Apabila bangun dari tidur pada waktu pagi, kita berasa hati kita berserabut dan tidak tenang, bermakna kita banyak membuat kesilapan pada hari semalam. Kita telah mensia-siakan kesempatan hidup kita semalam, dengan perkara-perkara yang tidak memberikan manfaat dan mengundang dosa kepada kita. Pertama, mungkin kita banyak dosa dengan Allah, sebab kualiti ibadah kita kurang. Kedua, mungkin kita tidak memaafkan orang, sebab hubungan silaturahim kita dengan orang sekeliling kurang memuaskan. Ketiga, mungkin kita sangat ego dan sombong, hingga menyebabkan banyak orang yang tersinggung dan marah kepada kita.
Apabila kita ego, kita akan banyak dosa sama ada kepada manusia atau pun kepada Allah. Maka sebab itulah kita tidak tenang. Jika kita tidak melaksanakan tugas sebagai hamba Allah, kita juga tidak tenang. Sebagai khalifah Allah, jika kita tidak mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah, hingga kita sentiasa berada dalam kemurkaan Allah, kita juga akan berada dalam keadaan gelisah dan tidak tenang. Oleh yang demikian, apabila kita tidak tenang, kita perlu audit diri kita sendiri. Orang yang tidak tenang akan banyak emosi negatif dalam dirinya, seperti rasa takut, cemburu, dengki, sedih, marah, tidak berikhlas hati dengan sesama manusia, dan tidak reda dengan ketentuan Allah.

Contohnya perasaan cemburu. Sepasang suami isteri tidak akan mengecap ketenangan dalam rumah tangganya jika ada rasa cemburu yang keterlaluan, dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Cemburu atau tidak, pasangan suami isteri itu, bergantung kepada perhatian kita kepada pasangan kita. Jika kurang mendapat perhatian salah seorang akan cemburu. Contohnya, jika suami kurang berbual dengan isteri, atau kalau berbual pun kurang mesra dan layan lebih kurang sahaja, tetapi apabila berbual dengan orang lain bukan main manis, mesra dan baiknya suami, isteri akan cemburu oleh sikap kepura-puraan suami. Isteri pasti akan menjadi orang yang tenang jika suami tahu menjaga batasan pergaulan dan tahu membezakan, cara bercakap dan cara melayani orang luar dengan cara melayani isterinya.
Demikianlah juga di sebaliknya bagi perasaan suami, dengan tidak ada rasa cemburu, suami akan tenang keluar bekerja. Suami tidak akan memikirkan apakah yang dilakukan oleh isterinya di rumah atau di tempat kerja (bagi isteri yang bekerja), kerana isteri tidak akan menarik perhatian orang luar untuk mendapatkan penghargaan, sebab hidupnya telah penuh dengan penghargaan suami. Orang yang tenang merupakan orang yang bebas daripada penghargaan manusia.

Dengan berikhlas hati melaksanakan tugas sebagai isteri kepada suami dan sebagai ibu kepada anak-anak, perasaan stres, sedih dan marah-marah akan lenyap. Begitu juga suami, ikhlas dan bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak pasti akan mendapat ketenangan hidup dunia dan akhirat. Jika kita penuhi hati dengan reda kepada Allah, Allah akan penuhi hati kita dengan perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Jika hati kita mencari penghargaan manusia, Allah penuhi hati kita dengan keresahan dan kesibukan tidak menentu hingga tidak ada masa untuk beribadah kepada-Nya bagi mendapatkan ketenangan dalaman.
Hanya orang yang tenang dapat menenangkan orang. Maka, jagalah hati kita supaya sentiasa mendapat ketenangan, kerana ‘Orang yang tenang sentiasa menang!’ Orang yang tidak boleh kawal emosi marahnya juga ialah orang yang tidak akan mengecap ketenangan. Kita perlu tahu sifat melenting marah, ialah sifat kehaiwanan. Seperti kucing apabila kita terpijak ekornya, kita akan dicekaunya. Kita juga sudah maklum sifat marah merupakan sifat syaitan. Bagi menghilangkan perasaan marah cuba kita lakukan apa yang dipanggil ‘bayangan minda’ (minda movie).
‘Bayangan Minda’ ini merupakan satu proses, kita bayangkan kita hendak menjadi orang yang macam mana? Sebelum tidur yang kita boleh lakukan, kita bayangkan apa yang kita ingin jadi pada esok hari. Contohnya, bayangkan esok hari kita akan menjadi seorang yang lebih lembut hati, lebih sabar, lebih beriman dan lebih tenang. Kita bayangkannya setiap hari, dan seolah-olah perkara itu sudah pun berlaku, insya-Allah kita akan menjadi seperti yang kita bayangkan, kerana minda bawah sedar/minda segar telah tertanam dengan sikap positif tersebut.
Orang yang sabar juga akan menghasilkan penampilan diri yang tenang. Tetapi, kita akan mendapat ‘ketengan dalaman’ jika kita sabar dan reda. Kerana orang yang sabar, di luar (fizikal/wajah) nampak elok tetapi dalam (batin/hati) sebenarnya merana. Sebaliknya orang yang reda pula akan menghasilkan penampilan diri yang lebih seimbang, iaitu di luar (fizikal/wajah) nampak tenang dan dalam (batin/hati) pun berasa tenang. Maka binalah sikap sabar dan reda setiap kali melalui kehidupan ini, sama ada kehidupan yang melalui jalan positif atau negatif.
Usah bersedih jika kita diuji Allah. Hidup ini merupakan satu ujian kepada makhluk Allah dan di akhirat kita akan mendapat balasan ke atas apa-apa jua yang kita lakukan di dunia ini. Oleh itu setiap yang berlaku terhadap diri kita merupakan satu ujian. Lagi susah kita mendapat ujian, lagi tinggilah maqam kita di sisi Allah SWT. Jangan mengeluh, menyalahkan, dan merungut apabila menerima ujian Allah, kerana Allah sedang menyediakan markah atau pahala yang tinggi kepada hamba-Nya yang reda.
Menangis merupakan satu terapi yang bagus bagi mendapatkan ketenangan. Namun begitu, menangis mesti atas sebab yang betul dan munasabah. Menangis kerana mengenang dosa yang dilakukan, takut kepada api neraka dan mengingati hari akhirat adalah perbuatan yang positif dan memberikan ‘ketenangan dalaman’. Kalau kita menangis kerana perkara-perkara yang laghah, tangisan itu merupakan perkara yang sia-sia.
Orang tidak mendapat ketenangan dalam hidupnya, kerana sikap negatif yang menjadi amalannya. Salah satunya sikap kita yang hanya suka menerima tetapi berat hendak memberi, sedangkan kita sudah menerima banyak rahmat daripada Allah, iaitu udara, matahari, air dan sebagainya yang kita dapat daripada-Nya secara percuma, tanpa kita minta pun kepada Allah. Oleh itu apa salah jika kita memberi kebaikan kepada makhluk yang lain sebagai tanda kesyukuran kita atas nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh-Nya.
Mudah-mudahan dengan memiliki sifat-sifat terpuji iaitu al-Rahman dan al-Rahim, insya-Allah kita akan beroleh kehidupan yang bahagia, tenteram dan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Jiwa yang tenang datang dari hati yang tenang, dan ketenangan yang sebenar adalah ‘ketenangan dalaman’. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.