بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...


Bab 30                                       
Haluan baru.
                                               
Aisyah mengalamun lagi. Kali ini di bawah pohon kuini yang merendang di belakang dapur rumahnya. Gadis itu sendirian sambil tangannya memegang majalah hiburan terbitan terkini. Majalah yang memuatkan seribu satu cerita perkembangan artis negara masakini tidak langsung melekakannya daripada masalah yang menyarati mindanya.
‘Apa lagi yang hendakku buat ini. Jemu sungguh. Tiada kabar yang ku harapkan menjelang tiba. Tentunya harapan yangku pertaruhkan telah kecundang. Tiga bulan setelah keputusan peperiksaan diumumkan telah berlalu. Masa yang ditetapkan untuk aku menerima jawapan pasti telah habis. Aku perlu terima hakikat bahawa penantianku sia-sia kerana tiada langsung khabar yangku terima mengenainya.
Ah! Apalah yang hendak kau rungsingkan lagi Aisyah? Terimalah hakikat bahawa kau tidak layak dipilih untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Habis? Kalau aku tak perlu runsing memikirkannya, apakah yang harusku buat? Berikanlah aku ilham ya Allah agar hamba-Mu ini dapat memutuskan yang terbaik untuk jiwa dan ragaku ini…
Patutkah aku menerima tawaran abang Z demi merealisasikan cita-cita yangku pendam ini. Duit simpananku rasanya cukup untuk digunakan buat bayaran pendaftaran masuk di sekolah swasta di KB. Aku tidak perlu membuang masa duduk di sini lagi. Cita-citaku itu harus dikejar agar ia tidak lari jauh meninggalkan aku.
Apapun yang hendakku lakukan, aku perlukan izin daripada kedua ibu bapaku. Tidak boleh bertindak seolah aku ini yatim piatu.’
“Kak Syah di sini rupanya…ini kak Murni datang nak jumpa kak Syah…”
Aisyah terkejut sungguh tatkala bahunya disentuh seiring dengan ucapan itu. Bahunya bergegar dan jantungnya deras berlomba. Dia menarik nafas dan melepaskannya agar dirinya lega serta jiwanya nuteral daripada kekagetan.
“Hanif ni mengejutkan kak Syah betul. Jangan buat lagu tu takut nanti kak Syahmu mati terkejut. Kalau kak Syahmu mati, Hanif tak ada kak Syah lagi tau…” Hanif terkapa-kapa dimarahi kakaknya; tersengih saja mendengarkannya. Sama sekali dia tidak menduga kakaknya itu berespons begitu menerima sentuhan dan sapaannya. Niatnya tentulah tidak seperti yang diomelkan kakaknya itu.
Dia merasa bersalah pula lantas lari meninggalkan Murni dan Aisyah kerana bimbangkan perbuatannya tadi akan memberi akibat yang tidak diingininya. Mana tahu kalau-kalau kakak yang disayanginya itu akan memiat telinganya pula lantaran kenakalan yang tidak disengajakannya. Namun anak kecil itu tahu kakaknya itu tidak akan memperlakukannya seperti  yang sering dilakukan abangnya Sazali terhadapnya setiapkali abangnya itu memarahinya.
“Kak Syah buat apa termenung di sini? Sedang mengingatkan orang tersayang yang jauh di luar negeri tu ya…?” Suara Murni memulai bicara dengan ritma usikan.
“Tak adalah Murni. Buat apalah nak mengenangkan orang yang jauh di mata. Belum tentu lagi orang yang dikenangkan itu akan mengingatkan kita…”
“Hai macam kecewa sangat bunyinya…” Tawar dan hambar senyuman yang tertera di bibirnya. Mungkin hatinya merasa terkilan kerana belum lagi menerima balasan surat daripada ‘orang jauh’ yang dimaksudkan Murni itu.
“Tak adalah…apa pula yang nak dikecewakan. Agaknya sudah begitu nasib diri…”
“Dah… jangan nak menyesali nasib pula…tak baik tau…saya datang ni bawa khabar baik yang akan merubah nasib kak Syah…,” tutur Murni dengan kesungguhan meriak di wajah. Aisyah tersenyum lebar mendengarkannya. Lantera kejoranya bercahaya. Teruja sungguh.
“Kan dah tersenyum dia. Baguslah begitu. Tidaklah hanya duduk bermurung durja, mengelamun memikirkan yang bukan-bukan di belakang rumah yang dekat dengan hutan ni…dibuatnya dari dalam tu keluar binatang buas yang tiba-tiba menerkam, kan ke susah…”
“Iyalah tu…sebenarnya khabar apa yangmu bawa ni…beritahulah cepat…?”
“Sabarlah…saya pun penat juga…nak menarik nafas dan berhenti rihat sekejap dulu…” sahut Murni acuh tak acuh.
Sorry ya…akak ni macam mendesak pula. Mu duduklah atas kaus panjang ni…biar akak berdiri pula…” Aisyah menarik tubuh kerdil Murni agar menempati kerusi yang membenamkan tubuhnya tadi sedang dia mengalih kedudukannya agar dua tubuh mampu mengisi kaus panjang itu dengan selesa sebelum dia berdiri.
“Akak nak ke mana pula? Duduklah di sini. Badan saya ni bukannya besar tong, jadi muat akak nak bertenggek di sini…”
“Mu nak suruh akak bertenggek saja ya…tak payah…biar akak bersandar di pohon kuini ni…” Pohon kuini yang tegak merendang itu sebentar lagi akan menerima tamu yang bakal duduk di banirnya dan menyandar di badannya.
Aisyah merenungi temannya tajam. Mengharapkan akan terpacul khabar yang kononnya mampu merubah nasibnya itu dari mulut Murni dengan segera..                                          “Wah! Lega sungguh dapat duduk melunjur di atas kaus panjang ni ya…patutlah akak selesa sekali di sini sampai tak sedar kedatangan saya tadi…”
“Legalah juga…dapat relek petang-petang begini sambil dibelai angin yang bertiup dikelilingi panorama yang menghijau. Tanpa ada gangguan daripada sesiapa…”
“Maksud akak tu kadatangan saya ni menganggulah ya…kalau macam tu biarlah saya balik dulu. Saya pun malas nak mengganggu orang lain yang sedang mencari ketenangan jiwa…”
“Mu ni akak kecek lagu tu pun mu nak terasa hati. Akak tu tadi ceritakan hal akak. Bukan akak maksudkanmu dah ganggu ketenangan akak…”
Aisyah berusaha memerikan perihal sebenarnya agar temannya itu tidak salah tanggapan maksud sebenar yang tersirat disebalik pengucapan jujurnya.
‘Khabar yang hendak disampaikan belum pun dicerita dah dia nak balik pula. Melampau betulmu ni Murni.’
“Macam mana? Mu dah hilang semua penat lelahmu sebab membawa khabar yang berat untuk akak…”
“Khabar tu memanglah tak berat. Tapi saya yang kepenatan sebab terpaksa berjalan kaki ke rumah akak…”
“Kenapamu tak naik motor ja? Ayahmu kan dah beli motor baru…”
“Belum sempat lagi belajar bawa motor baru. Ayah saya pun bukannya ada masa nak ajar saya naik motor. Sebab dia sibuk ke hulu ke hilir dengan motorsikal barunya. Macam banyak sangat urusannya pulak…” komen Murni tentang sikap ayahnya yang jelas tidak disenanginya.
Itu adalah fenomena baru yang sedang berlaku kini. Semenjak masing-masing yang bergelar peneroka di sini telah memperolehi hasil dari kebun sawit yang dikerjakan dengan perih jerih selama ini, mereka mulai melakukan perubahan di dalam kehidupan mereka disamping mempermudahkan kehidupan yang dulunya susah. Walau perubahannya terlalu kecil berbanding dengan pengorbanannya melestarikan kehidupan di sini yang penuh sengsara selama ini.
Masing-masing mahu menukar gaya hidup agar lebih bersifat orang yang tidak janggal dengan ketamadunan. Tidak lagi mahu digelar orang hulu yang terbuang ke tengah belantara kerana kemiskinan.
Kini mereka yang menolak perancangan kerajaan persekutuan untuk memajukan rakyat marhaen yang papa tidak bertanah mulai membuka mata setelah kejayaannya terbentang nyata.
Apalagi sebilangan perserta awal yang telah lari meninggalkan tanah rancangan sebelum hasilnya sempat dinikmati tentulah berputih mata menanggung kekecewaan. Ternyata apa yang dilakukan itu tidak membawa sebarang perubahan di dalam kehidupan mereka. Malah terus berada di takuk lama. Iaitu kekal miskin.
“Pak imam pun dah beli motor baru nampaknya, kak Syah tak belajar bawa ke?”
“Belum belajar lagi. Tapi Sazali dan Hasani dah pandai menunggangnya. Kak Syah tu rasanya tak berapa nak berani…” Ucapannya terzahir lemah.
“Takut jatuh ya…” sahut Murni dengan sengih mengusik.
“Takutlah juga. Jatuh kan ke sakit…”
“Kalau takut sakit, alamatnya tak pandailah kita…” tambah gadis yang dikenali dengan sifatnya yang tegar lagi berani menempuhi apapun cabaran yang melintang demi memenuhi keinginannya.
“Tak payahlah nak mengata akak Murni, mu pun bukannya pandai lagi bawa motor…”
Murni tersengih saja apabila Aisyah menuturkan komen begitu. Memanglah betul pun. Lantaran dia juga baru berangan-angan untuk belajar menunggang motorsikal, sedangkan ayahnya yang diharapkan menolong menunjuk ajarnya tidak berkesempatan lagi kerana teramat sibuk dengan urusan sehariannya.
“Saya tadi ke rumah kak Salimah. Kak Salimah pula ajak saya ke rumah pengurus. Dia ada hal sikit dengan pengurus tu. Entahlah apa halnya. Saya pun malas nak menyibuk bertanya. Sedang dia leka berbual dengan cik Idham saya duduklah bercerita dengan cikgu Sayidah.
Kata cikgu sekarang ni sekolah di tempat kita ni ada kekosongan jawatan guru sementara. Jadi dia suruhlah akak pohon. Katanya akak perlu tulis surat permohonan jawatan kepada guru besar. Insya-Allah saya rasa akak akan diterima menjadi guru. Sebab cikgu Sayidah yang rekomenkan akak pada guru besar untuk jawatan tu. Hebatnya akak ya…tak lama lagi bakal jadi cikgu pula…”
“Sungguh ko Murni?” Aisyah keseronokan mendengarnya. Terasa kepadanya perkenalannya dengan cikgu Sayidah di majlis Maulidur Rasul tidak sia-sia. Malah mendatangkan keberuntungan pula.
“Sungguhlah…akak fikir saya main-main ka…buat apalah nak main-main pulak…”
“Bagus juga ya…tak salah nak cuba pohon. Manatahu kot ada nasib, dapatlah kija tu…tak payah fikir nak balik kampung semula…”
“Tak payahlah balik kampung lagi. Duduk saja di sini. Dapat juga saya berkawan dengan akak…”
“Mu kecek macamlahmu selama ini tak berkawan selain akak. Kan ada Salmiah, Hasanah dan ramai lagi. Termasuklah cik Salimah dan cikgu Sayidah tu…”
“Memanglah betul kata akak tu. Kawan-kawan saya tu ramai tapi kawan yang saya seronok sangat berkawan cuma akak sorang…”
“Iya ko?”
“Iyalah…” sahut Murni yakin. Lantas dirangkulnya teman yang telah berdiri di sisinya itu dengan mesra. Tangannya membelai rambut panjang mengurai gadis itu dengan kekaguman. Mahkota diri gadis itu terjaga rapi kerana kelihatannya sangat segar dan berseri menambah keelokan paras rupanya. Terkesima setiap kali ia menatap kejelitaan Aisyah yang sangat sempurna itu. 
“Kak Syah nak balik kampung buat apa lagi kan dah habis belajar? Keputusan peperiksaan pun dah dapat…”
“Cadang tu nak sambung belajar ke tingkatan enam pula. Kemudian ambil STP.”
“Nak belajar lagi? Banyak masa kak ni habis dengan belajar saja ya…”
“Iyalah Murni. Kita ni patut menambah ilmu yang sedikit supaya menjadi banyak. Sebab ilmu itu sangat penting dalam kehidupan kita.” Kata sebuah mutiara kata yang melintas dibenaknya pula, ‘tuntutlah kejayaan akhirat itu dengan takwa kerana kejayaan itu memiliki empat perkara: kekalan, kehormatan, kekayaan, keilmuan.’ Dan ianya saling kait-mengait.
“Habis kak Syah taknaklah pohon jawatan guru sementara tu ya? Penat saja saya datang bawa khabar tu kepada akak. Rupanya akak menolaknya…”ujarnya lirih menyatakan kesebalan hati yang kecewa.
“Muni Murni…lain pulak yangmu faham. Memanglah akak nak pohon jawatan tu, rugi tau kalau tak pohon. Kalau dapat akak jadi cikgu nanti akak belanjamu deh…” Murni tersengih saja menerima janji Aisyah itu.
“Saya tak faham dengan akak ni…sekejap tadi kata nak balik kampung nak sambung belajar. Ini dah nak jadi cikgu pula. Agaknya orang kalau dah banyak ilmu ini cakapnya pun berpusing-pusing sampai susah nak faham ya. Sekejap kata begitu, sekejap begini pula ya…,”ujar Murni yang terpinga-pinga seketika lantaran sikap Aisyah yang membingungkannya itu.
Aisyah tersenyum saja melihatkan mendung keraguan yang melindungi wajah temannya yang terperosok di dalam kekalutan otak kecilnya itu.
             

10 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 30..SAMBUNGAN.."

Purnomo delete icon 10 August 2014 at 18:27

Karyanya knapa ndak di jadikan buku kak :)

paridah delete icon 10 August 2014 at 19:05

ntahlah belum terasa nk menerbitkan bukunya...terima kasih dik Purnomo sudi ikutinya...

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 11 August 2014 at 00:04

Bestnyer kalau ada orang rekomen kerja macam tu... Jadi Cikgu lak tu...

paridah delete icon 11 August 2014 at 06:46

bukan masa dulu2 saja kerja direkomen pihak tertentu...sekarang pun begitu zumal...tq.

Kakzakie delete icon 11 August 2014 at 10:42

Nampak gayanya Aisyah akan jadi guru sandaranlah..
Dulu-dulu senang nak dpt jadi guru sandaran kan. Sekarang ni dah ramai yg keluar maktab perguruan tapi belum dpt penempatan...

Anisayu Nastutik delete icon 11 August 2014 at 11:04

Wah udah bab 30 , sangat berbakat
aku paling menulis kalimat
paling berbait empat

Mantap dan bagus cerita yang tersurat
bisa menggali banyak hasrat
novelku yang masih jalan seperempat

:)

Sue Bee delete icon 11 August 2014 at 12:26

mmg sungguh berbakat dlm bidang penulisan..kenapa tak dibukukan ni, PI?

paridah delete icon 11 August 2014 at 13:39

itu kisah dulu2 kakzakie...kini tentu berbeza ...sekadar menceritakannya...tq kakzakie...

paridah delete icon 11 August 2014 at 13:45

tapi masih panjang ceritanya...terima kasih komennya...menulis novel ni perlu dilakukan setiap hari agar idenya lancar..moga novelmu segera disiapkan tq Anisayu Nastutik..

paridah delete icon 11 August 2014 at 13:48

yeke...xadalah sue bee...saja2 menulis merintang waktu...setakat ni xterfikir lagi nk bukukannya...tq Sue Bee

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”