Monday 22 June 2015

SELIRATAN CHINTA BAB 35/36...

ASSALAMUALAIKUM...

Datuk Shaari amat riang hari ini setelah bermurung seketika dan setengah mati gila bayang kerana berpisah dengan sesaorang yang amat dikaguminya. Mungkin sudah terbetik perasaan cinta yang mendalam terhadap gadis impian. Fareez telah mempercepatkan keinginannya untuk menyunting Anita dan meletakannya di tempat yang wajar.
Fareez telah menyampaikan berita bahawa cintanya terhadap Anita telah diterima gadis itu. Dan dia mulai memasang angan-angan untuk mengecap kebahagian bersama Anita, gadis pujaannya. Gadis yang dirinduinya siang dan malam.
Amin turut merasai keriangan yang tertera di wajah tuannya. Kerana dia memperoleh laba dari kemeriahan yang berpesta di hati Datuk yang sedang rindu bayangan itu. Datuk Shaari sangat pemurah hari ini, sanggup membelanja Amin makan tengahari  di coffeehouse sebuah hotel mewah kerana meraikan kebahagiaan hatinya.
“Heran juga ya…kenapa Anita tidak telefon Datuk?” Mulut yang sedang mengunyah daging panggang itu masih juga mahu bercakap. Pesan gemulah emaknya ‘bila makan jangan bercakap’ tidak pernah mahu diturutinya. Baginya bercakap sambil makan memang seronok dan menambah selera makannya. Tidak sedar nasi yang ditambahnya sudah berpinggan-pinggan.
“Budak tu bukan ke sedang sibuk shooting. Dia tentu tidak sabar lagi hendak tunggu kedatangan aku dua hari lagi.” Amin menjuih bibirnya, meluat melayan kerenah Datuk yang telah ditimpa perasaan itu. Dia tidak begitu yakin Anita telah menerima cinta Datuk Shaari melihatkan dari cara pembawaan wataknya. ‘Tapi mungkin hati Anita telah berubah dalam sekelip mata. Siapa tahu.’ Getus hatinya.
“Datuk jom lah masuk ke lounge sana. Minum di sini tak sedap. Asyik jamu tekak je. Sudah berapa hari tidak jamu telinga dan mata.”
Amin memanjangkan lehernya mengintai-intai suasana di dalam lounge yang sangat meriah walaupun malam masih terlalu awal. Ramai yang menyesakinya samada lelaki mahupun perempuan.
Agaknya masing-masing hendak melepaskan bebanan tekanan perasaan setelah seharian berkerja menyelesaikan pelbagai urusan dengan bersantai di lounge dan melakukan aktiviti yang meriakan hati. Bernyanyi-nyanyi, berkaraoke.
“Orang tengah feeling ni. Kau nak masuk ke tempat memekak tu. Kalau Anita ada di sini, tak apa juga.” Amin menjengah wajah Datuk Shaari dengan sengihnya. Jauh tidak disangka sama-sekali perubahan tingkah-laku Datuk itu dalam sekejap masa gara-gara penangan cintakan Anita.
“Dahsyat sungguh Datuk sekarang ya. Setia betul dengan Anita. Dulu dengan artis lain tak macam ni. Kuat betul mandrem dia ya.”
Kedua-dua biji mata Amin menerima tentangan yang tajam bersinar bebola mata Datuk Shaari. Laksana pedang yang terhunus bersedia untuk memangkas.
 “Hey...jaga sikit mulut tu. Aku hormat betul budak tu. Dia budak baik. Bukan seperti apa yang kau sangka. Dia tidak macam Nadia atau pun Rozana. Pantang dapat hadiah. Kalau diberi peluang memilih hadiah sendiri bukan main mengikis lagi. Semuanya hendak yang ‘imported, branded.’ Kononnya bermutu sangat. Tapi kau perasan tak Anita, bukan main jual mahal. Tak pandang pun pemberian aku.” Dia tersenyum setelah mengeji dan memuji orang orang yang berkaitan sesuka hatinya.
“Macam tulah aku suka…susah nak dapat. Orangnya pun tersangatlah cantiknya.” Datuk Shaari tersengih lebar, membuat penilaian terhadap Anita dan beberapa orang artis lain yang pernah rapat dengannya.
“Yalah tu Datuk. Kalau saya tidak uruskan...” Amin merasa peranannya juga patut dihargai, dinilai dan beri pujian saksama. Tetapi Datuk Shaari seperti menidakkannya. Kedongkolan hatinya terluah hambar.
“Nak ungkitlah tu ya.” Amin tersipu. Tersengih pula.
“Tak adalah Datuk...mana ada ungkit. Cakap yang benar je.” Dia memandang Datuk Shaari yang sedang meracik cendawan dan udang besar dengan pisau dan garpu di kedua-dua tangannya. Ingatannya tentu menerawang jauh entah ke mana. Tidak tertinggal di pinggan yang sarat dengan juadah kegemarannya,
“Nanti di resort tu…eee bestnya..aku sarung cincin berlian itu di jarinya. Sambil makan malam  Candle lightlagi. Bahagianyalah hidup aku.” Datuk Shaari berangan-angan. Bermain-main dengan perasaan pelanginya yang berwarna-warni.
“Masa tu saya pun berkepit pula dengan Sarina.” Tukas Amin ingin turut mengongsi secebis kebahagian tuannya. Datuk itu mengangkat mukanya yang tunduk.
“Hey...siapa kata kau ikut sama?” Amin terkejut. Mata Datuk itu ditatapnya penuh pertanyaan.
“Takkan Datuk tidak bawa saya, asisten Datuk yang banyak berjasa ni. Dah lupa ke jasa saya?” balas Amin melara hiba kehampaan dengan suara mendayu-dayu.
“Kau ni hapraklah Min…saat bahagia aku kau nak enter frame juga ke. Tolonglah…bagi aku peluang kali ni je…” Shaari seakan merayu pertimbangan pembantunya yang setia lagi berjasa kepadanya agar tidak mengganggunya menikmati waktu-waktu indah bersama pujaan hatinya nanti.
Tiba-tiba Shaari dan Amin ternampak Rozana dan teman-temannya masuk ke dalam coffee house bersama beberapa orang temannya. Shaari mula menggelabah.
“Alamak! Mampus aku!” Shaari mengangkat kain napkin di dadanya dan menutup mukanya. Amin pula segera bergerak mencari tempat yang gelap dan terlindung. Menyorok dari disedari Rozana kehadirannya di situ. Dia terpaksa mengikut rentak tuannya yang tidak mahu lagi ada sebarang kaitan dengan Rozana. Dalam erti kata lain menjauhi Rozana demi membuktikan kesetian cintanya terhadap Anita

                                                       36.

Rizal berjalan beriringan dengan Anita menghala ke chalet untuk menghantar Anita pulang. Sarina sedang menonton TV dan menyedari kepulangan Anita. Rizal terus meninggalkan Anita di muka pintu chalet setelah kedua-duanya saling bertukar senyum dan mengucap salam. Rizal melangkah pulang membawa bersamanya secebis kebahagian yang mulai meresap di jiwanya.
“Kau ni memang tidak sedar dek untung!” Sergah Sarina. Anita terpinga-pinga.
“Apa yang kau merepek ni? Tak pasal-pasal nak jerkah aku.”
“Asalkan bersisik kau ingat ikan. Jagalah sikit ‘standard’ tu.”
“ ‘Standard’ apa tu? ‘Standard’ apa yang kita ada? Maafkan saya... Cik Sarina saya dah mengantuk. Selamat malam.” Anita terus masuk ke bilik tanpa memperdulikan omelan Sarina yang terus menceceh kepada dirinya.
“Padan dengan muka kau! Dulu kutuk aku. Kononnya aku hanya layak dapat orang tua. Ini Sarinalah. Dapat jejaka muda kacak, anak Datuk pula. Dia tidak tahu jantan yang dia gila tu cuma anak peneroka.” Begitu rendah sekali taraf status peneroka itu pada penerimaan Sarina.
Mungkin dia masih berada di zon 60-an sewaktu para peneroka ketika itu sedang berhempas pulas meneroka tempat baru di hutan belantara untuk menjadikannya ladang-ladang besar di seluruh negara dengan segala macam kepayahan hidup.
Tetapi masa telah merubah segalanya. Jerih-perih, penderitaan dan kesukaran hidup yang terpaksa di tempuhi peneroka-peneroka tanah rancangan kerajaan, berpuluh tahun bermandi keringat dan peluh, menempuh kesengsaraan yang tidak sedikit telah memberikan pulangan yang setimpal. Berbaloi.
Tetapi ramai juga pesertanya yang lari meninggalkan tanah rancangan kerana tidak tertahan dengan kesusahan dan keperitan hidup berada di tempat yang serba daif itu.
Taraf hidup para peneroka kini jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan penduduk kampung tradisi. Cerita-cerita kejayaan rencana kerajaan ini banyak disiar di media arus perdana. Hanya Sarina yang tidak mengikutinya. Tidak peka dengan perkembangan arus semasa.

                                                             *     *    *

Johan berlenggang senang mengatur langkah untuk mendapatkan Fareez dan Rizal di pejabat pengurusan RSJ. Dia sedang berkira-kira hendak memberitahu kedua-duanya bahawa penggambaran dramanya sudah selesai. Dia begitu gembira kerana berjaya menyudahkan kerjanya menurut jadual yang diberi produsernya.
“Saya ingatkan lagi dua hari. Tetapi setelah semak skrip malam tadi, rupa-rupanya hanya tinggal tiga ‘scene.’ Kira hari ini adalah hari terakhirlah Encik Rizal, Encik Fareez. Bagi pihak produksi saya, saya ingin ucapkan terima kasih banyak di atas layanan yang istimewa ini dari RSJ.”
Johan memang seorang yang tahu memperaktikan peribahasa ‘orang berbudi kita berbahasa.’ Dengan kerjasama pihak Resort Sri Jelapang dia langsung tidak di ganggu sebarang masalah sewaktu melakukan kerja-kerja penggambarannya.
Fareez dan Rizal sentiasa membantunya mendapatkan keperluan yang tidak ada di pulau dengan menghantar operator bot laju mencarinya ke bandar di tanah besar.
“Tak ada masalah Johan. Datanglah ke sini lagi bila-bila masa untuk buat shooting lain kali. Kami sentiasa menerima. Kecil tapak tangan, nyiru di tadahkan. Eh tak nak ke tinggal di sini sehari lagi selepas shooting?”
“Terima kasih banyak-banyak. Kami kena balik. Saya nak kena edit cepat ni. Selepas tu mula pula  produksi baru.” Johan mengerling jam di tangannya.
“Budak-budak saya dah tunggu ni. Saya pergi dulu ya.” Johan melangkah meninggal Fareez dan Rizal. Wajah Rizal bertukar panik. Dia memandang kawannya yang tersenyum tenang menancap kegelisahan yang beriak di wajah Rizal.
“Rosak program kita, bila ayah aku datang Anita sudah tak ada. Apa yang nak dibuat lagi, hancur semuanya.”
“Jangan susah. Aku sudah sediakan rancangan lain.” Rizal merenung kawannya itu yang menuntut penjelasannya. Tetapi Fareez hanya berdiam diri. Semua rencana yang digubalnya tersimpan kemas dalam memori komputer mindanya. Sukar di akses sesiapa.
Biarlah Rizal berteta-teki dahulu tentangnya. Dia sedang menyusun rancangannya agar lebih kemas dan akan terlaksana dengan jayanya.

                                                            *    *    *

Majmin menemani suaminya hingga ke kereta. Pemandunya yang sedia menanti menyambut briefcase yang dibawa Datuk Shaari dan meletakannya di dalam kereta.
“Jadi projek tu sudah ada dalam tangan abanglah ya. Bila abang balik ke sini, lepas sain kontrak dengan pelabur tu, abang kena tunaikan janji abang ya…” Shaari terdongak menatap mata isterinya. Terkejut mendengar permintaan itu.
“Janji? Janji apa pulak?” bulat terjegil bebola matanya menentang sinar bening kejora mata isterinya.
“Janji abang hendak bawa saya ke RSJ. Abang jangan buat-buat lupa sudah.”
“Oh itu…boleh...boleh, tak jadi hal. Tak jadi hal.” Balasnya gugup. Dia masih bersandiwara dengan projek bayangan rekayasanya. Yang tidak pernah wujud dalam bentuk apapun.
Projek yang dimegahkan dengan binaan-binaan mercu tanda bahasa yang direka arkiteknya yang tidak bertauliah dan hanya temberang besar.

                           

3 comments:

  1. Tambah menarik dan suspen pulak. Tak apa kakak nak tengok macam mana datuk bila sampai resort sekali anita dah tak ada. Apalah akan jadi bila tetiba dpt tahu anak dia bercinta dgn anita:)

    ReplyDelete
  2. heh..heh..tksh kakzakiesering mengikuti sambungannya...sdg mengakhiri kisahnya ni...tq

    ReplyDelete
  3. Bilalah dpt mengikuti dari awal ni.. sesekali nnti mmg kena baca juga dari mula...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist