بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...




                                                           Demikiankah suratannya?


Sekian lama dia di sini. Masa dirasakan bagai air yang mengalir laju dari hulu ke muara hingga ke segara luas. Terlalu pantas. Kesendiriannya tidak terpedulikan lagi. Saban hari masanya terisi dengan tuntutan hidup sebagai siswi yang akan berulang ke dewan kuliah bersama rakan-rakan sekuliah menghadap muka pensyarah dan akan menerima assignment yang pelbagai daripadanya.
Dia langsung tidak kisah mengenainya. Hanya akur. Tanpa ada rasa mahu menolak setiap tugasan dengan alasan kepenatan. Keakurannya terhadap tugasan yang diberi pensyarahnya kepadanya membuatnya sentiasa berada di ruang kesibukannya. Tiada lagi bayang-bayang yang mengimbau berupa fatamorgana yang tidak mampu dicapai tangannya. Kesemuanya sudah dikuak ke tepi.
Tanpa sedar rutin yang dilakukannya sudah sampai ke penamatnya. Dan dia perlu meninggalkan menara gading USM yang melambakkan sejumlah ilmu dunia dan akhirat kepadanya. Dunia siswanya akan ditinggalkan. Kelak akan menjengah pula ke dunia luar yang realiti. Realiti yang perlukan ketegaran semangat untuk menghadapi arusnya.
“Sudah siap berkemas nak pulang?”
“Dah! Mupula dah siap ko?”
“Dah! Tak sabar lagi rasanya nak pulang ke kampung halamanku di Sabak Bernam sana. Rindunya aku hendak melewati permatang bendang sambil melihat padinya yang tunduk menguning. Pohon-pohon nyiur yang melambai di sapa bayu laut. Alangkah nikmatnya berada di daerah kelahiran sendiri…,” sahut Nurlila dengan patah-patah bahasa yang indah tersusun.
‘Ah anak kampung. Jiwa kekampungannya tidak pernah akan sirna menjati diri walau sudah bertahun-tahun berada di tengah kota raya Georgtown ini…,’ getus hati Aisyah berbisik kepada dirinya.
“Muni! Macamlah di tempatmu saja yang ada sawah bendang dan pohon nyiur yang melambai-lambai. Di sini pun ada. Luas sawahnya sejauh matamu memandang. Setakat nak balik nak tengok bendang dan pokok nyiur saja baiklah tak usah…,” ujarnya sinis. Terkemelewek senyum di bibirnya. Tandanya tentulah sebab musabab yang tidak releven itu dinafikannya..
“Tak payahlah nak mengata aku mek oi. Aku tahulah kau balik ke kampung dengan seronok sebab nak bertemu dengan kekasih yang dah lama kau tinggalkan bukan? Rindunya tentu sedang membuak-buak di dada kan? Siapa namanya? Alah aku terlupa pula…haa Zahari…,” balas Nurlila galak mengusik Aisyah yang terkulat-kulat memandangnya dengan kejengkelan hatinya..
“Zahari tu abang angkat akulah ngok…”
“Aise nak membongokkan kita pulak. Syah oi… abang angkat tu bukan muhrim kau tau! Bila-bila masa saja kau boleh ubah status abang angkat tu kepada abang tersayang dengan istilah tepat suami beb…” tegas sekali rima pengucapan gadis itu bersangkutan sedikit hukum Islam yang diketahuinya.
“Entahlah lila. Rasanya tak kot. Insya-Allah…”
“Wah…sudah tidak yakin dengan pendirian sendiri selama ini nampaknya?”
“Betullah apa yang aku kata tu kan. Semuanya tergantung dengan keizinan Allah. Aku tak berani nak pastikan bukan dia yang jadi suamiku. Aku tidak mahu bongkak dengan takdir kemahuanku…,” Aisyah bersuara lirih namun tegas dengan pendiriannya..
Memang dia tidak pernah lagi menggantungkan apa-apa harapan tentang kemahuan jiwanya. Jikalau dulu dia terlalu asyik menjalen cinta dengan Faizal tetapi yang menjadi tunangannya adalah Syamsi. Dengan kasih sayang Allah Faizal telah menyahut seruan-Nya kembali; kepada-Nya meninggalkannya yang menderita kehilangannya sekian lama.
Dia kemurungan. Tiada lagi sinar ceria yang membahagiakan jiwanya. Mak ayahnya dan orang-orang lain menganggap kesedihannya yang terlalu itu disebabkan memikirkan kesihatan tunangannya yang semakin merosot. Dia tidak peduli dengan pandangan mereka. Boleh saja menganggap apa saja tentang dirinya. Cerita hatinya akan menjadi milik peribadinya.
 Masanya dihabiskan dengan mengurusi tunangan yang tiba-tiba jatuh sakit hingga menyebabkan kelumpuhannya. Entah apa sakitnya tidak dapat didignosis pakar-pakar perubatan. Akhirnya pihak hospital tentera yang merawatnya membenarkannya dibawa pulang untuk berubat secara tradisional.
Menurut kata kawan-kawannya, Syamsi terkena ilmu hitam seorang gadis pribumi Sarawak yang telah jatuh cinta kepadanya. Namun Syamsi menolaknya dengan alasan dia sudah pun bertunang. Si gadis Iban yang kecewa telah mengenakan jampi serapahnya yang menyebabkan Syamsi jatuh sakit dengan izin Allah SWT juga.
Aisyah tidak pedulikan apa pun kata kawan-kawan seperjuangannya itu, sebaliknya hanya mengurusi Syamsi dengan baik sebagai tunangannya. Meski ketika itu dia sangat menderita kerana kehilangan orang yang dicintainya.
Baginya seseorang yang sangat dikasihi dengan erti kata sesungguhnya perlu direlakan apa saja yang mahu dilakukannya. Tiada langsung unsur paksaan untuk mendapatkan cintanya.
Bukan pula dengan menyiksanya dan menyebabkannya menderita persis yang dilakukan gadis yang kononnya sangat sukakan Syamsi itu.. Tanda kasih sayang itu tulus suci dan murni terhadap yang dikasihi. Entahlah. Dia juga tidak berani untuk mengesahkan khabar yang didengarinya itu tentang gadis itu. Dia tidak mahu peduli apapun.
Setiap hari dia akan ke rumah Syamsi dengan ditemani Murni.
Bersama-sama Murni mereka kadangkala makan dan berbual mengisi kesepian Syamsi. Aisyah secara perlahan-lahan mula melupakan Faizal yang telah tiada dan cuba membuka ruang hatinya kepada tunangannya pula. Dia bertekad akan menyerahkan seluruh hidup dan jiwa raganya kepada Syamsi. Setelah Syamsi pulih dari sakitnya kelak mereka akan mendirikan istana bahagia impian mereka. Dia tidak ingin lagi hendak mengejar cita-citanya untuk menjadi siswa universiti. Biar hanya sebagai suri di dalam kehidupan Syamsi saja.
 Namun kudup kasih sayang yang belum berkuntum mekar itu terkulai jua.
Aisyah kesedihan lagi. Menangis lagi. Cinta dan kasih sayangnya terhadap insan lelaki ajnabi tidak pernah memenangkannya. Belum sempat Aisyah menyatakan perasaan ikhlasnya itu terhadap Syamsi; tunangannya itu telah menyahut seruan Ilahi di dalam tidurnya. Allah amat mengasihi hamba-Nya itu. Dan dia kekesalan.
‘Ego sungguh diriku ini kerana mengabaikan kasih sayang tunangku itu dulu terhadapku. Dan tunang yang kubenci pada mulanya kini menyiksa diriku dengan perasaan cinta terhadapnya setelah dia tiada. Aku menyesalinya sungguh. Karma Allahkah?’ Hidupnya di dalam kekeliruan. Fikirannya bersimpang perenang.
Kini hanya menyepikan diri di dalam biliknya setiap hari. Dia mengabaikan sesiapa saja di sekelilingnya. Tiada lagi bicara antara ahli keluarga. Menyendiri. Masanya dihabiskan dengan bersolat, berzikir, bertasbih dan bermunajat sahaja. Dia sedang menguzlahkan dirinya daripada kesibukan dunia dengan mengelukan lidahnya dan banyak bertasbih; zikrullah memohon keampunan Allah.
Membuatkan ibu dan ayahnya kebingungan menatapi keadaan dirinya begitu. Ibu dan ayahnya mengikut rentaknya menemaninya bersolat malam berzikir, bertasbih dan bermunajat kepada Allah yang Maha Pengurnia untuk menyembuhkan jiwa anak perempuan kesayangan yang sedang berduka lara. 
Dan sekali lagi abang angkatnya itu menjadi penyandar kepada kesedihannya.
Zahari membantunya untuk berdiri tegak semula. Kesedihan dan kemurungannya harus disingkirkan. Dia mengusahakan agar Aisyah menyambung pelajarannya ke USM ( Universiti Sains Malaysia) Walau dulu Aisyah mengabaikan niatnya itu kerana pelbagai masalah peribadi yang membelengguinya. Zahari mendapat pertolongan daripada kawannya yang bertugas di pejabat pelajaran negeri itu walaupun tarikh pendaftaran kemasukan siswa baru telah lama tamat.
Abang angkatnya itu tidak mahu Aisyah terus larut di dalam masalah yang menggeluti jiwanya hingga kemurungannya menyebabkannya psikosis; terpaksa dirawat pakar psikiatri pula. Dia bimbangkan perkara yang tidak diingini itu terjadi jikalau terlalu membiarkan Aisyah melayani kesedihannya. Sesuatu perlu dilakukannya untuk mengalih fokusnya ke arah yang lain.
Dan Aisyah menerima saranan untuk melanjutkan pelajaran dengan biayanya ditanggung sepenuhnya abang angkatnya yang sangat menyayanginya itu. Ibu dan ayahnya menyetujui saja usulan abang angkat kepada anaknya itu jikalau itu hanya satu-satunya pilihan yang mampu menyembuhkan jiwa anak mereka yang sakit.
Insya-Allah Aisyah akhirnya berjaya mengharungi kegetiran semangat hidup kerana jiwanya layu seolah disirami embun ilmu di menara gading di sebelah utara ini yang menyegarkannya kembali. Tentulah dia sangat berterima kasih di atas sokongan Zahari yang baik budi itu sehingga dia menjadi dirinya hari ini. Bak kata pantun yang indah ini:
Pulau Pandan jauh ke tengah
        Gunung Daik bercabang tiga.
Hancur badan dikandung tanah,
        Budi yang baik dikenang juga. 
“Kau ni bercakap macam orang yang telah lalui pengalaman hidup yang banyak saja. Tapi rasanya kau sebaya aku saja.”
“Jangan tak tahu aku berada di dunia ni tiga tahun lebih dahulu daripadamu. Tentulah aku dah merasa manis, masin, masam, pahit,  itu lebih dulu dan lebih banyak darimu…”
“Tiga tahun je kau senior dari aku pun…”
“Senior banyak tu. Aku dah boleh berjalan masa tu sedangkanmu baru ja lahir…”
“Kau dah berumur pun masih nak sambung belajar lagi hingga ke peringkat sarjana ya!” sinis pula komen Nurlila. Aisyah memfokus bulat ke wajah Nurlila total bersalut pertanyaan.
“Manamu tahu aku nak buat sarjana?”
“Ini aku ambil surat dari pendaftar universiti. Nampak macam surat tawaran untuk kursus sarjana je…kebetulan aku lalu kat pejabat tu dan dikirimkannya pada aku oleh stafnya.”
“Tapimu tak buka surat aku kan?” Tanya Aisyah menukilkan sangsi.
“Tak! Kau tak payah risau. Kalau surat daripada pihak universiti memang tak ada rahsia pun yang patut kau sembunyi. Tapi cubalah buka kalau nak pastikannya. Aku pun tak sabar nak tahu surat apa tu…”
Aisyah segera mengoyakan hujung sampulnya dengan jemarinya. Tidak sempat hendak mengguntingnya lagi kerana keterujaannya untuk mengetahui isi surat itu.
“Ya…betullah! Surat tawaran buat sarjana geografi kat universiti Leiden Belanda…pandaimu teka…,” seru Aisyah kecerian. Aura wajahnya berseri-seri.
“Iakah? Aku tu main agak-agak je. Tahniah Syah! Exciting nya dapat buat sarjana kat luar negara…”
“Terima kasih Lila. Aku memang pohon buat sarjana kat sini ja. Tapi dapat tawaran buat master di luar negara pulak…”
“Aku memang tahu tu. Kau pun pernah cakap dulu. Bertuah sungguh kau Syah dapat buat master dengan biasiswa daripada kerajaan. Tak payahlah nak fikirkan apa-apa lagi. Kau cuma siapkan diri untuk pergi belajar saja ke sana…”
 Aisyah masih meneliti helaian surat itu yang terlampir bersama surat tawaran biasiswa. Dia terkedu. Renungannya menjauh.
“Apa yang kau fikirkan pula? Dah tak jadi nak buat master di luar negara?” Nurlila melontar tanya ragu.
“Bukan begitu…”
“Kau sayang nak tinggalkan keluarga tersayang atau abang angkat kau yang tersayang tu?
“Bukan begitu…”
“Kalau bukan begitu, berilah aku tahu sebab musababnya.”
Dia tersenyum cuma. Tiada jawapan yang diberi kepada pertanyaan Nurlila. Hanya tatapan polos yang menerawang ruang masa yang melewatinya tanpa batasan.
                                                 * * *
“Abang nak ikut saya ke Belanda?”
“Buat gapo (apa) abe nak ikutmu, kerja abe berlanar (banyak) kat pejabat tu…”
“Abe kan dah jadi pengurus bank tu, jadi abang mintalah cuti, teman saya kat Belanda tu…,” balas Aisyah. Sorotan matanya menatap balas tatapan Zahari yang kebingungan menyeluruhi wajahnya.
“Muni sibuk nak gi belanda nak buat gapo? Banyaknya pitihmu…”
“Nak sambung belajar, ambil master pulak…”
“Nak belajar lagi? Tak puas lagi belajar?,” tanyanya ragu.
“Tak puas lagi belajar. Rasanya nak terus belajar sampai bila-bila. Lagipun kitakan disunatkan menuntut ilmu hingga ke liang lahat.”
“Suka hatimulah. Abe tak nak larang. Abe akan tanggung biayamu belajar…”
“Terima kasih banyak. Meme (memang) abang ni baik sungguh. Kali ini abang tak payah sponsor. Saya dah dapat biasiswa daripada JPA. Saya nak abang teman saya ja di sana…,” ucap Aisyah keseriusan menyebabkan Zahari terkedu. Kekeliruan. Dia tidak faham maksud ‘teman’ itu.
Padanya apa yang diketahuinya hanya seorang suami yang layak menemani isterinya dan saudara yang jelas ada ikatan darah dengannya; apa lagi di tempat yang jauh daripada pandangan ibu bapa dan di negara yang asing pula.
Tentulah kelak banyak masalahnya yang timbul jikalau niat Aisyah itu diikutinya. Walau kalau boleh dia memang sanggup melakukan apapun demi adiknya yang tersayang itu.
“Kenapa diam ja…”
“Tak boleh nak kecek banyak. Abe kan tengah memandu kat tengah kota KL yang sibuk ni. Kena cermat berhati-hati di jalan raya,” Zahari memberi alasan sereleven situasi semasa.
“Abang ni kita tanya serius dia nak buat kelakar pulak…” Aisyah merasa abang angkatnya itu tidak mengendahkan dan halai balai saja atas kenyataannya. Sedangkan dia mahu Zahari menanggapinya serius tentang kemahuannya.
“Abe tak boleh nak buat keputuse(keputusan) tergesa-gesa. Banyak yang abe nak kena fikir.”
“Abe tentu fikir macam mana abang nak ikut saya sedangkan mak sendirian di kampung…”
‘Mak’ pelik bunyiknya Aisyah menyebutnya sebagai ganti kepada frasa mak cik yang sering digunakan kepada ibuku. Mungkin Aisyah telah menetapkan makku juga adalah maknya. Buat apalah aku susah-susah nak fikirkan. Biarlah dia sebut apa yang dia suka…’ Hatinya berbisik.
“Kita bawalah emak sekali bersama kita. Bukannya lama saya nak belajar di Belanda tu. Habis master dua tahun dan sambung phd dua tahun lagi…”
“Jauhnyamu merancang sampai empat tahun nak belajar di Belanda. Lama tu…”
“Sebab lamalah saya nak abang ikut saya. Kalau ada abang tentulah saya berani berada di rantau orang lebih lama…”
“Habismu nak abe ni jadi body guardmu sampai ke tua?”
“Memanglah abang kena jadi body guard saya sampai abang mati, sampai saya mati…”
“Nampaknya abe ni kena jadi abdimu hingga akhir hayat abelah ya. Bertuah punya adik…”
“Bukan abdi. Tapi suami…”
“Apa? Mu main-main ja ni…”
Zahari terkedu. Dia tidak tahu bagaimana mahu menanggapi kebenarannya. Apakah kenyataan Aisyah itu bersungguh-sungguh atau sekadar berloyar buruk. Dia faham sangat perilaku Aisyah yang kadangkala suka bermain-main dengan kata-katanya yang ditafsir serius oleh orang lain.
“Maksudnyamu ni minang abe untuk jadi toklakimu ya…” Zahari tertawa sedikit membalas kata-kata Aisyah yang dianggapnya gurauan semata-mata itu.
“Untungnya abe dapat rezeki yang berlanar. Tiba-tiba ja dapat berkahwin denganmu pulak ya. Bercinta tidak. Bertunang tidak. Tiba-tiba dah nak kahwin denganmu…aik mace-mace halmu ni…mace dalam mimpi pulak…”
‘Bagaikan cerita Saidatina Khadijah meminang Rasullullah untuk menjadi suaminya pula. Tapi itu kisah ribuan tahun lalu. Masya-Allah… Subhanallah. Aku tidak tahu hendak mengatakan apa lagi. Namun aku bersyukur dengan karunia-Mu ya Allah…’
“Betullah abang. Saya bersungguh nak kahwin dengan abang ni…”
‘Percintaan yang indah telahku lalui namun amat menyiksaku dan ikatan pertunangan dengan seseorang yang tidak aku cintai melukaiku setelah aku mulai belajar menerimanya di dalam kehidupanku direnggut pula daripadaku. Pengalaman pahit itu mengajarku agar tidak mengejar sesuatu yang tidak pasti hujungnya.
Mungkin juga perkahwinan yangku tentukan sendiri ini membawa kebahagiaan dambaanku hingga akhir hayatku. Aku berserah segala-galanya kepada-Mu ya Allah. Dan aku sangat pasti abang Z memang sangat mengasihiku selama ini sehingga sanggup berkorban apa saja demiku adik angkatnya. Aku sentiasa melihat kegembiraan yang terpancar di wajahnya setiap kali bersamaku. Dan dia tidak akan menolakku.’
“Baik! Kalaumu bersungguh abe anggap bersungguh. Kalau tak bersungguh pun abe boleh nak wat gapo gak. Pandaimulah…,” ujar Zahari seadanya. Memperlihatkan peribadi dan jiwanya yang tulus menerima takdirnya dengan reda. Akan dilaluinya musim percintaannya yang tidak pernah dimimpikannya bersama isterinya Aisyah kelak insya-Allah.
Mungkinkah cinta itu hanya sebuah rasa dan pertunangan itu hanya sebuah ikatan yang tidak terlalu kuat. Justeru rasa cinta akan terhapus demi masa. Dan apa jua ikatan yang dinamakan pasti terungkai. Namun tiada sesiapa yang berdaya  menolak ketentuan takdir Yang Maha Esa.

