Sunday, 4 May 2014

SEBUAH VERSI CHINTA BAB..16....

                                                Bab16.
                                          Cerita dalam cerita.


“Awak di sini ya Man. Puas aku cari tadi. Di ladang tadi pun aku tak jumpa awak, awak ke mana…?” Lelaki yang disapa itu mengalih pandangannya dari hala padang bola kepada suara yang tercetus di sebelahnya. Konsenterasinya terhadap belia-belia yang sedang berlenggeng di padang merebut bola nan se biji untuk disumbatkan ke gawang gol terjejas.
“Memanglah kawan (aku) di sini. Kenapa pula awak cari kawan di ladang tadi?” sahutnya acuh tak acuh sambil mengembalikan semula pandangannya ke tengah padang.
“Awak tak tahu ceritakah?” Pertanyaan yang dilontarkannya berbalas tanya juga. Dan raut kehairanan pada wajahnya jelas terbentuk  Kali ini ternyata penumpuannya terhadap permainan yang semakin rancak itu terhapus terus daripada minatnya. Renungan tajam berkalih arah meraup wajah teman yang melabuh punggung di atas rumput di sisinya.
“Tak…cerita apa…apa yang berlaku? Awak ni buat kawan (aku) suspens je…”
“Murni tak cerita pada awak?” Dia bertanya lagi.
“Tak…” balasnya dengan tiga aksara mudah.
“Patutlah awak tak tahu…”
“Kenapa Syam…ceritalah…,”gesanya tidak dapat menahan sabar.
“Hal budak baru yang baru masuk kerja pagi tadi tu…” Syamsi mula melakar cerita yang diketahuinya pasti. Tapi intronya sukar ditebak maksud sebenarnya.
“Kenapa pula dengan budak yang baru masuk kerja tu? Apa pula kena mengenanya dengan awak. Agaknya awak berhajat nak tekel dia ya…,” ujarnya berserta bauran sindir yang menyerkap jarang.
“Tidaklah sampai ke situ ceritanya...” Suaranya mendatar membalas lontaran bola sinis padu yang hampir mengenai wajahnya.
‘Jikalau aku berhajat nak tekel dia tu, aku rasa tak salah. Aku masih kosong lagi sedangkan awak dah pun bertunang,’ tambah hatinya bermonolog
“Habis tu…?” Naratif yang pendek itu menggambarkan sesuatu yang mengait perasaan ingin tahunya yang memuncak.
“Sebenarnya awak tadi kemana? Sampai anak buah awak nak terjatuh ke dalam gaung pun awak tak sedar. Awak tak awasi dema (mereka) berkerjakah?”
“Astaghfirullahhalazim…iyakah?…teruknya. Kawan tak tahu pun. Tak ada siapa pun yang beritahu kawan. Tadi tu kawan ikut land rover pengurus baru yang minta tunjukan kawasan peringkat lima yang baru di tanam anak sawit.” Arman beristigfar panjang sebaik kawannya itu menjelaskan duduk perkara ceritanya.
“Pengurus tupun satu…kenapalah dia ajak awak ke peringkat lima pula. Bukankah ramai lagi pegawai ladang (FA-FIELD ASISSTANT) yang boleh tolong. Lagipun itu memanglah tugas mereka…” Syamsi mempersoalkan ketidak-wajaran tindakan kawannya itu.
“Apa nak buat Syam…kita ni kan kuli je. Kuli cabuk paling rendah…mandur je. Kenalah patuh perintah orang atas…macamana pula dengan budak baru tu?...cederakah…?” balas Arman perlahan berusaha mempertahankan apa yang telah dilakukannya dan tidak lupa menghulurkan simpatinya kepada perkerja yang malang itu..
“Dia tu okey je…mujur koi (aku) kebetulan lalu di situ nak tengok ‘budak-budak’ koi yang buat prunning pelepah sawit di belakang jalan, terserempaklah koi dengan budak tu yang terkial-kial menarik batang senduduk sampai lunyai sebab nak naik ke atas. Koi rasa kalau lambat di tolong mesti budak tu tergelincir masuk gaung.” Manifestasi cerita Syamsi melukis situasi sebenar yang dilalui ‘budak baru’ yang dimaksudkannya itu dengan bersungguh-sungguh.
“Wah…awak jadi hero pula hari ni ya. Terima kasih banyak sebab awak dah tolong selamatkan seorang perkerja kawan daripada ditimpa bahaya. Kalau tidak tentu jadi kes besar yang kawan kena jawab pada emak bapanya…” Ujar Arman. Tangan kirinya yang sasa itu menepuk-nepuk bahu temannya.
“Apa nak kata, kebetulan koi ditakdirkan jadi hero pula hari ni…hah…hah…” Syamsi mengikih tawanya sebaik Arman meletakan dirinya adalah seorang wira penyelamat.
Baginya gelaran hero yang diberikan kawannya kepadanya begitu menggelikan hati. Lantaran dia terkenangkan watak hero-hero dalam filem-filem Melayu yang sering beraksi menyelamatkan heroin-heroin dalam apa saja keadaan yang mencemaskan.
“Amboi…bukan main happy lagi bila digelar hero ya…sampai tergelak besar!”
“Awak nak tahu kenapa koi tergelak?”
“Kenapa? Ceritalah…”
“Koi terkenangkan Nordin Ahmad yang menyelamatkan Roseyatimah dalam filem Cucu Datuk Merah…”
“Ceh…perasan jadi hero filemlah pula cik Awang Janggut kita ni…” Kedua-duanya saling ketawa dan mengetawakan. Peranan Awang Janggut yang dibawakan dengan berkesan pemerannya Allahyarham seniman Nordin Ahmad di dalam filem tersebut menjadikannya mudah diingati peminatnya yang satu ini.
Namun jauh di sudut hatinya, niatnya hanya tulus, semata-mata menolong gadis yang memerlukan pertolongannya tika itu, tanpa mengharapkan apa-apa. Sekalipun gelar hero seperti yang dikatakan kawannya itu.
“Eh…cuba awak tengok di sana. Aku rasa itu Murni dan kawan-kawannya. Agaknya mereka tu sudah selesai latihan bola jaring tu. Tunang awak si Jamilah pun ada. Kalau awak tak percaya cerita koi tadi, baik awak tanya dengan Murni…”
Gerakan tangannya yang melambai Murni seiring dengan suaranya yang bergetar.
“Agaknya Murni perasan tak awak panggil dia…,” tanya Arman mempastikan.
“Perasan kot. Tengok tu Jamilah dan Murni berjalan menghala arah kita...”
Langkah kedua-dua gadis itu semakin merapati sasaran mereka.
“Apahalnya abang gamit saya tadi. Saya dan kak Milah dah nak balik ni…” ujar Murni kepada kedua-dua pemuda itu. Jamilah pula dilihatnya berbalas senyum ceria dengan tunangannya. Pertemuan dengan lelaki yang bakal menjadi suaminya beberapa bulan lagi itu seolah-olah menzahirkan kegembiraan yang tidak terkata.
“Awal lagi dah nak balik…tengok budak-budak tu masih berlarian mengejar bola di padang. Permainan mereka belum selesai. Tapi awak berdua dah sibuk nak balik. Haripun masih siang lagi,” balas Arman cuba menafikan situasi alam yang melengkungi mereka yang menyebabkan mereka perlu beredar meninggalkan suasananya.
“Nampak saja siang bang…sebenarnya dah nak masuk senja. Kalau tak percaya tengok jam saya ni…sudah dekat pukul 6.30,” balas Jamilah seraya memandang tepat mata tunangannya. Tangannya mempamerkan jam yang dipakainya sekaligus mengatakan bahawa jam pemberian tunangannya itu sentiasa ada bersamanya. Dijaga, dihargai, dibelai dengan se penuh hati bagai ia membelai kasih-sayang lelaki yang amat dicintainya itu.
“Bukannya apa Milah, Syamsi ni nak Murni sahkan cerita yang disampaikan kepada abang tadi…”balas Arman, menjelaskan perkara sebenarnya.
“Cerita apa pula tu bang. Murni tak ceritapun pada saya…jangan-jangan abang buat hal dengan budak-budak ‘kawin bunga’ tu…”Jamilah menerka kalut. Darah merahnya terasa menyirap ke wajah. Panas membahang.
“Isyh Milah ni ke situ pula dia merapu. Milah ni suka sangat menuduh abang yang bukan-bukan. Itu yang buat kawan malas nak bercerita apa-apa dengan si Milah ni…awaklah yang ceritakan Syam…”
Murni dan Syamsi berbalas senyuman tanda kedua-duanya memang mengerti dengan sifat keterlaluan cemburu yang dimiliki Jamilah terhadap tunangnya. Pantang dia mendengar tunangannnya berbaik-baik dengan gadis-gadis perkerjanya mulalah dia membuka langkah untuk mencari gadis itu dan menyeranahnya cukup-cukup.
