Monday 30 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 12...

ASSALAMUALAIKUM..


SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 12
TAK JERAN PELANDUK DIABU

Agak susah juga hendak kuberikan suratku itu pada Tengku Normah. Dua hari aku berulang alik ke pekan Salak. Tengku Normah tiada langsung kelihatan di bawah anjung rumahnya. Khabar dari kawan-kawanku mengatakan bahawa Tengku Normah telah dibawa pergi ke Kampung Manggis oleh Tengku Said. Dia dibawa pergi ke rumah emak saudaranya.
Jadi pada suatu hari minggu aku telah pergi ke Pekan Sari. Pekan Sri yang terletak di pekan Salak. Waktu akan pergi aku melalui jalan di hadapan rumah Tengku Normah. Maka tampaklah olehku akan Tengku Normah sedang berada di bawah anjung rumahnya. Semasa aku balik, aku campakkan surat itu ke dalam pagar rumahnya. Tengku Normah nampak akan perbuatanku. Aku lihat dia turun dari anjung rumahnya. Tanpa memerhatikannya lagi aku pun terus balik ke rumahku di Bhutan Estate.
Esoknya aku tidak pergi ke pekan Salak. Pada hari itu aku sibuk dengan urusan kerja. Enjin pam air telah dibuka semuanya untuk dicuci dan dibersihkan. Pada petang harinya datanglah seorang budak ke rumahku. Dia datang dengan menaiki basikal dari pekan Salak. Budak itu memberikan kepadaku sekeping surat. “Surat dari Tengku Normah,” kata budak itu. Selepas makan malam barulah aku buka dan membaca isi kandungan surat Tengku Normah itu. Suratnya itu berbunyi....
Kandaku yang dikasihi,
Surat kanda telah dinda baca dengan linangan air mata. Kasihan dinda mendengarkan rintihan hati kanda. Rupa-rupanya kanda telah jatuh sakit dilamun rindu. Wahai kanda, baru saja dua minggu kita berpisah, jiwa kanda telah dilanda resah gelisah. Apakah akan jadinya nanti jika sebulan atau setahun masa akan berlalu.
Oh kanda, betapa pedihnya hati kanda, pedihlah lagi hati adinda. Setelah kejadian malam itu kita jadi terpisah. Dinda telah dihantar oleh Tengku Said ke Kampung Sungai Manggis. Hendak pun dinda menentang kehendaknya, dinda takut akan bertambah marah dan ganas jadinya Tengku Said nanti. Oleh sebab itu juga, kakak-kakak dinda, menyuruh dinda menurut sahaja kehendaknya. Kata kakak-kakak dinda, “Tak apalah hanya untuk sehari dua sahaja. Lepas itu Normah bolehlah balik ke sini.”
Sesampai dinda di Sungai Manggis dunia ini terasa gelap adinda pandang. Adik-adik saudara dinda pun ada yang bertanya pada dinda kenapa dinda kelihatan sugul. Tidak kelihatan riang. Dinda menjawab dengan mengatakan bahawa badan dinda tidak berapa sihat. Setelah lima hari di sana, dinda telah meminta ibu saudara dinda menghantarkan dinda balik ke Salak. Dinda tahu pada hari minggu akan ada Pekan Sari. Dan dinda percaya kanda pasti akan keluar ke Pekan Sari itu.
Kekanda,
Janganlah kanda menyesali peristiwa terjumpanya kanda di dalam bilik dinda oleh Tengku Said itu. Ianya bukan bererti kakak-kakak tidak menjaga keselamatan kanda. Sebenarnya Tengku Said ternampak akan bekas tapak kaki kanda. Waktu kanda naik melalui tingkap serambi malam itu, bekas tapak kaki kanda yang basah itu terus ke tengah rumah. Tengku Said menaruh syak wasangka bahawa kekanda sedang berada di dalam bilik.
Buat diri dinda, apalah daya dinda diwaktu itu. Seluruh tubuh badan dinda berasa seram sejuk. Badan adinda terasa begitu lemah sama sekali. Dalam hati dinda berkata, "Akan terkorbanlah seorang pemuda di rumahku kali ini!" Itulah sebabnya adinda menangis di malam itu. Tetapi setelah dinda mendengar pengakuan kanda yang kanda tidak akan boleh dipengapa-apakan, agak tenang dan lapanglah hati dinda. Dinda tahu dan kakak-kakak dinda pun tahu bagaimana perangainya Tengku Said. Tetapi kakak-kakak dinda hairan akan perubahan sikap Tengku Said pada malam itu. Kakak-kakak dinda percaya kanda mesti mempunyai banyak ilmu di dada.
Kanda kini telah belayar dalam biduk percintaan di lautan kasih. Pandulah biduk kanda ke halaman rumah dinda. Akan dinda sambut dengan ke dua-dua belah tangan. Akan dinda sambut dengan hati dan jiwa yang tenang dan damai. Kanda janganlah takut jika kakak-kakak dinda tidak akan membenarkan kita bertemu. Itu tidak mungkin terjadi. Selagi mereka sayangkan dinda, pasti mereka akan dituruti segala hasrat hati dinda.
Dinda berharap hanya kepada kanda sajalah. Berharap kanda akan menepati kata-kata dan janji yang telah kanda buat. Dinda sentiasa menunggu kehadiran kanda! Ketuklah dinding bilik tidur dinda dan dinda akan turun. Usahlah kanda ragu-ragu akan kasihnya dinda kepada kanda. Kalau kanda mengubati hati kanda yang rindu dendam dengan kain batik pemberian dinda, dinda pula menghilangakan rasa rindu dendam dengan melihat segala pakaian kanda yang ada pada dinda. Di masa akan datang, kalau kanda ingin menemui dinda berhati-hatilah demi untuk keselamatan diri kanda.
Dari dinda,
Normah.
Pada suatu hari aku telah terpaksa pergi ke pekan Salak. Ada latihan sandiwara yang terakhir pada petang hari tersebut. Sandiwara ini akan dipentaskan pada malam hari Temasya Sukan, Sekolah Melayu Salak Tinggi iaitu sedikit hari berikutnya. Judul sandiwara itu ialah 'Telaga Raya'. Aku sendiri jadi pembawa cerita atau Pengarahnya. Di samping itu aku dibantu pula oleh ramai pelakon. Di antaranya termasuklah Tengku Said sendiri. Aku berlakon sebagai Raja Muda dengan pakaian kain layang. Semacam mana yang selalu terdapat dalam cerita bangsawan dahulu kala.
Pada malam itu Tengku Wok dan kakak-kakaknya ada datang melihat persembahan sandiwara itu. Namun kelibat Tengku Normah tiada kelihatan. Lebih kurang jam 10.30 malam cerita sandiwara ini pun tamat. Sambil berehat aku pun duduklah berbual-bual dengan kawan-kawanku di kalangan pelakon semuanya. Setelah jam 11.00 malam, aku pun pergi ke rumah Abdul Rahman. Kebetulan pula rumahnya berdekatan dengan sekolah itu.
Ibu Abdul Rahman adalah seorang ibu yang baik. Dia pernah menasihati aku supaya jangan lagi mendampingi anak raja itu. Tetapi aku tidak dapat menuruti akan kata-kata nasihatnya itu. Setelah diberi minum secawan kopi pahit oleh ibu Abdul Rahman, aku pun beredarlah dari rumahnya. Aku terus pergi ke rumah Tengku Normah. Setelah sampai, aku berilah isyarat pada Tengku Normah dengan mengetuk dinding bilik tidurnya. Dalam seketika terdengar olehku pintu bilik dibuka. Tak berapa lama selepas itu, Tengku Normah pun datang membuka pintu bilik dapurnya. Aku dibawa masuk ke dalam bilik belakang. Masih dengan pakaian wayangku sebagai Raja Muda dalam sandiwara tadi.
Mendengarkan aku datang, wah! dengan serta merta kakak-kakak Tengku Normah bangun. Mereka menerpa masuk ke bilik belakang. Bilik di mana Tengku Normah dan Tengku Wok tidur. Mereka berkata, "Raja Muda datang."
Apabila mereka ramai-ramai mengelilingi aku, aku jadi kebingungan. "Sudahlah," kataku. "Pergilah semuanya tidur. Raja Muda hendak beradu," sambungku lagi.
Mereka semua ketawa. Setelah mereka semua keluar, aku berdua bersama Tengku Normah duduk minum air kopi yang telah tersedia dibuatnya terlebih dahulu. Seolah-olah dia tahu bahawa aku akan datang pada malam itu. Sambil minum kami berbual-bual. Aku telah bertanya pada Tengku Normah.
"Normah.....," kataku.
"Iya...," jawabnya pendek.
"Apalah sudahnya kasih kita ini?" sambungku.
Dengan menundukkan kepalanya Tengku Normah menjawab,"Tak tahulah... Sekiranya kanda mahu marilah kita lari kerana sekiranya di sini kita tidak akan dapat kahwin. Ini barang-barang kemas Nor. Kanda ambil dan gadaikanlah. Setelah siap nanti beri tahu Nor. Kita lari ke Tanah Seberang!" Dia berkata sambil menghulurkan sebuah pot.
Aku ambil dari tangan Normah pot yang berisi barang-barang kemas dari emas perhiasannya. Tidak kurang lima kati beratnya. Aku enggan mengambil dan menggadaikannya.
"Nantilah Nor, akan kanda fikirkan dahulu," kataku sambil memberikan pot yang berisi emas itu kepada Tengku Normah. Setelah hari hampir akan pagi aku dibawa keluar dari bilik Tengku Normah. Aku pun terus pulang ke rumahku di Bhutan Estate. Selepas pertemuan di malam itu aku sering juga ke rumah Tengku Normah. Biasanya hanya di waktu malam hari. Masanya tidak menentu. Normah tidak boleh mendengar suaraku. Bila dia tahu aku datang dia akan turun dari rumahnya serta-merta. Maka terpaksalah Tengku Wok berwaspada. Takut kalau-kalau ditanya oleh orang-orang yang ada di rumah itu ,"Siapa buka pintu?" dan "Apa buat di luar tu?" atau sebagainya. Semuanya akan terpaksa dijawab oleh Tengku Wok. Kini kakak-kakak Tengku Normah telah menggelarkan aku 'hantu'. Aku bukan manusia! Di waktu malam saja datang menjelma.
Pernah kakak Tengku Normah melihat Tengku Said duduk mengendap di bawah rumah sejak waktu senja lagi. Tujuannya untuk menanti dan memerangkap aku. Selalunya bila Tengku Said naik ke serambi, tak beberapa saat selepas itu, aku pun akan sampailah. Ada juga pada ketika-ketikanya, sebaik sahaja Tengku Said menutup pintu, aku pun telah berada di bawah rumah. Kakak-kakak Tengku Normah berasa amat takut jika peristiwa lama terjadi kembali. Peristiwa aku ditangkap oleh Tengku Said dahulu sewaktu berada di dalam bilik Tengku Normah.
Pada suatu ketika satu temasya telah di adakan di Sepang. Ianya bersempenaan dengan perayaan Pertabalan Sultan Selangor. Berbagai acara dan permainan telah diadakan selama tiga hari tiga malam. Termasuklah segala jenis perjudian. Pada suatu malam, setelah tamat perayaan, aku telah pergi ke rumah Tengku Normah. Sebaik berada di sampingnya, Tengku Normah telah menangis. Dia menyembamkan mukanya ke pahaku. Aku bertanya, "Kenapa Nor?"
Dalam esak tangisnya itu Tengku Normah memberitahu aku bahawa barang-barang kemasnya yang satu pot penuh itu dulu telah habis semua sekali terjual. Dijual oleh ayah Tengku Normah sendiri. Ianya berpunca dari ayah Tengku Normah yang telah kalah dalam perjudian di hari perayaan tempoh hari. Tengku Normah kelihatan teramat sedih.
"Sudahlah Nor," kataku. "Itu adalah harta pencarian ayah Normah. Biarlah dia yang menghabiskannya."
Ayah Tengku Normah bernama Tengku Jaafar ini adalah kerabat di Raja Kelang. Dan menjadi Datuk Penghulu di Salak ini. Dia seorang yang kuat berjudi. Banyak harta dan wang ringgitnya dihabiskan dengan sifat buruknya itu. Dia sering kalah dalam perjudian. Inilah yang menyebabkan dia sentiasa berada di dalam kesusahan dan kesempitan wang.
Bersambung...... Bab 13 - BERHENTI KERJA DAN BALIK KE KAMPUNG

