بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...
                                                                     

                                                                       Bab 33.
                                                      Menimbang rasa.

Aisyah semakin kerap menuruti Murni ke tempat latihan di pentas budaya. Emak dan ayahnya terpaksa membenarkannya untuk turut terlibat sama dalam aktiviti kesenian setempat apabila Aisyah memberitahu mereka bahawa Tuan Pengurus dan isterinya memintanya mengambil bahagian sebagai AJK (Ahli Jawatan Kuasa) persembahan. Kerana tugasnya bukan sebagai penyanyi, penari atau pelakon drama di atas pentas maka imam yang tegas dengan pendidikan keIslaman itu mengizinkan keterlibatan anak gadisnya itu.
“Pandai awak menyanyi ya…kalau digilap bakatnya tentu akan jadi penyanyi terkenal suatu hari nanti…,” kata Aisyah. Kali ini dia sudah melupakan ‘mu’ yang sering digunakan sebagai pengantara bahasa setiap kali berbicara dengan mereka yang dekat dengannya dan menukarkan dengan ‘awak’ pula seperti selazimnya digunakan orang-orang tempatan. Apatah lagi kerana jawatan guru sandaran yang disandangnya memerlukannya berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu standard dengan murid-muridnya di sekolah.
“Tak adalah sesedap mana suara saya tu cikgu, cikgu saja yang puji lebih-lebih…” Walau ternyata terlambung dengan puji-pujian yang meriakan perasaannya namun penerimanya seakan menolak pula. Sekadar berbahasa mungkin. Syamsi juga tidak menggunakan frasa ‘koi’ sebagai ganti dirinya seperti kelazimannya tika bersama teman-teman akrabnya.
“Betul apa yang saya cakap tu. Saya puji tu ikhlas…”
“Iya ke? Terima kasih banyak-banyaklah cikgu….”
“Tak payahlah nak bercikgu-cikgu dengan saya, kita kan kawan.” Benarkah bahawa Aisyah telah menganggapnya sebagai seorang kawan selama ini? Selama ini dia hanya rapat berkawan dengan Murni, Salmiah dan Arman. Tidak pernah pula terfikir untuk memasukkan Aisyah dalam senarai kawan-kawannya yang sedia ada. Aisyah telah diletakan namanya dalam kartegori yang tersendiri di dalam lipatan hatinya.
“Awak di sini ya Aisyah…puas saya cari di atas pentas tadi, rupanya di sini…”
Aisyah terkejut sedikit apabila disapa suara garau itu, cepat saja dia menoleh ke arahnya.
“Apahalnya cik Halim cari saya? Mesti ada hal yang penting ni…”
“Pentinglah juga. Tapi tak penting sangat kot. Saya cuma nak sampaikan surat jemputan ke mesyuarat yang akan di adakan esok…”
“Mesyuarat apa pulak ni…?”
“Mesyuarat tentang perancangan kita untuk mengadakan sambutan hari peneroka yang akan diadakan tidak lama lagi…”
“Apa pula kena mengenanya dengan saya?”
“Memanglah ada kena mengenanya dengan awak, sebab awak bukankah Pengurus dah lantik sebagai salah seorang AJK persembahan pada malam tu…” Aisyah termangu apabila diberi penerangan sebegitu. Tidak terlintas langsung difikirannya akan tanggung-jawab AJK persembahan perlukannya menghadiri sebarang mesyuaratnya. Budaya bermesyuarat adalah perkara baru kepadanya.
“Awak juga Syam kena hadir juga ke mesyuarat tu. Ini surat jemputan awak.”
Sehelai surat bertaip hasil stensilan telah bertukar tangan. Syamsi menyambutnya tanpa sebarang pertanyaan.
“Ini surat untuk Arman. Kemana pula dia ni…”
“Dia ke kedai MARA sekejap cik Halim. Tak apalah biar saya saja yang sampaikan surat tu kepadanya,” ujar Syamsi menghulurkan bantuan.
“Kalau begitu tak apalah. Terima kasih banyak-banyak. Jangan lupa pesanan saya tu. Awak berdua mesti datang ke mesyuarat tu. Iyalah untuk mempastikan kelancaran majlis tu berlaku seperti yang dirancangkan…”
“Insya-Allah”, balas kedua-duanya hampir serentak.
“Tapi siapa lagi yang kena bermesyuarat tu? Kalau saya seorang saja yang perempuan dalam mesyuarat tu, tentu segan juga saya…”
“Mestilah ramai lagi yang lain termasuk Murni, Salimah, cikgu Sayidah dan semua AJK yang terlibat daripada semua persatuan yang terdapat di sini. Macam Murni mewakili beliawanis daripada persatuan belia. Syamsi dan Arman pula mewakili persatuan belia kerana kedua-duanya memang orang kuat persatuan yang terlibat dengan pelbagai kegiatan. Sama ada kesenian atau sukan…”
“Saya ni tak terlibat dengan semua tu jadi apa pula fungsinya saya?”
“Kalau nak tahu apa fungsinya kenalah hadir ke mesyuarat tu. Jangan tak datang tau!”
“Insya-Allah…”    
Halim mahu melangkah pergi meninggalkan sepasang teruna dara itu menyambung perbualan yang digangguinya sebentar tadi meski berat hatinya. Mungkinkah hatinya bertanya bilakah masanya ia berpeluang mengalami detik itu bersama gadis itu yang kini segenap saatnya meruntun hatinya.
Apakah dia cemburu dengan keakraban Aisyah dengan lelaki lain selain dirinya mutakhir ini? Aisyah dilihatnya seringkali bertegur sapa gaya mesra dengan Syamsi. Walhal dengannya tidak begitu pula. Aisyah seolah meletakan protokol yang membuatkan komunikasi yang berlaku di antara mereka berdua menjadi terlalu formal.
Dia merasakan dirinya dihormati namun tidak dimesrai. Jikalau orang-orang lain di persekitarannya melakukan perihal serupa ia tidak lorat. Namun apabila Aisyah juga seolah sama dengan sebilangan itu, hatinya merasa kalut. Bilakah akan tumbuh tunas kemesraan yang akan membenihkan bibit-bibit cinta di hati Aisyah terhadapnya? Bagaimana pula dia hendak menyemai bibit-bibit itu agar hatinya tidak perlu menunggu terlalu lama kerana mengharapkan ia berlaku secara semula jadi?
Memikirkannya menambahkan keserabutan di kepalanya. Nampaknya dia perlukan konsultansi untuk menguruskan jiwanya yang mulai kacau kerana melihatkan bunga pujaannya mulai terlentuk ayu di samping lelaki itu.
“Ah! Aku tak perlu risaukan Syamsi yang pastinya dia tidak punya sebarang niat terhadap Aisyah. Mereka cuma berkawan mesra….,” kata hatinya memujuk jiwanya yang gelabah perasaannya.
“Apahalnya cik Halim datang ke sini tadi?”
“Dia sampaikan surat jemputan mesyuarat kepada cikgu kita ni…”
“Oh! Begitu…bukan sebab sengaja nak berjumpa dengan kak Syah,” tambah Murni dengan sengihnya melebar. Hati Syamsi tercuit juga dengan kenyataan Murni itu. Dia langsung tidak mengharapkan itulah faktanya. Wajahnya turut tersenyum tawar.
“Muni Murni kalaumu kecek ikut sedap mulutmu ja…”
“Saya pun nak menjadi seperti orang tua yang akan berkata, sekilas ikan di air sudahku tahu jantan betinanya…hih…hih…,” komennya dengan tawa kecil yang mengiringinya.
“Pandai pula mek ni berumpamaan ya…boleh membaca apa yang tersurat dan tersirat…”
“Kan dah lama hidup…”
“Lama benarlah hidupmu tu gak…baru ja 17 tahun…”
Syamsi bagai tergeletek hatinya mendengarkan bicara Aisyah dengan loghat negeri asal kelahirannya yang terjadi secara tiba-tiba itu.
Selama perkenalannya dengan Aisyah yang mulai mesra kini, gadis itu sentiasa mengawal tutur katanya agar sentiasa berada di atas landasan bahasa Melayu standard. Namun tatkala bertemu Murni lain pula jadinya. Nampak benar kepadanya keakraban perhubungan kedua-dua gadis itu.
“Opps sorry terlepas pula kecek lagu tu depanmu Syam…” Aisyah tersipu-sipu kerana terpaksa menuntut maaf di atas ketelanjurannya berbahasa sesedap rasa. Dia mengagak mungkin Syamsi pasti terkial-kial hendak memahami pertuturannya dan menjangka lain pula maksudnya.
“Tak apa saya faham apa yang Aisyah sebutkan tu. Tak perlu nak minta maaf…”
“Salahmu lah ni Murni sampaikan kak Syah kecek merapu ja…”
“Jangan nak salahkan saya pulak ya…saya tu cakap yang benar je. Saya rasalah cik Halim tu memang ada hati dengan kak…” Aisyah tidak peduli apapun tanggapan Murni terhadap seseorang yang sedang dikaitkan ceritanya dengannya itu. Selagi tidak membawa masalah dan mengganggu kestabilan emosinya ia masih boleh menerima kondisinya.
“Lantak dialah Murni. Hati dia hak dia. Siapa yang dia suka itu adalah haknya yang memilihnya,” balas Aisyah tersenyum menyimpul maksud.
“Mu ni Murni tak boleh nampak kak bersembang dengan Syam mesti terjengol je mukamu kat sini. Agaknyamu cemburu tengok akak rapat dengan Syam ya…” Murni terkapa-kapa. Terkulat-kulat sepasang matanya menelan sangkaan Aisyah itu. Malu sungguh pabila Aisyah seakan membuka rahsia perasaannya. Namun dia tidak menafikan bahawa telah terbetik rasa sukanya terhadap lelaki itu meskipun belum lagi memutuskan sebarang penetapan mengenainya.
“Tak adalah…akak ni ke situ pulak fikirnya…”
“Akak pun macammu fikir juga Murni; sekilas ikan di air sudahku tahu jantan betinanya…” Murni tersengih saja tatkala Aisyah memulangkan paku buah kerasnya. Syamsi pula yang keserbasalahan menerima kenyataan Aisyah itu. Benarkah begitu?
“Tapi akak rasalahmu berdua memang pasangan yang sesuai. Sama-sama berjiwa seni. Seorang minat dengan tarian dan seorang lagi suka menyanyi. Pandai main muzik lagi…” tutur Aisyah bersahaja dengan kesimpulannya. Jelingannya menjengah wajah Murni yang cerah berseri hendak menyembunyikan rupa perasaannya. Dan pada wajah lelaki yang dikenenkan dengan sahabatnya itu sirna dengan aura yang diharapkannya. Kelam. Suram tanpa cahaya.
‘Kau langsung tidak tahu dan faham perasaanku ini Aisyah…’
“Tapi saya pula rasa kan, akak ni memang sesuai dengan cik Halim…tapi…” Aisyah tidak mahu Murni meneruskan bicaranya, lantas diletakan jari telunjuk di bibirnya. Maknanya dia meminta Murni diam. Bimbang hatinya Murni akan tambah melalut dengan mengeluarkan segenap rasa yang terlanjur dikongsi bersamanya.
Gelagat kedua-dua gadis itu menimbulkan persoalan dan pertanyaan yang mengharu-birukan perasaan Syamsi. Baginya terlalu banyak rahsia yang perlu diketahuinya tentang Aisyah. Dan dia perlu lebih rapat lagi dengan Murni untuk mengetahui rahsia gadis pujaannya itu. 
                                                    * * *
“Kenapa menongkat dagu sambil termenung ni…apa yang difikirkan?”
“Eh! Kau ke Mas. Buat apa kau ke sini? Tak takut ke singa kau tu mengamuk nanti?”
“Singa aku tu ikut Pengurus ke pejabat Wilayah…”
“Jadi bila laki kau tu tak ada, kau datanglah cari aku ya…”
“Tak ada sebabnya nak begitu…janganlah kau nak perasan pulak. Sebenarnya aku tak ada sapa nak temankan aku berborak kat dalam tu. Semua orang dah keluar dengan urusannya. Aku tinggal sorang diri…so bila dah habis kerja, aku keluarlah ke sini. Mana tahu kot ada Salimah yang boleh temankan aku berborak…”
“Iya ke? Biasalah orang perempuan kalau niat nak berborak tu aku faham sangatlah…”
“Apa yang kau faham?”
“Nak mengumpat kan?”
“Ada sajalah kau ni. Sebenarnya niat sebenarnya bukan hendak mengumpat. Tapi semuanya berlaku tanpa disedari…”
“Ada sajalah alasannya. Tapi dosanya tetap juga tercatat dalam kitab Rakib dan Atib tau…”
“Tak payahlah kau nak cakap Lem…memanglah aku tahu malaikat pencatat dosa segala manusia itu adalah Rakib dan Atib. Macamlah kau tu baik sangat, tak pernah langsung buat dosa…”
“Aku tak pernah pula mengaku aku ni baik macam malaikat. Aku cuma nak beritahu kebenarannya saja…”
Halim tidak berkata apa-apa lagi. Kerabungan berbicara sebentar tadi tidak mampu menghapuskan kacau bilau di dalam perasaannya. Tangan kirinya mulai menongkat dagu semula sementara tangan kanan yang memegang pen mencoret sketsa abstrak, tidak berbentuk pasti di lembar kertas putih.
Bermula fikrah dengan fikir. Berfikir datangnya zikir. Apabila berzikir terserlah kebenaran. Dan kebenaran itu dari Al-Qur’an. Nampaknya Halim perlu berfikir keras untuk menyerlahkan kebenarannya selain bertawakal kepada Allah.
“Kau ni macam memendam rasa saja Lem…”
“Apa nak buat…dah nasib aku nak memendam rasa je…”
“Aku rasalah eloklah kau luahkan perasaan yang terpendam tu pada aku saja…”
“Nak buat apa? Nak mampos! Kau  kan dah jadi bini orang. Tak ingin aku nak cari nahas…”
“Isyh kau ni ke situ pulak. Maksud aku tu cubalah kau ceritakan apa masalahnya yang sedang kau hadapi. Aku nampak kau ni lain macam saja akhir-akhir ni…”
‘Rupanya kau pun sedang perhatikan perubahan sikap yang sedangku alami kini ya Mas. Aku ingatkan kau dah tak kisahkan aku lagi sesudah ada Zaini…’
“Tak payahlah kau nak termenung sana, termenung sini memendam perasaan. Baik kau ceritakan semuanya pada aku ni. Kebetulan aku pun  tengah ada masa dan peluang nak mendengarnya…”
“Betul kau nak dengar ni…?”
“Iyalah…betullah…”
“Kalau aku cerita kau jangan terkejut pula?”
“Buat apa pula aku nak terkejut…”
“Dan jangan sesekali kau ceritakan kepada sesiapa, walaupun kepada laki kau tu…” Masyitah terangguk-angguk menyanggupi permintaan Halim demi hatinya yang teruja hendak mendengar lelaki itu membuka rahsia perasaannya.
“Isy tak jadilah nak cerita pulak…,” sahutnya berbelah-bahagi sebaik deria dengarnya menangkap suatu riak yang bakal terjelma kenyataannya sebentar lagi.
“Kau ni Lem, main-mainkan aku pulak. Tak nak cerita tak apalah…”
“Orang perempuan ni bukan boleh percaya sangat. Nanti lain yang kita cerita lain pula yang difahamnya. Sudahnya cerita kita dihebohkan satu dunia. Tak mau aku tanggung risiko begitu. Baiklah aku simpan saja cerita aku tu di dalam hatiku saja…”
Halim mengambil keputusan tidak mahu mendedahkan perasaannya kepada kawan sepejabatnya itu walau pada mulanya ia beria-ia mahu berkongsi ceritanya dengan Masyitah.
“Haa! Kawan yang kau tunggu dah pun balik dari ronda-ronda sekeliling kampung, bolehlah kau bersembang dengannya untuk mengisi kesunyian kau tu ya…aku belah dululah…”
Sebaik Salimah muncul di muka pintu pejabat LKTP tanah rancangan itu, Halim segera menghilangkan kelibatnya. Dirinya kelihatan tergesa-gesa menaiki motorsikalnya. Bergerak melaju entah kemana setelah injin motorsikal itu dihidupkan.
“Kenapa Halim tu? Sebaik nampak kau terus cabut dari sini. Kau berdua bergaduh ke?”
“Tak adalah Mas…Halim dengan aku baik, biasa saja. Dia pun banyak menolong aku mutakhir ini. Maklumlah kita semua kan sibuk nak mengadakan sambutan Hari Peneroka tidak lama lagi di sini. Tentulah ada kerja yang nak dibuatnya tu…sebab tu dia tergesa-gesa begitu…”
Perasaan Masyitah pula merasakan sikap Halim itu berlawanan dengan kenyataan Salimah itu. Mungkin Halim mengubah pendiriannya untuk menceritakan apa yang terbuku di hatinya sebaik menyedari kehadiran Salimah. Dan dia tidak mahu rahsia hatinya diketahui Salimah kerana apa yang akan diluahkannya berkaitan dengan gadis itu.
Masyitah menduga-duga sahaja. Kebenarannya tidak dapat dipastikannya.
“Kau ni dari mana Imah?”
“Aku tu dari rumah ketua GPW, kak Hadijah. Ada hal sikit…”
“Apahalnya?” Tanya Masyitah ingin tahu serba sedikit kesibukan tugas yang ditangani temannya itu.
“Biasalah kerja aku Mas. Banyak berkaitan dengan wanita-wanita di sini, tambah pula dekat dengan sambutan Hari Peneroka 7 July ni. Aku pun jadi macam lipas kudunglah, semua kerja aku kena buat…”
“Tentulah banyak sekali kerja yang perlu kau buat ya. Sebab ini adalah pertama kali sambutan hari peneroka di buat. Persiapannya mestilah rapi dan hendakkan yang sempurna…”
“Ya Mas…mesti nak rapi semuanya. Siangnya dengan pelbagai acaranya. Malamnya pun ada acara pementasan lagi dengan undangan artis-artis yang terkenal dengan slot drama Fajar di bumi Permata yang di siarkan di radio saban minggu tu…”
Masyitah mulai terbayangkan satu persatu watak-watak yang membawa peranan mereka dalam slot drama radio yang menggambarkan kehidupan para peneroka di sebuah tanah rancangan. Paling dikenali dan diingatinya adalah watak pak cat dan pak alang yang merupakan teras utama lakonan. Pak Alang dengan karektor peneroka yang berasal dari Perak. Sementara pak cat pula adalah seorang yang berasal dari Pulau Pinang. Suasana pada malam itu kelak tentu tambah gamat dan meriah dengan kehadiran artis-artis terkemuka itu.
“Pada siangnya apa pula acaranya…”
“Kau tak tahu ye? Iyalah Mas aku terlupa yang kau tak terlibat kerjanya secara langsung dengan aktiviti peneroka seperti aku ya…manalah kau nak tahu…”Dia terdiam sejurus seolahnya sedang memperincikan apa yang akan diucapkannya agar tidak bersalahan maklumatnya.
“Sebab majlis pada sebelah siangnya diadakan di sekolah tentulah pihak sekolah kebangsaan pun terlibat juga. Sekolah dengan aktiviti sukannya. Di dewan sekolah pula ada pameran kraftangan para isteri peneroka seperti jahitan baju kurung, sulaman, gubahan bunga, icing kek, makanan tradisional dan banyak lagilah. Sampai dah tak ingat aku nak senaraikan. Kau jangan lupa datang nanti ya. Lgipun kesemua bahan-bahan pameran tu dipertandingkan tau…dan ada hadiahnya kepada yang menang…”
“Patutlh kau sibuk sungguh menguruskan semua itu ya…”
“Iyalah Mas sibuk sungguh, mana nak membungkus hadiah-hadiah untuk pemenang, mana nak tentukan bahan-bahan untuk pameran mencukupi. Mujurlah aku dibantu budak-budak beliawanis macam Murni, Hasanah, Tinah dan ramai lagi. Soal bahan-bahan pameran kraftangan wanita tu aku serahkan saja pada ketua GPW dan ketua-ketua belok wanita menguruskannya. Mereka semua tu boleh diharap. Taklah aku kelam kelibut nak membuat semuanya…”
“Susah juga ya kerja kau ni…mujurlah aku kerjanya taip surat pejabat saja. Taklah aku pening kepala dengan urusan yang kau ceritakan tu. Tapi dalam sibuk-sibuk tu kau kena ambil pusing juga Imah tentang perkembangan orang di dalam pejabat kita ni. Kot nanti kau ketinggalan keretapi pula…” Dan ada sekelumit senyum menata bibirnya membuatkan Salimah dibelenggu pertanyaan.
“Kau ni cakap berbelit-belit buat aku suspens je…apa maksudnya tu…?”
“Carilah sendiri maksudnya…” Bertambah pening Salimah diterjah kalimat Masyitah itu. 
“Lantaklah tu. Malas dah aku nak memikirkan maksudnya...”



                       

2 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 33....SAMBUNGAN."

Kakzakie delete icon 3 September 2014 8:40 PG

Takut juga Aisyah lupa pada Faizal. Syamsi tu tak tahu kisah sebelumnya dan rasanya dia pun dah suka tu...

paridah delete icon 3 September 2014 9:23 PG

Aisyah tidak lupa pada Faizal tapi ramai pula lelaki yg minatinya...tq kakzakie sudi ikuti sambungannya...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”