بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM..

SALAM JUMAAT MULIA


CORETAN PAK ENGKU

SECEBIS KENANGAN MASA LALU
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar)

Tinggal di Parit 13 hiburanku hanyalah lagu-lagu yang diputarkan melalui perakam piring hitam sahaja. Radio pun tidak ada. Lagunya pun semua lagu-lagi Inggeris. Lagu Melayu satu pun tiada. Aku ingat lagi lagu-lagu yang biasa diputarkan. Lagu-lagu dari Bob Dylan, Cat Steven, Bee Gees, Rolling Stones, Beatles dan banyak lagi. Setiap hari aku tenggelam dalam dunia lagu-lagu tersebut.
Hendak keluar ke pekan Sekincan, Sg. Besar atau Sabak Bernam bukan ada hiburan apa-apa. Yang ada hanya panggung wayang yang sesekali aku kunjungi. Hidup aku dan kawan-kawan bertukar ceria dan gembira bila ada Fun Fair di pekan Sg. Besar. Pada malam harinya kami akan keluar berkumpulan,berdua atau bertiga, ke tapak tempat Fun Fair. Tujuan kami pergi bukanlah untuk berjudi dengan bermacam jenis permainan yang ada di situ. Kami pergi kerana hendak berjoget dengan perempuan-perempuan joget di tempat Fun Fair itu. Selalunya kami hanya akan masuk ke dalam tapak tempat Fun Fair pada pukul 10.00 malam. Ini kerana selepas pukul 10.00 malam pintu masuk akan dibuka. Tidak dikenakan bayaran masuk lagi.Selepas pintu dibuka barulah kami masuk beramai-ramai.
Kami biasanya akan membeli empat atau lima tiket untuk berjoget. Perempuan joget yang ada hanya seramai lima atau enam orang. Bila sudah ada tiket di tangan kami akan pergi rapat ke pentas joget. Sebelah kaki kami sudah bersedia di atas mata tangga pertama pentas. Sebaik lagu tamat dan pelanggan joget turun kami melompat naik dan berebut-rebut memilih perempuan joget yang masing-masing minati. Bila kumpulam pemuzik mainkan lagu-lagu, selalunya lagu yang rancak-rancak, kami pun berjogetlah. Sebaik habis satu lagu kami hulurkan tiket kedua pada pasangan joget kami. Begitulah seterusnya sampai habis lima tiket di tangan. Sambil menari aku berbual dengan pasangan penari joget yang aku minat. Dari ceritanya, dia seorang janda beranak satu. Anaknya, dia tinggalkan bersama ibunya di kampung. Akhirnya aku dapat juga pikat perempuan joget itu. Dia suka kat aku. Tapi hanya setakat itu sahajalah. Lepas Fun Fair tu berpindah ke tempat lain, putuslah hubungan aku dengan dia. Begitulah setiap malam. Kami balik ke rumah setelah Fun Fair itu pada waktu tengah malam.
Bercerita pasal pesawah pula, bila musim padi masak akan berlonggoklah guni-guni padi di tepi jalan untuk menunggu di punggah oleh pihak pembeli. Kalau tak silap aku padi-padi itu dibeli oleh pihak Lembaga Padi Negara. Kalau padi masih banyak, belum ditimbang dan diambil oleh pembeli, maka terpaksalah petani-petani tersebut berjaga pada waktu malam. Sambil berjaga ada yang bermain judi daun pakau. Aku dan kawan-kawan pun biasalah sama-sama tumpang sekaki. Kadang-kadang menang. Tetapi biasanya hanyut. Bila duit dah habis bermacam ikhtiarlah untuk nak dapat duit. Meminjamlah aku di sana-sini.
Setelah setahun aku tinggal di Parit 13, aku menyimpan rambut panjang. Lurus jegang hingga sampai ke paras bahu. Ialah mengajar di pendalaman. Apa yang nak dikisahkan sangat. Suatu hari Penolong Penyelia Sekolah-Sekolah Rendah dari Jabatan Pelajaran Selangor datang melawat sekolah aku. Dalam perbualan
dengan pegawai itu, dia berkata kepada aku, "Saya tak kisah cikgu berambut panjang. Tetapi saya tahu cikgu mengajar baik." Kembang hati aku bila dengar dia berkata begitu. Dia berkata itu pun ada asasnya. Sekolah aku pada tahun itu mendapat keputusan peperiksaan Darjah Enam yang terbaik di antara sekolah-sekolah dalam daerah Sabak Bernam.
Sekolah Parit 13 ini adalah sekolah kecil. Ada enam kelas sahaja. Darjah Satu sampai Darjah Enam. Murid-murid pun jumlahnya dalam lingkungan 200 orang sahaja. Guru-gurunya pula ada seramai 9 orang termasuk Guru Besar. Tahun pertama mengajar aku di tugaskan menjadi guru kelas Tahun Enam. Dalam kelas itu muridnya hanya seramai 30 orang, kalau tak silap saya. Di sebelah kelas yang aku mengajar itu ada sebuah meja pingpong. Siap ada jaring, pemukul serta bola pingpongnya. Kadang-kadang lepas aku beri murid kerja dalam kelas, Sambil itu aku keluar untuk bermain pingpong dengan kawan aku. Aku ingat lagi namanya Cikgu Shaari Jasman. sebelum main kami letak wang seringgit seorang tepi meja pingpong. Siapa menang dia yang ambil duit itu. Sambil mengajar pun boleh main judi. Guru Besar aku adalah seorang yang amat baik. Dia tak pernah marah pun secara berdepan waktu kami tinggalkan kelas dan bermain itu. Kalau dia nak tegur pun sewaktu dalam mesyuarat guru. Itu pun secara baik. Aku ingat lagi apa dia kata tentang kami bermain pingpong pada waktu mengajar itu. Dia kata, "Nak main pingpong tu biarlah dua-dua cikgu tak ada kelas. Nanti orang kampung nampak tak elok."
(Bersambung.....)

7 ulasan - "KENANGAN INDAH 2"

Kakzakie Purvit delete icon 16 Disember 2016 12:12 PTG

Biarpun sekadar cerita tapi tak tahu kenapa kakak boleh membayangkan semua tempat itu PI. Lagi satu buat kakak teringat zaman kakak kanak-kanak sekolah di kampung dulu.

paridah delete icon 16 Disember 2016 4:37 PTG

Zaman pak engku jadi cikgu kak pun masih sekolah rendah lagi n kak rasa kakzakie ntah xlahir lagi kot heh..heh..tapi suasana di desa spt yg pak engku gambarkan tu lah...tq

Nooriah Abdullah delete icon 16 Disember 2016 8:38 PTG

selamat malam P
kita pun teirngat kampong halaman bila tengok padi tu

paridah delete icon 16 Disember 2016 9:19 PTG

SELAMAT MLM NOOR..MESTI TERINGAT SELALU KG HALAMAN KAN NOOR...TQ

Hasliynda Umairah delete icon 17 Disember 2016 11:20 PG

mengimbau kenangan

paridah delete icon 17 Disember 2016 3:20 PTG

YA. TKSH HASLIINDA UMAIRAH

Norhayati Mohd Isa delete icon 29 Disember 2016 3:58 PTG

Berlapik juga guru besar itu menasihati guru tu kan :)

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”