بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...


                                                         Bab 25
                                                        Se pucuk surat.    
                                                                              PIC GOOGLE.
                                                                              Dia berhasrat berhenti di situ seketika. Sudah lama rasanya dia tidak bertemu dengan saudara jauhnya yang sekampung dengannya dan berasal dari Melaka itu. Agaknya adakah mak ngahnya itu di rumah? Mungkin adalah kot! Hendak ke mana pula mak ngahnya itu di tengah tengahari begini.
Kalau hendak menghadiri mesyuarat sekalipun tentulah penganjurnya tidak akan menetapkannya pada waktu-waktu begini. Kebiasaannya di sebelah petang antara jam 3.00 hingga 5.00. Demikian konklusi yang dibuatnya tentang gerak kerja mak ngahnya yang sangat aktif dengan kegiatan persatuan wanita setempat itu.
            “Assalamualaikum…oh mak ngah! Adakah orang di rumah?”
            “Waalaikummussalam…di sini woi…,” sahut suara mersik dari sebuah pondok kecil yang terdiri kejap bentuknya di sisi rumah yang dibina panjang menganjur ke belakang dari kayu itu.
            Dia segera menukar arahnya dari posisi tadi berada di muka tangga. Kini melangkah pula mendekati pondok itu.
Sebaik wajahnya terjengul di ruang pondok itu, wanita yang dicarinya ternyata berada di situ sedang melayani kesibukannya.
            “Mak ngah buat apa tu?”
            “Eh! Kau ke Murni? Mak ngah ingatkan siapalah tadi…kau pun dah lama tak ke rumah mak ngah. Itu yang buat tak perasan tadi.” Mak ngahnya tidak memberi jawapan yang ditanya sebaliknya melencong halanya.
            “Nak buat macam mana mak ngah…akhir-akhir ni saya tak ada masa nak ke sini. Ini pun kebetulan mak suruh saya ke kedai beli air batu. Jadi saya pun langsung ke sini dalam perjalanan pulang.” 
            Mak ngahnya tersenyum menyimpan maksud.
            “Mestilah ada sebabnya kau ke sini tu…mesti ada apa-apa ni…”
            “Tak adalah mak ngah…memang saya sengaja nak jumpa mak ngah…”
            “Iyalah tu…,” sambutnya hambar bagaikan tidak percaya dengan pengakuan anak saudara jauhnya itu. Dia lantas bangun dari duduknya dan melangkah ke suatu sudut. Tangannya mencapai sebuah kotak kertas dan membawa bersamanya ke tempat dia duduk tadi. Murni ralit memerhati tingkahnya.
            “Nak buat apa dengan kotak tu mak ngah?”
            “Nak masukan surat-surat ni ke dalamnya…” Mak ngahnya kemudiannya mengeluarkan sejumlah surat  yang banyak bilangannya dari dalam laci meja di hadapannya.
            “Banyaknya…” Murni keterujaan memandangnya.
            “Iya…banyak pula surat yang dibawa posmen ke sini hari ni. Agaknya orang-orang di sini suka berkirim balas surat kot. Sebab tulah banyak surat-surat yang dihantar ke sini. Mak ngah ni sebagai wakil pos tentulah menerimanya saja…”
            “Boleh saya tengok, mana tahu kot ada surat yang dihantar peminat saya heh…heh…”sahutnya dengan senyum terkelemewek dan tawa yang terburai.
            “Hai perasan pula anak buah aku ni…sejak bila pula kau tu ada peminat?”
Mak ngah Hatijah menyodorkan kotak yang berisi surat itu ke hadapan Murni. Dan Murni pantas membeleknya satu persatu. Nampaknya memang tidak ada surat yang ditujukan alamatnya kepadanya atau ahli keluarganya. Namun wajahnya naik serinya setelah menemukan sebuah envelop berukuran 4 x 9 inch.
            “Haa…adapun surat saya. Tak apalah mak ngah, biar saya balik dulu. Takut nanti habis cair pula air batu saya yang saya letak di luar tu…”
            “Tadi kan kata saja datang nak jumpa mak ngah! Ini bila dah dapat surat sepucuk dah nak cabut balik. Sebenarnya hajat kau tu memanglah nak tengok surat kan?...”
Murni tersengih cuma. Tebakan mak ngahnya itu ternyata tidak silap.
            “Dua-dua sekalilah tu. Mulanya nak jumpa mak ngah sambil-sambil tengok surat.”
            “Iyalah Murni, mak ngah faham kebanyakan orang yang singgah ke sini tentulah nak mencari surat-surat yang dikirim kepada mereka kan…termasuklah kau.”
            “Saya kan anak saudara mak ngah…tak disebabkan mencari surat pun saya akan datang ke rumah mak ngah ni…kebetulan saja mak ngah ada benda yang saya cari...”
            Murni menjengok ke luar pondok untuk memastikan keadaan air batu yang dibelinya di kedai pak Kasim tadi. Kelihatannya bentuknya semakin mengecil dari asal lantaran air yang dibekukan itu kembali asal sifatnya menjadi air kerana pengaruh luluh hawa persekitaran..
            “Saya balik dululah mak ngah…nanti saya ke sini lagi. Air batu saya pun dah semakin cair, takut tak sempat nak buat air sirap nanti. Marah pula mak kepada saya…”
            “Iyalah Murni, baliklah cepat, takut tak sempat pula kau nak buat air sirap sebab air batu dah habis cair. Kirim salam mak ngah kepada mak kau ya…” ujar mak ngah Hatijah, empat sepupu kepada emaknya itu tetapi masih berada dalam jurai keturunan yang sama. Maknanya berkongsi nenek moyang.
            “Baik-baik sikit mengayuh basikal tu, jangan sampai jatuh pula. Kau ni orang lain sekarang ni semua dah guna motorsikal tapi kau masih tak penat-penat mengayuh basikal. Suruhlah ayah kau belikan motorsikal sebuah. Senanglah kau nak bergerak ke mana-mana…,” sambung mak ngahnya sambil mengingatkan anak buahnya itu agar berhati-hati menjaga diri disamping memberi saranan. Murni cuma tersenyum saja.
Kebenaran saranan mak ngahnya itu memang ternyata. Namun nampaknya ayahnya belum lagi berupaya menunaikan nawaitunya persis kebanyakan peneroka yang lain yang semakin menukar corak hidup ke arah yang semakin baik. Mungkin setelah ayahnya dikurniakan Allah kelebihan rezeki yang melimpah ruah, tentulah hajat ayahnya itu pasti akan tertunai.
Bersabar sajalah dulu dengan keadaan yang sedia ada itu. Lagipun bukankah bersabar itu separuh dari iman. Murni tersenyum sendiri melayani bisikan kalbunya. Dan kakinya tetap menggateh basikalnya dengan cermat dan berhati-hati.
                                                  
                                                      * * *                                                                                             
Anak kecil itu terlompat-lompat di dalam rajah yang dilukiskannya berpetak-petak di atas tanah. Tidak ada sesiapa yang menemaninya. Dia cuma sendirian. Ralit betul anak itu terlompat-lompat sambil mengangkang kakinya seperti menurut peraturan permainan yang sedang dimainkannya. Permainan teng-teng.
            Muncul pula seseorang di muka tangga. Dia membelek-belek merata sudut seakan mencari sesuatu. Akhirnya pandangannya tertarik kepada anak kecil itu.
            “Haniffmu, mari sini semetar gak…”ujarnya seraya menggamit sasarannya.
            “Tak sir…kita nak main ni…”
            “Main gapo soghe-soghe. Mari tolong abang cari kasut bola nih…tah kat mano pulok mak ni letak…”
            “Cari dengan lutut mano nak napak. Cari gak dengan mata…” balas adiknya membahasakannya sinis.
            “Amboi! Sedapnya bahasamu, nanti mu. Mu tunggu situ nanti abang bagi bahgianmu…” Jerit suaranya itu melangsing ke ruangan rumah.
            “Gapo yang bising-bising tu gak…” Menerjah sebuah suara bertanya.
            “Abang ni kak Syah…dia tak jumpa cari kasut bola,  dia murih (marah) ke kita…”
            Aisyah yang muncul di muka pintu mulai memahami kondisi sebenarnya.
            “Muni Zali, kasut tu mu letak tempat lain, mu cari kat tempat lain. Manalah nak jumpo…”
            “Kita letak kat sini tadi. Tentulah ada di sini. Jadi kita carilah di sini. Nak dicari di mana lagi…” balas adiknya itu dengan wajahnya mencuka lantaran kekusutan yang merumiti mindanya kini.
            “Tebengmu buat lupa pulok. Buke ko semalemu minta tolong kak Syah basuh kasutmu. Mu bawa kasut tu gi dapur. Tentulah ada di dapur…”
            “Iya ko?” Sazali terkulat-kulat, membolak-balikkan sepasang matanya lantaran kenyataan itu tidak diduganya. Sememangnya dia terlupa sungguh dengan apa yang telah dilakukannya petang semalam sebaik dia pulang dari padang bola sekolahnya.     
            “Kak Syah dah tolong basuh ko kasut kita, dah cemar benar tu…”
            “Dah tau cemar kenapa gakmu tak basuh sendiri…”
            “Kak Syah tak tolong basuhkanlah ya! Sampai hati taksir tolong adik sendiri…” Suaranya lirih sekali menuturkannya.                                                           
            Hanif tersengih lebar melihat kedukaan yang ketara di wajah abangnya.
            “Pade muka abe, tadi gak murih kita sangat. Rasalah. Gi main bola pakai selipar ja…”
“Mu ni Hanif tak pade (padan) dengan tubuh yang kecik, suka buat abe mu marah…” Aisyah terjegil dengan lagak memarahi perilaku adik kecilnya itu. Menurutnya seseorang itu ada batas kesabarannya sendiri.
Jadi jikalau hendak melakukan sesuatu biarlah berpada-pada. Janganlah keterlaluan sehingga membangkitkan keadaan yang tidak diingini. Tetapi dia harus juga menerima hakikat bahawa adiknya itu masih terlalu kecil untuk memahami segalanya.
“Taditu abe murih ke kita takpo ko? Tak adillah gitu…”
Sazali mulai meluru hendak melakukan sesuatu terhadap adik yang menyakitkan hatinya itu.
            “Mu nak gi mano pulok tu? Tak payah nak mengerjakan adik tu. Gi ambil kasut bolamu di pelantar dapur, kak Syah dah tolong basuhkan. Mu ni main bola ja pandai, tapi masa nak basuh kasut yang dah kotor menyusahkan oghe…”
            Kemarahannya terhadap adiknya yang mencanak tingginya sebentar tadi segera meredap pula lantaran kakaknya itu telah menyiramkannya dengan kata-kata selembut dan sedingin salju yang didambakan hatinya. Senyuman berkelopak di bibirnya.
            “Hai! Kak ni dah susah payah tolong basuh kasutmu, taksir nak ucap terima kasih ko?...” Sazali berhenti dari langkah yang diaturnya untuk segera mendapatkan kasut yang amat menjadi keperluannya tika ini; berpaling menyoroti wajah kakaknya seraya tersenyum.
            “Terima kasih, terima kasih berlanar (banyak).”
            Tatkala Aisyah mengalih tumpuannya dari adiknya yang itu untuk melihat gerak laku adiknya yang bongsu pula, hatinya terkesima. Seseorang sedang menyaingi adiknya itu terlompat-lompat seiring dengannya di dalam petak-petak persegi itu.
            Walau hanya memandangnya dari belakang tubuhnya, dia tahu milik siapakah tubuh itu. Terik mentari tengahari semakin luntur kerana wajah petang yang meredup suasana. Tanpa takut akan cahaya mentari bakal membakar kulitnya, Aisyah membawa dirinya menuruni anak tangga untuk mendapatkan adiknya dan teman sepermainannya itu.
            “Kak Syah pun nak melompat jugakah?”
            “Sudahlahtu Haniff. Dah lamamu main, renti-rentilah, mak panggilmu ajak minum di dapur. Tadi mak goreng pisang nangka sedap tu…Haniff kansuka makan goreng pisang nangka. Pergilah cepat, lambat-lambat nanti habis dimakan abang Sani dan abang Zalimu…” 
            “Iya ko?” pandangannya menerjah kejora mata kakaknya yang tersenyum lebar melihatkan gelagatnya yang tiba-tiba saja terhenti dari keasyikannya terlompat-lompat itu.
            “Betullah tu Nif, kak Murni datang ke sini pun sebab nak makan goreng pisang nangka mak Hanifflah…pergilah makan dulu. Nanti lepas Haniff makan, kita main lagi,” balas Murni turut membantu Aisyah agar Haniff memberhentikan permainannya.
            “Kak Murni tunggu sini ya, Hanif masuk make semetar…”
            Hanif meluru ke dalam rumahnya sambil berlari kencang. Meninggalkan kakaknya dan Murni yang tersenyum simpul, berbalas pandangan penuh pengertian.
            “Moh kita naik ke rumah!”
            “Tak apalah kak Syah kita duduk di tangga saja. Duduk di luar ni berangin sikit. Lagipun boleh juga melihat orang-orang yang lalu lalang…”
            “Ikutmulah weh…apahalmu ke sini ni? Kak Syah ni faham sangat denganmu, kalau tak ada apa-apa yang mustahakmu takkan mari sini…”
            “Tak ada apa yang mustahak pun kak Syah, cuma nak tolong sampaikan ini…” Murni mengunjukan sampul surat yang dikeluarkannya dari kocek baju panjang yang dipakai bersama seluar panjangnya itu. Fesyen terkini yang sering digayakan remaja masakini iaitu berbaju benggali yang terbelah tepi yang dipakai bersama seluar panjang.
            Surat itu kelihatannya masih sempurna bentuknya dan tidak berkeroyok dan berkerimut di sana sini. Aisyah menyambutnya dengan bauran perasaan keterujaan. Lantaran ingin tahukan siapakah pengirim surat itu.
            “Surat untuk kak Syah nih…?” tanyanya meminta kepastian.
            “Iyalah…memang pun surat untuk kak Syah. Bukankah nama kak Syah jelas tertulis di situ. Kebetulan tadi saya ke rumah mak ngah saya yang jadi wakil pos di sini, terjumpa pula dengan surat kak Syah. Jadi saya pun tolonglah ambilkan.”
            “Terima kasih banyak-banyak Murni sebab tolong ambilkan surat kita…”
            “Sama-sama. Tapi dari sapa surat tu? Nampak stemnya macam dari luar negara je. Dari buah hati kak Syah di luar negara ya! Diam-diam je simpan rahsia ya…rupanya dah ada buah hati orang jauh…patutlah bila dikenen-kenenkan dengan orang-orang di sini langsung buat tak pandang. Rupanya sudah ada buah hati pengarang jantung nun jauh di seberang lautan… ”
            “Pandainyamu nak mengata kak Syah ya! Bukan gitu, surat ni dari kawan kak Syah yang belajar di Amerika tu. Kakak pun tak sangka, rajin pula dia tulis surat pada akak. Tapi bagus juga ya, dapat juga kita tahu perkembangan di luar negara. Kita nak ke sana tak mampu…,” sahut Aisyah dengan alasannya yang selamba.
            “Kak Syah pun boleh kalau nak ke sana…”
            “Macamana tu?”
            “Saya dengar dari adik saya yang belajar di Kuantan, kerajaan akan menghantar pelajar-pelajar yang dapat keputusan yang cemerlang untuk belajar di luar negara. Kak Syah tentulah ada peluang sebab setahu saya kak Syah ni pintar dalam pelajaran. Lainlah saya, belajarpun setakat tahu tulis baca saja…”sahut Murni merendah diri kerana menyedari kemampuan ilmu yang dimilikinya ternyata amatlah sedikit. Ibarat mencecah di permukaan air yang dalam.
            “Entahlah Murni, tak tahu nak kato gapo. Belajar tu memanglah dah sungguh-sungguh tapi keputusan peperiksaan kadang-kadang tidak sama dengan yang kita jangka. Kita rasa kita dah beri jawapan yang betul ikut soalan tapi pemeriksa kata jawapan kita tak kena. Jadi tak luluslah kita.”
            “Begitu pula ya? Saya pun tak tahu kisah dunia orang belajar ni sebab saya pun belajar sikit je…”
            Aisyah meneliti dengan asyik surat yang berada di dalam tangannya itu. Perasaannya pasti membuak-buak tidak sabar lagi hendak mengetahui isi kandungan yang tercatat di dalamnya. Dia yakin sekali surat itu adalah kiriman daripada seseorang yang sangat diingatinya. Yang sentiasa bermain-main di dalam anganan dan ilusi yang membahagiakan perasaannya.
            “Nampaknya macam kak Syah dah tak sabar sangat nak baca surat tu! Tak apalah kalau gitu, saya pun malas nak mengganggu, biarlah saya balik dulu…”
            “Aik dah nak balik? Mohlah naik ke rumah dulu kita make (makan) goreng pisang dan minum air…”
            “Tak apalah kak Syah, saya pun singgah sekejap je. Saya nak ke rumah sda, menghantar bajunya yang mak saya dah siap jahit…”
            “Mana bajunya? Tak nampak pun! Mu saja nak menipu kak Syah ya…”
            “Apa pula nak menipu. Tu…tak nampak dalam pelastik dalam raga basikal tu…”
            Aisyah tersengih saja menyetujui pandangannya. Ternyata Murni tidak mengada-adakan cerita. Atau sengaja mereka alasan untuk meninggalkannya.
            “Saya pergi dululah kak Syah. Selamat membaca surat dari buah hati heh…heh…”
            “Mu ni tak habis-habis nak menyakat kita. Bukan buah hatilah…”
            “Iyalah tu…tak apalah tu, saya pergi dulu…”
            “Terima kasih banyak-banyak Murni…”
            Murni mengangkat tangannya, melambainya mesra sebelum berlalu meninggalkan Aisyah yang tersenyum manis seolahnya menerima habuan istimewa yang amat didambakannya.Hatinya menyimpulkan begitu. Masakan hanya mendapat surat daripada seorang kawan wajahnya kelihatan berseri keterlaluan. Senyumnya pula tersungging sentiasa memaniskan lagi wajahnya yang cantik itu.
Tetapi Murni tetap tidak kisah sekiranya Aisyah tidak mahu menceritakan sesuatu perkara yang dianggap adalah rahsia peribadinya. Itu adalah hak dirinya yang hakiki. Namun jikalau temannya itu mahu berkongsi dengannya rahsianya itu, dia amatlah berbesar hati.

