Friday 28 October 2016

JANGAN RISAU APA-APA

ASSALAMUALAIKUM...

 SALAM JUMAAT MULIA


Jangan risau tentang dunia
Kerana itu urusan Allah
Jangan risau tentang rezeki
Kerana itu dari Allah
Jangan risau tentang masa depan
Kerana itu adalah kekuasaan Allah
Yang harus di risaukan adalah ...
Bagaimana mendapat Redha Allah
Orang orang yang menjadikan Redha Allah sebagai tujuan dalam hidupnya tidak mungkin dapat di simpangkan dari jalan yang benar kerana mereka sangat yakin bahawa kenikmatan jannah yang Allah janjikan tidak dapat di kalahkan olih kenikmatan duniawi

Wednesday 26 October 2016

SYAIR MAWAR

ASSALAMUALAIKUM...


Syair mawar bersama diperi,
mekar di pohon cantik berseri,
walau keliling dipenuhi duri,
namun itulah gambaran diri.

Mawar cantik lebat berumpun,
aroma segar berjambak disusun,
di sudut kamar menyerlah anggun,
menyeri ruang hati meruntun.

Leganya hati di sisi mawar,
terasa laju masa beredar,
ingin bersama hilangkan gusar,
nikmati indahnya dengan sabar.

Walau terluka ditusuk duri,
darah menitis di ujung jari,
hati terasa ngilu dan nyeri,
diseka lirih memujuk diri.

Mawar yang ini mawar pilihan,
jadi perhiasan jadi perhatian,
mengulit rasa kegembiraan,
mengukir riang keceriaan.

Mawar ranggi berkelopak cantik,
tanpa ragu segera dipetik,
sebelum mekar dinanti putik,
walau hujan mulai merintik.

Gerimis mulai turun kasar,
hati berolak runsing dan gusar,
lembut kelopak menjadi sasar,
tidak tegar alam menggegar.

Mawar terindah memudar warna,
tidak lagi sesegar angsana,
kelopak relai di sini sana,
bertaburan suram suasana.

Demikianlah kisah akan mawarku,
sudah pun layu di ujung waktu,
berguguran longlai di perdu,
namun kenangan digugah rindu.

Paridah Ishak
Selayang Utama
22 Okt 016








NILAI SABAR...

ASSALAMUALAIKUM....

Dalam sabar terdapat hal yang tidak kamu sukai
Tapi di dalam nya terdapat kebaikan yang sangat banyak

USTAZAH SITI NURBAYA USMAN







Tuesday 25 October 2016

JOM MENULIS NOVEL PENDEK...

ASSALAMUALAIKUM...

JOM BELAJAR TULIS NOVEL PENDEK 250 PAGES

SECARA MUDAH

Boleh kemukakan sinopsis 
tajuk
nama watak
konflik besar
setiap bab ada konflik kecil
plot mendaki di bab 1 - 8
plot memuncak di bab 9 - 16
plot menurun dan mendatar di bab 17 - 25



Mempelawa teman-teman sertai Grup Tulis Novel (GTN) BeTA
- Novel adalah gabungan informasi, imaginasi dan kreativiti
- Bersama menggerakkan hajat tulis novel sendiri
- IAllah mendapat bimbingan ikon Novelis
- Motivasi tinggi untuk siapkan novel
- nasihat kaitan ketatabahasaan
- editan, desain dan urus cetak
- tidak terikat dengan BeTA
- wasap 011-3271-4312
Novel 250 muka
saiz A5
font Arial 12
Normal Spacing
mencari 10 penulis
tutup bila penuh
ilhamibeta@gmail.com

MENULIS NOVEL BAGI PI MENGAMBIL MASA UNTUK MENYIAPKANNYA...KALAU 10 PAGES UNTUK SATU BAB MAHU SEMINGGU LEBIH BARU SIAP...UNTUK 25 BAB BERBULAN JUGA ATAU MUNGKIN BERTAHUN PI MAMPU SIAPKANNYA....MAKLUM PI MENAIP SEBELAH TANGAN YANG KANAN SAJA...TANGAN KIRI RELEK JE HEH..HEH.

KEPADA YANG BERMINAT ELOKLAH MENGASAH BAKAT DALAM PENULISAN...KALAU NAK TERBITKANNYA HUBUNGI EMEL YANG DIBERI

KEK GULUNG NUTELLA..

ASSALAMUALAIKUM...

MUTAKHIR INI BLOG KARYAKU ASYIK MENERBITKAN ENTRY TENTANG SAJAK  PANTUN SYAIR HAIKU HAIBUN CERPEN DLL ENTRY YANG BERSIFAT SASTERA SAJA DAN TERLUPA NAK TERBITKAN ENTRY YANG MENJADI KEGEMARAN RAMAI VIEWERS IAITU RESEPI MASAKAN....JADI PI AKAN CUBA MENERBITKAN ENTRY RESEPI SETELAH MEMBELEK-BELEK LIKE PAGE FB YANG MUDAH DISCROLL SATU PERSATU....BANYAK RESEPI YANG MENARIK YANG BOLEH DIKONGSI DEMI MENAFAAT BERSAMA..
BUAT HIDANGAN MINUM PETANG NANTI ATAU BAKE LEBIH UNTUK SARAPAN ESOK PAGI...JOM CUBA


Page Liked · October 22 
 
Mula2...sediakan 3 biji telur gred A, 60gram gula halus(saya blend gula biasa je),1 sudu besar susu tepung,
1 sudu teh esen vanila,70gram tepung gandum(2/3cawan),1 sudu besar ovalette....MIX sampai gebu..dalam 4-5minit...


Masukkan 60 gram minyak masak/sayur sedikit demi sedikit..kaup balik..

Bahagikan dalam 4 sudu@lebih ...warnakan..ikut suka...(kes malas basuh mangkuk bancuh dalam plastik je)..hehehe


Paipkan...warna warni...heheh.....sampai abis..
Bakar pada suhu 170@180..ikut suhu oven untuk masak kek masing2...selama 15-20minit...(sebelum tu jangan lupa panaskan oven selama 20minit)


sAPUKAN JEM NUTELLA ATAU APA SAJA
Gulung perlahan

Monday 24 October 2016

WANITA JELITA WANITA RUPAWAN...

ASSALAMUALAIKUM...

WANITA JELITA WANITA RUPAWAN

Wanita jelita mulus wajahnya
anggun bergaya
alis mata lentik cantik
kening terbentuk dipantis
pipi merah montok menggebu
bibir mongel terlukis manis
bicaranya petah membalas hujahan
berkerudung anggun merah biru
menawan kolbu
berjuang penuh garang
di dewan persidangan
menggenggam hakiki kepercayaan
pada sebuah realiti perjuangan
dan
Wanita rupawan ayu tulus rautnya
Lemah tutur kata
kadang hilang bicara berombak di dada
bagaimana sudahnya
Minda nencongak kira sedang nawaitu kekal jitu
di sudut dunia sebelah situ
tidak sempat berpantis bercelak bergincu
yang diingat cuma destinasi
akan sampai tanpa sangsi
membawa missi pasti suara hati
teriakan lolong kesedihan menyentuh perasaan
yang dipohon doa restu bertalu
misi Gaza berjaya tidak sia-sia
watan Pelastin bumi anbia
dibantu apadaya
walau menggadai nyawa merentas samudera
silap gaya meninggal dunia
dengan reda demi saudara seagama
menyempurna fardu kifayah ke alam baqa
Wanita wanita menggoncang dunia
berbeza peranannya
Paridah Ishak
Selayang Utama
19/10/016

Sunday 23 October 2016

UDANG KETAK..

ASSALAMUALAIKUM...

Selamat bercuti pada hujung minggu. Mesti ada yang pulang ke kampong bercuti. Membawa family meninjau persekitaran kampong yang indah permai sambil mengimbau kenangan lalu yang pernah dilewati dan riuh bercerita kepada generasi kini yang kadangkala tidak berapa endah pun. Yang lalu sudah lama berlalu. 

Kalau PI bercerita kepada anak-anak betapa susahnya meniti kehidupan di masa lalu jawab mereka nasib emaklah tu hidup di zaman daif. Tapi kedaifan yang digeluti generasi dululah yang berusaha mendapatkan kesenangan dan keselesaan hidup untuk generasi masakini…

Usahlah nak membebel soal itu. Kita harus terima hakikat bahwa setiap zaman berubah menurut situasi dan cabaran hidupnya berbeza untuk dihadapi dengan bijaksana. Setiap waktu yang dilalui ada cerita istimewanya tersendiri.

Dulu-dulu PI ke sekolah berjalan kaki melalui batas bendang berhampiran sungai yang ditumbuhi rumpun nipah. Pasti PI akan temui longgok tanah berselut yang agak tinggi seolah digembur sesuatu. Kalau nasib baik akan terjumpa pengorek lubang yang sedang menggembur sarangnya. Besar. Bentuk seakan udang tapi berketak-ketak berwarna jingga. Sebab badannya berketak orang kampong PI menyebutnya udang ketak.






Menurut google namanya udang tanah/mud prawn. Udang ketak pula dinamakan untuk udang lipan. Masa dulu orang kampong PI tidak makanpun udang lipan ni. Kalau tersangkut di jaring kala ke laut akan dibuang saja. Kini dah jadi sebaliknya. Udang lipan adalah antara makanan laut yang disukai ramai.


Udang lipan

Tentang udang ketak/udang tanah harapnya tidaklah terganggu habitat mereka oleh penggemar makanan exotic/ganjil. Kalau ada yang berminat tentu tidak selamat juga hidup udang ketak ni. Biasalah selera manusia di akhir zaman pelik-pelik juga heh..heh..  



Pic google images.

Saturday 22 October 2016

HAIKU INDAH

ASSALAMUALAIKUM..








BAK DEDALU DI POHON KAYU...

ASSALAMUALAIKUM...


PANTUN-PANTUN PERIBAHASA PAK ENGKU
POKOK DELIMA BATANGNYA LEMBAB,
GUGUR BUAHNYA TIKA DIGALAH,
JATUH TERENDAM DI TEPI LURAH;
PECAHNYA CUMA MENANTI SEBAB,
RETAKNYA HANYA MENANTI BELAH,
BEGITU DENDAM HATI YANG MARAH.
Peribahasa : Pecah menanti sebab, retak menanti belah.
Maksudnya: Hanya menanti masa untuk membalas dendam.
PETIK KECAPI BERLAGU SAYU,
HINGGA KE PETANG DUDUK MENANTI,
TEMAN SEIRING HATINYA GUNDAH;
BAK DEDALU API DI POHON KAYU,
HINGGAP DI BATANG, BATANG MATI,
HINGGAP DI RANTING, RANTING PATAH.
Peribahasa : Seperti dedalu api hinggap di pohon kayu, hinggap di batang, batang mati, hinggap di ranting, ranting patah.
Maksudnya: Apabila orang yang jahat bercampur dengan orang yang baik-baik, akhirnya rosaklah orang yang baik-baik itu.
DEWI KENCANA BERMAIN TOMBAK,
BUJANG KELANA MELIHAT HAIRAN;
LAUT YANG MANA TIDAK BEROMBAK,
BUMI YANG MANA TAK TIMPA HUJAN.
Peribahasa : Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Maksudnya: 1. Manusia mana yang tiada membuat kesilapan. 2. Segala pekerjaan ada kesulitannya.
BUANG DEDAK PADI DITAMPI,
KERJA BERMULA BILAKAN SIAP;
KALAU TIDAK ADANYA API,
MASAKAN PULA ADANYA ASAP.
Peribahasa : Kalau tak ada api, masakan ada asap.
Maksudnya: Tentu ada sebabnya terjadi sesuatu hal.
MALAM LARUT DIAN DIPASANG,
DATUK LELA TIDUR SEJENAK;
JANGANLAH MULUT DISUAP PISANG,
PUNGGUNG PULA DIKAIT ONAK.
Peribahasa : Mulut disuapi pisang, buntuk dikait dengan onak.
Maksudnya: Bermuka-muka manis tetapi di belakang diumpat atau dibuatkan perkerjaan yang mendatangkan bahaya dan lain-lain.
BUKU HIKAYAT SEJARAH MELAYU,
SEJARAH DITULIS DATUK YANG EMPAT;
LEMAH LIAT SI AKAR KAYU,
DILENTUR BOLEH PATAH TAK DAPAT.
Peribahasa : Lemah liat akar kayu, dilentur boleh dipatah tak dapat.
Maksudnya: Pada lahirnya kelihatan lemah tetapi sebenarnya tidak dapat dipengaruhi atau dipermain-mainkan.
BUAH TURI SI BUAH JERING,
BUAH BADAM DIGAIT SURI,
GUGUR BUAHNYA RANTING DISESAH;
KIKIR PARI BELULANG KERING,
WALAU DIRENDAM TUJUH HARI
PASTI IANYA TAK AKAN BASAH.
Peribahasa : Kikir pari belulang kering, direndam tujuh hari tidak basah.
Maksudnya: 1. Orang yang degil dan kedekut. 2. Orang yang kuat (berkuasa) yang tidak boleh dipengapakan.
DAYUNG PERAHU KE PULAU LOMBOK,
SAMPAINYA TIDAK PENDAYUNG PATAH;
KALAU DAH TAHU GADUNG TU MABUK,
MENGAPA HENDAK DIRATAH-RATAH.
Peribahasa : Kalau tahu gadung itu mabuk mengapa diratah-ratah.
Maksudnya: Sengaja mencari perselisihan atau masalah tetapi akhirnya menyesal sendiri.
MAKAN KETUPAT BERSAMA RENDANG,
RENDANG SEKAWAH SI DAGING RUSA;
KALAU TAK DAPAT MELANGKAH BATANG,
MENYUSUP BAWAH PUN LEPAS JUGA.
Peribahasa : Tidak dapat melangkah batang, menyusup di bawahnya pun lepas juga.
Maksudnya: Dengan tipu daya atau muslihat yang licin serta rapi, orang yang kuat pun dapat dikalahkan.
DI TANAH TINGGI TERDAPAT DANGAU,
NAMPAK TAPTIBAU DALAM SARANGNYA;
SETINGGI-TINGGI TERBANGNYA BANGAU,
DI BELAKANG KERBAU JUGA HINGGAPNYA.
Peribahasa : Setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga.
Maksudnya: Kembali ke tempat asal setelah lama merantau jauh.
PERGI KE PASAR MEMBELI TIMBA,
BELI PERIA DI KEDAI NYONYA;
SEBESAR-BESAR GAJAH DI RIMBA,
KE TANGAN MANUSIA JUGA JATUHNYA.
Peribahasa : Sebesar-besar gajah di rimba, jatuh juga ke tangan manusia.
Maksudnya: Orang yang kuat, kaya atau mulia dapat juga ditundukkan dengan cara atau helah yang berkesan.
SURI TERMENUNG DI HARI SIANG,
SAMBIL BERKEMBAN DUDUK BERSILA;
JIKALAU REBUNG TIADA MIANG,
KENAPA BEMBAN YANG MIANG PULA?
Peribahasa : Rebung tak miang, bemban pula yang miang.
Maksudnya: Orang yang berkenaan tidak bising orang yang tidak berkenaan pula yang membuat kecoh dan turut masuk campur.
SUDAH HILANG INDAHNYA CINI,
AIR KELADAK WARNANYA KERUH;
ASYIK MEMBILANG KEPALA BINI,
BERANAK TIDAK BOLEH DISURUH.
Peribahasa : Membilang kepala bini, beranak beranak tidak boleh disuruh.
Maksudnya: Pekerjaan yang tidak tetap selalu mendatangkan kerugian.
MALAM MENJELANG MENDAYUNG BIDUK,
DI TANJUNG PINANG BIDUK TERSADAI;
SUNGGUH MALANG NASIB PAK KADUK,
AYAMNYA MENANG KMPUNG TERGADAI.
Peribahasa : Malang nasib Pak Kaduk, ayam menang kampung tergadai.
Maksudnya: Orang yang benar-benar malang hingga habis semua hak miliknya.
DIBELI REHAL DUA SEBANDING,
JATUH TERHENTAK PECAHLAH TIGA;
SEMAHAL-MAHAL MANA PUN GADING,
KALAU DAH RETAK TIDAK BERHARGA.
Peribahasa : Semahal-mahal gading, kalau retak tiada berharga.
Maksudnya: Jika orang yang di anggap baik atau mulia melakukan kejahatan maka martabat dan darjatnya tetap akan jatuh

Friday 21 October 2016

MUTIARA KEHIDUPAN,,,

ASSALAMUALAIKUM....

SALAM JUMAAT MULIA



1.  Kehidupan ini akan menjadi mutiara apabila kita peduli dan berbagi ilmu kepada orang lain.
Seberapa banyak benih kebaikan yang kita tebar di tanah hati manusia, maka sebanyak itu pula kita akan menuai buah kebaikan di dunia dan akhirat

2.  Perintah berjalan di muka bumi ini juga mengandungi isyarat dan perintah berjalan dengan badan dan hati untuk melihat dan merenungi peristiwa yang terjadi pada orang orang terdahulu.
Sesungguhnya telah berlalu sebelum kita banyak sunnah sunnah Allah. Olih kerana itu berjalanlah di muka bumi dengan penuh muhasabah. Perhatikan dan renungkan pula bagaimana kesudahan nya bagi orang orang yang mendustakan perintah Allah Swt

3.  Setiap manusia tidak mungkin berharap untuk mendapatkan musibah dalam hidunya, namun ketika hal itu sudah di gariskan olih sang pencipta,tiada satu makhluk pun yang mampu lari dari keputusan Nya
Dari itu latihlah diri tatkala di timpa musibah untuk langsung berkata:
Alhamdulillah ‘alaa kullli haal
(segala puji bagi Allah pada seluruh keadaan)

Latihlah mengucapkan dengan penuh keyakinan bahawa Allah memiliki hikmah yang tinggi di sebalik semua musibah yang menimpa kita
Percayalah Allah Swt Maha Mengetahui..
Apa yang tidak di ketahui olih hamba hambaNya
Alhamdulillah ‘alaa kulli haal..

USTAZAH SITI NURBAYA USMAN.

Thursday 20 October 2016

MENGGANTUNG HARAPAN....



ASSALAMUALAIKUM...

Ada insan cita-citanya kesampaian. Banyak pula yang impiannya
kandas di tengah jalan. Betapa ramai yang mendambakan bahagia
di sepanjang perjalanan hidup. Mereka menemuinya dan hanya merasakan nikmatnya untuk sekelumit waktu sahaja. Terkadang kita menyangka bahawa panas itu akan membawa ke petang. Tetapi tanpa diduga, di tengah hari hujan ribut melanda datang. Kita mengharapkan malam yang indah bersama sinar bulan purnama. Namun hakikat yang perlu diterima, awan hitam tanpa diduga telah terlebih dahulu melindunginya.
Jika ini yang terjadi apakah kita harus berkeluh kesah? Sedangkan semuanya itu adalah di bawah takdir Allah. Mungkin ia sebagai suatu kifarah di atas dosa kita yang sering bertambah. Boleh jadi juga ianya adalah sebagai suatu ujian. Ujian untuk memantapkan taqwa dan iman. Untuk meninggikan mertabat insan.Reda dan pasrahlah apa yang terjadi. Pasti ianya adalah sesuatu yang terbaik untuk kita miliki.
Di dalam kehidupan ini apa pun nasib buruk yang terjadi usahlah kita kesali. Jangan salahkan nasib diri. Jangan pertikaikan perancangan Ilahi Pandang ke dalam dan muhasabahkanlah diri.. Malang yang datang timpa-bertimpa tanpa henti pasti di dalamnya banyak hikmah yang tersembunyi. Tabah dan redhalah pada ketentuan Yang Maha Suci. Kita ini hanya seorang hamba. Terimalah dengan rendah hati. Kepada-Nya kita kita kembali. Memohon hidayah, petunjuk dan rahmat-Nya sehingga ke akhir hayat kita nanti.
Renungkan dan fikir-fikirkanlah.

Wednesday 19 October 2016

PULANG..

PULANG

ASSALAMUALAIKUM...

CERPEN:
OLEH PARIDAH ISHAK


                                                                     PULANG

LELAKI itu melongo di depan pintu. Menjuntai kaki di anak tangga berubin marmar. Renungannya menjauh. Melepasi rumah-rumah, pohon-pohon, gunung-gunang serta awan gemawan. Seraut wajahnya telah lama sirna cerianya kembali cerah berkaca. Ada senyum kecil tersungging di sudut bibir. Dia berdiri. Tegap dan gagah. Di sinilah! Dia angguk menyetujui, Amat pasti sekali.
Kepalanya tunduk menjenguk lopak air yang semakin kering-kontang. Dari dalam lopak yang pekat berselut itu terjengul janggut-janggut yang sangat dikenalinya . Serasi dan sebati dengan kehidupannya. Sekian lama. Sejak dia tahu beradaptasi dengan kehidupannya. Kain pelikat digulung tinggi, sebentar lagi sesuatu mahu diraihnya. Selipar jepun yang lusuh yang disarung kakinya sudah ditinggalkan  di atas batas. Kaki yang tidak berlapik tidak lagi ragu menerjah lumpur.
“Banyaknya ikan,” bibirnya mendesis perlahan. Dengan sangat berhati-hati tangannya dicelupkan ke lumpur lalu merasai sesuatu dan memegang kemas seekor keli hitam berkilat. Dia perlu berwaspada kerana kalau tersilap cara duri keli pasti menyengat. Bisanya tetap terasa walau tidak seteruk sengatan semilang. Sakit tetap sakit. Ikan keli pun ada berjenis-jenis. Ada yang kulitnya kuning cerah dan ada yang hitam atau kelabu. Bolehlah memilih mana satu yang digemari selera masing-masing. Baginya lebih menyukai keli hitam darpada keli kuning cerah yang agak liat isinya. Keli dan semilang rupanya seakan walau berbeza latar kehidupan. Kehidupan keli di air tawar sedang semilang berhabitat di muara laut berair masin.
Namun semangat seharusnya tidak  patah. Kalau takut disengat keli alamatnya tidak merasalah berlaukan ikan yang sangat nikmat ini. Apalagi ianya adalah anugerah alam yang percuma. Hanya perlu sedikit usaha sahaja. Sepasang tangannya ligat menggagau. Satu persatu isi lumpur  pekat  itu dikeluarkan. Dicampak di kawasan tanah kering yang mulai merekah di sana sini kerana musim kemarau sedang berterusan kini. Penangan el-nino. Menjadikan hawa panas dan sekitarnya garing kering. Perubahan cuaca kini sukar terduga dan langsung tidak menepati musim yang dijangka seperti selalunya.
Pak Hamid tersentak. Peluh yang mercik di dahinya tidak dapat disekanya. Sukar hendak melakukannya kerana sepasang tangannya cemar berselut. Melihat pasti apa yang digenggam kedua-dua tangannya. Dia memegangnya kuat dan erat. Matanya bulat merenung. “Besaqnya!” haruan sebesar betisnya itu membuatkannya terhenti seketika daripada aktivitinya.
‘Ah! Cukuplah. Syukoq Alhamdulillah.’ Putus hatinya mungkin. Sudah lebih memadai untuk dijadikan lauk hari ini. Selebihnya bolehlah dikeringkan. Ikan darat yang dikeringkan digoreng atau dibakar sedap amat baginya kalau dimakan bersama pulut atau nasi tika sarapan pagi. Dia mencapai sebatang jerami kering. Jerami kering kelihatannya membusut di sana sini sekitar bendang yang saujana luas pandangan itu setelah kerja penuaian padi usai dilakukan. Satu persatu ikan-ikan itu dicucuk dengan batang jerami. Kini serangkaian ikan-ikan yang pelbagai jenisnya tergantung di situ. Ada sepat benua, haruan, keli, puyu, belida. Ikan haruan yang paling besar diasingkan daripada yang lain.
Alangkah sedapnya kalau berlaukan haruan ‘bantut’ hari ini. Berangan dia seketika. Isterinyalah yang akan memasak resepi tradisi kesukaannya seperti selalu itu. Resepi hasil air tangan isterinya itu tiada tandingannya keenakannya bagi seleranya sejak lama. Kalau anak-anak perempuannya yang ingin memasak ‘haruan bantut’ kesukaannya pastinya tidak dibenarkan isterinya. Justeru isterinya itu tahu dan faham akan selera suaminya.
Haruan besar itu proses awalnya akan disiang, dibuang sisik; dibelah perutnya dan dikeluarkan segala kotoran di dalamnya terlebih dahulu. Kemudian dibersihkan hingga hilang hanyirnya dengan mengisar perlahan bersama asam gelugur, garam dan daun serai. Setelah diyakini kebersihannya isterinya itu  akan menyediakan bumbu yang akan disumbat ke dalam belahan ikan haruan itu. Segalanya teradun daripada campuran serai, kunyit, cili kering, bawang merah, bawang putih, lengkuas, jintan manis, jintan putih yang digiling halus bersalut dengan kelapa tua yang dikukur.
Rempahan yang digiling menggunakan batu giling warisan keluarga turun temurun membangkit aromanya tersendiri  mengait rasa. Diikat kemas pula dengan kulit pelepah kelapa muda yang halus dijadikan tali sebelum dipanggang di atas bara api tempurung kering. Harum semerbak  aroma ‘ikan haruan bantut’ yang sedang menanti saat diangkat pemanggangnya daripada atas bara api untuk dihidangkan sebagai santapan tengahari. Dia berkira-kira sambil menelan liurnya sendiri.
Pak Hamid menapak pulang. Lopak berlumpur yang masih banyak ikan di dalamnya ditinggalkan. Berenang bebas lagi  ikan-ikan itu walau di dalam selut. Biarkan rezeki Allah yang banyak itu dikongsi hamba-Nya yang lain pula. Tidak perlu tamak mengaut semua rezeki-Nya sebagai milik seorang. Demikian prinsip Pak Hamid selalu. Menjati diri santunan peribadi mulia.
Dalam keadaan cuaca yang sangat panas terik kini tanah lopak berselut  yang terbentang di bawah sinar mentari berhaba itu pasti akan kering juga seperti tanah bendang di sekelilingnya. Retak merekah di sana sini. Ikan-ikan di dalamnya tentu akan terus membenamkan dirinya lebih jauh ke dalam tanah. Andaian Pak Hamid begitulah. Jikalau tidak dari mana pula datangnya ikan yang banyak aneka jenisnya kala air hujan memenuhinya kalau ikan -ikan itu turut mati bersama kering kontangnya bendang.   Tentu tidak ada lagi ikan- ikannya. Tapi menjadi sebaliknya pula. Begitu yang bermain di fikiran Pak Hamid. Samaada benar atau salah perkiraannya itu langsung tidak jadi persoalan kepadanya. Hanya Allah yang maha mengetahui. Wallahualam. Langkah pulangnya diatur tenang, riang, berbahagia membawa impian di hatinya.
Hujan rintik halus. Sebentar kemudian telah riuh gemaannya berjatuhan menimpa bumbung rumah. Di halaman, Saerah berlari-lari anak menarik kain jemuran di ampaian. Fenomena yang sering dilihatnya. Bukanlah ganjil. Pak Hamid melingas sekelilingnya. Gobek sirih berima sekata menyapa sunyinya. Senyumnya yang tadi terorak lebar kini hilang. Wajahnya kembali pekat tidak beraura. Tapi redup sayu. Imbauannya yang sekilas itu telah terpadam warna suasananya. Kembali dirinya berada di dalam sedar situasi yang melengkungi dirinya.
“Kita ni dah lama duk sini. Mengkala  agaknya Saerah tu nak hantaq kita balik?” ulangnya bertanya entah untuk kali yang keberapa. Mak Inah mendengarnya. Walau ucapan itu kerap terbit daripada mulut suaminya dia tetap member i perhatian. Dia sangat faham apa yang ada di hati suaminya itu. Tidak pernah dia berkata, “lagutu saja duk sebut seluloi.” Suaminya itu pastinya tersangat rindu pada kampung halaman yang lama telah ditinggalkan. Dia juga sama. Sentiasa terkenangkan rumah kayu usangnya yang  tersergam, bertiang dan bertangga walau tidaklah secantik rumah batu Saerah yang dibina di atas tanah. Rindu hatinya untuk kembali
berada di dalamnya hanya dia dan suaminya yang maklum. Ingin merasai kembali kembali kenikmatan alam semula jadi tanah tumpah darahnya.

Dusun buah-buahannya di kaki gunung Jerai seakan menggamitnya pulang. Tanah bendangnya di hulu sedang apa agaknya sekarang? Kalau musim mengerat padi sudah selesai tentu  senang menangkap ikan di petak bendang yang masih berair. Rindunya dia hendak melakukan itu, Terkenang sewaktu mudanya bersama rakan sebaya bersama mengerat padi yang kuning meranum dan mengemping padi pulut di malam bulan mengambang penuh. Paling tidak dilupainya tentulah  pertemuannya dengan jejaka kacak yang sedang membanting padi di bendang serelung besar milik keluarganya. Pertemuan sekilas pandang yang membawa mereka ke pelaminan justeru jejaka itu telah terpaut hati dengan gadis yang berlindung wajahnya disebalik kain batik yang diselimpang namun menutup kepalanya.
‘Awat susah sangatkah hangpa hendak paham perasaan, kemahuan dan kesukaan orang tua macam ayah dan emak hang ini Saerah? Ayah hang pun duk seluloi ulang  habaq kata hatinya. Hantaqlah ayah dan emak hang ni balik   Saerah oi.!’ Keinginan Mak Inah itu terbenam diam di dalam hatinya saja. Tidak pula diluah suaranya. Walau hakikatnya serupa. Dia tetap tersenyum riang melayani kerenah anak menantu. Kadangkala ada anak cucu cicit yang datang bertandang.
Pada Mak Inah dia tidak perlu mengulang lagi apa yang disuarakan jelas suaminya itu. Saerah juga pasti faham dan tahu. Dia pun bukan muda lagi. ‘Cuma aku ini emak. Aku dan ayah hang jugak  ada rumah tangga yang hendak kami pertahankan. Kami mai sini cuma sebab nak makan kenduri kahwin   Ani cucu kami. Bukan mai nak duk dengan hang. dan mati kat sini. Di kaki gunung Jerai, aku dan ayah hang dilahirkan, di situ juga aku dan ayah hang ingin dikuboqkan. Di sanalah dunia kami, impian kami, kebahagian kami. Tolonglah hantaq kami balik. Kami sudah cemoih di sini walau bagi hang ianya adalah syurga kehidupan dunia hang. Tapi syurga dunia  kami di sana. Di sebuah rumah tua di sebalik pohon-pohon kayu yang rimbun di mana gunung Jerai tercacak megah.’ Mak Inah erkenangkan kampung halamannya yang indah permai dengan hamparan bendang saujana pandangan mata, berdekatan juga dengan laut Selat Melaka dan dusun buah-buahan di kaki Gunung Jerai. Sempurna sekali keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya yang ditelusuri alam kehidupannya selama ini.
Bergentayangan di layar mindanya pelbagai kenangan manis mengusik ingatannya. Sesekali dalam keuzurannya tetap berusaha menunggu durian gugur di pondok di dusun bersama suaminya. Kegembiraannya menikmati saat begitu meriangkan hatinya. Durian tembaga, durian kucing tidur adalah kegemarannya.  Dimakan bersama pulut berkuahkan santan segar dan dimaniskan dengan sedikit gula amat enak rasanya. Dan beberapa lagi jenis durian akan berbuah lebat pabila tiba musimnya.
Begitu juga dengan rambutan, cempedak, langsat, pulasan jentik, remia, manggis lebat dan meranum di pohon kala tiba musimnya menjadi rezeki kepadanya dan suaminya dengan menjualnya kepada peraih buah-buahan yang sering keluar masuk kampung membelinya.. Atau kadangkala suka benar hatinya dapat menumpang motor anak cucunya ke hulu melihat bendangnya. Dapat melihat saja pun sudah puas rasanya walau dia tidak berkudrah lagi mengusahakannya. Bendang miliknya dan suami yang dibeli secara berdikit-dikit hasil kerja keras semasa muda kini diusahakan anak-anak dan cucu-cucunya yang tinggal di kampung. Anak cucu di sana juga baik-baik semuanya terhadapnya. Selalu dapat merasa beras baru dan ikan -ikan dari bendang. Juga yang baru naik dari laut dihantar anak cucunya.
Tragedi  tsunami yang mengorbankan ribuan jiwa pada 2004 juga turut dialami suaminya yang bercerita kepadanya akan kisah yang amat menggerunkan itu. Cuma takdir Allah yang memelihara diri suaminya daripada musibah yang tidak diingini berlaku.
“Hang tau masa tu aku dapat ikan banyak sangat. Ikan tenggiri, ikan gelama, ikan temenung , ikan lemuduk dan macam-macam ikan lagi penuh dalam bot kecik aku tu. Masa tu aku pi ke laut soghang saja. Takdak sapa-sapa mau pi ke laut masa tu. Maklum masa tu depa kalut duk punggah padi nak bawa pi jual kat kelang.” Mak Inah masih sabar menunggu suaminya meneruskan cerita pengalamannya berhadapan suasana tsunami yang menggerunkan dan mengejutkan peristiwanya yang berlaku laksana kiamat kecil itu.  Menggemparkan seluruh dunia kejadian yang mengorbankan ratusan ribu mangsa di negara Asia Tenggara dan meranapkan nusa Aceh Indonesia hingga laksana padang jarak padang tekukur.
“Tiba-tiba ombak besaq mai. Dia angkat bot aku tinggi lepas tu dia letak balik. Beberapa kali ombak duk angkat duk letak lagutu. Aku takut tak tau nak habaq dah. Tak renti-renti aku berdoa. Kalau aku matipun aku ghedo. Bersyahadah berselawat tak ghenti. Mujuqlah ombak tu tak tolak bot aku hanyut tengah laut tapi terus ke pantai. Syukuqlah aku selamat. Dapat lagi balik ghumah jumpa dengan hang. Kalau dak tentu aku dah berkubuq dalam laut.”
“Hish! Apa cakap lagu tu. Ajal maut tu Allah punya kosa. Kitapun tak tau di mana tanah kuboq kita. Tapi harapnya di tanah kampung kita ni, senang anak cucu kita nak mai ziarah.”
Untuk menyatakan kesyukuran dirinya terhadap Allah swt yang menyelamatkannya daripada bencana tsunami yang dilaluinya Pak Hamid dan Mak Inah mengumpulkan anak cucunya  dan mengadakan kenduri doa selamat yang dihadiri seisi kampung.
Lembaran kisah tsunami terselak lalu. Masakini sedang Mak Inah renungi dengan mata hatinya.
‘Aku dan ayah hang memang uzuq. Sakit tak ghenti. Maklum kami sudah tua merga. Tapi kami tak mau hidup menyusahkan orang lain. Biaqlah kami hidup dengan cara kami sendiri. Setakat untuk memasak makanan dan mengurus diri sendiri kami masih bulih buat. Takdak masalah apapun. Hidup lebih kurang seadanya tapi kami sangat bahagia. Hidup secara orang tua merga.’ Mak Inah bermonolog panjang mewakili fikiran suaminya. Penamatnya di situ. Namun tidak berdaya diterjermah bahasa bibirnya. Hanya beku di situ. Di hatinya. Menggumam perasaan selagi dia dan suaminya tidak dihantar pulang ke kampung halaman yang sangat dirinduinya..
Saerah bersimpuh di sisi suaminya. Mak Inah dan Pak Hamid juga berserta. Masing-masing mengadap sajian petang di serambi. Sentuhan angin mulus nyaman dingin menyapa tubuh mereka yang berada di serambi dan dedaunan pun berayun.  Suasana hari redup dan tenang.
“Saya dah janji dengan Ani, bila cuti dia akan hantaq mak dan ayah balik ke kampung.”
“Mengkala tu?” Tanya Mak Inah pendek. Suka benar hatinya menerima perkhabaran yang sangat dinantinya itu walau kebenarannya tidak dapat dipastikan lagi.
“Cuti sekolah nanti.”
“Lambat lagi tu ghasanya.” Pak Hamid mula menghitung, ‘aku di sini sudah lima bulan. Cuti sekolah ujung bulan sebelas. Maknanya kena duk tunggu sebulan lagi. Lama sungguh tu….’ Wajahnya kelat.  Sirna aura yang bercahaya.
“Balik dengan bas sudahlah. Toksah nak tunggu Ani. Menyusah dia saja.” Mak Inah memandang suaminya. Usulannya itu hanyalah untuk melegakan kegelisahan yang ketara di wajah suaminya.
“Tak bulih, mak, ayah! Tak bulih balik naik bas. Mak dah tak laghat. Ayah pun bukan kuat sangat. Kalau apahal berlaku, sapa yang nak tulung.” Larang Saerah. Sedang suami Saerah hanya diam membatu. Tidak membantah, tidak juga mengiakan. Seakan langsung tidak berminat dengan persoalan yang menjadi perbicaraan mertuanya dan isterinya. Hanya menjadi pendengar setia.
“Abang Majid ni mata dia tak berapa awas sangat kalau bawak kereta. Kalau dak dah lama kami berdua pi hantaq mak dengan ayah balik. Kalau bawak kereta kut dekat boleh ja. Ni nak balik pi Kedah nun jauh sangat tu.” Saerah lancar saja mengutarakan permasalahan sebenarnya sedang penerimaan ayahnya lain pula.
Tercuit juga hati kecil Pak Hamid mendengar apa yang dikatakan anaknya. ‘Aku sedaq sapa diri aku. Juga setakat mana upaya yang aku ada. Susahnya kalau sudah tua merga lagu ni. Apa yang hendak dibuat lebih banyak menyusahkan orang keliling. Allah bagi kat aku umuq yang panjang dan aku perlu ghedo dengan takdir-Nya. Toksah duk keluh kesah walau dugaan-Nya buatku seluloi ghnsing. Astaghfirullah.ampuni hamba-Mu ini ya Allah.’ Keresahan yang melanda hatinya dilukis monolog mindanya.
Saerah juga sedih melihatkan keadaan ayahnya yang tidak seceria awal kehadirannya ke rumahnya dahulu. Kelihatannya sentiasa murung. Hajatnya ingin menjaga kedua emak dan ayahnya meniti akhir usia mereka. Tidak mahu lagi membiarkan ayah dan emaknya menyara kehidupan dengan mencari rezeki sendirian. Samaada ke laut, ke bendang atau ke dusun di tepi hutan . ayah dan emaknya tidak layak lagi melakukan kerja sebegitu walau pada anggapan kedua-duanya amat ringan. Lagipun sudah lama emak ayahnya membanting tulang demi kehidupan. Dan sudah tiba masanya mereka menikmati usia tua mereka dengan berehat dan beribadat smbil dijaga anak cucu. Dia menyimpan hasrat itu dan ingin melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai salah seorang anak kepada  emak dan ayahnya. Bilakah lagi jasa, budi baik yang bertabur di batas kehidupannya selama ini oleh kedua-duanya dapat dibalas. Itupun kalau boleh dilakukannya sebagai anak yang mengenang budi dan jasa orang tuanya.. Rasanya payah pula walau dia telah merekakarya pelbagai alasan. Dia sangat mengasihi ayah dan emaknya itu. Melepaskan kedua-duanya pulang serasa lompong jiwa raganya. Namun kehendaknya tidak mampu mengatasi keinginan emak ayahnya yang ternyata kuat.  Bak kata perbidalan lama ‘bujur lalu melintang patah’ Maksudnya apa saja galangannya akan dilepasi demi menunaikan hajat dengan pasti. Apalah dayanya lagi. Kemahuan emak dan ayahnya terpaksa diikuti jua.
Sambil minum sambil bercerita isu semasa lewat sebuah Wira biru metalik yang membelok dan berhenti tiba-tiba. Enjinnya yang menderum  keras mencemarkan sunyi alam. Menarik perhatian untuk dipandang.  Masing-masing menjenguk ke halaman mengawasi persekitaran. Saerah bingkas bangun daripada duduknya untuk memastikan siapakah yang dijangka hadir menjadi tetamunya. Tersenyum Saerah kepada  suaminya dan emak ayahnya. Riang hatinya menyerikan wajahnya.
“Ani dan Adi balik tu.”
Kepulangan Ani dan suaminya Adi menggembirakan yang menyambutnya.  Sepasang suami isteri itu segera menaiki anak tangga yang cuma tiga takah setelah membolos diri dari kereta yang dipakir di sudut halaman rumah keluargnya.
“Kata cuti sekolah baru nak balik?” ucap Saerah.
“Dapat pula cutii lebih cepat mak.”
“Bolehka lagu tu.”
“Boleh ja asai betoi sebab musababnya.”
“Untung jugak kerja cikgu no…. bulih cuti ikut suka.”
“Untung ghugi sama banyak mak oii dengan kherjanya yang menimbun tak tau nak habaq apa.”
Saerah berlalu ke dapur dan kembali dengan membawa dua buah cawan yang beralas piring. Menuangkan  air kopi dari dalam teko ke dalam cawan-cawan itu pula.
“Minumlah Adi, Ani…makan kuih tepung talam yang tok hang buat. Sedap sangat tu. Resepi kuih lama dari ayaq tangan orang lama.”
“Ish! Sedapnya kuih tok. Nanti tok ajaq Ani lagu mana nak buat tepung talam ni no.”
“Makanlah Ani, Adi tak sedap manapun kuih tok buat tu.”
Ani dan Adi tersenyum sambil melirik pandang Pak Hamid. Tenang saja kelihatan wajah tokwan mereka kepada kedua-duanya. Tersenyum sedikit membalas pandangan cucunya itu.
“Esok kita balik Kedah tokwan, tok.” Ani memegang tangan tokwannya dan mencuit pipi toknya. Memeluk toknya dengan erat penuh kasih sayang. Mak Inah juga membalas rangkulan cucunya itu dengan lebih kemas lagi. Pertautan kasih sayang sedarah sedaging yang abadi dirasakan menyatu diri kedua-duanya.
“Sungguh ka Ani?” Tanya tokwannya berserta senyum yang terorak lebar. Girang sungguh hatinya. Matanya bersinar. Wajahnya cerah berseri. Inilah khabar yang sangat dinantinya. Kedua-dua tangannya meraup wajah seraya mengucap syukur Alhamdulillah.  Segera pula dia bingkas bangun.
“Nak pi mana pulak tu tokwan. Duklah dulu kita sembang-sembang sat.” Adi bersuara lunak.
“Cepatlah bersiap apa yang patut. Esok tak kalut sangat.” Pernyataan Pak Hamid kepada isterinya menjawab pertanyaan Adi.  Mak Inah bingkas segera daripada duduknya, mengekori langkah suaminya dengan akur. ‘Apalah yang ada yang hendak disiapkan pun.’ Getusnya dalam diam. Gelagat kedua-duanya mengundang senyum di bibir dua pasang suami isteri itu.
“Toksah duk kalut sangatlah mak ayah. Nanti cek tulong siap semua. Mai duk sembang-sembang dulu. Isuk dah nak balik. Nanti takdan pulak nak kata apa.” Mak Inah dan suaminya kembali melabuh duduk.
“Tiba-tiba saja nak balik Kedah awatnya.” Majid yang selama ini berdiam saja melantunkan suaranya.
“Abang Adi ada kursu di Langkawi. Kebetulan nak ke sana bolehlah bawa tok dan tokwan balik. ” Pengurus firma swasta itu mengangguk membenarkan kata-kata isterinya.
“Ani pun nak ikut pi sekali. Mohon cuti lulus pulak.” Jelas Ani tergelak. Seronoknya dia. Anganannya selama ini untuk menjengah pulau Mahsuri itu akan termakbul. Kisah Mahsuri seorang isteri yang setia kepada suaminya lagi cantik jelita telah dihukum sula lantaran fitnah mereka yang dengki kepadanya diingati akan  sejarahnya. Dan Pulau Langkawi dengan persisiran pantai yang cantik tersangat ingin dijelajahinya sambil membeli belah di pulau bebas cukai itu.
Impian indah seorang perempuan yang baru bergelar isteri. Kebahgiaan yang sentiasa marak meriah berbunga sepanjang usia perkahwinan yang sangat baru itu.  Saerah dan suaminya juga dapat menelah apa yang beriak di wajah Ani, namun Saerah juga tumpang gembira dengan kegirangan di wajah emak ayahnya. Mujur juga cerita kebetulan itu berlaku. Kalau tidak mendung akan terus menutupi wajah Pak Hamid ayahnya.
Malam Saerah berusaha memasak bekalan makanan yang akan dibawa pulang emak dan ayahnya dengan dibantu  emaknya.
“Buat apalah mak susah payah masak bekai. Kami boleh singgah makan di kedai R&R yang banyak kat tepi lebuhraya tu.”
“Takpalah Ani dah ada bekai bila lapaq boleh ghenti makan kat bangku.  Jimat sikit belanja. Lauk kat kedai tu tokwan hang bukan suka. Tok wan hang suka makan masakan tok dan mak hang ja.”
“Ya ka? Kalau nak jalan jauh kena bawak bekai lah no.” Ani cuba memahami walau perkara semudah itu hanya remeh baginya.
Pagi masih terlalu awal dan dingin. Pak Hamid bergaya dengan sepasang baju Melayu Cekak Musang merah jambu hasil jahitan anaknya Saerah. Senyumnya terukir manis menyalami anak menantunya. Lega sungguh perasaannya yang selama ini mendera mindanya kerana kerinduannya kepada kampung halamannya. Sebentar lagi dia pasti sudah berada di lebuhraya lebar penghubung destinasinya bersama cucu dan cucu menantunya..
‘Tinggallah bak-baik anak menantu. Tinggallah negeri Pahang Darulmakmur.  Aku ingin menghabiskan sisa sisa keriangan hidup yang kukecapi dengan nikmat di tanah kelahiranku. Jiwa ragaku sudah sebati dengan apa yang ada di sana. Seperti kau juga Saerah yang sangat mesra dengan alam kehidupanmu bersama suami dan anak-anakmu di sini. Ayahmu ini akan sentiasa mengirimkan doa kesejahteraan agar anak menantu dan cucu- cicit yang disayangi berbahagia selalu.’ Mungkin begitulah  Pak Hamid menyusun frasa di mindanya.
Pak Hamid menjeling isterinya yang terlena di sisi. Berbalam di selimuti kabus puncak Jerai mulai menyerlah. Nafasnya ditarik puas. Melepaskannya perlahan. ‘Aku pulang padamu kampung halaman.’
Tamat.

Glosari:
Takdak - tiada
Bulih - boleh
Besaq – besar
Syukoq – syukur
Haruan bantut – sejenis resepi masakan ikan berinti yang dipanggang.
Mengkala – bila
Lagutu – begitu
Seluloi- selalu
Hampa – kamu
Hang – awak
Mai – datang
Kelang – kilang
Soghang - seorang
Awat - kenapa
Hantaq – hantar
Habaq - kabar
Cemoih – jemu
Mai - datang
Mujoq – mujur
Berkuboq – berkubur
Ghumah – rumah
Ghenti – renti
Ghedo – reda
Toksah – tidak usah
Biaq - biar
Ghunsing – runsing
Kosa – kuasa
Tua merga – tua renta
Tulung – tolong
Ghasa - rasa
Ghugi – rugi
Bekai – bekal
Asai – asal
Kuboq - kubur

MyBloglist