بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...



KELIBAT seseorang susup sasap menyelinap di sebalik rimbunan pelepah sawit yang melempai hingga menutup perdunya. Kemudiannya terus hilang tanpa terkesan lagi. Aisyah mula menggelabah hatinya. Bimbangkan nawaitu seseorang itu yang negatif terhadap dirinya. Tetapi dia tidak perlu terlalu risau dan kalut kerana seseorang itu telah menghindar jauh daripadanya.
Namun hatinya tertanya-tanya, siapakah orang yang tergesa-gesa menghilang sebaik perasankan keberadaannya di situ. Seakan yang tertangkap lensa matanya, kelibat itu bukan satu, malah dua. Dia tidak jadi meneruskan langkah untuk mendebungakan bunga sawit lebih jauh ke dalam baris sawit yang ditentukan. Sebaliknya keluar ke jalan utama. Kerjanya tidak dibereskan sebaiknya.
            Dia termangu di atas tunggul kayu balak yang semakin mereput kerana telah lama ditebang ketika pembersihan tanah untuk projek ladang ini dahulu, menantikan kawan-kawannya keluar dari baris masing-masing setelah menyelesaikan tugasan mereka.
            “Hai cepat pula kau keluar dari baris kali ni? Kalau tidak tu puas dipanggil baru nak keluar…” Dia tersengih mendengar sapaan dari belakangnya sambil menoleh ke  arah suara itu.
            “Takut…ada hal sikit kat dalam tu…” sahutnya lemah.
            “Apa halnya? Kau terserempak dengan ular sawa berkepala duakah?” kawannya itu masih menujahnya dengan pertanyaan-pertanyaan yang menjengkelkan lagi menyeramkannya.
            ‘Rupanya di sini juga ada ular sawa berkepala dua! Eee seramnya…’
Bahunya terangkat drastik menunjukan keseraman yang melanda hatinya. Dan romanya meremang tiba-tiba.
            “Muni Sal…menakutkan kita ja…tapi ada betulkah ular sawa berkepala dua tu?”
            “Ada memang ada…,” jawab Salmiah dengan sengihnya mengeleweh.
            “Yang aku selalu jumpa cuma ular hitam atau kuning yang berlengkar dalam pelepah kelapa sawit tu. Tapi aku tak pasti kepalanya ada berapa. Aku pun tak berani nak tengok kepalanya. Lebih baiklah aku cabut sebaik aku terlihat benda alah tu. Eee… tak berani aku nak dekat…”
            “Dah kau ni penakut sangat tak dapatlah kau nak tengok benda aneh tu…”
            “Lebih baiklah jadi penakut daripada berani tapi membahayakan keselamatan diri…” ujarnya tidak malu mengaku kelemahan diri bila berhadapan dengan makhluk Allah yang menerbitkan fobia di hatinya.
            ‘Yang aku nampak tadi bukannya ular yang menakutkan. Tapi orang kot…entahlah…tak pasti pula.’
            “Aik…siapa pula yang biarkan bunga-bunga sawit ni tanpa kesan debunga ni…?” Jerit sebuah suara dengan langsing. Pemunya suara itu sedang melangkah ke arah Salmiah dan Aisyah. Melihat gaya orang itu, Salmiah menghindar diri daripada Aisyah agak jauh.
Dia jeran hendak bertemu dan bertegur sapa dengan orang yang telah melukakan hatinya itu. Ikutkan hatinya mahu saja ia berhenti kerja kerana tidak mahu lagi berhadapan dengan lelaki itu. Tetapi terpaksa disabarkan hatinya tatkala mengenangkan keluarganya yang mengharapkan bantuan sumber kewangan daripadanya.
Walaupun pendapatannya sangat kecil namun tetap menambahkan bilangan yang kurang buat perbelanjaan persekolahan adik-adiknya. Baginya hidup ini realistik Bukannya sekadar igauan dan mimpi-mimpi indah. Jadi dia perlu bersabar menempuhi kegetiran ujian-Nya. Dia reda dengan hakikat ketentuan jodoh. Mungkin seseorang yang jauh lebih sempurna daripada Arman ditakdirkan untuknya. Mana tahu!
            “Awak yang masuk dalam baris tu tadi kan Syah? Kenapa awak tinggalkan bunga-bunga tu tidak didebunga?” tanyanya keras; berdesing ke deria dengar Aisyah. Ternyata nadanya tidak menyenangi situasi yang ditemuinya.
            “Maaflah abang Man saya tak sempat nak buat. Saya terserempak sesuatu kat dalam tu…saya rasa takut dan terus keluar dari situ,” jawab Aisyah lirih, menyertakan alasannya sekali dan tidak menafikan kesalahannya.
            “Awak tinggalkan bunga-bunga sawit yang sedia didebunga begitu saja Syah? Kalau kebetulan ada pegawai-pegawai ladang yang datang memeriksa dan terjumpa dengan kerja-kerja awak yang tidak langsai itu tentu saya yang kena marah. Sebab saya dikatakan tak pandai nak awasi pekerja-pekerja di bawah saya.”
            “Alah abang Man…bukannya banyak bunga yang ditinggalkanpun (tanpa didebunga),” Aisyah bersuara lemah. Masih beranggapan bahawa kesalahan yang dilakukannya tidak seberapa.
            “Tak banyak awak kata! Saya dah check tadi, ada lima enam tandan yang tidak disembur debunga. Kalau setakat satu tandan saja bolehlah juga dimaafkan sebab mungkin terlepas pandang. Tapi bila dah sebanyak itu dah dikira tak amanah dengan kerja yang diberi Syah...”
            “Saya bukan sengaja pun bang. Dah saya cakap tadi…saya terserempak sesuatu, mungkin hantu kot…” Aisyah menerapkan alasan yang tegar agar mandur itu mengasihaninya dan tidak berterusan memarahinya.
            “Awak jangan buat alasan yang mengarut Syah. Masakan ada hantu di siang hari begini.”
            “Saya yang jumpa, bukannya abang, tentulah saya tahu. Hati saya yang kata begitu,” ujarnya tegas dan tegar keyakinannya.
            Arman tergeleng-geleng mendengarkan penjelasan yang dirasakannya tidak munasabah itu.
            “Kalau bukan hantu pun yang ada di dalam tu…dah saya rasa takut nak buat macamana. Tentulah saya cabut dari situ,” sambung bicara Aisyah lagi; meluahkan kedongkolan hatinya.
            “Saya nak awak masuk semula ke dalam barisan sawit tu dan sembur debunga pada bunga sawit yang awak tinggalkan tu…”ujarnya keras dengan unsur perintah yang tegas.
            “Abang Man ni biar betul…saya takut nak masuk semula ke dalam baris tu…”
            “Saya tetap nak awak masuk semula. Tak boleh nak berlepas tangan begitu saja dengan tugas kita. Mungkin juga hantu yang awak katakan tu terkejut juga tengok awak dan dah cabut lari dari situ,” balas Arman dengan sikap tegasnya namun ada senyum kecil yang tersungging di bibirnya melihatkan kegelabahan gadis manis itu apabila diprovok begitu rupa.
            “Tak. Saya tak mau….”
            Deruman injin motorsikal memecah keheningan suasana. Kedua-duanya tidak mempedulikan siapakah yang bakal mengenderainya dan lalu di jalan pertanian di sisi mereka. Begitu asyik sekali mereka mempertikaikan permasalahan itu.
Seorang menegaskan arahannya mesti dipatuhi. Seorang pula merasa berat hati untuk memenuhi arahan itu lantaran ketakutan yang menyerang perasaannya.
            “Apa yang dikecohkan sebenarnya ni…sehinggakan saya ada di sebelah pun tak sedar,” celah suara itu di tengah bicara yang tegang itu.
            “Eh…cik Halim rupanya. Maaflah saya tak perasan tadi…” balas Arman dengan rasa sedikit gemuruh kerana keterkejutannya. Aisyah pula keserbasalahan. Kebetulan benar pula terjadi apa yang dikatakan Arman sebentar tadi. Dia menyangka pastinya pegawai LKTP itu datang untuk menyelia tugasan perkerja-perkerja di situ. Dan dia telah melakukan kesalahan yang tidak disengajakan. Gelabah sungguh hatinya. Ingin saja dia menghindar jauh dari situ.
            “Apahalnya Aisyah? Apa yang ditengkarkan tadi?” Tanya Halim sebaiknya dilihatnya gadis itu mulai melangkah hendak meninggalkan mereka.
            “Tak ada masalah pun. Hal kecil saja. Abang Man ni yang besar-besarkannya…” balas Aisyah bersahaja cuba menenangkan kegusaran hatinya.
            “Iyakah Man?”
            “Mungkin kepadanya itu masalah kecil. Tapi tidak pada saya…”
            “Apalah masalahnya yang besar sangat tu sehingga tidak ada jalan penyelesaiannya. Asyik bertengkar saja tentu tak selesai masalahnya. Cuba awak ceritakan...”
            Arman mula mengungkap cerita.
            “Aisyah ni dia dah masuk ke dalam baris tu…tadi. Tapi bila saya pergi periksa
banyak bunga sawit yang tidak disembur debunga. Bila saya tanya kenapa, katanya dia takut nak buat kerja dalam baris tu, ada hantu…kah…kah…”
            Halim cuma tersenyum sedikit. Tidak turut berketawa bersama Arman. Hatinya melarangnya. Di dalam ruang ladang yang luas ini, kemungkinan ujud persis yang ditanggapi Aisyah itu sukar juga hendak dipertikai. Tetapi manusia selaku khalifah di muka bumi yang ditentukan Allah ini diberi pelbagai keistimewaan, kelebihan, buat mengurusi segala yang lain dengan akal bijaksana kurniaan-Nya.
            “Iyakah Aisyah?”
            “Iya cik Halim…kalau tidak tentu saya tak akan lari keluar dari situ meninggalkan kerja yang sepatutnya saya buat.”
            “Apakata kalau saya temankan awak masuk semula ke dalam baris tu. Saya akan awasi keselamatan awak. Jadi awak tak perlulah rasa takut lagi…”
            ‘Wah…pandai juga cik pegawai ni nak ambil peluang berdua-duaan dengan si cantik manis ni di dalam baris ya. Nampaknya macam dah mula nak masuk jarum ni. Hai…melepas awak Syam…’hatinya berbisik. Mungkin saja. Renungan matanya menyeluruhi wajah Aisyah yang ternyata tidak bermaya. Menanti kepastian yang bakal diberikannya.
            “Eh…taknaklah saya. Tak payahlah,” ujar Aisyah cuba mengelak diri daripada bersama dengan lelaki ajnabi walaupun lelaki itu niatnya hanya ke arah kebaikan.
            ‘Bagus sikap awak tu Aisyah. Memang patut awak tolak. Bukannya boleh percaya lelaki dan perempuan dibiarkan bersama di tempat sunyi begitu. Sebab yang ketiga di antara berdua itu adalah syaitan.’ Arman menyetujui kata hatinya di dalam situasi yang didepani Aisyah kini.
            “Itupun Murni dah keluar dari barisnya. Biar saya ajak dia temankan saya.”
            Halim terangguk-angguk akur dengan hasrat Aisyah itu dengan sedikit rasa kecewa yang bertandang di sudut hati lantaran hajatnya untuk berbicara secara empat mata dengan Aisyah tidak kesampaian. Ada pula gendalanya yang menghalang. Peluangnya sudah terbuka namun tidak tergapai tangan.
            Aisyah tidak dapat lagi hendak mengelak diri daripada memasuki semula baris sawit yang memberikan rasa cuak dan ketakutan di hatinya demi mendengar pengucapan lunak berdiplomasi pegawai itu. Tetapi sebenarnya adalah provokasi terhadap dirinya agar tidak mencuaikan tugasnya.
            Langkah Murni diatur kalut untuk mendekati Aisyah sebaik saja ia terlihat Aisyah menggamitnya. Tentulah dia ingin juga tahu maksudnya kerana pada anggapannya pasti ada sesuatu yang berlaku di antara mereka yang bertiga itu dan perlukan dirinya sebagai pelengkap.
            “Apahalnya kak Syah?”
            “Murni, awak tolong temankan Aisyah masuk semula ke dalam baris tu Cik Halim nak temankan, dia taknak pulak,” ujar Arman menuturkan komen dengan sengihnya.
            “Kenapa pula? Bukankah kak Syah dah masuk ke dalam baris tu tadi. Apa perlunya nak mendebunga sampai dua tiga kali,” sahut Murni dengan ragu untuk menerima arahan yang tidak sepatutnya begitu kerana ia tidak memahami kedudukan perkara sebenarnya.
            Aisyah tidak mahu membiarkan Murni berterusan diselubungi kekeliruan. Dan pertanyaan demi pertanyaan akan berhamburan daripada mulutnya. Segera ditariknya tangan rakannya itu agar mengikutinya memasuki barisan sawit yang ditinggalkannya tadi.
            Sinar matanya menerjahi sasarannya membuat Murni silau lantas terkedu seketika. Tanpa kata dikuti saja langkah Aisyah.
            “Muni banyak sangat nak tanya. Dah abang Man suruh lagu tumu ikut sajalah. Mu tak payah nak banyak tanya. Buang masa ja…”
            “Isyh akak ni…saya bertanya pun salah. Saya bertanya tentulah sebab saya nak tahu apa, kenapa dan mengapa saya terpaksa temankan kak Syah buat kerja dua tiga kali.”
            “Mu nak tahu sangat sebab musababnyamu tengok sendiri apa yang ada di dalam baris itu,” sahut Aisyah. Rona wajahnya berubah sebaik mendengar penjelasan yang langsung tidak jelas dan mampu dicerna mindanya sebaiknya. Berselirat kusut benang kekeliruan yang menyimpul otak kecilnya.
            Halim dan Arman memerhati gelagat kedua-dua gadis itu dengan senyum. Dan gadis-gadis pekerja yang lain turut kebingungan melihat Aisyah dan Murni memasuki baris semula. Sedangkan mereka kesemuanya telah menyelesaikan tugasan masing-masing. Sudah ketikanya mereka semua beransur pulang.
Tetapi kerana dua orang rakan mereka masih di dalam baris terpaksalah dinanti kedua-duanya keluar dari baris itu dahulu sebelum bersama-sama melangkah pulang.
            “Oii cepat sikit keluar ya, kami semua dah nak balik ni…” jerit Salmiah dari tubir jalan pertanian. Bersama-samanya rakan rakan sekerja yang lain turut mengelilinginya.
            “Apahalnya Sal?” Tanya Hasanah.
            “Aisyah… tertinggal bunga yang tidak dikawin di dalam baris yang dimasukinya.”
            “Habis kena masuk buat semulalah?”
            “Begitulah nampaknya…”
            “Bukan main lagi Arman mendera Aisyah ya…sepatutnya maafkanlah dia. Diakan baru berkerja, tidak seperti kita yang dah faham selok belok kerja kita ni…”
            “Arman tu buat kerja dia. Aisyah pula mestilah tahu apa sepatutnya kerja dia…”
            “Wah! Kau ni nampak menyebelahi bekas sidia nampak…kenapa masih sayang lagi ke?” ujar Hasanah seraya tersenyum mengeleweh. Sinis.
            “Tak ada pasalnya aku nakkan orang yang dah membuang aku. Gila apa. Kau tengok siapa yang ada di sebelah Arman tu…jadi terpaksalah Arman tunjukan ketegasannya kepada perkerja baru macam Aisyah tu. Kalau dengan aku tak mempan semua tu. Tak berani dia nak suruh aku masuk semula ke dalam baris kalau pun ada bunga yang aku tinggalkan…” Salmiah membalas sindiran itu dengan alasan yang tegas, sereleven situasi semasa. Membiarkan teman menuturkan komen seenaknya terhadap dirinya, bukanlah sifatnya, sudah semestinya disanggah.
            “Oh!…baru aku faham. Bang Man tu cuma berani nak tunjuk kuasa pada budak baru yang lemah macam Aisyah tu…”
            “Biasalah Has. Kalau ada kuasa mengatasi yang lain, walaupun sedikit, mestilah kita tunjukan agar yang lain tu gerun terhadap kita dan tak berani membantah apa yang kita suruh.”
            Lawan bicaranya merenungnya polos. Mungkin apa yang diungkapkan Salmiah mampu dicerna mindanya sebaiknya. Mungkin juga tidak.
            Langkah Aisyah dan Murni sudah hilang ditelan barisan sawit yang merimbun berdaun hijau gelap itu. Mereka yang berada di luar terpaksa menunggunya dengan sabar dia menyelesaikan kerja-kerjanya yang terbengkalai itu.
            “Murni, mu tahu apa yang kak Syah nampak di dalam ni tadi, hinggakan akak lari dari sini?”Tanya Aisyah seraya tangannya memicit gelembong pam kecil untuk mendebunga bunga sawit yang sedang mekar dengan ronanya kuning pucat itu.
            “Manalah saya tahu…akak ceritalah biar saya tahu,” balas Murni seakan menggesa Aisyah menceritakannya segera. Berminat juga ia ingin mengetahuinya.
            “Akak macam nampak kelibat orang. Bukan seorang tapi nampak seakan dua sosok. Kemudiannya kelibat tu lesap begitu saja.”
            Murni tersenyum sedikit. Di wajahnya tidak menggambarkan kehairanan yang mengejutkannya sama sekali sebaik cerita itu didengarinya.
            “Mu ni nampak lain macam ja. Tersenyum simpullah pula. Akak ni yang kecut perut terjumpa ‘benda alah tu’, mu ni tak apa-apapun,” ujar Aisyah dengan kejengkelan rasa yang menguasainya.
            “Jadi akak pun dah terjumpa ‘benda alah’ tu ya?” Tanya Murni pula. Senyumnya masih meleret di bibirnya.
            “Mu ni kecek macam ‘benda alah’ tu biasa saja denganmu…”
            “Bukannya biasa, saya pun pernah terserempak dengan ‘benda  alah tu’, bukan setakat nampak kelibat yang samar-samar tapi jelas dan bertentang mata lagi. Tak sanggup nak tengok, tak sanggup pula saya nak cerita kak…dan saya tak cerita pada sesiapa pun. Saya rasa kak mesti terjumpa ‘benda alah’ yang sama,” sahut Murni dengan keyakinan yang terlampias.
            “Iyakah? Habismu tak takut? Tak lari tinggalkan baris macam akak?”
            “Taklah. Buat apa nak takut bukannya hantu pun, sebaliknya ‘benda alah’ tu yang lari lintang-pukang sebaik ternampak saya…” tutur Murni, tersengih pula. Aisyah melongo. Tidak keruan pemikirannya kerana kehairanan justeru masih tidak dapat menangkap maksud Murni yang sebenarnya.
            “Mu ni Murni buat akak suspens saja. Cubamu cerita apa sebenarnya benda tu…”
            “Kalau akak nak tahu, itu sebenarnya sepasang kekasih yang sedang dilamun cinta dan asyik bercengkerama tanpa mempedulikan alam sekelilingnya yang memerhati gelagat mereka yang asyik mahsyuk tu…”
            “Masya-Allah! Iya ko!...takkanlah nak bercinta sehingga jauh sampai ke ladang sawit ni? Tak munasabah…,” balas Aisyah keterkejutan. Sesudah itu beristigfar pula
            “Tak munasabah tu kata akak. Tapi kata mereka mungkin inilah syurga yang paling selamat tempat mereka memadu kasih. Tak siapa yang akan tahu dan syak keberadaan mereka.”
            “Iyako? Macam pelik bunyinya ya…susah nak percaya…”
            “Akak kena percaya dengan saya. Jangan asyik beriya ko! Beriya ko saja! Akak suruh saya cerita, saya ceritalah. Bila saya dah penat-penat bercerita akak tak percaya pula…ini yang buat saya malas nak bercerita…”
            “Mu ni Murni, naik angin pula…sobar ya sobar…mengucap, istighfar banyak-banyak…”
            Memang sukar Aisyah untuk menerima tanggapan Murni itu kerana pada perkiraannya tidak logik akal langsung kerana kedudukan ladang itu yang jauh terpencil berkilometer dari kawasan penempatan penduduknya, masih mahu dijadikan sarang maksiat. Tidakkah mereka itu tahu bahawa di sini adalah lubuk mencari rezeki kebanyakan yang tinggal di sini. Begitulah pertimbangannya  yang membuatnya tidak yakin dengan kenyataan Murni itu.
            “Kalaulah akak percaya dengan ceritamu, cubamu bagi tahu siapa orangnya…”
            “Hai…akak pun teruja nak tahu juga. Tadi akak kata tak munasabah cerita saya tu…saya takut nanti akak terkejut beruk pula…” Murni membalasnya sinis.
            “Kalau ceritamu tu sangat mengejutkan tak apalah, tak payah cerita dulu. Nanti kita bercerita di rumah saja. Kerja akak pun dah siap. Eloklah kita keluar. Kawan-kawan kitapun dah tunggu  nak balik tu….”
            Kerja-kerja yang sepatutnya dilakukannya telah selesai. Ada enam jambak bunga yang meliputi setiap tandan sawit yang bakal dipenuhi dengan buah buahnya setelah alam menukar proses evolusinya dengan bantuan pendebungaan beradas, disempurnakan Aisyah sebaiknya. Dan Murni sebagai penemannya.
            Sambil melangkah bersama Aisyah, Murni terimbau gambaran pertemuannya dengan ‘benda alah’ yang mengejutkan Aisyah itu. Langsung tidak diduga jejaknya pada pagi yang dingin itu menemukan pandangan yang dianggapnya sial kepada dirinya. Dan amat memalukannya. Tidak habis-habis ia menyumpah, menyesali kesialan nasibnya bertemu dengan kemaksiatan pada permulaan paginya yang damai. 
            Terkejut sungguh melihat sepasang manusia sedang erat berpelukan sebaik ia menghalakan muncung penyemburnya pada bunga sawit yang terletak di belakang perdunya. Tambah mengejutkan sebaik melihat kedua-dua wajah yang berpaling cemas menghadapnya lantaran mungkin terkejut juga mendengar derapan langkahnya yang memijak ranting mati.
            Kedua-dua wajah itu memang tidak asing padanya. Yang berambut panjang mengurai dengan kening sentiasa bercelak dan bibirnya merah bak bunga raya itu adalah jirannya. Jirannya yang baik dan sangat disenanginya. Sentiasa menemaninya jikalau dia perlukan teman untuk menonton wayang pacak pada setiap kali tayangannya diadakan.
            ‘Rupanya begitu perangai perempuan baik yang cantik bergaya itu, tidak sangka sungguh,’ desis hati Murni.
            Sementara sampai bila-bila ia tidak akan dapat melupakan wajah lelaki yang berkumis tebal dan berambut genjur itu. Lelaki yang tidak berapa kacak tetapi memiliki senyuman yang manis. Memandang wajahnya saja pasti menyejukan jiwa dan syahdu sekali.
            Tetapi kenapa kedua-duanya berperilaku tidak senonoh seperti itu? Mereka berdua bukan sebarangan orang di tengah masyarakat di sini. Sentiasa menjadi watak penting yang diperlukan pada setiap acara kemasyarakatan.
            Yang perempuannya amat aktif dalam gerakan persatuan wanita tempatan (GPW) sementara yang lelakinya merupakan seorang yang sangat dihormati kerana ketokohannya sebagai pemimpin tanah rancangan itu
Yang peliknya kenapakah orang-orang yang dianggap budiman itu sanggup melakukan perkara terkutuk, dilaknati Allah malah teramat menjolok mata itu. Lebih mengejutkannya lagi kerana kedua-duanya adalah jiran jirannya yang menempati rumah yang bersentetangan kedudukannya.
Pasangan yang mungkinnya sedang berkasih-kasihan itu pula bukanlah anak-anak remaja yang belum memiliki status diri yang hakiki. Tetapi masing-masing sudah ada pasangan hidup dan memiliki anak-anak yang berbilangan.
Agaknya apakah matlamat yang mampu diraih pasangan ini dengan percintaan yang bernoda ini selain dari dosa. Sudah tentu berdosa dengan Allah Penciptanya dan turut berdosa sesama pasangannya kerana kecurangan yang dilakukan.
Sungguh dia tidak reti untuk menafsirkan gelagat keji cetusan fikiran orang orang yang jauh lebih dewasa daripadanya ini. Diri kerdil ini tertanya-tanya; adakah mereka itu tidak takut dosa dan kemurkaan Allah yang Maha Esa? Apatah lagi perbuatan mereka itu menjuruskan kepada dosa besar.
Hatinya diserbu pelbagai andaian dan merumuskan perkara itu dengan kesimpulan yang diyakininya hanya satu. Dia tidak akan menceritakan secara khusus kepada sesiapa pun perilaku persona yang dianggapnya telah mencemar kredibiliti diri demi menjaga air muka mereka.
Biar cerita itu tersimpan kemas molek sebagai diari kehidupan untuk tatapannya seorang. Tidak perlu mendedahkan keburukan yang lain, kepada yang lain; semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan Dia menurunkan hidayah petunjuk jalan kebenaran kepada hamba-hambanya yang telah berdosa. Tidak terkecuali dirinya juga. Amin...
Dia amat maklum dengan kondisi manusia itu yang tidak sempurna lagi maksum laksana Nabi. Hari ini mungkin mereka melakukan berbilangan kesalahan yang tidak dapat dihitung namun akan kembali bersih suci dari noda dan dosa setelah memohon keampunan yang bersungguh-sungguh dari Allah yang Maha Pengampun lagi mengasihani akan hamba-hamba ciptaan-Nya.
Jikalau hari ini pasangan itu masih juga melakukan dosa, dia mendoakan esok atau lusa mereka akan sedar dari kesilapan mereka menzalimi diri sendiri. Mudah-mudahan begitulah. Insya-Allah. Lagipun bukankah selemah-lemah tindakan muslimin tatkala melihat kebatilan itu adalah dengan berdoa. Itulah sifat Murni. Semurni hatinya.




                                                 Bab 22.
                                             Kerja…kerja…kerja…
                                               
            “Kenapa monyok saja ni…orang lain semuanya dah balik makan. Kau tak balik ke?” sapa suara itu. Lantas dia berpaling menghadapinya.
            “Eh! Kau ke Mas…ingatkan siapa tadi…”
            “Habis tu kau sedangkan ingatkan siapa pula…akulah. Siapa lagi…” Halim tersengih saja. Dia kehairanan juga kenapa pula tiba-tiba wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu boleh berada di sisinya pada tika ini. ‘Tentu ada sesuatu yang tidak kena ni…’
            “Laki kau tu ke mana? Aku tak nampak pun dia sejak aku masuk pejabat tadi?”
            “Dia ikut cik Idham ke pejabat wilayah.”
            “Oh…” mulutnya termuncung menyebutnya.
            ‘Patutlah kau berani hendak bertegur sapa dengan aku. Rupanya harimau pengawalnya sudah menjauhi kandang…’ Halim tersenyum sedikit melayani canda gurau fikirnya.
            “Apa pula urusannya sampai sanggup tinggalkan isteri kesayangan keseorangan?”  

10 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 22/23 SAMBUNGAN.."

Kakzakie delete icon 23 Jun 2014 9:23 PG

Bila baca bab ini teringat dulu ada masuk dalam suratkhabar ada pasangan kena cekup tapi dua-duanya adalah suami dan isteri org. Kalau ada hukum hudud lama dah mati kena rejam kan..

paridah delete icon 23 Jun 2014 10:14 PG

kisah2 begini berlaku dimana saja kakzakie...ya kalau ada hukum hudud tentu dh direjam sampai mati...tq kakzakie.

BUNDA a.k.a KN delete icon 23 Jun 2014 10:53 PG

ermmm... kisah dan tauladan... sama2 kita renung2kan...cantik orkid ..

paridah delete icon 23 Jun 2014 11:14 PG

ya buat renungan bersama...tq BUNDA aka KN

kakyon delete icon 23 Jun 2014 12:11 PTG

salam hari isnin paridah..

paridah delete icon 23 Jun 2014 1:23 PTG

wsalam kakyon tq.

pakde sulas delete icon 23 Jun 2014 5:00 PTG

pakde berusaha menikmati ceritanya, walau masih terbata-bata untuk menangkapnya

paridah delete icon 23 Jun 2014 6:57 PTG

sukar utk menikmati susunan bahasa yg agak berbeda ya...xmengapa walau terbata-bata usaha pakde sulas sangat dihargai...tq

notie delete icon 24 Jun 2014 12:05 PTG

ohhh orang merendek rupanya... ingatkan orang nak ngendap Aisyah... tak pun orang nagih dadah nak buat tak benda tak elok pada Aisyah

paridah delete icon 24 Jun 2014 12:48 PTG

heh...heh notie ...lain sikit citernya kan....tq notie.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”