بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Assalamualaikum..



Sambil menampi dibuai bayu,
arah permatang meniti titi,
jatuh terlanting lalu melatah;
bak dedalu api di pohon kayu,
hinggap di batang, batang mati,
hinggap di ranting, ranting patah.
Bunga angsana mekar berjambak,
riang Tirana memilih marjan;
laut yang mana tidak berombak,
bumi yang mana tak timpa hujan.

Keruh keladak air di sipi,
dari kuala ke Buluh Kasap;
kalau tidak adanya api,
masakan pula adanya asap.

Dimakan pulut hari dah siang,
bersama lala ikan belanak;
janganlah mulut disuap pisang,
punggung pula dikait onak.

Baca riwayat naskhah Melayu,
dikarang oleh warga setemmpat;
lemah liat si akar kayu,
dilentur boleh patah tak dapat.

Burung kenari di pohon nering,
termakan jadam galak menari,
rasa pahitnya mengolak resah;
kikir pari belulang kering,
walau direndam tujuh hari,
pasti ianya tak akan basah.

Jangan meludah lantai berhabuk,
pakai terendak memilih antah;
kalau dah tahu gadung tu mabuk,
mengapa hendak diratah-ratah.

Daun serapat di pohon sentang,
di dalam kawah sayur pegaga;
kalau tak dapat melangkah batang,
menyusup bawah pun lepas juga.
.
Busuk celagi dihurung langau,
beli di Rembau murah harganya;
setinggi-tinggi terbangnya bangau,
di belakang kerbau juga hinggapnya

8 comments - "PANTUN PERIBAHASA LAMA.."

Faarihin Talip delete icon 17 December 2016 at 17:53

Rasa klasik membaca pantun ini.

Ada juga perkataan yang saya rasa kena rujuk kamus ni. Huhu.

Etuza Etuza delete icon 17 December 2016 at 20:50

sedapnya bunyi bahasa ..lembutnya sentuhan jiwa melayu

Warisan Petani delete icon 17 December 2016 at 21:13

Budaya seni yang hampir dilupakan.

paridah delete icon 17 December 2016 at 21:34

maksud peribahasa klasik pun ramai xtahu tu kan faarihin...tq

paridah delete icon 17 December 2016 at 21:35

peribahasa melayu dijadikan pantun indah bunyikan cikgu...tq

Pha Is delete icon 17 December 2016 at 21:36

banyak peribahasa yg saya x pernah dengar lagi rupanya..

paridah delete icon 17 December 2016 at 21:37

benartu WP yg menulisnya pun kena buat rujukan heh..heh..tq

paridah delete icon 17 December 2016 at 21:40

peribahasa, perbidalan, perumpamaan dlm kartegori tersendiri tapi sukar nk bezakan...nak faham peribahasa yg satu pun sukar juga kan pha is...tq

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”