بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
BUNGA-BUNGA ASAP
-          Karya:  Paridah Ishak.


Syida Alia menyoroti langkah Akram bersama dua orang rakan sekelas mereka yang kian menghilang di hujung simpang. Ke mana agaknya mereka pergi, hatinya tertanya-tanya. Bagaimana hendak mengabarkan keberadaan Akram, jikalau Mak Midah dan Pak Mizi jiran sebelah rumah bertanyakannya. Mereka adalah rakan sekelas dan tentulah jikalau dia pulang apabila tamat waktu persekolahan, Akram juga turut sampai ke rumahnya seperti biasa.
“Pandai-pandailah kau menjawabnya Akram! Jangan sampai ayah kau melibas kau dengan getah paip sebab marahkan kau merayap merata selepas waktu sekolah, sudah. Risau juga sebab Pak Mizi ayah kau memang terkenal dengan sifat garang dan tegasnya.” Monolog Syida Alia, cuba menutup gelisah hati sendiri.
Sejak kecil, Akram menjadi teman sepermainan Syida Alia. Sifat ayah jirannya itu tidak asing kepadanya.  Walau bagaimanapun Pak Mizi sering tersenyum, tertawa dan bergurau senda dengan anak-anak mengikut situasinya. Namun ketegasan mendidik anak-anaknya amat ketara.
Kesemua  anak-anaknya mesti belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan cemerlang.  Ena anak sulungnya kini di semester akhir pengajiannya di sebuah universiti tempatan di utara. Anak keduanya Eni pula menyambung pelajarannya di utara, di sebuah universiti tempatan juga. Anak-anaknya yang cuma tiga orang itu diberi nama yang pendek saja untuk memudahkan dia menyebutnya. Pak Mizi sangat praktikal dengan hidupnya. Tidak mahu perkara-perkara yang leweh.
“Kau dah pulang Syida? Tapi kelibat Akram tak nampak lagi.”  Mak Midah menegur Syida Alia.
“Kami memang balik sama-sama tadi tapi dia melencong ke tempat lain pula. Mungkin ada urusan penting tu…”  Syida Alia menjawab sejujurnya.
“Apalah urusan pentingnya tu. Tak ingat nak balik makan, lepas tu ke sekolah agama pula.”
“Sekejap lagi sampailah tu, Mak Cik. Sempat lagi dia nak bersiap ke sekolah agama.”
Beberapa minit kemudian, kelihatan Akram sedang melaju ke arah mereka dengan basikalnya.
“Cepat masuk, mandi, makan, solat. Lepas tu gi sekolah agama. Lambatnyalah balik. Merayau ke manalah tu. Jangan buat gitu lagi, Ayah kau duk perhati tu. Apa saja dia nampak kau buat silap, siaplah kau.” Ibunya tegas mengingatkannya. Risau akan berulang peristiwa anaknya itu dilibas rotan kerana ralit bersama rakan-rakannya hingga lewat malam.
“Kau jangan rapat sangat dengan budak berdua tu Akram.” Syida Alia turut menegur Akram.
“Maksud kau tentu Zulkifli dan Firdaus kan. Apa pula salahnya Syida. Mereka tu elok baik .” Akram cuba memberi penjelasan.
“Elok baik sangatlah  tu! Kau fikir aku tak tahu perangai budak berdua yang dah pandai merokok tu. Syida bimbang kau akan terpengaruh.”
“Mana ada! Kau ni pandai-pandai saja buat cerita Syida.”
“Kalau mereka tu merokok aku tak heran sebab keluarga mereka memang gitu. Mak ayahnya, abang-abangnya perokok. Kau jangan-jangan dah belajar merokok dengan mereka.”
“Mana ada!” Akram menyanggah tuduhan Syida Alia.
“Kau jangan buat gitu Akram….merokok kan membahayakan kesihatan.”
“Aku tahulah! Tak payah susah-susah nak beritahu aku.” Masam wajahnya ditegur begitu.
“Akram, jangan salah faham. Syida  beri nasihat sebab kau tu kawan baik,  jiran terdekat. Syida tak mahu kau hilang arah dan tujuan. Kitakan msih muda. Jalan hidup kita masih jauh, macam yang cikgu selalu cakap tu.”
“Iyalah,  mak nenek!”
Mak nenek ini sedang setia berada di sisimu Akram. Monolog  Syida Alia menguasai mindanya menerawang ruang kenangan masa yang telah lama dilewati.
Perpisahan telah lama berlaku di antara kedua-duanya. Syida Alia diterima bersekolah di asrama penuh ternama di Johor Baharu.  Akram pula menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh di Kuantan. Kedua-duanya adalah pelajar cemerlang kebanggaan keluarga.
Kini, masing-masing berjaya menghabiskan pengajian mengikut jurusan pilihan di universiti.  Akram memilih bidang pendidikan sebagai kerjayanya.  Syida Alia pula  sebagai doktor setelah tamat pengajiannya selama tujuh tahun di fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Kau pasti sangat letih setelah jalani  kimo kan…” Akram angguk saja tanpa sepatah kata.
“Rawatan sakit kau ternyata berkesan setelah jalani pembedahan,  kimoterapi dan makan ubat yang hospital beri. Sel kanser berjaya dimatikan dan In Sya’ Allah kau pasti dapat jalani kehidupan seperti biasa dan boleh mengajar semula. Mujur cepat kau dapatkan rawatan di hospital sebelum kanser tekak kau merebak ke bahagian lain.” Syida Alia menyambung kata.
Akram  hanya mampu mengangguk lagi. Suaranya tidak kedengaran lantaran peti suaranya telah rosak diganggu virus kanser. Bergunung-gunung penyesalan menyesak dada kerana perbuatan menzalimi diri sendiri.
“Menyesal kemudian tiada ertinya, aku yang degil sangat. Syida selalu beritahu aku, jangan sesekali merokok. Tapi itulah yang aku curi-curi buat di belakang emak ayahku. Niatku cuma hendak bersuka-suka mencuba sesuatu pengalaman baru. Perbuatan ini pasti mudah ditinggalkan bila-bila saja. Itu kataku. Rupanya tidak semudah itu.” Monolog Akram mengimbau kenangan lalu.
Di sekolah berasrama penuh, Akram bertemu pula dengan rakan-rakan yang sekepala, seiring sejalan dengan pemikiran remaja yang ingin bebas berbuat apa saja konon tersangat dewasa dan terlebih bijaksana. Pantang tidak dilihat guru atau pengawas sekolah, rokok sentiasa berasap di mulut. Nikmatnya menyedut asap nikotin yang berbunga-bunga kepulannya hanya mereka yang merasai.
Beberapa kali Akram pernah ditangkap dan dilibas warden asrama kerana kesalahan merokok , tetapi dia tidak pernah rasa serik. Tabiat buruk itu berterusan. Tabiat yang tidak jemu diulang-ulangi. Di dalam kenormalan fikiran pernah juga dia berfikir, untuk meninggalkan tabiat buruk yang tidak disukai oleh sesiapa yang pentingkan kemasyhlahatan hidup sempurna dan kesihatan yang baik. Mungkin setelah berada di ruang universiti kelak perilaku buruk itu akan ditinggalkannya.
Namun, niat  hanya tinggal niat yang tidak tertunai juga. Di universiti tiada langsung gangguan apa-apa.  Tiada larangan merokok.  Merokok di mana saja dibolehkan, kecuali di dalam dewan kuliah atau kelas tutorial. Tiada siapa yang menegah waima melarang. Asap rokok berkepul dihembus dan disedut tanpa rasa bersalah sedikitpun. Seronok dan nikmat. Nikotin rokok pun menebal,  menadi  salur darah.
Wang yang banyak di tangan setelah berkerja memudahkan Akram tidak berkeputusan merokok.  Badan dan nafas berbau rokok, bibir menjadi hitam lebam . “Apa aku kisah?”
 “Kata kawan-kawan yang tidak merokok aku membazir wang yang banyak dengan membakar puntung rokok saja. Dengan wang yang terbakar itu jikalau dikira-kira aku sudah mampu memiliki rumah atau kereta mewah. Cakaplah apa saja aku tidak pedulipun. Keseronokanku dan keperluanku tidakku kongsi dengan mereka yang bijaksana bercakap saja tu. Di mana saja atau buat apa saja pasti terjepit puntung rokok di bibir kecuali tidur atau masuk kelas. Aku seorang guru. Walaupun aku perokok, tetapi aku tidak pernah merokok di hadapan pelajar-pelajar. Malah aku sering menasihatkan mereka menjauhi tabiat merokok yang membahayakan kesihatan itu. Kena ikut apa yang cikgu ajar bukan ikut apa yang cikgu buat. Heh! Heh! Begitulah kesimpulan guru yang seorang ini. Akulah tu.” Monolog Akram berlarutan.
Sehingalah Akram disahkan ditulari kanser tekak kerana sering demam dan tidak hadir ke sekolah melaksanakan tugasan guru . Yang pasti faktor utama 90 peratus kerana keghairahannya merokok. 
Akram berulang alik ke hospital ditemani kakak-kakaknya Ena atau Eni . Hanya saudara terdekat yang setia menemani saat susah payah. Kepayahan yang  dicipta akibat kecuaiannya mengambil mudah nasihat emak ayah dan kakak-kakak yang sangat menyayangi. Dan Syida Alia juga.
Akram sedar, Syida Alia sangat prihatin dengan nasibnya. Tetapi tentu saja dia tidak boleh menyayangi dirinya seperti kakak-kakak. Syida Alia yang  sering memberinya semangat melawan penyakit dan tidak menyerah kalah walau pasrah dan reda dengan takdir Allah.
“Setiap penyakit ada ubatnya. Hanya perlu ada usaha dan ikhtiar mencarinya.” Kata Syida, merujuk kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w.
Walau penyakit ini kronik dan merbahaya tapi dengan izin Allah ramai pesakitnya berjaya dipulihkan dengan rawatan yang berterusan. Itu yang Syida Alia beritahu. Syida Alia tidak pernah menempelak kebodohan Akram. Bicaranya selalu manis dan melegakan hati lelakinya yang rusuh mendepani permasalahan penyakit .
Selain jalani rawatan kimoterapi yang sangat meletihkan itu, Akram  juga mengamalkan cara hidup sihat tanpa rokok lagi. Apa saja yang disarankan, makanan atau herba yang boleh merencatkan pembiakan kenser akan diambilnya. Sentiasa saja berulamkan dedaunan hijau yang berkhasiat kala makan tengahari atau malam seperti ulam raja dan buah-buahan yang diakui amat baik untuk merawati kenser iaitu durian belanda.  Jus daun buah durian belanda juga dikatakan dapat merawat kanser dengan izin-Nya.
Mudah saja mendapatkan bekalan durian belanda yang sering dijadikan jus tanpa gula untuk merawat penyakit Akram.  Beberapa pohon yang ditanam ayah di belakang rumah mereka di kampung berbuah lebat. Kalau dulu , langsung tidak pedulikan buah tersebut.  Hanya menjadi makanan burung atau gugur sendiri kala masak, kini sebaliknya. Sentiasa ditunggu bunganya berputik dan menghasilkan buah untuk dijadikan jus yang enak . Mendapatkannya di pasaran agak susah juga dan mahal harganya.
Makanan segera seperti sosej, burger dan yang berlabel sodium nitrate, potassium nitrate mesti dielakan kerana akan menghasilkan karsinogen yang menggalakkan kanser. Nampaknya makanan segera menyebabkan kematian segera juga. Kematian itu urusan Allah.  Namun kita wajib menjaga kesihatan diri. Merosakannya tentulah berdosa hukumnya.
Allah tidak menyusahkan hamba-Nya dengan dugaan yang sukar dilepasi dan luar kemampuannya.  Akram memanjatkan kesyukuran. Ujian Allah itu penuh hikmahnya, membuat dia terasa dekat kepada-Nya. Bermusahabah diri dengan menyesali segenap kesilapan diri dan dosa-dosa yang  dilakukan.
Setiap malam, Akram menggagahkan diri untuk bertahajjud di sepertiga malam, sesuatu yang tidak pernah dilakukan ketika sihat dahulu.  Dalam sujud dia mengadu dan memohon keampunan.
“Subhanallah … Ampuni hamba-Mu ini ya Allah. Selama ini hamba-Mu ini terlalu lalai dan alpa. Nikmat kehidupan yang kau limpahkan kepadaku  tidak kusyukuri. Dan aku membuat kerosakan dengan menzalimi diriku sendiri. Kini aku bertaubat sesungguh hati dan berjanji dengan-Mu tidak akan sesekali mengulangi kesilapan lalu walau sekecil mana. Berkati niat suci murniku ni ya Allah.”
“Ya  Allah, kurniakan kepadaku pengakhiran hidup yang baik. Ya Allah, kurniakan kepadaku taubat nasuha sebelum aku mati. Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, Kau tetapkan hatiku di atas jalan agama-Mu. Tetapkan hatiku sentiasa taat kepada-Mu.  Aamiin.” 
“Aku hantar kau balik ya, kerja akupun dah selesai. Kena tunggu nak on duty shift malam pula.” Kata-kata Syida Alia memancung khayalan Akram.
“Aku  tak kisah pun. Takut kau yang bermasalah. Aku masih lama bercuti hingga sakit aku sembuh.” Akram tersengih cuma. Sengihan yang memudahkan Syida Alia menafsir maksudnya.
“Untunglah kau dapat lama bercuti hingga dua tahun. Macam aku jangan harap nak dapat bercuti lama gitu. Dapat bercuti sehari dua pun tak terlepas duty call. Emergency selalu.”
Akram menarik nafas dan melepaskan kelelahannya yang dirasai menyucuk dadan.
“ Syida, apalah ertinya cuti yang panjang, terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan yang barangkali akan merenggut nyawa bila-bila saja.  Kau, lebih beruntung. Sentiasa boleh bergerak cergas ke mana saja sambil menabur bakti kepada pesakit-pesakit yang begitu ramai memerlukan rawatan dan perhatianmu. Termasuk akulah tu.”
Senyuman Akram dirasakan Syida Alia bagai menyatakan persetujuan bicara monolognya  sebentar tadi. Monolog kenangan itu bagai terapung dan bersatu dalam jiwa mereka. Meskipun tiada siapa yang mendengarnya. 
Syida Alia dan Akram, beriringan bergerak meninggalkan ruang menunggu di hospital yang masih kelihatan ramai pesakit menunggu giliran menjalani rawatan. Langkah yang diatur sudah menjejaki tempat parkir kereta.
Ketika hendak membuka pintu kereta, Akram menyandarkan dirinya ke kereta Syida Alia sambil mengurut-ngurut dadanya dan mengangakan mulutnya luas.
“Mengapa Akram?”
“Aku rasa aku dah tak boleh nak bernafas Syida…dadaku ini terasa kosong. Ya Allah apakah hayatku akan berakhir saat ini? Aku berserah dengan ketentuan-Mu ya Allah… Ampuni hamba-Mu ini ya Allah.”
“Kau duduk dalam kereta, berehat seketika. Mungkin nafasmu terganggu sebab tersedut asap rokok berkepul sewaktu kita melewati beberapa orang lelaki  yang sedang merokok tadi. Kau memang tidak boleh terhidu asap rokok.  Sabar ya, sekejap lagi pernafasan kau akan kembali normal.  Aku hantar kau balik dan berehat saja. Jangan lakukan aktiviti yang memenatkan.” Syida Alia menenangkan Akram dan menyapu dahinya yang merenih berpeluh.
“Terima kasih Syida kerana berada di sisiku di saat aku memerlukan teman yang mengerti dan mengongsi susah payahku.” Kata-kata itu hanya terluah dalam monolog Akram, bagai tersekat dikerongkongan, tak dapat diluahkan.
Akram mengerti Syida Alia sangat prihatin kepadanya. Sebagai doktor dia juga sangat prihatan kepada pesakit-pesakitnya  dan sesiapa saja. Tetapi ramai yang langsung tidak prihatin kepada orang lain dengan berwenang-wenang sesuka hati merokok dan menghembuskan asap rokok beracun ke persekitaran awam yang mencemarkan udara maya dan menyebabkan orang lain turut menderita dengan pelbagai kanser merbahaya, walaupun mereka tiada kena mengena dengan kegilaan ini. Ah… orang lain yang melakukan, orang lain turut menanggung akibatnya.
“Kalau hendak merokok pergilah jauh-jauh. Dalam hutan ke. Racun diri semahu-mahu dan jangan libatkan sesiapa. Apabila sudah di serang kanser seperti aku, barulah puas hati. Begitulah sikapku kini yang cepat naik darah kala melihat orang lain perlahan-lahan membunuh diri  dengan merokok. Aku tidak mahu mereka mengulangi kesilapanku yang sangat memudaratkan kesihatan itu. Penderitaannya  terlalu memeritkan bagai nyawa di hujung tanduk. Hidup ini perlu dinikmati sebaiknya dengan nawaitu yang benar.”  Akram menyambung monolog hatinya.
Akram menghantar emel kepada Syida Alia, menyatakan hasrat murni ingin menyunting gadis itu sebagai suri hatinya.  Dia berharap sangat Syida Alia tidak akan menolak huluran cintanya. Istikharahnya telah membayangkan jiran sejak kecil itu adalah jodohnya.
“Benarkah apa yangku lakukan ini. Terasa malu pula mengenang sikapku yang keterlaluan drastik mencurahkan hasrat yang terpendam.  Aku ternyata tidak terdaya menipu diriku yang telah jatuh cinta terhadapnya. Justeru sikap baik budinya terhadapku selama aku mengenalinya.”
“Pasti Syida Alia terkejut hingga terduduk membaca emelku itu. Emel cinta seorang pesakit terhadap doktor yang merawat sakitnya. Kesian kau Syida. Maafkanlah ketelanjuranku Syida Alia. Jikalau kau menolak hasrat hatiku pun aku tak kisah Syida. Aku faham siapalah yang mahu berkongsi hidup dengan pasangan yang akan meninggalkannya bila-bila masa menyahut seruan Ilahi lantaran kanser.”
Hati Akram berbunga-bunga ceria. Tidak diduga jawapan Syida Alia yang amat mengejutkan. Gadis itu bersedia dengan senyum manis menyambut huluran piala haruman kasihku. Terima kasih Tuhan.
Ena dan Eni pula yang tergamam apabila Akram menyatakan hajatnya untuk melamar Syida Alia. Kedua-dua kakak ku itu turut bergembira dengan kegembiraan adik mereka yang seorang ini.
“Syida memang dah setuju. Itu akak tak ragu. Tapi bagaimana dengan mak ayah dia? Sanggupkah mereka benarkan pesakit kanser menjadi anak menantu mereka. Persepsi orang kita ni lain sikit dik, mereka anggap orang yang terkena sakit kanser akan mati esok lusa saja. Sedangkan kematian tak kenal siapa atau bila.” Kak Ena meluahkan kebimbangannya.
“Betul kata kak Ena tu. Adik bukan hanya hendak berkahwin dengan Syida saja tapi dalam erti sebenarnya adalah seluruh keluarganya.” Akram tidak menolak kebimbangan kakaknya.
“Jom kita balik kampung berbincang dengan mak ayah kita dan mak ayah Syida sebelum rasmi masuk merisik.” Kak Eni mencelah.
Ena dan Eni, saling mengangguk menyetujui keputusan yang dibuat, demi solusi permasalahan adik kesayangan mereka.
“Mak ni terasa malu pula nak bertanya kepada Makcik Ita dan Pak cik Razi kamu tentang hasrat Akram tu. Kita kan hidup berjiran dah lama. Nanti apa pula kata jiran-jiran kita yang lain.”
“Apa yang nak dimalukan mak, walau kita jiran dekat tapi tiada hubungan mahram yang membatalkan perkahwinan.” Ena menyanggah pandangan emak.
“Syida dan adik sudah sama-sama bersetuju nak berkahwin. Apa masalahnya pula? Mak dan ayah uruskan sajalah.  Bukankah menjadi tanggungjawab emak ayah mengahwinkan anak-anak apabila mereka hendak berkahwin?” Eni pula melontar  tanya dengan senyuman nakal.
Emak menarik muka. Muncung saja. “Habis kamu berdua tu bila nak kahwinnya? Ini adik kamu pula yang nak berkahwin dulu. Melangkah dua bendul sekali gus.”
Ena dan Eni berbalas senyuman.
“Emak ni itu pula yang  disibukkan. Kita kan nak menyelesaikan masalah adik ni. Biarlah adik kahwin dulu dan kami berdua akan kahwin selepasnya. Mungkin tahun depan jodoh kami berdua akan sampai. Jodoh pertemuan ketentuan Allah, emak.” Ena terus memujuk emak.
“Hmm! Ialah tu. Mak tak faham dengan sikap kamu berdua. Risau mak fikirnya. Orang nak masuk minang, kamu tak mahu. Ada saja alasannya. Sudahnya tak kahwin sampai sekarang.”
“Mak tak payah fikirkan masalah kami, kita selesaikan masalah adik ni dulu.”  Eni turut memujuk.
“Mak ni.. tidak boleh tidak tetap terpaksa memikirkan masalah anak-anak mak. Sentiasa mendoakan kesejahteraan kamu semua. Adik kamu sakit, mak tidak putus-putus berdoa, bersolat hajat, mohon Allah sembuhkan sakitnya.”
In Sya Allah doa mak sudah dimakbulkan Allah. Syukur  Alhmdulillah. Mak tentu tak lupa berdoa agar Ena dan Eni bertemu jodoh dalam waktu terdekat ni. Dapat pula kami berkahwin tiga beradik serentak dan tinggallah mak dan ayah berdua saja di rumah ni. Ha..ha..ha..” Ena ketawa geli hati.
.“Mak pun dah lama tinggal berdua dengan ayah kamu. Sejak kamu semua bersekolah jauh dan berkerja pula. Tak heran mak semua tu. Yang penting mak harap sangat anak dara berdua ni cepat berkahwin.”
Akram hanya ralit mendengar bual bicara emak dan kakak-kakaknya yang kadangkala serius dan adakalanya membuatnya tersenyum simpul. Baginya hidup ini perjuangan. Memperjuangkannya dengan mengharung ranjau onak duri sebelum kejayaan dalam kehidupan dikecapi. Sentiasa tegar dan tabah walau sebenarnya kita ini hamba yang lemah. Permasaalahan hidup ada saja, begitu begini selagi hayat dikandung badan.
“Kini aku gigih memperjuangkan cita-cita menyunting bunga idamanku. Bunga yang bakal mengharum seluruh hidupku. Syida Alia, satu-satunya bunga pujaanku. Semoga bunga itu terus berkembang di taman hati.  Tidak seumpama bunga-bunga asap yang pernah kusedut dan kuhembus nikmatnya, tapi kini  yang kurasa hanya keperitan dan derita jiwa ragaku.”

