Monday 9 January 2017

MANUSKRIP LAMA...SIRI 2

ASSAALAMUALAIKUM..



CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 2
AKU JATUH CINTA
Lebih kurang setahun lamanya aku belajar di sana, harga getah telah jatuh. Aku mula merasa bosan tinggal di sana kerana sering ketiadaan wang. Kadang-kadang hingga dua bulan barulah ayahku mengirimkan wang dari kampung. Itu pun jumlahnya tidak mencukupi untuk aku berbelanja. Aku sering sahaja hidup kesempitan. Mungkin kerana itulah hatiku tiba-tiba teringin hendak pulang ke kampung halamanku. Jadi pada bulan Februari tahun 1927, dari Malim Nawar, aku pun bertolaklah balik ke kampungku.
Apabila aku sampai di rumah ayahku di Bukit Jelutung, aku dapati ada satu keluarga yang baru datang dari Beranang telah menetap di kampungku. Mereka berkerja dengan ayahku. Berkerja sebagai penoreh getah. Mereka semuanya seramai enam beranak. Tiga dari anaknya perempuan dan tiga lagi yang masih kecil adalah lelaki. Anaknya yang tua bernama Inchum. Umur Inchum pada masa itu lebih kurang 13 tahun.
Dalam perjumpaan dari hari ke sehari itu ianya telah membuatkan hatiku terpikat pada gadis ini. Maka aku pun mulalah memasang cita-cita hendak berkahwin dengannya. Hendak menjadikannya sebagai isteriku. Tetapi sayangnya pada masa itu aku tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Aku hanya bekerja sebagai penoreh getah di tanah kebun getah ayahku. Kebun getah itu tidak jauh letaknya dari ladang tempat keluarga Inchum menoreh.
Anak-anak keluarga yang baru berpindah ini semuanya memanggil aku dengan panggilan Uda. Ia adalah mengikut pangkat panggilan untuk diriku dalam adik beradik aku. Dalam adik beradikku, sebagai anak yang ke lima, aku berkedudukan yang Uda mengikut susunan panggilan dalam keluarga. Tiga bulan selepas aku balik menetap di kampung dan tinggal bersama ayahku, Inchum dan keluarganya telah berpindah. Mereka berpindah dari tempat tinggal asal mereka di rumah kedai ayahku di Bukit Jelutung ke Kampung Belangkan. Jauhnya tempat itu adalah lebih kurang setengah batu dari rumahku. Oleh kerana jaraknya yang dekat dengan rumah ayahku, maka mudahlah dan selalu sajalah aku pergi ke rumahnya. Aku akan ke rumah Inchum setiap kali aku tinggal berseorangan. Kalau di malam hari pun, aku selalu juga pergi ke rumah Inchum. Ini adalah disebabkan ayah Inchum ini suka bercerita. Suka menyampaikan cerita tentang hikayat-hikayat lama. Setiap satu cerita hikayat itu sampai tiga malam baru habis diceritakannya. Antara cerita hikayat yang aku masih ingat benar ialah Hikayat Cenderamata dan Kisah Pagar Ruyung. Kadang-kadang aku akan berada di rumah Inchum hingga larut malam. Hanya selepas mendengar cerita dari ayah Inchum baru aku balik ke rumahku.
Dari hari ke hari, meningkat kebulan dan dari bulan terus ketahun, kasihku kepada Inchum semakin menebal dan berkembang. Ia menebal dan berkembang kerana telah disirami oleh titis kasih sayang dari Inchum juga. Aku tidak bertepuk sebelah tangan. Aku rasa inilah yang dinamakan kasih sejati. Pada masa itu tidak ada sesiapa atau sesuatu yang lain yang aku kasihi di dunia ini melainkan Inchum seoranglah. Begitu jugalah perasaan Inchum terhadap aku. Kalau aku tidak datang ke rumahnya, pasti dia akan menyuruh adiknya mencari aku. Apabila adiknya terjumpa aku, adiknya akan beritahu aku, "Uda, Kak Long suruh datang rumah".
Hari dan musim berlalu cintaku pada Inchum terus hidup subur dan berkembang. Seolah-olah bagi kami tiada suatu apa pun yang boleh atau dapat memisahkan kami berdua. Orang-orang kampung juga beranggapan sedemikian. Bahawa Inchum sudah pasti akan menjadi miliku dan berkahwin denganku.
(Bersambung ke BAB 3 - MERAJUK MEMBAWA DIRI)

6 comments:

  1. "kanda yang malang" ., huhu2 hebat cerpen ni kakPah kann.,
    kakPah tulis balik dari tulisan jawi tuuh?

    ReplyDelete
  2. tksh wak...manuskrip lama warisan keluarga pak engku tu. pak engku menulisnya demula.

    ReplyDelete
  3. Boleh tahan betul Pak Ungku ni kan PI hihi...
    Inchum pun sama juga baru 13 tahun kalau kita tak tahu apa lagi kan
    Budak dulu cepat matang:)

    ReplyDelete
  4. TKSH KAKZAKIE..INI MANUSKRIP YG DITULIS AYAHANDA PAK ENGKU..KISAHNYA BERLAKU LAMA DAHULU.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Kisah yang sangat menarik dan memberi motivasi. Tetapi saya lebih terkesan dengan tulisan jawinya itu...memang hebat orang lama

    ReplyDelete
  6. WSALAM DIK USTAZ...TKSH DOANYA...ORG LAMA MAHIR TULIS JAWI KAN..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist