بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

“Kalau begitu tak betullah cerita-cerita orang tu ya…”
Arman mengangguk dengan yakin. Jelingan mata Zaini dan Halim saling bertaut dan kedua-duanya tersenyum sinis. Barangkali bersama-sama mengiyakan peribahasa Melayu yang mengatakan masakan bergoyang pokok yang tidak ditiup angin.
            “Kau ni Zaini ada-ada saja ceritanya. Betullah kata Arman tu, sudah ditakdirkan jodohnya tersurat dengan Milah, tentulah dia akan berkahwin dengan Milah bukan dengan Salmiah, macam kau dan Masyitah,” tukas Halim cuba meredakan gejolak perasaan Arman yang menggelodak kerana merasakan rahsia dirinya sedang diperkatakan.
            “Sebenarnya saya dan Salmiah berkawan saja. Macam saya berkawan dengan budak-budak perempuan yang di bawah jagaan saya tu…”
            “Tak apalah kalau begitu. Lagipun awak boleh terima sikap Salmiah sebegitu terhadap awak. Saya cuma bimbangkan awak tidak selesa berkerja bersama mereka saja.”
            “Aku masuk ke bilik aku dululah. Kau sembanglah dengan Arman ni...”
            Zaini melangkah longlai membawa tubuhnya yang agak sedikit berisi itu memasuki ruang kerjanya yang di tinggalkan sebentar tadi. Sebentar lagi dia akan beredar dari pejabat itu dengan isterinya, pulang ke kediaman mereka, tidak jauh dari situ.
            “Dah siap semuanya Mas?”
            “Dah! Semua surat-surat yang abang dan Lim draf semuanya sudah ditaip dan dihantar ke bilik pengurus.”
            “Lim mana? Tak nampak pun…”
            “Dia dah balik. Katanya nak ke bandar membawa anaknya ke klinik…”
Kedua-duanya sedang memperihalkan tentang Lim Beng Hong, sesatunya pekerja berbangsa Tionghua yang menjawat tugasan pentadbiran bersama mereka di pejabat itu. Lim merupakan seorang pegawai kerani kewangan.
            “Kita pun buat apa lagi di sini? Lim awal-awal lagi dah cabut…jomlah balik.”
            “Iyalah nanti saya ambil beg tangan saya.”
Suami-isteri itu beriringan keluar dari ruangan itu melintasi ruang yang di tempati Halim dan Arman.
            “Kami balik dulu Lem…”
Halim tersengih mendengar budi bahasa yang terucap dengan sempurna itu. Dan dia membalasnya dengan anggukan. Masyitah tidak pula berpaling menentang mata bekas kekasihnya yang tidak jadi itu.
 Mungkin dia tidak mahu menimbulkan sebarang kegusaran dan prasangka di hati suaminya yang tercinta lantaran mempamerkan kemesraan terhadap ajnabi selain dari suaminya. Sedangkan suatu ketika dulu mereka pernah menjadi pasangan yang mesra.
            Zaini mendengar juga bisik-bisik kawan-kawan se pejabat yang memperkatakan tentang keintiman Halim dan Masyitah. Namun tidak dipedulikan apapun kerana hatinya bulat mencintai Masyitah dan dia perlu memiliki gadis kecintaannya itu dengan apa cara jua.Padanya dia tidak merampas Masyitah daripada Halim, lantaran gadis itu yang berpaling kepadanya. Lagipun Masyitah telah membuat pengakuan bahawa antaranya dan Halim hanya bersahabat. Jadi langsung tiada persoalan yang hendak dipertikaikan.
            Dan dia akan menganggap sahabat Masyitah itu sebagai sahabat baiknya juga. Namun hatinya tidak dapat mengikis rasa cemburunya tatkala melihat isterinya itu berbual mesra dengan sahabatnya. Tidak mungkin dibiarkan berlaku. Akan dicarinya ruang dan peluang untuk mencelah.
            “Baik-baik bawa motor tu, jangan terlanggar lembu pula…” Halim memberi pesanan sambil mengingatkan agar tidak menempuh kecelakaan yang tidak diingini lantaran gangguan haiwan itu.
            Mutakhir ini banyak terdapat haiwan itu yang berkeliaran ke kawasan perkampungan dari habitatnya yang tersedia. Selama ini haiwan-haiwan itu diternak oleh beberapa orang peneroka yang gigih berusaha di ladang sawit di peringkat satu yang bersebelahan dengan sebuah tanah rancangan baru yang sedang diteroka. Tidak lama lagi pasti wujud sebuah perkampungan tanah rancangan baru.
Rancak sekali kerajaan kini melakukan pembukaan tanah yang dulunya rimba banat untuk memajukannya dengan tanaman komersial demi kemakmuran negara dan merubah nasib anak negeri yang daif kerana kesempitan hidup lantaran tidak bertanah. Hasrat anak negeri ingin memiliki harta berupa tanah ingin direalisasikan pemimpin kerajaan yang bertanggung-jawab terhadap anak negerinya itu.
Lalu projek pembukaan tanah dengan skala besar giat di lakukan di sekitar sini. Melangkaui keluasannya sehingga beribu hektar. Dan ada pula perancangan mengujudkan se buah bandar tidak jauh dari sini sebagai pusat perniagaan juga turut akan di bina pejabat-pejabat kerajaan untuk mencukupkan keperluan serta memberi kemudahan kepada masyarakat setempat.
Segala-galanya telah terancang dengan sempurna. Kini projek yang utama telah dimulakan iaitu mendirikan kemudahan tempat tinggal perserta yang akan menyertainya kelak.
            Mungkin kerana pelbagai bunyi yang bising yang terbit dari aktiviti mesin-mesin dan jentera-jentera yang sedang giat berkerja itu menyebabkan keselesaan haiwan yang diam di situ merasa terganggu. Lalu haiwan-haiwan itu menjadi tidak keruan lantas merayau-rayau merata tempat.
Setakat hendak merayau-rayau tentu tidak mengapa. Tetapi haiwan-haiwan itu akan melepak di tengah jalan dan menaburkan najisnya, tentulah akan mencomotkan persekitaran yang bersih lagi tidak menyelesakan mata yang memandang..
Apalagi jikalau haiwan-haiwan itu mengganas dengan membaham tanaman bunga dan pokok yang ditanam para isteri dengan bersusah-payah untuk menghiasi kawasan rumah, pastinya maki hamun yang bertambun akan dilontarkan kepada haiwan-haiwan yang tidak memahami kesalahan yang telah dilakukan itu.
Haiwan-haiwan itu tentu tidak kisah tentang apapun yang diperkatakan orang lantaran tidak berakal persis manusia. Yang berhak dimaki tidak terkecuali tentulah pemunyanya.
“Orang yang bela lembu ni, pasti otaknya macam lembu juga. Dia saja nak senang, nak kaya. Tapi menyusahkan orang. Lembu-lembu yang dibela tidak terjaga. Dibiarkan saja merosakan tanaman orang, nanti akan halalkah rezeki yang diperolehi dari jualan lembu-lembunya sekiranya lembu-lembu itu hidup sihat dan gemok dengan membaham tanaman-tanaman orang. Kalau aku, tak teringin aku nak menghalalkan hak aku yang diambil dari aku.” Demikian komen seseorang kepada kelompoknya yang sedang bergebang pada suatu petang dengan bauran amarah yang tidak terkawal. Sinis.
Apabila Halim mendengar keluhan dan rungutan para suri peneroka itu yang di sampaikan Salimah kepadanya, dia tidak tahu apakah komen yang patut diberikannya. Di satu sisi dia sukakan sikap gigih beberapa peneroka yang berusaha keras untuk merubah gaya hidup ke arah yang lebih baik dengan menternak haiwan itu. Memang hasrat badan semi kerajaan itu menjurus ke arah itu. Inginkan peserta yang menyertai skimnya berubah mentaliti agar meraih kemajuan yang dibawanya.
 Di sisi lain pula dia kasihankan para suri yang kecewa kerana tanaman bunga-bungaan dan sayuran menjadi mangsa ragutan haiwan-haiwan itu. Dia maklum bukanlah senang hendak menanam sebutir benih ke dalam tanah.
Setelah benih itu tumbuh, perlu disiram dan dibaja untuk merangsang kesegaran dan pertumbuhannya. Apabila telah membesar menjadi tanaman yang molek dan cantik datang pula haiwan itu memusnahkannya hingga tinggal terasnya saja. Siapakah yang dapat menerima semua itu dengan tidak merasa kecewa?
“Nanti kita beritahu pengurus supaya beliau bawakan masalah ini di dalam mesyuarat JKKR (Jawatan Kuasa Kemajuan Rancangan) pada bulan ini. Para peneroka ni kita tidak boleh pandai-pandai nak tegur mereka tidak menentu, bila mereka melenting kita yang parah. Biar mereka ditegur oleh orang yang mereka hormat dan percaya,” kata Halim kepada Salimah.
Nampaknya sebelum perkara itu dapat dibawa ke dalam mesyuarat bulanan JKKR, lembu-lembu itu akan terus berkeliaran dan membaham tanam-tanaman perserta tanah rancangan itu.
Kisah lembu-lembu dan masalahnya pula yang bermain-main di dalam benak pegawai muda itu. Mudah-mudahan akan ada penyelesaian yang baik melalui syurah dan perundingan di dalam mesyuarat bulanan JKKR yang akan diadakan kelak. Dia mengharapkannya begitu.
            “Awak bila kahwin nanti tentu nak berumah sendiri. Takkan awak nak tinggal dengan mertua awak, apa perancangan awak selepas kahwin nanti?” Arman terkedu mendengarkan pertanyaan yang tidak di jangkanya itu. Tidak tahu bagaimana mahu menanggapinya. Sama ada ikhlaskah bertanya kerana keprihatinannya @ saja-saja bertanya.
            “Kenapa cik Halim tanya begitu?”
            “Saya tanya saja. Mana tahu kot awak mahu menjadi peserta tanah rancangan baru yang banyak dibuka di sekitar sini. Kalau awak mahu, boleh saya tolong ambilkan borangnya. Borang-borang tu sedang di keluarkan di pejabat LKTP wilayah.”
            “Iyakah? Hmm…”
“Saya rasa awak patut rebut peluang tu. Lagipun awak ni anak tempatan. Tentu peluang awak dipilih menyertainya lebih cerah. Awak jangan lepaskan peluang memiliki rumah dan tanah yang diberi kerajaan untuk mereka yang tidak mampu...”
            Arman terangguk-angguk mendengarkannya. Bagus sekali saranan itu pada perkiraannya. Setelah berkahwin kelak dia akan ada se buah rumah dan se bidang tanah seluas 3.5 hektar yang pasti menjadi miliknya sekiranya dia diterima menjadi perserta tanah rancangan baru. Tapi…
            “Saya tu bercadang nak bawa isteri saya tinggal di kampung setelah berkahwin nanti. Keluarga saya ada se keping tanah kosong yang belum diusahakan. Terletak di pinggir sungai Pahang. Jadi saya bercadang untuk pulang mengusahakannya. Sambil-sambil itu dapat juga jadi nelayan sungai menangkap ikan baung, patin, sebarau dan jelawat jika ada rezekinya…” Arman memperkiraikan perancangan masa depannya yang sederhana.
            “Tanah awak yang di kampung itu memang sah milik awak dan tidak diusahakan lagi. Tetapi tanah yang pihak LKTP nak beri ini sudah di tanam dengan kelapa sawit. Dan ada skim yang menanamnya dengan getah. Cuma menunggu hasilnya saja. Buatlah pilihan yang terbaik demi masa depan awak dan bakal isteri. Saya tu cuma tolong sampaikan hasrat pihak pengurusan yang di atas agar menggalakan anak-anak tempatan menyertai skim ini.”
            Tetapi seperti yang diketahuinya  kebanyakan anak tempatan tidak mahu menyertai skim yang dianjurkan kerajaan pusat di negeri tumpah darah mereka kerana merasakan mereka ada kebun lamannya sendiri walau tidak seluas mana.
Mereka mengangap anak-anak negeri lain yang sanggup berhijrah ke negeri mereka sebagai orang dagang yang miskin. Sedangkan mereka tidak dagang dan tidak miskin. Jadi apa gunanya menyertai tanah-tanah rancangan yang disediakan kerajaan untuk orang-orang miskin. Dan hutan rimba di negeri mereka terus diteroka untuk pembukaan tanah rancangan baru yang memberi penempatan kepada orang luar sedang mereka hanya memandangnya.
Pihak LKTP memberikan mereka beberapa kelonggaran syarat yang tidak dikenakan agar mereka berminat menyertai skim yang dibawa kerajaan pusat ke negeri ini seperti yang ditentukan kepada pemohon-pemohon dari negeri-negeri lain. Namun ramai yang keberatan meninggalkan kampung halaman yang telah dihuni turun-temurun warisan nenek moyang.
“Kalau awak tak mahu, itu pilihan awak sendiri. Saya tidak boleh nak paksa awak ikut cakap saya. Awak dan anak-anak tempatan jangan pula marah apabila melihat rakyat negara ini dari negeri-negeri yang lain berbondong-bondong ke sini untuk merebut peluang itu. Sebab mereka nampak, yakin dan percaya hidup mereka akan berubah dengan menyertainya. Apabila mereka berjaya meraih sesuatu yang awak tidak jangka, awak jangan pula berputih mata,” ujarnya berserta motivasi percuma yang merangsangkan perubahan minda kepada anak muda di hadapannya..
            “Habis cik Halim tak bercadangkah nak menyertainya sama? Tinggalkan kerja cik Halim sekarang dan turut bersama kami di skim tanah rancangan baru tu. Bukankah cik Halim kata tanah rancangan ini menjanjikan masa depan yang gemilang…” ujarnya sinis berserta sindiran. Dan sengihnya melebar.
            Sebenarnya tidak ramai peneroka yang digaulinya merasa selesa berada di tanah rancangan dengan pendapatan yang sangat minima demi menyara keluarga. Apatah lagi jika memiliki keluarga yang mempunyai ramai bilangan anak-anaknya. Anak-anak yang sepatutnya mendapat pendidikan sehingga sekolah menengah terpaksa ditamatkan persekolan setakat sekolah rendah saja kerana kemiskinan yang menggelut kehidupan.
 Jikalau semata-mata bergantung harap kepada hasil sawit yang sekarang ini mulai dikeluarkan dari ladangnya, langsung tidak mencukupi untuk keperluan sepatutnya. Harganya pula ditakuk yang sangat rendah.
Mujur juga pihak LKTP menyediakan kedai serbaguna yang boleh dibeli barang-barang keperluan secara hutang untuk kelangsungan hidup seterusnya. Dengan itu dapatlah para peneroka itu bertahan tanpa berkeluh kesah kerana merasakan mereka adalah dari golongan marhaen dan layak menerima kehidupan seadanya.
Kadang-kadang barang-barang kepenggunaan yang dibekalkan di kedai LKTP itu tidak semenggah juga. Berasnya adakalanya sudah berulat dan hancur, makanan dalam tin seperti sardin dan susu yang banyak disediakannya, kelihatannya tidak layak untuk di makan. Tetapi demi sesuap nasi untuk kelangsungan hidup hari esok, mereka sekadar bertukar komen sesama mereka. Memprotes begitu begini hanya nyaring di warong-warong kecil @ kedai kopi sekitar sini.
Nampaknya tidak semudah itu menjanjikan sesuatu yang gemilang pada masa hadapan kerana rata-rata penerokanya masih tidak mampu melepasi belenggu kemiskinan. Ramai juga bilangannya yang telah angkat kaki meninggalkan tanah rancangan yang sangat memenderitakan kehidupan mereka pada anggapan mereka.
            Hanya seorang dua saja yang nampaknya lebih cerah dan selesa kehidupannya kerana rajin berkerja dengan berniaga. Peluang perniagaan yang ada tersedia tidak pula mahu dimanafaatkan. Aih…hendak berniaga pun perlukan modal juga. Tidak semudah yang diangankan.
Tika ini minda masyarakat di sini sangat mengagumi pegawai-pegawai semi-kerajaan ini kerana mereka memiliki kemudahan kewangan lantaran dibayar gaji yang tinggi pada setiap awal bulan. Lantaran itu ada ibu bapa yang mempunyai anak gadis ingin sekali mengahwinkan anak-anak gadis mereka dengan pegawai-pegawai yang kebanyakannya masih bujang lagi. Merasa bertuah sungguh sekiranya anak gadis mereka dipinang pegawai-pegawai LKTP ini.
Arman mengumpulkan beberapa kesimpulan di pengkalan data mindanya tentang tahap kehidupan peneroka yang diuar-uarkan sangat indah lagi mengagumkan tetapi adalah sebaliknya. Dan merasa amat rugi kerana tidak dapat menjadi pegawai LKTP lantaran tidak menghabiskan persekolahan peringkat menengah.
“Sayapun teringin juga nak jadi peneroka macam yang lain tu…tapi saya ni masih belum kahwin lagi. Syarat nak menjadi peneroka mestilah telah berkahwin dan berumur tidak melebehi 40 tahun. Tetapi bagi anak tempatan macam awak ni, syarat umur tidak dikenakan. Tetapi pihak LKTP akan menilai fizikalnya sama ada masih kuat berkerja di tanah rancangan walau sudah bercucu,” balas Halim lunak berdiplomasi walau diprovok orang bawahannya yang satu ini.
“Habis kahwinlah cepat. Lambat-lambat kahwin ni rugi tau…takut tak sempat…” sambutnya berserta canda yang menyenangkan hati pendengarnya.
“Pandailah awak ya…awak pun baru bertunang. Belum kahwin lagi, entahkan sempat entahkan tidak…”bidasnya bercanda juga.
“Mestilah sempat sebab saya dah bertunang dan tunggu masa saja. Tapi cik Halim ni belum apa-apa lagi…nak cari calonnya bukannya senang, kemudian nak bertunang pula perlukan banyak  masa tau…”
“Habis nak buat macamana…dah calonnya tak ada. Kalau awak nak suruh saya kahwin apakata awak tolong carikan calonnya untuk saya!” sahutnya sambil membuat penawaran saja-saja. Bukannya bersungguh pun.
            “Boleh…tak jadi masalah, insya-Allah. Saya boleh rekomenkan budak-budak perempuan yang berkerja di bawah jagaan saya. Mereka itu semuanya cantik-cantik dan comel-comel belaka. Cik Halim sebut saja yang mana satu yang berkenaan,” sahutnya dengan senyum meleweh.
            “Semudah itukah? Awak fikir senang-senang orang perempuan @ anak gadis yang sanggup menerima saya seadanya?”
            “Apa pula nak susah? Orang macam cik Halim akan diterima sesiapa saja dengan tangan terbuka tau,” balasnya mudah. Matanya yang bulat ketara membulat demi menyatakan keyakinannya yang teguh.                                 
            “Mana awak tahu! Setiap orang ni ada pendapat dan penilaian diri masing-masing tau, mungkin kita sangat sukakan seseorang itu tapi dia pula sebaliknya. Kalau ditolak pendekatan kita alangkah malunya…” selanya menuturkan sanggahan hati yang diyakini,
            “Iyakah begitu? Tapi apa yang saya tahu anak-anak gadis di sini sentiasa mengikut apa saja kata ibu bapa mereka. Kalau ibu bapa mereka berkenan dengan seseorang yang bakal menjadi menantu mereka, anak gadisnya pasti akan bersetuju.”
            “Jangan terlalu yakin sangat. Kalau begitu tentu tidak ada kes anak gadis yang lari dari rumah kerana tidak mahu berkahwin dengan pilihan keluarga seperti yang berlaku di sini tahun lepas…” Imran terkedu dengan alasan sanggahan yang releven itu.
            “Itu barangkali hanya kes terpencil saja. Sebab kebanyakan anak gadis di sini masih hormat dengan kehendak ibu bapa masing-masing,” ujarnya masih mempertahankan pendapatnya.
            “Itu kata awak. Dalam hati perut mereka awak tidak tahu apa yang terkandung…”
            “Cik Halim ni…banyak pula yang difikirkannya. Janganlah terlalu fikirkan yang tidak-tidak saja. Kalau banyak sangat soalnya saya tak jadilah nak tolong cik Halim nak dapatkan seseorang tu…” balasnya hambar, mulai mengalah dari niatnya hendak menghulurkan pertolongan yang sebenarnya tidak diminta itu.
            “Tak apalah Man, dalam soal hati dan perasaan ini biarlah saya sendiri yang tentukannya. Saya tak minat nak gunakan pengantara. Biar saya sendiri berusaha mendapatkan apa yang saya mahu...”
            “Habis cik Halim tak minatkah dengan Hasanah, Murni, Zabedah, Zaiton, Norgayah atau Syikin? Budak-budak perempuan yang kerja kawin bunga dengan saya tu memang baik tingkah lakunya. Cantik pula, tentu tak rugi kalau memilih salah seorang daripada mereka.”                                                                                                                      
            ‘Kenapa kau tidak senaraikan nama Aisyah dan Salmiah sekali? Kalau sebab nama Salmiah tidak berani kau sebut mungkin bolehku teka maksudnya. Aku tahu kau tentu masih sayangkan Salmiah dan tidak mahu sesiapapun cuba mengambil tempat kau di hatinya. Tapi kenapa nama Aisyah juga tidak mahu kau sebut? Bukankah gadis itu adalah antara yang tercantik di kalangan nama-nama yang kau sebut itu?’                                            “Apa kata kalau saya sedikit pun tak berminat dengan muka-muka yang awak katakan itu, tapi nama yang tidak awak sebut itu yang ada di hati saya…”
            Arman terkedu. Sepasang matanya bolak-balek bolanya. Keliru memikirkan siapakah orangnya yang dimaksudkan Halim ini. Aisyahkah? Salmiahkah?
                       
                                                         Bab 22. 
                                                         Drama.

            Kelibat seseorang susup sasap menyelinap di sebalik rimbunan pelepah sawit yang melempai hingga menutup perdunya. Kemudiannya terus hilang tanpa terkesan lagi. Aisyah mula menggelabah hatinya. Bimbangkan nawaitu seseorang itu yang negatif terhadap dirinya. Tetapi dia tidak perlu terlalu risau dan kalut kerana seseorang itu telah menghindar jauh daripadanya.
Namun hatinya tertanya-tanya, siapakah orang yang tergesa-gesa menghilang sebaik perasankan keberadaannya di situ. Seakan yang tertangkap lensa matanya, kelibat itu bukan satu, malah dua. Dia tidak jadi meneruskan langkah untuk mendebungakan bunga sawit lebih jauh ke dalam baris sawit yang ditentukan. Sebaliknya keluar ke jalan utama. Kerjanya tidak dibereskan sebaiknya.
            Dia termangu di atas tunggul kayu balak yang semakin mereput kerana telah lama ditebang ketika pembersihan tanah untuk projek ladang ini dahulu, menantikan kawan-kawannya keluar dari baris masing-masing setelah menyelesaikan tugasan mereka.
            “Hai cepat pula kau keluar dari baris kali ni? Kalau tidak tu puas dipanggil baru nak keluar…” Dia tersengih mendengar sapaan dari belakangnya sambil menoleh ke  arah suara itu.
            “Takut…ada hal sikit kat dalam tu…” sahutnya lemah.
            “Apa halnya? Kau terserempak dengan ular sawa berkepala duakah?” kawannya itu masih menujahnya dengan pertanyaan-pertanyaan yang menjengkelkan lagi menyeramkannya.
            ‘Rupanya di sini juga ada ular sawa berkepala dua! Eee seramnya…’
Bahunya terangkat drastik menunjukan keseraman yang melanda hatinya. Dan romanya meremang tiba-tiba.
            “Muni Sal…menakutkan kita ja…tapi ada betulkah ular sawa berkepala dua tu?”
            “Ada memang ada…,” jawab Salmiah dengan sengihnya mengeleweh.
            “Yang aku selalu jumpa cuma ular hitam atau kuning yang berlengkar dalam pelepah kelapa sawit tu. Tapi aku tak pasti kepalanya ada berapa. Aku pun tak berani nak tengok kepalanya. Lebih baiklah aku cabut sebaik aku terlihat benda alah tu. Eee… tak berani aku nak dekat…”
            “Dah kau ni penakut sangat tak dapatlah kau nak tengok benda aneh tu…”
            

18 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 21/22 SAMBUNGAN...."

Aku Penghibur delete icon 16 Jun 2014 1:27 PTG

aduhh syok betul membaca.. nampaknya watak halim seorang yang berpendirian ^_^

ANAK KUALA delete icon 16 Jun 2014 2:04 PTG

Hari ni saya meneruskan kembali membaca sambungan cerita ni..bab 21/22

Kakzakie delete icon 16 Jun 2014 2:37 PTG

Alahai suspenlah pulak siapalah agaknya yg berkepala dua tu.
Jgn ada yg dengki dgn Aisyah sudah..

notie delete icon 16 Jun 2014 4:08 PTG

wah semakin lama semakin best ni. Siapa lah pulak yang mengendap Aishah ni.

babYpose delete icon 16 Jun 2014 5:32 PTG

aisyah atau salmiah ni heee :)

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 16 Jun 2014 7:40 PTG

Tak sabar tunggu sambungan :))

paridah delete icon 16 Jun 2014 10:11 PTG

TERIMA KASIH..Mengagumi watak halim ya...watak seorang pegawai mesti keliatan sedikit...tq acik Aku Penghibur.

paridah delete icon 16 Jun 2014 10:14 PTG

YEKE...Minat juga terima kasih banyak zumal...

paridah delete icon 16 Jun 2014 10:17 PTG

yg mana satu ya...tq babYpose

paridah delete icon 16 Jun 2014 10:19 PTG

yeke..tq notie ikutinya juga...ada cerita tu...

paridah delete icon 16 Jun 2014 10:22 PTG

novel mesti complete dgn semua suasana...suspen sikit2 heh..heh...tq "Kakzakie.

paridah delete icon 16 Jun 2014 10:24 PTG

tq dik ANAK KUALA selalu ikutinya...ada masa jengahlh baca.

waow.. panjang bener ceritanya..

paridah delete icon 17 Jun 2014 9:55 PG

panjang sikit jer tq Febri Gamesoft....lama xjumpa ilang kemana...

pakde sulas delete icon 17 Jun 2014 10:47 PG

datang ke tempat sahabat untuk menikmati kisahnya

paridah delete icon 17 Jun 2014 11:04 PG

YEKA...TERIMA KASIH PAKDE SULAS.

notie delete icon 17 Jun 2014 11:39 PG

Sis saya suka baca enovel dulu-dulu. La ni dah lama tak ikuti cerita dalam blog , malahan kerana enovel lah saya dapat berkenalan dengan penulis-penulis yang saya suka. Dulu-dulu rancak ikuti la ni emmm dah tak sempat apa lagi dah tak banyak cerita yang saya suka.

paridah delete icon 19 Jun 2014 10:33 PTG

kak cuba2 saja notie upload karya sendiri ke blog manatahu kot ada yg suka...tq notie

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”