بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM..

Khabar dukacita
pic google
‘Wah! Aku di sini lagi hai tanah kelahiranku. Berada di tanahmu membuat aku merasa bahagia teramat. Wajahmu langsung tidak berubah dan aku gembira menatapinya.’ Beg yang ada di tangannya diletakan di sisi tiang rumah. Rumah itu sepi seakan tidak berpenghuni. Dia maklum penghuni tetapnya tentu berada nun di simpang pinggiran jalan besar mengurusi rutinnya hari ini.
Pintu hadapan dan belakang rumah itu dikunci dengan kemas. Siap bermangga besi. Tentulah pemilik itu berwaspada kepada anasir yang dijangka menceroboh dan melarikan barang-barang berharga yang tersimpan di dalam rumah itu. Dia hanya melangut melihatkan keadaan itu. Lantaran tidak mungkin terdaya tangannya untuk membuka mangga tanpa kuncinya.
Untuk mendapatkan kuncinya perlulah dia menyusuli neneknya yang leka berniaga di simpang jalan itu. Malas pula hatinya hendak melakukan itu. Tetapi tidak mungkin dia hanya akan tertonggok saja di kaki tangga menantikan kepulangan neneknya yang tidak dapat dijangka bila masanya. Manakala hatinya yang mulai bosan itu membuat perkiraan yang disenanginya.
Beg pakaiannya diletakan di atas pelenggar kayu yang tersedia di bawah rumah itu. Diselimutinya dengan guni buruk agar keberadaannya di situ tidak disedari dan mengundang pandangan orang yang berniat tidak baik terhadapnya. Mungkin akan  mencurinya pula.
Selesai sudah apa yang difikir mindanya untuk dilakukan tika ini. Langkahnya diatur menghala seberang jalan. Destinasi yang ditujuinya itu diharapkan dapat membantu meringankan lelahnya yang terpendam di dalam tubuhnya yang menyiksa mental dan fizikal dan belum terungkai untuk dilepaskan.
Ternyata langkah yang dimulakan dengan kaki kanannya tidak mengecewakannya. Dari jauh dia mengamati seseorang yang ingin sekali ditemuinya sedang berada di laman rumahnya. Orang itu juga tersengih riang tatkala pandangannya bertautan dengan gadis yang mulai berlarian kecil untuk mendapatkannya.
Gadis itu menyalaminya dan memeluknya mesra. Diciuminya pipi wanita itu di kiri dan kanan. Perasaannya dialiri gelombang kebahagiaan.
“Rindu sungguh kita pada mak cik gak…”
“Mak cik pun rindu sungguh komu Syah…”
“Mak saya kirim salam ko mak cik…”
“Waalaikummussalam…jomlah naik ke rumah…”
“Mak cikkan nak sidai kain, sidailah dulu kain tu…biar saya tolong ya…”
“Mu ni Syah…baru ja sampai ke rumah mak cik, dah nak menolong mak cik. Mu kan baru sampai, tentulah penat. Jomlah kita naik ke rumah. Mu bolehlah berihat. Kain ni blar dulu, ket agi mak cik sidailah…” ujar Salina menolak pertolongan yang hendak dihulurkan Aisyah kepadanya.
“Tak penat mana pun…biar saya tolong. Cepat siap kerja ni cepatlah kita naik ke rumah mak cik. Kita pun dah tak sabar nak berbaring ni…”                    
“Ikutmulah…” balas Salina tidak kuasa lagi hendak bertelagah demi menentang kemahuan anak angkatnya yang dikenalinya amat ringan tulang walau ternyata dirinya kelelahan.
Sehelai demi sehelai kain, baju, seluar, coli, seluar dalam, singlet, terhampar di ampaian, menengadah sinar mentari untuk proses pengeringan. Hembusan sang bayu yang nyaman juga memain peranan ke arah itu. Sebentar saja kain baju yang basah tadinya akan kering dengan bantuan unsur alam.
“Mu balik ni sebab nak ambil keputusan peperiksaanmu kan…?”
“Ialah mak cik. Esok akan diumumkan keputusan peperiksaannya, saya pun teruslah balik. Tak sabar rasanya nak tahu keputusan saya tu. Macamanalah ia…lulus ke tidak…”
“Mu dah belajar sungguh-sungguh, tentulahmu lulus…”
“Mudah-mudahan begitulah mak cik. Mak cik doakan kejayaan saya ya…”
“Insya-Allah…mu akan lulus. Janganlah risau sangat…” ujar Salina lunak, cuba menenangkan kegundahan hati seorang anak remaja menghadapi saat getir yang merusuhkannya. Gejolak perasaan gadis itu hanya dia saja yang bisa menafsir ronanya.
“Abang gi kija ka…?”                                                                                                               “Ialah …gak tak kija tak ada duit. Macamana nak hidup…”
Namun kelihatan kepadanya rona kehidupan mak cik Salina semakin ketara perubahannya. Masakan tidak berduit sekiranya rumah kediamannya kini dalam proses pengubahsuaian dengan binaan yang lebih besar bentuknya. Tentu ianya perlukan duit yang banyak untuk biaya semua itu.
“Mestilah abang tu kena kija kuat gak kalau tidak lagu mana nak buat rumah batu besar ko mak cik kan…” Salina cuma tersenyum sedikit. Tidak menanggapi sesuatu yang sinis bersama kalimat  yang dilontarkan anak angkatnya itu.
Sesuatu layangan fikiran seakan memberitahu Aisyah agar menyatakannya begini:
“Makcik buat rumah besar mesti ada sebab ni…makcik nak buat kenduri kahwin abang ko?”
“Takdolah…tak sebab tu pun. Abangmu tu tah bila masa nak kahwin. Takdo sapa yang mahu ko abangmu yang huduh tu…”
“Hai makcik! Jange (jangan) ngata ko abang kita tu, abang tu lawa apa. Kalah hero-hero se Malaya…sedap ja nak mengata anak sendiri huduh, tak patut betul…”
“Wah! Adik membela abangnya ya? Bagus…bagus…bagus…gitulah adik beradik, mesti ada rasa hendak bela membela…”
“Kita saye (sayang) abang kita gak…mestilah kita bela…”
“Ialah tu…” kedua-duanya memutuskan bicara hanya setakat itu dan saling beriring menaiki tangga rumah. Bangunan rumah kayu di bahagian hadapan masih kekal dengan keadaannya yang asal. Tetapi rumah dapur yang lebih kecil dalam rangka pengubahsuaian. Bahan-bahan untuk asas pembinaannya sudah berlonggok di situ. Besi cerucuk yang akan disaluti tiang batu telah terdiri di empat penjuru yang ditentukan.
“Mak cik tahu saya ni tak masuk lagi ke dalam rumah nenek tapi dah sampai rumah mak cik dulu…”
“Kenapa jadi lagu tu, nekmu tak murih (marah) komu ka, nanti dia ingatmu ni melebihkan makcik dari dia…”
“Macemana nak masuk, rumah tu berkunci, nek tak ada. Tah gi mana…” Mak cik Salina melepaskan pandangan polos ke wajah anak gadis yang sedang terlentang di ruangan itu dengan sebiji bantal di bawah kepalanya dan sebuah majalah di tangannya.
“Nekmu tu nak gi mana gak lagi…tentulah dia di gerainya tu…”
“Tak semestinya juga. Nenek kita tu dulu penari mak yong istana. Mana tahu nenek ke istana di tepi laut bertemu kawan-kawannya dan menari mak yong…”
“Takke( tak kan)lah gitu kot. Apabila umur dah semakin tua, cerita zaman kita muda hanya jadi kenange (kenangan)…”
“Itu kata mak cik…”

                                             *  *  *

Nik Rohani mundar mandir di kaki lima sekolah menengah yang pernah menjadi tempatnya menimba ilmu. Hari ini dia ke situ lagi setelah meninggalkannya selama tiga bulan kerana cuti menunggu keputusan peperiksaannya. Ramai kawan-kawan yang se kelas dengannya dahulu datang menyapanya bertanya khabar dan bertukar salam.
Tika itu dilalui dengan keseronokan yang tidak terkata. Maklum dapat bertemu dengan rakan-rakan sepersekolahan setelah berpisah sekian waktu. Kegembiraannya melonjak lagi tatkala matanya mengimbas pergerakan seseorang yang sedang menghala kepadanya dengan senyum yang berbunga.
“Sampai jugamu hari ni, aku ingatmu dah tak mari. Mu kan duduk jauh di Pahang sana…”
“Mestilah aku mari jugak. Aku pun nak tengok mace (macam) mano keputusan peperiksaan aku. Dah penat-penat menjawab soale (soalan) mestilah nak tau hasilnya…”
“Tapimu kan duduk jauh? Sempat pulakmu sampai ya…”
“Tak jauh mana pun jarak antara Pahang dan Kelantan tu hanya melintasi Terengganu kalau ikut jalan timur. Kalau naik keretapi, daripada Jerantut ke Kuala Lipis di Pahang terus masuk ke Gua Musang di Kelantan. Dekat saja. Apa pun kalau nak seribu daya tak nak seribu dalih…” Aisyah melontarkan pendapat yang diyakininya. Kepadanya apa pun nawaitu yang terbit di hati akan terlaksana sekiranya ada kemahuan yang tegar.
“Aku ni risau betul dengan keputusan SPM kita tu, entah bagaimana agaknya…”
“Apa yang nakmu risaukan! Mu ni bukankah antara pelajar cemerlang di dalam kelas kita. Keputusan peperiksaan penggal dan bulanan sentiasa baik. Selalu dapat gred satu dan banyak subjek yang A. Lainlah aku ni, tak pernah lepas dari tahap gred tiga...”
“Harap-harapnya begitulah. Dah penat bersengkang mata studi bersungguh-sungguh, mudah-mudahan kita akan beroleh keputusan yang kita ingini…”
“Ha! Mace tulah. Tak yah dok kalut nak risau. Apa pun keputusannya kita kena terima…,” sahut Nik Rohani dengan tonasi yang girang. Kepadanya sudah bukan masanya yang sesuai untuk memikirkan sesuatu yang telah pun dilakukan. Bukan berkeluh kesah mengenangkan sama ada apa yang telah dilakukan bertepatan dalam konteks menjawab soalan peperiksaan.
“Mu lepas dapat keputusan peperiksaan ni nak buat gapo?”
“Aku rasa aku tak nak belajar lagi dah. Aku nak cari kija kat KL sana…”
“Beranimu nak gi KL, tak takut ko? Aku dengar macam-macam cerita yang berlaku di sana...”
“Apa nak takut pulak. Aku bukannya tak ada tempat yang nak dituju di sana. Ada abang dan kakak aku yang tinggal di sana. Aku bercadang menumpang dengan salah seorang daripada mereka sambil-sambil mencari kija. Mu pulok nak buat gapo?”
“Entahlah! Tak pasti sangat. Tapi aku bercadang nak sambung belajar ke tingkatan enam kalau keputusan aku melayakan aku ke situ…”
“Mudah-mudahe (mudah-mudahan) kita akan dapat apa yang kita mahukan…”
“Jomlah kita ke pejabat sekolah, nampak dah ramai kawan-kawan kita yang menunggu di situ…” ajak Nik Rohani sambil tangannya mengait tangan Aisyah. Lantas
kedua-duanya beriringan pula melangkah ke arah pejabat pentadbiran sekolah yang terletak di bahagian tengah bangunan sekolah yang dibina tiga tingkat itu.
Sekolah itu memiliki empat bangunan dengan fungsi kegunaannya yang tersendiri di dalam kawasannya.
            Bangunan pertama menempatkan ruang perpustakaan yang luas di tingkat atasnya. Sementara di bahagian bawahnya adalah kelas-kelas untuk tingkatan enam rendah dan enam atas.
            Di penjuru kirinya terletak dewan besar yang digunakan untuk perhimpunan pelajar setiap minggu dan untuk acara sukan atau pementasan kebudayaan. Bilik guru dan kantin bersententangan kedudukannya terletak di sipinya.
            Aisyah dan teman-teman sedang mengambil keputusan peperiksaan di dalam bangunan besar tiga tingkat yang menempatkan bilik-bilik darjah untuk tingkatan empat dan lima di tingkat dua dan tiga. Dan ruang-ruang di bawahnya dijadikan pejabat pentadbiran, stor, makmal sains.
“Macamana dengan resultmu Izudin?...” Pelajar yang baru saja mengambil slip keputusan peperiksaan SPM daripada guru yang menyampaikannya tersenyum hambar menatap kawannya yang bertanya.
“Biasa saja Syah…cukup make (makan) gred dua ja…”
“Baguslah dapat gred dua. Nak dapat gred tiga pun susah, mu dapat gred dua untunglah…”
“Cepatlahmu gi ambik keputuse (keputusan) mu. Aku nak tahu juga keputuse mu. Mu kan selalu dapat gred satu dalam peperiksaan di sekolah kita…aku rasa mu mesti dapat gred satu…”
“Entahlah Izu…tak berani nak kecek gapo…” Hatinya berdebar pula mengenangkan penggantungan harapan orang lain terhadap dirinya. Dia juga sangat mengharapkan apa yang dikatakan Izudin itu akan jadi kenyataan. Namun hatinya tetap sangsi dan ragu.
“Tu Nik dah ambil result dia…”
“Berapamu dapat Nik?...” Tanya Aisyah.
“Biasalah…macam yang aku dah duga…gred tiga ja…” sahutnya dengan nada selamba. Seolahnya keputusan peperiksaan yang dicapainya tidak membawa reaksi apa-apa kepadanya.
“Heh! Mu tunggu apa lagi, gilah ambik resultmu gak…dak tak ada sapo di kaunter. Cikgu Rahim yang berikan result kita ni…”
Dia memang tidak sabar lagi hendak mengetahui akan rupa keputusan peperiksaan SPMnya. Namun berat pula kakinya hendak melangkah pergi mengambilnya. Debaran di dadanya bergetar kencang lantaran kegugupan menerima khabar yang menyangkut masa depannya. 
Akhirnya dia melangkah ke kaunter itu dengan perasaan yang berbaur resah untuk mendapatkan keputusan peperiksaannya. Sebaik melihat wajahnya tersua di situ, guru yang menjalankan tugasan mengeluarkan slip keputusan SPM itu tersenyum kepadanya.
“Aisyah binti Salleh. Ini slip kamu. Kamu dapat gred dua.”
“Terima kasih cikgu…” dia tersenyum sedikit mendengarkan gurunya menyebutkan  gred dua itu. Dengan gred 2 SPM yang dicapainya dia pasti melayakan diri untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Memang itulah yang dijangkanya.
Slip keputusan SPM yang berada ditangannya tidak sabar lagi hendak diketahui ronanya. Ditatapinya setiap butiran yang tercatat di situ. Menghampakan sungguh. Kesemua subjek yang dijangka memperolehi A1 atau A2 hanya mendapat C6. kandas pula dalam subjek matematik. Walau gred 2 mengatasi gred 3 tetapi dirasakan keputusannya itu dirasakan tidak ada bezanya.
‘Agaknya dapatkah aku tempat ke tingkatan enam dengan result SPM sebegini lemah…’
                                                     
                                       * * *

Pon…pon…pon…
Dia membiarkan saja suara hon kereta itu terus menjerit. Langsung tidak berminat hendak mempedulikannya. Hatinya yang digayuti sayu dan ngilu kerana keputusan peperiksaannya yang tidak memberangsangkan membuatkan seluruh jasadnya layu dan lesu.   
Kereta yang menghonkannya bertalu-talu itu berhenti pula di sisinya. Kali ini dia mengangkat muka dan membuang pandang ke arahnya. Ingin diketahuinya, siapakah agaknya itu yang menambahkan kesebalan di jiwanya.
“Abangkah! Ingatkan siapa tadi…”
“Mu ni jalan menonong ja…tak toleh kiri kanan langsung, sampaikan penat abe honmu berkali-kali, tetapmu buat tak peduli. Mari naik abe hantarmu kelik (balik)…”
“Tak jauh dah rumah nek kita dari sini, tak payahlah naik…”
“Mu jange banyak alase (alasan) gak, mu naik ja…” sahut Zahari, berterusan mengajak dengan gesaannya.
‘Aku tahulah kenapa abang tu beriya-iya mengajak aku menaiki keretanya. Ini mesti sebab nak tahu tentang keputusan SPM aku. Malu pula nak memberitahunya rupa keputusan yang langsung tidak menggembirakan aku itu. Tapi wajarkah aku menyembunyikannya daripada pengetahuan seorang abang yang sangat mengambil berat segala-galanya tentang aku, adiknya…’ monolognya menggema di dalam kalbunya.
“Kenapamu ni monyok ja…tak suka naik kereta baru abang ni…”
“Eh! Abang beli kereta baru ko…tak perasan pulak tadi…”
“Manalahmu nak perase (perasan) gak. Sebab fikiranmu melaye-laye (melayang-layang) entah gi mana…kenapa abe nampakmu mace (macam) oghe (orang) risau ja…”
“Kenapa pula, nak risau tak adalah…” sahutnya menyangkal perspektif yang dinyatakan Zahari terhadapnya.
