Kepada mereka, Petronas adalah pemuka kepada daya saing ekonomi Islam. Sebab itu, apabila laporan kewangan semasa syarikat tersebut menyebut tentang "kemerosotan" peratusan keuntungan suku kedua sebanyak 47 peratus, ia menjadi topik yang "besar" kepada mereka.
Penulis dan rakan-rakan anggota Parlimen negara-negara Islam, sememangnya mempunyai hubungan yang agak akrab dan sentiasa bertukar-tukar fikiran. Malaysia juga dekat di hati mereka. Dalam dunia globalisasi, tidak ada satu berita pun yang melepasi minda mereka.
Terus terang, penglibatan dalam beberapa sidang Parliamentary Union of the OIC Member States (PUIC) sememangnya memberikan pendedahan kepada penulis akan peri pentingnya kita menjaga nama baik negara, dalam apa sahaja keadaan. Soft power Malaysia, terutamanya dari sudut kemampuan kita mewajah sistem ekonomi Islam, sememangnya menjadi "impian" kepada banyak negara Islam.
Tanpa perlu bersikap apologetik, penulis selalu mengingatkan rakan-rakan negara Islam akan peri pentingnya kita mengekalkan kelasakan ekonomi (economic resilient) umat Islam dalam dunia globalisasi yang mencabar. Malaysia tidak terkecuali. Justeru, apa sahaja cabaran dan realiti baru ekonomi, mestilah didepani dengan langkah yang tepat dan meyakinkan.
Penting, dalam iklim ekonomi dan politik yang menduga, prinsip tawazun (berimbang) difahami oleh semua pihak. Dalam membadai ombak globalisasi, kepentingan ekonomi domestik dan global mesti dihadamkan kepada rakyat. Dalam pada kita menumpang bangga kepada segala pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa, perlu juga kita melihat impak dan kesan ekonomi kepada rakyat biasa.
Di atas kertas, laporan dan kajian yang dilakukan di peringkat antarabangsa menampakkan pencapaian Malaysia yang cukup cemerlang. Terkini, dapatan kajian State of the Global Islamic Economy (2014-2015) juga meletakkan Malaysia di kedudukan yang teratas.
Kajian bersama yang dilakukan Thomson Reuters dan Dinar Standard, menilai Malaysia sebagai negara terbaik dari sudut "ekosistem ekonomi Islam". Ekosistem merujuk kepada gambaran menyeluruh ekonomi. Bukan dari sudut perbankan Islam sahaja. Ia bersifat rentas industri.
Daripada sejumlah 70 negara yang menjadi asas kajian Global Islamic Economy Indicator (57 buah negara OIC; 14 negara bukan OIC), Malaysia berada di tempat yang pertama, diikuti oleh UAE dan Bahrain. Malaysia menduduki tempat pertama daripada enam sektor utama yang menjadi bidang kajian.
Jika diukur melalui kajian lain sekalipun, seperti World Competitiveness Report, kita masih mencatatkan angka dan pencapaian yang tinggi. Apa pun jua, seperti yang penulis catatkan pada awal artikel ini, kita perlu mencari prinsip at-tawazun dalam memahami kesan ekonomi.
Apa kata rakyat terbanyak berkenaan isu ekonomi? Apakah sudah ada kajian menyeluruh impak dan kesan GST dilaksanakan? Apa kesan kepada setiap kumpulan? Apa kesan GST kepada kesenjangan ekonomi secara total?
Semua maklumat strategik ini sudah perlu kita peroleh dan terangkan kepada rakyat. Biar mereka faham akan kesan dan impak ekonomi kepada mereka. Ini jugalah niat "ekonomi inklusif" yang sering kita ucapkan di hadapan rakyat.
Penulis berharap sangat supaya kita tidak ambil mudah impak dan kesan ekonomi kepada rakyat? Jangan hendaknya kita berikan jawapan dan rasional yang kurang cermat. Kita berada di zaman yang sangat terbuka, di mana maklumat boleh diperolehi dengan mudah dan cepat.
Cukup bimbang jika jawapan mudah dan simplistik yang kita berikan – ditambah dengan "pusingan cerita" pihak tertentu, ia menjadi bahan yang memperlekeh faham dan fikrah anggota pentadbiran dalam isu sebenar. Tidak ada satu situasi ekonomi yang benar-benar sama untuk kita lakukan kajian perbandingan yang semberono.
Oleh yang demikian, berhati-hatilah dalam memberi rasional mudah, "Oh, dulu keadaan lebih teruk. Ringgit menyusut disebabkan kepimpinan terdahulu". Rasanya, cukup-cukuplah kita memberi pandangan dan rasional begitu. Jangan dibandingkan situasi sekarang dengan dahulu. Biar kita maju ke hadapan dan menunjukkan jiwa besar dalam mencari penyelesaian dan bukan menuding jari kepada pihak lain.
TPPA – Kesan Ekonomi dan Politik?
Penulis pernah bertanya soalan berkenaan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di dalam sesi Parlimen yang lalu. Jawapan yang diberikan oleh kerajaan pada waktu itu cukup meyakinkan. Sebarang perjanjian ekonomi yang mempunyai kesan besar kepada negara akan hanya dibuat setelah kajian menyeluruh dilaksanakan.
Mungkin itu juga sebabnya, walaupun wakil Amerika Syarikat mengatakan rundingan TPPA berada di landasan good progress, ia masih belum dimuktamadkan sehingga ke hari ini. Rakyat perlu diyakinkan bahawa semuanya akan dilakukan di atas landasan kepentingan nasional.
Sekali lagi, prinsip keseimbangan (at-tawazun) diguna pakai. Keseimbangan antara kesan ekonomi dan politik. Keseimbangan antara kesan ekonomi mikro dan impaknya kepada ekonomi Bumiputera juga mesti dinilai. Disebabkan itu, suara resah NGO ekonomi Bumiputera juga mesti kita santuni dengan sebaik-baik yang mungkin. Kerisauan mereka mesti dijawab dengan tegas dan bernas. Bukan sebagai halwa telinga semata-mata.
RMK-11: Tumpu Agenda Bertindak
Rasanya, tidak ada teks dan rencana yang lebih jelas dalam menyusun ekonomi negara selain daripada – Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Inilah landasan ekonomi yang melihat kepada aspek tawazun dan keseimbangan. Bukan sahaja kesiagaan Malaysia menduga ekonomi global, tetapi juga komitmen kita menyusun agenda ekonomi domestik yang lebih padu.
Enam teras strategi RMK-11: memperkukuh inklusiviti, meningkat kesejahteraan, pembangunan modal insan, pertumbuhan hijau, memperkukuh infrastruktur dan merekayasa pertumbuhan ekonomi mesti dijayakan dengan sebaik-baiknya.
Tidak akan ada "sabotaj politik" yang boleh menganggu-gugat keutuhan teras ini sekiranya kita fokus dan kembali kepada perencanaan asal ekonomi yang ada. Ini asasnya. Jangan kita lari dan terlalu tertumpu kepada perkara lain. Naratif pemimpin, pentadbir dan agensi pelaksana mesti berjalan seiring.
Kekhuatiran penulis, setelah beberapa bulan ini kita agaknya terlalu berpolemik dan memberikan fokus berlebihan kepada skandal, komplot dan rencana jahat. Sampaikan apa yang kita rancang dan susun, sudah semakin menjadi isu rantingan dan tidak lagi bersifat teras.
Penulis tetap konsisten dengan pandangan bahawa kita perlu memperkemas tadbir urus dan tata kelola. Mereka yang pakar, bijak dan cekap mesti dibawa ke hadapan untuk membantu pentadbiran yang ada. Soal umur sudah tidak menjadi isu. Yang penting, kemampuan dan kesungguhan mempertahan dasar sedia ada, dengan cermat dan wibawa.
Kenyataan yang dibuat oleh Gabenor, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini boleh dijadikan peta ekonomi Malaysia menuju 2016. Kita tidak boleh silap langkah. Segala deria ekonomi dan politik mesti dipasang selengkap mungkin. Tidak ada ruang untuk kita tonjol kecemerkapan mengurus dalam suasana ini.
Dalam pada kita mencari langkah tawazun dan niat keseimbangan ekonomi, rakyat juga perlu bijak menilai isu dan permasalahan. Jangan dinas segala-galanya kepada rasa benci dan sakit hati. Lihat juga, apa yang kita sebagai rakyat mampu membantu rencana negara.
Tidak ada kerajaan yang ingin memeta jalan kegagalan. Risiko yang dipertaruhkan terlalu besar. Lihatlah dengan ruang pandang yang lebih luas dan holistik. Jalan hadapan untuk bangsa ini masih lagi jauh dan menuntut pengorbanan semua.
Perbezaan pandangan hanya boleh menjadi "rahmat" jika kita menjaga adab dan disiplin berbeza pendapat. Dalam isu ekonomi yang mendesak, kalaupun ada gelinciran pandangan, ia masih boleh disampaikan dengan rasional dan penuh adab.