بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

                                               Bab 28..Maulid Nabi.
Pic google.

“Hai Kak Syah! Nak ikut berarak macam kami juga ke…?”
“Mu nak berarak ko…patutlah nampak cantik sangat berbaju kurung sepasang…?”
“Iyalah kak Syah. Kami ni ahli persatuan beliawanis di sini memang wajib mengambil bahagian…jomlah ikut sekali…”
“Isyh… malaslah…hari kan panas…” Pelawaan Murni itu ditolak dengan alasannya.
“Takut hitam ya…,” balas Murni dengan cebekan di bibirnya.
“Taklah sampai gitu…” lirih sekali ulasannya seolah dibendung rasa kesebersalahan.
“Rugi tau kak Syak tak berarak. Semua orang berarak sambil berselawat berkeliling tanah rancangan. Seronok tau…terasa tenang jiwa kita kerana meraikan hari kelahiran junjungan yang mulia…” Murni menyusun frasa kata dengan bijak guna memancing minat temannya yang keberatan untuk beraktiviti sepertinya.
Aisyah terkulat-kulat memandang gadis yang comel berbaju kurung sepasang dengan selendang yang hanya disebaikan di bahunya itu. Warna busananya sedondon berlatarkan biru air laut.
Teringin juga dirinya untuk merasai pengalaman baru yang menjengah di lorong hidupnya secara tiba-tiba ini.
“Kak tadi datang dengan mak ke sini. Kalau kak nak ikutmu berarak kenalah beritahu mak dulu…”
“Mak akak di mana…?”
“Di dalam masjid tulah…”
“Jom kita ke dalam masjid jumpa makcik Nisah untuk minta izin daripada mak akak tu…”
“Sebelum masuk ke masjid kenalah berwuduk dulu. Sebab nanti nak tunai sunat solat tahiyatul masjid…” Aisyah mengingatkan Murni.
“Jomlah cepat…kolah untuk ambil wuduk bagi orang perempuan terletak di penjuru tepi…”
Murni memberitahu kepada Aisyah tentang pengetahuannya mengenai masjid yang dibina pada tahun lepas itu. Mulanya di sini hanya ada sebuah musolah kecil yang didirikan untuk peribadatan kerana bilangan penghuninya yang tidak ramai.
Namun apabila kemasukan perserta semakin meningkat ramai dengan pertambahan yang mulanya cuma peringkat satu dan kini hingga peringkat tiga, keperluan kepada sebuah masjid untuk menampung kariah dan aktiviti keagamaan kelihatan sangat releven.
“Akak bawa kain telekung untuk bersolat ya?”
“Iyalah nak bersolat, mestilah kena pakai telekung…” balas Aisyah bersahaja.
“Memanglah nak bersolat kena pakai telekung tapi di dalam masjid tu pun banyak telekung…tak payah kita nak bawa dari rumah…”
“Iyakah…akak tak tahu pulak. Sebab akak tak pernah mari ko masjid sini…”
“Jomlah cepat…nanti terlambat pula. Kawan-kawan kita dah menunggu di tepi padang tu, mereka semua berkumpul di sana…”
Kedua-duanya beriringan dengan kalut menuju kolah air di penjuru masjid untuk berwuduk. Setelah berwuduk, bergegas pula ke ruang tengah masjid yang dikhususkan untuk bersolat. Aisyah mengenakan telekung yang dibawanya dengan cepat dan mula mendirikan solat sunat masjid. Sedang Murni masih terbelek-belek telekung yang bersesuaian untuk dikenakan ke tubuhnya. 
Usai sudah solat sunat dua rokaat itu dilakukannya.  Berdoa sebentar dan disudahi dengan bacaan fatihah, dia mengaminkan doanya. Lantas dengan pantas membuka telekungnya lalu mengemaskannya dan dimasukan kembali ke dalam beg kecil yang dibawanya.
Murni menghampiri Aisyah; menyentuh bahunya.
“Jom kita jumpa mak cik Nisah. Saya nampak dia sedang duduk bersembang dengan isteri pengurus dekat dapur masjid…” Aisyah menghalakan fokus pandangannya ke arah yang dimaksudkan Murni. Kelihatan kepadanya beberapa orang wanita yang sedang bersimpuh santun di situ. Emaknya juga berada di situ dan nampaknya leka sekali berbeka dengan seorang wanita yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini.
“Iyakah? Jomlah…akak pun teringin nak kenal rupa isteri tuan pengurus kita…”
Langkah kedua-duanya diatur pantas buat menyatakan tujuannya.
“Assalamualaikum…” Salam diberi sebagai pembuka ruang suasana yang ceria lagi harmoni . Masing-masing yang mendengarnya membalas kalimah berserta doa kudus itu perlahan. Antara kedengaran dengan tidak saja.
“Mu berdua ko!”
“Iyalah mak cik kami datang berdua ni…”
“Ini anak kakak ke?” celah suara pertanyaan dari sisi wanita itu.
“Iya…ini anak kakak, Aisyah. Dia baru saja balik dari kampung. Tadi tu dia kakak tinggalkan di luar masjid kerana katanya dia nak jumpa Murni dulu. Ini dah berjumpalah tu…” Wanita yang manis ditata dengan sedikit perhiasan diri itu menyimpulkan senyum. Seolah hatinya sedang mengenangkan sesuatu yang melintas tiba-tiba di benaknya.
Aisyah menyalami wanita itu dan setiap mereka yang berada di situ. Dituruti dengan Murni yang melakukan hal yang sama.
‘Rupanya inilah anak pak imam diceritakan Idham kepadaku itu. Cantik sungguh orangnya…’ terkedu ia menatapi seluruh raut wajah itu.
“Cikgu Sayidah tak nak berkenalan dengan sayakah?” Acah Murni dengan sengihnya. Maksudnya bersenda saja.
“Saya tu dah lama kenal dengan awak…awak ni pandai juga nak bergurau ya…”
“Kalau cikgu Sayidah nak lebih kenal, ini saya kenalkan emak saudara saya…”
Murni merangkul erat wanita yang berada di sisinya dengan senyuman yang berkembang.
“Iyake! Saya tak tahu pulak kak Hadijah ini emak saudara awak…patutlah…”
“Mengapa pula patutlah…?” pintas Hadijah yang mula mengeluarkan suaranya.
Seolah istilah ‘patutlah’ itu membawa makna yang tidak disenanginya dan dia perlukan penjelasan mengenainya.
“Kedua-duanya memang sama aktif di tanah rancangan kita ni…seorang aktif dalam persatuan belia dan seorang lagi dalam persatuan wanita…” Isteri pengurus itu menuturkan komen yang positif lagi memberangsangkan. Membuatkan Hadijah terasa terlambung di awangan dengan pujian itu.
“Begitulah cikgu, cara kita hidup bermasyarakat ni…selagi kita upaya sumbangkan sesuatu yang memberi kebaikan kepada masyarakat setempat, patutlah kita lakukan. Sumbangan pula tidak mengira bentuk, sama ada buah fikiran, tenaga atau kewangan. Jikalau kita hendak menjayakan sesuatu majlis seperti ini tentulah kita perlukan banyak tenaga daripada kelompok wanita untuk membantu. Itulah peranan pemimpin wanita untuk menggembeleng tenaga semua wanita di sini untuk turut bersama menjayakan perancangan yang diatur pihak rancangan...” Panjang lebar sekali ujaran Hadijah tentang peranan yang dimainkannya di sini. Barangkali menangkis riak yang mulai ketara mengapung di sukmanya.
“Kalau tidak ada seseorang yang rajin macam kak Hadijah untuk mengurus kegiatan wanita di sini susah juga ya…”Sayidah menepuk bahu wanita itu seolah menghargai sumbangan yang telah dibuatnya.
“Tidaklah sampai begitu sekali cikgu, jikalau tidak ada saya tentulah ada wanita lain yang akan mengambil peranan saya. Ramai lagi, kak Nisah ni ke…” bahu Hanisah ditepuknya lembut. Membuatkan ibu itu berpaling menentang anak matanya.
“Sedapnyamu kecek ya Jah…mu nak bagi  kijamu ko aku pulak…tak mahu aku. Kerja aku dirumah tupun tak menang tangan nak buat, melambak…inikan mu nak suruh aku ligat buat kerja persatuan GPW macemu…tak sir aku. Mu buatlah kijamu tu Jah…kalaumu rasa tak rot (larat dah mu suruh je Murni yang buat…tak gitu Murni?” Hanisah melirik ke arah Murni yang mulai menjamah sepotong agar-agar merah yang menjadi hidangan di situ untuk dinikmati mereka yang hadir. Murni tersenyum kesukaan mendengarkannya.
Mungkin juga Hadijah yang telah mengetuai persatuan wanita di sini semenjak tanah rancangan itu dibuka sudah jemu melakukan perkara yang sama dan dia ingin orang lain pula yang mengambil tugasnya justeru itu ia berkata begitu.
“Nak suruh saya jadi ketua wanita GPW pulak ya? Boleh! tapi syaratnya mak cik-mak cik di sini kenalah ikut saya main bola jaring tiap petang…sanggup? Kalau sanggup bolehlah lantik saya jadi ketua. Dan mak ngah Jah bolehlah bersara, jadi jaga wakil pos je…heh…heh…” tawanya bergelegak halus menyambut senda-gurau yang direkanya.
Wanita-wanita yang kebanyakan separuh baya tersenyum simpul mendengarkan lelucon gadis remaja yang sangat berminat dengan permainan bola jaring dan seringkali mewakili tanah rancangan itu ke pertandingan di tempat lain.
“Tak payahlah Murni…awak tu jadi ketua beliawanis saja. Tak payah kamu nak ajak mak cik-mak cik kamu ni melompat di padang. Mahu patah tulang kami yang dah reput ni…” balas sebuah suara dengan mersik. Murni tersenyum saja mendengarkan komen Anom yang spontan itu.
“Hai kak Anom pun ada juga?”
“Mestilah ada…awak ingat awak saja ke yang patut ada di sini…”
“Taklah gitu. Habis kalau kak Anom di sini siapa pula yang tolong jagakan kedai tu…”
“Nak buat macam mana lagi, dah kak Anom di sini nampaknya kedai tu terpaksalah ditutup…”
“Bukannya lama pun mu tak dapat nak meniaga…semetar ja. Kita di sini berkumpul bersama-sama meraikan hari keputeraan junjungan rasul yang mulia…” Terdengar suara sokongan yang dilafazkan kerana tindakan yang bijak itu.
Aisyah hanya membatu. Dia leka mendengarkan bualan yang bertingkah sahut- menyahut bagai bertih digoreng yang berlaku dalam suasana mesra di kalangan wanita-wanita yang hanya dikenalinya hari ini.
Salimah masuk ke ruangan itu terburu-buru. Pandangannya melingas merata mencari seseorang. Sehingga diketemukan sasarannya itu.
“Murni jom cepat keluar…kita dah mula nak berarak…” ujar penolong pegawai pembangunan wanita itu terburu-buru.
“Okey. Kak Syah jomlah ikut sekali…” Aisyah menentang sinar tajam sepasang mata emaknya.
“Boleh kita ikut Murni mak…?” ujarnya memohon izin.
Hanisah sekadar angguk polos.
“Gilah…kain tudung tu ikat elok-elok di kepala. Jangan disebaikan saja…panas di luar sana tu…” Pesan ibu itu mengingatkan anak gadisnya.   
“Kak Sayidah jomlah ikut sekali. Tadi kak Idah kata nak ikut berarak sekali. Sambil berselawat dapat pula meluaskan pandangan melihatkan persekitaran tempat kita ni…”Renungan mata Salimah menyapa Sayidah mengharapkan keputusannya.
“Iyalah…”sahutnya.
Sebelum Sayidah bangun untuk mengikuti langkah Salimah dia terlebih dahulu menyalami mereka yang ada di situ. Kebanyakannya selesa duduk terhenyak di situ dan seolahnya keberatan untuk turut berarak bersama kumpulan yang telah sedia berbaris di luar masjid itu.
Masing-masing punya alasannya tersendiri untuk mengelakan dari beraktiviti seperti itu.. Ada yang tidak terdaya hendak berjalan jauh. Ada yang tidak tahan dipanah panas mentari. Ada yang saja-saja memang malas hendak menggerakan otot-otot anggota bahagian bawah tubuh.
“Saya bergerak dululah…nak ikut budak-budak muda ni berarak…”
“Iyalah cikgu pergilah…saya, Kak Nisah, Anom dan beberapa yang lain tak dapat nak ikut sebab kami ada tugas di sini. Sebentar lagi kami kena bungkus makanan yang nak diberi kepada murid-murid sekolah dan mereka yang pulang dari berarak.” Hadijah menuturkan alasannya yang sangat berasas. Sekaligus menegaskan lagi peranannya pada majlis itu hari ini.
“Mana Masyitah? Tak nampak pun kelibat dia sejak tadi…”
“Masyitah ikut suami dia balik ke Johor kak…itu sebabnya dia tak ada di sini…”
Sayidah terangguk-angguk mengiakan penerangan Salimah yang telah merungkai bohol pertanyaan yang bertandang di benaknya.
Laungan selawat nabi dan nasyid yang dicipta khusus untuk junjungan yang mulia dan diwarisi sejak zaman Khalifah Abassiyah dikemundangkan dengan merdu. Imam yang memulakan kalimahnya dan disahuti mereka yang ada di belakangnya. Rombongan perarakan itu terdiri daripada anak-anak sekolah dan guru-gurunya, para belia dan beliawanis, peneroka dan penerokawati. Di hujung barisan yang mengekori di belakangnya adalah Aisyah, Salimah, Sayidah dan Murni.
Murni tidak turut bersama kumpulan beliawanis pimpinannya  yang berbaris di hadapan, sebaliknya menggabungkan diri dengan kumpulan kecil yang tidak berstatus itu.
“Jauh juga kita nak berarak ni…cikgu kuatkah berjalan…” Tanya Murni dengan keyakinan yang hambar.
“Bolehlah…” sahut Sayidah lemah.
“Kita ni berarak dari peringkat satu hingga ke peringkat tiga. Kemudian baru patah balik ke masjid…,” beritahu Murni kepada kumpulannya, terutama ditujukan khusus kepada Aisyah dan cikgu Sayidah kerana kedua-duanya adalah anggota baru di sini yang baru pertama kali merasai pengalaman berMaulidur Rasul di tanah rancangan ini.
“Jarak 1 dan 3 taklah jauh sangat kan…,” sahut cikgu Sayidah mengatur bicara penguat semangat seraya menatap wajah Aisyah yang tersenyum simpul membalas pandangannya.
‘Jarak 1 hingga 3 memanglah tidak jauh. Tetapi jarak antara peringkat satu hingga peringkat 3 dekat sebatu setengah tau…kalau tak biasa berjalan kaki sejauh itu mahu melecet kaki…’Murni menggumam sinis.
Sambil mulut tidak sunyi melagukan selawat nabi, kaki-kaki milik beberapa tubuh terus melangkah mengikuti rombongan di hadapan yang semakin mendahului. Mentari mula memancarkan cahayanya yang terik ke serata ruang alam. Seolah sinarnya menerangi perjalanan yang direstui menuju destinasi nirmala, mengaut kebaikan yang rahmah.
                                       * * *
“Awak nampak Aisyah tadi Syam? Bukan main cantik dan ayu berbaju kurung, bertudung litup. Orang lain kawan tengok pakai tudung juga tapi disebaikan saja di bahu, dia ni habis satu kepala di tutupnya…”
“Apalah awak nak hairan. Bukankah dia anak pak imam…dah imam suruh dia buat begitu tentulah dia ikut…”
“Tapi rimas pula aku tengok…tak panas ke…?”
“Panas ke tidak ke, dia yang rasa. Yang awak susah hati sangat ni kenapa? Sibuk kan hal Aisyah pulak. Kenapa awak tak cerita tentang tunang awak tu…kemana dia menghilang. Koi tak nampak pun dia bersama dengan budak-budak beliawanis kita berarak maulid…?”
 “Awak ni kawan ceritakan hal Aisyah yang awak sibuk bertanyakan hal tunang kawan tu mengapa pula…?”
“Tanya begitu pun nak marah! Cemburu ke?” bidas Syamsi sinis dengan sengihnya.
“Tak ada pasalnya kawan nak cemburu dengan awak. Tapi kawan rasa awak tu yang cemburu dengan kawan sebab aku sebutkan tentang si cantik manis Aisyah tu…yang buat awak mabuk kepayang tu kan…”
“Merepek saja awak ni. Apa kena mengena pula koi nak cemburu? Dia bukan siapa-siapa dengan koi. Adik bukan, tunang pun bukan…”
“Haa…sebab bukan siapa-siapalah kawan nak awak jadikan dia sesiapa yang utama di hati awak. Apa kata awak jadikan dia tunang awak!”
“Isyh awak ni Man… tak habis-habis mengusul idea bodoh awak tu. Koi ni tak pernah bermimpi nak sampai ke situ…” balas Syamsi yang semakin keliru akan provok kawannya itu.
“Awak ni kawan cakap betul apa. Kawan tengok awak memang sepadan dengan Aisyah. Cuba-cubalah awak dapatkan dia…”
“Awak macam mencabar koi saja…?”
“Kalau awak anggapnya sebagai cabaran, apa kata awak sahut cabaran itu…”
“Issyh…tak berani koi sahut cabaran buta-buta begitu…”ujar Syamsi lemah dan mengalah.
“Jadi orang lelaki ni mesti berani mendapatkan apa pun keinginan kita…”
“Seperti awak berani tinggalkan Salmiah yang baik untuk dapatkan tunang awak yang cantik tu?”
“Awak jangan nak sindir kawan pulak. Itu hal lain. Soal jodoh bukan kita yang mengaturnya...” Arman mereka alasan dengan spontan. Seolahnya apa yang berlaku di antaranya dengan Salmiah adalah sebuah kes terpencil yang langsung tiada kena mengena dengan topik yang sedang mereka bicarakan kini.
“Pandai pulak awak berdalih bila dah kena batang hidung sendiri ya…memang betul kata awak soal jodoh bukan kita yang mengaturnya. Jadi kita tengok sajalah bagaimana perkembangan jodoh yang diatur Allah untuk koi…”
“Awak ni bercakap mudah je yek. Awak pun tahu Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jikalau kaum tersebut tidak mahu mengubahnya. Maknanya awak mesti tentukan nasib awak sendiri. Kalau awak rasa awak nak miliki Aisyah, baik awak bertindak cepat. Takut kalau sudah terlepas ke tangan orang lain, awak juga yang putih mata…” Arman mengulangi kalimah yang pernah dituturkannya kepada kawannya itu beberapa ketika dulu.
Syamsi terkedu. Sesekali terfikir juga di benaknya kalimah yang dianggapnya bodoh dan seringkali ditusukan kawannya ke deria dengarnya itu, memang ada asasnya.
‘Mengapakah aku tidak seberani Arman dalam meraih keinginanku sendiri. Jauh di sudut hatiku ini sudah ternyata aku memang sukakan Aisyah sejak kali pertama bertentang mata. Boleh jadi cinta yang lahir pada pandangan pertama. Tetapi kenapa aku keberatan untuk mengakui semua itu. Ah! Kenapalah nak kalut sangat…biarkanlah dulu. Mungkin ada ketika dan masanya yang sesuai nanti. Tidaklah main terjah ikut suka hati saja. Mesti ada perancangan juga.’
“Kenapa terdiam pula? Tentu awak sedang fikirkan kebenaran hujah kawan kan…?”
“Iyalah tu…”
“Awak jangan lambat-lambat sangat Syam. Sebab kawan nampak encik Halim pun bukan main rapat lagi dengan imam, ayah Aisyah tu. Aku rasa tentu ada mahunya juga. Dia pun selalu juga bertanyakan kawan tentang Aisyah tu…,” ujar Arman yang ketara nada desakannya.
“Baguslah. Koi tak susah hati pun. Kalau dah jodohnya dengan pegawai kita tu, siapakah yang boleh halang…,” sahutnya mendatar. Ada juga kelumit rasa kecewa yang terluah di situ tanpa disedarinya.
“Kawan nampak bukan setakat dia seorang yang terjeling-jelingkan Aisyah…ada beberapa orang hero di tempat kita ni yang dah mula berangan-angankannya tau…”
“Kau ni tahu saja…hero mana satu pulak ni…?”
“Aik… takkanlah kau tak tahu kawan-kawan kita yang perasan hero di tanah rancangan kita ni sebab merasa dirinya tu handsome sangat. Ditambah pula dengan sikap berlagak samseng kononnya akulah yang terkuat di sini…takkanlah awak tak tau member tu…”ujar Arman menduga.
“Ooo member tu…Ada hati juga dengan anak pak imam? Biarkanlah mereka…hati dan perasaan mereka hak mereka sendiri. Kita tak mampu nak mengawalnya…” sahut Syamsi seolah faham apa yang dimaksudkan temannya itu.
“Kawan tu bukannya nak suruh awak kawal perasaan orang lain…tapi nak beritahu awak, maknanya ramai pesaing awak nak dapatkan Aisyah. Kalau awak lambat bertindak, melepaslah…”                                                                                                        













8 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 28..."

cik neto delete icon 31 Julai 2014 3:22 PG

nice story ;)
selamat hari raya jugak kak :)

paridah delete icon 31 Julai 2014 4:42 PG

terima kasih...selamat hari raya dik cik neto..

Nurul Falah Jueni delete icon 31 Julai 2014 8:17 PG

Selamat Hari raya, mohon maaf lahir batin

paridah delete icon 31 Julai 2014 11:16 PG

terima kasih Nurul Falah Jueni...selamat hari raya maaf zahir batin...

Wirda Amir delete icon 31 Julai 2014 11:49 PG

assalamualaikum..

salam lebaran..

salam rindu buat kak Paridah..

maaf zahir dan batin...

paridah delete icon 31 Julai 2014 12:28 PTG

wsalam ...salam lebaran buat wirda juga...maaf zahir batin...kak pun rindukan wirda..tq

Jery Yanuarlan delete icon 1 Ogos 2014 10:17 PG

ceritanya sungguh menarik, saya belum sempat baca semua...
mudah2an kita semua bisa mendapat ibrah dari cerita tersebut

paridah delete icon 3 Ogos 2014 11:36 PG

terima kasih Jery Yanuarian...insya Allah moga bermenafaat...kalau berminat nak baca dari mula klik labels SEBUAH VERSI CHINTA...TQ.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”