بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...
                     

                        BAB 34.
Malam pesta dan tragedinya.

AISYAH berada bersama Salimah menemani artis-artis undangan pihak pengurusan LKTP yang baru saja selesai mengadakan persembahan mereka sewaktu Murni menerpa dengan membawa khabar yang membingungkan mereka.
“Apahalnya Murni? Nampakmu kalut semacam ja…”
“Ada orang bergaduh di bawah pentas sana. Sampai nak bertumbuk-tumbuk. Mujurlah dileraikan pihak jawatan kuasa keselamatan yang dipertanggungjawabkan. Kalau tidak tu dah tumpah darah dan ada yang masuk hospital malam ni…”
Salimah tergeleng-gelengkan kepalanya mendengarkan cerita musibah yang tidak diingini berlaku itu daripada mulut Murni.
“Siapalah yang suka cari masalah dan buat kerja bodoh tu ya? Bila tidak ada sebarang hiburan di sini, penduduknya komplen! Apabila sudah diberi sedikit hiburan hendak bergaduh pula. Tak faham betul saya,” ulas Salimah sinis.
“Siapa yang bergaduh tu?”
“Siapa lagilah kalau tidak budak dua orang tu…”
“Maksud awak Kadir dan Haidir…”
“Iyalah budak kembar berdua tulah cik Salimah…”
“Budak berdua tu bukannya kembar Murni! Tapi perangai kedua-duanya yang sama…sehati sejiwa…”
“Kembarlah juga tu …” Salimah dan Aisyah tersengih sedikit dengan tanggapan Murni tu.
“Budak-budak berdua tu pengurus dah panggil ke pejabat dan bagi warning dulu agar tidak mencari gaduh di sini. Kalau tidak pengurus akan seret mereka ke balai polis. Biar polis yang ajar mereka cara hidup bermasyarakat…”
“Nampaknya warning pengurus tu mereka tak heran cik Salimah…gedebe sungguh…tak gitu kak Syah?”
Aisyah terpana, tidak menyahut apa-apa kerana dia sangat memahami maksud gedebe itu ditujukan kepada mereka yang menggunakan ungkapannya daripada negeri kelahirannya.
Orang-orang yang berasal daripada negeri yang lain di sini tidak akan menggunakan ungkapan begitu untuk menggambarkan perilaku seseorang yang sangat memualkan itu. Kenapalah kedua-dua makhluk yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu suka benar membuat onar di negeri Inderaputera ini? Hendak menunjuk sifat samseng tidak bertempat pula.
Tika orang-orang lain sedang kusyuk bergembira meraikan sambutan Hari Peneroka yang sangat bermakna itu, mereka berdua ini gemar mencetus angkara. Memalukan sungguh. Apalagi jikalau cerita pergaduhan di sebuah desa peneroka sampai kepada orang-orang kota yang bergelar artis itu dan baru pertama kali menjejakkan kaki ke sini.
Tentulah mereka mengambil pandangan dari sisi itu yang menggambarkan ketidakharmonian kehidupan penduduk di sini. Sentiasa saja ada persengketaan yang menimbulkan polemik.  Minda Aisyah menggambarkan persepsi yang tidak dinyatakan itu.
“Apa pula agaknya yang digaduhkan kali ni? Kalau dulu dengan cerita suka mengusik anak dara orang, kali ni apa pula?”
“Entahlah cik Salimah. Tapi kata orang-orang yang melihat pergaduhan itu pasal berebutkan perempuan juga!”
“Apalah manusia lelaki ni ya! Pasal perempuan pun mereka sanggup bergaduh, bertumbuk nak berebut. Mereka ingat perempuan ini barang permainan ke, macam anak patung yang boleh direbut dengan mudah. Kalau nak bergaduh nak bertumbuk pun biarlah pada perkara yang masuk akal. Misalnya hendak mempertahankan negara dari dicerobohi musuh ke…ini tidak…,” komen Salimah kritis.
“Siapa perempuan yang direbutkan tu?” celah Aisyah inginkan kepastian setelah sekian lama mendiamkan dirinya dan hanya menjadi pendengar kepada bicara topik panas itu.
“Akaklah!” Murni tersengih menuturkannya dengan selamba. Aisyah terkesima.
“Kenapa pula ada kena mengena dengan akak pulak. Akak ni tak turun ke bawah pentas lagi, temankan cik Salimah mengatur program persembahan. Mu ni mengarut betullah…,” sahutnya bingung mempersoalkan.
Salimah terkulat-kulat bebola matanya menyeluruhi wajah Aisyah. Pelbagai rasa yang menyerang hatinya. Dan tersenyum simpul pula.
“Nampaknya ramai peminat awak ya Syah!”
“Jangan percaya sangat kata-kata Murni ni cik Imah. Dia tu saja ja nak usik saya…”
“Sorry…sorry…saya gurau je kak Syah, cik Salimah. Saja-saja nak tengok rupa kak Syah bagaimana kalau dia terkejut…” ujar Murni tersengih-sengih dengan dalihan yang tidak konkrit pada anggapan Salimah. Namun dia pasti akan tersebar juga cerita perkecohan yang berlaku tadi dibawa angin ke segenap pelosok tanah rancangan ini. Dan dia akan tahu juga siapa pelakunya dan apa puncanya.
Barangkali Murni juga amat tahu tentang peristiwa yang berlaku sebentar tadi itu tetapi bersikap menyorokkannya daripada mendedahkannya. Daripada gaya Murni bercakap dengan lagak serius mengatakan bahawa Aisyah yang menjadi punca kepada pergaduhan itu dia sudah menebak kepastiannya. Mungkin itulah sebab-musababnya.
Artis-artis undangan yang telah membuat persembahan itu akan pulang dan Salimah perlu menyongsong mereka hingga ke kenderaan yang akan membawa mereka ke destinasinya.
 Sebelum itu artis-artis itu tentulah akan bertemu terlebih dahulu dengan Pengurus rancangan ini untuk mengucapkan rasa terima kasih di atas layanan sempurna yang diberi, selama mereka berada di sini sebagai tanda berbahasa.
Lagipun semasa mereka di sini, di rumah pengurus itulah tempat di mana mereka menginap sementara dan segenap keperluan mereka dipenuhi sebaiknya oleh tuan rumah itu.
“Artis-artis tu dah nak balik tu! Jom kita iring mereka bertemu pengurus sebelum mereka pulang…”
“Tak naklah. Pergilah cik Imah. Ha! Itupun cik Halim dah naik pentas. Eloklah cik Halim dan cik Imah saja yang iringkan mereka. Saya dengan kak Syah pun dah nak balik sebentar lagi…”
“Nanti bolehlah dapatkan tanda tangan artis-artis terkenal tu…,” ujar Salimah bernada memujuk dengan imbuhan sesuatu yang mengujakan gadis remaja itu pada perkiraannya..
“Tak payah…bukannya penting pun…” Murni menjuihkan bibirnya dengan pengucapan sinis seolah ada sesuatu yang terbuku di hatinya berkaitan itu. Seorang artis penyanyi yang turut diundang untuk mengadakan persembahannya malam ini telah menyakitkan hatinya tika mereka bersalaman. Artis itu menarik tangannya dengan cepat daripada genggaman tangannya dan kemudiannya menggoyang-goyangkan tangannya seolahnya Murni telah menyakiti tangannya itu.
Sebal sungguh hatinya mengenangkan perilaku artis yang kurang sopan itu. Padanya menggenggam tangan dengan erat tika bersalaman adalah sesuatu yang lumrah dan seharusnya dilakukan sebagai menunjukan sikap kemesraan kita terhadap seseorang. Tetapi yang menjadi persoalan kepadanya kenapakah artis terkenal yang cantik molek, bersuara merdu itu memperlekehkannya.
Hatinya yang terluka menolak untuk bertemu sekali lagi dan menatap muka artis yang menjengkelkannya itu. Murni telah menyangkal dan membuang jauh-jauh rasa kekagumannya yang meruap terhadap artis itu. Sombong dan egoisnya ternyata tidak bertempat; menyebabkannya kehilangan seorang peminat.
“Tak apalah kalau gitu, saya turun dulu ya. Terima kasih banyak-banyak kerana awak berdua turut sama menjayakan persembahan malam ini…”
Salimah meninggalkan kedua-dua gadis itu kerana ia perlu menyelesaikan urusan yang diletakan dibahunya bersama Halim sebagai tugasan terakhirnya malam ini. Penat sungguh seluruh tubuhnya kerana pergerakan ototnya yang cergas bergerak ke sana sini sempena sambutan Hari Peneroka ini. Usai saja tugasannya malam ini dia akan pulang ke rumah merebahkan tubuhnya yang lelah guna merehatkan sekujur jasadnya.
                                                        * * *
“Kawan rasa baik awak sahut cabaran Kadir dan Haidir tu? Bukan main sombong lagi budak berdua tu malam tadi. Berani dia ajak awak bertumbuk. Kalau dia ajak kawan memang kena. Bukan sebiji penumbuk yang kawan beri, malah berpuluh biji sampai lebam biji mata dia kawan kerjakan. Keturunan Mat Kilau ni jangan buat main…”
“Cabaran apanya? Awak ni memeningkan kepala koi betul! Bersemangat sungguh bercakap. Siap membangkitkan asal-usul keturunan segala…” Apa yang Syamsi tahu Mat Kilau pahlawan Pahang yang termaktub dalam sejarah kerana perjuangannya menentang penjajahan Inggeris di Pahang pada abad akhir abad ke 19 bersama datuk Bahaman, Tok Gajah dan yang lain-lainnya berasal dari kampung Pulau Tawar berdekatan dengan bandar Jerantut menghilir sungai Pahang ke hulunya. 
Sedangkan kawannya ini jauh ke kuala Pahang kampung halamannya berada dalam daerah Pekan. Bagaimana pula boleh berlaku pertautan dan pertaliannya dengan pahlawan terbilang itu? Mungkin adalah salah-silahnya yang tidak diketahuinya berlaku seperti yang tidak dijangkanya kerana sebagai orang perjuangan yang sentiasa diburu pihak yang berkuasa akan menyebabkannya berada di segenap pelosok rimba Pahang, menyembunyikan diri buat mengatur strategi peperangan ke atas musuhnya. Dia membuat justifikasinya sendiri. 
“Bukankah malam tu budak-budak tu dah warning awak supaya jangan rapat dengan Aisyah…sebab katanya Aisyah itu hak dia…”
“Apa koi peduli, dia nak warning seribu kali sekalipun, tak jejaskan koi sikit pun. Pandai-pandai saja nak mengaku Aisyah itu hak dia…”
“Tak jejaskan apanya, dibuatnya betul dia kata nak masuk meminang Aisyah besok, Ha! Tak putih mata awak…?” Syamsi terkedu sejurus sebelum membalasnya sinis.
“Awak fikir pak imam nak terima kacang hantu macam dia nak buat menantu?”
“Itu kawan tak pastilah pulak…”
“Koi ni selalu juga ke masjid bersolat dan bergaul dengan orang-orang yang sering ke masjid tu, kebanyakan mereka ni menyampah sangat dengan perangai budak-budak berdua tu…,” ujarnya sejujurnya. Dan di dalam masjid itu sering juga ditemuinya seorang pegawai LKTP yang turut berjemaah bersamanya. Arman menatap wajah kawannya itu polos. Ada sesuatu yang dijanakan mindanya.
‘Rajin juga hamba Allah ni ke masjid ya. Aku pun rajin juga ke masjid tapi hari Jumaat saja.’ Sebelum mindanya berlegar lebih jauh tidak ketentuan arah dia cepat mencelah dengan pertanyaannya.
“Termasuk pak imam?”
“Tentang pak imam tu koi tak berapa pasti. Imam tu bukankah pemimpin masyarakat di sini jadi sifatnya tentulah tidak membenci sesiapa pun walau perangai orang tu teruk sangat dan wajar dibenci…”
“Ha! Itulah masalahnya. Awak tidak tahu apa yang ada di dalam hati pak imam itu. dibuatnya pak imam terima peminangan budak tu apa kau nak kata? Mungkin pak imam mengangap hati manusia itu sentiasa bolak-balik dan boleh diperbaiki ke arah kesempurnaannya. Apa awak nak kata?”
“Koi nak kata apa lagi, dah jodoh Aisyah dengan dia aku redha je…,” sahutnya bernada mengalah. Namun dia tidak yakin pula akan bersetuju dengan keputusannya.
“Oh! Redha je…tak kecewa?” Syamsi terkedu dengan tujahan kalimat itu.
“Dibuatnya Aisyah tolak peminangan itu, tentu si peminangnya yang kecewa dan sudah tentu dia tidak akan berdiam diri begitu saja. Dihantarnya pulak jin dan hantu untuk menyakat Aisyah. Dan Aisyah pun akan terpekik terlolong dan murung macam Salmiah. Awak tak kesian ke?,” tambah Arman lagi dengan provoknya yang tambah membingungkan Syamsi.       
“ Aku dengar Salmiah ni sampai sekarang tak betul-betul pulih lagi. Tapi dengar kabarnya sudah makin okey pabila keluarganya bawa dia pulang berubat ke kampungnya…,”sahut Syamsi. Dan dia tercari-cari pula getaran pada retina nan sepasang yang pasti membalas akan kenyataannya.
 “Awak mahukah perkara yang sama berlaku kepada Aisyah pula?”
Syamsi melengung merenung tanah. Latar alam di sekelilingnya seolah sunyi sepi walau di tengah padang anak-anak muda yang sebaya dengannya atau jauh lebih muda daripadanya riuh dengan aneka rasa gembira yang terbit lantaran kesibukan mengejar bola nan sebiji.
“Awal fikirlah baik-baik Syam. Daripada Aisyah jadi mangsa ilmu sihir Kadir dan Haidir tu, kawan rasa baiklah dia jatuh ke tangan awak. Kawan pun tahu awak suka dan sayangkan Aisyah tu kan…?”
“Entahlah Man! Koi pun tak tahu nak buat keputusan macam mana.”
                                                   * * *
Salimah meninjau persekitarannya dengan kejora matanya yang meliar merata. Seolahnya dia sedang mencari sesuatu. Namun tidak ditemuinya apa yang dicarinya itu.
“Apa yang kau pandang-pandang tu? Siapa yang kau cari?”
“Tak ada apa! Saja je rihatkan mata dengan menikmati alam di luar pejabat kita ni…” balasnya dengan dalihannya.
“Macam-macam sajalah kau ni.Yang aku pasti kau tak memandang ke luar pejabat tapi mengelitari ruang pejabat kita ni…siapa yang kau cari? Halim ya?”
“Tak adalah! Buat apa aku nak cari dia…”
“Manalah tahu kot ada sesuatu yang nak dibincangkan. Sejak akhir-akhir ni aku nampak kau berdua rapat semcam je. Mesti ada apa-apa ni…”
“Memanglah rapat. Rapat kerana urusan perkerjaan. Tak lebih dari itu. kami kan sama-sama menguruskan sambutan hari peneroka tu tentulah kena saling bertolong bantu. Bukan macam kau, sibuk dengan kerja pejabat saja.”
“Sedapnya nak mengata aku. Aku pun main peranan besar juga tau pada hari tu. Jangan kau tak tau aku dan Mas yang tolong kak Sayidah di rumah pengurus di atas bukit tu. Penat juga kena tolong sediakan itu ini di situ. Kau mana tahu kan…sebab kau sibuk berdua-duaan naik land rover dengan Halim ke sana sini kan…”
“Iyalah tu…betullah tu, kau dan Mas saja yang rajin menolong. Aku dan Halim tahu berjalan saja ke hulu ke hilir…”
“Aiseh… berasa hati pulak dia. Dah pandai nak merajuk…kau jangan nak merajuk pula Imah. Sebab Halim tak ada nak pujuk kau. Aku tak berani nak pujuk kau. Takut Mas pula yang merajuk…” Salimah menjuihkan bibirnya. ‘Nak tunjuk takut bini konon bila dekat dengan bini. Pabila di belakangnya, entah apa yang kau buat Zaini…’
“Apa yang dibualkan tu…?”
“Tu bini kau dah tanya…jawablah…”
“Saja bual dengan Salimah. Nampaknya sidia ni sedang merindukan yang tiada…”
“Siapa yang aku rindu? Kau ni merapu saja…”
“Siapa lagi Halim lah. Tapi Halim dah tak ada…kesiannya! Kau tak nak tanya Halim ke mana? Atau sebenarnya kau memang dah tahu dia ke mana?”
“Lantak dia lah nak ke mana pun. Aku peduli apa…”
“Tapi kau mesti peduli kalau aku cakap Halim balik kampung sebab nak bawa mak ayahnya ke sini untuk merisik dan masuk meminang seseorang? Tentu kau yang nak dipinangnya ni. Sebab tu kau sombong semacam je. Dengan aku pun dah tak layan lagi…” Zaini tersengih-sengih menuturkannya sambil menjeling reaksi di wajah Salimah yang sememangnya sudah dijangka riaknya.
“Mana kau tahu ni…?” Tanya Salimah. Sepasang bebola matanya merenung galak wajah lelaki yang masih bermain sengih di bibirnya.
“Tengok! Kan dah interested nak tahu…kau tak tahu ke?”
“Halim tak beritahu aku pun…”
“Mungkin saja dia nak bagi surprised pada kau kot…” Salimah melongo memikirkan kenyataan yang didengarnya itu.
“Apa yang interested sangat tu?” Tanya Masyitah. Tiba-tiba saja isteri kepada Zaini itu kini sudah berada di antara kedua-duanya.
“Laki kau ni sedang bercerita kononnya Halim dah balik kampung…”, sahutnya lirih.
“Betullah tu. Kau tak tahu ke?” Salimah tergeleng-gelengkan kepalanya. Peneguhan ungkapan Masyitah terhadap kenyataan suaminya tidak meragukannya lagi.
“Pelik juga! Macam mana kau boleh tak tahu sedangkan masalah ini menyangkut hal kamu berdua…”
“Apa pulak nak kena mengenanya dengan aku…dah dia nak balik kampung, biarkanlah. Bukan selama ni dia tak pernah balik kampung pun…”
Zaini dan Masyitah saling pandang memandang. Mereka berdua sefahaman mengatakan bahawa apa yang mereka berdua sangkakan jauh meleset dari landasannya. Nampaknya bukan Salimah orangnya yang dimaksudkan Halim untuk dipinangnya seperti yang diberitahu kepada mereka. Bukan salah Halim juga. Dia hanya menyatakan, “Aku nak balik kampung ni. Sebab nak bawa mak bapak aku ke sini. Aku cadang nak masuk merisik seseorang. Aku harap kau berdua boleh tolong ikut sama nanti ya…”
Tetapi dia tidak menyatakan secara tepat siapakah orangnya. Cuma mereka saja yang cuba menelah berdasarkan andaian mereka kerana melihatkan keakraban hubungan kedua-dua teruna dara itu mutakhir ini. Jikalau orang yang hendak dipinang itu langsung tidak tahu menahu tentang kesahihannya, bagaimana pula akan berlaku. Masakan mungkin hendak membawa rombongan peminangan tanpa pengetahuan yang empunya diri dan keluarganya? Namun segala-galanya mungkin…
“Apa sebenarnya yang ada di dalam kepala otak kau sebenarnya ni Halim?”
“Agaknya Halim tu saja-saja je beritahu kita yang dia nak bawa rombongan meminang kot. Dia bergurau saja tu…”, ujar Masyitah lunak cuba menjernihkan suasana daripada kemuraman yang bermendung di wajah Salimah. Sensiviti wanitanya yang halus menduga bahawa antara Salimah dan Halim telah terbetik suatu rasa rahsia keindahan cinta. Mungkin hanya Salimah yang berat merasakannya. Namun tidak pada Halim. Justeru dia tidak mahu tambah menggundahkan rasa kawannya itu yang mulai menyibukan dirinya dengan melayan perasaan yang tidak ketentuan ronanya..  
Biarlah diurus perasaannya itu sebaiknya agar gelombang yang mengombak di dadanya kembali mereda lantaran amukan pertanyaan demi pertanyaan yang tercetus di mindanya kerana tindakan Halim itu, getus hati Masyitah mengharapkannya.
                                     
                                                         

12 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 34 SAMBUNGAN..."

CRAFTY VIDEOS TIPS delete icon 9 September 2014 at 04:50

your gallery is just very nice .graphics are very nice . your website it just super. best of luck . do come visit me some time. that goes to everybody who see this. WE.HOBBIESANDCRAFTS.NET. and please sign my guestbook at the bottom of my webpage to let me know you came to see me do send your very good friends ( thank you ) it good to meet new friends. love a beautiful thing.

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 9 September 2014 at 05:57

Dah sampai rombongan meminang ..,, tunggu sambungan selanjutnya.

rose bunquet delete icon 9 September 2014 at 08:21

teringat masa rose nak pinang heee malu kemerahan di muka

Anizan Alternatif Googe Adsense delete icon 9 September 2014 at 08:45

Mantap. .

paridah delete icon 9 September 2014 at 10:01

komentar yg sangat menyenangkan hati terima kasih banyak...CRAFTY VIDEO TIPS.

paridah delete icon 9 September 2014 at 10:02

Terima kasih MKL...rajin juga mengikuti sambungannya.

paridah delete icon 9 September 2014 at 10:04

indahnya kenangan lalu kan...tq rose bunquet

paridah delete icon 9 September 2014 at 10:13

yeke terima kasih Anizan Alternatif Googe Adsense

Kakzakie delete icon 9 September 2014 at 11:40

Jangn-jangan nak meminang Aisyah. Ala... kalau betul macam mana Faizal di luar negara? Salimah pulak kecewa? Eh... kakak dah bermain teka-teki ni. Siapa yg mengikuti cerita ini mesti suspen hihi..

paridah delete icon 9 September 2014 at 13:31

mmm bermain dgn tekateki pula ya heh..heh..tq kakzakie.

babYpose delete icon 9 September 2014 at 15:44

ai Aisyah sangat diminat sampai ada gaduh gaduh lagi :)

paridah delete icon 9 September 2014 at 16:13

biasalah dulu2 kalau cantik, baik, berbudi mulia mmg jadi rebutan ramai...tq babYpose.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”