing pun hendak dimandikan. Kau tu  yang  sepatutnya pergi mandi. Bersihkan diri… dah nak masuk waktu dzuhur ni. Lepas solat pergi makan. Ibu dah hidang atas meja kat dapur tu.”
             Ibuku bersuara bernada perentah. Perentah ibu memang tidak pernahku engkari. Aku akan segera  melaksanakannya. Tapi kali ini  aku teragak-agak pula.   Jingga melambatkan keputusan yang patut  kuambil. Masih lagi aku menunggu kemunculan Jingga.         .                                                                                                                                                   
            “Sekejap ya Ibu! Saya nak tunggu Jingga  balik dulu. Mungkin sekejap lagi Jingga balik. Bolehlah saya mandi  bersamanya. Lepas tu kami makan.”
“Suka hati kaulah. Kau memang suka mandikan Jingga. Walau pernah kau dicakarnya waktu kau nak mandikan dia dulu,, masih juga kau tak serik. Ibu tak faham betul dengan perangai kau ni.” Ibuku mulai mengomel akan perangaiku yang tidak digemarinya. Aku tahu Ibu sangat sayangkan  aku  dan tidak mahu aku  merasa sakit walau sedikit.                                                        
“Jingga tu memang kena dimandikan Ibu. Biar bersih. Sebab dia tinggal bersama kita. Selalu keluar masuk rumah kita. Bimbang pula kotoran yang melekat di badannya ada kuman yang membahayakan kita. Nanti tak pasal-pasal kita   dan Jingga diserang penyakit pula. Masalah pula nak merawatnya.”
“Suka hati kaulah. Ibu nak ke belakang rumah sekejap. Nak periksa reban ayam. Manatau ayam yang mengeram tu dah menetas telurnya. Kena berjaga-jaga juga. Sebab bimbang anak-anak ayam tu jadi habuan musang atau anjing liar. Tak dapat pula kita nak membelanya sehingga besar. Jikalau anak-anak ayam tu dah besar dapatlah dijual kepada pembeli untuk menambah rezeki kita.”
“Ialah Ibu. Tadi saya nampak ada ibu ayam bawa anaknya. Mungkin itu ibu  ayam yang  mengeram tu. 10 ekor anaknya Ibu” aku menerangkan kepada Ibu..
“Oh!” Ibuku hanya menyebut sepatah kata. Dan terus berlalu   dari sisiku. Barangkali Ibu tidak  sabar lagi hendak  melihat  ibu ayam dan anak-anaknya yang                                     kukatakan itu.
Aku sendirian di serambi. Anak mataku melilau, meninjau keberadaan kucing kesayanganku.  Aku terpandangkan sahabatku Hayati sedang melambai ke arahku dari serambi rumahnya. Dia kemudiannya menuruni tangga..dan melangkah laju ke belakang rumahnya. Dia  kelihatannya begitu tergesa-gesa sekali.
Aku membalas lambaian tangan  anak jiranku itu.  Apa agaknya yang hendak dibuat Hayati di belakang rumahnya. Hatiku tertanya-tanya.Tiba-tiba    terdengar suara kucing mengiau perlahan di kakiku tatkala aku  berdiri. Aku terpegun seketika.  
“Dah balik pun kau  ya Jingga. Puas aku mencari kau. Kau kemana? Hisyh kotornya badan kau! Apa yang kau kejar hingga badan kau kotor begini. Jom ikut aku pergi mandi!” Riuh aku bersuara memarahi Jingga. Bulat anak mata Jingga merenungku.
Aku  menangkap Jingga. Memeluknya erat  tanpa kupedulikan kotoran yang melekat di badannya terkena bajuku.  Segera kubawa Jingga ke bilik mandi. Jingga  meronta seolah mahu aku melepaskannya. Sebelah tanganku yang kanan memegangnya erat agar Jingga tidak terlepas. Dan tanganku yang  kiri mencebuk air untuk memandikannya. Shampoo rambutku kini kugunakan sebagai bahan pembersih bulunya.
Jingga  mengiau nyaring. Barangkali ia merasa tidak selesa dan rimas kuperlakukan dirinya begitu. Aku tetap juga meneruskan kerjaku.
“Sabar ya Jingga! Sekejap lagi siaplah. Kau duduk diam-diam dulu. Jangan cuba nak lari ya Jingga! ” Akhirnya aku berjaya memandikan Hitam sehingga bersih. Kali ini Jingga  tidak mencakarku. Tidaklah aku luka dan kesakitan akibat cakarannya.
“Dah pun selesai. Biar aku lap dulu bulu kau dengan tuala supaya kering. Lepas aku mandi kita makan ya! Kau jangan kemana-mana.. Jangan nak main kotor lagi. Kalau kau kotor, terpaksa aku mandikan kau lagi sekali.Tunggu aku kat dapur. Aku mandi sekejap saja.” Aku berkata kepada Jingga dengan harapan kucingku itu memahami setiap perkataanku.
“Meow! Meow!” balas Jingga perlahan.
“Kau faham apa yang aku kata ya Jingga!” aku tertawa riang. Kulepaskan Jingga perlahan-lahan. Pantas saja kucingku itu berlari menghala dapur.
Ibuku tiba-tiba muncul di pintu dapur ketika aku sedang makan nasi di meja dan Jingga pula kuletakan makanan di pinggannya di bawah meja. Jingga menikmati makanannya dengan lahap sekali. Ibu menarik kerusi dan duduk di sebelahku.
“Jom makan  Ibu! Sedap sungguh masakan ibu ni!” aku mempelawa Ibu.
“Makanlah! Ibu masak kurma telur kegemaran kau tentulah kau suka.” Aku tersengih mendengar ibu berkata begitu. Nampaknya Ibu sangat memahami akan seleraku anaknya.
“Ibu  dah makan tadi lepas  selesai masak.”
“Oh!” aku tidak jadi bangun  mengambil pinggan yang akan diisi nasi untuk Ibu.                          
“Kau cakap tadi anak ayam yang baru menetas jumlahnya  sepuluh ekor kan?”
“Ya Ibu. Saya kira tadi, sepuluh ekor   semuanya anak ayam tu.” Kataku dengan yakin.
“Mungkin kau silap kira kot. Sembilan ekor je yang ada, Ibu tenguk.” Ibuku mempersoalkan kenyataanku.
“Entahlah ibu. Jangan-jangan anak ayam tu dah dibaham musang atau anjing liar. Di belakang rumah kita kan ada hutan kecil. Tentu banyak haiwan                                              liar yang tinggal di situ. Mereka akan berkeliaran mencari mangsa tanpa kita sedar, ” ujarku menduga. Nampak wajah Ibu masam mencuka. Seolah  Ibu tidak suka  mendengar   apa yang kukatakan  itu.                                                                                                     
“Kawan kau si Hayati  tadi beritahu Ibu, ada seekor kucing berwarna jingga yang selalu datang mengejar anak-anak ayam di rumahnya. Anak ayam tu akan digongongnya dan dibawa lari ke dalam semak. Baru sekejap tadi dia mengejar kucing tu.  Tidak sempat kucing itu hendak menangkap anak ayamnya.” Balas Ibu.
Aku terkejut mendengar penjelasan ibuku. Patutlah tadi kulihat Hayati bergegas ke belakang rumahnya. Rupanya ada  kucing yang mengganggu ayam-ayam peliharaan ibunya. Segera kuhabiskan makanan di pinggan. Lalu membawa pinggan   itu  ke sinki untuk dibersihkan sambil mencuci mulut dan tanganku.  Ibu kulihat asyik memandang Jingga yang sedang makan dibawah meja.
Aku risau pula memikirkan ibuku menyangka bahawa semua ini angkara Jingga.
“Mungkinkah ini kerja si Jingga?” kata Ibuku
“Kenapa pula ibu fikir begitu? Tidak mungkinlah!”
“Kan Hayati cakap kat Ibu tadi kucing yang suka tangkap amak ayam tu jingga warnanya. Kucing kau ni kan jingga juga warnanya.”  
“Jingga takkan buat begitu  Ibu.” Aku mempertahankan Jingga. Aku pasti kucingku tidak sejahat itu.
“Ibu tenguk kucing ni tangkas sangat. Selalu saja menangkap tikus.”
“Baguslah Jingga suka menangkap tikus. Bukankah tikus itu binatang yang membawa penyakit bahaya. Dengan adanya Jingga yang rajin mengejar dan menangkapnya tentu tikus tidak berani bersarang di rumah kita. Terlepaslah kita darpada jangkitan kuman kencing tikus. Penyakit bawaan tikus boleh membawa maut Ibu.”
“Yang Ibu bimbang, selain tikus anak ayam juga ditangkapnya. Tentu marah jiran-jiran kita kepada kita kerana kucing kau mengganggu ayam peliharaan mereka. Ibu tidak mahu kerana itu, kita bermasam muka dengan jiran-jiran kita.  Nanti bergaduh pula kitadengan mereka.  Bukankah kita ni hidup berjiran. Tidak baik bermusuh antara kita.” Ibuku bersuara lembut.
“Bukankah Hayati kawan baik kau? Kalau dia tak mahu lagi berkawan dengan kau sebab menyangka  kucing kau yang makan anak   ayamnya tentu kau terasa sedih dan kecil hati. Ibu tidak mahu itu berlaku.” Tambah Ibu lagi.
“Jingga tidak akan buat begitu Ibu.” Aku cuba meyakinkan Ibuku.
“Kalau Jingga yang buat semua tu, nampaknya kau tak dapatlah membelanya lagi. Memang bahaya bela kucing yang suka makan anak ayam ni! Nanti habis anak ayam Ibu dan anak ayam jiran kita dibahamnya.  Ibu terpaksa membuangnya jauh ke dalam hutan.” Nampaknya Ibu begitu  tegas dengan keputusannya. Keputusan Ibu membuat aku terperanjat.
“Sampai hati Ibu nak buang Jingga kesayangan saya. Janganlah Ibu.” Aku merayu belas ihsan   Ibu. Hatiku merasa amat sedih memikirkan keputusan Ibuku hendak memisahkan aku dengan Jingga. Hanya  kerana Ibu menyangka  kucingku itu telah memakan anak ayamnya dan anak ayam jiran kami.. Harapanku, sangkaan Ibu meleset dan tidak benar sama-sekali.  Aku tertunduk sayu. Dan terpanggung tiba-tiba.                           
Aku dan Ibu berpandangan sebaik mendengar suara ayam riuh berketuk di luar rumah.  Apa  agaknya  yang menyebabkan keriuhan                                                                                       itu berlaku? Jingga  pantas meluru keluar melalui pintu dapur. Aku dan Ibu turut melangkah ke luar untuk melihat apakah  sebenarnya berlaku. Sungguh mengejutkan melihat kejadian itu.
Jingga sedang bergomol dengan seekor kucing berwarna jingga yang agak besar dan berekor panjang. Kucing itu mengiau garang sambil tangannya yang berkuku  tajam itu mencangkar Jingga. Seekor anak ayam yang berada dalam genggaman kucing  itu terlepas. Anak ayam itu mencicit  berlari mendapatkan ibunya. Aku tergamam menyaksikan peristiwa itu.
Hayati turut berlari dari rumahnya mendapatkan aku.
“Kucing nilah   yang saya beritahu mak cik suka tangkap anak-anak ayam kat rumah saya. Cepat mak cik, pukul kucing tu!” seru Hayati.
“Cepat Ibu. Kesian kucing saya digomolnya!”  baru aku bersuara kalut dan menyedari keselamatan Jingga sedang  terancam.
Ibuku mencapai ranting kayu lalu memukul kucing jingga itu sekuat tenaganya. Kucing itu mungkin terasa sakit dipukul Ibuku lalu segera ia melepaskan Jingga dan pantas berlari menuju semak.
Aku mendapatkan Jingga yang terkulai lemah.  Tergeletak kucingku tidak bermaya di atas tanah. Ada darah yang mengalir di mukanya. Aku menangis tersedu melihat keadaan Jingga. Jingga sanggup berlawan dengan kucing liar itu untuk menyelematkan anak ayam Ibu sehingga dirinya cedera. Hayati memegang bahuku. Dia berusaha menenangkan perasaanku.
“Kasihannya kau Jingga. Jangan kau mati dulu. Nanti aku ubatkan kau                 sampai kau sembuh semula.” Air mataku jatuh membasahi bulu kucingku itu. Jingga masih bernafas dan dadanya kelihatan berombak naik  dan turun.
“Sabarlah Lina. Usah menangis lagi. Tenguk  kucing kau dah mula bergerak untuk bangun. Hidup lagi kucing kau. Jangan  risau sangat. Cuba cari ubat dan sapukan pada lukanya. Luka cakaran kucing ni bias dan kena segera dirawat. ” saran Hayati.. aku yang tidak keruan terpana sahaja. Asyik menangis saja tidak henti.
“Sudahlah jangan menangis! Jom kita bawa Jingga ke klinik untuk merawat lukanya.”  Ibu segera mencapai Jingga  daripada peganganku. Laju langkah Ibu membawa Jingga ke kereta yang dihidupkan injinnya. Aku dan Hayati mengekori langkah Ibu.
“Jomlah Yati ikut sekali. Kita klinik kerajaan kampung kita.” Ajak Ibu.
“Cepat masuk Yati!” gesaku.
Aku mengambil Jingga daripada pegagan Ibu dan meribanya. Kuelus lembut badannya dan membuang daun-daun kayu kering dan kotoran yang melekat di badannya.
“Bertahan ya Jingga. Sekejap lagi kita akan sampai ke klinik. "      

TAMAT                                                                                                                                                            
                                                                                                                                                                                              
                                                                                                                                                                                      .
                                                                                                                                        
                                                                                                                                            
                                

8 comments - "JINGGA..."

fida z ein delete icon 12 April 2019 at 02:27

Assalamualaikum Kak..

Ingat saya lagi tak...

Semoga terus berkarya...

paridah delete icon 12 April 2019 at 08:01

WSALAM FIDA PAKABR MESTILAH INGAT TKSH FIDA INGAT NK SINGGAH KAYAKU

dear anies delete icon 12 April 2019 at 09:47

alahai jingga...

norhidana delete icon 12 April 2019 at 10:15

nice kak...

paridah delete icon 12 April 2019 at 11:22

TKSH ANIES KDG BERKRYA PNJG SIKIT BIAR PENAT ANIES BACA HEH..HEH..

paridah delete icon 12 April 2019 at 11:23

TKSH DANA SAJA TLS SUKA2

Khir Khalid delete icon 18 April 2019 at 15:05

Biar panjang ku baca jua.. kasihan Jingga disalah sangka walhal dia yg membela hingga terkulai hampir hilang nyawa.. mudah2an jingga selamat dan beroleh kesembuhan segera agar ceria kembali.. aamiin.

paridah delete icon 18 April 2019 at 21:34

TKSH DIK KK..HEH..HEH..MINAT JUGA BACA CERPEN BUDAK2 PROF..

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”