Tuesday 30 September 2014

SEDIKIT CERITA VANDA...

Assalamualaikum..

Vanda yangku kenali memang cantik dan ada yang harum baunya. Orkid jenis ini daunnya tirus panjang. Bunganya pelbagai bentuk. Ada yang berkelopak besar dan ada yang kecil saja. Padaku vanda yang berkelopak besar lebih menarik dan menyerlah tika berbunga. Setiap kali berbunga boleh bertahan sehingga sebulan sebelum layu.




Hendak menjaganya tidaklah susah, cuma perlu siram setiap hari dan baja dua minggu sekali.

HMM...SENYUM SIKIT...SELOKA BERKIAS.

ASSALAMUALAIKUM...

CORAT-CORET PAK ENGKU
LELAKI OH LELAKI
EKAU KOJO SIANG MALAM
EKAU POIE CARIK UANG
BILO SUDAH BANYAK
EKAU SUKO BUANG-BUANG.
BILO BINI MINTAK
EKAU MASAM-MASAM MUKO
BILO GIRLFRIEND MINTAK
EKAU BOGHI SOMUO
EKAU JALAN SAMO BINI
SOMBILAN BULAN DUO KALI
TAPI SAMO GIRLFRIEND
EKAU ENJOY TIAP-TIAP HARI.
BINI MINTAK BOLI KASUT
EKAU BOLI CHOW KIT PUNYO
BILO GIRLFRIEND MINTAK
EKAU BOLI ITALY PUNYO.
LOLAKI OH LOLAKI
MEMANG SUKO POROMPUAN
KALAU TAK SUKO
HE IS SOMETHING WRONG.
LOLAKI OH LOLAKI
SOMUO KAKI TEMBERANG
ORANG HAINAN KATO
LU NANG BO TI NANG!!!
FB PAK ENGKU.

Monday 29 September 2014

SEBUAH VERSI CHINTA BAB 37 SAMBUNGAN...

ASSALAMUALAIKUM...

Tinggal impian.
PIC GOOGLE UNTUK HIASAN.
‘Aku harap sangat hari ni si buaya tu tak datang kacau aku. Senang aku nak menaip skrip drama radio ni sampai habis. Tapi… tak baik aku gelar dia buaya. Dia kan manusia. Ah! Perangai dia memang macam buaya pun. Pantang lepa akan dilibasnya. Menakutkan sungguh.
Dah dua hari kerja aku ni asyik terbengkalai sebab terpaksa melayan muka dia yang tercongok je kat depan meja aku ni. Tak dilayan kang dikatanya aku tak sedar diri pula. Menyusahkan betul.
Aku ni kerja dengan bini dia bukannya kerja dengan dia. Bininya yang bayar gaji aku. Tak ada kena mengena langsung dengan dia. Tapi kenapa dia asyik nak ganggu kerja aku saja. Tak faham betul aku. Kalau ikutkan hati aku, mahu saja aku berhenti kerja. Tapi kesian pula aku pada kak Wan Sinar. Dia baik sangat dengan aku.
Aku pun kagum dengan bakat penulisannya yang sangat menyerlah itu. Skrip drama tulisannya sering disiar di RTM mutakhir ini. Dan aku turut tumpang berbangga kerana skrip drama yang disiar di radio itu hasil dari taipanku. Maknanya ada sumbanganku juga disitu.
Dan aku juga harus berterima kasih kepada lelaki yang menjadi suami kepada penulis itu kerana mengenalkan aku sebagai pembantu kepada isterinya di atas permintaan abang Z. Abang Z memang mengenalinya kerana beliau adalah seorang kontraktor pembinaan yang sering berurusan dengan bank tempatnya berkerja demi mendapatkan tambahan modal pada setiap projek pembinaan yang akan dilaksanakannya.
Tindakan abang Z mendapatkan perkerjaan yang ringan dan bersesuaian dengan upayaku ini memang sudah betul. Aku pun sangat menyukainya. Tapi aku benci sangat dengan lelaki itu yang sering datang merayuku dengan pelbagai ungkapan manisnya. Kasihan pula aku kepada kak Wan Sinar yang langsung tidak mengetahui akan tabiat buruk suaminya yang mulai sukakan perempuan lain selain dirinya itu.
Aku lihat kak Wan itu biasa saja setiap kali melihat suaminya sedang berdua-duaan denganku. Masih boleh tersenyum kepadaku sambil menuturkan sesuatu kemahuannya dengan lunak. Wajahmya seolah tidak beriak. Hairan sungguh. Tidak cemburukah dia melihat suaminya galak bertutur membuat jenaka yang menyukakan hatinya sendiri. Aku buat selamba ja. Buat muka sadin. Malas nak layan orang yang perasan lebih ni.
Mungkin juga kak Wan tidak pedulikan sikap nakal suaminya itu lantaran dia seorang isteri yang sangat memahami perilaku suaminya yang disayangi itu. Jikalau seseorang itu saling menyayangi dan memahami tabiat pasangannya tentulah tidak timbul salah faham yang bakal menerbitkan sengketa rumah tangga. Aku rasa begitulah kot. Aku pun tak kahwin lagi. Tapi mahukah aku berkahwin? Sedangkan jodohnya sudah pun di sediakan untuk ku…Ah! Entahlah …malas aku nak fikirkannya.
Untuk mengelak dari sebarang gangguan yang tidak diingini daripada kalangan lelaki-lelaki di kawasan perniagaan di sini yang kelihatannya menaruh minat kepadaku, sengajaku sebarkan cerita bahawa aku sudah bertunangan dengan seseorang. Dan tidak lama lagi akan berkahwin. Hakikatnya walau benar begitu namun ternyata hatiku mengilasnya. Apa yangku lakukan itu berbaloi juga nampaknya.
Aku tidak lagi menerima gangguan dari peminat-peminat yang ingin berkenalan dan menjalin hubungan yang tidakku tahu maksudnya. (Ceh! Macam artis terkenal pula aku ni! Ada peminatnya…)Mereka ini memahami keadaanku sebagai gadis yang sudah dimiliki dan menghormatinya. Lega sedikit aku daripada bahasa manis bermadu dengan maksud umpanan jerat sang pemikat-pemikat di sekelilingku.
Kecuali nampaknya tidak mempan kepada lelaki yang satu ini. Dia tetap terhegeh-hegeh mahu merapatiku dengan pelbagai alasan yang diada-adakannya. Entah dari mana dikutipnya cerita bahawa aku tidak langsung menyukai tunanganku itu. Justeru aku lari meninggalkannya ke sini. Aku tetap keras menafikannya. Hmm…!
Baru aku teringat bahawa aku terlepas cakap sewaktu seronok bersembang dengan kak Wan Sinar aku telah tercerita berkenaan itu kepadanya. Boleh jadi cerita yang amat kukesali terluncur dari bibirku itu diketahuinya daripada isterinya. Maklum saja mereka kan suami isteri yang sering bersama. Si isteri pastinya suka menceritakan sesuatu yang diketahuinya kepada suaminya untuk saling bertukar komen.
Lain kali aku harus beringat agar tidak lancang menceritakan persoalan permasalahan peribadiku kepada sesiapa walaupun kepada seseorang yangku rasa bolehku percayai kejujuran hatinya. Hati budi seseorang itu rupanya sukar ditelah warnanya walau luarannya kelihatan putih dan telus.
Menyesal pun sudah tidak berguna lagi apabila perkara yang tidak kuingini kini telah berlaku dan menyusahkan aku. Salah aku juga. Sudahnya aku yang kalut  terpaksa mereka-reka cerita tentang tunang yang sangat kukasihi namun tidak kuingini itu.
Yang peliknya walau banyak kali penafian tentang itu kubuat dia tetap tidak kisah pun. Sikapnya yang suka hendak menarik perhatianku tidak jeran diperlihatkan.
“Hai sibuk nampakmu…”
‘Datang lagi malaun ni nak ganggu kerja aku.’
“Kija macam selalu ja. Menaip skrip drama Impian Kasih kak Wan ni…tak siap-siap lagi.”
“Tinggal gak kija tu semetar (sebentar) kita gi minum kat restoran tepi pantai PCB tu…”
“Tak sir kita. Lagipun kita nak siapkan taipan skrip drama ni. Kak Wan suruh kita siapkan juga hari ni sebab dia nak pos ke RTM petang ni…”
“Ada saja alase (alasan) mu mek. Kalau tak bagi apa-apa alase tak boleh ko…?”
“Dah memang tak boleh, nak kato (kata)  gapo (apa) lagi banyak kija ni…”
“Mumemang gitu. Kalau aku ajak tak sir ja…”
‘Kalau dah orang tak nak, tak payahlah nak paksa. Bukan setakat satu alasan saja yang boleh diberi banyak lagi yang boleh dicari. Buang masa saja nak mengayat aku weh!.’ Monolog Aisyah menuturkan kesebalan hatinya.
“Sebenarnya aku nak kecek (cakap) sesuatu yang penting ko mu ni. Jom lah ikut aku ke PCB semetar…”
“Saya kata tak boleh! memang tak boleh . Kecek ja di sini.”
“Rasanya tak molek nak kecek hal penting ko mu kat sini…”
“Kalau dah rasa tak molek, tak payahlah kecek…simpan ja dalam kocek cik Zul tu…” balas Aisyah mudah. Sepasang matanya meliar ke persekitaran toko itu. barangkali hatinya bimbangkan akan kehadiran Wan Sinar yang tiba-tiba tercegat di sampingnya dan memarahinya kerana belum lagi menyiapkan taipannya. 
“Orang tu apa pula mahunya, tercangak-cangak ke sana sini. Apa yang dicarinya?” ujarnya sambil pandangannya mengarah hala muka pintu toko itu. Fokus retina Aisyah turut mengikuti arah yang sama.
“Agaknya orang tu nak beli alat tulis atau kertas taip kot. Kan toko ni jual alat-alat tulis dan bahan-bahan untuk penulisan. Biar saya gi tanya semetar ye…” Aisyah tersenyum kesukaan kepada dirinya kerana peluang untuknya meloloskan diri daripada gangguan lelaki yang merejam jiwanya terbuka kesempatannya leluasa.
Lagipun sudah memang kerjanya sebagai jurutaip kepada isteri kontraktor itu merangkap pembantu jualan juga. Tugas yang telah diberi kepadanya itu masakan boleh diabaikan dengan mudah. Pastinya lelaki ini memahami kewajarannya.
Dia akan berusaha melayani pelanggan itu dengan mesra dan mengambil masa yang lama agar suami kepada Wan Sinar ini jemu menantinya kembali ke mejanya. Jikalau kebosanan sudah bertamu di segenap ruang minda kecilnya tentu dirinya tidak betah dan akan segera menghindar dari situ. Begitulah strategi perancangannya. Mudah-mudahan akan berhasil.
“Ya nak apa?” Lelaki berjaket kulit tebal itu tidak membalas sapaannya. Dia masih terbongkok-bongkok seolah sedang mencari barangan yang ingin dibelinya.
“Rasanya nak beli cik adik ni kot!”
Aisyah terkesima. Suara yang melantun ke deria dengarnya menerbangkan seluruh kehampaan yang mengapung di dalam dadanya. Aura kegembiraan mendominasi wajahnya dengan kecerian. Mahu saja lelaki yang memiliki suara garau serak itu dirangkulnya erat sebaik saja mereka berhadapan dan mata bertentangan. Senyumannya terorak lebar dan air mata bergenangan di kelopaknya lantaran terharu amat dengan pertemuan yang tidak dijangka akan berlaku itu.
‘Akhirnya kau kembali kepadaku. Tapi …’
“Kenapa tak beritahu saya abang nak ke sini?”
“Saja-saja nak buat surprised pada buah hati pengarang jantung abang ni…”
Surprised abang tu memang mengejutkan saya sungguh. Hampir jantung ni berhenti berdegup…” Suara yang ketara ke deria dengarnya membuatnya terpana. Direnungi seluruh wajah manis itu seolah sedang meraup dengan tangannya yang membelai lembut untuk menenangkan keterkejutan yang disengajakannya.
“Jangan kata begitu. Kalau jantung dah berhenti berdegup, maknanya ajalnya sudah tiba. Abang tak mahu ajal memisahkan abang dengan orang yang sangat abang sayang dan cinta ni…”
‘Walaupun ajal itu belum lagi memisahkan kita ke alam kekal yang hakiki, namun sebenarnya sememangnya kita telah terpisah aduhai kekasih hatiku! Namun hakikat itu belum mahu kuterima. Walau tidak wajar tapi….Ah pedulikanlah. Itu hak hatiku. Hatiku berhak menentukan apa pun kemahuannya.’
“Wah rancak berborak, sampai tak pedulikan kita yang penat dok tunggu dia. Siapa dia ni? Nampaknya mace (macam) muberdua dah kenal lama…”
‘Bila masa pulak aku suruh dia tunggu aku?’ gerutu hati Aisyah.
“Maaf cik Zul lupa nak kenalkan pada cik Zul tadi, sebenarnya inilah tunangan saya. Dia ni baru ja sampai dari Amerika…” Lancar saja sebutan Aisyah spontan. Aisyah memanah tepat pandangannya pada bola mata lelaki yang disampingnya itu dengan tajam. Mengharapkan maksud bahasanya difahami sebaiknya dan dipersetujui. Lelaki itu tersenyum polos meski keliru sambil menghulur tangan untuk berkenalan dengan majikan Aisyah itu.
Barangkali diserang tanda tanya; mengapakah agaknya Aisyah menuturkan begitu tentang dirinya. Meski hatinya diserbu kegembiraan yang tidak terkata. Berbahagia sungguh. Kenyataan sebegitu memanglah keinginannya yang tidak mungkin dipertikai lagi.
Zulkifli pula yang merasa tidak selesa berada di antara gadis impiannya dan lelaki yang dikenalkan kepadanya sebagai tunangannya itu. Hatinya mendengus kecewa. Ternyata kepadanya bahawa omongan yang didengarinya mengatakan Aisyah bencikan tunangannya, tidak benar sama sekali. Hanya dusta. Sedangkan jelas terpancar aura kebahgiaan di wajah kedua-duanya meraikan pertemuan mereka.
Musykil pula apabila difikirkan tentang pengetahuannya yang kononnya Aisyah bertunangan dengan seorang pemuda se kampung dengannya. Pada congakannya orang kampung tentulah biasa-biasa saja dan agak selekeh.
 ‘Nampak gayanya orang kampung pun well educated juga. Hinggakan mampu belajar ke luar negara. Setanding dengan mereka yang berpendidikan di bandar. Boleh tahan juga ‘mek’ ni memilih pasangannya.
Aku baru saja berkira-kira nak melamarnya menjadi isteri keduaku lantaran hubunganku dengan isteriku sedingin salju. Entah kenapa semenjak namanya menjulang sebagai penulis skrip drama yang dikenali ramai, dia seolah mengabaikan aku. Terlalu taksub menulis hingga larut malam dan membiarkan aku membenamkan hasratku belayar ke pulau idaman bersamanya menikmati keindahan cinta.
Ah! Sangat menjemukan pabila terpaksa mengisi malamku sendirian tanpa isteri tersayang itu. Sekian lama insiden yang sama berulang dan berulang. Maka aku haruslah menerima hakikat bahawa aku telah kehilangan isteri yang kuanggap hanya sebuah ‘bantal golek’ saja.
Setelah dia berjaya menjelmakan dirinya ke persada seni penulisan tanah air, aku pula yang kebingungan. Terkontang-kanting kehampaan. Tiada lagi ‘bantal golek’ yang menemani tidurku di malam hari. Salah aku juga.
Aku pun selalu mengabaikannya tatkala kesibukanku memuncak kala menguruskan beberapa projek pembinaan yang perlukan pemerhatianku secara khusus. Katanya dia menulis kerana mengisi kesendiriannya lantaran aku sering meninggalkannya.
Dan kini dia pula mengabaikan aku kerana terlalu kusyuk berkarya yang pastinya setiap karya yang hendak dihasilkan perlu memerah otak menggilap idea dengan sangat teliti. Bukan main tulis sesedap rasa. Ironis sekali.
Itukah kebenarannya? Atau isteri kesayanganku itu sedang membalas dendam terhadapku secara halus dan berhemah? Kehadiran Aisyah ke tengah kehidupanku kini membahagiakan aku sungguh. Membuatkan aku terlupa akan kesunyianku kerana terabai tanpa belaian yang tersayang. Wajah ayunya yang cantik tidak jemu dipandang mata. Setiap kali memandangnya hati kecilku menyuruh aku mendekatinya.
Suruhan hatiku kah atau bisikan syaitan? Tapi itulah yangku lakukan. Kerana aku gembira berada disampingnya. Akhirnya niat asalnya sekadar hendak berbeka dan mengusik seorang gadis manis untuk menghapuskan kesunyianku bertukar menjadi rasa misteri. Rupa-rupanya dalam diam-diam aku telah jatuh cinta kepada pembantu isteriku itu.  
Perasaan cintaku terhadapnya tidak terbendung lagi. Hinggakan aku tidak kisah duduk berhadapan dengannya walau setiap hari. Walau isteriku melirik mata dengan santun kononnya tidak kisah dengan kejelekan fiilku yang ditontonnya.
Maka hari ini aku bertekad meluahkan rasa cinta yang melimpah ruah di dalam dadaku, tidak terempang lagi itu kepada Aisyah. Hanya Aisyah segala-galanya buatku kini. Bukan lagi Wan Sinar yang kudambakan.
Impianku ternyata kecundang tika masih dalam perancangan lagi. Hancur musnah bak kaca yang pecah berderai lantaran kehadiran makhluk lelaki yang tiba-tiba muncul tidak terjangka ini. Malangnya nasib aku. Hasrat menjadi tumpul. Terpaksalah aku berfikir keras bagaimana mahu mendapatkan ‘bantal golek’ku itu semula.’
“Saya nak ke tapak projek pembinaan sekolah menengah di Bachok semetar. Kalau kak Wan cari, beritahu saya ke sana ya. Ajaklah tunangmu ni duduk di meja kat dalam sana. Takkan nak berdiri tercacang di sini ja…,” ujar Zulkifli berbahasa lunak.
‘Wah! bukan main molek lagi bahasa tuan aku tu hari ni. Selalu tu tak pernah pun nak pesan apa-apa pada kak Wan. Suka hati dia ja nak berambus ke mana-mana. Lain pesen pulak hari ni. Jangan-jangan dah buang tebiat kot… 

Sunday 28 September 2014

MISTERI HIGHLAND TOWERS....MEREMANG ROMA...

Assalamualaikum....

3 Kisah seram Highland Towers
Highland Towers! Satu nama yang telah terpahat didalam sejarah di negara Malaysia, dimana telah berlaku satu kejadian runtuhan pada salah sebuah bangunan daripada tiga buah bangunan apartment di Ulu Klang, Selangor, pada tarikh 11 Disember 1993. Mengikut kepada laporan yang direkodkan, angka korban kepada runtuhan terbabit adalah seramai 48 orang, tetapi ianya dipercayai adalah lebih ramai lagi mangsa yang terperangkap pada masa itu dan masih tertanam tidak ditemui sehingga kini.
Selepas berlakunya runtuhan tersebut, 2 lagi block di kawasan itu dan beberapa block disekitarnya telah dikosongkan atas faktor keselamatan. Jadi, dengan kesan tapak runtuhan dan sebahagian mangsa yang tidak dapat dijumpai sehingga kini, bersama dua bangunan yang telah tidak berpenghuni selama 20 tahun, apa yang kamu akan bayangkan dan rasakan jika berada disana berseorangan ketika ini? Sanggupkan kamu menerima tawaran sebanyak 1 juta ringgit untuk bermalam di tingkat atas sekali, disalah sebuah bangunan apartment tersebut tanpa sesiapa dan hanya kamu seorang diri?
Berikut adalah 3 kisah seram dan misteri yang dikumpul dari sumber internet, media cetak, dan dari pengalaman sendiri mangsa gangguan !Higland Towers!
Kisah 1 - Dua Orang Lelaki Berjubah Putih
Menurut kepada cerita dari penduduk kawasan berhampiran, terdapat sebuah kisah yang ganjil dan pelik telah berlaku, serentak dengan runtuhan bangunan tersebut. Kisah itu diceritakan sendiri oleh saksi kejadian, dimana seorang amah Indonesia yang berkerja dengan sebuah keluarga melayu yang tinggal di block berhampiran, iaitu di Block 2, telah menyaksikan 2 lelaki misteri yang lengkap memakai serban dan berjubah putih, sedang menggoncang dan menolak bangunan di Block 1 diiringi dengan bacaan al-Quran dari kedua-dua makhluk misteri tersebut.
Bagi menyokong dakwaannya, perempuan tersebut juga telah bersumpah, apa yang disaksikannya adalah dari matanya sendiri. Mengikut kepada laporan saksi kejadian, bangunan tersebut telah runtuh secara menyenget seperti sedang ditolak dan bukan jatuh menjunam kebawah, menguatkan lagi dakwaan wanita Indonesia itu.
Kisah 2 - Pemandu Teksi dan Wanita Misteri
Pengalaman yang dilalui oleh seorang pemandu teksi di Ibu Kota ini, agak menyeramkan dan berlaku ditengah malam, ceritanya seperti ini:
Ketika itu waktu adalah pada sekitar jam 1 pagi, seorang pemandu teksi yang baru sahaja menurunkan penumpang di sekitar ibu kota bercadang untuk pulang kerumahnya, di Gombak, kerana kepenatan setelah dari pagi keluar mencari rezeki. Didalam perjalanan memandu pulang dari pusat bandar, seorang wanita telah menahan teksinya, dan kerana merasa kasihan melihatnya yang keseorangan ditengah malam, dia membuat keputusan untuk memberhentikan teksi dan bertanya kemana wanita tersebut hendak pergi.
"Cik hendak ke mana?", tanya pemandu teksi itu dengan sopan.
"Saya hendak balik kerumah," wanita tersebut menjawab dengan kepalanya tunduk kebawah.
"Saya boleh hantarkan jika cik mahu", pemandu teksi itu menawarkan perkhidmatan teksinya, walaupun dia begitu keletihan ketika itu.
"Dimana rumahnya?"
"Di Taman Hill View, Higland Tower".
Pemandu teksi tersebut agak bersyukur kerana Taman Hill View terletak di sepanjang laluan ke rumahnya di Gombak, jadi dia boleh menggunakan lebuhraya MRR2 untuk kesana, tetapi didalam masa yang sama dia terlupa bahawa salah satu bangunan disitu telah runtuh dan bangunan disekitarnya juga sudah tidak berpenghuni lagi kerana telah berpindah atas arahan pihak berkuasa.
Setelah kira-kira 10 minit berlalu, ketika kedua-duanya diam membisu, secara tiba-tiba pemandu teksi tersebut teringat akan peristiwa runtuhan bangunan di situ yang baru sahaja terjadi, dan beliau terus merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada wanita itu. Pelbagai persoalan timbul difikirannya, siapa wanita ini? Masih ada lagikah penghuni yang belum berpindah? Jika ada pun, berani betul wanita ini tinggal disitu kerana sudah pasti kawasan itu sudah tidak selamat lagi untuk dihuni.
Oleh kerana keinginannya yang begitu kuat untuk mengetahui siapa wanita itu, pemandu teksi itu terus bertanya kepadanya setelah sampai ke destinasi, "Cik masih tinggal disini ke?"
Lebih kurang dalam 30 saat, wanita itu baru menjawab, "Masa bangunan tu runtuh, saya ada didalam, dan kedua-dua kaki saya telah putus. Cuba abang tengok kaki saya ni, kudung dan berdarah".
Pemandu teksi itu tidak mahu melihatnya, tetapi kepalanya tetap menoleh ke belakang di kerusi penumpang dan dia seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, kedua-dua kaki wanita itu memang kudung dan dipenuhi darah. Lututnya lemah, kakinya tidak bermaya lagi untuk menekan pedal minyak. Dia hanya mampu memandang dan terkaku apabila wanita itu membuka pintu teksi dan turun sambil merangkak menuju ke arah runtuhan bangunan tersebut sehingga wanita itu hilang dari pandangan matanya.
Kisah 3 - Kenapa Dengan Afiq?
Beberapa tahun lalu, sekumpulan 4 orang pemuda dari kawasan sekitar Kuala Lumpur, telah memutuskan untuk melawat tapak runtuhan Highland Towers, di Ulu Klang. Kebetulan pada malam itu adalah malam jumaat. Sebut sahaja malam jumaat, secara semula jadi sejak zaman dahulu sehingga kini, pemikiran orang melayu akan mengaitkannya dengan malam yang mudah untuk melihat atau berjumpa dengan hantu dan makhluk halus.
Mereka menaiki dengan sebuah kereta untuk sampai ke sana, dan mangsa yang digelarkan sebagai Afiq, duduk dibahagian belakang bersama seorang lagi rakannya. Apabila tiba ke destinasi, mereka berpecah, berjalan sambil mengambil gambar, dan berkumpul semula ditempat kereta diletakkan kira-kira 20 minit kemudian. Setelah berpuas hati dan bersetuju untuk pulang, mereka pun masuk kedalam kereta dan meninggalkan Higland Towers tersebut dengan bermacam-macam cerita yang dibualkan mereka dari pengalaman melawat tapak runtuhan itu sebentar tadi.
Biarpun mereka rancak berborak dengan pelbagai cerita sejak turun dari situ, mereka telah perasan satu perkara ganjil telah berlaku kepada Afiq. Afiq tidak bercakap walau sepatah perkataan pun sejak tadi, walaupun setelah mereka sampai ke restoran mamak untuk minum. Malah Afiq juga tidak memesan minuman atau pun makanan, dia hanya mendiamkan diri dan hanya menunduk memandang lantai. Tetapi masing-masing buat tidak tahu sahaja kerana tidak mahu mengganggu kalau-kalau dia sedang memikirkan masalah dirinya ketika itu.
Sementara menunggu pesanan yang diminta sampai, mereka menyambung kembali perbualan yang terhenti ketika membuat pesanan minuman tadi, dan tiba-tiba telefon bimbit kepada salah seorang dari mereka berbunyi. Apabila melihat kepada nama yang terpapar di skrin panggilan pemanggil, dia kehairanan, kerana panggilan tersebut dibuat dari telefon bimbit Afiq yang disebelahnya. Apabila ditanya kepada Afiq kenapa menelefonnya sedangkan dia berada di sebelah, Afiq hanya mendiamkan diri. Afiq pula dilihat seperti tidak melakukan apa-apa, dan tidak juga melihat dia memegang telefon bimbit.
Apabila keadaan menjadi semakin bingung, pemuda tersebut menjawab juga panggilan 'Afiq' itu untuk kepastian apakah yang sedang berlaku sebenarnya. Setelah menjawab panggilan tersebut, jelas kedengaran suara pemanggil tersebut adalah Afiq, dan telah membuatkan mereka semua terkejut dan serentak itu memandang ke arah 'Afiq' yang membisu itu. Selepas membuat pengesahan dan yakin yang membuat panggilan itu adalah Afiq yang sebenar, mereka segera meninggalkan tempat tersebut dan memecut kembali ke Highland Towers untuk menjemput rakan mereka, Afiq yang sebenar itu.
Makhluk yang menyerupai Afiq itu juga turut mengikut mereka menaiki kereta sehingga sampai ke Highland Towers, dan turun sejurus mereka memberhentikan kereta ditempat yang sama ketika sampai kali pertama tadi. Afiq yang sebenar juga telah lama berada disitu kerana menunggu, tetapi tidak dapat melihat perkara yang baru terjadi sebentar tadi. Setelah Afiq memasuki kereta, mereka terus memecut turun dan menceritakan perkara yang telah terjadi kepada 'Afiq'.

FB NORADABI ROSDI.

PIC GOOGLE UNTUK HIASAN.

SILAT MILIK SIAPA?

ASSALAMUALAIKUM....


Silat milik siapa?
Kenyataan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Roy Suryo yang berhasrat untuk mendaftarkan pencak silat di Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaan republik itu, menarik perhatian Awang.

Menurut laporan Jakarta Post, langkah tersebut diambil kerana terdapat usaha dari negara jiran yang mahu menjadikan pencak silat sebagai kebudayaannya sedangkan ia adalah milik Indonesia.

Walaupun Roy Suryo tidak menyebut jiran yang mana, ia sebenarnya ditujukan kepada Malaysia. Pertubuhan silat Malaysia telah pun mendaftar pencak silat di UNESCO dua tahun lalu. 

Sebenarnya inilah antara cabaran menjadi negara serumpun yang berkongsi banyak perkara terutama sejarah dan budaya. Berdasarkan sejarah, silat telah tersebar di gugusan kepulauan Melayu dan Nusantara sejak abad ketujuh lagi. 

Di Semenanjung Tanah Melayu, kemuncak perkembangan silat adalah pada era Kesultanan Melaka pada abad ke-15 sebagaimana dibuktikan menerusi kajian dan penulisan. Negara dan wilayah Nusantara antaranya Indonesia,

 Malaysia, Brunei, Singapura, selatan Filipina dan Thailand juga ada kepentingan dalam soal sejarah dan warisan persilatan. Setiap negara ada latar belakang dan hujah tersendiri.

 Maka pada pandangan Awang, Indonesia juga berhak untuk mendaftarkan pencak silat di UNESCO sebagaimana Malaysia. Ini semua hal kecil, yang tidak perlu diribut-ributkan. 

Hubungan akrab Malaysia -Indonesia jauh lebih bernilai daripada sekadar isu hak milik ke atas silat, yang perdebatannya tidak akan berkesudahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Saturday 27 September 2014

SELAMAT BERIBADAH HAJI...

ASSALAMUALAIKUM...


                                     SECEBIS KISAH HAJI DULU-DULU...
Pic google untuk hiasan.
Kami anak-beranak suku-sakat dan kaum kerabat tokwan berbondond-bondong ke pelabuhan Pulau Pinang untuk menyambut kepulangan tokwan dari tanah suci Mekah. tidak sabar hendak melihat dan bertemu tokwan.

Aku nampak tokwan turun dari kapal dan menuju kepada paklang memeluknya dan datang pula memelukku. Berbangga sungguh hatiku dipeluk tokwanku yangkusayangi itu. Tokwanku ini sifatnya yang unik. pendiam. cakapnya boleh dikira,. langsung tidak pernah marah kepadaku atau sesiapa saja.

Semua anak cucu menyayanginya. namun pasti bertanya sayangkah tokwan kepada kami anak cucunya dengan sikapnya yang selamba tidak kisah itu. Melihat cara tokwan terkini aku yakin tokwan sayangkan kami anakcucunya.

Lebih-lebih lagi aku cucunya yang sulung ini. cucunya yang pernah dibawanya menaiki basikal ke bandar Yan untuk mendapatkan kad pengenalan.

Bayangkan betapa penatnya tokwan mengayuh basikal sejauh 20km membawa beban berat di pelantarnya pergi dan balik. Memori yang tak mungkin kulupa. Tokwan yangku sayangi itu membawa beberapa hadiah yang dibelinya di Mekah dan memberinya kepadaku. Bertambah-tambah kasihku kepada tokwanku itu.

Kesihatan tokwan agak merosot setelah pulang dari menunaikan ibadat haji. dan jatuh sakit pula. sedih melihatkan keadaan diri tokwan yang kurus kering dengan perutnya bengkak. sakit apakah itu? entahlah. aku hanya mendoakan Allah memulihkan kesihatan dan memberikan kesejahteraan kepadanya.

Doa anak cucu dimakbulkan Allah. Tokwan sihat semula dan merancang menziarahi keluargaku di Pahang. bapa pulang menaiki keretanya untuk mengambl tokwan dan tok. hajat bapa untuk membawa tokwan pulang ke Pahang tidak kesampaian.

Tokwan terlebih dulu dibawa pulang ke rahmatullah...innalillah. kesedihan kerana kehilangannya dirasakan hingga kini.
aLFATIHAH...
PS...
SEMOGA AYAHBUNDA, WARIS-WARIS KITA, SAUDARAMARA KITA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT ALLAH PERMUDAHKAN URUSAN PERIBADATAN HAJI MEREKA DAN SEGALANYA DI TANAH SUCI MEKAH, KELAK PULANG MEMBAWA HAJI YANG MABRUR SEMPURNA....AMIN.

Friday 26 September 2014

PUDING MANGGA.

ASSALAMUALAIKUM...

Sedapnyaaaaaaaaaaaa!!!! Ini dia Resepi Puding Mangga
Bersama KASTARD VANILLA.

BAHAN-BAHANNYA :

1 peket serbuk agar-agar
1000 ml air
150 gm gula

BAHAN KISAR :

400 gm mangga masak
200 ml susu cair
100 ml air

CARA :

campurkan gula, air dan serbuk agar-agar dan renehkan sehingga gula larut, sentiasa di kacau.
Masukkan *Bahan Kisar* dan kacau sehingga sebati. Renehkan sebentar dan tapiskan.
Masukkan ke dalam acuan dan sejukkan sehingga set!

KUAH KASTARD VANILLA

300 ml susu cair
100 ml air
2 biji kuning telur
2 sudu besar vanilla
6 sudu besar gula
sedikit garam
1 sudu besar tepung kastard

CARA :

Campurkan kesemua bahan-bahan di atas dan kacau dengan menggunakan whisker dengan api sederhana.
Kacau sehingga kuah agak pekat,
angkat dan tapiskan, sejukkan terlebih dahulu baru di tuangkan di atas puding mangga... 


DEMI MASA SESUNGGUH-NYA KITA INI DI DALAM KERUGIAN...




Assalamualaikum...
Salam jumaat yg mulia.

Republish.









 GRAFIK TIMELINE...MOGA KITA SAMA-SAMA BEROLEH MENAFAAT DENGAN MEMBACANYA....












Thursday 25 September 2014

MOUNTAIN FORGET ME NOT...

Assalamualaikum..

FLORA PENGHIAS ALAM...

BUNGA-BUNGA INDAH YANG JADI PILIHAN PI UNTUK MENGHIASI BLOG KARYAKU KALI INI PI COPY PASTE DARIPADA FLOWER LIKE PAGE FB..https://www.facebook.com/beautifulflowerpicutres?fref=photo. CANTIK-CANTIK KESEMUANYA DAN TIDAK KELIHATAN LAGI DI SINI ATAU SEBENARNYA PI YANG TAK BERKESEMPATAN MELIHATNYA HEH..HEH..



Mountain forget me not.
Photo: Mountain Forget Me Not - myosotis asiatica - photographed at Yellowstone National Park

Cardinal flower.


Swan red
Photo: If you can’t you must and if you must, you can. ~ Anthony Robbins  

Swan Red & White Columbine - today's moment of beauty

Yellow columbine.


Ballade tulip.



Champagne bubble poppy.


Fireweed.


Purple milkweed.

Wednesday 24 September 2014

Syair Pahang indah..

Syair Pahang Darulmakmur negeriku...

1. Inderapura asal namanya, laut, sungai, jeram, mengairinya, bukit dan gunung menunjanginya, Pahang nan indah makmur darulnya.

2. Mulakan wisata jelajahinya, ke ibu negeri kita bermula, Kuantan berpusat tadbir dan niaga, Telok Cempedak pantai rekreasinya.


3. Sungai Pahang tenang mengalir, ke Pekan pula kita menghilir, bandar diraja elok ditadbir, sultan dan rakyat tidak bertabir.
4. Persisir laut sempadan Johor
ikan layarnya terbang masyhur,
udang galahnya sepit menjulur,
sawah padi di Rompin subur.

5. Muazam dulu hutan dara,
khazanah bernilai dimana ketara,
di dalam buminya permata tiara,
tasik Cininya naga berbicara.
6. Jalan lama kita lalui,
rimba dan paya kita lepasi,
bandar Maran kita singgahi,
ayam kampungnya enak sekali.

7. Ke Temerloh sudah tak jauh,
pekan sarinya di tepi lebuh,
segala jualan banyak ditaruh,
ikan patinnya amat jenuh.

8. Jalan-jalan pula ke Triang,
dalam hati berlagu riang,
indahnya tebing sungai Pahang,
tasik Bera melaut ruang.

9. walau selesa walau suka,
terasa hati hendak ke Jengka,
gunung Senyum menghapus duka,
wilayah felda di sini juga.
10. Jalan berbelok bak ular dipalu,
lebuhraya belum lalu,
bandar Jerantut agak ke hulu
ke taman negara teruja selalu.
11. Kuala Tahan jeram menderam,
berhati bersampan takut karam,
kiri kanan memandang tergamam,
flora dan fauna di taman alam.
12. Ke Kuala Lipis membawa diri,
di sinilah dulu kota negeri,
sejarah Pahang tertulis terpetri,
bandarnya maju rakyat bestari.
13. Emas diremas membuat lemas,
namun dilombong dengan kemas,
kayanya Raub tanah beremas,
makmur Pahang warganya ikhlas.

14. Bandar Bentong di penghujung,
bertali arus yg mengunjung,
bertanah tinggi dan bergunung,
Lata Lentang antara tersanjung.
15. Banyaknya bunga pelbagai warna,
strawberi, sayur mayur segar sempurna,
ladang tehnya meluas saujana,
Cameron Highland dinginnya suasana.

16. Indahnya Pahang tanah negeriku,
tinggalan moyang warisan teraku,
Ilahi suratkannya berlaku,
aman sentosa doa periku.




Semua pic google untuk hiasan...

Tuesday 23 September 2014

SIAPA PAK ENGKU?

ASSALAMUALAIKUM...

SIAPA PAK ENGKU? ITULAH PERTANYAAN MUHAMMAD KHAIRUDIN LIM BLOGGER
http://kakitravelkhairuddin.blogspot.com/ KEPADA PI. DAN PI TERPAKSALAH MERISIK TANYA KEPADA PAK ENGKU RAKAN FB PI YANG SERING PI MUAT NAIK KARYA-KARYA PANTUN PERBIDALANNYA YANG UNIK BERSENI.

INILAH PROFILE DIRI PAK ENGKU.


  • Profile Saya....... Nama Penuh: Kamaruzzaman Osman Umur: 66 tahun Lahir: Pukul 12 t/hari, Hari Jumaat, 11 April 1948. Tempat Lahir: Kg Kuala Sawah, Rantau. N.S. Dari umor 6 tahun menetap bersama keluarga (ayah, ibu dan adik beradik di Kg Pantai, Seremban Rumah tua masih ada di kampung itu. Pekerjaan: Pesara guru (Bersara pada tahun 2004) Guru Biasa di Sekolah Rendah. Pengalaman Jadi Guru: 34 Tahun - Dari tahun 1970 - 2004 Pendidikan: 1954 - 1957 : Sekolah Kebangsaan Pantai, Seremban. N.S. (Sekolah Melayu) Darjah 1 hingga Darjah 4.

    1958 - 1960 : King George V (Primary) School, Seremban. N.S. (Sekolah Inggeris) Special Malay Class 1, Special Malay Class 2 and Standard 6. 1960 - 1965 King George V (Secondary) School, Seremban. N.S (sekolah Inggeris) Form 1 to Form 5. 1967 - 1999: Maktab Perguruan (Pusat Latihan Harian), Seremban . . Beristeri. Anak 4 orang. 2 lelaki dan 2 perempuan. Anak lelaki (anak nombor 3) meninggal pada tahun 2006 ketika berusia 26 tahun dan masih bujang.

  • Pak Engku
    Pak Engku Lupa pula:: Moyang sebelah ayah berketurunan Raja dari tanah Minangkabau. Moyang saya bernama Raja Ibrahim. Tapi datuk dan adik beradiknya hilangkan title Raja itu kerana takutkan pihak British pada suatu masa dahulu. Sampai kubur pun diwasiatkan oleh adik beradik datuk dan moyang saya supaya tidak dibubuh nama pada batu nesan mereka. Begitulah ceritanya. Kerana saya berketurunan Raja maka saya gunakan gelaran Pak Engku.tu. Ini ceita sejarah yang sahih. Ada alat2 kebesarannya berserta cap mohornya sekali yg diiktiraf oleh Mufti Negeri sembilan sebagai benar dan sah.


    Sekarang menetap di Taman Matahari Heights, Senawang. N.S.
  • Hobi: Suka Menyanyi, Mengarang Pantun, Syair, Sajak dan Bercorat-coret di FB.

  • BUKAN SEBARANGAN ORANG PAK ENGKU KITA NI..
  • CORAT CORET PAK ENGKU..

    PANTUN-PANTUN PERBIDALAN PAK ENGKU

    SEDARI PAGI MENGANYAM ROMBONG,
    KELARAI LONGGAR BUAT SAMBILAN;
    BERCAKAP TINGGI BEGITU SOMBONG,
    BAGAI TAGAR DI PULAU SEMBILAN.

    Perbidalan: Bagai tagar di Pulau Sembilan.
    Maksudnya:Percakapan yang terlalu tinggi dan sombong.

    BUANG KE LEMBAH SI UBI GANYUT,
    LEMBAH MENGHALA SAWAH SEJENJANG;
    SELANGKAN BAH KAPAR TAK HANYUT,
    INIKAN PULA KEMARAU PANJANG.

    Perbidalan; Selangkan bah kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang.
    Maksudnya::Sedangkan semasa ada pencarian tidak sampai sesuatu maksud
    (yang dihajati) apalagi sewaktu tida berpencarian.
    ('Selangkan' sama maksudnya dengan 'Sedangkan'.)

    POKOK SEMBUNG TUMBUH DI LATAH,
    AKAR BERSAUR BANYAK GUNANYA;
    SEMASA REBUNG TIDAK DIPATAH,
    DAH JADI AUR APA GUNANYA.

    Perbidalan: Tatkala lagi rebung tidak dipatah, ketika sudah jadi aur apa
    gunanya.
    Maksudnya: Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih kecil, kalau
    sudah besar tidak akan berhasil lagi.
    ('Latah' adalah Sampah (daun dll) yang di bawah tumbuh-tumbuhan (di hutan dll).

    HANYUT TERAPUNG SI DAHAN KASAP,
    DAHAN YANG MATI MENIMPA PERAHU;
    TERBAKAR KAMPUNG KELIHATAN ASAP;
    TERBAKAR HATI SIAPA YANG TAHU.

    Perbidalan: Terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa tahu.
    Maksudnya: Kesusahan sseorang jarang dipedulikan oleh orang lain kerana
    tidak kelihatan olehnya.

    IKAN SELIGI SI IKAN TALANG,
    DIBELI NYONYA BARANG SEKATI;
    AKAN MENGAJI SURATLAH HILANG,
    AKAN BERTANYA GURULAH MATI.

    Perbidalan: Akan mengaji suratlah hilang, akan bertanya gurulah mati.
    Maksudnya: Keadaan sulit yang tiada dapat diselesaikan lagi kerana
    punca untuk menyelesaikannya sudah tidak ada lagi

    TERBANG KE PANGKIN SI BURUNG PERLING,
    BURUNG SEKENDI DI DAHAN MERLIMAU,
    MANAKAN MUNGKIN ANAKNYA KAMBING,
    BOLEH MENJADI ANAK HARIMAU.

    Perbidalan: Anak kambing tak akan jadi anak harimau.
    Maksudnya: Orang yang pengecut atau bodoh tidak akan menjadi orang
    yang berani atau pandai.

    DI ATAS LANGKAN DUDUK MENCUPAK,
    DITUAI AKAN PADI YANG RUNDUK;
    JIKA DIIRINGKAN DIA MENYEPAK,
    DIKEMUDIANKAN DIA MENANDUK.

    Perbidalan: Diiringkan menyepak, dikemudiankan menanduk.
    Maksudnya: Perihal sesuatu yang serba menyusahkan atau serba salah.

    SEKIAN. TAMMATUL AL KALAM.

Sunday 21 September 2014

PENYAKIT HATI DAN JIWA, CARA RAWATANNYA..

ASSALAMUALAIKUM...

Kuatnya sebatang pokok bergantung kepada akar tunjangnya. Jika akar tunjangnya kuat, walaupun dipukul ribut taufan, pokok tidak mudah tumbang. Demikianlah kekuatan fizikal manusia bergantung kepada hati. Jika hati kita kuat, walaupun sehebat mana cabaran dan dugaan yang dihadapi, kita tidak mudah rebah dan patah semangat.

Bahkan baik atau buruk perangai manusia itu bergantung kepada hatinya. Sebagai mana hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati".

Sebab itulah jika kita hendak berubah atau tidak, daripada amalan hidup negatif kepada positif, bergantung kepada hati. Kita tidak akan nampak diri kita salah, jika hati kita masih belum terbuka atau 'buta mata hati'. Kesedaran untuk membuat perubahan diri akan timbul apabila hati kita bersih. Iaitu bersih daripada 10 penyakit hati dan jiwa yang menyerlahkan perasaan negatif dalam diri kita.

Pertama, ujub. Iaitu perasaan kagum terhadap diri sendiri. Berasa diri kita terlalu baik dan hebat berbanding orang lain. Ubatlah penyakit hati ini dengan menjadi pemerhati kepada diri sendiri, dengan bermuhasabah mencari kekurangan dalam usaha menambah ketakwaan.

Elakkan daripada menjadi pemerhati orang lain dengan tujuan untuk menilai, menghukum dan membuat perbandingan antara amalan orang lain dengan diri sendiri. Ikhlaskan diri dalam segala amalan kerana Allah, dan jangan mengharapkan penghargaan manusia. Dunia dalaman kita menentukan dunia luaran kita. Jangan malu kepada manusia, tetapi malulah kepada Allah, serta hentikan sebut perkataan, "apa orang kata."

Kedua, perasaan sombong iaitu tinggi hati, angkuh, riak dan bongkak. Berasa segala kejayaan kita adalah kerana kehebatan kita, hingga melupakan kuasa Allah Yang Tinggi. Berani melakukan dosa dan meninggalkan suruhan-Nya. Menurut Al-Bukhari, "orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangannya. Adapun orang Mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan dia duduk di bawah kaki gunung yang akan menghempapnya."

Menghargai

Ketiga, perasaan iri hati dan dengki. Iaitu tidak boleh melihat orang lain lebih daripadanya, sentiasa hendak bersaing, tidak bersyukur dan sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang kita telah ada, tetapi sibuk mempersoalkan apa yang kita belum ada.

Orang yang menjaga kebersihan hatinya, setiap hari akan lihat apa yang difokuskannya? Kesyukuran atau kesukaran? Apa yang kita fokuskan akan menentukan kualiti hidup kita. Marilah menjaga hati kita daripada penyakit dengki. Selalunya orang akan mengata atau mengumpat orang yang mereka dengki.

Keempat, bersangka buruk. Orang yang bersih hatinya akan hidup dengan penuh ikhlas dan memperbanyak kasih sayang kepada dirinya dan orang lain. Membuang semua perasaan negatif dan tidak sekali-kali berfikir negatif tentang sesiapa. Sibuk memperbaiki diri sendiri sehingga tidak nampak keburukan orang lain.

Kelima, perasaan ego. Orang yang ego sebenarnya ada perasaan rendah diri yang tersembunyi dalam dirinya. Oleh itu bina keyakinan diri dengan mencari reda Allah SWT, supaya dapat menghilangkan rasa ego dan sombong. Sibukkan diri menghargai, bukan mencari penghargaan. Manusia yang paling tenang bebas daripada penghargaan manusia, hanya kasih Allah yang dicari. Lebih baik kita dianggap bodoh tetapi benar, daripada dianggap cerdik tetapi berbohong.

Keenam, perasaan marah. Orang yang hebat bukanlah orang yang dapat membandingkan diri dengan kekuatan. Orang yang hebat ialah orang yang mampu mengendalikan nafsu marahnya ketika marah.

Ketujuh, perasaan takut dan risau. Lebih takut dan risau kepada peraturan manusia daripada hukum Allah. Risau dengan dunia ialah kegelapan hati dan risau dengan akhirat ialah cahaya bagi hati. Banyak orang yang tersalah jalan tetapi berasa tenang kerana banyak teman yang sama-sama salah, dengan mengikut jalan yang sama. Beranilah untuk menjadi benar walaupun kita bersendirian mengikut jalan yang lain. Jangan mengharap dunia berubah sebelum kita berubah.

Kelapan, perasaan dendam. Dendam yang berpanjangan akan menjadi racun yang menjejaskan secara perlahan-lahan kesihatan diri kita. Sabar, reda dan maafkan semua kesalahan orang, itulah jalan keluar daripada penyakit hati dendam. Sabar itu pahit tetapi buahnya manis.

Kesembilan, bakhil dan kikir. Salah satu kunci syurga ialah murah hati dan baik budi. Sikap pemurah hati meluaskan rezeki, memanjangkan silaturahim dan menghindarkan musibah.

Kesepuluh, terlalu mengikut perasaan. Segala tindakan tidak berlandaskan fikiran. Dalam tubuh manusia ada sel aktivasi, otak yang mempengaruhi emosi kita dan apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat dan dengar semua masuk pada mata kita. Sebenarnya apa yang kita lihat bukan hanya dengan mata, tetapi kita melihat melalui mata dengan hati dan otak.

Sebab itulah dalam Jurnal Senyumlah Wahai Hati, terbitan As-Sohwah, disarankan rawatan hati mesti melalui lima perkara. Iaitu mengawal apa yang kita dengar melalui telinga, mengawal apa yang kita fikirkan melalui minda, mengawal apa yang kita perkatakan melalui mulut dan lidah, dan mengawal apa yang kita pandang melalui mata.

Akhirnya jurnal ini membimbing kita mengawal apa yang kita lakukan dalam kehidupan sehari melalui persekitaran (sama ada di tempat kerja, tempat belajar, antara keluarga/jiran tetangga, dan ibadah). Dapatkan jurnal ini, kerana dengan mencatat setiap hari apa yang kita lakukan yang memberi kesan kepada hati kita selama 30 hari, insya-Allah kita dapat mendidik diri kita ke arah yang positif. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak."

PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS), Pengarah dan Pakar Mata, Prof. Muhaya Eye and Lasik Centre, dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia)
Fanpage: facebook Prof Dr Muhaya
twitter@drmuhaya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/



MyBloglist