Thursday 10 May 2018

KEPUTUSAN PRU 14 9 MEI 018..

ASSALAMUALAIKUM...

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (Harapan), gabungan empat parti politik pembangkang yang baru dibentuk, menang besar pada pilihan raya umum Malaysia yang baru berakhir, menamatkan pemerintahan BN selama lebih 60 tahun.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia hampir 93 tahun, berjaya dalam apa yang dilihat sebagai tugas mustahil untuk meraih sokongan besar rakyat bagi memecahkan genggaman kuasa BN yang sebelum peristiwa bersejarah hari ini, merupakan parti politik paling lama memerintah.
Dr Mahahir dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh hari ini. Dr Mahathir ialah Perdana Menteri keempat dan merupakan orang yang sama mengetuai kejayaan BN dalam pilihan raya umum lima tahun berturut-turut dari 1982 hingga 1999.
Ketika keputusan muktamad diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Hashim Abdullah pada kira-kira 4.45 pagi, Harapan yang berusaha dalam apa yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya menggunakan simbol mata biru sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR), memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dengan majoriti mudah.
Ia dijangka mengukuhkan kedudukannya di Parlimen menerusi lapan lagi kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah yang mengumumkan sebelum ini untuk menyertai Harapan di peringkat persekutuan.
BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak memenangi 79 kerusi, jauh berbanding 132 yang dikuasainya sebelum ini.
Tanda-tanda tsunami politik atau kuasa rakyat mula muncul pada kira-kira  10 malam apabila BN kehilangan negeri seperti Melaka dan Negeri Sembilan kepada Harapan, manakala parti Islam Pas mengekalkan Kelantan dengan margin lebih besar dan juga mendapat bonus luar jangkaan dengan memenangi Terengganu.
Parti komponen Harapan iaitu PKR dan DAP turut mengekalkan negeri perindustrian Malaysia iaitu Selangor dan Pulau Pinang dengan lebih menyakinkan.
Dua lagi negeri  Perak dan Kedah menyaksikan pertembungan sengit dan masing-masing berakhir dengan kedudukan Dewan Undangan Negeri tergantung, tetapi bagaimanakah percaturan politik di negeri-negeri itu akan diuruskan, akan menjadi lebih jelas dalam beberapa jam akan datang.
Malah Sabah dan Sarawak, yang selama ini dianggap negeri 'deposit tetap' BN kerana sentiasa menyumbangkan kerusi Parlimen untuk membolehkan BN terus menguasai Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, runtuh oleh kuasa sejumlah besar pengundi Generasi Y.
Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman selama 15 tahun lepas dan ketika berita ini ditulis masih terikat dengan kebuntuan di peringkat Dewan Undangan Negeri berikutan BN memenangi 29 kerusi, Warisan 21, DAP dan PKR (kedua-duanya dalam Harapan) masing-masing dengan enam dan dua kerusi manakala dua lagi kerusi dimenangi Parti Solidariti Tanahairku.
Pegawai-pegawai parti berkenaan berkata perbincangan akan diadakan hari ini juga untuk memecahkan kebuntuan berhubung parti mana yang akan berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Parti pembangkang mencatat prestasi lebih baik dalam perebutan bagi kerusi Parlimen dengan Warisan menang lapan kerusi, masing-masing tiga bagi DAP dan PKR dan satu kerusi bagi Solidariti.
Jelas sekali bahawa kekalahan BN yang gah selama ini turut dibantu oleh pengaruh besar media sosial yang dimanfaatkan pembangkang dengan memainkan isu peningkatan kos sara hidup yang memberikan impak terhadap keupayaan berbelanja setiap orang selepas Najib memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus pada 2014.
Populariti BN kian merudum dalam tempoh beberapa tahun lepas berikutan kegagalan 1MDB yang menghantui Najib ditambah dengan masalah kewangan dalam Felda yang menjejaskan pekebun kecil kelapa sawit dan terbaru undang-undang kontroversi seperti Akta Antiberita Tidak Benar yang secara tergesa-gesa diluluskan di Parlimen sejurus sebelum pembubaran pada 7 April.
Bakal Perdana Menteri Dr Mahathir telah mengikrarkan sebagai aku janji dalam manifesto pilihan raya Harapan untuk memansuhkan GST sekiranya parti itu berkuasa dan nasib sama menanti undang-undang Antiberita Tidak Benar. - Bernama

10 comments:

  1. siapa pun yang menerajui, semuanya ada risiko buruk dan baik. Kita doakan saja agar pemerintahan kali ini memberi manfaat dan mendapat keberkatan Ilahi hendaknya

    ReplyDelete
  2. TKSH AZU..KITA DOAKN YG TERBAIK DEMI KMASYLHATAN KITA N NEGARA TERCINTA

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Mudahan pemerintah yang baru dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat. Alhamdulillah, PAS mengekalkan Kelantan dan merampas Terengganu. Apa pun, pru dah selesai, sekarang masa untuk bekerja dan berkhidmat kepada yang terpilih menjadi YB..hehe

    ReplyDelete
  4. Wsalam dik ustaz moga sht sjhtra sekeluarga..kta doakan setiap yb yg dipilih rakyat brperanan ssebaiknya.

    ReplyDelete
  5. Semoga segalanya baik-baik belaka

    ReplyDelete
  6. TKSH ZUMAL INSYAA ALLAH MOGA2 HNDKNYA

    ReplyDelete
  7. semoga malaysia bertambnah maju dan sejahtera

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist