بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

CORAT-CORET PAK ENGKU.....

PANTUN-PANTUN PERBIDALAN PAK ENGKU.
MENCARI NAPUH TERASA JERIH,
HUTAN DILALU JALAN BERBELIT,
BUKIT DIPANJAT MENGHALA KE TANJUNG;
UMPAMA TUMBUH SI POKOK SIRIH,
MENJALAR DAHULU KEMUDIAN MELILIT,
BARULAH MEMANJAT KE PUCUK JUNJUNG.


Perbidalan: Umpama sirih, menjalar dahulu kemudian melilit, barulah
memanjat ke pucuk junjung.
Maksudnya: Tiap-tiap pekerjaan hendaklah dikerjakan mengikut aturannya.
DI DAHAN MERBAU SI BURUNG PIPIT,
PADI YANG RUNDUK MAKAN SEPANJANG,
KE RUMPUN PANDAN TERBANG MENYASAR;
SEPERTI KERBAU LEHER TERSEPIT,
DIHELA TANDUK SUDAH PANJANG,
DILALUKAN BADAN SUDAH BESAR.
Perbidalan: Seperti kerbau tersepit leher, dihela tanduk sudah panjang,
dilalukan badan sudah besar,
Maksudnya: Orang yang mendapati sukar hendak melepaskan dirinya
setelah terdorong melakukan sesuatu pekerjaan.
DI DAHAN BERTAM SI BURUNG PIPIT,
ANAK TIUNG TERBANG MELAYAP,
TURUN MAKAN DI TANAH LANDAI;
KUAT KETAM KERANA SEPIT,
KUAT BURUNG KERANA SAYAP,
KUAT IKAN KERANA RADAI.
Perbidalan: Kuat ketam kerana sepit, kuat burung kerana sayap,
kuat ikan kerana radai.
Maksudnya: a) Berasa kuat (berkuasa) kerana ada kelebihan
padanya.
b) Tiap-tiap orang sedikit sebanyak ada kuasa atau klebihannya.
Erti perkataan: 'Radai' adalah sirip atau kepak pada ikan.
SAMPAN TIRIS TERSADAI DI TELUK,
HENDAK KE JAWA HALUAN BERBELOK;
IBARAT KERIS PANJANG BERKELOK,
KE MANA DIBAWA KE MANA ELOK.
Perbidalan: Keris panjang berkeluk, ke mana dibawa ke mana elok.
Maksudnya: Orang yang boleh dipergunakan untuk sebarang tujuan.
SEKAR SUHUN DIPAKAI SURI,
JATUH KALUNG KE DALAM RELAU;
PANAS SETAHUN HUJAN SEHARI,
LIPUT TANJUNG DENGAN PULAU.
Perbidalan: Panas setahun hujan sehari, liput tanjung dengan pulau.
Maksudnya: Jasa atau kebaikan yang banyak boleh hilang oleh kesalahan
yang sedikit.
Erti perkataan: Sekar suhun ialah sejenis kalung emas.
BURUNG TAPTIBAU DI DAHAN BEREMBANG,
KE ARAH LANGKAN PERGI TERBANGNYA;
SEEKOR KERBAU YANG BERKUBANG,
SEKANDANG AKAN KENA LOLOKNYA.
Perbidalan: Seekor kerbau berkubang, sekandang kena loloknya.
Maksudnya: Seorang yang melakukan kesalahan semuanya
terlibat sama.
Erti perkataan: 'Lolok' atau luluk bererti lumpur.
RUMAH SEBUAH DI TEPI KUKUP,
DI SELUT TEBAL TERSADAI KOLEK;
KALAU KUAH SAMA DIHIRUP,
KALAU SAMBAL SAMA DICOLEK.
Perbidalan: Kuah sama dihirup, sambal sama dicolek.
Maksudnya: Bersama-sama dalam senang dan susah..
Erti perkataan: 'Kukup' ialah lumpur yang ditim[bunkan oleh air
di sepanjang pantai laut atau tebing sungai.
BELIMBING SEGI BANYAK BERBUAH,
DIJOLOK BUDAK JATUH DI SISI;
KE MANA LAGI TUMPAKNYA KUAH,
KALAU TIDAK KE ATAS NASI.
Perbidalan: Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi.
Maksudnya: Baik buruk seorang bapa itu sedikit sebanyak
turun ke anaknya.
BUNGA MELATI SI BUNGA MELUR,
DAHANNYA MATI DITIMPA KELAPA;
JANGAN DINANTI KUARAN BERTELUR,
SAMPAI KEMATI TAK AKAN TERJUMPA.
Perbidalan: Menanti kuaran bertelur.
Maksudnya: Mengharap sesuatu yang tidak mungkin terjadi
atau diperolehi.
Erti perkataan: 'Kuaran' ialah sejenis burung yang keluar bertelur pada
waktu malam.. Burung kuar atau burung kuak-kuak.
DI ATAS MEJA SI BUAH ZAITUN,
DI MEJA TERDAPAT SI DAUN PALAS;
SEDIKIT BEKERJA BANYAK BERANTUN,
ITULAH SIFAT ORANG YANG MALAS.
Perbidalan: Sedikit bekerja banyak berantun.
Maksudnya: Orang yang malas.
Erti perkataan: 'Berantun' bererti bersolek atau berhias.
SEKIAN. TAMMATUL AL KALAM.

16 ulasan - "PANAS SETAHUN HUJAN SEHARI, LIPUT TANJUNG KERANA PULAU.."

budi purnomo delete icon 11 November 2014 10:09 PG

Tiap katanya mengandung makna kak :)

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 11 November 2014 10:44 PG

Baca kata-kata indah nie hati panas pun jadi tenang dan sejuk yer akak...

Kakzakie delete icon 11 November 2014 11:02 PG

Sungguh tak terkata indahnya bahasa pa Engku ni.
Perbidalan dia menepati sasaran itu yg hebat tu..

paridah delete icon 11 November 2014 1:54 PTG

pantun2 perbidalan yg klasik bermakna....tq dik budi purnomo.

paridah delete icon 11 November 2014 1:56 PTG

begitulah membaca gubahan bahasa yg indah mmg menenangkan jiwa...tq zumal.

paridah delete icon 11 November 2014 1:58 PTG

ya hebat sekali pantun perbidalan pak engku banyak yg kita xtahhu...tq kakzakie.

AMIIZAA delete icon 11 November 2014 4:27 PTG

kak, pantun nie kalau saya tunjuk kat anak2 saya mesti dia org pon fail :)

Zaitun delete icon 11 November 2014 5:02 PTG

Indahnya bahasa didalamnya ada yang tersurat dan tersirat.

Kak zai tak pandai berpantun.

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 11 November 2014 7:51 PTG

hebat sungguh

Najib Ariyan delete icon 11 November 2014 11:08 PTG

wow wow wow wow.... indah nya bahas klasik walau dalam bahasa pantun saja... inilah yg orang cakap menegur dengan berbahasa... yg mendengar pun paham teguran... mana lah ada lagi zaman sekarang ni bahasa seindah ini.... hmmm sedihhh

paridah delete icon 12 November 2014 9:11 PG

terpegun dgn komentar org muda spt najib yg mengagumi bahasa pantun klasik indah pak engku yg menyirat maksud tertentu walau sinis tapi lunak...tq najib ariyan.

paridah delete icon 12 November 2014 9:13 PG

insyaAllah...tq MKL.

paridah delete icon 12 November 2014 9:14 PG

BENARTU...Samalah kita..pantun perbidalan ni xberapa reti...tq zaitun.

paridah delete icon 12 November 2014 9:16 PG

jangankan anak2 AMIIZA kitapun fail heh..heh...tq

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 12 November 2014 5:21 PTG

Betul tu akak ^_^

Sobri Yaacob delete icon 12 November 2014 9:25 PTG

indah betul bahasa..
kalau pandai guna n suai padan bhasa melayu..
maka lahirlah karya yg klasik dan mnarik sekali..

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”