                                                        TAMAT. 

12 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 43 ....AKHIR.."

AMIIZAA delete icon 12 November 2014 10:56 PG

salams kak, tersenyum simpul saya baca:):)

Kakzakie delete icon 12 November 2014 11:56 PG

Haaahhh.... leganya akhirnya habis juga.
Kakak dah jangka akhirnya dgn Zahari juga Aisyah disatukan. Suka:)

Tahniah dari kakak buat PI atas novel sebuah versi cinta ini..

Ipah Kholipah delete icon 12 November 2014 12:25 PTG

izin membaca aja ya mba hehehe

Zaitun delete icon 12 November 2014 1:31 PTG

Akhirnya menemui kebahagian yang tidak dirancang.

paridah delete icon 12 November 2014 2:44 PTG

Aisyah asyik stres saja sepanjg hidupnya kan...kita akhiri kisahnya dgn kbhgiaan...tq AMIIZA.

paridah delete icon 12 November 2014 2:48 PTG

Heh...heh benar dugaan kakzakie...terima kasih sudi ikuti novel ni hingga akhir...berbelas tahun juga kak nk siapkn hingga dpt publish di sini...

paridah delete icon 12 November 2014 2:50 PTG

silakan membacanya....tq ipah kholipah...

paridah delete icon 12 November 2014 2:54 PTG

sudah lama Aisyah tersiksa tu biarlah Aisyah bhgia sedikit...tq zaitun..

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 12 November 2014 5:19 PTG

Akhirnya datang jua jodoh Aisyah... Alhamdulillah ^_^

paridah delete icon 12 November 2014 6:10 PTG

hmm jodoh yg dicarinya sendiri...tq zumal...

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 12 November 2014 9:24 PTG

nice sharing

Anisayu Nastutik delete icon 13 November 2014 7:55 PG

Cerita cinta nan cantik
dimaknya tersurat baik

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”