بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

                                                                 Rusuhan jiwa


 ‘APALAH yang sedangku alami ini? Kenapakah suratan hidupku ini begini laluannya? Kenapakah apa yang kuharapkan jauh menyimpang dari takdir yangku harapkan? Kenapa? Kenapa? Kenapa?’ Faizal! Kenapakah kau tidak ada di sisiku di saat aku sangat-sangat memerlukanmu.’
Soalan-soalan kepada dirinya membentak mindanya bertalu-talu. Tidak berdaya dirinya untuk menghindari pertanyaan-pertanyaan yang menyiksa jiwanya berterusan beralun dengan rimanya yang serupa.
            ‘Tolong hambamu Ya Allah…kuatkan jiwaku untuk menghadapi semua ujian-Mu ini ya Allah. Sesungguhnya hamba-Mu ini amat lemah dan tidak berdaya. Ketentuan-Mu memang aku redha. Namun ampunilah aku kerana aku tidak berdaya menanggung kesedihan yang mendera perasaanku ini ya Allah! Ya Rabbi! Apapun aku hanya berserah dan pasrah kepada-Mu…
            Hidup ini mungkinkah ibarat ada tiga hari saja. Hari semalam hanya sebagai pengalaman. Hari ini yang kulalui hanya untuk perancangan untuk menantikan hari esok yang bakal memberi jawapannya. Sedangkan aku tidak pun merancang apa-apa untuk hari ini yang tiba-tiba saja tersedia meminta aku menghadapinya keesokannya dan seterusnya. Apakah sebaiknya yang semestinya kulakukan ya Allah? Berilah aku petunjuk-Mu ya Allah…’
            Malam yang hening dan dingin itu membawa langkahnya menuju bilik air. Kepala pili dipulas. Dan airnya yang menerjun deras segera ditadah  sepasang telapak tangannya yang terbuka. Dengan niat berwuduk dia meraup air yang kesuaman rasanya ke wajahnya.
Air di dalam pili tidak sedingin suasana luarannya mungkin kerana tekanan arusnya di dalam paip dibawah tanah meningkatkan tahap kesuamannya. Justeru wajahnya yang disapu dengan air dari pili itu merasa serasi dan selesa.
Dari pergerakannya yang dimulakan dengan membasuh muka sehingga semua anggota yang wajib dibasahi air telah sempurna dilakukan. Di akhiri dengan membasuh kaki kanan dan kirinya. Usai sudah.
Kini tangannya menadah doa syahadah dan meraupnya ke wajah. Seolah jiwanya disirami salju yang metah dingin kerana ketenangan yang dirasakannya meleraikan benang kusut yang bersimpul mati menyerabuti mindanya.
            Untuk solatnya yang pertama dia berniat awabin Isyak dua rokaat. Kemudiannya berniat lagi untuk solat Isyak. Kerana tadinya dia terlalu dilamun kegundahan dan amukan rasa yang tidak ketentuan bentuknya dia terlalai bersolat Isyak sebaik masuk waktunya.
            Setelah itu bersolat hajat pula. Disambung lagi dengan solat sunat taubat kerana memohon keampunannya di atas ketelanjuran yang dilakukan. Diakhiri solat terakhirnya dengan solat witir tiga rokaat. Jikalau dia sudah tidur tadi tentu dia akan melakukan solat tahajjud juga. Sebab solat tahajjud perlukan muslim dan muslimatnya tidur walau sepicing terlebih dahulu sebelum melakukan ibadat itu.
Dia berazam akan melakukannya sekiranya tersedar dari tidurnya kelak. Sebentar lagi dia akan melelapkan matanya kerana tubuhnya sudah terlalu lelah menanggung stres yang menekan jiwanya. Moga kelelahan yang membelenggu mental dan fizikalnya akan bubar. Dia sekadar menggantungkan harapan. 
            Namun masih terngiang-ngiang kata-kata emaknya menyapa deria dengarnya  terlantun frasa demi frasa dengan amat jelas.
            “Siang tadi ada orang datang merisik bertanyakanmu…”
            “Iya! Ada juga orang yang minat ko anak mak yang huduh ni ya! Bodoh betul orang-orang tu…” sahutnya acuh tak acuh. Menganggapnya gurauan cuma.
            “Mak kecek betul-betul komu ni…mu main-main pulok…” Suara emaknya sedikit meninggi. Anaknya itu dirasakan tidak mengambil perhatian terhadap apa yang telah dikatakannya. Aisyah segera berpaling menentang mata emaknya yang bersinar terang dengan kekalutannya yang merisaukan. Rupanya firasatnya yang mengatakan ibunya itu sekadar bercanda tidak benar.
            “Kita pun kecek betul-betul jugok…orang tu bodoh sebab datang merisik kita. Kita dah tentu tak sir terima. Tak sir kita kahwin masa umur muda agi…” Emaknya terkedu mendengarkan ungkapan balas anaknya.
            “Mak dah bincang dengan ayahmu tadi. Ayahmu pun keberatan jugok nak terima sebab dia kata dia dah janji dengan seseorang yang akan datang meminangmu tak lama lagi. Ayahmu pun tak sir mungkir janji…”
            ‘Siapa pulaklah yang nak datang meminang aku tak lama lagi tu? Mak dan ayah ni memeningkan kepala aku betullah. Pandai-pandai saja kedua-duanya nak mengatur hidup aku. Moga mak dan ayah berbincang untuk menolak pinangan yang datang tadi. Dan yang akan datang kelak.’ Sukmanya bersuara mengharapkan begitu di lowongan sanubarinya.
            “Akhirnya kami berdua bersetuju menerima pinangan hok ni. Sebab alasannya, budak ni yang mari masuk minangmu dulu. Kalau hok janji yang mari dulu masuk tentulah kita terima dia. Ayahmu kata budaknya pun nampak baik. Rajin gi solat ke masjid…tak jadi masalah kalau nak jadi pasanganmu…”
            “Apa! Mak terima?” Bagai ledakan bom yang maha dahsyat menggegarkan seluruh jiwa raganya sebaik ia mendengar pengakuan tegas ibunya itu. Jantungnya berdegup kencang seolahnya ia sedang berlari beratus-ratus meter. Matanya terasa panas beruap. Berguguran titik jernih bak untaian mutiara air mata terlepas dari genangan kelopaknya ke pipinya tanpa terdaya dikawalnya.
Terawang-awang pula wajah murung seseorang yang sangat dikasihinya jelas kecewa turut bersedih, meratap bersamanya. Emaknya keserbasalahan pabila menatap kemurungan dan kesedihan yang bermendung di wajah anaknya. Namun menganggapnya sebagai fenomena yang lumrah pabila seorang gadis menerima khabar tentang perjodohan yang akan berlaku.
Mungkin anaknya itu sedih dan menangis kerana mengenangkan ia akan berpisah dengan keluarga yang disayanginya pabila telah berumahtangga kelak. Dia langsung tidak tahu apa sebenarnya yang berladung di dalam minda anaknya itu. Justeru anggapannya hanya yang baik-baik saja.
            ‘Patutkah aku suarakan penolakan hatiku ini kepada ibu kesayanganku ini?’
            “Memang patut kita terima pinangan orang tu. Sebab mak ni bimbang sangat apa-apa yang tidak baik berlaku kepadamu. Mak ni sayang sangat komu. Mak tak mahu nasibmu sama dengan nasib Salmiah. Sebabkan dia menolak pinangan orang, dah jadi tak betul. Kita ni mestilah sedar yang kita ni hidup berdagang, menumpang di negeri orang. Jadi kita tak boleh nak tunjuk besar kepala sangat. Orang ni depan kita mulutnya memang manis. Di belakang kita, kalau demo bencikan kita dikerjakannya kita secara halus. Mak tak mahu nasibmu jadi lagu tu…” lirih suara emaknya menuturkan alasannya sereleven situasi semasa menyebabkannya terkedu.
            ‘Jikalau Allah tidak mengizinkannya berlaku, tentulah tidak semudah itu ianya akan berlaku. Detak hatinya. ‘Mengapalah fikiran emak ni tidak sealiran dengan pemikiranku? Takut benar dengan sesuatu yang cuma dijangka berlaku. Tetapi tidak semestinya akan berlaku. Ayah pula bersetuju dengan emak untuk menerima pinangan seorang yang sering dilihatnya ke masjid dan bersolat bersamanya. Mudah sungguh ayah terpesona dengan penampilan luaran seseorang itu. Kadangkala sifat luaran seseorang itu langsung kontra dengan jati diri peribadinya. Ayah tidak terfikirkah begitu?
Ah mak! Ayah! Keputusan mak dan ayah tu telah merosakan seluruh perancangan hidup yang kulakar bersama Faizal. Faizal telah berjanji kepadaku akan datang melamarku sebaik tamat pengajiannya kelak. Dan aku setia menunggunya. Aku juga bercadang untuk menyambung pengajianku tidak lama lagi.  Mengapakah ada saja gangguan yang menggendalakan semua impianku itu?
Kalau aku tidak bersetuju dengan keputusan mak dan ayah, aku patut menolak saja lamaran itu. Emak dan ayah tentu faham jikalau aku memberikan alasan yang sewajarnya. Tapi sanggupkah aku berbuat begitu sedangkan emak dan ayah sudah pun bersetuju? Apa pula perasaan mereka, jikalau aku menentang keputusan mereka?
Sanggupkah aku malukan kedua ibu bapaku yang sangat dikenali di sini sebagai dua watak yang sangat dihormati lagi dikagumi kerana kebaikan budi perkertinya dan kewarakan ilmu akhiratnya. Patutkah?
Emak membuat keputusan menerima pinangan yang menerjah tiba-tiba itu hanya kerana memikirkan kemasylahatan diriku. Bimbangkan diriku teraniaya seperti nasib yang menimpa Salmiah lantaran hajat orang yang membawa lamaran terhadapnya ditolak mentah-mentah. Emak mengambil sikap mencegah lebih baik dari mengubati. Prevention is better than cure, kata orang-orang Inggeris.
Bukankah tindakan emak itu sangat bijak? Emak sangat sayangkan aku. Emak melakukan apapun sudah tentu demi kasih sayangnya terhadapku.
            “Siapalah si bodoh yang melamar kita tu…?”, tuturnya lirih dan lemah.
            “Syamsi anak Pak Samad yang tinggal dekat rumah Arman yang baru ni kahwin dengan Jamilah tu…”
            “Syamsi?” Dia mengulang menyebut nama itu sebaik terpacul dari bibir ibunya. Terkejut sungguh. Tidak terduga samasekali olehnya nama itu yang memporak-perandakan ketenangan yang lestari yang dirasakan selama berada di sini.
            ‘Kenapalahmu pinang aku Syam? Aku anggapmu tak lebih dari seorang kawan. Kenapa tidakmu pinang Murni saja. Aku tahu Murni memang sukakanmu. Aku pun selalu mengusikmu dan mengendengkan dengan Murni. Kenapa jadi begini pula? Kenapakahmu pilih aku Syam. Mumengecewakan aku Syam. Mengecewakan Murni juga. Mengapa boleh jadi begini? Aku bingung. Apa sebenarnya yang harusku buat ini? Hendak menerimanya memang hatiku ini langsung tidak sanggup.
Hendak menolaknya hatiku ini tidak mampu untuk menghampakan permintaan emak dan ayah. Selama ini ibu yang telah melahirkan aku ke dunia itu telah membesarkan dan mendidikku dengan susah-payahnya. Masakan aku sanggup hendak menghampakan permintaannya yang sedikit itu.
Menjadi seorang anak yang tidak tahu mengenang budi emak dan ayah yang telah banyak berkorban segala-galanya terhadapku bukanlah prinsipku. Tetapi fikiranku ini terlalu kacau. Di satu sisi aku menerima takdirku dengan redha. Di sisi yang lain hatiku ini tetap metah menolaknya. Apa maknanya itu?’
Persoalan yang membadai membawa pelbagai pertanyaan yang menyerabuti benaknya membuatnya terbuntang merenung gelap malam. Hanya kelam. Tiada warna. Namun bayangan wajah seseorang yang sentiasa bergentayangan di matanya menyebabkannya berilusi hingga ke alam mimpi.
“Teruslah berenang Faizal. Lawanlah ombak dan arus itu. aku di sini sedang sabar menunggumu. Teruskanlah renanganmu Faizal. Jangan berhenti! Jangan mengalah!”
Tangan Faizal yang terkapai-kapai melawan ombak di lautan yang luas terlihat kepadanya semakin lemah. Dan kedua-dua tangan itu tidak lagi menggapai menguak ombak. Sebaliknya ombak itu membawanya jauh bersamanya entah ke mana.Telah hilang diri itu daripada pandangannya.
“Astagfirullah hal azim! Subhanallah!” Aisyah terjaga dari tidurnya. Entah bila dia terlelap tidak disedarinya. Wajahnya diraup beberapa kali untuk memastikan realiti yang dihadapinya..
“Apakah maksud mimpiku ini ya Allah. Aku berserah kepadamu dan lindungilah aku daripada gangguan iblis dan syaitan durjana. Amin…”
Dan dia telah menetapkan hatinya dengan keputusan untuk menenangkan hatinya yang kerusuhan itu dengan suatu tindakan yang tidak akan menyusahkan sesiapa dan mengecewakan sesiapa. Tetapi sudah tentu amat melukakannya dengan sangat dalam dan amat memerihkan.

12 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 35...SAMBUNGAN."

Kakzakie delete icon 17 September 2014 10:04 PG

Allah... takut pulak impian utk bersama Faizal tak kesampaian.
Nampak gaya 2 dah nak cuna utk memiliki Aisyah..

Tak apa kakak tunggu kesudahannya.
Sesak nafas nak tunggu kesudahan cerita hihi...

paridah delete icon 17 September 2014 10:41 PG

suka membaca komen kakzakie yg sentisa mengikuti sambungan kisah aisyah ni...terima kasih banyak.

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 17 September 2014 1:30 PTG

tunggu entri akan datang.

paridah delete icon 17 September 2014 2:14 PTG

tq MKL rajin ikutinya....

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 17 September 2014 3:57 PTG

Mungkin kisah sedih bakal mengundang...

paridah delete icon 17 September 2014 5:49 PTG

begitulah suratannya zumal...tq

Umi Nazrah delete icon 17 September 2014 5:55 PTG

memang wajib follow.....

paridah delete icon 17 September 2014 6:04 PTG

YEKE..Terima kasih banyak Umi Nazrah.

acik idah delete icon 17 September 2014 9:07 PTG

kak paridah nie memang berseni laa... setiap bait ayat disusun indah... :) kagum dengan akak...

paridah delete icon 17 September 2014 9:13 PTG

yeke..terima kasih penghargaan idah tu...kak tulis biasa2 saja..

babYpose delete icon 17 September 2014 10:09 PTG

merisik kami praktikkan tapi bertunang tak..ķalau teringin jugak , bertunang hari bernikah :) lari tajuk la pulak PI hee :)

paridah delete icon 18 September 2014 7:50 PG

begitu yer...sekarang ni ditempat kak merisik n bertunang disekalikan utk jimat masa n belanja...tq babYpose.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”