بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

                                                   Bab. 27
                                                 Asuhan budi.
    

 AISYAH dikerumuni adik-adiknya sebaik saja ia menapak turun daripada kereta yang dinaikinya. Emak dan ayahnya juga datang menyongsong kemudiannya. Mereka semua terpegun melihatkan Aisyah menumpangi kereta yang dimiliki seseorang yang amat dikenali lagi dihormati sebagai sifat peribadinya yang prioriti lagi terpandang di sini.
“Saya terjumpa anak  imam ni waktu dia turun dari bas depan pejabat saya tadi. Dengan beg berat yang dibawanya, saya pun tanya dia nak ke mana. Apabila diberitahu dia nak ke sini memanglah kebetulan sungguh. Sebab saya pun nak ke sini bertemu imam. Itulah saya tolong bawakan dia sekali ke sini. Kalau nak berjalan kaki daripada perhentian bas ke sini tentu penat. Ditambah pula dengan membawa beg yang berat...”
Lelaki itu sebenarnya langsung tidak tahu pengenalan diri Aisyah. Setelah tidak segan bertanya dia menemui jawapan yang dicarinya. Kini tahulah dia bahawa gadis manis yang mempesonakan pandangannya dan memaksakan agar kereta yang dipandunya segera berhenti adalah anak seorang imam yang dihormati lagi disegani komuniti setempat.
“Terima kasih banyak-banyak sebab cik Idham tolong hantarkan anak saya ke rumah. Kami di rumah ni tak tahu pun dia nak kelik hari ini. Kalau tahu tentulah saya akan suruh adik-adiknya menjemputnya dengan basikal. Menyusahkan cik Idham saja terpaksa menghantarnya sampai ke rumah…” sahut imam lirih berbahasa lunak.
“Tak menyusahkan pun. Lagipun dah kebetulan saya nak ke sini bolehlah saya tumpangkan anak imam sekali…”
“Jomlah kita naik ke rumah…bolehlah bersembang sambil minum petang…”
Encik Idham tidak menolak pelawaan yang teranjur secara tiba-tiba itu. Beliau melangkah senang menuruti imam menaiki tangga dan duduk di beranda yang sudah sedia terbentang sebidang tikar mengkuang. Sebentar tadi isteri imam itu terkocoh-kocoh menaiki rumah dan membentangkan tikar itu untuk menyambut tamu istimewa yang tidak di duga akan kehadirannya itu.
Aisyah di dapur sibuk melayani pertanyaan adik-adiknya yang tidak kunjung penamatnya. Pertanyaan-pertanyaan yang perlukan penjelasannya sama ada ia suka atau tidak. Emaknya sudah kembali ke sisi anak-anaknya. Dia juga teruja ingin bertanya tentang khabar yang dibawa anak perempuannya itu dari kampung halamannya. Terlalu banyak pertanyaan yang tersirat di dalam kalbu ibu itu.
“Makcik Salina, abang Zahari dan nenek berkirim salam kepada emak dan ayah…”
“Wa’alaikummussalam. Apa khabar nenekmu? Napamu tak ajak dia ikutmu sekali ke sini…”
“Nek tu sibuk dengan barang-barang jualan di gerainya. Kalau tak sibuk berjual, sibuk pula menari makyong dan menora di istana tepi laut. Lagipun nek tak mahu ke tempat kita di tengah hutan ni mak…”
Hanisah seakan mendengar frasa ulangan tentang hinaan mertuanya  yang pernah diceritakan anaknya kepadanya suatu ketika dulu. Memanglah tidak dinafikan tanah tempat tinggalnya ini adalah antara empat tanah rancangan yang terawal diteroka.  Yang terkemudian sedikit saja di isi dengan penerokanya setelah Lurah Bilut. Letaknya memang di tengah hutan yang telah dipugar dan dimajukan sebagai tanah pertanian oleh LKTP. Kini tiada lagi suasana hutannya. Sudah ceria dan meriah dengan kehidupan mereka yang menghuninya. Walau persekitaran alamnya masih lagi dikelilingi dengan hutan-hutan simpan dan bukit-bukau yang menghijau.
“Lagu manomu boleh tumpang kereta tuan pengurus tu pula…?” Hanisah seolah mengusir imbauan yang mengawani layar kenangannya agar fokusnya terhadap anaknya tidak terganggu.
“Ketika kita turun dari bas tiba-tiba saya lihat keretanya berhenti di sebelah kita. Dia tanya kita nak ke mana, kita pun keceklah. Terus dia ajak kita naik kereta dia...”
“Mustahil saja-saja dia ajakmu naik kereta dia kalau dia tak kenalmu…”
“Entahlah! Kita tu kenal dia dari jauh ja …tak pernah bertegur sapa pun…”
“Mu jangan berani menumpang kereta, motor orang sebarangan, nanti apa pula kata orang yang memandang. Mak tak suka orang dok kata mace-mace (macam-macam) komu…”
“Mak ni ke situ pulak yang difikir. Kalau kita tak menumpang naik kereta pengurus tu penatlah kita. Mak nak suruh kita menapak dari perhentian bas tu ke sini…sikit punya jauh tu. Dahlah penat dan pening dilambung bas pun tak hilang lagi, ini nak kena menapak lagi ke rumah…mak tak kesiankan anak mak ni ko…?”
“Mujur juga ada tuan pengurus yang baik hati tu sanggup menolong menghantar kak sampai ke rumah kan…taklah kak Syah penat kena jalan kaki…”
Aisyah tersenyum kepada adiknya yang membuat pernyataan pembelaan yang memenangkannya.
“Kalau Zali tahu kak Syah kelik petang ni, Zali akan tunggu dan bawa kak Syah dengan basikal Zali jadi mak tak perlu risau kak syah menumpang sapa-sapa…”
“Sani pun akan ikut sekali, tolong bawakan beg kak Syah…” Hasani menambah kata.
“Mak tu mengingatkan saja supaya perkara buruk tidak berlaku. Sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku kepadamu eloklah beringat sikit…”
“Iyalah mak kita sentiasa beringat. Tak pernah lupa pun setiap pesanan mak. Tapi yang mak risau kita menumpang kereta pengurus tu mengapa? Bukankah cik Idham tu pengurus tempat kita ni? Dia pun baik dan dihormati semua orang di sini, masakan dia nak buat benda-benda tak elok kepada kita…”
“Katamu, fikiranmu memanglah begitu. Tapi orang lain tak semua anggap begitu tau…nanti macam-macam cerita yang orang kepoh tentangmu menumpang kereta pengurus. Cerita yang benar jadi tidak benar…mak tak suka lagu tu. Itu yang mak tak mahu dengar…”
“Alah! Mak ni hal kecil macam tu pun mak nak kalut. Kak Syah cuma tumpang kereta pengurus tu sebab pengurus tu pun kebetulan nak ke sini. Salah apanya…biasalah tu…” balas Sazali menggugah prasangka emaknya yang keliru itu.
Padanya apa yang dilakukan kakaknya itu tidak salah dan tidak akan membawa apa-apa masalah.
“Apa pun terpulang keada nawaitu kita mak. Saya bukan sengaja nak menumpang kereta orang jikalau tidak kerana terpaksa…takkan itupun jadi masalah…”
“Iyalah tu…masalahnya tak nampak la ni…tapi masa akan datang…”
“Kita harap dan berdoa sajalah mak agar tiada masalah yang akan datang…”
Ibu itu melengos melepaskan keluhan yang menggusarkan dan menyesakan perasaannya. Hatinya barangkali ragu untuk menerima kenyataan klise anaknya yang semata-mata berharap.
Imam Salleh menampakan kelibatnya diantara anak-anak dan isterinya.
“Tuan pengurus tu dah balik ko ayahnya…?”
“Dah!” sahut ayahnya sepatah. Dan tergesa-gesa pula melangkah ke bilik air di ujung dapur.
“Apahalnya pengurus tu ke sini jumpa ayah mak?”
“Entahlah! Agaknya berkenaan dengan pengurusan masjid kot. Tak lama lagi masjid di sini nak adakan sambutan maulid nabi, mungkin tentang perkara itu yang dibincangkan.”
Saban tahun tatkala tiba 12 Rabiulawal, sambutan maulidur rasul akan diulangi. Bergemalah kalimah selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad rasul pilihan yang dilagukan dengan mersik dan syahdu di segenap penjuru alam. Tidak terkecuali di sini.
Setelah berarak melaungkan selawat yang indah berkeliling jalan-jalan di tanah rancangan, kelompok masyarakat yang meraikannya akan dijamu nasi kenduri yang disediakan kariah jawatankuasa masjid yang dilantik. Suaminya sebagai imam masjid tentu saja terlibat sepenuhnya dengan aktiviti murni itu.
Dan pengurus rancangan selaku tonggak pentadbiran yang mewakili badan LKTP perlu nengambil selia disamping menyalurkan bajet berupa kewangan dan lain-lain keperluan sempena aktiviti yang akan diadakan tidak beberapa hari saja lagi. 
 Hanisah meninggalkan anak-anaknya tanpa menuturkan sebarang komen lagi dengan kalut. Namun anak-anaknya faham kondisi kekalutan yang didepani ibu mereka tika ini.
Tentulah ibu mereka itu perlu menyiapkan sepasang pakaian berserta ketayap putih dan kain serban yang akan dipakai ayah mereka lantaran hendak ke masjid sebentar lagi.
Ayah mereka itu adalah imam yang akan mengimamkan solat maghrib di masjid yang akan dikumandangkan azannya oleh muazin sejurus waktu lagi. Dan imam Salleh perlu buru-buru ke masjid seusai mandi dan berbusana rapi.
“Zali dan Sani jom ikut ayah gi masjid…kenapa tak siap lagi tu…?”
“Tak apalah ayah…malam ni Zali solat di rumah ja…”
“Sani pun sama ayah…” Kedua-dua anaknya itu menuturkan frasa yang sama maksudnya. Dan dia memahaminya; tiada paksaan untuk anak-anaknya mematuhi kehendaknya. Konsider sungguh.
“Biar Hanif yang ikut ya yah…” Hanif mengecek maksudnya. Tangannya memegang erat tangan ayahnya.
“Hanif boleh ikut, tapi masa orang semaye (sembahyang) mu kena semaye. Janganmu ikut kawan-kawanmu berlari-lari dalam masjid…” Ayahnya membalasnya lunak sambil menentang sepasang mata bening anaknya yang ternyata mengharapkan pernyataan yang disenanginya.
“Iyalah ayah….” sahut anak kecil itu menyanggupi permintaan ayahnya.
Imam Salleh perlu memberi peringatan sebegitu kepada anak bongsunya itu kerana gangguan-gangguan yang dicetuskan anak-anak kecil yang dibawa bapa mereka tika hendak bersolat maghrib di masjid sentiasa berlaku.
Dia tidak mahu anaknya turut terlibat sama dengan perilaku yang tidak disenangi jemaah masjid. Tika sedang solat tentunya para makmum dibelakangnya perlu kusyuk dengan penuh konsenterasi menghadap Yang Maha Esa. Tidak mahu langsung ada suara-suara gangguan dari persekitaran yang merencatkan penumpuannya.
 Tetapi situasi yang tidak diingini itu kerapkali berlaku. Lantaran anak-anak kecil yang tidak mendengar kata dan pesanan bapa-bapa mereka. Seorang bapa membawa anaknya ke masjid mungkin dengan niat yang tulus suci ingin mendedahkan anaknya kepada cara peribadatan Islam yang murni.
Tarbiah untuk pemupupukan sifat itu perlulah diterap sejak dari kecil. Tetapi tentulah perubahan kearah kebaikan yang diharapkan itu tidak berlaku dalam sekelip mata. Anak-anak kecil dengan naluri mereka yang riang sentiasa ingin galak bermain.
Ada saja ide permainan yang dicetuskan dikalangan mereka tatkala mereka bertemu. Dan para bapa yang sedang bersolat sama ada kusyuk atau tidak tentu tidak dapat mengawal gerak laku anak-anak mereka yang mungkin telah memberi gangguan kepada jemaah yang lain.
Imam Salleh tidak mahu anaknya itu turut menerima pandangan yang sama daripada makmum yang diimaninya lantaran anaknya itu adalah anak seorang imam. Nanti apa pula kata jemaahnya lantaran membiarkan anaknya sama seperti anak-anak kecil yang ligat dengan  perlakuan yang tidak menyelesakan mereka yang berada di dalam masjid yang penuh barokah dan ingin dicari ketenangan jiwa tika berada di dalamnya. Sedangkan setiap perilaku anak seorang imam itu sewajarnya menjadi contoh untuk diteladani.
Di sebuah rumah yang diterangi dengan pancaran cahaya dari lampu gasolin di suatu sudut yang agak jauh dari masjid, solat maghrib dilakukan dengan kusyuk dan tenang penghuni-penghuninya. Sazali mengimamkan sembahyang yang dimakmumkan emak, kakak dan adiknya Hasani.

                                      

8 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 27..."

Purnomo Jr delete icon 21 Julai 2014 8:05 PG

sudah masuk ke bab 27
sudah banyak sekali ya kak :)

Nucky Prayanta Natalius delete icon 21 Julai 2014 9:13 PG

seru sekali baca cerita di blog ini :) semakin tertarik untuk membaca yang selanjutnya sist :)

Kakzakie delete icon 21 Julai 2014 11:04 PG

Kalau yg tertinggal boleh aje baca siri di side-bar hihi... kakak tolong inform sebab kadang kakak pun tertinggal tapi kakak baca dari side-bar.

Syok bila dah mengikuti dari awal:)

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 21 Julai 2014 6:40 PTG

best.....

paridah delete icon 22 Julai 2014 3:00 PTG

ya dh banyak tu...tq Purnomo Jr.

paridah delete icon 22 Julai 2014 3:03 PTG

terima kasih Nucky Prayanta Natalius...silalah berkunjung ke sini utk baca selainnya.

paridah delete icon 22 Julai 2014 3:05 PTG

terima kasih kakzakie sering ikuti sambungannya walau terlewat...karya kak biasa2 saja mengisi waktu..

paridah delete icon 22 Julai 2014 3:06 PTG

terima kasih MKL

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”