بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
                                             Kerja…kerja…kerja…
                                               

            “Kenapa monyok saja ni…orang lain semuanya dah balik makan. Kau tak balik ke?” sapa suara itu. Lantas dia berpaling menghadapinya.
            “Eh! Kau ke Mas…ingatkan siapa tadi…”
            “Habis tu kau sedangkan ingatkan siapa pula…akulah. Siapa lagi…” Halim tersengih saja. Dia kehairanan juga kenapa pula tiba-tiba wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu boleh berada di sisinya pada tika ini. ‘Tentu ada sesuatu yang tidak kena ni…’
            “Laki kau tu ke mana? Aku tak nampak pun dia sejak aku masuk pejabat tadi?”
            “Dia ikut cik Idham ke pejabat wilayah.”
            “Oh…” mulutnya termuncung menyebutnya.
            ‘Patutlah kau berani hendak bertegur sapa dengan aku. Rupanya harimau pengawalnya sudah menjauhi kandang…’ Halim tersenyum sedikit melayani canda gurau fikirnya.
            “Apa pula urusannya sampai sanggup tinggalkan isteri kesayangan keseorangan?” Pertanyaannya bersambung lagi. Sinis. Ada senyum tawar yang terlorek di bibirnya.
            “Manalah aku tahu apa urusannya. Tentulah pengurus tu nak menghadiri mesyuarat dengan ketua-ketuanya yang lebih atas tu…” jelas Masyitah.
            “Yang aku tanya tu tentang laki kau, buat apa dia menyibuk mengikut pengurus ke pejabat wilayah tu…yang nak bermesyuarat pengurus, bukannya laki kau…”ujar Halim dengan sengihnya kerana mengutarakan ayat dengan nada menggiat.
            “Agaknya tentulah cik Idham yang suruh dia ikut sekali. Kalau tidak masakan dia nak ke sana tanpa sebab pula…” Kata-kata sinis Halim yang berunsur sindiran itu pantas dipintasnya.
            Wajah bulat yang cerah kulitnya itu berubah mendung secara tiba-tiba sejurus kemudiannya.
            “Kau ni bertanya macam tu kenapa? Buat aku risau saja…”
            “Apa pula yang nak kau risaukan. Bukankah dia suami terbaik pilihanmu?” Dia terkedu. Termangu mendengar lontaran bicara yang diyakini maksudnya, menempelak secara halus.
            Suatu ketika dulu dia merasakan Halim adalah lelaki impiannya walau tiada bicara kasih yang pernah bertukar. Dan dia pasti Halim juga berperasaan sama sepertinya. Tapi entah kenapa hatinya boleh bertukar rona dan citarasa sebaik bersama Zaini di dalam ruang sempit pejabatnya setiap hari.
Kini dia hanya mampu menganggap Halim sebagai sahabatnya sahaja. Sahabat baik yang memahaminya. Jikalau boleh ingin dikongsi semua masalahnya dengan sahabatnya itu.
            ‘Entahlah Lem, mutakhir ini aku jadi risau tidak menentu setiap kali suamiku itu tidak berada di sisiku. Sentiasa paranoid. Mungkin sejak aku terdengar bisik-bisik yang dibawa angin mengatakan suamiku itu sedang memandang-mandang yang lain. Masakan memandang-mandang yang lain saja pun tidak boleh? Keterlaluan sekali sikapku ini. Aku hanya mahu lelaki yang aku sayangi, yang aku cintai, tidak berpaling dariku. Menatap wajahku tiap tika. Mustahillah tu!’
            “Entahkan suami kau tu ada girl friend gadis-gadis kerani di pejabat wilayah tu tak! Entahkan pula dah terpikat dengan ASDO w (Pegawai pembangunan wanita) yang selalu datang ke pejabat kita ni.Sebab tulah dia selalu mengikut pengurus ke sana…kah! kah! kah!” tawanya berderai tidak terkawal lagi lantaran candanya yang mengusik itu. Masyitah terusik hatinya. Lalu dicapainya kayu pembaris di hujung meja sahabatnya itu lantas dipukul bahunya sedas dua.            
            “Nah ambik kau…rasakan. Kau ni sedap saja nak mengata laki aku ya…laki aku tu takkan begitunya…”
            “Isyh kau ni janganlah woi! Sakit tu…”