“Iyalah oghe dah dapat gred 2 SPM manalah nak risau apa-apa…mestilah suka kan…”
Aisyah terkedu. ‘Rupanya orang tua ni dah tahu keputusan SPM aku. Sia-sia saja aku hendak sembunyikannya. Tapi bagaimana pula dia boleh tahu secepat itu, sedangkan aku baru saja sebentar tadi mengambilnya.’ Wajah Zahari ditatapnya dengan jegilan sepasang matanya yang bersinar.
“Abang dah tahu saya dapat SPM gred 2 ja…macamana?”
“Mu ni dah lupo ko, abe dengan cikgumu tu bukekah bersaing…jadi sene (senang) ja…abe fon (telefon) saing (kawan) abe tu tanya. Dia pun keceklah(cakap)…”
“Hmm…gitu ya…” Sebuah keluhan dilepaskannya seiring dengan patah-patah kata yang mini itu dilaruti kekecewaan. Dan dia teringatkan Faizal yang turut berkawan rapat dengan cikgu Rahim, bekas guru sekolahnya itu. Sekiranya Faizal juga ‘fon’ cikgu Rahim bertanyakan akan keputusan SPM yang diperolehinya pastilah guru itu akan memberitahunya juga.
Maka pendorong kepadanya dalam menguatkan semangat mencintai ilmu itu sudah tentu kecewa dengan keputusannya yang tidak seberapa pencapaiannya itu. Rusuh sungguh hatinya mengenangkannya.
‘Apalah yang dapatku buat dengan keputusan SPM yang tidak menyebelahi keinginanku ini. Aku tidak tahu lagi peluang lain yang boleh ku raih selain memasuki tingkatan enam dan mengambil peperiksaan STP untuk menyambung pelajaran ke universiti pula. 
“Mu nampak tak gembira ja dapat SPM gred 2 kenapa? Abe (abang) dulu dapat MCE (Malaysia Certificate of Education) gred 3 ja, seronok bukan main lagi...”
“Abang gred 3 MCE. Saya ni gred 2, SPM. Tentulah besar bezanya. MCE abang dalam bahasa Inggeris. Sedangkan SPM saya dalam bahasa Melayu. Saya rasa orang lebih pandang MCE gred 3 dari SPM gred 2 kerana mereka yang ada MCE boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Bukan setakat pandai berbahasa Melayu ja…”
“Mu pun boleh menguasai bahasa Inggeris. Walau tak sebaik mana tapi setakat nak berkomunikasi tak jadi masalah gak…”
“Itu kata abang. Zaman ni gak, oghe dah tak mahu setakat tahu sikit-sikit ja…mesti nak yang ahli…”
“Kalau dah lagu tu, apa pula susahnya, mu belajarlah bahasa Inggeris secara intensif. Banyak kelas bahasa Inggeris di sini. Mu masuk saja kelas tu. Nantimu boleh menguasai English leatrature dengan baik. Boleh pula gi Amerika susul Faizal di sana…” Saranan dilafaz berserta niat seorang abang yang mahu mengusik adiknya agar adiknya kembali ceria lantaran nama seseorang yang dicintai jiwa raganya disebutkan dengan lunak.
“Abang ni! Ke situ pulak dia…”
“Habis mu nak lagu mana lagi gak…”
Aisyah menundukkan mukanya. Kemuraman wajahnya yang ketara ingin disorokkannya.
“Kenapalahmu sedih sangat ni. Oghe lain tu ramai yang dapat gred 3 dan gred 4 tak heran pun…ramai lagi yang tak dapat gred…”
“Itu oghe lain abang, kita ni nama ja gred 2. tapi gred 2 yang penghabisan. Matematik tak lulus pulak, lagu manalah kita nak masuk tingkatan enam nak sambung belajar…” Pokok pangkal yang menjadi persoalan kepada permasalahan Aisyah mulai terserlah dengan ungkapannya itu. Dan Zahari memahaminya.
“Agaknya dulumu ralit sangat bercinta dengan Faizal sampaimu terlupa matematik tu penting. Sebab tu mu tak lulus kot…”                                                                       
  “Tak adalah sampai begitu sekali. Saya tak bercinta pun dengan Faizal. Hubungan kami biasa ja…Faizal pun selalu mengajar kita matematik…”
“Habis nak kata lagu mana lagi gak…dah rezekimu nak dapat SPM gred dua dengan F9 matematik. Keputusannya begitu. Jadimu kenalah terimanya dengan berlapang dada…”
“Memanglah kita terima tapi apa yang kita rancang tak menjadi. Dah tentu kita tak dapat teruskan pelajaran ke tingkatan enam…”
“Mu tak payah nak susah hati sangat. Kalaumu tak boleh naik ke tingkatan enam di sekolah kerajaan, mu pergilah belajar di sekolah swasta. Berlambak sekolah swasta di sini, mu masuk saja. Yurannya pun bukan mahal sangat.”
“Abang cakap senanglah sebab abang banyak pitih (duit). Tapi kita ni miskin. Ayah kita tentu tak mampu nak tanggung belanja kita belajar kat sekolah swasta yang mahal tu…”
“Kalau ayahmu tak mampu biar abe saja yang tanggung semua belanja persekolahanmu…”
‘Baik sungguh hati abang angkatku ini sehinggakan dia sanggup untuk membiayai pembelajaranku di pengajian swasta. Tapi sanggupkah aku menerimanya? Wajarkah? Selama aku bersekolah di sini dari tingkatan satu hingga lima, abang Zahari, mak cik Salina dan Faizal sering amat membantu meringankan kesusahanku.
Apakah hidupku ini semata-mata berdiri di atas landasan pertolongan mereka yang mengasihiku? Sampai bila? Apakah aku tidak punya kekuatan diri untuk mencapai setiap  keinginanku?
Kini aku semakin dewasa. Mungkin tika aku kecil setiap pertolongan dan bantuan yang dihulur, aku akan terima dengan senang hati. Namun tidak kini. Cukup-cukuplah aku menyusahkan mereka di sekelilingku untuk merungkai permasalahan yang membelenggu hidupku lantaran kehidupanku yang miskin lagi terabai. Walau sepatutnya tidak berlaku begitu kerana aku tinggal bersama seorang nenek yang berada dari sebilangan yang lain itu.
“Kenapamu diam ja…abang cakap sungguh-sungguh ni. Bukan main-main. Biar abang tanggung semua belanja sekolahmu…”
“Terima kasihlah banyak-banyak. Baik sungguh abang dengan kita…”                          
  “Abe memanglah baik denganmu. Sebab abe saye (sayang) komu, bukankah mu ni adik abe…mu ja tak saye ko abe...” Zahari sengaja menarik muka seolah menggambarkan raut wajah rajuknya.
“Abang ni ke situ pulak...mengada-ngadalah abang ni…”
Aisyah terkedu. Tersenyum polos sambil menatapi keindahan alam sekitar yang dilewati kereta yang dipandu Zahari. Dan dia selesa sebagai penumpangnya.
“Nampakmu senyum ja…tak kata apa-apa pun. Abe sungguh-sungguh ni Syah, bukan main-main…”
“Terima kasih banyak-banyak bang…abang memang baik…” Aisyah mengulangi pengucapan terima kasihnya untuk kali yang kedua kerana ia merasa benar-benar terharu dengan baik budi seseorang yang langsung tiada ikatan darah dengannya. Namun silaturahim yang menghubungkan antara mereka terbit dari hati dan jiwa yang suci bersih bersifat insaniah itu mengagumkannya.   
“Terima kasih banyak-banyak sebab abang nak bersusah-payah untuk kita lagi. Tapi adik abang ni nak kena balik ke Pahang dulu. Kena tanya juga pendapat mak dan ayah sebelum apa-apa keputusan dibuat. Abang simpan dulu duit untuk belanja sekolah kita tu ya…mungkin kita perlukannya nanti…”sahutnya dengan senyum mengulum menampakan keceriannya tanda tidak menolak pemberian budi yang akan dihulurkan.
“Ikut sukamu lah weh! Mu bukankah anak yang baik dan seorang anak yang baik itu perlukan pendapat orang  tuanya sebelum membuat sesuatu keputusankan…?”
Zahari terdiam sejenak. Anak matanya memfokus ke arah jalan yang ternyata lengang dengan kenderaan bermotor yang dipacu pengenderanya.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”