بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 ASSALAMUALAIKUM....
                                                   

                                                  BAB 31.
                                           Malang tidak ditempah.
 
            Salmiah terbaring di tempat tidurnya. Matanya merenung polos hingga menjengah alang atap rumahnya yang kosong tanpa siling. Kadang kala ia tersenyum. Entah apa yang mengusik mindanya hingga membuatkan terlakar senyum manis menyeri bibir pucatnya. 
Kadang kala tertawa dengan kikihan yang perlahan. Seolah terlalu tergeletek perasaannya kerana mengenangkan sesuatu. Ada ketikanya kedengaran dia bercakap-cakap tanpa butiran yang pasti untuk difahami. Wajahnya kusut. Sirna daripada keceriaan yang pernah menyerikannya tika keriangan melalui detik hidupnya.
 Semua tindak tanduknya langsung tidak memberi respons kepada ahli keluarganya. Membiarkan saja ia dengan kerenahnya. Masing-masing tidak mahu peduli lagi. Apapun yang mahu dilakukan gadis itu dengan dirinya tidak lagi menjadi persoalan.
            Suatu ketika dahulu ibunya dan ayahnya sangat keterkejutan melihatkan dirinya yang histeris tiba-tiba. Meracau sambil menjerit-jerit dan menimbulkan kekalutan yang tidak dijangka. Segala ikhtiar yang mampu difikir, diusahakan untuk menenangkan gadis yang kononnya tersampuk dengan hantu jembalang  itu.
Jembalang tanah itu merasuknya tika dia sedang leka bersembang dengan kawan-kawannya di atas sebuah busut setelah usai kerjanya mengawin bunga. Itu kata seorang bomoh yang di jemput ayahnya untuk mengubati sakitnya yang misteri itu dari kampung tradisi yang berdekatan.
Kata seorang bomoh yang dijemput dari perkampungan orang Asli untuk mendapatkan khidmat perbomohannya pula: Salmiah di rasuk jin yang dihantar seseorang yang ditolak hasrat hatinya kepadanya selama ini.
Segera terpacul di laman minda kedua-dua ibu bapanya bahawa apa yang dikatakan tok batin dari kampung Jera itu memang releven juga. Kerana baru-baru ini sebuah rombongan peminangan daripada pihak lelaki telah datang merisik Salmiah.
Namun Salmiah berkeras hati menolaknya lantaran lelaki yang meminangnya itu sangat dibencinya. Langsung tidak berkenan hatinya untuk menerima peminangan daripada ‘kacang hantu’ yang selama ini dimusuhinya dalam diam itu. Demikian yang diberitahu kepada kedua ibu bapanya sebab-sebab penolakan peminangan itu.
Kedua-dua ibu bapa yang sangat sayangkan anak perempuan mereka itu menurut saja apa kata Salmiah. Lagipun sudah menjadi kebiasaan kepada seseorang yang perlu berhadapan dengan hakikat peminangan yang diajukan sama ada diterima atau ditolak. Bukanlah perkara ganjil. Mereka tidak pernah pun terfikir ‘kacang hantu’ yang dikatakan Salmiah itu akan bermain hantu pula.
Sudahnya kehidupan Salmiah kini menjadi tunggang-langgang, haru-biru angkara gangguan syaitan setelah beberapa hari saja ekoran dari penolakan peminangan itu. Namun hendak mendakwa dan menuduh pelakunya ke pengadilan di mahkamah tentu tidak dapat dilakukan lantaran tidak ada bukti-bukti tertera yang mengesahkannya.
Setakat berdoa dan memohon kepada Allah Subhanhu Wata’ala sahaja yang mampu dipanjatkan. Memohon kesembuhan jiwa Salmiah dengan izin-Nya. Sekian banyak bomoh yang dipanggil untuk mengubati penyakit kronik Salmiah itu tidak berjaya pula menemukan penawarnya. Hanya sibuk dengan ramalan menelah penyakit Salmiah itu gara-gara perbuatan orang itu dan ini.
“Dah lama kah keadaan Salmiah sebegini?”
“Lama juga. Dekat se bulan dah. Begitulah keadaannya tidak berubah-ubah…”
“Kak ni baru saja dapat tahu. Kalau tidak dah lama kak ni mari jenguk Salmiah. Tak siapa beritahu ko kak…” Hanisah memang amat maklumi kebiasan sifat komuniti di sini akan menyembunyikan setiap perkara buruk yang dialami mereka dan ahli keluarga daripada pengetahuan orang lain untuk mengelakan rasa malu dan rendah diri. Namun dia amat memahaminya.
 “Banyak-banyaklah bersabar Zai. Banyakkan solat hajat, mohon kepada Allah kesembuhan Salmiah. Allah sebenarnya sedang menguji kekuatan iman kita terhadap-Nya Zai…,”ujar isteri seorang imam dengan lunak lagi prihatin.
‘Kalau tak kena kepada batang hidung sendiri memanglah senang bercakap.’Zaimah bergumam dengan senyum tawarnya yang hambar.
“Entahlah kak nak kata apa lagi. Sudah banyak bomoh yang dipanggil untuk mengubatnya. Tapi keadaannya tetap juga tidak berubah-ubah. Entah ikhtiar apa lagi yang hendak dibuat. Dah tak tahu saya nak fikir kak…,” sahut ibu itu lirih menahan rasa sebak di dadanya mengenangkan penderitaan jiwa anak gadisnya itu.
Malang sekali nasib anak gadisnya itu padanya. Dulunya dihebohkan orang sedang asyik bercinta dengan Arman, mandur di tempatnya berkerja kahwin bunga itu, tiba-tiba terdengar pula khabar bahawa Arman telah bertunang dengan Jamilah.
Hatinya menjadi sebu memikirkan kekecewaan perasaan yang ditanggung anak gadisnya. Dan tertanya-tanya kenapa pula terjadi sedemikian rupa. Selama ini dia hanya mengharapkan perhubungan Salmiah dan Arman akan berakhir di jenjang pelamin dalam suasana penuh kemeriahannya. Harapannya berkecai. Apatah lagi Salmiah yang terus disapa kemurungan setelah insiden itu.
Apalah salah anaknya itu sehingga teraniaya begitu rupa. Baru saja dia hendak melupakan Arman yang menghancurkan hatinya, kini diuji lagi dengan masalah yang teramat berat untuk diterimanya. Kasihan sungguh Salmiah. Renungan kolam matanya yang jernih menyeluruhi wajah anaknya yang pucat tidak bermaya.
“Aisyah buat apa mak cik? Dah lama saya tidak berjumpa dengannya…” Suara itu menerjah suasana dan membingungkan pendengarnya.
“Syah ada di rumah. Dia sibuk dengan kerja barunya hinggakan takdan dia nak mari jengukmu Sal…” Salmiah bertutur fasih dengan susunan ayat yang teratur seolahnya dia tidak mengalami sebarang gangguan jiwa. Keliru pula Hanisah dengan sikapnya. ‘Elok saja dia bercakap, macam orang tak sakit pun.’
“Salmiah ni kalau masa dia ingat, eloklah dia bercakap macam biasa saja. Kalau datang anginnya tak daya kita nak mengawalnya. Habis semua barang-barang di dalam rumah disepahkannya. Dibalingnya merata tempat yang dia suka. Yang sangat merisaukan saya tu dia ni suka membuka pakaiannya. Panas katanya. Kalau dibuatnya dia lari keluar dengan tidak berpakaian tentulah malu sungguh saya. Tak tahu mana nak letak muka ni. Itu yang saya langsung tidak boleh hendak kemana-mana lagi. Hanya duduk dirumah menjaga dia saja…” Zaimah menerangkan kondisi sebenar diri anaknya itu.
Hanisah menepuk-nepuk bahu Zaimah perlahan. Hatinya turut merasakan kesusahan yang ditanggung kawannya itu dalam menguruskan anak perempuan yang bermasalah mental secara tiba-tiba. Siapalah yang mahu musibah menimpa anak-anaknya. Seorang ibu hanya mengharapkan anak-anak yang dilahirkannya memperolehi keberuntungan hidup di dunia dan di akhirat kelak. Bukan sebaliknya.
Jikalau sudah sedemikian yang tertulis menjadi suratan di dalam kitab-Nya masakan hendak disesali saja. Seorang ibu itu wajar tegar jiwanya menghadapi apa saja masalah yang ditimbulkan anak-anaknya selain berharap Allah akan menurunkan rahmat berhikmah di sebalik musibah yang ditimpakan ke atasnya.
Dan demi mengingati itu Zaimah tidak pernah berputus asa memanjatkan doa di dalam solat hajatnya berulangkali dengan doa yang serupa. Mudah-mudahan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu akan mengabulkan doanya itu suatu ketika kelak.
“Kak dah lama di sini ni biarlah akak berangsur dulu ya Zai…” Izin pamitan dipohon meski ternyata tidak perlu berbuat begitu.
“Iyalah kak…terima kasih banyak-banyak sebab sudi datang menjenguk Salmiah…”
“Jangan cakap begitu Zai…kita kan hidup berjiran se kampung. Apa-apa kesusahan yang berlaku pada jiran-jiran kita wajarlah kita tolong selagi mampu. Kalau tak dapat menolong dengan ringgit setakat pertolongan kecil macam kak beri ni pun memadai…”
‘Hanya itu yang daya kulakukan Zai iaitu turut merasai kesusahan yangmu rasa. Ya Allah ya Tuhanku aku memohon sungguh-sungguh terhadap-Mu. Janganlah kau timpakan bencana yang serupa terhadap diriku dan anak-anakku kerana aku tidak terdaya hendak menanggungnya. Jesteru kau hindarilah semua musibah yang tidak kuingini itu daripada terjatuh di lorong hidupku…amin. Aku amat memohon belas ihsan-Mu agar Kau memulihkan Salmiah daripada penderitaannya. Ampunilah segenap dosa dan kesilapannya. Hanya pada-Mu hamba-Mu ini mengharapkan rahmahnya. Amin …amin ya Rabbulalamin… ”                                  
Ibu itu meraup wajahnya dengan kedua-dua tangannya; menapak pulang membawa hatinya yang duka lagi sesal mengenangkan nasib Salmiah yang malang. Tidak disangka olehnya gadis seayu dan sebaik Salmiah akan menjadi mangsa kezaliman sikap manusia yang tidak berhati perut.
Dia bertekad akan menunaikan solat hajat memohon kepada Allah akan kesembuhan Salmiah walau tanpa diminta keluarganya atau sesiapa.Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan niat setiap hamba-Nya itu. Lebih ramai yang berdoa memohon kesembuhan Salmiah tentulah lebih baik. Mungkin Allah tidak memakbulkan doa orang ini tetapi memperkenankan doa orang yang tiada mengena langsung dengan dirinya.

                                             *  *  *

“Mak ni mari mana? Nampak lesu ja…mesti berjalan jauh ni…” Hanisah menyangkutkan selendang yang dipakainya di tali. Tali rapia itu telah lama terikat di penjuru biliknya yang digunakan buat menyangkut pakaian yang belum mahu dibasuh lagi. Tidak dipedulikannya sapaan anaknya itu.
“Mak ni kita tanya pun mak tak jawab. Mak murih ko kita ko…” Aisyah bangun dari kerusi yang didudukinya dan segera mendapatkan emaknya yang kini sudah berada di dapur. Hatinya cuak memikirkan tingkah laku emaknya yang tidak mempedulikannya itu. Tidak boleh dibiarkan apa yang menghantui benaknya itu dan dia perlu bertanya untuk mengetahuinya.
“Bakpo pulak nak murih komu. Takdok pasalnya. Mak memang penat sikit. Sebab tadi berjalan ke rumah Salmiah di peringkat dua...”
“Rumah Salmiah tu kan jauh…kenapa mak tak suruh Sani hantar dengan motor?”
“Motor mana ada. Kan ayahmu bawa gi sembahyang asar di masjid. Basikal ada la. Mak taksir naik basikal, baiklah mak jalan kaki. Kalau penat pun takpo asalkan selamat…” Aisyah tersenyum mendengarkan kalimat seorang ibu yang phobia kerana terjatuh daripada basikal yang dinaikinya bersama dengan Sani anaknya tika ke kebun sawit dulu. Justeru ibunya itu menjadi trauma.
“Mak ni tak habis-habis takut dengan basikal. Sani tu dah besar mak. Dia larat kendong mak dengan basikalnya. Tak jatuh punya…”
“Itu katamu. Mak ni yang rasa, mak tahulah…”
“Iyalah tu saya tahulah mak tu takut naik basikal…”
Hanisah sibuk menyelongkar sesuatu dari gerobok di dapurnya.
“Mak nak buat apa lagi tu?”
“Nak buat apa lagi? Nak masaklah weh…mutu mak tahu dah mesti tak masak nasi lagi untuk makan malam. Sibuk ja dengan kija sekolahmu…” Tersengih saja Aisyah menerima tempelakan ibunya yang bersahaja itu. Sebenarnya bukannya terlalu banyak pun tugasan sekolah yang perlu dibereskannya.
Setakat hendak menenggekan periuk nasi di atas dapur minyak, tentu boleh saja dilakukannya. Hanya dia yang tidak mahu menyusahkan dirinya. Biar saja ibu kesayangannya itu yang akan menyempurnakan tugasan suri rumah seperti kebiasaannya.
Periuk nasi sudah berada di atas dapur minyak. Apinya berurna biru sedang menyala perlahan.
“Mak marilah duk sini semetar, kita nak tanya ni…” Hanisah memperhatikan api yang menyala dari dapurnya. Nampaknya perlu diperlahankan lagi nyalaannya sebelum ditinggalkan sebentar, menurut firasatnya. ‘Apa pula mahunya budak tu…mengganggu kija aku saja…’
Langkahnya diatur pantas mendekati anaknya yang tersengih saja menyapa rona wajahnya yang mencuka.
“Mu nak tanya apa pulak? Haa…tanya cepat. Lambat-lambat kang melimpah pula air beras kalau dah mendidih…”
“Mak ni sabar gak semetar. Jangan ikutkan rasa penat mak tu. Duduk dulu sini, tenangkan perasaan…”
Hanisah menarik kerusi untuk duduk bersebelahan Aisyah yang mulai menolak kertas dan buku-bukunya ke pinggir meja.
“Apahalnya mak ke rumah Salmiah? Bila balik saja dah jadi macam orang hilang akal. Apa yang tak kenanya mak?” Tanya Aisyah lantaran sikap kelainan yang diperlihatkannya luar dari kebiasaannya. Ibunya itu seolah membekam perasaan yang menekan jiwanya.
“Mutak tahu kenapa mak ke rumah kawanmu dulu tu? Bukan saja-saja mak nak pergi berjalan, bertandang kalau tak bersebab. Tentulah mak gi menziarahi orang sakit…kesian sungguh…”
“Hah! Sapo yang sakit? Mak Salmiah atau ayahnya?”Aisyah bertanya dengan riak keterkejutan di wajahnya.
“Muni saja-saja bertanya atau memang sebenarnyamu tak tahu?” Ibu itu menjegil anaknya dengan retina matanya membulat.
“Mak ni kita tanya tu tentulah sebab kita tak tahu…”
“Mu tak tahulah kawanmu Salmiah tu yang sakit? Mu tak dengar orang-orang dok kecek…”
“Tak!…apa sakitnya?”
“Hmm…betullahmu ni. Langsung tak ambil tahu apa yang berlaku di sekelilingmu. Gamaknya sampai kawanmu tu dah mati punmu tak ambil tahu…”
“Isyh mak ni kecek lagu tu pulak…”
“Iyalah gak. Asyik sibuk ja dengan kijamu tu…”
“Kija kita, kenalah kita kena bagi sepenuh tumpuan. Mak fikir senang ko nak ngajar anak-anak orang supaya menjadi pandai…susah tau…”
“Orang lain tu ramai juga yang menjadi cikgu tapi ada juga masanya nak berdunia dengan orang. Ini sampai tak ambil tahu langsung…”
“Kita bukan tak ambil tahu langsung mak. Tapi kisah Salmiah itu terlepas daripada pengetahuan kita…” Sahut Aisyah bertegas dengan kenyataannya demi mengelakan persepsi negatif emaknya terhadapnya.
“Mak tolonglah ceritakan apa sebenarnya sakit Salmiah tu…” Hanisah tidak tahu pula bagaimana hendak menghuraikan pertanyaan anaknya itu; lain pula jawapan yang diberinya.
“Tadi Salmiah ada juga bertanyakanmu…”
“Iya ko?”
“Iyalah…dia tentu hairan kenapamu kawannya tak datang menjenguknya. Padahaldia sedang sakit. Dulu gi kija kawin bunga sama-sama, gi main bola jaring sama-sama, ini bila sakit terlantar sorang diri. Sapa pun tak gi kelih.”
“Habis mak kato gapo?” sahut Aisyah dengan rasa serba salah gara-gara perasaannya menghukumnya kerana kesilapan yang tidak tersengaja.
 “Mak pun beri alasanmu sibuk sangat dengan kijamu. Terpaksa pula mak bohong. Yang sebenarnyamu langsung tak tahupun dia sakit kan…?”
“Iyalah kita memang tak tahu. Kalau kita tahu tentu kita dah pergi menziarahinya dengan Murni.” Aisyah menikam pandangan emaknya bersalut persoalan.
“Gamaknya Murni pun tak tahu Salmiah sakit kot. Kalau dia tahu tentu dia dah ajak kita menjenguk Salmiah…,”tambahnya kemudiannya.
“Boleh jadi juga Murni pun tak tahu cerita Salmiah tu. Sebab la ni dia sibuk dengan latihan pementasan kebudayaan yang nak diadakan di sini tidak lama lagi…”
“Gamaknyalah tu…”
“Tapi apa sebenarnya sakit Salmiah tu mak…?”
“Kata orang-orang, gila terkenakan ilmu sihir buatan orang…”
“Iya ko? Macam tak logik ja…”
“Tak logik ko tak munasabah ko mak tak tahu tapi ramai yang dok kecek lagu tu…” Aisyah terkedu sejurus. Entah apa yang merasuk benaknya sehinggakan ketara wajahnya menjadi keruh dan layu. Kesayuan hatinya menguasai segenap jiwa raganya.
“Kasihannya Salmiah, sampai begitu teruk sekali sakit yang dihidapinya. Elok-elok segar bugar macam biasa tiba-tiba dah sakit pula.”
“Dah nak buat macam mana, kita ni bukannya tahu nasib masa depan kita. Tapi mak harap dan berdoa sungguh-sungguh, anak perempuan mak yang sorang ni tak terima nasib lagu tu. La ni mak dok susah hati fikirkan nasib mu kedepan ni lagu mana pulak…”
‘Terima kasih banyak-banyak atas doa mak itu. Kita ni hanya boleh berdoa dan berharap mak. Tapi siapalah gamaknya yang sanggup menganiaya Salmiah itu…sungguh kejam sekali manusia itu.’

10 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 31 SAMBUNGAN..."

babYpose delete icon 18 August 2014 at 10:28

kadang terfikir juga yang tak suķa yang datang kan..

paridah delete icon 18 August 2014 at 11:34

benar tu ujian hidup sebenarnya kot...tq babYpose.

Kakzakie delete icon 18 August 2014 at 14:17

Org dulu-dulu suka melakukan sihir seperti cerpen ini kan.
Apa yg hairan mengapa pergi hantar pinangan kepada org yg dah sah-sah tak sukakan dia..
Bila tak dpt siap buat kerja ini semua. Walau cerpen tapi boleh dijadikan renungan...

paridah delete icon 18 August 2014 at 15:41

bukan org du;u2 saja kot
sihir tu amalan syaitan terkutuk sejak lama dahulu...tq kakzakie...

media2give delete icon 19 August 2014 at 13:01

klo membahas ttg cinta memang tak pernah habis ceritanya..
kunjungi balik ya :)

okutan48 delete icon 19 August 2014 at 13:02

saat ujian cinta datang,kita hanya bisa bersabar dan ikhlas
visit back ya..

Ione Nasition delete icon 19 August 2014 at 21:12

jadi penasaran kelanjutannya, siapakah tega melakukannya?

paridah delete icon 19 August 2014 at 21:48

tq media2give..benar tu..

paridah delete icon 19 August 2014 at 21:50

begitulah hendaknya...tq okutan48

paridah delete icon 19 August 2014 at 21:52

wan minat novel juga ya..ikuti sambungannya...tq Ione Nasition.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”