Akan diberinya amaran keras agar tidak berbaik-baik dengan tunangannya. Sudahnya tunangannya itu hanya berkawan dengan orang-orang yang ditentukannya saja. Langsung tidak berani merapati gadis lain walau niatnya semata-mata ikhlas berkawan. Sikap Jamilah ternyata mengongkong kebebasan peribadinya.
Namun kerana cintanya yang abadi terhadap gadis comel itu membuatnya terlupa semua kekurangannya. Dan mulai menyesuaikan diri dengan cara kemahuannya.
“Awak jangan suruh koi cerita. Murni tu yang patut bercerita…”
Murni pula menjadi sasaran terpaan mata Jamilah yang mengandungi pertanyaan yang tambah mengelirukannya. Tidak sabar lagi dia hendak mendengar apa yang bakal diperkatakan Murni. Siapakah gerangan gadis yang sedang menjadi topik hangat perkisahan mereka itu menubi minda ingin tahunya.
“Murni nak cerita apa? Murni pun tak tahu hujung-pangkal kisah abang berdua. Tiba-tiba disuruh bercerita pula…tentang apa? Kalut…kalut...” Tuturnya dengan rasa bingung. Sinar matanya meraup wajah kedua-dua jejaka itu silih-ganti.
“Cerita Aisyah terjerlus ke gaung…” Murni ternganga mendengarkan itu, sebaik Syamsi menjelaskannya. Dia tidak sangka kisah itu akan sampai kepada Arman pula. Terasa bersalah pula kepada Aisyah kerana tidak berdaya mengekang cerita itu dari tersebar walau bukan daripada mulutnya sendiri. Lagipun dia tidak sempat memberitahu Syamsi akan permintaan Aisyah agar tidak menceritakan peristiwa itu kepada sesiapa pun.
“Ooh cerita tu…abang ni buat kecoh saja…tapi bukan jatuh terus ke dalam gaung Cuma hendak ter…tak payahlah abang nak hebohkan cerita tu. Kak Aisyah bimbang kalau emak ayahnya tahu tentu emak ayahnya tak benarkan dia berkerja lagi…”
“Betullah tu… bukan terjatuh lagi tapi  keadaan yang dilaluinya amat bahaya dan mencemaskan. Kalau budak tu terjatuh, cedera atau mati apa nak kata. Tentu awak yang akan di salahkan sebab tak menjaga dan membimbing dia. Orang tentu tak akan salahkan Arman sebab ketika itu dia bersama pengurus rancangan kerana urusannya…”
Murni menarik nafas yang lelah setelah mindanya diprovok dengan tubian asakan. Kepada pemuda ini nampaknya kejadian yang dianggap ringan dan biasa saja begitu mengesankan jiwanya.
“Abang ni jangan nak salahkan saya saja. Saya ni dah selalu pesan pada dia supaya berhati-hati tika berkerja. Pandang kaki tika melangkah, takut tersadung akar atau terpijak ular atau kala jengking yang tidak disedari melata. Tapi apa nak kata, malang hendak berlaku juga. Bukankah malang itu tidak berbau…,”ujar Murni, mengatakan apa saja yang terlintas difikiran buat alasan membenteng pertahanan diri.
“Iyalah…awak ni Syam asyik nak salahkan Murni saja. Kesian dia…tengok dia dah nak menangis sebab sedih awak marahkan dia...” Tingkah Arman segera. Wajah Murni yang ketara muram dan pucat ternyata kepadanya.
“Abang bukan nak salahkan Murni tentang kejadian tu. Cuma abang nak gambarkan betapa bahayanya keadaan dia tadi,” balas Syamsi lunak dan lirih. Rasa bersalah menguasainya kini kerana ungkapannya itu berunsur tohmah dan menekan jiwa Murni.
“Iyalah Murni awak jangan salah-anggap dan terasa hati pula. Lain kali awak pesan pada rodong (kawan) awak tu supaya lebih berhati-hati kalau berkerja. Abang pun nampak Aisyah itu lembut sangat orangnya. Tentu dia tidak sesuai dengan kerja-kerja lasak di ladang...”
“Tapi saya minta sangat kepada abang Man dan bang Syam, tolonglah jangan ceritakan kepada sesiapa. Kesian kak Syah kalau emak ayahnya tak benarkan dia berkerja jikalau mereka tahu kisahnya. Kak Syah tu berkerja sebab nak cari duit untuk biaya persekolahannya…”
“Iyalah bang Man. Tak payahlah abang ambil kisah sangat dengan budak tu. Dia yang nak cari susah dengan berkerja. Biarkanlah...” Ujar Jamilah kasar.
Yang ada di hatinya, maksud sebenar apa yang disebutkan, hanya dia yang tahu. ‘Kau jangan berani nak main gila dengan budak baru tu…kalau aku tahu siap budak tu aku kerjakan. Dulu aku elok-elok berkerja kau suruh aku berhenti. Kononnya perkahwinan kita dah dekat jadi aku patut duduk di rumah saja menunggu harinya. Apa-apa yang berlaku kepada kau di tempat kerja tak dapat aku nak mengawasinya. Tapi kalau aku dengar cerita yang aku tak gemar sampai ke telinga aku, siap kau…’gumamnya menggurutu.
Tajam anak matanya yang hitam berkilat itu menujah wajah tunangannya yang tersengih-sengih dengan serba-salah lantaran tidak tahu hendak menyambutnya bagaimana. Apa yang termaklum dan dapat ditafsir hati kecilnya cuma tunangan yang dikasihinya itu sedang beramuk dengan persoalan yang diciptanya sendiri. Pasti ada kaitannya dengan budak baru yang sedang diperkatakan perihalnya tadi.
“Tak apalah bang Man, bang Syam saya balik dulu. Tapi bang Syam dan bang Man tolonglah ingat pesanan saya ya…”
Kedua-duanya terangguk-angguk untuk menyanggupi permintaan Murni yang mudah itu. Lega hati Murni kerananya. Seolah bebanan batu yang tergalas di bahunya telah terangkat.
“Jomlah kita balik kak Milah. Atau kak Milah nak bersembang lagi dengan abang Man?”Jamilah tidak menyahut pertanyaan Murni itu. namun hatinya menyetujui amat dengan frasa akhirnya. Seolah rindunya terhadap tunangan yang kebetulan bertemu belum lagi lebur seluruhnya. Hasratnya pastinya ingin berlama-lamaan bermadah-bicara dengan tunang kesayangannya.
“Kau jangan buat hal bersembang berdua-duaan di tepi padang ni Man…takut ada yang memandang-mandang…takut tak pasal-pasal, kahwin tak ikut jadual. Janjinya nak kenduri kahwin besar-besaran bulan depan…tup tup dah kahwin hari ni…heboh pula cerita kau kena tangkap basah tepi padang bola…,”sela Syamsi dengan candanya yang menggelegak tawa.
“Awak ni ada saja…nak usik kawan yek. Biarkanlah kalau orang nak memandang. Kawan bukannya buat apapun…,”bahasnya mengilas pandangan Syamsi.
“Tapi rumah kak Milah ni tidak se hala dengan rumah saya. Eloklah kalau abang hantar kak Milah dengan motor abang tu. Saya balik naik basikal saja…” Celah Murni pantas memberi alasan mengelak daripada membawa beban di atas pelantar basikalnya. Bukan kerjanya menggateh basikal untuk menghantar Jamilah yang tinggal di kawasan perumahan peringkat satu sedangkan rumahnya berada di kawasan peringkat tiga. Letaknya pula menghala ke utara tanah rancangan itu.
Tentulah penat sekiranya dia terpaksa mengayuh basikal untuk menghantar Jamilah pulang terlebih dahulu sebelum mengalih haluan ke rumahnya pula. Biarlah tunangnya membawa beban pilihannya itu tanpa berkira.
Malas pula dia hendak menanggung masalah yang sengaja dicari. Lagipun dia tidaklah begitu rapat dengan tunangan Arman yang gemar bergaduh dengan kawan-kawannya di ladang lantaran cemburukan tunang kesayangannya itu.
 Itu cerita dulu. Cerita sewaktu kedua-duanya sedang asyik-mahsyuk bercintan-cintun. Setelah ikatan pertunangan dipeteri di antara mereka, Arman memaksa Jamilah  berhenti kerja. Jamilah terpaksa akur kerana ingin menunjukan rasa cintanya terhadap Arman dengan sanggup melakukan apa saja kehendaknya. Tiada lagi pergeseran dan perkelahian yang tercetus di kalangan ‘gadis kawin bunga’ itu lantaran pencari gara-garanya sudah nyah.
“Awak balik dengan basikal ya? Kalau tidak bolehlah abang Syam tolong hantarkan awak…” Tanya Arman di samping mengusulkan pendapatnya.
