Sunday 12 February 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 15

ASSALAMUALAIKUM...

.CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 15 – TERLANTAR DI RUMAH SAKIT

Tidak berapa lama selepas aku ditembak, Tengku Jaafar telah datang bersama isterinya untuk melihat aku. Dia datang dari rumah isteri keduanya itu. Pada waktu itu Tengku Jaafar sudah tidak menjadi Penghulu di Salak lagi. Dia sudah bersara dari jawatannya. Dengan menggunakan lampu suluh, Tengku Jaffar telah menyuluh ke mukaku lalu bertanya, “Apa Othman buat datang ke mari?” “Aku ingat pencuri,” sambungnya lagi.
Aku mendiamkan diri. Tidak menjawab sepatah kata pun akan pertanyaannya. Isteri Tengku Jaafar iaitu ibu kepada Tengku Normah yang datang bersama telah memarahi adiknya Tengku Ahmad dengan berkata, “Kenapa orang pula yang ditembak? Sekarang apa akan jadi kita belum tahu lagi.”
Lebih kurang jam 5.00 pagi, Datuk Penghulu mukim Salak yang baru datang. Dia menghampiri aku lalu bersuara,”Kau yang kena tembak Man?”
“Kakiku Datuk. Datuk tolonglah tawarkan sedikit. Tidak tahan saya akan bisanya Datuk,” aku merayu pada Datuk Penghulu. Aku bersuara lagi,”Datuk tolonglah berikan saya sedikit air. Terlalu haus sangat rasanya.”
Datuk Penghulu pun meminta secawan air. Ada orang dari dalam rumah Tengku Jaafar yang memberikan air itu. Namun aku tidak tahu dan tidak nampak siapakah orangnya. Aku pun duduklah sambil minum air yang diberikan itu. Sementara itu Datuk Penghulu telah bertanya kepada Tengku Jaafar, “Pukul berapa dia kena ni?”
“Pukul 2.00 pagi,” cepat Tengku Jaafar menjawab.
“Lekas hantar budak ini ke hospital. Nanti mati pula dia,” sambung Datuk Penghulu.
Pada jam 6.00 pagi dua orang mata-mata dari Balai Polis Sepang telah datang. Mereka datang dengan sebuah bas kecil. Aku pun dinaikkan ke bas kecil itu untuk dibawa ke Hospital Besar, Seremban. Dalam perjalanan tersebut seorang mata-mata yang ada bersama aku telah bertanya untuk diambil keterangan. Keterangan bagaimana peristiwa itu boleh terjadi. Aku berkata kepada mata-mata tersebut, “Datuk saya tak boleh nak bercerita. Kaki saya tersangat sakit Datuk.” Mendengarkan kata-kataku mata-mata itu pun diamlah.
Bas kecil yang membawa aku terus dipandu meluncur laju menuju ke arah Seremban. Selepas sampai ke simpang Nilai ke Seremban, aku pun terlelap. Aku hanya tersedar dan terjaga apabila bas kecil itu berhenti betul-betul di hadapan Hospital Besar, Seremban. Kebetulan hari itu adalah Hari Minggu. Dari jauh aku terlihat seorang pembantu hospital. Orang biasa panggil pembantu hospital pada masa itu sebagai ‘Dresser’. Aku kenal pembantu hospital itu. Namanya Mohd Yusop. Kampungnya di Rembau. Aku pun terus melaungkan namanya. “Yusop!” kataku. Dia pun memandang ke arah aku yang sedang diusung keluar dari bas kecil tersebut. Dia terus datang menghampiri aku dan bertanya,”Apa kena?”
“Aku kena tembak,” jawabku pendek. “Sop, boleh tak tolong aku? Tolong talipon ke Kuala Sawah atau pun Mambau. Beritahu saudara mara aku, aku berada di Hospital Besar, Seremban.” sambungku lagi. Hanya itu sahaja kata-kata yang dapat aku sampaikan pada Yusop. Aku pun terus dibawa ke Wad 14. Wad Unit Pengawasan Rapi (ICU). Tempat merawat pesakit yang dalam keadaan tenat dan merbahaya. Aku dibaringkan di atas sebuah katil. Berhadapan denganku, di dinding, tergantung sebuah jam. Jam di dinding itu menunjukan waktu 8.00 pagi. Tidak lama selepas itu aku pun dibawa ke bilik pembedahan. Aku terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru yang tertanam di bahagian kakiku. Setelah aku dibaringkan di meja bedah seorang doktor telah datang untuk mengambil keterangan dariku. Doktor itu mengambil maklumat tentang nama aku, alamat anak isteri aku dan siapa ibu bapa aku. Setelah diambil maklumat doktor itu pun berkata kepadaku,”Kami hendak bius awak dan buat pembedahan. Adakah awak setuju atau tidak?”
Oleh sebab aku dalam kesakitan yang amat sangat aku pun mengakulah bersetuju. Bersetuju untuk dibius dan seterusnya dibedah. Apa yang ada difikiraanku pada masa itu adalah jikalau aku mati pun tak apalah. Aku bukan ditembak kerana menyamun atau merompak. Aku ditembak hanya kerana seorang perempuan. Aku tidak peduli apa yang Tengku Jaafar beritahu dalam laporannya kepada pihak polis. Tengku Jaafar menyangka aku seorang pencuri. Tidak mengapalah.
Setelah siap segala persiapan, doktor itu telah meletakkan suatu benda ke hidungku. Apabila aku menarik nafas maka berdesinglah telingaku. Bunyi desingannya semakin lama semakin kuat. Lalu doktor itu memegang tanganku dan merapatkannya ke badanku. Apabila aku rasakan pendengaran aku sudah tiada lagi aku pun membaca Dua Kalimah Syahadah. Aku baca perlahan-perlahan di dalam hati. “Asyhaduanlailahhailallah Waasyhaduanna Muhammaddarrasulallah.” Sebaik habis aku baca, aku pun sudah tidak sedar lagi.
Aku tidak tahu berapa lama aku dibedah. Apabila aku tersedar dan membuka mataku, aku melihat bahagian kanan kakiku, dari atas paras lutut hingga ke bawah sudah berbalut. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Aku terlihat akan dua orang mata-mata telah sedia berada di sisiku. Seorang mata-mata yang berpangkat Koperal bertanya kepadaku. “Sudah pukul berapa Othman?”
Oleh sebab terdapat sebuah jam tergantung di dinding di hadapan tempat tidurku itu, maka aku pun menjawab, “Pukul 12.30 tengah hari.”
Koperal itu menoleh kepada kawanya lalu berkata, “Dia dah sedar.”
“Sekarang bolehlah Othman beri keterangan pada saya. Bagaimana semuanya ini boleh terjadi. Ceritalah dari awal hinggalah Othman ditembak,” kata Koperal itu. Sambil Koperal itu mengambil buku catatanya dan bersiap-siap untuk menulis, aku pun duduk dengan menyandarkan bantal di belakang badanku. Aku pun ceritakanlah kisah itu dari awalnya sampailah ke akhir. Cerita sehingga aku ditembak oleh Tengku Ahmad. Apabila kedua-dua orang mata-mata tersebut hendak pulang sempat Koperal itu melepaskan kata-kata,” Tak apalah Othman. Itu memang kerja anak lelaki.” Aku hanya mampu tersenyum sahaja.
Waktu dari jam 4.00 petang hingga jam 7.00 malam adalah waktu yang dibenarkan oleh pihak hospital melawat atau menzirahi pesakit. Maka pada petang itu penuhlah di kiri-kanan tempat tidurku dan di tepi-tepi tingkap oleh saudara mara dan sahabat handaiku. Mereka semua datang untuk menziarahi aku. Ibu sadara dan Wan aku telah menangis apabila melihat kaki aku telah berbungkus. Isteri aku juga ada datang. Dia membawa bersama anak sulung kami Shaari. Setelah tamat waktu melawat mereka semua pun baliklah. Maka tinggallah aku seorang diri terbaring di dalam Wad 14 itu.
Setelah hampir empat bulan aku di Wad 14 aku pun dipindahkan ke Wad 4. Perpindahan Wad ini terpaksa dibuat. Ianya bagi memudahkan aku pergi dan balik untuk mencuci luka pembedahan dan bekas tembakan itu disetiap pagi. Sewaktu aku terlantar di hospital itu juga, anakku yang keempat telah dilahirkan. Aku namakan dia Mohd Nor.
Sewaktu aku berada di Wad 4 itu, aku sering sahaja diserang demam. Mulai dari waktu itu badan aku pun mula beransur menjadi kurus. Kulit badanku menjadi seakan-akan putih kerana kekurangan darah. Pada suatu hari datanglah bapa saudaraku. Keluarga aku memanggilnya dengan nama Pak Anjang Said. Dia telah memberi khabar kepada Kak Tehku, “Jikalau hendak dihadapkan mayat Othman bawalah dia pulang ke rumah.” Mungkin pada pandangan Pak Anjang Said aku pasti akan mati. Aku sudah tentu akan menemui ajal. Jadi pada suatu petang Kak Tehku telah datang menziarahi aku. Masa dia sampai aku sedang tidur kerana demam. Kerana demam sampaikan hendak makan pun aku sudah tidak berselera. Sudah tak lalu makan. Kak Tehku memanggil aku berkali-kali, “Man.. Man.. Abah datang dik.”
Mendengarkan suara itu aku pun tiba-tiba terbangun. Aku melihat ayahku datang. Inilah pertama kali dia datang. Dia menziarahi aku setelah hampir tujuh bulan aku terlantar di hospital. Tiba-tiba sahaja hatiku menjadi sebak. Aku menjadi amat hiba apabila melihat ayahku itu. Tanpa dapat ditahan-tahan aku pun menangis. Aku meraung sekuat-kuat hatiku. Sampaikan pelawat dan pesakit di Wad 2 dan 3 meluru datang berkerumun ke tempat aku. Ada yang bertanya, “Kenapa dengan dia?” “Pasal apa dia menangis?”
Kak Tehku menjawab, ”Tak ada apa-apa. Dia sedih ayahnya tidak pernah datang-datang menziarahi dia.” Setelah itu barulah semua orang faham. Mereka pun beredarlah balik ke Wad masing-masing. Setelah hampir tamat waktu melawat barulah ayahku dan Kak Tehku balik. Selepas ayah dan Kak Tehku pulang aku diserang demam lagi. Walaupun aku sering demam aku tahu aku belum akan mati lagi. Semasa aku terlantar di hospital kawan-kawanku dari dari Salak ada juga yang datang melawat aku. Kawanku seperti Abdul Rahman, Lebai Dolah dan Cikgu Mohd Din ada datang menzirahi aku.
Pada suatu hari, lebih kurang jam 1.00 tengah hari Kak Tehku telah datang melawat aku. Waktu itu aku sedang tidur kerana masih demam lagi. Kak Tehku menangis teresak-esak. Apabila aku mendengar suara orang menangis aku pun terjaga. Aku melihat Kak Tehku sedang mengest air matanya. Dia merenung ke mukaku lalu berkata,” Man.. abah suruh bawa kau pulang. Kau mahu tak dik?”
Lantas aku menjawab, “Kalau abah mengajak aku pulang, pulanglah aku. Kalau tidak biarkanlah aku tinggal di hospital ini.”
Kak Tehku masih menangis lagi. Dia menyambung lagi, ”Jikalau kau mati ketika di rumah abah nanti, tidakkah kau menyesal dik?”
“Ah!” kataku, “Kita sudah mati apa yang nak dikesalkan lagi.”
“Baiklah…,” sambung Kak Tehku. “Besok abang kita akan datang ke sini. Abang Andak akan memohon kebenaran dari doktor supaya kau boleh dibawa keluar dari sini.”
Pengarah Hospital pada masa itu bernama Doktor Rama. Dia berbangsa Jaffna. Setelah permohonan dibuat Doktor Rama telah membenarkan aku keluar dari hospital. Alasannya adalah aku ini seorang yang degil. Amat kuat melawan kata dan nasihat doktor. Semasa lebih lapan bulan lamanya aku terlantar di hospital memang aku akui sewaktu dirawati aku selalu berbalah dengan ‘Dresser’ yang merawat dan membersihkan luka di kakiku itu. Terutamanya mereka yang dari kalangan bangsaku sendiri. Pernah pada suatu ketika mereka mengejek aku dengan mengatakan kononnya aku gilakan seorang janda. Mereka kata kerana seorang janda awak merana. Kata-kata itu amat memanaskan telingaku. Terus aku berkata kepada mereka, “Encik, kalau perempuan itu janda atau yang lebih tua dari isteri saya, saya tak akan terpengaruh. Orang lelaki tak usahlah cuba nak berselindung diri dalam soal perempuan ini. Semua lelaki serupa. Oleh sebab saya yang kena encik bolehlah cakap begitu. Berkata sesuka hati encik untuk nak memburuk-burukan saya dan sakitkan hati saya.”
Namun begitu ada juga Dresser yang baik-baik. Biasanya yang berbangsa Cina atau Serani. Pernah juga aku bertengkar dengan doktor. Aku bertengkar sebab mereka hendak memotong kaki kananku yang tercedera itu. Mereka mencadangkan supaya dipotong paras lutut. Mereka memberi berbagai-bagai alasan supaya aku bersetuju. Tapi aku tetap nekad. Aku tidak mahu menerima alasan mereka. Aku menolak saranan mereka supaya kakiku dipotong. Atas sebab ini ramailah doktor yang marah denganku. Dikatakanlah kononnya aku ini jenis yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat. Aku juga pernah bertengkar dengan seorang doktor. “Doktor,” aku kata, “Dulu zaman datuk nenek moyang saya tidak ada doktor seperti sekarang. Orang semua pun mati juga. Tetapi sekarang sudah ada ramai doktor, masih ramai juga orang yang mati. Jadi apa kelebihan doktor itu?” soalku.
Kata-kata inilah yang telah membuatkan ramai doktor yang tidak suka melayani aku. Bila mereka sampai ke tempat aku, mereka akan memandang aku dengan pandangan yang hina. Ada ketikanya mereka mengatakan aku yang bukan-bukan. Semuanya itu aku tak hiraukan. Aku tak ambil peduli langsung. Pegangan aku hanya satu. Hanya Allah yang amat berkuasa di atas segala-galanya.
Setelah mendapat surat kebenaran aku pun keluarlah dari hospital. Kak Teh akulah yang membawa aku dari hospital hingga sampai ke setesen bas. Aku tidak terdaya untuk berjalan kaki. Maka terpaksalah aku berdukung di belakang Kak Tehku. Abangku terpaksa balik kemudian kerana hendak menguruskan perkara yang lain iaitu dengan pihak Balai Polis Sepang dan Mantin. Lebih kurang jam 6.00 petang aku pun sampailah ke rumah ayah ibuku di Bukit Jelutung. Aku terpaksa tinggal bersama ayah dan ibuku untuk berubat secara kampung pula.
Bersambung ke BAB 16 – BERUBAT DI KAMPUNG.

18 comments:

  1. Lama juga di hospital..lebih kurang tujuh bulan ya..

    ReplyDelete
  2. TKSH MAS...KAKINYA CEDERA TERUK TU

    ReplyDelete
  3. TQ SYED SLMT BERHUJUNG MINGGU

    ReplyDelete
  4. HEH..HEH..TQ WP SERING IKUTI KISAH NI

    ReplyDelete
  5. Salam & Happy Weekend ...

    ReplyDelete
  6. wahhhh . tq for the manuskrip .. ditelan zaman org kata .. hahhaha

    ReplyDelete
  7. lama gak dok hospital sampai berbulan2 :(

    ReplyDelete
  8. TKSH ARIL..YA MSKRIPLAMA SGT TU

    ReplyDelete
  9. TKSH HANA...YELA LAMA SUNGGUH TU

    ReplyDelete
  10. Nampak gaya zumal kena baca dari awal. hehe

    ReplyDelete
  11. TKSH ZUMAL..YA ZUMAL DH LAMA XSINGGAH TU YG TERTINGGAL JAUH

    ReplyDelete
  12. kalau sy pun mcm tu juga...sedih... mcm org x sudi je nak lawat kita ni... padahal anak sendiri kan bkn org lain

    ReplyDelete
  13. TKSH ANIES YELA TU DUK SPITAL NI KALAU XDE YG MELAWAT MMG SEDIH

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist