بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM




CERPEN KANAK-KANAK
Oleh Paridah Ishak

                              PETALING JUNTAI TASIK BERA

            Petaling Juntai berjalan dengan lagaknya. Wajahnya garang. Daerah rimba itu adalah tempat tinggalnya. Tiada siapa berani mengusiknya atau menegurnya setiapkali bertemu dengannya. Tersangat bangga hatinya kerana semua penghuni alam rimba di pinggir tasik Bera ini.menakutinya. Namanya bukan saja dikenali di rimba ini tetapi sudah masyhur merata.
            Dia akan mengaum nyaring tatkala matanya menyorot burung-burung di pohon tinggi atau melihat kera bergayutan dan menjulai di ranting. Tentulah dia tidak berdaya memanjat pohon untuk menangkap burung-burung dan kera  yang memandang sinis akan kelemahannya.
            Jika Petaling Juntai  terpandang arnab, kancil,kijang, tapir, rusa dan haiwan bernyawa yang bergerak melintas di hadapannya pasti dikejarnya sehingga berjaya ditangkapnya  untuk dijadikan makanannya. Sudah banyak penghuni rimba itu menjadi mangsanya hingga  tinggal sedikit bilangannya.
            Sikapnya hanya mementingkan  diri dan memuaskan nafsu serakahnya membuatkan semua penghuni alam rimba itu susah hati dan amat  membencinya. Kumpulan burung-burung, arnab, kancil, kera, tapir, rusa pun bermesyuarat sesama mereka.
            Mereka duduk berbincang, mengumpul ide bernas untuk mengajar harimau belang yang sombong itu. Akhirnya mereka bersetuju dengan saranan yang diberi sang kancil.
            “Di kawasan tasik Bera ini ada perkampungan Orang Asal, Temok dan Semak Beri. Mereka suka berburu dan mencari ikan. Kita beritahulah kepadanya agar keluar daripada rimba ini dan masuk ke kampung itu  mencari makan. Di sana tentu dia akan dapat makanan lebih sedap dan mengenyangkannya berbanding  memakan kita yang kecil saja semuanya.
Jikalau si Juntai itu mengejar kita setiap hari tentu keturunan kita akan pupus. Dan rimba kampung laman kita ini lengang tiada penghuni.” Beritahu sang kancil.
            “Kalau si Juntai tu keluar dari sini selamatlah sikit kita. Tidaklah kita kecut perut setiap kali terdengar suara ngaumannya.” Celah tapir yang berbelang putih di badannya itu.
            “Kau kan tak  kuat lari kan tapir.maklum tubuh kau ni agak montel sikit. Lainlah aku yang kecil ni.  Mudah saja susup-sasap aku berlari menyorok mana-mana.” Balas arnab sambil ketawa.
            “Tak payahlah kita ketawakan si tapir. Kita mesti bersatu memikirkan cara mengamankan hutan rimba ini daripada gangguan si Juntai.” Sang kancil cuba untuk menenangkan suasana.
            “Tapi bagaimana hendak memberitahu kepada si Juntai itu kerana sudah tentu kita tidak berani hendak berdepan dengannya. Memang nak tempah maut kalau kita  muncul di hadapannya. “ Rusa mencelah dengan rasa gundah.
           
