بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 5
KAHWIN PAKSA
Pada suatu petang, di awal tahun 1930, Inchum telah lari dari rumah kerana dipukul oleh ibunya. Dia telah datang ke rumahku. Selama lima hari aku letakkan dia tinggal di rumah kakakku Kak Teh Lembik. Aku tinggalkan dia di situ kerana aku tahu ibuku tidak setuju Inchum bernikah dengan aku. Pada hari kelima dia tinggal di rumah Kak Teh Lembik, ayah Inchum telah datang mengajak Inchum pulang. Inchum enggan pulang. Dia telah memberikan kata dua, jikalau tidak dinikahkan dengan aku, dia tak akan mahu pulang.
Aku pujuk dia dengan berkata, "Telah lima hari kau di sini Chum. Marilah Uda hantarkan kau pulang. Soal kahwin kita selesaikan di belakang."
Pada waktu yang sama aku terdengar suara ibuku menjerit-jerit menghalau Inchum supaya balik. Pada hari itu juga, jam 8.00 malam aku bawalah Inchum balik ke rumah ayah dan ibunya. Dan soal perkahwinan kami terhenti di situ sahaja.
Dua minggu kemudian, sedang aku menaiki basikal, Inchum telah sedia menunggu aku di tepi jalan. Dia menyuruh aku berhenti dan turun dari basikalku. Aku pun turun dan terus mendekatinya. Aku lihat air mukanya muram dan seakan-akan tidak bermaya. Dia membelek-belek hujung kaki baju yang dipakainya. Sekali-sekali Inchum menyapu air matanya. Air mata yang telah mula mengalir keluar dan jatuh di pipinya.
Terus aku bertanya, "Kenapa Chum?" "Engkau dimarah atau dipukul oleh ibumu lagikah?"
"Tidak!" jawabnya pendek. "Uda," sambungnya lagi, "Sejak umur Chum 13 tahun, telah sekian lamanya kasih Chum, Chum tumpahkan buat Uda. Chum menyimpan harapan agar dapat mendirikan rumah tangga bersama Uda. Rupa-rupanya harapan Chum itu telah hancur musnah."
Sambil mengesat air matanya Inchum bersuara, "Chum akan dikahwinkan malam esok, Uda," katanya. Inchum terus tunduk dan berlalu pergi. Lesu dan longlai kelihatan tubuh badannya. Aku terus bingung apabila mendengar kata-kata Inchum itu. Tidak tahu apa yang hendak aku buat. Setelah dia berjalan beberapa langkah, Inchum datang semula kepadaku dan berkata, "Uda jangan ke mana-mana ya! Chum akan pulang balik ke rumah malam besok. Uda datang ke rumah ya?" Kemudian dia pun berjalan pergi meninggalkan aku. Aku dalam keadaan yang masih termangu-mangu.
Selepas Inchum hilang dari pandanganku, aku pun pulang ke rumah Kak Tehku. Sesampai di rumah Kak Tehku, aku terus bertanya padanya dengan siapa Inchum akan dikahwinkan. Dari penerangan Kak Tehku barulah kuketahui bahawa Inchum akan dikahwinkan dengan seorang yang bernama Mat Ramin. Mat Ramin adalah seorang mata-mata yang bertugas dan tinggal di Setesen Polis, Mambau. Aku kenal dengan mata-mata ini kerana dia pernah datang ke rumahku. Dia datang untuk berubat dengan ayahku. Mengubatkan isterinya yang rabun selepas bersalinkan anaknya. Mat Ramin sendiri pun tahu bahawa Inchum adalah kekasih aku.
Perasaan geram dan bengis di hatiku mulalah timbul. Sambil aku memikirkan hal ini, hati kecilku berkata, “Elok aku bunuh sahaja mata-mata ini”. Kak Tehku tahu akan perasaanku masa itu.
Maka ia pun berkata, "Biarlah Man. Kau anak jantan, dik! Jangan buat bodoh. Perempuan lain banyak di dunia ni dik"
Selepas bertemu dengan Kak Tehku aku terus pulang ke rumah. Ayah dan ibuku tiada di rumah Masih berkerja di sawah. Hanya adikku yang bongsu bernama Kalthum sahaja yang ada di rumah ketika itu. Aku masuk ke dalam bilik untuk mengambil senapang ayahku. Senapang laras dua. Aku buka dan pasangkan semula senapang itu. Aku acu-acukan dan arahkan ke luar rumah. Hatiku berkata, “Akan kutunggu masa dia lalu untuk ke rumah pengantin perempuan pada hari perkahwinannya nanti”. Rumah tempat dia akan kahwin itu di Ulu Belangkan. Jalannya melalui hutan! Berhampiran dengan rumah emak saudaraku!
Adiku Kalthum terdengar senapang itu aku main-mainkan. Dia pun berkata, "Apa buat tu Uda? Jangan buat tak tentu. Mati orang, mati awak."
Iya, benar juga kata adikku itu. Setelah sejam aku bertafakur, fikiranku pun datang. Hatiku berkata, "Kalau aku bunuh Mat Ramin ini aku akan ditangkap dan disiksa. Kekasih aku akan tetap tinggal juga. Apalah faedahnya. Apalah gunanya."
Selepas itu aku pun bertukar pakaian. Kuberi tahu Kak Tehku bahawa aku hendak ke rumah abangku Abdul Rahman di Kampung Bemban. Sesampai aku di Kampung Bemban aku dapati kebetulan abang aku ada di rumah. Setelah duduk berbual, aku pun memberi tahu padanya yang Inchum akan dikahwinkan pada esok harinya. Niat hatiku hendak menuntut bela pun aku ceritakan padanya. Abangku memberi nasihat kepadaku supaya bersabar.
"Malam esok kau datang ke mari. Kita pergi ke Port Dickson", katanya. Maka lapanglah sedikit akan fikiranku apabila mendengar kata-katanya.
Pada petang esoknya, dengan berbasikal seorang satu, aku berdua bertolak ke Port Dickson. Kami sampai pada jam 5.00 petang, setelah minum secawan kopi setiap seorang di pekan Port Dickson, kami pun bertolak ke pantai Batu 4, Teluk Kemang pula. Di bawah sepohon pokok ru aku sandarkan basikalku. Aku berjalan-jalan di pesisiran pantai yang pasir putih terbentang. Berkilat-kilat apabila disinari oleh cahaya bulan. Cuaca sangat baik pada malam itu. Tenang dan damai. Aku duduk di tepi pantai merenung bulan. Hatiku melayang balik ke rumah dan teringat akan segala peristiwa yang telah berlaku. Air mataku mulai menitis di pipiku. Hatiku berkata, "Inilah penderitaan hidup jikalau tidak mempunyai harta!"
Abangku duduk jauh dariku. Dia tahu akan perasaanku pada masa itu. Angin malam bertiup tak henti-henti. Badanku terasa sejuk. Tanpa disedari rupanya jam di tangan abangku telah menunjukkan tepat pukul satu malam.
Tiba-tiba abangku memanggilku, "Man, hari sudah jam satu. Kita baliklah ya!" Abangku tahu aku sedang dilambung perasaan sedih dan kecewa. Suatu penanggungan yang amat berat. Dengan badan yang lesu, aku bangun untuk mengambil basikalku. Kami pun terus keluar ke jalan raya dan mengayuh basikal untuk pulang ke rumah abangku di Kampung Bemban. Sampai ke rumah waktu sudah jam 4.00 pagi. Aku pun naik ke rumah dan tidur. Esoknya aku balik ke Bukit Jelutung. Aku tidak singgah di rumahku. Sebaliknya aku terus ke Kuala Sawah untuk menghiburkan hatiku.
Setelah petang aku pun balik kerana hendak melihat Inchum. Betulkah dia sudah pulang balik ke rumahnya atau dia tidak menepati janjinya? Sebaik aku sampai di hadapan rumahnya, Inchum sudah sedia menunggu aku. Setelah dekat dia memberi isyarat meminta aku datang pada malam hari nanti. Aku tidak pulang ke rumah tetapi singgah di rumah Kak Tehku untuk menanti hari malam. Lepas makan aku pun turun dari rumah kakakku itu menuju ke rumah Inchum. Ada orang di serambi rumahnya. Aku teruske belakang rumah. Aku dapati Inchum sudah duduk di pelantar menunggu aku.
Sebaik aku dekat, aku pun bertanya pada Inchum. "Di mana suamimu?"
"Dia kerja", jawabnya pendek.
"Siapa di serambi tu?" soalku lagi.
"Itu Pak Andak Harun", katanya.
Sekejap-sekejap kami dijenguk oleh adiknya Noriah. Noriah yang aku panggil dengan nama Ainon atau Non saja. Aku berbual-bual dengannya hingga jam 11.00 malam dengan tidak menyentuh hal perkahwinannya yang baru sahaja berlalu satu malam. Sesudah aku memberi tahu aku hendak pulang, dia berkata,
"Tidur sinilah. Mat Ramin kata dia tak balik."
Permintaan ini tidak dapat aku tunaikan kerana dia telah menjadi isteri orang. Setelah aku menolak permintaannya itu ia pun berkata, "Uda, tunggulah ya, tak lama lagi Chum cerai?"
Bila aku mendengar kata-kata itu aku pun bertanya, "Mengapa? Apa sebabnya baru sehari kahwin dah cari hal?"
"Uda fahamlah kerana aku isteri yang ke tiga", jawabnya.
Sungguh kasihan aku mendengarnya. Aku beri nasihat padanya. "Chum, bersabarlah. Nanti apa pula akan dikata orang. Ia akan membabitkan nama Uda nanti dalam perceraian ini. Dan kalau Chum nak kahwin dengan Uda pun, belum tentu juga. Ini suamimu, orang berkerja. Untung-untung Chum akan senang kemudian nanti."
Dalam aku berkata-kata itu, kulihat air mata Inchum membasahi pipinya. Berkilat-kilat disinari cahaya bulan. Aku bertanya padanya, "Kau menangis Chum?" Ia diam.
"Sudahlah..", pujukku. "Jagalah diri baik-baik sebagai isteri kelak."
Tiba-tiba dia berkata. "Uda..", katanya, "Uda kasih tak lagi pada Chum?"
"Kasih..", kataku. "Tuhan sahajalah yang mengetahuinya. Chum, kau kucintai sejak dari kecil lagi. Namun kerana wang kita tidak dapat hidup bersama. Ayahmu berkehendakan wang. Sedangkan ayahku tidak dapat mengadakannya. Dan aku puntidak mempunyai pekerjaan."
"Ayahku sanggup memberi seberapa yang terdapat. Tetapi ayahmu menolak."
Inchum memotong percakapanku.
"Tak apalah Uda. Seminggu lagi Chum akan bercerai. Percayalah!" katanya. Selepas itu aku pun meminta diri untuk pulang kerana hari telah larut malam. Dia membenarkan. Aku melangkah berjalan untuk balik ke rumah Kak Tehku.
Seminggu telah berlalu. Pada suatu petang, aku berjumpa Inchum di tepi jalan. Dia balik dari kedai. Dia tersenyum-senyum.
"Sekarang Chum dah bebas", katanya.
Aku berpaling padanya dan berkata, "Apa?"
"Aku telah bercerai semalam dengan talak satu. Sekarang aku bebas. Tak ada siapa-siapa yang boleh ganggu Chum lagi," balasnya. "Uda jangan lupa datang ke rumah malam nanti ya? sambungnya lagi.
"Baiklah..", jawabku rengkas.
Pada malam itu aku pergi bersama abang Lakin ke rumah Inchum. Sebaik aku tiba di rumahnya, ayah dan ibunya menyuruh aku berdua naik. Mereka suami isteri tidak menunjukkan perubahan apa-apa. Walaupun aku tidak berkahwin dengan Inchum. Keadaan seperti biasa juga.
Ayahnya mula memecahkan sunyi malam dengan berkata, "Man, bapak sekeluarga akan berpindah nampaknya. Lebih kurang seminggu lagi."
Dengan pantas aku bertanya, "Ke mana bapak nak pindah?"
"Bapak telah memohon tanah lesen di Kuala Sawah. Di Batu Sembilan. Kalau duduk di sini pun menompang di tanah orang. Lebih baiklah tanah milik sendiri, kan?", katanya.
“Benar kata bapak”, jawabku. " Jadi bilakah hari yang bapak akan berangkat pindah?", sambungku lagi.
"Boleh jadi pada minggu depan", katanya. "Hendak menyiapkan tempat di Kuala Sawah itu dulu", sambungnya.
Pada hari yang ditetapkan kucarilah sebuah kereta lembu untuk memuatkan barang-barangnya. Pada tengah hari itu bertolaklah mereka dari Kampung Belangkan. Aku mengikutinya dari belakang. Inchum telah menjadi janda. Hasrat hatiku untuk memperisterikannya masih ada. Lalu aku akan menemui ibuku untuk meminta izin darinya.
Pada suatu hari aku berkata pada ibuku, "Bu, izinkanlah saya berkahwin dengan Inchum. Dia janda pun tak mengapalah."
Ibuku telah menjawab dengan pendek sahaja. Katanya "Kalau kau kahwin juga dengan betina itu aku tak akan mengaku kau anak lagi."
Apalah dayaku. Ibarat memakan buah kepayang. Hendak kutelan mabuk, hendakku buang sayang! Cita-citaku tidak kesampaian. Akibat halangan dari ibu yang kukasihi itu, aku pun berhasrat untuk meninggalkan rumahku. Aku mahu pergi jauh membawa nasib diriku.
(Bersambung ke BAB 6 - TAKDIR MENIMPA LAGI)

5 ulasan - "MANUSKRIP LAMA SIRI 5.."

nadhie wueen delete icon 14 Januari 2017 6:37 PTG

sangat kreatif berkarya :)

paridah delete icon 14 Januari 2017 10:28 PTG

tksh nadhie karya org dulu unik n indah

Warisan Petani delete icon 14 Januari 2017 11:35 PTG

Kisah percintaan tragis yang tak kesampaian.
Kisah sedih yang biasa kita dengar/baca pada cerita2 dulu2.

paridah delete icon 15 Januari 2017 11:50 PG

TKSH WP ..INI MMG KISAH CINTA DULUL2

dear anies delete icon 18 Januari 2017 12:20 PTG

oh...guna lagi kereta lembu? ;-)

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”