بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...


CORETAN PAK ENGKU

SECEBIS KENANGAN MASA LALU
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar)

Masa itu aku bujang teruna. Baru berumur dalam lingkungan 22 tahun. Hari itu, o2 Januari 1970 adalah hari pertama musim persekolahan. Aku datang ke sebuah sekolah untuk melaporkan diri bertugas selepas tamat pengajian di Pusat Latihan Harian (DTC). Aku di tempatkan berkhidmat di sebuah sekolah di kawasan Sg. Besar Selangor. Sekolah Kebangsaan Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar, Selangor. Sekolah yang lebih kurang 3km jauhnya dari jalan besar Sekincan ke Sg. Besar dan terletak di tengah-tengah lautan sawah padi. Jalan untuk sampai ke sekolah adalah jalan tanah liat di atas ban bersebelahan parit dan sawah. Jika hari hujan, jalan akan berlumpur dan ketika musim panas ianya penuh debu.
Itulah pertama kali aku merasakan suasana hidup yang sebegini. Sesuatu yang amat berbeza dari kehidupan di kampung halamanku. Maka dari saat itu bermulalah suatu kehidupan yang amat berlainan suasananya sama sekali dan belum pernah aku rasakan. Namun ianya adalah suatu pengalaman hidup yang terlalu indah untuk dikenang dan tidak pernah terlupakan hingga kini. Hidup yang jauh dari ibu dan ayahku yang dikasihi. Di sinilah aku mula belajar
hidup berdikari.
Aku tinggal di Kuarters Guru dengan dua orang rakan guru yang senior. Aku ingat lagi nama-nama mereka iaitu Cikgu Tahir dan Cikgu Shaari. Guru Besar sekolah ini ialah Cikgu Harun Rafaie. Guru-guru sekolah yang sama-sama mengajar juga ada yang aku ingat sampai ke hari ini iaitu Cikgu Md. Noor dan Cikgu Mohd Rais. Tukang kebunnya pun aku masih ingat. Aku memanggil dengan nama Wak Kasan. Berketurunan Jawa. Aku ingat lagi Wak Kasan ada ajarkan aku pantun dua kerat dalam bahasa Jawa. Bunyinya macam ini, "Tempeyek kacang ijo, mewek-mewek jolok bojo." Entah bertul entah tidak bunyinya aku pun dah lupa.
Tinggal di Kuarters Guru aku belajar mandi di parit yang airnya berwarna coklat. Air dari tanah gambut. Untuk makan dan minum terpaksa gunakan air hujan dari cucuran atap yang disalurkan dan ditampung ke dalam sebuah tangki besi. Waktu malamnya pula hanya diterangi oleh api pelita minyak tanah. Disebabkan kawasan sawah dan air banyak bertakung, nyamuk pada waktu malam
tersangatlah banyak. Waktu malam nyamuk yang mati aku himpit sewaktu tidur pun berpuluh ekor.
Pertama kali aku mandi di parit itu badan aku rasa geli dan gatal-gatal. Namun lama kelamaan ianya menjadi bak kata peribahasa, "Alah bisa tegal dek biasa." Kalau musim sawah bermula aku pergi kesekolah pakai selipar jepun sahaja. Ini kerana di sekeliling kawasan sekolah dinaiki dan dipenuhi air. Hari berganti hari dan
bulan berganti bulan aku menjadi biasa dengan kehidupan di sini.
Penduduk di sini bagi aku adalah rakyat marhein. Hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Kebanyakan penduduk mengusahakan tanaman padi dan sebahagiannya pula ada yang mengerjakan tanaman kelapa. Seperti aku, penduduk di sini juga mandi dan membasuh pakaian mereka di parit yang airnya coklat itu. Untuk makan dan minum mereka gunakan air hujan yang ditampung.
Aku ingat dahulu selepas tamat waktu mengajar aku akan memancing ikan haruan di belakang sekolah. Aku sudah sediakan batang joran pancing terlebih dahulu. Umpan untuk memancing aku guna anak katak yang aku tangkat atas batas sawah. Dapat dua atau tiga ekor ikan haruan itu, aku akan bawa balik ke rumah. Aku siang dan bersihkan. Biasanya aku buat ikan goreng berlada sahaja. Kalau tak sempat nak beli sayur di kedai yang jauh di luar itu, aku petik kangkung merah yang bayak menjalar di tepi sawah untuk dijadikan sayur. Walaupun liat pun habis juga aku makan.
(Bersambung...)

11 comments - "KENANGAN INDAH..."

Shahida Dzulkafli delete icon 14 December 2016 at 22:42

Kenangan.. sentiasa diingati..

paridah delete icon 14 December 2016 at 22:48

TKSH SHAHIDA BETUL TU..

Irda Garmin delete icon 14 December 2016 at 23:17

sebuah catatan kenangan yang penuh nostalgia,melihat sawah padi dan bermandikan air begitu,ia mengusik hati yang membaca...menunggu sambungannya:)

Mrs. A delete icon 15 December 2016 at 00:30

Kenangan di perantauan memang selalu dalam ingatan

Warisan Petani delete icon 15 December 2016 at 00:32

Kenangan terindah penulis.

nohas delete icon 15 December 2016 at 02:25

lain padang, lain belalang..pengalaman mengajar erti kehidupan..

raihanah delete icon 15 December 2016 at 06:55

kenangan akan selalu bermain difikiran

Kakzakie Purvit delete icon 15 December 2016 at 11:40

Dulu kena gigit nyamuk tak adalah denggi / malaria
Atau mungkin dah immune tak berkesan:)

webctfatimah delete icon 15 December 2016 at 13:44

Assalaamu'alaikum wr.wb, Kak Paridah Ishak.... Indahnya kenangan lama penuh nostalgia kerana sudah pasti zaman berubah dan banyak perbezaannya kini. Apa yang ada dulu banyak sudah hilang ditelan pembangunan yang tidak menyisakan apa yang sudah menjadi kenangan. Mudahan kita dapat menghargainya. Salam manis dari Sarikei, Sarawak. :)

Nick Nashram delete icon 15 December 2016 at 15:04

saya pun cikgu..tapi posting kat bandar.kalo dapat pedalaman,dah dapat rasa suasana tu.

Norhayati Mohd Isa delete icon 29 December 2016 at 15:54

Kehidupan kampung yg indah ..
Menggamit kenangan saya juga :)

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”