14 comments:

  1. Tinggalkan baju atau kain sebagai penawar rindu tu sampai sekarangkan kak PI ianya masih dikekalkan.Rupanya sedari dulu ianya bermula.

    ReplyDelete
  2. saya membacanya..adakah kasih begitu dizaman ini...sekarang kadang2 orang berkasih kita tak tahu hatinya kadang2 ada diduakan,malangnya si gadis begitu mencintai,lelaki kadang-kadang bukan matanya sahaj tidak tertumpu pada yang satu,hatinya juga berpenjuru..kasihan jika ada gadis yang menemui cinta sebegitu...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Menyambung kembali bacaan manuskrip lama. Cuma saya tidak maksud tajuk 'diabu'

    ReplyDelete
  4. apa kabar PI..
    moga sihat2 hendaknya

    ReplyDelete
  5. TKSH PC..CARA LAMA YG MSH DIAMALKAN HINGGA KINI...

    ReplyDelete
  6. TKSH IRDA...CINTA YG DIRASAI SUKAR DIFAHAMI XKIRA MASA N SITUASINYA

    ReplyDelete
  7. WSALAM DIK USTAZ TKSH DOANYA...NTAH APALAH MAKSUDNYA..PERBIDALAN LAMA NI SUSAH JUGA NK FAHAM HEH..HEH..

    ReplyDelete
  8. TKSH CALRASE PATRIK..MENARIK KISAHNYA NI

    ReplyDelete
  9. TKSH KAM..KAK OK JE MOGA KAM N FMLY JG SHT SJHTRA HNDAKNYA

    ReplyDelete
  10. TKSH MKL INSYAALLAH...MOGA MKL N FMLY JUGA SHT SJHTRA

    ReplyDelete
  11. Othman... Othman......
    Dh tak ingat anak bini dek penangan cinta Normah.

    ReplyDelete
  12. pewrgghhh brg kemas je berat 5 kati kaya betul tu hehehe

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist