بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
                                              Wayang sebenar.


Nyamuk-nyamuk berdengung di telinganya. Menghurungi seluruh kepalanya pula. Membuatkannya bersilang tangan untuk menepisnya berulang kali. Namun serangga kecil penghisap darah manusia itu tetap juga mahu mengerumuninya. 
Agas juga aktif mengetit kulit mulusnya sehingga timbul bintat-bintat pada tangan dan wajahnya membuatnya kegatalan dan tergaru-garu. Terpaksa juga gangguan-gangguan itu tidak dipedulikan lantaran dia sedang berkerja. Sambil menyembur debunga yang tentunya di ambil daripada bunga jantan yang tidak menjadi buah kepada bunga betina, sambil pula bersilat dengan nyamuk dan agas.
“Aisyah! Jom kita berhenti berehat sekejap. Tinggalkanlah kerja tu dulu. Nanti boleh disambung semula.”
“Iyalah…nanti saya habiskan barisnya dahulu.”
“Tak payahlah nak di habiskan. Baris tu panjang sampai ke tepi hutan sana. Kau jangan berani-berani nak pergi sampai ke sana. Kami yang dah lama berkerja pun tak berani nak menghabiskan baris sampai ke sana…inikan pula kau yang baru,” sahut suara dari baris sawit di sebelahnya.
“Betul kata Salmiah tu kak Syah, tinggalkan saja baris tu. Jom kita berihat dulu,” sela Murni tiba-tiba. Entah dari mana dia muncul, tanpa Aisyah sedari dia sudah berada disampingnya.
“Mu ni Murni mengejutkan akak betul,” balas Aisyah dengan gugup dan debar yang menyerang jantungnya. Di urutnya dadanya buat menenangkan getarannya.
“Kenapa, akak terkejut ke tiba-tiba saja saya sudah berdiri di sebelah akak? Minta maaf sangat-sangat…”
“Mu ni memang menakutkan akak…agaknyamu ni ada sihir ko, tiba-tiba saja boleh menjelma…”
“Akak jangan risau, saya ni tak guna ilmu apa-apa. Kebetulan saya cepat habis kerja dan keluar dari baris dan susul kak Syah dalam baris ni. Saya risaukan kak Syah berseorangan di dalam baris dan Salmiah terlalai memperhatikan kak Syah. Nanti terjadi pula peristiwa macam hari tu…”
“Wah! Baiknyamu…sanggup risaukan keselamatan akak ya…tapi lain kali jangan sapa akak begitu. Buat akak hilang semangat ja…”
“Mestilah. Dah tugas saya menjadi penjaga puteri kesayangan mak cik Hanisah dan pak Imam ni…maaflah kalau tadi saya dah buat akak terkejut. Bukannya saya sengaja pun…” ujarnya dengan nada bergurau yang mesra.
“Jom lah kita duduk bersama Salmiah dan Hasanah di sana…”
Kedua-duanya beriringan menuju ke tempat kawan-kawan sekerja mereka yang sedang duduk melepaskan lelah seketika sambil menikmati bekalan yang dibawa.
“Apa bekalan yangmu bawa, letakanlah. Boleh kita makan sama-sama?”
“Hari ni saya bangun awal sikit, jadi sempatlah saya goreng cucur udang. Siap dengan sosnya sekali saya bawa. Jemputlah makan, sedap ni tau…”
“Kau ni Murni…tak habis-habis nak masuk bakul angkat sendiri...” Masing-masing tersengih mendengar ocehan sinis Hasanah yang dikenali tidak banyak mulut itu.
“Kau ni Has sesekali kalau bersuara boleh tahan juga bisanya. Tapi kau tahulahkan…siapalah yang teringin nak puji aku kalau bukan diri aku sendiri. Tak kisahlah aku nak masuk bakul tak nak angkat ke…yang penting aku bahagia,” sahut Murni dengan sengihnya yang lebar.
“Betullah Murni…cucur udangmu ni memang sedap. Akakpun tak pandai nak buat cucur udang laguni…nak kena minta resepi ni…” celah Aisyah yang telah menghabiskan se ketul kecil cucur udang dan memberi komen yang memberangsangkan terhadap hasil kerja Murni.
“Kau dengar tu Has. Kan betul apa yang aku kata…” Murni kegembiraan mendengar puji-pujian Aisyah yang menyukakan hatinya. Bertambah lebar terorak senyum dan sengihnya.
“Kau pujilah si Murni tu Syah biar kembang badannya. Supaya besar sikit macam kita ni. Taklah berperangai masih macam budak-budak,” sela Salmiah dengan guraunya.
“Untung tau jadi budak-budak macam saya sebab tidak ada siapa yang nak ganggu. Orang anggap saya ni masih budak-budak disebabkan badan saya yang kecil tapi mereka tak tau umur saya. Saya pun tak takut diusik lelaki yang ‘don juan’ macam malam tadi tu…” tingkah Murni tidak ragu-ragu lagi sambil diperkuatkan dengan alasan sereleven situasi semasa.
“Apa pula kisahnya malam tadi?” Tanya Aisyah, tertarik hendak mengetahui cerita yang berlaku. Renungannya tajam menerjah anak mata Murni. Kemudiannya beralih pula menerpa sasaran lain. Hasanah dan Salmiah hanya tersenyum membalas pandangannya.
“Kau tak tahu?” Tanya Salmiah tidak yakin.
“Tak!”
“Kau tak keluar menonton wayang pada malam tadi?” Bertambah lagi pertanyaan Salmiah.
“Tak!” Aisyah masih memberi jawapan kekal yang satu itu. Nadanya pun tidak berubah.
Hasanah memandang Salmiah yang tampak kehairanan di wajahnya justeru Aisyah mengaku begitu. Padanya mungkin kenyataan yang didengarnya itu agak luar biasa. Sebabnya jarang sekali anak-anak muda di tanah rancangan itu menolak untuk menonton sesatunya sumber hiburan yang dibawa ke situ sebulan sekali itu.
“Patutlah aku tak nampak kau di sana…”
“Kenapa kau tak keluar menonton?” Tanya Hasanah.
“Saja…malas…”
“Sebab kau malas, tak dapatlah kau berita terkini yang hangat tu…mintalah disimpangkan Allah daripada mendapat jodoh, orang yang tidak senonoh seperti itu.”
Mendengarkan Salmiah berdoa sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya membuatkan Aisyah tambah teruja untuk menyingkap kisah sebenarnya. Firasatnya menduga tentulah menarik sekali insiden yang berlaku itu sehinggakan Salmiah beraksi begitu.
“Mu ni Sal…cerita macam tu pun nak kedekut, ceritalah…”
“Tak payah kita ceritakan apapun kepada Syah ya…biar dia cari sendiri apa yang dia nak tahu…” Pandangan tajam Salmiah seakan berupa amaran agar kawan-kawannya yang berdua itu mengunci mulutnya dari bercerita kepada Aisyah tentang insiden yang berlaku itu.
“Mu ni Sal lokek sungguh. Takpalah mu taknak ceritapun. Kita tak paksa…”
Salmiah, Murni dan Hasanah tertawa kecil melihat gelagat Aisyah yang nampak kecewa lantaran hajatnya yang tidak tertunai.
“Maaflah Syah aku tu gurau ja. Tak payahlah kau nak murung dan muncung memanjang,” ujar Salmiah lunak tatkala melihat mendung mula menyapa wajah teman itu.
“Itulah kau Sal…pandai-pandai saja kau buat cikmek molek ni merajuk…”sahut Murni yang tidak berapa selesa kerana Salmiah memperlakukan temannya sebegitu.
“Kau jangan nak merajuk, buat muka sedih Syah. Biar aku yang cerita. Sebab aku nampak depan mata kepala aku semua itu terjadi,” celah Hasanah sambil tangannya memegang bahu Aisyah lunak. Hasratnya ingin meredakan amukan rasa yang tidak menentu lantaran kejengkelannya terhadap sikap kawan-kawannya di hati Aisyah.
Wajah Aisyah ceria kembali. Tambah berseri dengan senyuman manis yang terlakar di bibirnya yang mongel. 
“Begitulah kawan…ceritalah aku dah tak sabar nak dengar ni…”
“Syahadan tersebutlah alkisah yang diriwayatkan negeri entah berentah, terjadilah suatu kejadian yang menyayat hati…”
“Mu ni nak berceritakah atau nak membaca Hikayat Malim Deman? Nak bergurindam, bersyair segala,” sela Aisyah yang mula terasa dirinya sedang dipermain-mainkan kawan-kawannya.
“Bukankah orang kalau nak bercerita cara begitu mukaddimahnya? Nenek aku kalau nak bercerita pada aku dan cucu-cucunya begitulah yang disebutnya…salahkah aku?”
“Itu nenekmu! Nenekmu tentu bercerita hikayat dulu-dulu, zaman purbakala. Yangmu nak cerita ko akuni cerita yang berlaku malam tadi. Beza masanya tentulah beribu-ribu tahun…,”tempelak Aisyah dengan alasan releven lagi menepati.
“Iyalah Has…kalau nak cerita, kau cerita cepat. Jangan nak buang masa. Sekejap lagi kita dah nak masuk baris semula. Nanti kalau Arman datang kan malu pula kau nak bercerita,” gesa Salmiah pula.
“Iyalah…iyalah aku ceritalah ni…”
“Tunggu apa lagi ceritalah…yangmu tiba-tiba terdiam ni kenapa?”
“Tak jadilah…lain kalilah aku cerita. Itu kau tengok tu…dua orang hero Malaya sedang menuju ke arah kita!”
Masing-masing pantas menghalakan pandangan ke arah yang di maksudkan Hasanah. Aisyah kecewa amat. Kehadiran ke dua-dua lelaki itu merencatkan niatnya untuk mengetahui kisah yang bakal diceterakan Hasanah kepadanya. Terbantut lagi hajatnya. Tidak sesuai langsung masa mereka untuk tiba di situ ketika ini pada anggapannya.
“Kamu semua di sini ya…kenapa tidak berkumpul sekali dengan budak-budak di sana?” Tanya Arman, sebaik turun dari motor yang ditungganginya bersama Halim.
“Kenapa? Ada masalahkah kalau kami berempat di sini, tidak bercampur dengan geng yang berenam tu?” balas Salmiah sinis. Puas pula hatinya kerana dapat membahasakan bekas kekasihnya itu seadanya. Arman terkapa-kapa menerima penangan bahasa Salmiah yang tidak mesra alam lagi kasar itu.
Jelas, Halim tertanya-tanya dengan kondisi yang membuatkan gadis itu berbahasa sekasar itu kepada seorang ketua yang dilantik pihak pengurusan kerana dia tidak tahu-menahu apa puncanya. Wajah Arman ditentangnya untuk mencari jawapannya di situ. Arman tidak berkata apa-apa. Kemarahan Salmiah terhadapnya kerana memutuskan hubungan intim mereka yang sekian lama terjalen nampaknya tidak pernah reda desis hati Arman.
“Sebenarnya kebetulan kami berempat berkerja di dalam baris di kawasan sini. Budak-budak tu masuk di baris sebelah paya di sana. Sebab tu lah kami terpisah jauh sedikit. Bukan sengaja pun kami nak merenggangkan diri dengan mereka,” ujar Murni, menerangkan keadaan sebenarnya. Disamping cuba menjernihkan suasana agar tenang dan harmoni.
 “Bagaimana Aisyah, dapatkah kamu menyesuaikan diri, berkerja di sini?”
Aisyah terkesima. Lelaki yang tidak dikenalinya itu bertanya dengan mesra. Seolahnya mereka telah saling berkenalan bertahun-tahun silam. Se pasang mata yang menatapnya itu lantas mengimbaukan kenangannya pada seseorang. Seseorang yang sangat dekat dengannya. Walau hakikatnya teramat jauh.
‘Tapi sudah pastinya orang ini bukan dia. Apalah yang aku mengarut ni…’Aisyah segera mengingatkan dirinya yang dilayang lamunannya nun jauh. 
“Mengapa terdiam pula kak Syah? Cik Halim tanya tu…jawablah…”
“Saya? Saya biasa saja. Apa yang mandur suruh buat, saya buatlah, macam kawan-kawan yang lain juga,” sahutnya tergagap-gagap lantaran keterkejutan kerana disigung Murni dengan sikunya. Malah tidak langsung menyangka lelaki itu mahu menyapanya dengan pertanyaan sebegitu rupa.
“Saya tanya tu bukannya apa, sebab saya risau juga, takut awak tak mampu nak buat kerja di ladang sawit yang banyak nyamuk, agas dan macam-macam gangguan lagi. Khabarnya awak tinggal di bandar, tentulah awak tak biasa dengan kerja-kerja di ladang macam ni…”
‘Siapalah yang beritahu dia ni aku tinggal di bandar. Pandai-pandai saja nak meneka. Aku bukannya tinggal di tengah bandar. Tetapi di sebuah kampung di pinggir bandar. Tak ada beza pun dengan keadaan di sini. Kalau dikatakan jauh lebih mundur keadaannya memang patut.’
“Mulanya memang bermasalah sikit tapi bila sudah berhari-hari berada di sini, saya semakin dapat menyesuaikan diri. Tak payahlah risau tentang saya. Saya tahu nak bawa diri dan jaga diri saya.”
‘Wah! Egonya dia bercakap…tahu bawa diri dan jaga diri konon. Kalau tidak ditolong Syam pada hari pertama awak berkerja dulu, entah bagaimana nasib awak Syah…’ Arman bermonolog dengan sengihnya yang terkelemewek.
“Kenapa kau ni Man…tersenyum-senyum sendiri…”
“Tak…tak ada apa-apa…” sahutnya tergagap-gagap menyembunyikan rasa yang hanya dia memahaminya.
“Baguslah kalau awak dah kata begitu Aisyah. Kerja baik-baik ya. Tak lama lagi awak akan dapat gaji yang pertama daripada hasil kerja awak pada bulan yang pertama.”
“Iyakah? Terima kasih,” sahut Aisyah kegirangan mendengar khabar yang disukainya.
“Wah! Bila dengar nak dapat gaji bukan main manis lagi senyumnya ya…kalau tidak tu macam hendak tak hendak saja menjawab bila ditanya…” tingkah Arman sinis.
“Kau ni Man…tak baik cakap begitu…”
“Dia ni memang begitu cik Halim, dengki kalau kami dapat gaji…” celah Salmiah masih dengan sikap provoknya yang kasar.
“Apa pula kawan nak dengki? Kalau awak me (semua) dapat gaji kawan pun dapat juga. Gaji kawan tu lebih banyak dari awak me  tau…tak ada pasalnya kawan nak mendengki…tak berbaloi pun…”
“Dah…dahlah tu…renti-rentilah bertekak. Kamu berdua ni ada saja sebab yang dicari nak dijadikan bahan bertengkar. Bawa bertenang. Jangan ikut rasa. Kan orang tua-tua kita selalu pesan, jangan ikut rasa nanti binasa, jangan ikut hati nanti mati,” sanggahnya dengan memperturunkan nasihat warisan nenek moyang.
Sikap kedua-duanya mengundang persoalan di hatinya. Mengapa agaknya jadi begitu? Apa masalah mereka sebenarnya sehinggakan apabila bertemu akan mencetus perang tekak. Sungguh dia tidak mengerti.
“Entahlah cik Halim, kami pun tak faham kenapalah bang Man kalau berjumpa dengan Salmiah asyik nak bertengkar. Dulu mereka berdua memang kawan baik,” balas Murni dengan sengihnya dan disambut teman-temannya dengan senyuman juga. Namun Halim masih tidak mengerti dengan maksud yang terselindung disebalik pertuturan Murni yang bersahaja itu.
Cerita tentang hubungan intim yang pernah terjalen dan terputus akhirnya kerana kehadiran orang ketiga, di antara Salmiah dan Imran tidak ada di dalam pengetahuannya. Hanya cerita kasar bersifat umum sahaja  yang diketahuinya.
“Saya dah nak balik ni. Awak nak balik ikut dengan saya sekalikah?”
“Taklah. Kerja budak-budak ni tak habis lagi. Ada satu pusingan lagi sebelum budak-budak ni boleh balik. Termasuklah saya. Saya pun akan pulang bersama mereka dengan treler yang akan datang ambil kami macam selalu...”
“Kalau gitu tak apalah…saya balik dulu Man. Saya balik dulu semua ya…”
Hatinya terasa berat mahu melangkah pergi lantaran perasaannya merasa sangat berbahagia berada di tengah kalangan gadis-gadis manis yang polos dengan wajah asli yang telah luput bedak yang dipoles pada awal pagi.
Apatah lagi tatkala menerima senyuman manis Aisyah yang ternyata memikat hati dan menggoncang seluruh sukmanya dengan debaran yang menggegarkan. Kenapakah pula itu yang dirasakannya? Bukankah perasaan sebegitu telah lama mati bersama kehilangan Masyitah kepada Zaini? Mengapakah ia terjelma kembali?
‘Apakah aku mulai menyukainya? Menyukainya dengan maksud apa?’ Berulang kali pertanyaan-pertanyaan yang pelbagai itu mengasak mindanya. Menjadikannya merasa berserabut dan keliru.
                                                    * * *
“Murni… apa cerita sebenarnya yang berlaku malam tadi? Kenapamu tak bercerita pada akak?”Tanya Aisyah. Tika itu kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah setelah turun dari treler yang disangkut pada trektor Nalappan.
“Cerita apa? Cerita yang Has tak sempat nak ceritakan  pada akak tadi sebab tiba-tiba muncul cik Halim dan abang Man di situ…” balas Murni sambil mempastikan maksud pertanyaannya.
“Iyalah…cerita tulah yang akak nak dengar…”
“Tapi cik Halim tu tampan dan segakkan! Akak rasa tak berkenankan diakah? Saya nampak cara dia memandang akak, macam orang menyimpan perasaan saja…kih…kih…” ujarnya disertai tawa yang menggelegak dan niat mengusik..
“Yangmu melalut sampai ke situ tu kenapa Murni? Lantak dialah apa yang dia nak rasa. Akak tak mahu tentang itu. Mu ni lain yang akak tanya, lain pulamu jawab...” Murni masih berketawa dengan galak kerana giatnya menimbulkan respons marah Aisyah. Sesekali dia suka melihat wajah Aisyah yang memerah ayu laksana mawar itu.
‘Betul juga apa yang kak Syah katakan itu, aku ni terlalu sibuk mempedulikan perasaan orang. Tetapi tidak pernah mengambil kisah tentang perasaan aku sendiri. Entahlah aku pun tidak tahu bagaimana hendak memikirkan perasaan aneh yang menyelinap ke dalam jiwa manusia yang berlainan jenis itu.

11 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 20...."

kampungjasa Incku delete icon 1 Jun 2014 10:39 PTG

kisah ni sangatlah saya suka menarik dan saya merasa terhibur :) thank you

paridah delete icon 2 Jun 2014 9:44 PG

terima kasih banyak sudi baca n mengikutinya kampungjasa Incku.

Kakzakie delete icon 2 Jun 2014 12:12 PTG

Jgn-jgn Halim tu adik-beradik dgn Faizal kot..
Lambatnya nak habis. Kakak dah tak sabarlah..

PI tulis panjang sikit hihi...

paridah delete icon 2 Jun 2014 12:59 PTG

entahlah...mungkin kot...lambat lagi nk hbs dgn pengakhiran yg xterduga...tq kakzakie sudi ikutinya.

Aku Penghibur delete icon 2 Jun 2014 1:19 PTG

kak mohon tolong panjang sikit... mood tu datang semangat membaca... suka jalan ceritanya

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 2 Jun 2014 2:34 PTG

nice post.

babYpose delete icon 2 Jun 2014 3:04 PTG

oh aisyah tak dapat gaji lagi ye hehe.. nak bagitau PI adalah pemenang GA 31may tu :) nanti tinggal komen detail info untuk hantar GA tu ye atau email babypise@ymail.com kalau tinggal komen saya tak publish. Tq PI:)

babYpose delete icon 2 Jun 2014 3:04 PTG

babypose@ymail.com

paridah delete icon 2 Jun 2014 3:26 PTG

sebenarnya babnya panjang juga...nanti disambung citernya lagi ya...tq acik Aku Penghibur sudi ikuti novel ni.

paridah delete icon 2 Jun 2014 3:28 PTG

yeke..terima kasih Muhammad Khairuddin Lim.

paridah delete icon 2 Jun 2014 3:32 PTG

baru kerja pun kan...kak menang GA babYpose ya...syukur alhamdulillah...terima kasih banyak2 pertamakali menang GAni teruja sangat.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”