بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...


PANTUN-PANTUN PERIBAHASA PAK ENGKU
POKOK DELIMA BATANGNYA LEMBAB,
GUGUR BUAHNYA TIKA DIGALAH,
JATUH TERENDAM DI TEPI LURAH;
PECAHNYA CUMA MENANTI SEBAB,
RETAKNYA HANYA MENANTI BELAH,
BEGITU DENDAM HATI YANG MARAH.
Peribahasa : Pecah menanti sebab, retak menanti belah.
Maksudnya: Hanya menanti masa untuk membalas dendam.
PETIK KECAPI BERLAGU SAYU,
HINGGA KE PETANG DUDUK MENANTI,
TEMAN SEIRING HATINYA GUNDAH;
BAK DEDALU API DI POHON KAYU,
HINGGAP DI BATANG, BATANG MATI,
HINGGAP DI RANTING, RANTING PATAH.
Peribahasa : Seperti dedalu api hinggap di pohon kayu, hinggap di batang, batang mati, hinggap di ranting, ranting patah.
Maksudnya: Apabila orang yang jahat bercampur dengan orang yang baik-baik, akhirnya rosaklah orang yang baik-baik itu.
DEWI KENCANA BERMAIN TOMBAK,
BUJANG KELANA MELIHAT HAIRAN;
LAUT YANG MANA TIDAK BEROMBAK,
BUMI YANG MANA TAK TIMPA HUJAN.
Peribahasa : Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Maksudnya: 1. Manusia mana yang tiada membuat kesilapan. 2. Segala pekerjaan ada kesulitannya.
BUANG DEDAK PADI DITAMPI,
KERJA BERMULA BILAKAN SIAP;
KALAU TIDAK ADANYA API,
MASAKAN PULA ADANYA ASAP.
Peribahasa : Kalau tak ada api, masakan ada asap.
Maksudnya: Tentu ada sebabnya terjadi sesuatu hal.
MALAM LARUT DIAN DIPASANG,
DATUK LELA TIDUR SEJENAK;
JANGANLAH MULUT DISUAP PISANG,
PUNGGUNG PULA DIKAIT ONAK.
Peribahasa : Mulut disuapi pisang, buntuk dikait dengan onak.
Maksudnya: Bermuka-muka manis tetapi di belakang diumpat atau dibuatkan perkerjaan yang mendatangkan bahaya dan lain-lain.
BUKU HIKAYAT SEJARAH MELAYU,
SEJARAH DITULIS DATUK YANG EMPAT;
LEMAH LIAT SI AKAR KAYU,
DILENTUR BOLEH PATAH TAK DAPAT.
Peribahasa : Lemah liat akar kayu, dilentur boleh dipatah tak dapat.
Maksudnya: Pada lahirnya kelihatan lemah tetapi sebenarnya tidak dapat dipengaruhi atau dipermain-mainkan.
BUAH TURI SI BUAH JERING,
BUAH BADAM DIGAIT SURI,
GUGUR BUAHNYA RANTING DISESAH;
KIKIR PARI BELULANG KERING,
WALAU DIRENDAM TUJUH HARI
PASTI IANYA TAK AKAN BASAH.
Peribahasa : Kikir pari belulang kering, direndam tujuh hari tidak basah.
Maksudnya: 1. Orang yang degil dan kedekut. 2. Orang yang kuat (berkuasa) yang tidak boleh dipengapakan.
DAYUNG PERAHU KE PULAU LOMBOK,
SAMPAINYA TIDAK PENDAYUNG PATAH;
KALAU DAH TAHU GADUNG TU MABUK,
MENGAPA HENDAK DIRATAH-RATAH.
Peribahasa : Kalau tahu gadung itu mabuk mengapa diratah-ratah.
Maksudnya: Sengaja mencari perselisihan atau masalah tetapi akhirnya menyesal sendiri.
MAKAN KETUPAT BERSAMA RENDANG,
RENDANG SEKAWAH SI DAGING RUSA;
KALAU TAK DAPAT MELANGKAH BATANG,
MENYUSUP BAWAH PUN LEPAS JUGA.
Peribahasa : Tidak dapat melangkah batang, menyusup di bawahnya pun lepas juga.
Maksudnya: Dengan tipu daya atau muslihat yang licin serta rapi, orang yang kuat pun dapat dikalahkan.
DI TANAH TINGGI TERDAPAT DANGAU,
NAMPAK TAPTIBAU DALAM SARANGNYA;
SETINGGI-TINGGI TERBANGNYA BANGAU,
DI BELAKANG KERBAU JUGA HINGGAPNYA.
Peribahasa : Setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga.
Maksudnya: Kembali ke tempat asal setelah lama merantau jauh.
PERGI KE PASAR MEMBELI TIMBA,
BELI PERIA DI KEDAI NYONYA;
SEBESAR-BESAR GAJAH DI RIMBA,
KE TANGAN MANUSIA JUGA JATUHNYA.
Peribahasa : Sebesar-besar gajah di rimba, jatuh juga ke tangan manusia.
Maksudnya: Orang yang kuat, kaya atau mulia dapat juga ditundukkan dengan cara atau helah yang berkesan.
SURI TERMENUNG DI HARI SIANG,
SAMBIL BERKEMBAN DUDUK BERSILA;
JIKALAU REBUNG TIADA MIANG,
KENAPA BEMBAN YANG MIANG PULA?
Peribahasa : Rebung tak miang, bemban pula yang miang.
Maksudnya: Orang yang berkenaan tidak bising orang yang tidak berkenaan pula yang membuat kecoh dan turut masuk campur.
SUDAH HILANG INDAHNYA CINI,
AIR KELADAK WARNANYA KERUH;
ASYIK MEMBILANG KEPALA BINI,
BERANAK TIDAK BOLEH DISURUH.
Peribahasa : Membilang kepala bini, beranak beranak tidak boleh disuruh.
Maksudnya: Pekerjaan yang tidak tetap selalu mendatangkan kerugian.
MALAM MENJELANG MENDAYUNG BIDUK,
DI TANJUNG PINANG BIDUK TERSADAI;
SUNGGUH MALANG NASIB PAK KADUK,
AYAMNYA MENANG KMPUNG TERGADAI.
Peribahasa : Malang nasib Pak Kaduk, ayam menang kampung tergadai.
Maksudnya: Orang yang benar-benar malang hingga habis semua hak miliknya.
DIBELI REHAL DUA SEBANDING,
JATUH TERHENTAK PECAHLAH TIGA;
SEMAHAL-MAHAL MANA PUN GADING,
KALAU DAH RETAK TIDAK BERHARGA.
Peribahasa : Semahal-mahal gading, kalau retak tiada berharga.
Maksudnya: Jika orang yang di anggap baik atau mulia melakukan kejahatan maka martabat dan darjatnya tetap akan jatuh

5 ulasan - "BAK DEDALU DI POHON KAYU..."

Pha Is delete icon 22 Oktober 2016 6:03 PTG

perkongsian yg menarik.. dalam sangat bahasa dia sampai susah nk paham. heheh

paridah delete icon 22 Oktober 2016 7:03 PTG

heh..heh..bahasa kita indah unik n tersirat maksudnya tu yg susah nk faham....tq phais.

Khir Khalid delete icon 23 Oktober 2016 10:18 PTG

Tinggi bahasanya.. bukan sembarangan...

paridah delete icon 24 Oktober 2016 9:53 PTG

TKSH DIK KK INILAH SASTERAWAN MELAYU

Etuza Etuza delete icon 25 Oktober 2016 10:57 PTG

uniknya ciptaan Allah

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”