            Masing-masing yang sedang bermesyuarat itu terdiam mendengarkan kata-kata sang kancil. Kusyuk memikirkan solusi masalah mereka.
            “Apa kata kita minta tolong pada kera.” Kata burung murai.
            “Aku tidak boleh masuk ke kampung itu. Sebab orang Temok dan Semak Beri suka menyumpit aku. Mereka gemar sekali memakan daging aku dengan memanggangnya.” Kera memberi alasannya kala diminta pertolongannya.
            “Kau sajalah yang beritahunya murai! Kau kan tiada masalah dengan Juntai. Si Juntai tidak pernah menangkap kau walau kau riuh mengata-ngatanya setiap pagi.,”.saran kera pula.
            “Aku ni kecil sangat kera. Penat saja dia hendak menangkap aku yang boleh terbang ini. Lagipun dia tentu tidak percaya cakap seekor burung kecil seperti aku,”ujar Murai. Terkilan juga dirinya justeru tidak dapat membantu  menyelesaikan permasalahan yang kini dihadapi mereka.
            “Arnab bukankah pantas berlari susup-sasap. Apa kata tugas ini kita berikan saja pada arnab.” Ujar si tapir dengan sengihnya.
            “Kau nak kenakan aku ya tapir?” Arnab menjegilkan matanya yang merah menyala tanda marahnya.
            “Bukan aku nak kenakan kau arnab. Tapi kau memang pantas berlari. Tentu si Juntai tidak larat hendak mengejar kau. Jadi kalau dia kejar,kau, larilah masuk ke kampung orang Semak Beri tu. Lepas itu kau menyoroklah di mana-mana” Sang kancil terangguk-angguk menyetujui cadangan tapir.
            “Ya… kalau si Juntai masuk ke kampung orang Semak Beri itu tentu dia akan dibunuh mereka kerana ditakuti  mengancam keselamatan mereka.. Tapi hati-hati menjaga diri agar tak ditangkap Petaling Juntai tu.”  Tambah tapir lagi.
            “Susah juga orang Semak Beri atau orang Temok hendak menangkap Petaling Juntai yang gagah tu.” Rusa menyatakan pendapatnya.
            “Mereka kan manusia. Manusia yang dijadikan Pencipta kita sebagai kalifah di muka bumi-Nya ini. Tentu mereka boleh berfikir bernas bagaimana hendak menewaskan Petaling Juntai, sekiranya harimau itu mengganggu ketenteraman mereka..”
            “Ilham Allah turunkan kepada kita yang berotak kecil ini tentu  tidak sama dengan manusia menurut kejadian dan keupayaan kita.
            Pokok utamanya kita semua mesti bersatu hati untuk mengeluarkan Petaling Juntai daripada rimba kita ini.
            Kita tunggu keputusan arnab  samaada dia bersetuju menggalas tugas yang dicadangkan kepadanya.” Penghuni rimba yang sedang bermesyuarat memandang wajah arnab. Arnab merasa serba salah. Dia pun membuat keputusan  tidak mengecewakan kawan-kawannya.
            “Iyalah. Aku setujulah demi kebaikan kita semua. Mungkin hanya aku yang layak melakukan tugasan ini. Tapi tolonglah doakan keselamatan aku ya.”
            “Insya-Allah arnab. Kami sentiasa mendoakan keselamatan, kesejahteraan kau. Doa mereka yang teraniaya dimakbulkan Allah. Kami amat berbangga, kausanggup melakukan tugas ini.” Sang Kancil; mengungkapkannya lunak.meniupkan semangat agar arnab menjadi lebih berani.
            Hari yang ditentukan telah tiba. Penghuni rimba berlindung di sebalik rimbunan rimba memerhati arnab   di lorong laluan Petaling Juntai. Hanya Allah yang Maha Tahu,  kerisauan hatinya.
            Bimbang juga perancangan kawan-kawannya itu gagal dilaksana. Dan dia akan menjadi mangsa terkaman harimau ganas itu. Maka akan tamatlah riwayatnya,
            “Juntai dah datang tu,” beritahu kera sedang bergayut di pohon keranji kepada murai..
            “Biar aku terbang beritahu arnab.”
            Petaling Juntai gembira melihat arnab  terduduk lemah di bawah pohon berangan Seolah arnab bersedia menjadi rezeki sarapannya pada pagi ini. Perutnya pun sedang kelaparan.
            “Bersedialah kau arnab untuk menjadi sarapan pagiku.” Lalu dia hampiri arnab, menerkamnya. Arnab melompat pantas segera melarikan diri. Namun dikejar Pelaling Juntai tanpa henti.
            Akhirnya kedua-duanya sudah berada di perkampungan orang Temok. Arnab menyelinap dan sembunyi di sebalik semak di situ. Harimau belang itu tercari-cari  keberadaan arnab.  
            Petaling Juntai terpandangkan seorang gadis berlenggang sambil menjunjung kain basuhan di kepalanya. Mangsa sarapan paginya padanya jauh lebih lazat dan mengenyangkan. berbanding arnab yang diburunya sebelum ini. Pada anggapannya.
            Mulailah dia mengejar gadis itu pula. Seorang budak yang sedang menyumpit burung murai melihat kejadian itu. Segera dia berlari untuk mendapatkan pertolongan.
            “Ada gadis dikejar harimau.” Beritahunya termengah-mengah sebaik bertemu abangnya Itam.
            “Siapa?”
            “Rasanya dia orang Temok.”
“Petaling Juntai agaknya. Biar abang cuba  tolong. Kaupergi beritahu tok batin dan orang kampung. Bawa senjata dan sumpitan.” Igam segera berlari untuk menyampaikan pesanan abangnya kepada tok batin suku Semak Beri.
            Itam cuba menyumpit harimau itu dengan sumpitannya namun tidak mengena. Gadis suku Temok itu dalam ketakutannya, menyelamatkan dirinya  terjun ke dalam tasik Bera. Petaling Juntai turut terjun ke dalam tasik Bera itu. Kali ini sumpitan Itam mengenai sasarannya. Dia terus berenang sambil menyelam. Petaling Juntai tercungap-cungap kelemasan menahan bisa racun sumpitan Itam. Kini semakin tenggelam.
            Maka matilah Petaling Juntai yang dikenali dengan sikap sombong dan ganasnya selama ini kerana tamak dan menurut nafsunya semata. Arnab melihat kejadian itu dari sebalik semak samun tempatnya bersembunyi. Segera dia berlari pantas ke dalam  rimba kediamannya. Diiring murai yang terbang mengikutinya. Hasratnya untuk menceritakan apa yang telah berlaku kepada kawan-kawannya.

TAMAT







14 comments - "PETALING JUNTAI..."

Jari Manis delete icon 29 January 2018 at 16:21

Petaling Juntai nama seekor harimau rupanya...ingat si kucing yang sedap memetik guitar hihih

nohas delete icon 29 January 2018 at 16:33

mesti laju gadis orang asli Temok tu lari...comel arnab jd umpan..

PeRdU cINta delete icon 29 January 2018 at 18:10

Bersatu hati...bekerjasama sangat pentingkan kak PI..

Anonymous delete icon 30 January 2018 at 11:43

Assalaamu'alaikum wr.wb, Kak Paridah Ishak...

Didoakan akak selalu sihat dan bahagia. Seronok membaca cerpen kanak-kanak di atas, jika ada ilustrasi berwarna warni, ia lebih memikat hati terutama kanak-kanak. Nama harimau itu kiranya nama moden campur tradisional ya kak. Lucu dan mengasyikkan. Apakah ini termasuk dalam kumpulan cerpen akak ke ?

Salam manis dari Sarikei, Sarawak. :)

paridah delete icon 30 January 2018 at 14:39

TKSH JM...PETALING JUNTAI TU KISAH DONGENG SUKU SEMELAI YG MNGGANGGU KTNTRAMN KMPUNG ORG ASLI...KAK OLAH SIKIT CITENYA.

paridah delete icon 30 January 2018 at 14:43

TKSH NOHAS...HEH..HEH.DIKEJAR RIMAU MESTI LAJU LARINYA

paridah delete icon 30 January 2018 at 14:46

TKSH PC BERSATU HATI KRJASAMA MMG SGT PENTING

paridah delete icon 30 January 2018 at 14:56

WSALAM DIK CT FATIMAH..KAK DOAKN KBHGIAAN CTSEKELUARGA JUGA...CERPEN NI PENERBIT XLULUS UTK DIBUKUKAN..TAPI ADA DUA CERPEN KANAK2 KAK DIPILIH UTK ANTOLOGI CERPEN KANK2 AKAN DITERBITKN..MNULIS CERPEN KANAK2 NI XSTRES SGT NK FIKIR BHASA SASTERA

abuikhwan delete icon 30 January 2018 at 23:24

Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
menarik cerita kanak-kanak ini. Saya membaca dan menekurinya sehingga ke noktah yang terakhir. Cuma pada awalnya fikir saya Petaling Juntai tu nama orang asal. Rupa-rupanya seekor harimau. Apa pun moga akak sentiasa sukses dalam berkarya..

paridah delete icon 31 January 2018 at 15:52

WSALAM USTAZ..TKSH DOA KAK UTK USTAZ SEKELUARGA JUGA SHT N SJHTRA...MINAT JUGA CERPEN KANAK2 YA...KAK PUN SAMA SUKA BACA CERITA BUDAK2...YA PETALING JUNTAI NI NAMA RIMAU YG KONONNYA SEBABKAN UJUDNYA SUKU SEMELAI KERANA PENYATUAN SUKU TEMOK DAN SEMHABERI MELALUI PERKAHWINAN

Warisan Petani delete icon 31 January 2018 at 22:13

Si arnablah yang jadi heronya.

paridah delete icon 1 February 2018 at 13:31

TKSH WP...HEH..HEH..YELA TU ARNAB HERONYA.

Khir Khalid delete icon 1 February 2018 at 18:24

Bersatu hati adalah tunggak keharmonian, in shaa Allah.

dear anies delete icon 6 February 2018 at 15:57

kesombongan memang tak kan sesekali membawa keuntungan walau apa jua kedudukan yang disandang

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”