بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


Hatinya terasa berat mahu melangkah pergi lantaran perasaannya merasa sangat berbahagia berada di tengah kalangan gadis-gadis manis yang polos dengan wajah asli yang telah luput bedak yang dipoles pada awal pagi.
Apatah lagi tatkala menerima senyuman manis Aisyah yang ternyata memikat hati dan menggoncang seluruh sukmanya dengan debaran yang menggegarkan. Kenapakah pula itu yang dirasakannya? Bukankah perasaan sebegitu telah lama mati bersama kehilangan Masyitah kepada Zaini? Mengapakah ia terjelma kembali?
‘Apakah aku mulai menyukainya? Menyukainya dengan maksud apa?’ Berulang kali pertanyaan-pertanyaan yang pelbagai itu mengasak mindanya. Menjadikannya merasa berserabut dan keliru.
                                                    * * *
“Murni… apa cerita sebenarnya yang berlaku malam tadi? Kenapamu tak bercerita pada akak?”Tanya Aisyah. Tika itu kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah setelah turun dari treler yang disangkut pada trektor Nalappan.
“Cerita apa? Cerita yang Has tak sempat nak ceritakan  pada akak tadi sebab tiba-tiba muncul cik Halim dan abang Man di situ…” balas Murni sambil mempastikan maksud pertanyaannya.
“Iyalah…cerita tulah yang akak nak dengar…”
“Tapi cik Halim tu tampan dan segakkan! Akak rasa tak berkenankan diakah? Saya nampak cara dia memandang akak, macam orang menyimpan perasaan saja…kih…kih…” ujarnya disertai tawa yang menggelegak dan niat mengusik..
“Yangmu melalut sampai ke situ tu kenapa Murni? Lantak dialah apa yang dia nak rasa. Akak tak mahu tentang itu. Mu ni lain yang akak tanya, lain pulamu jawab...” Murni masih berketawa dengan galak kerana giatnya menimbulkan respons marah Aisyah. Sesekali dia suka melihat wajah Aisyah yang memerah ayu laksana mawar itu.
‘Betul juga apa yang kak Syah katakan itu, aku ni terlalu sibuk mempedulikan perasaan orang. Tetapi tidak pernah mengambil kisah tentang perasaan aku sendiri. Entahlah aku pun tidak tahu bagaimana hendak memikirkan perasaan aneh yang menyelinap ke dalam jiwa manusia yang berlainan jenis itu.
Tetapi aku gembira dan seronok melihat mereka berkasih sayang dan turut merasa kebahagian mereka. Yang aku hairan kenapa pula kak Syah seakan menolak mentah-mentah semua lelaki yang aku rasa memang menyimpan perasaan terhadapnya di dalam diam.
Mungkin kak Syah bukanlah orang-orang seperti aku, Salmiah atau Hasanah. Fikiran kami tidak pernah jauh. Yang difikirkan tidaklah banyak. Kami hanya memikirkan untuk mendapat jodoh yang baik yang mampu memberi kami kesenangan, kebahagian sehingga berakhir hayat. Tiada lagi cita-cita lain yang tersemat.
Namun aku sangat pasti kak Syah tidak berfikiran kolot dan jumud seperti aku dan kawan-kawan aku. Di dalam hatinya pasti menyimpan suatu cita-cita dan dia berazam untuk meraihnya tanpa mempedulikan apapun yang berlaku di sekelilingnya. Mudah-mudahan apa yang diidam-idamkannya akan terlaksana. Aku hanya mendoakan yang terbaik untuknya.’
“Apahal pulamu termenung panjang?”
“Saya sedang mengingat kembali peristiwa yang saya dah terlupa…” balasnya bersahaja. Bukannya dia terlupa tetapi sedang menenangkan jiwanya yang diamok perasaan yang tidak pernah diundang.
“Kak Syah ni nampaknya minat sungguh nak tahu kisah tu…”
“Iyalah kak Syah nak tahu juga apa yang sebenarnya berlaku di tempat kita ni, tidaklah akak ketinggalan maklumat terkini Murni...”
“Maklumat macam tu rasanya tak penting pun untuk diketahui,” sahutnya sambil lewa.
“Manamu tahu tak penting? Mungkin pada akak ianya amat penting…” Aisyah mempertahankan kewajaran kemahuannya.
“Ala cerita orang bergaduh sebab tersalah usik tunang orang, penting sangatkah?”
Aisyah tersengih mendengar lontaran suara Murni yang sinis itu.
“Oh…itukah ceritanya…tunang siapa yang di usik? Siapa yang mengusik?”
“Hai…itupun nak tahu juga?”
“Iyalah…kalau nak bercerita biarlah jelas dan terang. Inimu bercerita cuma dengan sebaris ayat. Takkanlah sependek itu…”
“Dah itu saja yang saya tahu…itulah yang saya cerita pun. Tak payah bercerita meleret-leret tapi apa yang nak dikisahkan adalah cerita orang bertumbuk. Kesimpulannya memang begitu,” ujar Murni tegas.
“Tapi siapa yang kena tumbuk tu kesian…”
