بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM....

Cerpen:
Paridah Ishak.



Gunung Jerai yang megah berdiri gagah. Di sinilah Merong Maha Wangsa melabuhkan bahteranya. Dongeng Melayu yang masih gah. Entah bagaimana cerita sebenarnya yang tersurat periwayatnya perlulah diselak baca. Meneliti sambil mengkaji akan realiti walau kadang sukar juga terpercaya menurut logik akal yang sederhana. Namun cerita lisan yang terbawa sejak generasi ke generasi, zaman berzaman tentu ada kebenaran lantaran perbidalan kitapun mengatakan “tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.”
Dan ada pula tinggalan artifak yang dikatakan berupa bahtera besar telah bertukar menjadi batu kerana kelamaan usianya untuk menyokong kebenaran riwayat yang disangka metos semata. Kisahnya bagaimana Merong Maha Wangsa yang menabur khidmat mempertemukan puteri maharaja China dengan putera raja Rom dengan tujuan mengahwinkan pasangan itu namun dilanggar burung geroda yang ingin menggagalkan niat itu.  Niat baik menghubungkan dunia timur dan barat dengan jalenan ikatan yang lebih murni melalui perkahwinan.
Maka tersadailah bahtera besar itu di puncak gunung Jerai  dan kesudahan ceritanya tentu tidak berlaku setakat itu saja. Lanjutan cerita kisah cinta timur dan barat yang terabadi di kaki gunung Jerai menyimpan pertanyaan yang tidak berkesudahan. Namun gunung jerai bagiku adalah objek seni lagi indah di mana pun aku berada. Sawah padi terhampar sejauh mata memandang di kakinya seolah menggamit aku pulang ke sisinya. Apabila berada di tengah bendang dan memandang gunung Jerai menyapu awan putih seolah-olah sebahagian masalahku telah terlerai. Tenang dan damai.
Namun sebenarnya kehidupan di sebuah rumah di tepi sawah di kaki gunung Jerai ini tidak setenang dan damai seperti yang dijangka juga. Di dalamnya meriah aneka perasaan yang berbaur menurut situasi demi situasi. Ada tawa-hilai, jerit- pekik, tangisan dan kata-kata yang melukakan perasaan. Demikianlah kehidupan sebenar bukan? Tidak berirama sekata tapi ritemnya melenggok. lemah gemalai, turun naik,  menyusun tarinya
“Maaflah kak! Baru hari ini dapat datang melawat kak.”
“Tak mengapa dik, kak lama lagi di sini. Bolehlah datang bila bila saja melawat kak, teman kak yang sendirian tak berkawan di sini.”
“Hajat hati memang begitu kak. Kak Emilia pun selalu pesan pada saya agar selalu datang menjenguk kak.  Tapi sibuk sangat di rumah menolong mak menjaga padi di bendang dan pelbagai kerja di rumah yang kena dibuat. Mak pun dah tak larat sangat maklum dah berusia juga.”
Pertemuan di relong waktu berlalu dengan sedikit cerita di permulaannya. Beliau adalah adik kepada sahabat lama sepersekolahan di era kecilku. Seringkali pula gadis berperwatakan lembut, berbudi bahasa itu mengunjungiku selama aku bermukim di sini, di rumah tok dan emak saudaraku yang bungsu. Ayahku yang membawa aku ke sini untuk mencari solusi kepada penyembuhan sakit yang menyebabkan diriku terlantar tidak bermaya setelah melahirkan zuriatku yang pertama. Kompilikasi saat melahirkan yang kritikal kerana tekanan darah yang amat tinggi menyebabkan aku sengsara begini.
Dan kini hanya menjadi penyaksi, perenung, pemikir semata dalam suasana yang samasekali tidak aku mahukan. Ego yang menjerut diriku sukar juga terlepaskan nampaknya. Masih perlu kuat berusaha lagi mendidik nurani agar murni. Semoga Allah menetapkan hatiku agar tidak bolak balek sentiasa.
Namun Allah Maha berkuasa ke atas segalanya justeru telah merubah hati gadis yangku kenali sewaktu kecilnya seorang yang kasar, tutur katanya kesat dan mengguris hati kecilku kini tampilannya berbeza sekali. Selain wajahnya cantik berkulit putih bersih dan peribadinya lunak mulia.
Nurita aisya yang kukenali dulu tidaklah sebaik kakaknya sahabatku Emilia. Dia menjadikan aku musuhnya yang akan disembur api kemarahannya kerana sering ke rumahnya dan berkawan dengan kakaknya . Aku tidak ambil hatipun justeru mengangapnya sebagai adikku yang terlebih sedikit kenakalannya. Setiap perbuatannya kepadaku diingati dan tidak malu-malu memohon maaf kepadaku. Mendengarkan itu aku tersenyum cuma. Dirinya dulu dan sekarang terlalu jauh bezanya. Agaknya pabila diri semakin dewasa dan matang kita hanya akan berfikir positif semata. Seboleh-bolehnya ingin mendisplinkan diri sebaik yang mungkin. Begitulah peribadi gadis ayu Nurita aisya kini.  Dan seketul arang kecil itu dulunya  telah ditempa menjadi berlian yang amat elok berharga. Tentulah hasil kebijaksanaan didikan kedua ibu bapanya.
Kenangan zaman anak-anak yang sangat mendukacitakanku terimbau semula. Aku ditinggalkan ayahku pada tokwan dan tok untuk menyambung persekolahan di sini dan menggauli suasana yang mencorakan warna hidupku kini. Jika aku tinggal bersama keluargaku di sana tentu lain pula rona takdir-Nya. Justeru bersama ibu bapaku yang teramat mementingkan pencapaian didikan akademi yang cemerlang tentu rona kehidupanku lain pula.
Bukankah kecapaian ilmu itu sangat penting dalam pembentukan kehidupan yang diingini. Tidaklah seperti diriku yang hanya menjadi suri rumah sepenuh masa  kerana ditamatkan didikan persekolahan di peringkat sekolah rendah saja. Ramai kawan-kawan sepersekolahan yang berjaya dalam karier pilihan masing-masing . termasuklah sahabat baikku Emilia. Seorang yang amat berjaya dalam karier dan kehidupannya setelah  nenamatkan pengajian hingga peringkat tertinggi.
Nurita aisya juga musykil dengan dirinya yang seakan menyesali nasibnya yang tidak berjaya berkerjaya seperti adiknya Hafiz dan kakaknya Emilia. Meninggalkan dia seorang di rumah membantu ibu bapanya melakukan kerja rumah dan bendang. Penerimaan ibu bapa terhadapnya juga menyedihkan. Dirasakan seolahnya kedua ibu bapanya itu  membezakan kasih sayang kepada anak-anaknya. Sering berjauh hati dan merasa terpinggir. Tambah pula dengan usianya yang semakin meningkat dan sudah sepatutnya berkahwin . namun Nurita aisya masih juga belum dipinang sesiapa.
Mungkin ini merupakan masalah besar bagi ibu bapa . Mereka merasa malu, terhina lantaran anak gadis mereka tidak disunting orang. Alangkah kolotnya pandangan itu. Mengapa perlu memandang dengan prasangka pesimis lagi sinis pada gadis gadis yang tidak bertemu jodohnya lagi. Jodoh pertemuan itu adalah takdir Tuhan. Sukar sangatkah hendak menerima andaian begitu?
Pada anggapanku perkahwinan juga adalah nasib. Tidak semua perkahwinan akan memberi apa yang diimpikan. Asas cinta juga tidak akan membina rumahtangga yang berkekalan selamanya. Segalanya adalah ketentuan Allah yang harus diterima semata. Bukan mempersoalkannya kenapa dan mengapa. Sunnah nabi Muhammad saw yang memakmurkan umat Islam sedunia itu akan berlaku dengan izin-Nya dan tidak mungkin kerana kemahuan sesiapa sahaja.  Telah dirancang sebaiknya, ditentukan tarikh dan waktu tetap ada saja aral menggendalakannya jika tidak diingini-Nya berlaku.
Aku juga merancang perkahwinanku sesuai citarasaku agar sentiasa berbahagia selamanya dikelilingi anak anak pengikat kasih sayang yang akan dididik sesempurna mungkin.  Tidak sempat pulaku lakukan kerana kemudaratan fizikal yang menguzurkan kesihatanku. Langsung tidakku duga akan begini kesudahan hidupku. Perancanganku bukan ketentuan-Nya.
Apakah menyesali takdir yang terjatuh di lorong hidupku?  Tanpa rasa reda tentu akan terselit dosa. Dosa yang tidak mahu lagi kuukir apapun rupa bentuknya. Samaada besar atau se kecil zarah. Astaghfirullah. Ampuni hamba-Mu ini ya Allah.
Perkahwinan yang memberiku rasa bahagia pada mulanya tidak berkekalan selamanya. Singkat sekali berada dalam situasi yang disenangi terhapus pula tiada terduga. Mungkin ada kesilapan yang kulakukan di mana-mana tanpa kusedari dan kifarah-Nya perlu ku bayar sejak di dunia lagi. Astaghfirullah. Ampuni hamba-Mu ini ya Allah. Sesungguhnya hamba-Mu ini adalah orang yang berdosa.
“Kak dah lama juga berubat dengan Tok Minah sambil berurut setiap hari Ita tapi masih juga belum sembuh. Rasanya minggu depan ni ayah kak datang kak akan balik ke tempat kak. Nak sambung berubat di sana pula.” Sebenarnya aku sangat rindu kepada  anak kecil yangku tinggalkan dalam penjagaan ibu di sana. Anak kecil yang kehilangan kasih sayang ibunya semenjak ia lahir ke dunia lantaran aku tidak berdaya berbuat sesuatu apa deminya. Tidak dapat langsung untuk memenuhi tanggung jawab sebagai ibu kepada seorang anaknya. Namun rinduku kepada anak itu sentiasa membuak-buak.
“Yelah kak. Eloklah begitu. Jangan berputus asa kak. Berubatlah sehingga sembuh sediakala. Biasalah sakit ni datangnya seperti ribut tapi nak baiknya berdengut-dengut macam semut. Tapi nampak pada saya wajah kak sudah semakin merah berseri dan tidak lagi pucat seperti pertama kali saya ke sini jumpa kak dulu. Insya-Allah kak pasti pulih. Saya selalu doakan kesejahteraan kak.”
“Terima kasih banyak dik. Insya-Allah.”
Aku merenungnya tajam. Renungan yang menyeluruhi wajah mongel ayu itu.
“Kenapa kak pandang saya begitu? Tak betul apa yang saya katakan itu?”  tersipu malu pula ia menuturkannya dengan rasa keserbasalahan menyebabkan aku digelut bimbang.
“Eh! Bukan itu maksud kak dik Ita. Sebenarnya kak sedang mencari wajah Emilia dalam wajahmu. Dah lama kami tak jumpa itu yang rindu sangat. Teringat dulu dulu kak selalu jalan kaki melalui batas bendang ke rumahmu sebelum bersama-sama Emilia menapak hingga ke sekolah. Jauh juga  jaraknya. Rasanya dekat 4 kilometer juga. Pendek kata memang penatlah meredah embun di pagi hari sebelum tiba ke sekolah. Baliknya terpaksa melangkah pula di tengah rembang panas tengah  hari. Sedang perut bukan main berkeroncong lagi. Setelah makan kami berdua ke rumah Pak Utih pula belajar mengaji al-quran. Masa tu kau masih kecil dan tak bersaing dngan kami sebab bersekolah petang. Kenangan zaman kecil yang sangat indah kan Ita. Terasa hendak mengulanginya. Tapi masakan mungkin.”
Zaman persekolahan yang menemukan aku dengan ramai guru guru yang bertanggung jawab dengan bidangnya lelaki dan perempuan  terutamanya cikgu Zakaria. Seorang guru yang menyenangkan hatiku kerana sering membaca karanganku di dalam kelas dan meminta kawan kawanku yang sekelas mencontohinya.  Setiap kali peperiksaan pula aku dan Emilia sering bergantian mendapat tempat pertama atau kedua hanya dengan perbezaan markah yang sedikit. Disebabkan itu tidak pula menjadikan kami bermusuh. Emilia berfikiran terbuka dan dia amat menyedari kekurangan dan kelebihanku iaitu hanya di dalam subjek bahasa Melayu tapi di dalam subjek metamatik sentiasa di belakang kecapaiannya.
Nurita aisya tersenyum manis seraya spontan membalasnya.
“Kak ni rindukan kak Emilia ya!” tanpa sedar ada buli buli jernih di kelopak mata tanda benar sekali jangkaan Nurita aisya.
“Kak Emilia pun dah lama tak balik kampung kak. Sibuk sangat dengan tugasan pejabat. Macam-macam program pula yang terpaksa diikuitinya. Kadang hingga ke luar negara. Kami hanya dapat berhubung melalui telefon saja kak. Mak dan ayah pun tak renti-renti bertanya kenapa kak Emilia tak balik-balik. Saya yang tercongok selalu di depan mata mereka tak dipeduli pun. Tak kisah pun apa keadaan saya. Samaada saya gembirakah, sedihkah, peningkah, tak pernah tanya pun kak. Sedang saya nilah yang sentiasa banyak membantu mak dan ayah di rumah. Kak Emilia dan adik Hafiz hanya balik sekali sekala saja.”
Aku menggenggam erat tangannya yang berjemari halus itu. Lontaran suaranya menyatakan kesebalan disebalik fakta yang diungkap.
“Biasalah Ita, yang tiada, yang jauh di mata sentiasa diingat, sentiasa dirindu. Kalau Ita tiada di hadapan mak Tam dan pak Tam mereka juga akan tertanya-tanya dan rindu amat. Anak dan emak ayah ini hubungannya sangat erat Ita. Berkongsi aliran darah dan jiwa juga. Walau ada perbezaannya. Janganlh terlalu fikirkan semua tu dik. Bila kak dah tiada di sini tentu Ita juga akan teringatkan kak. Jadi jangan lupa SMS kak ya. ”
Tinggallah tok dan mak cik Aina yang bersusah payah menjagaku, mengurusi setiap keperluanku selama aku di sini menumpang ehsan dan kasih sayang mereka. Membebani mereka yangku hurmati dan kusayangi ini justeru keuzuranku bukan kemahuanku. Tapi ujian Allah kepadaku melibatkan mereka yang berada di sekelilingku juga. Kesabaran mereka menerima masalah besar yangku bawa bersama diriku hanya Allah yang membalas ganjarannya. Mudah-mudahan.

Tinggallah Nurita Aisya, kesudianmu menemani sunyiku selama aku di sini dengan cerita sedih dan gembiramu begitu bermakna sekali. Akanku simpan abadi di hati. Semoga kelak suatu ketika kita ketemu lagi dalam suasana berbeza yang kita amat menyenanginya.

4 ulasan - "MENGGAPAI CINTA...."

Puan Wawa delete icon 26 Mac 2016 1:02 PTG

salam singgah kak PI..")

paridah delete icon 26 Mac 2016 3:25 PTG

tksh wawa..

babYpose delete icon 26 Mac 2016 9:45 PTG

Gunung jerai sebelum alor setar, landmark dan tempat menarik kedah :)

paridah delete icon 26 Mac 2016 9:55 PTG

ya BP menarik n cantik sekali view di puncak gunung jerai ni...tq

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”