بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

Memang tidak mudah untuk kita menyelami hati manusia kerana manusia itu memiliki berbagai sifat dan perangainya. Ada manusia yang ikhlas dan luhur hati budinya. Ada pula yang sebaliknya. Ada yang sifatnya “Pepat di luar rencong di dalam” lalu mereka “Menggunting di dalam lipatan”. Ada yang “Mulut manis bagaikan madu namun hatinya pahit bagaikan hempedu”. Mereka-mereka inilah manusia yang bijak berlakon. Manusia-manusia yang hipokrit!
Memang terdapat ramai manusia yang bersifat hipokrit dan suka berpura-pura. Mereka bersifat hipokrit atau berpura-pura dalam banyak perkara dan hal. Ini termasuklah dalam bab kasih sayang. Sifat hipokrit atau berpura-pura sayang jelas terbayang di dalam pantun di bawah ini:-
Burung tarum burung serindit
Terbang melayang ke pohon ara
Hidung dicium pipi digigit
Itulah sayang yang pura-pura.
Begitulah kata peribahasa “Hidung dicium pipi digigit ” yang membawa maksud “Kasih sayang yang pura-pura sahaja”. Kenapakah ini semua terjadi? Ianya berpunca dari hati yang tidak suci bersih. Jiwa yang tidak luhur! Di mulut, berbuih berkata sayang namun dalam perlakuan dan perbuatan tidak melambangkan sedikit pun sifat kasih sayang itu. Contohnya seorang suami berkata dia sayang kepada isterinya. Namun dalam hal kebajikan terhadap isteri dia abaikan. Hati isteri tidak mahu dijaga. Perbuatan dan tingkah laku suami sering melukakan hati si isteri. Begitu juga halnya dengan isteri yang sering berkata sayang pada suami. Tetapi apabila suami hendak pergi kerja terpaksa buat air sendiri. Atau jikalau suami hendak makan terpaksa ambil sendiri nasi dan lauk di dalam periuk. Ini kasih sayangkah namanya? Bagi saya inilah yang dikatakan sayang yang pura-pura.
Begitulah juga halnya apabila seorang anak berkata dia sayang pada ayah dan ibunya di kampung. Tetapi di dalam perlakuannya, sebulan sekali pun tidak pernah menalipon bertanya khabar akan ayah dan ibunya. Apatah lagi hendak mengirimkan wang ringgit kepada mereka. Apakah ini yang dikatakan sayang kepada ayah dan ibu itu?
Apalah gunanya mulut kita berkata sayang tetapi dalam perlakuan dan perbuatan ia langsung tidak melambangkan sifat sayang tersebut. Adalah lebih baik mulut kita jarang mengungkapkan perkataan sayang tetapi dari segi perbuatan dan perlakuan kita ianya penuh dengan elemen kasih dan sayang. Biarlah kita kurang meluahkan kata yang muluk-muluk tentang kasih sayang terhadap seseorang tetapi di hati kita tersimpan rasa kasih dan sayang yang tiada tolok bandingannya. Janganlah kita berkata sesuatu yang kita tidak pernah melakukannya. Atau dalam ungkapan bahasa sekarang “Cakap tak serupa bikin”!
Sekian untuk renungan kita bersama. Fikir-fikirkanlah….

4 ulasan - "MENGGUNTING DALAM LIPATAN..."

Fidah Shah delete icon 2 Mei 2016 5:59 PTG

Perbuatan yang ikhlas jauh lebih bermakna dari kata kata..

PeRdU cINta delete icon 2 Mei 2016 9:36 PTG

Setuju kak...lebih baik kita diam dan tunjuk melalui tindakkan daripada riuh semadang tapi tiada apa hakikatnya..

abuikhwan delete icon 2 Mei 2016 11:04 PTG

Assalamualaikum kak, semoga diberikan kesihatan yang baik.
Susah benar mahu membersihkan hati, banyaknya dugaan yang berkeliling. Sikap hipokrit ujud apabila hati diresapi kotoran.
Kata Imam al-Ghazali di dalam Ihya` Ulumiddin: “Hati manusia adalah sebagai medan perebutan di antara roh suci dan nafsu jahat, atau pun kita gambarkan hati manusia menjadi rebutan di antara malaikat dan syaitan."
Jom, bersihkan hati...doakan.

Khir Khalid delete icon 3 Mei 2016 11:37 PG

Kata-kata itu adakala kurang berharga... hanya perbuatan yg mampu membuktikan segala yg tersirat di hati...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”