“Siapa lagi kalau bukan budak-budak dua orang yang terkenal dengan sikapnya suka mengganggu gadis-gadis di sini. Apa pula nak dikesiankan…biar dirasa padahnya…padan muka…bertemu buku dengan ruas…”
“Apalah sampai nak bertumbuk pula, usik-mengusik tu bukankah perkara biasa di kalangan orang-orang muda. Takkanlah itu pun tak boleh nak diterima,” balas Aisyah memberi perspektif yang sedikit positif. Dia lantas terkenangkan gangguan daripada anak-anak muda lelaki di kampungnya ketika dia pulang dari sekolah. Gangguan-gangguan sebegitu tidak langsung memberi kesan apa-apa sekiranya si empunya diri tidak melayannya. Dan dia tidak tergugat kerananya.
“Itu kata kak Syah. Tapi bukan kata tunang kepada perempuan yang cantik tu. Tunangnya tentulah nak mempertahankan tunangannya dari sebarang gangguan. Bukankah kasih sayang dan sikap ambil berat itu perlu ditunjukkan. Jikalau tidak si gadis bakal isteri itu tidak tahu sebesar mana kasih bakal suaminya terhadapnya. Tak gitu…?” sahut Murni, sengihnya menyeringai mengiringi komennya yang spontan itu.
“Mu ni kalau bercakap mengalahkan akak yang dah dewasa ni…ini mesti terpengaruh dengan filem-filem Melayu yang sering ditonton…”
“Akakpun tak sedewasa manapun, tak payahlah nak mengaku. Akak dan saya hampir sebaya. Cuma tingkah se tahun saja. Jadi cara kita berfikir tentulah tidak jauh beza. Tak adanya sebab terpengaruh dengan apa-apa…”
Aisyah terkedu. Tidak berdaya hendak menafikan fakta yang dipapar Murni itu. Terpaksa mengiakan di dalam diamnya.
“Tapi siapa yangmu maksudkan budak-budak yang padan muka tu…?”
“Alah akak kenal dua orang budak yang kacak lawa tapi hampeh tu…”
“Siapa? Kalaumu tak sebut manalah akak tahu…”
“Siapa lagi kalau tidak budak-budak yang cuba nak mengorat akak pada hari pertama akak masuk kerja tu…”
“Oh…budak-budak tu…”
“Setahu saya budak-budak tu orang kampung akak jugakan?” Aisyah terkedu. Sinar matanya mencerlang tajam kehairanan menerpa kejora mata Murni. Bersalut pertanyaan yang terluah sebagai frasa.
“Iya ko orang kampung kita? Setahu akak cuma keluarga akak saja yang berpindah dari kampung tu ke sini. Kak Ani dan abang Harun kampungnya di Jelawat, tidak juga se kampung dengan akak…”
“Maksud saya tu se negeri dengan akak. Sama-sama dari negeri Kelantan.”
“Oh gitu…tak baik kan mari ke negeri orang buat gedebe lagu tu? Memburukan nama negeri asal saja. Orang ni kalau nak mengata yang buruk-buruk memang suka menyebutkan asal-usul seseorang tu…”
“Biarlah dia kak…dah sikap dia begitu. Kan orang kata buat baik di balas baik. Jadi dia dah dapat balasan setimpal dengan perbuatannya. Tak kiralah dari mana pun asal usul keturunannya. Mudah-mudahan dia orang tu serik. Taklah asyik nak mengganggu gadis-gadis muda saja tak kira siapa. Sudah tentulah kita pun akan selamat juga…”
‘Tapi caramu mengaitkan asal-usulnya yang se negeri dengan tanah kelahiranku agak pesimis dan mengguris hatiku Murni. Seolahnyamu merumuskan kebanyakan lelaki yang tidak budiman dan suka membuat onar itu terhasil dari negeri puteri Saadong itu. Puteri Saadong yang kehilangan suami tercinta sewaktu dibawa raja Siam ke negaranya. Puteri Saadong yang berusaha mempertahankan mahkota diri dari dinodai sang raja demi cinta kasihnya terhadap suaminya.
 Namun setelah berjaya pulang ke negeri yang indah permai, seindah tanah serendah se kebun bunga, cinta yang bertugu itu berderai laksana debu kerana suaminya menodai cintanya dengan mengahwini seseorang yang ayu jelita lantaran kesunyian kerana telah ditinggalkan isteri kesayangan.
‘Apakah lelaki itu langsung tidak kebal menahan rasa sunyi kerana ditinggalkan seseorang tersayang? Lalu tidak boleh terlalu total mengharapkan kesetiaan itu akan kekal di hati mereka. Itukah yang mu rasakan terhadap aku Faizal? Mu tentu sunyi di sana tanpa aku disampingmu. Dan mu telah menemui seseorang yang boleh mengubat sunyimu itu terhadapku. Begitukah? Apakah yang dialami puteri itu akanku alami juga.’
Ingatannya yang bersimpang-perenang ternyata kini mengganggu dan mendera mindanya. Apalagi tatkala terkenangkan suratnya yang di hantar kepada Faizal di US belum lagi diterima balasannya.
‘Sibuk sangatkahmu Faizal, sampaikan hendak menulis secebis berita kepadaku pun tidak sempat.’
Hilang kejengkelannya kerana Murni mengaitkan dua watak antigonis dengan negeri tumpah darahnya kini yang tertera di matanya adalah wajah tampan lelaki kesayangannya pula.

                                                  Bab 21.
                                                            Memendam rasa
           
“Nampaknya mutakhir ini kau lebih suka menyendiri. Apa sebenarnya yang sedang kau fikirkan? Macam besar sangat persoalan yang sedang dipertimbangkan…”
            “Kenapa kau kata begitu? Aku biasa saja, sibuk dengan kerja-kerja aku di ladang. Balik dari ladang terpaksa pula siapkan laporan sepatutnya,” balas Halim mengilas prasangka temannya yang keterlaluan pada firasatnya..
            “Aku tahulah tu…tapi nampak gayanya macam orang sedang mengelamun dilambung perasaan...”
            “Pandailah kau…tak adanya aku begitu…”
Halim cuba mengelak dari diterjah dengan soalan-soalan yang akan membuatnya terperangkap lalu tanpa disedari dia membuka catatan rahsia perasaannya, dia lantas membawa fail yang sedang ditatap kosong itu ke tempat penyimpanannya. Membiarkan temannya yang bertanya itu tercokoh menunggunya kembali ke tempat duduknya.
            “Masyitah sedang tunggu kau tu…buat apa lagi kau di tempat aku ni?”
Zaini melenguh sambil mendepangkan tangannya seolahnya sedang melepaskan kerengsaan yang membelenggu kecergasannya.
            “Aku pun penat juga menguruskan kerja-kerja pejabat yang menimbun tu…nak berihat sekejap…,” ucapnya lemah.
            “Di sini pula kau nak berihat ya…habis aku nak duduk di mana. Biar aku ke tempat kau di dalam sana ya? Boleh juga bersembang dengan Masyitah hih…hih…”
            “Kau jangan nak buat pasal dengan bini aku ya…kang dapat se biji ni…” Zaini mengepal penumbuk buku limanya sambil menghalakannya ke muka temannya. Wajahnya dikeraskan buat menggambarkan keseriusan amarannya. Temannya itu menjuihkan bibirnya sinis.
            ‘Sayang sangatlah dengan Masyitahnya tu konon…tapi setiap petang melepak di tepi padang melihat anak-anak gadis terloncat-loncat bermain netball…kesian kau Masyitah. Suami kau ni nampaknya pepat di luar tapi rencong di dalam. Nasib kaulah Masyitah…’
            “Aku ni hairan betul dengan kau ni, bila aku duduk diam-diam di sini tak kacau kau, tak ganggu Masyitah kau pula yang datang kacau aku…”
Zaini menarik sebuah kerusi dari sebuah meja yang kosong kerana pegawai yang sepatutnya ada di situ sedang melakukan tugasan di luar.
            “Kau duduk di sini…bukannya masalah besar nak cari tempat duduk sampai kau terpaksa nak ke tempat aku di dalam sana,” ujarnya dengan sikap ambil mudah.
            Halim terpaksa melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang disorongkan Zaini kepadanya kerana dia juga merasa kepenatan lantaran berdiri sejak tadi.
            “Apa sebenarnya masalah yang sedang kau sorok dari aku ni? Ceritakanlah! Kitakan berkawan…”
            “Macam aku kata tadi tak ada apa-apa. Kau tak payah nak susah-payah risau tentang aku…” Masih juga Halim mengutarakan dalihan yang sama.
            ‘Apahallah dia ni tak faham-faham apa yang aku kata.’
            “Mestilah aku risaukan kau…sebab kau kawan aku. Kalau kau stress dan murung tentu masalah besar. Kalau dapat sakit mental bukankah susah…”
            “Kau ni ke situ pula melalutnya. Insya-Allah aku okey. Tak ada pun masalah mental. Cuma yang macam aku cakap tadi, aku tak mahu ganggu kau dan Masyitah nanti tak pasal-pasal dapat penumbuk kau…buat apalah nak cari sakitkan? Jadi lebih baik aku buat kerja aku dan biarkan kau dengan kerja kau…”
            “Iyakah itu saja sebabnya? Aku rasa ini mesti ada sebab lain. Tapi kau sengaja tak nak cerita pada aku ni…”
            ‘Isyh kau ni Zaini…rahsia peribadi akupun kau sibuk nak tahu juga.’
            “Iyalah itulah saja sebabnya…tidak ada yang lain lagi.”
            Seseorang tiba-tiba terjengol di muka pintu pejabat yang di bina sederhana itu. Sebuah bangunan yang dibina separuh batu dan separuh kayu tegak mengisi para perkerja pengurusan tanah rancangan itu. Ada dua bahagian khusus di dalam bangunan itu.
Sebahagian menjadi tempat pembantu pegawai ladang yang akan melakukan kerja-kerja mereka sepulang daripada mengawasi projek di ladang. Ruang itu kelihatan luas. Sebahagian ruang  kecil dipisahkan dinding ditempati mereka yang menjawat tugas pengurusan pejabat, se buah bilik khas di sediakan pula buat pengurus rancangan di hujung bangunan itu.
            “Masuklah Arman,” pelawa Zaini yang menyedari kehadiran pemuda itu.
            “Kau nak jumpa pengurus kah? Pengurus tak ada. Dia ke pejabat wilayah menghadiri mesyuarat bulanan...” Zaini memberi jawapan kepada pertanyaan yang tidak ditanyakan Arman kepadanya.
            “Tak…saya bukan nak jumpa pengurus tapi nak jumpa cik Halim. Saya nak beri repot bulanan tentang budak-budak yang berkerja di bawah saya, jumlah hari kedatangan mereka berkerja dan jumlah pendapatan yang patut mereka terima,” sahut Arman menerangkan sebab-musabab kedatangannya ke situ. Lantas diunjukan buku tebal berukuran panjang itu kepada Halim. Dan Halim segera menyambutnya.
            “Duduklah dulu Man. Boleh juga kita sembang-sembang sekejap. Waktu pejabat pun dah nak habis…” Sebuah kerusi di tariknya untuk diduduki tetamunya buat memenuhi pelawaannya. Tandanya ia bersungguh-sungguh mengajak dan bukan sekadar ajak-ajak ayam saja.
            Arman terpaksa membatalkan niatnya yang asal. Mulanya ianya hanya bercadang menghantar buku laporan itu dan terus pulang.
            “Hai sejak bila pula kau buat kerja-kerja si Syahidan ni…?”
            “Baru-baru ni saja. Pengurus suruh aku ambil-alih tugas Syahidan pula. Jadi aku buatlah…”
            “Kenapa pula? Syahidan tu buat kerja apa pula?” ujarnya dengan disaluti pertanyaan yang menghairankan dirinya.
            “Bukankah kau ni di bahagian pentadbiran takkanlah kau tak tahu. Mungkin juga Syahidan nak dinaikan pangkat dan ditukarkan ke rancangan lain. Mana tahu entahkan nak jadi pengurus. Dia pun dah lama jadi penyelia...”
            “Itu aku tak tahu. Mungkin cik Idham dapat tahu lebih awal sebab dia ke ibu pejabat di KL minggu lepas. Dan surat hitam putih tentang itu belum dihantar ke pejabat kita di sini…untungnya dia…”
            “Kalau dinaikan pangkat mestilah beruntung…”
            Arman hanya memasang telinga mendengarkan kedua-duanya bersoal-jawab tentang rakan se pejabat mereka. Dia juga turut mengenali Syahidan sebagai seorang pegawai yang tidak berapa ramah itu. Seseorang yang dilihatnya sangat menitik-beratkan soal perkerjaannya semata. Selama ini dia berurusan dengan pegawai itu dan tiada pula sebarang masalah kerana setiap arahannya dipatuhi sebaiknya.
            “Aku pun tak pasti, sebenarnya aku agak saja. Tapi kebiasaannya memang begitukan…”
            “Bila dah naik pangkat tentulah naik gajinya…bertuahnya badan. Nampaknya aku jugalah yang terperok saja di sini, pangkat tak naik-naik…”
            “Bersabarlah Zaini, tak lama lagi pasti akan tiba pula giliran kau. Bukankah kita ini melangkah se takah demi se takah. Lambatlah sikit sebelum nak sampai.”
            “Pandailah kau…” Zaini tidak acuh dengan komen Halim itu tetapi ia berpaling mengadap Arman yang seolahnya termangu di situ.
            “Arman, maaf ya, hati saya terdetik nak bertanya, mengapa agaknya si Salmiah itu seakan tidak respek kepada awak sebagai ketuanya. Gaya cakapnya main lepas saja. Apa masalahnya kau orang berdua ni? Sebab saya kebetulan menguruskan soal-soal perkerja-perkerja ladang di bawah saya, rasanya saya perlu tahu juga. Lagipun ianya menyangkut soal ketenteraman hati sewaktu berkerja. Tentunya sedikit banyak mengganggu perasaan awak sebagai mandur di situ…”
            “Tak ada apa-apa cik Halim. Salmiah tu memang begitu sikapnya. Saya tak ambil kisah pun,” balas Arman. Merasa serbasalah pula dia hendak menerangkan perkara sebenarnya. Pertanyaan yang tidak diduga akan diterjah kepadanya bagaikan hentaman padu yang singgah ke kepalanya. Zaini menyeringaikan sengihnya sebaik saja mendengar ungkapan Arman itu.
            “Kau tak tahu ke Lem, apa yang sebenarnya yang berlaku antara Salmiah dan Arman ni…?”
            “Kalau aku tahu, tentulah aku tak bertanya...”
‘Dari mana pulalah cik pegawai kerani ni dapat tahu kisah antara aku dan Salmiah ni…’ hati Arman berdetak sebal.
            “Tanah rancangan kita ni tak seluas mana Man…bila orang di penjuru sana bercakap akan di bawa angin ke penjuru sini. Kemudian orang bercakap dan bercakap dan bercakap sehinggalah sampai kepada saya…”
            “Apa pula kata orang-orang tu tentang saya cik Zaini?”
            “Itulah yang saya nak pastikan ni…betulkah apa kata mereka…” sahut Zaini lebih lunak dan diplomasi tanpa ketara sikap provokasinya yang menekan. Halim pula memberi fokus kepada perbicaraan antara kedua-duanya.
            “Betulkah kata mereka kau dulu hebat bercinta dengan Salmiah tetapi memilih Jamilah untuk berkahwin?”
            

8 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 20...21 SAMBUNGAN"

Purnomo Jr delete icon 9 June 2014 at 13:10

Kenapa tak di buat novel aja kak
Menarik ceritanya :)

Aku Penghibur delete icon 9 June 2014 at 13:17

yeah ada sambunganya ^_^

kampungjasa Incku delete icon 9 June 2014 at 14:10

asyik sekali ceritanya kak boleh lah saya simpan dan saya maukan ke situs saya yang satunya siapa tahu nanti ada banyak yang mau baca jadi saya minta ijin dulu :D

paridah delete icon 9 June 2014 at 15:59

ya kak izinkan...simpanlah jika menggemarinya...terima kasih kampungjasainchku selalu ikuti sambungannya...

paridah delete icon 9 June 2014 at 16:01

yes...selamat membaca ya acik Aku Penghibur.

paridah delete icon 9 June 2014 at 16:03

kak novelkan di sini saja dik...tq Purnomo Jr.

Sobri Yaacob delete icon 9 June 2014 at 21:21

salam sis..
menarik ceritanya.
byak idea untuk mnulis..mini novel..
smoga trus bkarya sis..

klikx3 promte contests :P

paridah delete icon 9 June 2014 at 22:02

wsalam dik..menulis saja2...insya Allah bukan rajin sgt berkarya pun...tq sobri rajin klik3.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”