Monday 25 April 2016

MEMENUHI APPOINTMENT...

ASSALAMUALAIKUM....

CERPEN:
MEMENUHI APPOINTMENT
OLEH: PARIDAH ISHAK

Pic google image
Apabila tiba hari yang dijanjikan  dia bersama seorang pembantunya membawa aku ke hospital. Setelah sampai di KL dan puas bertanya tempat yang hendak dituju barulah dapat ditentukan kemana arahnya.
Appointment yang dibuat tidak menepati janji. Doctor yang sepatutnya ditemui dan menguruskan pemeriksaan perubatan diriku telah bercuti panjang entah kemana. Mujur ada seorang doctor yang sanggup mengambil tugasan yang ditinggalkan doctor berkenaan. Aku diuji kekuatan minda dengan beberapa soalan matematik asas. Komunikasinya menggunakan bahasa Inggeris yang mudah.
Seterusnya doctor menganjurkan agar aku ditahan di wad untuk beberapa ketika. Aku terkejut juga dengan saranan itu. Walau sebenarnya aku juga teringin merasai pengalaman berada di sebuah hospital yang sangat terkenal. Aku langsung tidak terfikir tentang masalah yang akan kuhadapi kelak. Aku hanya bergantung kepada kekuatan diri dan kemampuanya yang tidak seberapa berlandaskan kata-kata doctor itu bahawa ramai kakitangan perubatan di wad yang akan menjaga aku.. Langsung tidak bersedia dengan apa saja keperluan yang patut. Tidak ada tuala untuk mengelap air yang sentiasa keluar daripada mulut. Dan tidak ada sikat untuk menyisir rambut yang kusut. Tidak ada gelas untuk mengisi air minuman untuk pagi, petang atau malam.Hanya semata-mata membawa diri dengan pakaian sehelai sepinggang.  
Jiran-jiranku terdiri daripada semua bangsa Malaysia yang pelbagai sakitnya menempati katil. Wad 12A menemukan aku dengan mereka. Kalau aku boleh bercakap tentu  aku boleh berkomunikasi dengan mereka sebaiknya tapi suaraku sudah bertahun hilang. Hilang bersama kemalangan yang merenggut keupayaan jiwa ragaku yang kualami bersama anak-anak dan suamiku di lebuhraya pantai timur. Entahlah. Mungkin susun-atur nasibku begitu.  
Di sini aku bertemu dengan Zaitun, Zarina dan beberapa orang jururawat pelatih dan jururawat terlatih yang memberi khidmat mesra mereka kepadaku dan pesakit-pesakit lain. Mereka gemar melayaniku. Mengajakku bersembang dengan caraku. Dia meninggalkan aku sebuah buku nota kecil dan pen. Itulah saja pemberian yang diingatnya. Dengan pen dan buku itu aku mencatat semua aktivitiku seharian dan sajak-sajak pendek dan berkonunikasi secara tulisan dengan mereka yang sudi berinteraksi denganku. Dia memang arif dengan kesukaanku iaitu menulis dan membaca. Jika tidak ada buku tulis dan beberapa majalah yang dibelinya tentu aku hanya akan merenung kosong hariku yang berlalu tanpa pengisian apa-apa.
Berada di wad dalam bulan puasa sangatlah memilukan. Terpaksa meninggalkan puasa yang wajib di bulan Ramadan . walau aku uzur dan ada sebab syarie untuk meninggalkannya tapi aku sangat suka kalau dapat berpuasa. Namun tidak tergamak pula menyusahkan mereka yang terlibat, walaupun aku tahu tugasan mereka adalah melayani apa saja keperluan pesakit-pesakit yang berada di bawah pengawasan mereka.
Hari raya semakin hampir. Tapi pemeriksaan ke atas diriku belum juga selesai. Setiap hari ada saja temujanji yang ditentukan. Aku hanya mengikut saja arah kerusi roda  ditolak yang membantu membawaku. Pernah dihantar untuk scan dengan seluruh tubuh dimasukan dalam alatan scan seumpama telor yang besar.
Dalam laporan fail yang aku cuba fahami kandungannya yang tergantung di kerusi roda, bahawa aku mengalami kecederaan yang serius di otak (broken brain) dan ada pembekuan darah di situ.
Satu ketika pula aku disorong ke bilik di mana kepalaku dipasang wayar yang berselirat dan disambung ke mesin pengimbas yang melukis graf panjang pendek yang tidak aku fahami. Tulisan di fail juga tidak memberiku sebarang makna justeru tidak memahaminya suatu apa.
Memang sukar untuk memahami tulisan doctor. Mungkin doctor tidak mempunyai banyak masa untuk membentuk tulisan yang cantik kerana masa sangat perlu untuk diberikan kepada pesakit yang bertali-arus untuk mendapatkan khidmat mereka.
Tulisan cantik atau sebaliknya tidaklah terlalu dikira. Tapi bagi yang mencari maksud dan makna sepertiku ianya adalah amat penting sekali dan sangat diutamakan.
Selepas membuat pemeriksaan di kepala, disorong pula ke klinik mata untuk dibuat pemeriksaan mata pula, di sini seorang doctor wanita Melayu yang amat ramah meladeniku. Daripada name tag yang terlekat di bajunya ternyata  beliau ini adalah seorang professor university Malaya . Hospital ini namanya pun hospital university dan tentulah ianya mendapat khidmat  mereka yang pakar dalam bidang perubatan daripada university yang berhampiran juga. Aku mengagak saja. Sebab bukan arif sangatpun pengetahuan tentang ni.
Sepanjang aku di sini memang ada siswa siswi fakulti perubatan yang datang bersama pensyarah mereka melawat pesakit-pesakit di sini. Ada saja yang ditanya mereka kepadaku. Mereka begitu yakin dengan apa yang dipelajari dan kemahuan diri yang ingin dicapai setelah menamatkan pengajian kelak. Mulalah aku bermuhasabah diri tentang kekuranganku kerna telah mengabaikan peluang yang memberiku harapan untuk seiring mereka yang berpendidikan tinggi. Hendak bertaklik kepada nasib semata tidak boleh juga kerana Allah tidak akan mengubah apapun jikalau yang empunya diri tidak berusaha sesungguh hati.
Appointment aku yang terakhir adalah menemui seorang pakar anggota. Beliau membawa aku ke gym yang dipenuhi alatan yang membantu mereka yang lumpuh separa sepertiku untuk boleh berjalan semula. Aku diberi keyakinan bahawa aku boleh berjalan semula. Jurupulih Anggota di situ berpendapat begitu sambil menolongku bertatih berjalan memegang besi yang disedia daripada melihat gayaku berjalan perlahan. Untuk kembali pulih seperti sediakala tentu mengambil masa menurut Jurupulih Anggota yang membantuku itu..
Tahun ini adalah tahun ketiga aku berkeadaan begini. Terasa pantas masa berlalu tapi bagiku teramat lambat pula kerna keberdayaan diri yangku harapkan segera menyongsong tidak juga kunjung datang. Memikirkan semua itu menyesakkan mindaku. Air matapun berjurai mengirai kesedihan. Biarkan sajalah. Terima ketentuan-Nya dengan reda. Mungkin esok. Mungkin lusa, mungkin bulan depan, mungkin tahun depan harapan yang didamba menjadi kenyataan.
Zaitun, Jururawat Pelatih yang berasal dari Sungai Petani Kedah sering juga menemaniku. Selalu juga bertanya tentang diriku dan bercerita tentang pensyarahnya yang suka memarahinya tanpa diberitahu kesilapannya apa. Katanya mentang-mentanglah dia seorang pelatih, ada saja yang nak ditegurnya. Aku mendengar saja dengan asyik. Hendak berkomentar pun tidak tahu apa. Walau dia menjadikan aku sebagai tempatnya meluahkan rasa amarah yang membekam di hatinya tidak mengapalah. Aku rela menjadi pendengarnya. Sekurang-kurangnya diri yang lemah dan tidak berdaya masih ada gunanya. Dan masih ada yang sudi berkongsi cerita denganku.
Namun aku juga tidak dapat lari daripada kesedihanku bilamana aku sendirian di katil kala tiba jam 12.00 tengah hari. Ketika inilah ramai pesakit yang menerima tamu mereka. Mereka di kelilingi sahabat handai saudara-mara yang mengasehi mereka. Tapi tidak aku. Tidak ada sesiapa yang sudi menziarahi aku. Tersedu aku menangis disebalik tuala yang menutup wajahku. Seorang porter yang menghantar makanan seperti selalu menyedari itu. Dia tahu aku sedih dan bertutur manis kepadaku, mempelawa aku makan. Sekadar saja makanan yang mampu disuapkan ke mulut. Selera telah hilang bersama kesakitan dan kedukaa jiwa raga yang ditanggung.
Hadir juga tetamu yang sangatku nanti di sisi katilku. Hatiku yang kecewa teramat pula. Luluh rasa, sirna ceria. Sebabnya dia membawa seseorang bersamanya. Sesaorang yang amat penting dan istimewa dalam kehidupannya kini. Tapi bagiku seolah dia membawa duri kerawat yang mencarik-carik hatiku dan melukakannya dengan parah. Apalah salahnya kalau dia datang seorang saja hadir di saat kesendirianku ingin bersamanya. Mengapalah aku ralat dan musykil kerana keberadaan mereka bersama menemuiku? Memang wajarpun mereka boleh bergerak bersama kemana saja kerana mereka adalah pasangan suami isteri yang sah. Langsung tidak ada batas halangannya. Apatahlagi merekapun baru saja berkahwin.
Tapi tidakkah dia mahu memberi hatiku sedikit kegembiraan setelah selama ini menghancur-lumatkannya? Takkan sedikitpun tidak ada rasa belas-ehsan terhadap isterinya yang pernah sangat disayanginya suatu ketika dulu ini? Atau mungkin sengaja hendak menambah kelukaan di hatiku dengan lebih parah. Penderitaan yang teramat sangat sehingga tidak termampu diucap dengan kata-kata. Berterusan merangkai kata mengenainya hanya teriring dengan derai air mata.
SN Normah yang baik dan berperwatakan lembut itu bertanya kepadaku tentang kehadiran tetamuku siang tadi. Dia tidak percaya akan itu cerita sebenarnya.  Dan amat bersimpati dengan nasibku. SN Normah adalah, jururawat terlatih  kenalan pertamaku di wad ini. Orangnya cantik manis. Daripada lorat percakapannya aku yakin sekali beliau ini berasal dari Negeri Sembilan. Beliau pernahku dengar menasehati rakan sekerjanya yang mengadu kepadanya kerana keletihan dan kesebalannya terpaksa melayani kerenah pesakit yang sangat kurang upaya dan terpaksa dibantu kesemua keperluannya. Jawab SN Normah yang baik budi itu dengan lunak; merekapun tidak minta nasib mereka begitu. Kita yang ada kekuatan dan sedikit kelebihan upaya inilah yang sepatutnya membantu mereka. Memang aku sangat bersetuju dengan ungkapan manis penyejuk jiawaku itu kerna aku tergolong dalam golongan yang dimaksudkan itu. Tapi berapa ramaikah diantara yang memahaminya? Hanya SN Normah seorang di antaranya.
Dalam pertemuanku yang sebentar cuma dengan dia aku sempat berpesan kepadanya agar menjemputku sebelum menjelang Idilfitri tidak beberapa hari lagi. Aku tidak pasti samaada pesananku itu mahu dipenuhinya. Harapanku mudah-mudahan begitulah hendaknya. Setelah hampir dua minggu berada di bulan Ramadan di katil hospital aku merasa semakin jelak di sini. Dan tentu ingin sekali segera pulang ke rumah ibu-bapaku menyambut hari raya bersama anak-anak dan keluargaku.
Renungan menjauh sehingga kelibat Anne Lai tiba-tiba tersenyum kepadaku sambil menghulur kepadaku sebuah majalah fesyen. Anne Lai merupakan teman pesaakit yang sama-sama tidak boleh bercakap sepertiku. Sudi juga dia bertegur sapa denganku. Beliau baru saja menjalani pembedahan di tekaknya dan kerna itu suaranya tidak boleh berbicara. Gadis China itu adalah seorang jururawat resepsionis sebuah hospital swasta dan rajin meminjamkan aku majalah yang dibawa keluarganya.
Zaitun, Zarina dan ramai jururawat pelatih yang sering melayan bicara bisuku telah berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing hendak menyambut Idilfitri sehari dua lagi dijangka tibanya. Kelibat SN Normah pun tidak kelihatan. Kenalan-kenalan yang sering berinteraksi denganku telah tiada. Aku kesunyian, kehilangan tegur-sapa mereka. Walau sebenarnya memang telah lama aku larut dalam kesunyian yang melengkungi situasiku kini.  Di saat aku sangat mengharapkan kehadiran mereka yangku rasa rapat dan ada hubungannya denganku tidak ada yang terjengul di sini. Masing-masing sibuk melayani tuntutan kehidupan rutin dan membiarkan aku tidak dipeduli.
Dia membawa aku ke sini dan meninggalkan bebananya iaitu aku isterinya dan mengharapkan akan dijaga orang lain. Beginikah sikap seorang yang sangat bertanggung-jawab terhadap keluarganya seperti yang kerap dikatakannya dulu. Ahli keluarganya adalah mereka yang terpenting dan diutamakan segala-galanya. Aku ini adalah ahli keluarganya yang terdekat. Kenapa pula sanggup menyisihkan aku dalam keadaanku seperti ini? Ah! Masih merintih lagi. Sedang nasib yang mengunjungi tidak harus dikesali.
Aidilfitri yang ceria, menggembirakan semua tetap juga jelang pabila tarikh yang diumumkan Penyimpan Mohor Raja Raja bagi negeri negeri di seluruh Malaysia tidak kira aku di mana. Aku melihat Anne Lai di ujung katil. Dia merenungku sayu seolah mengongsi kepiluanku menyambut hari bahagiaku di katil hospital. Aku bertanya kenapa dia kelihatan murung namun tidak membalas apa-apa. Mungkin ada sesuatu yang difikirkannya.
Tidak ramai petugas di wad pada hari ini. Kebanyakan mungkin telah bercuti sempena meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Pesakit di wad yang Islam kecuali aku telah dibawa pulang keluarga masing-masing yang prihatin. Sepatutnya aku juga sudah discharge dari wad tapi tidak ada sesiapa yang datang menuntutku dan membawa aku pulang ke rumah.
SN Rasnah menjadi kenalan baruku. Dia kasihan melihat aku masih di wad sedang sepatutnya sudah dibawa balik. Dia berusaha menghubungi mereka yang ada sangkut-paut denganku yang berada di sekitar KL untuk segera mengambilku setelah discharge sejak semalam. Tapi banyak pula alasan yang kudengar menolak kehadiranku. Tidak mengapalah. Mendesak sesiapa saja untuk menerima masalahku yang akan menyusahkan mereka bukan kugemari. Aku Cuma berharap pihak hospital bersedia membenarkan aku berada di hospital ini sehingga dia mengambilku semula setelah diberitahu pihak yang berurusan dengannya kini.
Hari raya telah separuh hari berlalu. SN Rasnah melayani aku makan sambil berbual-bual. Katanya selama aku begini barangkali sudah terlalu banyak agaknya air mataku yang tumpah. Sangat benarlah susunan frasa katanya itu. Aku mengangguk. Kebiasaanku begitulah. Terangguk-angguk untuk mengiakan sesuatu. Kenalanku ini sangat memahamiku rupanya.
Akupun mula menulis sesuatu tentang dirinya dalam buku kecilku.

19 comments:

  1. Replies
    1. sesekali tulis cerpen sedih pula yan...tq

      Delete
  2. pelbagai kisah kehidupan boleh didapati ketika berada di hospital..kebykan kisah sedih..huhu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. YELA NOHAS CERITA DI RUMAH SAKIT HANYA TNTG KESAKITAN...TQ

      Delete
  3. Kenapa ada airmata kakak merembes pulak bila baca cerpen ini
    Mengharap cerpen ini sekadar rekaan semata-mata..

    ReplyDelete
    Replies
    1. WAH BERJAYA JUGA PI MELUKIS RASA SEDIH YA..SEKADAR CERPEN SAJA KAKZAKIE XDE KENA MENGENA DGN SESIAPA...TAPI BIASANYA PENULIS MNGGARAP TULISAN HASIL PEMERHATIANNYA...TQ

      Delete
  4. Tersentuh pulak cerita ni K PI, hari raya ditinggal sorang sedih..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH BP MMG SEDIH BERAYA DI HOSPITAL NI...

      Delete
  5. Assalaamu'alaikum wr.wb, Kak Paridah Ishak...

    Begitulah lumrah hidup kak. Kala kita senang ada yang datang bertandang. Kala kita susah dan kesakitan, jarang yang menjenguk menghiburkan hati. Lagi sedih apabila sang suami mencari pengganti baru sedangkan kita masih bernyawa mengharap kasih yang tidak sebanyak mana. Cintanya hanya sekadar belas kasihan. Bila kita tak berdaya kita disisih buang. Itu bukan namanya cinta sejati kak. Mudahan sabar sahaja yang mampu menguatkan iman kita saat kesedihan.

    Saya turut hanyut dalam perasaan yang tidak lekang dengan kesepian. Setelah membaca cerpen ini sampai habis, saya mengambil pelajaran bahawa kita yang masih disempurnakan Allah tanpa ada sakit perlu sangat bersyukur dengan nikmat Allah SWT.

    Kak, saya sudah menjelaskan tentang beza TELUR MASIN dan TELUR PADI dalam balasan komentar akak di blog saya. Silakam membacanyanya. Malah saya lampirkan foto baru juga di sana.

    Salam manis dari Sarikei, Sarawak. :)

    ReplyDelete
  6. WSALAM DIK SITI FATIMAH..............BENAR SEKALI KOMENTARNYA...KADANG TAKDIR HIDUP MASING2 XKITA KETAHUI RUPANYA DAN HARUS SENTIASA BERSEDIA.
    TERIMA KASIH PENJELASAN TENTANG TELOR PADI YG UNIK TU BARU KAK KETAHUI SETELAH ULANG BACA DI BLOG SITI.

    ReplyDelete
  7. selamat menulis tentang dirinya, semoga berbahagia :)

    ReplyDelete
  8. Allah... mendalam kisah ni... menyentuh perasaan kak...

    ReplyDelete
  9. YEKE..TKSH DIK KK SUDI BACA...SATU SISI KEHIDUPAN KITA YG BERAGAM KISHNYA...

    ReplyDelete
  10. Wah ceritanya sedih banget yah, keren banget bisa menjadi motivasi nih

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist