Monday 9 March 2015

SELIRATAN CINTA BAB 17.

ASSALAMUALAIKUM...


Jam di dinding sudah menunjukan angka sembilan pada jarum pendeknya. Maknanya waktu pagi sudah berada di angka itu. Shaari turun ke ruang tamu. Riuh suaranya berteriakan nama isterinya.
“Majmin..Majmin.”Serunya. Senyap. Tiada kedengaran balasan sahutan.
Mak Kiah bergegas mendapatkan tuannya. Bimbang tuannya itu memerlukan sesuatu dan dia akan tolong mendapatkannya dengan seberapa segera.
“Kenapa Datuk?” Mak Kiah sudah berhadapan dengan Datuk Shaari. Di tangannya ada sehelai tuala kecil kerana sebentar tadi dia sedang mengelap pinggan-mangkuk di dapur. Kerja-kerja yang menuntut perhatiannya tidak pernah diabaikannya.
“Datin ke mana ni? Puas saya panggil tadi.” Matanya melingas sekeliling ke serata ruang. Kepalanya di toleh kanan dan kiri sedang tangan mengikat tali leher yang berurna sepadan dengan kemejanya.
“Datin pergi supermarket Datuk.”Mak Kiah menjelaskan kalut.
“Rizal belum bangun lagi ke?” Beralih pula topik pertanyaannya. Soal ketiadaan isterinya telah dilupakannya.
“Rizal pun sudah keluar. Saya tidak perasan pula bila dia keluar. Selepas Datin keluar, saya naik ke atas hendak kejutkan Rizal sarapan. Tengok-tengok dia sudah tidak ada.” Mak Kiah bercerita urutan peristiwanya satu persatu..
Datuk Shaari merengus keras mendengarkan keterangan Mak Kiah. Sepasang matanya bersinar menerjah pandangan Mak Kiah yang serba tidak kena jadinya.
“Macam manalah aku hendak lekat di rumah ni kalau pagi-pagi lagi semua orang sudah tidak ada di rumah. Kalau selalu macam ni aku tidak balik langsung baru tahu.” Di kala itu perasaannya sebal sungguh. Datuk Shaari berjalan ke pintu membawa rasa dongkol hatinya. Mak Kiah menahannya dengan pertanyaannya..
“Datuk tak nak sarapan ke?” dia sudah menyediakan di atas meja, roti, telor separuh masak, mentega, jem dan satu teko air kopi panas. Itu adalah menu kebiasaan sarapan pagi Datuk Shaari.
“Kau kan tahu aku tidak pernah sarapan seorang diri di rumah.”
“Sesekali apa salahnya Datuk.” tukas Mak Kiah dengan sengihnya. Cuba hendak mendinginkan kepanasan hati tuannya yang tiba-tiba saja mencanak kemarahannya di pagi hari.
“Kau ni ada saja. Aku hendak ke pejabat ni. Kau bagi tahu Rizal, malam ni dia jangan kemana-mana. Tunggu sampai aku balik.”ujarnya berbaur arahan yang mesti dipatuhi pembantu rumahnya itu.
“Baik Datuk.” Balas Mak Kiah dengan nada suara yang perlahan, akur menurut perintah. Di biarkan Datuk itu berlalu melepasinya hingga keluar dari pintu masuk utama.
Shaari sudah menapak hingga keluar dari rumahnya. Drebarnya sedang menunggunya. Lelaki itu menyambut briefcase yang dibawanya. Handphonenya berdengut. Dia menancap nombor yang tertera. Kemudian menekan butangnya dan menjawabnya.
“Hah...apa kau nak ni?” Dia sudah tahu siapa yang memanggilnya kerana itu dia menjawabnya halai-balai sahaja.
Dia terdiam memberi fokus kepada berita yang akan disampaikan kepadanya.
“Oh Ya ke...kau memang cekap. Tunggu aku di sana.” Dia tersenyum lebar kerana berpuas hati dengan apa yang masuk ke gegendang telinganya. Kabar yang sangat menggembirakannya.
Drebar itu tidak menghiraukan apa yang diperkatakan tuannya dengan komponen kecil yang boleh bersuara itu. Dia setia menunggu tuannya mengisi perut kereta untuk membawanya ke pejabatnya di jalan Ipoh.

                                                           *    *    *

Di dalam pejabatnya, Datuk Shaari begitu asyik menatap lembar demi lembar majalah terbitan terbaru yang dibawa Amin. Sebelum itu dia baru usai menyemak dokumen perjanjian dengan sebuah agensi kerajaan berhubung dengan pengekspotan minyak sawit yang separa proses dari pelabuhan Kelang ke negara-negara Kuwait, Qatar, Syria dan Jordan yang perlukan perkhidmatan kapal-kapal syarikatnya. 
Kini dia sedang memberi penumpuan khusus pada hobi barunya.
“Mak oii..Amin. kau kontek artis ni cepat. Aii...tak sabar-sabar hendak berjumpa dengan artis yang jelita sungguh ni.” Pandangannya terpaku pada potret gadis yang menghiasi kulit majalah  yang keras licin itu.
Amin memandang majalah yang ada di tangan Datuk Shaari.
“Yang sebelah tu lagi cun Datuk. Saya ada nombor telefon dia. Lagi mudah hendak kontek.” Amin membelek lembar di sebaliknya, cuba hendak menepis keinginan Datuk Shaari dari hajat sebenarnya.
Barangkali dia tidak mahu berurusan dengan sesuatu yang sukar pada jangkaannya kerana dia tidak mengenali artis yang dimaksudkan. Pada perkiraannya gadis itu adalah artis baru yang serba-serbinya baru. Baru  tersadai di persada seni.
“Yang sebelah ni? Tidak...tidak...tidak... bukan citarasa aku. Tapi kalau kau ada nombor dia tentu dia tahu hendak cari si… apa nama dia?”
“Anita Datuk.” Balas Amin pantas. Nampaknya dia juga sudah mengkaji-kaji maklumat siapa gerangan artis cantik yang sangat mempesona itu.
“Hah...Anita... kau memang cekap.” Amin mula terlambung dengan pujian tuannya yang menghargai kredebilitinya. Mula menunjuk lagak dengan bicaranya yang mendabik dada..
Ala ..Datuk. kan saya ni orang kuat Datuk. Datuk sebut je, mesti ada depan mata punya.” Pantang dipuji segera menyerlah keegoan sifat pembantu peribadinya itu. Ini yang membuat Datuk Shaari tidak berapa berkenan dengan perilaku Amin.
Datuk Shaari menyelak lembar yang lain. Niatnya hendak menduga dan mengena pula.
“Yang ni boleh dapat juga ke?”
“Tidak payah hendak bermimpi di siang harilah Datuk.” Amin bagai digeletek hatinya mendengarkannya, seronok tertawa terbahak-bahak. Potret Sitti Nurhalliza yang tersenyum ayu, manis dan manja seakan menjeling dua karekter manusia yang sangat menjengkelkannya. 

                                                            *     *    *

Tengah hari yang mula menyebarkan bahang habanya. Di sebuah lokasi penggambaran drama, Anita dan Sarina sedang melakonkan satu babak mengikut skrip yang diberi sutradaranya. Johan selaku pengarahnya sedang serius dengan kerja-kerja pengarahannya.
Handphone milik sesaorang berdengut, mengganggu konsenterasi sang sutradara. Dia mula berang. Dipanaskan lagi dengan bahang panas hari yang menyerap ke tubuhnya. Matanya mulai berpinar-pinar.
“Cut.” Jeritnya. Keras suaranya.
“Siapa punya handset pulak tu. Kan dah beribu kali aku cakap, kalau sedang shooting offkan handset. Tak reti bahasa Melayu ke?” kasar sekali nada yang terhambur dari bibirnya. Wajahnya yang merah disambar bahang mentari turut menyumbang peningkatan digri kemarahannya. Dia bangun dari kerusi yang didudukinya, berjalan mundar-mandir dengan wajah suram bercampur geram.
Sarina berlari mendapatkan handsetnya. Kerana dia kenal dengan lagu yang disetkan ke dalam memorinya. Lantas menjawab panggilan itu dari jarak yang jauh.
Sarina melambai-lambaikan tangan ke arah Johan selaku memohon maaf. Lelaki itu bertambah meluat dan menyampah kerana perangai artis yang langsung tidak berdisiplin itu. Selalu sangat menimbulkan kerenah yang memeningkan kepalanya.
Johan menghenyakan ponggongnya semula di atas kerusi ‘DIRECTOR’ dengan geram kerana tindakan artis yang memualkannya dan mengganggu kelancaran tugasnya.
Anita berjalan perlahan-lahan mendekati Johan.
“Abang hendak air ke?” lirih suaranya ingin meredakan kepanasan pengarah yang membara.
“Air sekolam pun tidak akan dapat redakan marah aku ni.” Tukasnya sinis.
Ala bang...janganlah cakap macam tu. Nanti habis shooting, kita pergi makan ayam ‘tandoori’ kegemaran abang tu.” Lembut suara Anita berusaha memujuk sang sutradara dengan umpanan habuan yang dijanjikan. Bagai memujuk menggula-gulakan seorang anak kecil pula.
Sesaorang itu sentiasa ada sifat kelemahan dirinya. Kadang-kadang mudah dipujuk dan suka dipujuk, menurut pertimbangan Anita. Dia tidak merasa rugi melakukannya demi untuk kebaikan bersama.
“Kau pergi cepat panggil Sarina kesini sebelum aku jadikan dia ‘tandoori’ aku sekejap lagi.” Mencerlang matanya menujah anak mata Anita yang bening berkaca.
Anita terus berlari mendapatkan Sarina. Sarina masih melekapkan handphone di telinganya. Selesai sudah bual bicaranya dengan pemanggil di gelombang maya itu.
Sarina membisik sesuatu ke telinga Anita. Anita terdiam. Wajahnya berubah warna. Sarina hanya tersenyum memerhati reaksi temannya itu.
Johan masih memandang gelagat kedua-dua artis itu dari jauh. Dia menggaru-garu kepalanya yang mula kegatalan kerana jemu menanti kedua-duanya memasuki set penggambaran semula.
Pandangannya teralih pada kru penggambaran yang juga masih ralit tertonggok di sisi tugasan yang belum selesai disempurnakan. Jurugambarnya sudah menentukan lensanya kemana hendak difokuskan dan hanya menanti objek utamanya yang akan melintas di hadapan kameranya. Begitu juga dengan setiap kru yang lain yang sentiasa bersedia menerima arahan daripada sang Pengarah.  
  Dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Tidak mahu lagi membuang masa berjeda hanya kerana tingkah sesaorang yang sangat memualkan hatinya.
“Sudah. Kemas barang-barang semua. Kita berambus.” Jeritnya pada kru-kru penggambaran. Masing-masing lintang-pukang mengemas berbagai peralatan lampu, kamera dan prop memasukannya ke dalam van yang sedia ternganga pintunya.
Johan melangkah pantas meredah angin yang bertiup tiba-tiba menampar wajahnya menuju ke keretanya yang diparkir di pinggir jalan di bawah rimbunan pohon ketapang. Di sisi ketapang ada pohon dedap yang merah menyala bunganya tapi tidak punya harumannya.
Dia mendongak sedikit melihat bunga-bunga dedap yang sedang galak berbunga itu. Dan tersenyum sinis mengenangkan sesuatu dan memberi tamsil sesuatu berlandaskan pada kecantikan bunga dedap itu.
Cantik bunganya tetapi tidak berbau wangi. Tinggi pula letaknya di atas pohon di hujung daun. Ah! Lupakanlah. Usah difikir keterlaluan. Bisik hatinya.
Penggambaran kali ini tertunda kerana olah seorang dramatisnya. Situasi sebegini bukan sekali dua dialaminya. Sudah acap kali. Sangat hairan di hatinya, sikap seseorang yang dibayar dengan tinggi untuk melaksanakan tugasan yang disangkut ke bahunya tetapi melakukannya sambil lewa dan tidak ada komitmen yang fokus. Sepatutnya seseorang itu menjayakan tugasan yang diberi kepadanya dengan penuh tanggung-jawab.

                                                             *    *    *

Sarina sedang memandu Wira hitamnya. Anita di sebelahnya menemaninya seperti selalu. Wajahnya kelat menggambarkan perasaannya yang suram, tidak tenteram gara-gara perilaku Sarina. Tetapi Sarina langsung tidak mengambil kisah. Selamba sahaja. Dia tahu Anita sedang memandangnya dengan sinis. Dia tidak ambil pusing pun.
“Pasal kau lah shooting kensel hari ni. Kau tidak patut buat abang Jo begitu.” Suara Anita tinggi sedikit tonasinya seakan hendak menempelak. Tetapi dikawalnya agar tidak terlalu ketara.
“Apa pulak salah aku? Tiba-tiba saja dia angin satu badan, aku nak buat macam mana?” Sarina membalas kata-kata Anita dengan sanggahan alasan yang memenangkan dirinya. Apa pun dia tidak mahu kalah dan tidak merasa langsung bahawa dirinya yang patut di persalahkan.
‘Johan tu yang tak reti nak bersabar. Salah kita sikit nampak je. Nak tunjuk sangat kononnya dia tu berkuasa dan boleh marahkan orang ikut suka…boleh belah. Ini Sarinalah.’ Dia menggumam dalam diamnya.
“Memang pun salah kau. Talipon kau tu asyik berbunyi je. Dahlah tu budak ekstra tu asyik terlupa dialog je, manalah dia tidak berang.” Anita melepaskan pandangannya ke jalan raya yang disesaki kereta berjejal-jejal menghala arah yang tidak diketahuinya.
Di pinggiran jalan anak-anak sekolah beruniform lengkap sedang berjalan ke pondok menunggu bas dan ada yang telah duduk di bangkunya menunggu bas tiba. Dia terkenang-kenang melalui saat-saat itu bersama Sarina di kampungnya suatu ketika dulu.
“Ah sudahlah. Elok juga tidak sambung shooting, kan kita ada janji hendak bertemu dengan Datuk Shaari.” Ujar Sarina masih mempertahankan kewajaran sikapnya yang mengambil mudah dalam menangani sesuatu perkara.
Hilang terbang memori itu di tepis suara Sarina yang mengawang di ruang maya.. Dia kembali berhadapan dengan Sarina hari ini. Bukan Sarina sepuluh tahun lalu. Wajah itu ditatapnya polos.
Anita terpinga-pinga mendengar tutur bicara Sarina dan sukar menghadam-lumatkan maksudnyanya. Dia terkeliru dengan nawaitu itu. Apa pula motifnya kali ini. Dia tertanya-tanya. Siapa pula agaknya watak terbaru yang tiba-tiba berada di dalam drama hidup peribadi kawannya itu. bingung pula dirinya memikirkan gelagat Sarina.
“Datuk Shaari mana pulak ni? Hari tu Datuk Shamsi. Hari ni Datuk Shaari pulak. Sampai bila kau hendak berhenti kerat orang-orang tua tu hah?” rasa jengkel hatinya yang tidak senang dengan tingkah temannya itu terhambur juga.
Mudah-mudahan niat baiknya hendak menegur sikap kawannya yang keterlaluan pada pandangannya tidak di salah-ertikan. Hatta Sarina mahu menerimanya dengan baik. Seorang rakan yang baik wajar menegur rakannya sekiranya tingkahnya itu semakin keterlewatan dari batas-batas hidup yang bernilai. Anita memegang kepada prinsip itu.
“Kau cakap tu baik-baik sikit. Mulut kau tu ada insuran ke? Bila masa pula aku kerat orang-orang tu. Datuk-datuk tu yang murah hati sangat. Sanggup berhabis duit kerana aku. Dia orang bagi, aku ambil. Rezeki jatuh ke riba, buat apa hendak ditolak. Membazir saja. Membazir tu bukankah kerja syaitan.” Dia tersenyum senang.
Bijak pula mengutip firman yang terbiasa pada pendengarannya setiap kali menjelang bulan Romadan. Alim ulama, ustaz, ustazah sering mengingatkan muslimin-muslimat jangan menyediakan juadah secara berlebihan sewaktu hendak berbuka puasa kerana tidak semuanya habis dimakan.
Bila tidak habis dimakan tentulah dibuang dan membazir. Janganlah membazir kerana membazir itu kesukaan syaitan. Dan mencemari kesucian bulan yang mulia. Pantas saja dia mengutip kalimat itu dan mengulangi menyebutnya di hadapan kawannya yang terkedu. Terkesima.
 Langsung tidak mempedulikan ocehan temannya yang sentiasa dianggap hendak mengatur cara hidupnya. Dia merasa dia jauh lebih berpengalaman dari Anita dalam mengharungi hidup sebagai artis. Dia cukup arif. Dan Anita tidak perlu menegurnya begitu begini. Sebaliknya Anitalah yang sepatutnya mendengar dan menuruti apapun katanya.
“Kau hantar aku balik dulu. Aku penat. Hendak berehat. Lagipun banyak kerja yang hendak dibuat sebelum kita bertolak ke pulau. Kau hendak pergi jumpa Datuk mana sekalipun kau pergi. Aku tidak akan ganggu urusan kau. Dan jangan pandai-pandai nak libatkan aku pulak.” Anita tidak kuasa lagi hendak bertegang leher dengan Sarina yang sukar dirubah sifat kebiasaannya itu.
“Ala Nita please…Ini kali pertama aku jumpa Datuk tu. Kawan aku si Amin tu baik dengan Datuk tu. Dia jadi pembantu Datuk tu. Kau ikutlah aku temankan aku. Aku tidaklah malu seorang diri.” Dia menyentuh bahu Anita dengan tangan kirinya lunak. Sementara tangan kanannya kemas memegang stereng keretanya, mengawal pergerakanya agar tidak tersasar dari laluan sebenar..
“Selama ini bila kau keluar bertemu datuk-datuk, aku tidak pernah pun temankan. Kau tidak pernah sebut pun kau malu hendak berjumpa datuk-datuk yang kaya raya tu? Pelik sungguh. Kalau malu tidak payah jumpa. Lagipun kawan kau Amin tu kan ada. Tentulah dia boleh menjadi teman kau.”
Sarina sibuk mencari alasan untuk meyakinkan Anita agar mahu menemaninya.
  “Eh Amin. Amin kata dia tak ada. Tolonglah aku. Bukankah kau ni satu-satunya kawan baik aku. Susah senang kita sentiasa bersama.” Di matanya terawang-awang gelagatnya yang sentiasa mengganggu Anita membuat kerja-kerja sekolah yang diberi gurunya dengan mengajaknya mencari ikan di tengah sawah atau ronda-ronda di kuala melihat nelayan pulang dari laut.
Sewaktu kecilnya dia tidak langsung memperhatikan tentang pencapaian pembelajarannya di sekolah. Dia selesa dengan cara hidupnya yang sentiasa bersenang-senang dan mengabaikan kepentingan pelajaran.
Tetapi sikap Anita berbeza. Meski dia berkawan baik dengan Sarina tetapi sikap Sarina yang merugikan dirinya itu tidak mempengaruhinya.
“Ah itu bukan masalah aku.” Sarina terpana, menarik wajah masam mencuka demi mendengar buah bicara temannya. Dia tidak gemarkan jawapan yang singgah di cupingnya itu. Dia memecut keretanya dengan laju tanpa memperdulikan Anita yang kecut perut dan beristigfar bertali-temali.
“ Astagsfirullah. Hati-hati sikit memandu tu Ina. Apa yang hendak kau kejar. Datuk tu memang tak lari. Dia sedang tunggu kau tu. Dengan senyum manis dan rezeki yang melimpah-limpah hendak dicurahkannya ke riba kau.” Anita merasa kecut perutnya lantaran ketakutan bimbangkan aral yang akan menggangu kerana sikap Sarina memandu dengan tidak berhati-hati itu.
Memandu dengan berwaspada untuk mengelakan kemalangan dari terjadipun belum tentu terjamin keselamatannya, apa lagi jika memandu dengan cuai. Seakan dengan sengaja hendak mengundang nahas. Anita ngeri sekali memikirkan itu. Wajahnya pucat lesi. Kata orang ditoreh tidak berdarah. Hanya sekadar kata.
Sarina tersenyum polos. ‘Rasakan kau Nita. Tahu kau kecut perut.’ Dia menarik kakinya dari menekan pedal minyak. Kelajuan kereta yang dipandunya menurun normal.
Anita menghela nafas panjang dan mengurut dadanya.
                                                

7 comments:

  1. salam pagi PI, bila datuk berminat, bagitau ja, orang lain tolong siasat ;)

    ReplyDelete
  2. WSALAM BABYPOSE..HEH..HEH..KENA SIASAT TU...TQ

    ReplyDelete
  3. Hanya sekadar kata
    Selaratan cinta
    Menjadi lembaran cerita
    Asik dibaca mata...

    ReplyDelete
  4. YEKE..TERIMA KASIH ANISAYU..

    ReplyDelete
  5. Walau terlewat baca tetap kakak nak kena baca sebab dah mengikuti dari awal
    Menyampah betul dgn Datuk Shaari tu - tak sedar dah tua hihi...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist