Sunday 3 May 2015

SELIRATAN CINTA BAB 26......

ASSALAMUALAIKUM...


Majmin melangkah pantas untuk menyambut telefon yang berdering. Mak Kiah sedang sibuk di dapur menyediakan hidangan tengah hari. Dia tidak bermaksud hendak mengganggu kerja-kerja Mak Kiah dengan membiarkan pembantu rumahnya terkocoh-kocoh mendapatkan telefon dan menjawabnya selazimnya.
“Rizal ya. Macam mana anak mama ni sihat?” Suara yang kedengaran di hujung talian itu amat menggembirakannya. Meski jauh dan sayup bunyinya tetapi jelas pada deria dengarnya.
“Sihat… mama jangan risau, Rizal tenang dan aman di sini. Rizal doakan mama dan ayahpun sihat juga.” Lirih suara Rizal yang menyentuh gegendang telinga mamanya.
“Rizal…mama minta maaf banyak-banyak. Mama terpaksa beritahu ayah, Rizal ke RSJ. Kalau Rizal hendak marah mama, Rizal marahlah. Mama sudah tersepit. Ada ke ayah Rizal sanggup tidak keluar malam semata-mata hendak tunggu Rizal balik. Mama kesian melihat dia tertunggu-tunggu Rizal balik. Terpaksalah mama ceritakan. Apa yang sebenarnya.”
“Takkan Rizal hendak marah mama pulak. Satu hari nanti ayah akan tahu juga kan. Jangan ayah datang heret Rizal balik ke sana sudah…”
“Pandai-pandailah Rizal cari alasan kalau ayah ke sana ye.” Balas mama yang sangat prihatin terhadap masalah yang melengkungi anaknya itu.
Rizal seperti hendak mengangguk seolahnya dia sedang bercakap secara berhadapan dengan mamanya. Dia merasakan mamanya itu amat dekat di hatinya sehingga terbawa-bawa dengan kebiasaan yang tidak patut dilakukannya.
“Mama, Rizal di sini bukan seorang diri tetapi bersama Fareez.”
“Aaa… kau bawa perempuan? Anak bertuah ni!” Majmin terkejut. Nada suaranya tinggi. Mungkin dia menyangka nama Fareez itu adalah singkatan kepada nama Fareezah seorang kenalan perempuan anaknya.
“Eh…tengok kakilah mama. Anak mama ni orang solih. Orang baik-baik. Ketepikan sangkaan buruk mama tu. Nama kawan tu Mohamad Fareez. Tapi mama...di sini Rizal suruh dia menyamar jadi Rizal. Rizal anak Datuk Shaari. Dan Rizal pula menjadi Fareez.” Majmin terkesima. Apa yang didengarinya tidak langsung terduga.  
  “Kenapa? Jangan terlalu mempercayai orang lain Rizal. Di dalam dunia sekarang ni manusia sentiasa mencari peluang memanafaatkan kelemahan orang lain, untuk kepentingan diri mereka.” balas mamanya mengingatkannya tentang serba sedikit resam dunia yang langsung tidak mustahil untuk dipercayai.
“Mama jangan risau, Rizal tau apa yang Rizal buat. Kan Rizal ni anak mama.” Hati mamanya yang kerusuhan seupaya daya ditenangkannya. Mamanya itu sentiasa mengambil berat terhadap apa yang dilakukannya.
“Apa pun hati-hati ya Rizal. Selama ni pun mama tidak pernah dengar Rizal sebut nama dia.” Mamanya itu mengingatkannya lagi dan keraguannya kerana tindakan anaknya itu masih belum sirna. Dia tidak mahu anaknya ditimpa malang kerana kesilapan yang dibuatnya.
“Pertemuan kami memang tidak terduga. Nantilah bila mama berpeluang ke sini, Rizal akan kenalkan mama dengan Fareez. Mama mesti sukakan dia. Dia sangat memahami Rizal. Dan seorang yang jujur dan boleh dipercayai.”
Perbualan antara ibu dan anak itu tentu saja melenyapkan kerinduan yang bergayut di hati kedua-dua anak beranak itu. Majmin meletakan gagang telefon ke tampuknya dengan senyum puas. Dia yakin sangat anaknya itu berhagia, selamat sejahtera nun di pulau sana.
Hatinya mula berkira-kira untuk menemui anak yang sangat disayanginya itu.


                                                      * * *

Semua sedang bersiap sedia untuk menaiki beberapa jenis pengangkutan yang akan membawa kru penerbitan drama dan juga dramatis yang terlibat. Dua buah van disediakan untuk mengisi kelengkapan penggambaran dan berbagai-bagai prop yang akan digunakan nanti. Sebuah van pula untuk dinaiki beberapa orang artis lelaki dan perempuan.
“Dengar sini semua. Tidak payah bawa telefon bimbit, sebab di pulau tu tidak ada servis.” Ujar Johan sinis. Terdengar bunyi rungutan yang berdengung laksana bunyi ‘baung di bawah bangkar’. Tidak jelas butiran ayatnya tetapi tentulah memprotes arahan itu.
“Kau dengar tu Sarina. Padan muka kau. Kan aku sudah cakap tidak usah bawa handset tapi kau degil. Janji hendak offkan masa shooting konon. Aku rasa abang Johan mesti perli kau.”
“Pedulikanlah dia. Malas aku nak layan. Aku bawa handset untuk kemudahan kita juga bila terdesak. Kekadang tu kalau tidak dapat servis satu kawasan, kita pusing tempat lain boleh dapat tau. Manalah tahu kalau nasib baik kan…” Sarina masih tidak mahu mengalah malah memberikan pula tip yang pernah digunakan orang lain selama ini.
“Jangan kau pusing-pusing satu pulau cari line sampai pening dan Johan melenting kerana kau ponteng shooting sudahlah..” balas Anita dengan gurau usikannya.
Pernah di dalam sebuah akhbar arus perdana memaparkan tragedi ngeri seorang isteri di kawasan pedalaman Kelantan, yang asyik berpusing mengitari kawasan mencari line untuk menghubungi suaminya dilanggar keretapi yang bergerak laju kerana tidak menyedari langkah isteri malang itu membawanya menghala bahaya.
Kasihan sungguh. Anita menggelengkan kepalanya. Beristigfar pula. Hanya Dia yang Maha tahu setiap rahsia kejadiannya. Mudah-mudahan kejadian yang menimpa isteri yang malang tidak berulang kepada Sarina pula. Tetapi di Pulau itu tentu tidak ada rel keretapi dan Sarina akan terlepas dari musibahnya. ‘Menyusahkan diri saja berfikir yang bukan-bukan’ getusnya.
“Kau ni memang tidak sayang mulut. Bercakap sesedap rasa je...Eh jomlah dia orang sudah naik van tu.” Sarina sudah melangkah menghampiri van dan menaikinya. Anita masih berdiri di situ kerana membalas sapaan sesaorang.
“Anita jom naik kereta saya…” Ajak Johan yang memandu Proton Waja dan menghentikannya di sisi Anita. Ketika itu Sarina yang sudah mengisi perut van melambai-lambai ke arah Anita.  
    “Tak apalah abang Johan. Saya naik van saja dengan Sarina. Nanti apa pula kata kawan-kawan yang lain sedangkan mereka bersesak-sesak di dalam van. Saya pula berselesa dalam kereta abang Johan.” Johan angguk mendengar alasan gadis itu. Keretanya bergerak semula di lebuh raya hala ke timur semenanjung Malaysia.
Van yang dinaiki Sarina dan Anita dan beberapa orang lagi artis drama mengikuti di belakangnya.

                                                      *    *    *

Datuk Shaari mundar-mandir di dalam pejabatnya. Jiwanya tidak tenang dan sugul kegelisahan. Dia merasa sebal sungguh kerana tidak dapat ke pulau bersama Anita
“Ish...susah ni...susah ni…susah…susah!”
“Sabar Datuk sabar. Datuk ni kenapa? Sejak Datuk berkenalan dengan Anita, Datuk ni sudah jauh berubah. Datuk tidak lagi ceria dan tidak seperti dulu, sentiasa meminta saya mengenalkan artis cantik lepas seorang ke seorang. Sejak bertemu Anita Datuk terus ubah sikap. Tidak lagi keluar malam macam selalu. Tidak lagi mahu berkenalan dengan artis cantik yang lain. Kenapa ni Datuk? Agaknya Datuk ni sedang angau dilamun cinta kut.”
“Ah…sudahlah kau...jangan hendak merapu. Apa yang ada di dalam hati aku ni kau mana tahu. Jikalau aku hendak jatuh cinta dengan Anita pun bukan ada salahnya. Hati aku hak aku. Aku punya pasallah.” Dia memerhati sekilas pada keadaan mejanya yang berselerak dengan dokumen yang perlukan penelitiannya. Sudah ditanganinya semua itu. Dia tidak mengambil mudah soal yang bersangkutan dengan bisnis dan periuk nasinya walaupun hatinya melayang-layang dibuai perasaan.
“Ye lah tu hati Datuk memang hak Datuk. Tapi yang susahnya saya yang pening kepala tengok Datuk mundar-mandir macam ‘induk kucing hilang anak’”Bidas Amin di perkuat dengan pepatah yang sering disebut ibunya menegur perangainya yang kadangkala mengelirukan gemulah ibunya menafsirnya.
“Habis kalau kau susah, pening kepala tengok keadaan aku, kau tolonglah aku.” Lirih suaranya memohon bantuan dari seorang yang seringkali diherdiknya itu.
“Baik saya akan tolong, Datuk bawa bersabar dulu. Mesti ada jalan ni...”
“Ada jalan taik minyak kau!..susah…susah…ish.” sergahnya. Hatinya masih membara tidak keruan. Yang dimarah tentulah kepada anaknya kerana telah mengendalakan hajatnya hendak ke RSJ, tetapi Amin yang menerima tempelakannya.
“Datuk bawa je saya pergi sana. Tahulah saya uruskannya.” Shaari langsung tidak memperdulikan cadangan Amin itu. Tangannya dibawa ke kepalanya. Dia menunduk ke lantai. Matanya dipejam. Seolah menanti kunjungan ilham.
“Mmm…mm …susah…susah.. .hendak kena cari jalan bawa anak aku balik ke sini. Kalau tidak susah aku.” Rungutnya berterusan mengulangi keputusan yang telah disepakati mindanya.  

                                                            

      

6 comments:

  1. Yang di atas itu fotonya kak paridah ya :)

    ReplyDelete
  2. heh..heh..bukanlh susi..itu foto artis Msia fauziah samad n noorkumalasari.

    ReplyDelete
  3. Dah tk cam saya dengan norkumalasari. Masih cantik dia.

    ReplyDelete
  4. yeke..masih cantik orgnya tu fidah..tq

    ReplyDelete
  5. Menyampah betul kakak dgn si Amin ni.
    Kalau mengampu datuk bukan main dia..

    Tunggulah kalau tak kena tempelak Rizal.

    ReplyDelete
  6. HEH..HEH..AMIN DGN PERANANNYA MENYUKAKN HATI DATUK..TQ KAKZAKIE.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist