بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...
                                                                                   BAB 32.
                                                                   Wajah Kesayangan Hamba.
           
“Jom kak, kita gi tengok orang berlatih di pentas budaya…”
            “Malaslah akak. Akak ni banyak kija Murni…”
“Ala sekejap je kak. Bolehlah kita tengok orang berlatih menyanyi, menari dan berdrama di pentas tu. Tentu seronok….” Murni masih berusaha memujuk Aisyah menuruti kemahuannya tanpa jemu.
“Mu pun ambil bahagian jugak ko?”
“Tak…,” balasnya seraya memalingkan muka. Barangkali menyembunyikan jawapan yang sebaliknya.
“Habis dahmu tak ambil bahagian gak tak payahlah dok sibuk nak gi tengok. Hari pementasan nanti kita gi lah tengok.” Aisyah memberi keputusan yang mudah sambil lewa. Dia sibuk menelaah dan membuat revisi subjek sejarah untuk darjah 5 yang akan diajar kepada murid-murid itu pada keesokannya.
“Sebenarnya saya malu nak cakap pada akak yang saya ambil bahagian juga. Tapi sikit je…takut akak ketawakan saya pulak. Jadi penari…”
“Iya ko! Wah… Tak sangkamu pandai menari…nak sembunyi pulak daripada kita. Nak malu bakponya, baguslah gitu…takda pasalnya akak nak ketawakanmu…” Namun tetap tersungging senyum di bibirnya menerima perkhabaran yang tidak pernah diduganya itu.
“Bagus apanya setakat jadi penari je…”
“Baguslah gitu, dahmu pandai menari sebab tu mu dipilih jadi penari. Akak ni langsung tak pandai menari…”sahut Aisyah merasa takjub pula dengan kebolehan gadis itu. Sama sekali tidak diduganya bahawa gadis yang suka dengan kegiatan lasak itu memiliki bakat tersembunyi yang akan menyerlahkan keayuannya tatkala menarikan tarian Melayu yang indah lagi lemah gemalai itu.
Terkenang pula kepadanya akan neneknya yang gemar menari makyong dan menora di kampung halamannya. Apa khabarnya neneknya kini? Dan orang-orang yang timbul tenggelam di dalam imbauan ingatannya yang tinggal di kampung halamannya itu yang lekat dan dekat di hatinya..
Neneknya itu memang berbakat semulajadi di dalam dirinya kerana walau telah berusia dia tetap leka dengan keasyikan menari sesekali berpeluang bertemu teman-temannya di istana Kg.Laut. Sukar sekali terhakis tabiat yang mendarah daging dirinya dengan tarian yang berasal dari istana Pattani itu nampaknya. Tarian itu dibawa ke istana Kelantan pada abad ke 16.
Taridra yang menggabungkan unsur-unsur tarian, drama dan nyanyian itu begitu mengasyikan neneknya yang menggayakan peranannya sebagai salah seorang daripada kedua-dua puteri Raja dan Permaisuri. Neneknya itu akan menari dengan iringan muzik makyong yang terdiri dari rebana, gong, kertuk dan nafiri dengan lemah gemalainya.
Namun yang peliknya bakat neneknya itu tidak tumpah ke dalam darahnya. Dan dia langsung tidak tahu menggayakan sebarang langkah tarian. Tidak disesali sedikitpun kerana tidak memiliki bakat yang dikagumi kebanyakan orang-orang muda sepertinya.
“Setakat menari inang yang mudah saja kak…”
“Tak mudah juga kalau memang tak ada bakat semulajadi. Siapa yang latihmu menari?”
“Siapa lagi, cikgu Sayidahlah. Takkan cikgu Sayidah tak bercerita dengan akak?”
“Cikgu Sayidah tu sibuk dengan kija dia, akak pula sibuk dengan kija akak. Nak berjumpa pun masa waktu rihat ja di kantin. Masa rihat kan pendek ja… tak sempat pun nak bersembang...”
“Kalau akak nak tengok saya menari, jom lah ikut saya. Di sana nanti kak boleh tengok macam-macam acara yang dirancangkan untuk persembahan sempena sambutan Hari Peneroka yang akan diadakan pada 7 july nanti. Abang Arman dan Syamsi pun turut ambil bahagian tau….” Aisyah terpana mendengarnya. Bagaikan tidak percaya pula.
“Mereka berdua pun menari bersamamu juga ko?” Tanya Aisyah sinis.
“Taklah. Dia orang tu bermain muzik dengan kumpulan kugiran tanah rancangan kita ni…”
“Isyh… tak sangka pula demo tu pandai bermain muzik ya…” Lahir rasa kekaguman di dalam pengucapannya. Teringin pula hatinya untuk menyaksikan kehebatan kedua-dua pemuda itu berkarya dengan muzik. Adakah sehebat pemuzik-pemuzik yang menjadi anggota orkestra lewat tontonannya di skrin TV di rumahnya yang baru dibeli ayahnya.
Ayahnya terpaksa berusaha mendapatkan sebuah TV kecil demi tidak mahu anak-anaknya berulang ke rumah jiran untuk menontonnya. Jiran itu pula akan mengenakan bayaran 10 sen kepada sesiapa yang mahu menonton siaran TV di rumahnya.
Kerana bekalan eleterik tidak lagi masuk ke tanah rancangan itu, terpaksalah mereka yang terlalu berminat menonton siaran TV menghidupkannya dengan kuasa bateri besar yang tinggi kilowattnya. Apabila baterinya telah lemah kerana penggunaannya dalam jangkamasa yang lama, terpaksalah dicas semula.
“Itulah jangan pandang orang takde mata…kalau kak nak tengok kebolehan hero akak bermain gitar rhytemnya dengan irama yang sangat mengasyikan, jom ikut saya…jangan nak berdolak-dalik lagi. Hari pun dah petang ni…,” usul Murni disertai provokasi mendesak.
“Apa pula hero akak? Sebenarnya heromu kot…,” balas Aisyah pantas. ‘Hero aku tu sedang berada nun jauh di seberang. Entah apa khabarnya sekarang.’ Hatinya bergumam menyulam rindu. Ibarat kata pantun:
Apa diharap padi seberang
     Entah berbuah entahkan tidak
         Entah dimakan pipit melayang
Apa diharap kasihnya orang
     Entah kasihkan entahkan tidak
          Entahkan pudar hanya bebayang.
Pantun yang asalnya klasik itu telah diubah maksudnya mengikut gubahan citarasa kesukaannya. Wajah Faizal terawang-awang memeta mindanya diserata medannya.
“Iyalah saya terlupa pulak yang hero akak di Amerika hih…hih…”
“Pandailah mutu nak mengusik kita.” Sejurus Aisyah terkedu sebelum menyambung bicaranya. Monolog yang mengadun pantun dan wajah teruna kesayangan yang menyapanya relai berderai.
“ Nak naik apa nak ke sana? Kalau berjalan kaki rasanya tak larat. Tengahari tadi akak balik dari sekolah kena jalan kaki ja. Ayah kak tak jemput. Sebab dia kena hadiri kursus imam di pejabat agama di Maran. Penatnya tak hilang lagi...” Aisyah memperihalkan keralatan yang menyiksa emosinya. Ternyata tidak mahu mengulangi cerita tika yang lalu itu. Ungkapannya itu seolah pernyataan persetujuan kepada ajakan Murni. Dan Murni merasa gembira sekali mendengarnya.
“Tak payah nak jalan kaki kak. Saya kan datang ke sini tadi dengan motor. Tentulah saya akan bawa akak ke sana naik motor.”
“Iya ko! Kak ni terlupa pulak yangmu dah pandai bawa motor ya. Bakpolah (kenapa) nak ke sana sini jalan kaki lagi dak…”
“Cepatlah bersiap. Saya tunggu nih…”
“Sobar gak semetar…kalau nak ajak akak gi, tunggu akak kemaskan buku-buku ni dulu. Takut kalau tak dikemas dapat ko Hanif habis buku kak disoyak buat layang-layang…” Kebimbangan Aisyah itu memang ada asasnya lantaran adik bongsunya itu belum lagi hilang minatnya bermain layang-layang.
Pantang ternampak kepadanya kertas buku yang boleh dikoyak dengan pantas akan menjadi mangsanya. Aisyah harus beringat lebih awal. Mesti juga harus tidak dilupakannya untuk memohon keizinan daripada ibunya terlebih dahulu sebelum bercadang hendak ke mana-mana.
“Iyalah…saya tunggu di luar ni…”
Aisyah sudah mempersiapkan dirinya dengan memakai sepasang baju kurung yang sedondon. Sehelai selendang panjang menutupi rambutnya. Setelah itu bergegas pula ke dapur mendapatkan emaknya yang sedang sibuk menyediakan hidangan petang sebagaimana kebiasaannya. Tentulah untuk seisi keluarga yang disayanginya.
“Mak… kita nak ikut Murni ke rumah Salmiah semetar…,” beritahu Aisyah kepada ibunya. Hajatnya yang kedua itu tidak pula dikhabarkannya. Mungkin dibimbanginya ibunya tidak menyenanginya. Sudahnya akan merencatkan seluruh perjalanan yang telah dicita.
“Iyalah…tapi cepat kelik ya, mak ni dah siapkan minuman ni, taksir minum dulu ko?”
“Takpolah mak, kita dan Murni nak cepat ni…”
Ibu itu hanya terangguk-angguk sekadar menandakan kefahamannya akan maksudnya. Anak matanya mengikuti gerak-geri anaknya yang tergesa-gesa meninggalkannya. 
“Kita singgah semetar ke rumah Salmiah di peringkat 2 tu ya…,” ajak Aisyah.
“Iyalah kak. Sayapun memang berhajat nak bawa akak singgah menziarahi Salmiah sebelum kita ke tempat latihan. Lagipun kedudukan rumah Salmiah memang terletak ikut jalan kita, senang kita nak singgah.”
“Murni kenapamu tak beritahu akak yang Salmiah sakit?” Tanya Aisyah tiba-tiba.
“Saya pun baru tahu kak…”
“Macam mana pulamu tak tahu, Salmiah tu bukankah kawan sekerjamu?”
“Akak tak tahukah yang kawan-kawan kita dulu semuanya dah tak berkerja? Termasuklah saya. Jadi bila dah tak berkerja bersama tentulah terputus hubungan sebab dah tak bertemu…”
“Kenapa pula?” Tanya Aisyah penuh keraguan.
“Entahlah! Mungkin juga kerja kawin bunga tu dah tidak diperlukan lagi apabila pokok sawit dah semakin tinggi. Pokok sawit tu mungkin dah boleh mengawinkan bunganya sendiri kot…” Murni mengutarakan pendapatnya yang sinikal lagi melucukan.
“Entahlah Murni. Boleh jadi juga. Kita ni tak belajar sains pertanian, manalah kita tahu semua tu…”
Mutakhir ini beberapa penemuan baru benih sawit yang bermutu telah dihasilkan Pusat Penyelidikan Pertanian yang ditubuhkan khusus untuk inovasi mengenai tanaman sawit dan getah yang menjadi fokus utama pelaburan bidang pertanian LKTP masakini.
Benih sawit yang dihasilkan dari klon-klon yang bermutu tinggi tidak lagi memerlukan bantuan untuk proses pendebungaan pada peringkat awalnya. Jadi guna tenaga manusia tidak diperlukan lagi diperingkat ini.
Ternyata teknologi kreatif minda yang membawa kemajuan proaktif tidak pula menyebelahi nasib perkerja-perkerja kawin bunga yang mengharapkan sedikit imbalan daripada kerja yang dilakukan. Nampaknya terpaksalah menerima hakikat pro dan kontra yang selari mengimbangi kehidupan ini. Sesuatu yang memberi manafaat kepada satu pihak tidak semestinya bermanafaat juga kepada pihak lain.
Pusat penyelidikan pertanian yang membanggakan kecapaiannyaitu terletak tidak jauh dari tanah rancangan ini. Di Pusat itu juga terletak beberapa buah pejabat LKTP peringkat wilayah yang mengawal pengurusan tanah-tanah rancangan yang telah banyak dibuka di Pahang tengah ini.
“Habismu semua buat kija gapo la ni?”
“Dah tak ada kerja nak buat apa lagi, duduk di rumah sajalah. Tolong mak buat kerja-kerja di rumah…”
Apabila sudah tidak berkerja seperti kebiasaan yang pernah dilakukan mungkin juga akan menimbulkan stres pada jiwa-jiwa remaja. Tekanan perasaan itukah yang menyesakan perasaan Salmiah sehingga menyebabkan kemurungannya? Pendapat orang mengatakan Salmiah terkena sihir guna-guna yang ditujukan orang kepadanya mungkin hanya sebagai penambah kesakitan jiwanya yang sedia terkurung.
Mengapa pula pihak pengurusan tidak memikirkan solusi kepada masalah belia yang banyak menganggur di sini? Misalnya mengujudkan peluang pekerjaan yang berorientasikan perdagangan untuk belia-belia tempatan. Agar jiwa mereka tidak memberontak dan menimbulkan kerusuhan keluarga untuk menangani masalah yang tidak dijangka itu.
Alternatif ke arah memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda ini perlu diteroka. Bukan sekadar menyogokan minda mereka dengan aktiviti sukan dan seni budaya semata-mata.
Aisyah leka sekali menelusuri jalan-jalan maya yang bersimpul aneka persoalan, terentang melalui saraf-saraf yang menjalari mindanya dengan konklusi yang disukainya.
                                               * * *
“Wah…Aisyah pun datang juga…”
“Terpaksalah datang cikgu sebab Murni ni ni beriya-iya mengajak kita ke sini…”
“Eloklah tu, boleh juga belajar tarian inang yang saya sedang ajarkan kepada belia-beliawanis di sini.”
“Tak salah nak belajar cikgu. Tapi kalau nak ikut ambil bahagian dalam pementasan ni memang tak boleh…”
“Kenapa pula tak boleh?” Tanya guru itu dengan sinar cerlang di matanya seolah sedang menerima jawapan daripada murid di sekolahnya. Jawapan yang langsung tidak meyakinkannya. Hanya alasan semata-mata.
“Tentulah tak boleh sebab saya memang tak pandai menari dan tak pernah pun menari sebelum ini cikgu…”
“Belum cuba belum tahu. Baik kita cuba dulu. Mari saya ajarkan awak cara langkahnya…,” ujarnya lunak dan berdiplomasi.  Aisyah ternyata keberatan untuk menuruti saranan cikgu Sayidah. Namun dia tidak mahu mengecilkan hati seorang guru yang pernah berjasa kepadanya di dalam mendapatkan kariernya kini. Merasa sungguh terhutang budi pula. Masakan tergamak hendak menghampakan permintaannya yang kecil itu. Mulai dia menggayakan seperti yang diajarkan itu.
“Kita mulakan begini, angkat tangan kanan dan kaki kiri melangkah. Angkat tangan dengan lembut gemalai…awak ikut seperti yang saya buat ni…”
“Begini ya cikgu! Eh! Tak pandailah…” Langkahnya memang kekok dan kaku kerana dia tidak tahu bagaimana menggayakan sebaiknya. Sayidah dan pelatih-pelatihnya yang ada memperhatikan dengan senyum sumbing akan langkah sumbang yang diperagakan Aisyah. Malu sungguh Aisyah kerana tidak tahu melakukan pergerakan otot anggota yang mudah itu. Wajahnya bera memerah.
Sorrylah cikgu, saya ni memang tak ada bakat menari. Buang masa ja cikgu nak ajar saya. Baiklah cikgu tumpukan kepada mereka yang sudah berlatih ini. Mereka semua ni dah lama belajar sedangkan saya baru nak mula belajar.” Aisyah sudah mengaku kalah. Namun se kurang-kurangnya dia telah mencuba.
“Jadi Aisyah tak mahu belajar menari lagi?”
“Tak apalah cikgu, biar saya jadi penonton saja…”
“Baiklah kalau gitu kita mulakan latihan sekarang. Panggil semua yang terlibat…” Sepasang mata Sayidah menyedari kehilangan seseorang yang menganggotai kumpulan tarian yang dilatihnya.
‘Kemana pula hilangnya budak ni?’
“Murni tak ada ni. Awak nampak dia ke mana Tinah?” Aisyah turut melingaskan matanya diserata pelosok pentas untuk mencari keberadaan Murni.
“Itupun dia. Bersama dengan budak-budak muda yang sedang berlatih kugiran…”
“Pergi panggil dia Tinah. Kita dah nak mula berlatih ni…”
“Biar saya yang pergi panggil dia cikgu,” sahut Aisyah menawarkan khidmat. Aisyah mula mengatur langkah untuk mendapatkan Murni.
Murni begitu asyik melihatkan permainan kugiran yang dianggotai empat orang pemain itu. Mendengarkan alunan suara yang menyanyi seiring dengan petikan gitar dan ketukan drum membuat ia terpesona kerana kemerduannya. Menghayati sungguh.
“Wah asyik sungguhmu mendengar Syamsi menyanyi hinggakan akak yang dah lama di sini punmu tak sedar…” Aisyah menyentuh bahu Murni dengan lembut, membuatkan gadis itu segera berpaling mengadap wajahnya. Terlakar senyumnya yang spontan.
“Iyalah kak. Saya kalau ke sini, sebelum berlatih tarian, mesti nak tengok mereka ni bermain kugiran dulu…”
“Akak tahulah sebenarnyamu tu minat kat sapa…”
“Mana ada. Kak ni pandai-pandai ja nak mengata…”
“Dahlah tu, masamu nak berlatih menari inang dah sampai. Cikgu Sayidah dah tunggumu tu…gi cepat…kot nanti dia mari rotanmu…,” sahut Aisyah dengan bicaranya bercanda dengan tona gurunya yang klise..
“Iyalah saya gi lah ni. Akak tak nak ikut sekali ke?” Murni bertanya begitu kerana dilihatnya Aisyah masih tidak berganjak daripada posisinya.
“Mugilah dulu. Akak nak tengok budak-budak ni bermain muzik semetar. Lepas ni akak gi tengokmu menari pula ya…”
“Iyalah…cepat datang tau…”
Aisyah duduk di atas kerusi yang ditinggalkan Murni itu. Kehadirannya di situ disedari kedua-dua orang kawan baik yang sedang bermain gitar utama dan gitar bass itu. Mereka berpandangan dan saling berbalas senyuman.
Suara penyanyi yang mengalunkan lagu Wajah Kesayangan  Hamba yang dipopularkan penyanyi asalnya Hail Amir telah berhenti. Aisyah yang terkesima sebentar tadi seolah tersedar dari mimpinya. Merdu sungguh alunan lagu yang menyapa deria dengarnya seakan sepadan dengan ungkapan Melayu lama; angin pun berhenti berhembus dan burung-burung yang terbang hinggap di dahan.
Masih terngiang-ngiang di telinganya senikata indah tulisan Chuari Selamat menghayati lagu ciptaan komposer terkenal Ahmad Nawab. Seorang pencipta lagu yang digemari khalayak kini.
Wajah Kesayangan Hamba

Inginku milik kasih ayu jelita
Wajah cantik berseri sinar cahaya
Sopan cantik berbudi bergaya sederhana
manis tutur bahasa ayu mulia.
Rambut panjang terurai bagai sutera
Hias bunga sekuntum tambah jelita
bibir merah delima merdu alun suara
hati tergoda
            Pipi pauh dilayang alis matanya lentik
Sekali mata memandang hati tertawan
Wajahmu mempesona tiada lagi tandingnya
Bagai dewi menjelma datang padaku.
Datanglah wahai pujaan datang padaku
 Lukisan  wajah kasih di ruangan mata
Kalung dirimu sayang dengan cinta nan mesra
Wajah kesayangan hamba kiniku jumpa.

Cepat-cepat dia melangkah meninggalkan kumpulan kugiran yang mencuri tumpuan perhatiannya seketika tadi itu sambil mengirai bait-bait puisi yang menyimpul pelbagai makna menurut pendefinasinya..
Kedengaran bisikan halus di cuping Syamsi.
“Peminat awak tu dah lari Syam…”
“Peminat siapa? Pandailah awak tu…”
“Dulu yang kawan pasti peminat awak sorang saja iaitu Murni. Sekarang nampaknya sudah menjadi dua. Wah! Hebat sekali awak yek… ”
“Siapalah yang teringin nak jadi peminat koi tu Man…” Lemah sekali kedengaran kata balasnya.
“Awak ni tak nampak ke tadi tu. Atau saja-saja awak buat tak nampak?”
“Koi ni bila dah menyanyi, lupa dunia. Langsung tak nak apa lagi…,” ujarnya bersahaja. Namun tetap ada firasat yang terselindung di sebaliknya.
“Iyalah tu…tak payahlah nak kelentong kawan Syam…kawan ni bukannya baru dua tiga tahun umurnya…”Sengihnya melebar namun sinis.
“Boleh jadi cikgu tu minat dengar petikan gitar bass awak tu kot, mana tahu kan. Minat seseorang tu berbeza-beza. Kita tidak boleh pukul rata setiap orang yang datang melihat persembahan kugiran tu hanya minat nak dengar suara penyanyi saja…”
“Itu kawan tak pasti pula. Tapi yang kawan nampak cikgu tu ralit sangat mendengar awak menyanyi dan perhatiannya hanya tertumpu pada awak saja…”
“Iyakah? Untungnya koi. Rupanya koi ni ada peminat juga yek?” Dan dia mula membayangkan lirik lagu yang indah dan puitis itu bertepatan sekali dengan interpretasi gadis yang diimpikannya itu. Hanya dirinya yang memahami perasaannya. Dan merasakan gejolak yang menggeloranya.
“Dahlah tu jangan nak perasan lebih-lebih pula…” Bicara antara kedua-duanya terhenti pula. Syamsi mula memusing tali gitarnya yang mula kendur dan memastikan tune tidak lari. Sedangkan Imran meneliti susunan lagu yang ditulisnya dan telah dirancangkan untuk persembahan pada malam pementasan yang telah ditetapkan nanti.
“Koi teringat pula kata-kata Murni sebentar tadi…” Suara Syamsi mendesis perlahan.
“Tentang Salmiah. Kan tadi dia beritahu kita keadaan Salmiah yang sakit…” Arman terkedu. Hatinya sendu dan sesal tiba-tiba yang menjengah rasa mengenangkan seorang gadis yang pernah sangat dikasihinya kini terlantar sakit. Sakitnya pula bukan sakit biasa. Tetapi penuh dengan misteri.
“Kesian Salmiah…”
“Setakat kesian saja…,” balas Syamsi sinis.
“Habis awak nak suruh kawan buat apa?”
“Koi pun tak tahu nak suruh awak buat apa. Tapi kalau awak tak tinggalkan Salmiah dan berpaling kepada Jamilah, koi rasa tentu Salmiah tak jadi begitu…”
“Itu pendapat awak saja. Awak tak boleh nak salahkan kawan pula. Nasib masa depan kita bukan sepenuhnya di tangan kita.”
“Itu memang koi tahu. Kerana wajib percaya dengan qado’ dan qadar Tuhan sebagai Muslim yang beriman…”
“Tahupun awak. Habis janganlah salahkan kawan pulak…”
Arman termenung sejenak. Seolah fikirannya didatangi ilham yang menyuruhnya melahirkan sesuatu yang terbuku di kalbunya.
“Sebenarnya apa masalah Salmiah hinggakan tiba-tiba saja dapat sakit begitu?” tanyanya ragu. Kepadanya Salmiah itu seorang yang amat tegar semangatnya. Walau dia pernah mengecewakan dan melukakan perasaan gadis itu namun dilihatnya dia biasa saja. Tidaklah terlalu bermuram durja. Apa lagi bermurung. Itu pada pandangan mata kasarnya. Tetapi apa yang terselindung di sebalik sanubarinya, ia tidak mungkin tahu.
“Entahlah koi pun tak pasti. Tak berani pula nak menuduh tanpa bukti…”
“Ikutkan cerita Murni katanya terkena sihir guna-guna…”
“Mungkin betul juga. Kita tak boleh nak pertikaikan keujudan perkara mistik hanya semata-mata kerana kita tidak tahu. Allah juga ada menceritakan tentang kisah-kisah sihir di dalam al-Quran. Kalau awak rajin baca tafsir al-quran, awak akan jumpa.”
“Siapalah yang tergamak sihirkan gadis sebaik Salmiah itu?”
“Awak tak dengar apa Murni ceritakan tadi?”
“Masa Murni bersembang dengan awak, kawan ke bawah pentas bertemu dengan cik Halim.”
Syamsi terangguk-angguk mengiyakannya. Di simpan dahulu hasratnya hendak bertanya tentang pertemuan yang berlaku antara Arman dan pegawai LKTP itu. Dan dia memulakan cerita yang hendak diketahui temannya itu.
“Konon ceritanya ada rombongan lelaki yang datang meminang Salmiah. Tapi Salmiah menolaknya. Sehari selepas itu Salniah terus jadi tidak keruan. Murung. Kadang-kadang sifatnya macam orang hilang akal. Menjerit, menangis, ketawa tak tentu kalu (sebab).”
“Macamana pula boleh tahu Salmiah terkena sihir?”
“Orang kita bila dah sakit tentulah mereka cari ubatnya kan. Nak dapatkan ubat kenalah jumpa pengubatnya, tok bomoh…,” balas Syamsi menjelaskan.
“Semua tok bomoh yang mengubat Salmiah kata Salmiah kena sihir buatan orang ke?”
“Agaknyalah. Koi pun tak ambil tahu sangat…”
“Siapa yang meminang Salmiah tu?”
“Kawan kita tu lah. Kawan yang suka cari pasal di tempat kita ni. Apa saja masalah yang timbul, memang dialah penyebabnya…”
“Budak tu ke? Patutlah Salmiah tolak…,” sahutnya lemah seolahnya turut menyetujui tindakan Salmiah. Meski gadis itu mungkin terkena bahana akibat keputusannya yang berani itu.
                                                            
                                           

4 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 32...SAMBUNGAN."

acik idah delete icon 25 Ogos 2014 1:15 PTG

Salam Isnin kak paridah... :)

Kakzakie delete icon 25 Ogos 2014 1:54 PTG

Tiba-tiba kakak pun teringatkan Faizl juga. Macam mana pembelajarannya di USA. Entah ingat lagi entahkah tidak dgn Aisyah..

Salmiah pula masih macam itu kesian...

paridah delete icon 25 Ogos 2014 9:33 PTG

salam isnin idah...tq

paridah delete icon 25 Ogos 2014 9:36 PTG

cerita faizal akan menyusul dlm bab berikutnya tika beliau pulang bercuti...terima kasih kakzakie sudi ikuti novel ni..

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”