                                                   * * *

Adikku yang tersayang,
Moga adikku sihat walafiat dan berbahagia di samping keluarga yang tercinta. Abang di sini biasa-biasa saja. Kadang kala demam kadang pula selsema. Barangkali juga kerana perubahan cuaca yang drastik dan tubuh yang kerdil lagi kecil ini tidak terdaya menghadapinya. Janganlah adik risaukan apa-apa tentang abang. Tapi jangan pula berhenti dari menyintai dan mengasihi abang. Abang terlalu rindukan wajah manismu. Tidak sabar lagi hendak pulang menemuimu adikku yang tersayang.
Sakit sekali rasanya menanggung rindu terhadap adikku yang tercinta. Jikalau bersayap tentulah abang akan segera terbang melayang mendapatkanmu. Namun apalah dayaku untuk melakukan begitu. Kerinduan ini amat menyiksa jiwa. Dan tidak tertahan lagi jiwa ini hendak menanggungnya.
Lantaran itu hai adikku yang tersayang abang akan pulang kepadamu tidak lama lagi iaitu pada semester break yang pertama. Tunggulah kepulangan abang ya sayangku.
Hanya setakat ini yang bisa dicoret pada tika ini. Mudah-mudahan adikku berbahagia dan senang dengannya. Doakanlah akan kesejahteraan abangmu yang semakin lelah di perantauan ini agar semangatnya tegar dan jitu untuk memburu ilmu demi kasih sayangnya terhadap yang tersayang.
I love you so much.
Rizal Wisconsin Usa. 
                                                                                                                                                            ‘Aku juga amat rindukanmu Faizal. Teramat rindu.’

Segera dilipat semula surat yang telah usai dibaca itu dan dimasukan kembali di dalam sampulnya. Hatinya 

tenang seolah tasik yang biru terhampar menengadah langit petang. Dirinya dibawa keluar daripada 

kamarnya yang sempit ke persekitaran yang lebih luas agar mindanya lebih selesa untuk melayari kenangan 

silam lalu bersama Rizalnya yang tersayang. 

6 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 25.."

Aku Penghibur delete icon 6 July 2014 at 16:12

wahh kali nie perkembangan jalan cerita lebih romantik ^_^

paridah delete icon 6 July 2014 at 16:24

sesekali perlu disulami dgn bahasa cinta yg bombastik...heh...heh...tq acik Aku Penghibur.

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 7 July 2014 at 11:36

Hehe memang bombastik ;)

paridah delete icon 7 July 2014 at 11:54

suke yer...heh...heh..tq zumal.

Defa Ramadhani delete icon 7 July 2014 at 15:16

kerinduan terhadap keluarga memang sulit di tahan.

paridah delete icon 8 July 2014 at 09:47

benar tu tq Dela Ramadhani.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”