TAMAT.

Kredit cikgu Sham ilham mengongsi kisahnya.
http://shamdisini.blogspot.my/





14 ulasan - "BUNGA-BUNGA ASAP..."

Fiu S delete icon 7 November 2015 11:50 PG

nice posti sista ... :)

Aku Penghibur delete icon 7 November 2015 12:19 PTG

Seronok pula baca..nice entri

paridah delete icon 7 November 2015 12:19 PTG

YEKE...INSYA ALLAH..TQ FIU S.

paridah delete icon 7 November 2015 12:21 PTG

YEKE..SESEKALI BERCERPEN ACIK..INSYA ALLAH...TQ ACIK AP.

Anisayu Nastutik delete icon 7 November 2015 12:52 PTG

Keperitan dan derita
Semoga hanya cerita
Yang sebenarnya
Bahagia berasap bunga...

Fida Z Ein delete icon 7 November 2015 1:43 PTG

Akak ni ada tulis buku ke....selalu tulis cerita yang memang macam dalam novel.....seronok baca....saya belum selongkar blog akak lagi....tak dan....

paridah delete icon 7 November 2015 3:14 PTG

DERITA DAN KEPERITAN HIDUP DIRASAI BERSILIH GANTI KAN ANIS AYU...TQ.

paridah delete icon 7 November 2015 3:17 PTG

XDERLAH FIDA..MENULIS SUKA2 JER...DLM BLOG KAK YG BERNICHE KARYA NI FIDA SEMUA ADA...CEK LABELS TU KALAU RAJIN...TQ.

Mizz Aiza delete icon 7 November 2015 6:47 PTG

best cerpen ni kak paridah.. semoga kak paridah terus menulis.. ;)

paridah delete icon 7 November 2015 9:20 PTG

yeke..insyaAllah aiza..tksh.

iryanty ahamad delete icon 8 November 2015 2:48 PG

teruskan menulis kak :-))

paridah delete icon 8 November 2015 9:57 PG

TERIMA KASIH YANTY...INSYA ALLAH.

Khai♥Rin : anies delete icon 9 November 2015 10:27 PG

igt kn sempat menjamu nasi myk ;-)

paridah delete icon 9 November 2015 9:52 PTG

SEMPAT TU INSYA ALLAH...TQ ANIES.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”