بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

ASSALAMUALAIKUM...

                                                Dilemma.

Pantai PCB yang putih bersih dan landai ini menerima tamunya bersilih ganti. Lautnya yang membiru melantunkan warna birunya ke angkasa. Indah sekali alam sekeliling yang bagaikan terlukis dengan sangat sempurna. Demikian Allah menjadikannya sebaik-baiknya untuk dimanafaatkan hamba-hamba yang mengetahuinya.
Pertama kali menjejakan kakinya ke sini membuatnya terkesima. Tiada kata secantik bahasa yang mampu dilakar dua ulas bibirnya menginterpretasi akan keindahannya. Maka dia hanya menikmati dengan asyik lukisan alam sambil melangkah beriringan bersama Faizal.
“Jom kita duduk di bangku di bawah pohon rhu tu!” Ajak Faizal. Aisyah sekadar angguk dan menuruti langkah temannya itu teratur mengikutinya ke arah yang dituding jari telunjuknya.
Faizal mengurut-ngurut dadanya sambil berusaha menarik nafas. Kelihatannya amat payah dan termengah-mengah sekali. Aisyah bingung dan kelam kabut.
“Abang ni kenapa?” Tanyanya kalut. Warna kerisauan tertera di wajah.
“Entahlah Syah, abang rasa sakit dada pulak. Biar abang baring sekejap. Sakit abang ni tak lama. Sekejap lagi setelah berehat hilanglah sakitnya. Syah jangan risau…,” ujarnya kepayahan.
Faizal membaringkan tubuhnya yang kurus panjang di atas bangku batu sambil tangannya tidak lepas daripada mengurut-ngurut dadanya. Seolahnya sedang menahan kesakitan kerana denyutan jantung yang mengombak di dadanya. Aisyah terkedu. Ralit memerhati Faizal yang seakan lemah tidak bermaya sedang dia tidak tahu bagaimana mahu membantunya dan mengurusi kondisi lelaki yang dicintainya itu.
Sekiranya boleh dia ingin meletakkan kepala lelaki itu di atas ribaannya agar dia lebih selesa. Tangannya ingin turut mengurut dada kekasihnya itu demi mengurangkan kesakitannya. Namun tangannya terkaku, berat pula hatinya hendak melakukan itu. Dia bimbangkan pandangan orang-orang yang melintas melewati bangku tempatnya dan Faizal duduki berbaur prasangka.
Tidak elok membiarkan orang-orang berprasangka buruk yang bakal mencetuskan dosa yang tidak disedari. Mereka mungkin mengatakan pasangan itu sedang asyik-mahsyuk bercengkerama, tenggelam dalam alam percintaan yang memberikan pandangan menjolok mata dan menjijikan walau hakikatnya pandangan yang menipu.
Dalam doanya dia memohon Allah menghapuskan kesakitan yang sedang dideritai teman lelakinya ini. ‘Sebenarnya apa masalahmu bang? Sakit? Sakit apa? Nampaknya berat sangat sakitmu! Tapi kenapamu tak pernah beritahu aku pun? Bukankah aku ini sangatmu sayangi mengapa perlu ada rahsia yang tersembunyi di antara kita?’ Pertanyaan-pertanyaan yang banyak itu menghantui mindanya. Sedangkan tiada jawapan yang mampu diperolehinya kala kemahuannya sangat memaksa.
Seketika berlalu. Faizal tersenyum polos menghadapi wajah yang pucat kerisauan kerana memikirkan masalah dirinya yang terjelma tiba-tiba itu. Sangat dikesalinya nasib yang menimpanya tika dia sedang merasakan kehangatan cintanya setelah pulang dari benua yang dingin. Dia bangun daripada pembaringannya yang tidak menyelesakannya sesudah merasakan kesakitan yang menyengat dadanya beransur hilang..
“Apa sebenarnya sakit abang ni? Patutlah abang nampak kurus dan sangat putih. Tapi pucat. Saya ingatkan tentu iklim sana yang merubah rupa diri abang. Dan abang tampak kurus mungkin stress kerana menghadapi pengajian yang menekan di sana. Rupanya abang sakit! Tapi tak beritahu saya pun apa penyakit abang sebenarnya. Beginikah sikap abang terhadap kekasih yang abang cintai…” 
“Wah sayang sungguh Syah kat abang ya! Abang sakit sikit macam tu pun Syah dah risau sampai pucat muka…” Aisyah tidak menyahut gurauan Faizal yang dirasakannya sangat hambar dan seolah hanya dengan niat hendak menenangkan hatinya yang gusar semata-mata. Matanya terbelalak besar.
“Abang tak jawab pun apa yang saya tanya. Perkara sakit ni tak boleh nak dibuat main-main…”        
“Betullah tu! Siapa pula yang buat main-main dengan penyakit. Syah tak payahlah risau sangat. Abang dah okey ni. Sakit abang tu biasa ja. Memang abang selalu begitu. Kadang-kadang sakit datang menyesak dada. Setelah berehat sekejap hilanglah sakit tu…” Sepasang mata yang bening merenungi Faizal dengan tidak yakin akan penjelasannya itu. Seolah merasakan temannya itu sedang menyembunyikan perkara yang sebenarnya tentang dirinya.
“Baik abang beritahu saya molek-molek apa sebenarnya sakit abang ni?”
“Macam abang cakap tadi tulah. Syah jangan risau sangat ya…” Wajah Aisyah masih tetap mencuka kerana yakin dia dibohongi.
“Abang kalau sakit jangan biarkan sakit tu, lak begitu saja. Nanti melarat susah nak berubat. Abang pun tahu apa yang Syah cakap ni betul kan…sebab abang kan bakal doktor. Takkan kenyataan mudah begitu pun tak faham. Belajarnya tinggi sampai Amerika tapi…” tuturnya sinis
‘Sakit jantung yang menyusahkan pernafasanku ini memang kronik setiap kali ia menyerangku. Aku telahpun menjalani beberapa ujian ECG (electrocardiogram) untuk mengesaninya dan aku yakin ianya masih diperingkat yang boleh dikawal. Imbasan sinar X juga telah dilalukan ke atas dadaku ini untuk melihat samaada jantungku ini telah membengkak dan memberi masalah kepada paru-paru.  Ujian echocardiogram (ultrasound jantung) pun. Dilakukan ujian ini untuk mengesan kecacatan pada struktur jantungku.
 Kini aku sangat maklum dengan penyakit yang memenderitakan aku itu. aku pasrah kepada yang Esa. Mungkin ini adalah karma Allah kepadaku kerana suatu ketika dulu aku mengengkari-Nya dengan pelbagai maksiat yangku buat. Terutamanya tabiatku meminum arak.
Kesan tabiat burukku yang lalu itu kini telah memberikan keburukan kepada kesihatanku. Allah juga telah berfrman kepada hamba-hambanya agar menjauhi arak, judi dan bertenung nasib kerana itu semua adalah perbuatan syaitan. 
Allah itu Maha Mengetahui apa saja yang terbaik untuk hamba-hamba ciptaan-Nya. Dan aku yang dungu ini telah melanggari aturan hidup Islam yang murni dan menzalimi diriku sendiri.  Dan aku sedang gigih berusaha untuk mengubati penyakit ini dengan bantuan pakar-pakar kardiologi di hospital Wisconsin itu.
Aku berserah segala-galanya kepada-Mu ya Allah. Moga penyakit yang Kau timpakan ke atas diriku yang kerdil ini Kau ambil kembali. Aku ingin meneruskan kehidupanku mengikut lunas-lunas Islam yang ditentukan sebaik-baiknya. Aku ingin membina istana bahagia bersama Aisyah. Restuilah aku ya Allah. Tunaikanlah hajat hamba-Mu yang satu ini ya Allah. Amin…’ Monolognya terhenti di situ dan bicara mesranya bermula.
“Isyh muni…kan main lagi nak menyindir abang ya. Abang tahulah apa nak buat dengan diri abang ni. Cuma Syah tu jaga diri baik-baik. Jangan dapat sakit macam abang. Okey sayang…” Aisyah tersenyum hambar. Gilirannya pula berbuai dengan ayunan monolognya.                      
     ‘Ah sayang!Aduh! Indah dan lunak amat sebutannya. Mendinginkan kalbu yang gersang kehampaan. Inginku realisasikan dalam keadaan sebenarnya. Rasanya langsung tidak mungkin kot!
Sampai bila aku boleh bersayang-sayang dan bercinta kasih dengan Faizal? Lakonanku ini hanya menipu diriku sendiri. Menipu Faizal juga. Sampai bilakah ianya mampu kuteruskan? Jiwaku sangat tersiksa melakukan itu semua. Tapi aku tidak berdaya. Nampaknya di satu sisi aku mencurangi tunangku. Di sisi lain pula aku mencurangi kekasihku. Laluan yang mana satukah yang patutku ambil?
Siapakah sebenarnya yang berhak ke atas diriku ini? Kekasihkukah? Atau tunangku itu? Aku mencintai kekasihku kerna aku sangat mengenali keluhuran hati budinya daripada semenjak aku kecil hingga dewasa.
Hubungan itu berlestari dengan budinya yang sentiasa bertabur sepanjang batas kehidupanku. Aku tidak mungkin lari daripadanya. Lagipun aku memang tidak mahu. Kini aku diikat pula dengan seorang lelaki dalam ikatan pertunangan yang aku tidak rela meski aku setuju. Setuju kerana kasih sayangku yang tidak berbelah bahagi kepada kedua ibu bapaku demi tidak mahu mengecewakan perasaan mereka.
Sudahnya aku yang kalut di dalam dilemma yang merusuhkan aku lagi menyulitkan. Jalan keluarnya belum lagi kutemui. Dan aku masih selesa membawa diriku mengikuti lorong-lorong yang pernahku lalui dulu. Walau hakikatnya masanya pasti tiba lorong yangku rentas bersama Faizal itu akan tertutup jua.
“Abang akan tamat pengajian awal tahun depan. Dan kita akan berkahwin lepas tu…,” ujar Faizal yakin dan bersungguh. Aisyah bagai disergah dengan khabar yang amat mengejutkannya. Terpana sungguh.
“Iya ko?”
“Mestilah ya. Kenapa tanya ni…”
“Macam tak percaya ja…”
“Kenapa pulak tak percaya?” Dia menentang sepasang mata yang bersinar jernih itu namun penuh misteri yang terkandung, menyimpul rahsia..
“Saya tak percaya sebab bukankah selama ini ayah abang bencikan saya. Siap bagi warning lagi kat sekolah. Macamana pulak boleh terima saya sebagai menantunya?” Aisyah meluahkan kedongkolan hatinya yang masih berbongkol. Kesayuannya kerana hinaan ayah Faizal terhadapnya masih berbekas. Sukar untuk dilupakan.
“Itu semua cerita dulu Syah. Sekarang ni mak ayah abang tidak kisah lagi dengan siapa abang nak berkahwin…”
“Bukankah abang sudah ditunangkan dengan sepupu abang tu?” Tanya Aisyah lagi. Seolahnya antara mereka berdua tidak ada celahan lain yang akan merombak jalur cerita yang direncana. Versi ceritanya yang sama tetap mahu dilestari. Ah! Sekurang-kurangnya buat masa ini. Hatinya mendesis mungkin.
“Bila masa pulak abang ditunangkan dengan Marina? Sepupu abang tu dah kahwin pun dan menetap di London bersama suaminya.”
“Patutlah!” Getar suaranya hambar mendatar.
“Apanya yang patut?” Tanya Faizal sangsi.
“Saya diterima untuk jadi menantu mereka sebab pilihan pertama mereka dah tak ada ya? Saya ni pilihan kedua sajalah ya…?” Sahutnya lirih sambil menarik muka kelat.
“Syah jangan fikir begitu. Pada abang Syah adalah pilihan pertama dan selamanya…” Aisyah terkedu tatkala mendengar itu. Hatinya berlagu sayu.
‘Sekiranyamu tahu apa yang sebenarnya telah berlaku kepadaku bang, tentunyamu tidak akan bertutur begitu. Pastilah maki hamun dan tengking herdikmu yang terhambur menyeranah diriku yang tidak setia ini. Bukan aku yang tidak setia. Tetapi suasana yang merubah kesetiaanku terhadapmu menjadi taat setia kepada ibu bapa.
Maafkan aku kerana membiarkanmu masih menggantung harapan untuk milikiku. Maafkanlah. Hanya itu yang terdaya dilafazkan hatiku. Bukan bibirku. Bagaimanakah aku tega menyatakan perkara sebenarnya tentang diriku kepadanya.
Tidak mungkin aku membiarkan harapannya terhadapku yang menggunung itu runtuh dan menimbusnya dengan lahar kecewa. Kondisi dirinya yang lemah pasti akan terus meremukkan jiwanya.
Tapi sampai bila aku harus menipu Faizal dan diriku juga bahawa aku dan dia memang tidak ada jodoh untuk bersatu. Terpaksa aku dan dia menerima hakikat itu dengan reda.
Maknanya aku sudah tidak ragu lagi untuk berterus terang tentang diriku yang kini bertunangan dengan seseorang? Seseorang yang aku tidak inginkan pun. Seseorang yang aku tidak pernah terfikirkan pun. Dan banyak lagi alasan penolakan menjadi alibi. Dan aku mahu bercerita kesemuanya? Rasanya tak lagi kot!’ Aku harus bertimbang rasa juga.
Aisyah masih berdolak-dalek dengan perasaannya.

12 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 38..."

Gee Lion delete icon 8 Oktober 2014 10:19 PTG

alahai aisyahhhh .. tak baik buat lelaki tu macam tu.. huhuhu.. :'(

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 8 Oktober 2014 11:18 PTG

Kesian kat Faizal tu...

Faarihin delete icon 9 Oktober 2014 12:41 PG

Cerita ni ada berapa bab keseluruhannya?

Kasihan pula dekat Faizal tu. Moga dia sembuhlah. Dan Aisyah pula. Semoga teguhlah membuat pilihan.

AMIIZAA delete icon 9 Oktober 2014 10:01 PG

alahai......sedihlah......(ni buat saya terpikir-pikir:)

Kakzakie delete icon 9 Oktober 2014 11:12 PG

Allah.... sakit jantunglah pulak Faizal ni. Sedihlah kakak baca kali ini takut Faizal tahu pulak yg Aisyah dah bertunang pun ye juga. Kena tunggu lagilah nak tahu. Emmm... tak sabar dah ni:)

Kesuma Angsana delete icon 9 Oktober 2014 3:33 PTG

masih hebat menulis yer kak !

paridah delete icon 9 Oktober 2014 9:05 PTG

Aisyah tiada pilihan tu gee..tq

paridah delete icon 9 Oktober 2014 9:07 PTG

ya mmg kesian kan...tq zumal.

paridah delete icon 9 Oktober 2014 9:11 PTG

yg dipublished sudah 38 bab..dh nk hbs pun fariihin...tq

paridah delete icon 9 Oktober 2014 9:12 PTG

heh..heh..apa yg difikirkan tu amiiza..tq

paridah delete icon 9 Oktober 2014 9:15 PTG

terima kasih kakzakie...setia ikuti sambungannya...dh xbanyak lagi.

paridah delete icon 9 Oktober 2014 9:20 PTG

sebenarnya karya kak tu sudah belasan tahun disiapkan...karya lama tu...la ni dh xlarat nk tulis panjang2...badan ni asyik sakit jer kalau menaip lama2...tq dik Kesuma Angsana.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”