            “Tahu pun kau sakit…kau fikir hati aku tak sakit bila kau mengata-ngata laki aku?” balasnya dengan nada amarah yang disengajakan. Sepasang matanya turut membeliak bulat mengiringi maksudnya yang terlampias.
              “Iyalah tu…hari ini kau pujilah kebaikan laki kau tu…esok lusa tak tahu lagi kan…” sikapnya memprovok Masyitah masih ketara diperlihatkan.
            “Hai sembang apa rabung sangat ni…sampai terdengar kau mengelekek kat luar sana. Aku pun cepat-cepat tongkat motor dan masuk ke sini. Aku pun nak tahu juga apa yang sebenarnya sedang kau berdua sibukkan. Mana tahu kot ada berita kita dapat bonus tiga empat bulan gaji kah,” sapa suara yang tiba-tiba mencelah di ruang antara kedua-duanya.
            “Bonus tiga empat bulan gaji? Woih banyak tu…kaya kita…tapi jangan mimpilah…perbadanan takkan bagi kita bonus sampai banyak tu…”
            “Manalah tahukan! Mungkin juga perbadanan sanggup bagi kita bonus sebanyak tu, sebab ladang-ladang sawit dan getah yang diusahakan telah mengeluarkan hasil dan harganya pun tinggi juga di pasaran sekarang ni…”
            “Kau yang anggap begitu. Tapi perancangan pihak pengurusan tertinggi lain pula. Apabila projek kecil di sini memberi kejayaan, tentulah mereka merancang membesarkan lagi projek perladangan sawit ni sehingga menjangkau luar dari semenanjung ini. Modal pembiayaan untuk projek besar tentulah lebih besar.
Sumber kewangannya tentulah dari keuntungan sawit yang diusahakan pengeluarannya oleh para peneroka sekarang ni. Jadi kita takkan dapat apa-apa dari sumbangan kita yang turut terlibat dalam projek mega ini. Berpuas hati sajalah setakat apa yang kita ada Salimah!”
            “Manalah kau tahu semua ni?”
            “Aku tahulah sikit-sikit, dari cik Idham, dari surat kabar, dari berita radio…,” sahut Halim sambil menyenaraikan media yang menjadi sumber info kecapaiannya.
            “Habis apa yang dibualkan tadi? Nampak melucukan sungguh. Hinggakan ketawa terbahak-bahak…”Tanya Salimah teruja ingin tahu.
            “Tak ada apanya. Si Masyitah ni…bila tidak ada lakinya barulah dia datang cari aku, ajak berbual. Kalau tidak tu asyik berkepit saja dengan lakinya. Macamlah dalam pejabatnya ni dia dengan lakinya saja yang ada. So aku kenakanlah dia sikit. Saja saja menyakat…”
            Masyitah tersengih saja mendengar pengakuan Halim itu. Memang dia juga pasti lelaki itu sengaja menyakatnya untuk menyakitkan hatinya.Lantaran dia sudah lama mengenali hati budinya yang baik itu.
            “Dah dia ada laki mestilah berkepit dengan lakinya. Yang kau jeles tu apasal? Tak ada Zaini beranilah kau menyakat  Masyitah ya. Bila ada dia kau nak memandangnya pun tak berani...” sahut Salimah disamping cuba nempertahankan kewajaran perilaku teman sejenisnya itu. Kewibawaan Halim diperlekehkan dengan senyum sinis.
            “Isyh… kau berdua orang perempuan sama je. Kalau dah ada laki asyik nak berkepit dengan laki sepanjang masa. Sampaikan orang lelaki yang jadi laki tu tak boleh nak bernafas…huh susahlah gitu…” sahutnya menyanggah pernyataan yang tidak releven dengannya itu.
            “Kau mana tahu? Kaupun belum jadi laki orang. Bila kau dah kahwin nanti agaknya perangai kau lebih hebat dari Masyitah dan Zaini…” Kegelisahan Halim yang serba tidak kena lantaran diprovok bersungguh-sungguh itu membuatkan kedua-dua wanita itu tersenyum sumbing.
            Halim terkedu. Terasa malas pula hendak melayan bicara yang objektifnya pada pengamatannya hanya mengetarakan kelemahannya sebagai lelaki. Jikalau dia asyik melayannya tentulah akan berpanjangan tidak berkesudahan. Lebih baik ditamatkan saja.
            “Dah terdiam pun kau ya…”
            “Ah! Malaslah aku nak layan semua tu…”
            Senyuman manis menyeri wajah gadis itu kerana hatinya sedang merayakan kemenangan perdebatan ide yang penuh berisi mengalahi lawannya.
            “Betul kata kau tu Imah. Kita tengok saja nanti…tapi apakata kau saja yang kahwin dengan dia. Mesti kelak kau berdua akan jadi pasangan yang bahagia...”
            “Wah! Pandainya nak menjodohkan orang pula ya…aku tak desprate lagi nak kahwin buat masa ni. Lagipun Lem ni sentiasa sibuk dengan kerja dia asyik berulang dari pejabat ke ladang saja. Tak ada masa untuk yang lain-lain. Kalaulah aku yang kahwin dengan dia alamat meranalah hidup aku…”
            “Iyalah tu…sebab fikiran kau pun sama saja dengan Masyitah kan! Kalau dah kahwin asyik nak berkepit saja dengan lakinya…” balas Halim pantas dengan bidasan sindiran yang mengejek. Dia langsung tidak kisah akan sikap Salimah yang menolaknya mentah-mentah itu. Lagipun dia tidak pernah menyimpan walau sekelumit rasa terhadap gadis itu melainkan menghormatinya sebagai rakan sepejabat.
            ‘Kau sebenarnya tidak lagi mengenal hati budi Halim ini Salimah! Bagiku dia seorang yang sangat baik. Selalu menolongku suatu ketika dulu dan sangat mengambil berat kemasylahatanku. Tapi entah kenapa aku tidak memilih dia sebagai pasangan hidupku sedangkanku rasa dia sangat memahamiku. Apakah aku tersilap membuat pilihan? Ah! Jodohku memang sudah tersurat di azali dengan suamiku kini barangkali…’ Monolog Masyitah membuai di buaian mindanya.
            Salimah pula bukannya tidak tertarik dengan Halim, malah kewibawaan dan peribadi lelaki itu sangat memikat hatinya namun lelaki itu yang dilihatnya tidak langsung menunjukan sebarang respons terhadapnya. Dia tidak mahu menggantungkan harapan tinggi yang tidak mampu tercapai tangan.
            Namun dia masih berharap sekiranya lelaki itu mahu berpaling kepadanya dengan pandangan penuh berisi kasih abadi. Sekiranya itu yang berlaku dia tidak akan mengatakannya “tidak.”
            “Kau ni dari mana Imah?”
            “Biasalah kerja aku…sentiasa sibuk bertemu dengan para ibu-ibu, suri-suri rumah tangga di sini. Sekejap ke peringkat satu, sekejap lagi ke peringkat dua. Kemudian masuk belok A, kemudian masuk belok B dan seterusnya. Begitulah kerja aku ni…tak habis-habis, bersambung begitu setiap hari. Takkanlah itupun kau tak tahu…tak payahlah bertanya lagi,” balasnya dengan nada kejengkelan yang ketara. Mungkin dirinya merasakan soalan yang klise itu sangat leweh dan tidak perlu ditanya kepadanya.
            “Iyalah…aku tahulah itu kerja kau. Takkanlah nak bertanya pun tak boleh? Cepat sangat temper. Tensyen tak habis-habis...”
            “Iyalah Imah, bawa bertenang. Nanti tak pasal-pasal naik pula blood presure kan susah. Muda-muda lagi dah kena darah tinggi…”
 Salimah tidak menjawab apa-apa. Dia cuba menenangkan dirinya, mengawal emosinya agar tidak menjengkelkan perasaan kawan-kawan sepejabatnya dan menganggapnya sebagai orang yang tidak boleh dibawa berbincang.
            Mulanya tadi hatinya ceria sedikit setelah mendengar riang ria kawan-kawannya itu berceloteh seraya berketawa. Namun keriangan yang dirasakannya itu hanya seketika. Sirna sebaik saja Halim mengungkit tentang tugasannya hari ini.
            “Aku rasa kau ni mesti sedang berdepan dengan masalah yang dibawakan isteri-isteri peneroka itu kepadamu! Kalau tidak kau tentu tak stres sampai macam ni. Kalau tentang masalah lembu yang masuk ke kawasan perkampungan dulu, kau tak perlu risaukan lagi. Perkara tu sudah di bawa pengurus ke dalam mesyuarat JKKR. Tentulah sudah ada tindakan yang diambil penternaknya untuk mengawalnya. ”
            “Masalah itu pun satu juga. Masih juga belum selesai. Lembu lembu tetap berkeliaran pada waktu malam, meragut tanaman orang. Ditambah lagi dengan satu masalah rumit yang terpaksa aku selesaikan...”
            “Apa pula masalahnya kali ini? Cuba kau ceritakan…”
            “Pelbagai. Kau nak dengar ke? Banyak ni…boleh buat senarai satu persatu...”
            “Senaraikanlah…biar aku dengar…,” balas Halim memperlihatkan sifat kesabaran yang menjati dirinya.
            “Aku pun nak dengar juga…ceritakanlah Imah…”
            Halim memandang Masyitah tajam. Seolah pandangannya itu mengandungi maksud tersendiri.
            “Kenapa kau pandang aku begitu Lem? Kau fikir aku tidak layak tahu tentang masalah orang lain sebab kerja aku hanya menaip surat…begitu ya?”
            “Taklah begitu, aku tu cuma risaukan kau tu saja…kerja yang kau hadap setiap hari pun dah tentu memeningkan kepala kau. Ini nak ditambah lagi dengan mengadap masalah orang lain. Tentu bertambah pening kau dibuatnya. Macam aku dan Salimah dah memangnya kerja kami ni berurusan dengan peneroka di sini. Jadi tak adalah masalah sangat bagi kami…”jelas Halim lunak. Tidak mahu Masyitah prejudis terhadap maksud sebenarnya.
            “Aku tu nak tumpang dengar saja. Manalah tahu kisah hidup mereka itu boleh diambil sebagai iktibar…kalau kau berdua tak nak aku tahu, tak apa okey je…aku boleh tinggalkan kau berdua…” Masyitah mula bangun ingin meninggalkan kedua-duanya kerana dirasakan kehadirannya di situ hanya mengganggu.
            “Kau ni Lem, cakap macam tu pula…kan dah merajuk Mas…”
            “Aku cakap je Mas…kau jangan merajuk pula. Tak ada siapa nak pujuk kau nanti…laki kau tu pun tak balik lagi…heh…heh…” gelak Halim yang spontans itu membuatkan Salimah turut tersenyum tipis.
            “Kau jangan pedulikan si Halim ni Mas…dia ni memang suka menyakat kau…biarkan dia dengan perangainya tu…apalagilah kalau Zaini tu tak ada, seronoklah dia nak membuli kau…”
            “Isyh tak adanya aku ni begitu. Sudah! Sudah! Kau jangan nak merepek pula. Kalau kau rasa kau nak cerita masalah tu kau ceritalah, kalau taknak, kau hadaplah masalah tu sorang-sorang…aku pun nak ke ladang ni…”
            “Eh! Kau pula yang nak merajuk Lem…entahlah dah nasib aku agaknya, dibebani masalah yang membuatkan orang lain turut bermasalah…nampaknya terpaksalah aku simpan masalah aku tu sebelum aku bawakannya kepada pengurus…”
            “Pedulikan rentak Halim tu Imah…kau ceritalah. Aku ni memang tak boleh jadi penyelesai masalah tu tapi aku ni akan jadi pendengar yang baik…”
            Halim masih tidak berganjak dari kerusi yang didudukinya walaupun katanya dia tidak berminat ingin tahu kisah isteri-isteri yang membawa masalah kepada temannya itu.
            “Hai! Tadi kata dah tak nak dengar…tapi masih juga tercongok di situ…”
Lelaki itu tersengih saja. Maknanya dia masih berminat ingin tahu kisah hidup sekelompok masyarakat yang juga berkait rapat dengan kerjaya sehariannya.
Sebuah masyarakat yang dibentuk secara tersusun dan dirancang sebaiknya oleh pihak pengurusan LKTP agar jauh lebih efisyen sifatnya dari komuniti yang wujud secara tradisi. Namun banyak udang tentulah banyak garamnya, banyak orang banyaklah pula ragamnya.
            “Kau tahu! Seorang isteri tu mengadu kepada aku, dia tidak tahan lagi dengan sikap suaminya yang buat perangai di belakangnya…mencuranginya. Dia pun merancang hendak bercerai dengan suaminya. Sebab dia merasa malu sangat apabila jiran-jirannya bergosip tentang suaminya yang asyik-mahsyuk berkasih-kasihan dengan si anu…”
            “Siapa si anu tu…?” Tanya Masyitah mencelah.
            “Siapa yang kau maksudkan sebenarnya?” Tanya Halim pula. Kesamaran fakta yang diberi, diminta Salimah memperjelaskannya.
            “Adalah orangnya. Tak payahlah kau berdua nak tahu detil pula…” sahut Salimah, berusaha mengelak diri dari menjadi pengumpat pada kisah benar. Kawan-kawannya turut berkompromi dan tidak bertanya lagi.
            “Habis apa yang kau nasihatkan…?”
            “Itulah yang buat aku pening kepala ni…aku pun bukannya kaunselor rumah tangga, kerja nasihat-menasihati orang ni bukan bidang aku. Tambah lagi aku pun belum ada pengalaman tentang tu…serabut kepala hotak aku dibuatnya…”
            “Tapi kau juga diberi latihan sebelum berkerja dulu bagaimana caranya hendak mendepani peneroka yang bermasalah kan…takkanlah kau tak boleh handle semua tu…”
            “Betullah tu, ada latihan yang diberi semasa kursus. Tapi teori dan praktikalnya sangat berbeza…macam bumi dan langit…” Keluhannya terlarut bersama suaranya yang terlafaz mersik, menyatakan ketidak-upayaannya..
            “Kau tak ceritakan kepada si anu yang beria-ia nak bercerai dengan suaminya tentang kemungkinan berita yang sampai kepadanya itu cuma cakap-cakap orang yang ingin merobohkan rumah-tangga mereka…dan dia tidak boleh terburu-buru bertindak…”
            “Dah…katanya dia memang yakin suaminya mencuranginya; dia ambil keputusan hendak bercerai saja. Hatinya luka, sakit, kecewa dan dia tidak tahan lagi menanggungnya…aku nak kata apa lagi…”
            “Kalau sampai hendak bercerai-berai memang berat kes tu…aku pun tak tahu nak kata apa…” Halim tidak tahu lagi bagaimana mahu menyumbang ide pada masalah yang dibentangkan Salimah itu.
Dan Masyitah pula hanya memandang polos kebingungan. Lantaran cerita kemusnahan rumah tangga yang dimeterai dengan ijab dan kabulnya sangat digeruninya.  Mudah-mudahan penyakit rumah tangga yang membawa retak menjadi belah itu tidak menjangkit ke alam rumah tangganya. Harapan yang dijunjung, menggunung tinggi.  
            “Kalau laki aku aku yang buat begitu…hai tak boleh nak cakap rupanya perasaan aku. Agaknya aku pun akan tuntut cerai juga kot…” balas Masyitah dengan kesimpulan mudah.
            Halim berpaling menyoroti wajah sayu bersuara lemah itu. Hatinya turut tersentuh mendengarkan keluhan jiwa wanita itu. Seorang wanita yang sentiasa mengharapkan kebahagian melestarikan kehidupan rumah tangganya sehingga akhir hayatnya. Tetapi alam yang belum dihuninya ini pada firasatnya tidaklah selalunya indah.
Ombak kehidupan tidak sebiru warna yang dipandang. Tenang. Adakalanya ia membadai dan menyiksakan laksana dilanda tsunami perasaan. Terpaksalah menerima hakikat bahawa langit itu tidak selalunya cerah.
            “Satu kes lagi tu pun kisah hendak menuntut cerai dengan suaminya juga kerana dia rasa suaminya tidak membahagiakan hidupnya. Tapi malangnya suaminya tidak mahu menceraikannya walau apa keadaan sekalipun…sedangkan dia tahu isterinya curang terhadapnya dan bercinta dengan lelaki lain…pelik aku…”
            “Dayuslah suami yang begitu…,” ujar Halim pantas membuat kesimpulan.
            “Nampak macam ada kait-mengait kes pertama dengan kes kedua yang kau ceritakan tu…,” balas Masyitah seolah menganalisis.
            “Memang pun…”Salimah mengiakannya.
            “Macam-macam hal manusia di dalam dunia yang fana ni ya…”
            “Aku rasalah di pejabat kita ni sepatutnya ada seorang kaunselor khusus untuk memberi kaunseling kekeluargaan pada masyarakat di sini, supaya tidaklah SDA   (w) macam kau terpaksa buat kerja yang psikik begitu. Seseorang tu perlu ada kemampuan psikologi yang tinggi untuk menangani kes kejiwaan macam ni. Bukannya orang macam kita ni…”ujar Halim mengutarakan pendapatnya yang mengilhami benaknya secara tiba-tiba.
            “Aku pun setuju dengan pendapat kau. Dengan begitu tidaklah aku dibebani dengan masalah yang tidak sepatutnya aku tangani…”
            “Kau ni kalau bab nak menyenangkan kerja kau setuju saja ya….” sela Halim dengan sengih menggiat.
            “Itu dah mesti…siapalah yang nak buat kerja susah dan memeningkan kepala saja oii…” balasnya dengan senyum ceria kesukaan.
            “Tapi aku rasalah, masalah bercerai berai di sini sepatutnya tidak berlaku. Sebab komuniti di sini lebih terdidik dengan pelbagai info yang disalurkan pihak pengurusan melalui kita. Jikalau ada masalah yang bersangkut paut dengan agama, mereka boleh ajukan kepada imam atau ustaz kita. Bukannya main bertindak ikut perasaan saja…”
            “Itu kata kau Lem…kadang-kadang bila emosi sudah menguasai fikiran, cakap pak imam yang turun dari langit pun tak akan diambil kisah…,” kata Salimah pula.
            “Kau ni tiba-tiba saja tersebutkan pak imam tu kenapa? Haa…mesti ada-ada sebabnya ni. Pak imam tu pun aku nampak bukan main baik dengan kau, agaknya kau pun bercadang nak jadi menantu dia ya…”
            “Isyk kau ni Mas…tiba-tiba mengalih topik pula…tadi bincang hal lain, ini dah ke lain perginya…”
            Salimah terkedu. Anak matanya bersinar menerangi wajah Masyitah kerana dia langsung tidak tahu perkembangan terkini tentang lelaki yang dipujanya di dalam diam itu.
            “Begitu ke Mas?...”
            “Iya Imah…pak imam tu siap ikut dia naik motor ke ladang lagi…tentulah banyak perkara yang hendak dibincangkan dengan bakal pak mertuakan Lem…”
            “Isyh kau ni Mas…nampak saja apa aku buat…”
            “Aku tak tahu pun…begitu ceritanya ya…” celah Salimah. Getar suaranya lemah mendatar. Kecewa hatinya kerana merasakan kemesraan yang terbina antaranya dan Halim selama ini tidak menyiratkan apa-apa makna di dalam kamus kehidupan lelaki itu.
            “Kau memanglah tak tahu Imah sebab kau selalu ke hulu, ke hilir dengan motor kau tu bertemu dengan mak, mak orang. Aku yang berada dalam pejabat ni dari pukul 8.00 sampai 4 suku, aku tahulah…”
            “Kau jangan nak percaya temberang Mas ni Imah. Tak adanya begitu…pandai saja nak mengenakan aku…”
            “Jadi tak betullah apa yang aku katakan itu…?”
            “Cerita pak imam ikut aku ke ladang tu memanglah betul…,” sahutnya mengiakan.
            “Kalau dah betul, maknanya memanglah betul apa yang aku kata…”
            “Tapi maksudnya yang tak betul. Kerana pak imam tu ajak aku ke ladang sebab nak minta tolong aku tentukan batu sempadan tanah lot kebunnya. Kebunnya tu bukankah bersempadan dengan hutan dan ada pula seorang hamba Allah yang sedang memugar hutan itu untuk dijadikannya dusun dan lain-lain projek pertanian. Pak imam tu bimbangkan kerja-kerja kawan tu melarat sehingga melangkahi sempadan tanahnya. Lagipun lot pak imam juga termasuk dalam kawasan hutan dan semak samun tu…”
            “Begitukah!...”
            “Iyalah…begitulah. Nak macamana lagi…dah puas hati kau…?”
            Salimah dan Masyitaah saling berbalas pandangan dan melemparkan senyum sesama mereka lantaran wajah Halim yang berubah riaknya kerana beria-ia menuturkan penafiannya.
            “Kau ni Mas, sekejap tadi nak jodohkan aku dengan Salimah, tiba-tiba pula nak kaitkan aku dengan anak dara pak imam pulak…isyh tak faham betul aku…mana satu sebenarnya yang kau nak suruh aku pilih ni…”Wajah kedua-dua wanita di sisinya dijelah silih ganti. Dan senyum sinis bermain di sudut bibir. Hanya hatinya yang tahu apa sebenarnya kemahuannya.

                                                   
                                                                        

12 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 23 ............"

kampungjasa Incku delete icon 30 Jun 2014 3:45 PG

seru sekali ceritanya sist disaat pagi hari seperti ini .. :D

paridah delete icon 30 Jun 2014 10:11 PG

terima kasih kampungjasa Incku sempat baca walau kak post pada pukul 3 pagi.

babYpose delete icon 30 Jun 2014 12:26 PTG

dulu kat umah emak dekat sawit, ada lembu lalu lalang best jugak tengok, rasa semulajadi dariNya.

paridah delete icon 30 Jun 2014 3:49 PTG

alam semula jadi n kejadiannya yg mengujakan kita hamba2nya...tq babYpose.

Sylarius Yusof delete icon 30 Jun 2014 4:34 PTG

Menarik latar penceritaan berdasarkan suasana estet ni. Kat Malaysia, jarang cerita berlatarkan rakyat biasa diangkat menjadi popular. Kat media massa, balik-balik cerita latar korporat je yang disajikan kepada kita. Padahal, scene korporatnya nampak sangat dibuat-buat.

acik idah delete icon 30 Jun 2014 4:44 PTG

Selamat Menjalani Ibadah Puasa Kak Paridah... :)

Awan Bose delete icon 30 Jun 2014 4:45 PTG

menarik juga ceritanya, tapi sepertinya perlu saya ulang membacanya, soalnya belum selesai, hehehe...

paridah delete icon 30 Jun 2014 6:04 PTG

orang kita ni suka dibuai dgn cerita kekayaan n kemewahan walau hakikat sebenarnya xramai kita yg begitu...xmengapalah mungkin boleh penjadi pendorong semangat mencapai kejayaan dlm dunia korporat...tq Sylarius Yusof.

paridah delete icon 30 Jun 2014 6:07 PTG

selamat berpuasa idah...berbuka apa ptg ni mesti sedap tu...tq

paridah delete icon 30 Jun 2014 6:08 PTG

banyak bab tu...kalau rajin bacalah...tq Awan Bose.

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 30 Jun 2014 6:15 PTG

best..nice sharing

paridah delete icon 1 Julai 2014 2:39 PG

tq Muhammad Khairuddin Lim.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”