“Tak payah susah payah tentang saya. Saya tahu urus diri saya sendiri. Abang fikirkan tentang kak Milah tu…saya balik dulu ya…” Sebaiknya badannya berubah posisi, dia mula melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
“Awak dengar tu apa kata Murni…maknanya dia perli awak tu sebab awak terlebih kisahkan budak baru tu sampai tak pedulikan dia. Selama ini bukankah awak berdua berkawan baik? Orang tu ada hati dan perasaannya juga Syam…”
Syamsi tersenyum kecil. Baginya Murni yang dikenalinya selama ini memang begitu sifatnya. Tidak pernah mengambil hati apa yang dikatakan orang kepadanya. Sentiasa berlapang dada. Walau kadangkala hatinya marah terhadap sesuatu yang tidak disenanginya namun api marahnya itu segera mereda. Sekejapan saja dirinya akan normal kembali persis tiada apa-apa yang mengganggunya.
“Tak adalah…Murni tu tak apa…setakat marah sikit-sikit tak ada hal baginya. Tak gitu Milah?” Jamilah yang ditanya arif kini, bahawa dirinya adalah nasi tambah yang tidak menambah dan mengurangi. Kehadirannya di antara kedua-dua sahabat itu hanya sebagai penyibuk. Dia ingin segera mengansur diri dan berdiri tercacang menjarakkan diri daripada mereka. Tindakannya itu diharap akan disedari Arman dan akan segera bertindak menghantarnya pulang. Itulah kemahuannya.
“Itu kata awak Syam…apa yang ada di dalam hatinya awak tak tahu…”
“Dahlah tu…apa yang koi tahu, Murni seorang yang baik dan memang kawan baik koi sejak dari dulu lagi. Seorang kawan baik perlulah menegur kawan baiknya sekiranya kawannya itu dilihat telah melakukan kesalahan…”
Dia mencari-cari wajah Jamilah untuk dilambakan kata-kata seterusnya agar gadis itu mengiakan kenyataannya untuk menguatkan hujahnya. Tapi terkedu pula.
“Nampaknya Jamilah sudah tidak sabar nak balik tu…”
“Eh..Milah, mari duduk dekat abang sini. Kenapa pula berdiri di situ? Sabar dulu ya…sekejap lagi kita balik...” Jamilah tersengih senang mendengar bicara lunak tunangannya. Tapi dia tetap tidak berganjak daripada kedudukannya.
Murni tidak mendengar apa yang diperkatakan kedua-dua pemuda itu tentang dirinya kerana langkahnya telah jauh meninggalkan mereka  Dicapainya basikal yang disandarkan di tepi kedai makan Halimaton, menaikinya dan mengayuhnya perlahan-lahan. Pandangannya mengimbas mereka yang di tinggalkan di tepi padang bola itu. Kelihatannya masih tidak bergerak ke mana-mana. Masih di situ.
Barangkali mereka  terlalu leka menyaksikan permainan bola sepak yang bakal ditamatkan bila-bila masa saja. Di dalam kesendiriannya melewati rumah-rumah kecil yang serupa bentuknya dan didiami keluarga peneroka yang semakin terlindung daripada pandangan kerana dijajari pohon-pohon buah-buahan yang ditanam pemiliknya yang membayanginya, mindanya ligat berputar.
Setelah ditimbang-tara, diperhalusi sebaiknya tilikan hatinya menafsirkan bahawa Syamsi yang digelarnya ‘abang Syam’ itu begitu menaruh perhatian terhadap Aisyah. Hanya Aisyah saja yang minat hendak diperkatakannya. Gadis yang baru hadir di dalam kelompok mereka itu amat mengujakannya.
‘Tapi aku rasa kak Syah takkanlah nak jatuh hati dengan abang Syam pula. Abang Syam tu cuma kerja ladang saja. Sedangkan kak Syah tentulah akan jadi cikgu atau lain-lain kerja yang baik setelah ia tamat sekolah. Tentu dia tak pandang langsung pada abang Syam. Tapi kalau dibuat berlaku sebaliknya apa nak kata? Kak Syah tentu akan mula beri perhatian pada abang Syam sebab abang Syam sudah selamatkan dia dari bahaya.’
Persoalan yang timbul dibenaknya itu turut mengganggu keseimbangan konsistensinya di atas basikal. Sehingga dengan tidak sengaja dia terlanggar batu yang berbonjol di jalan kerana tidak mengelaknya.  Seolahnya basikalnya itu mahu menghumbankan dirinya ke dalam semak kerana tidak dikendali dengan sewajarnya. Dia berusaha menenangkan kekacauan yang menggelodak di jiwanya agar dirinya normal kembali dan akan selamat ke destinasinya tanpa aral.
‘Kenapalah aku ni susah-susah saja fikirkan masalah orang. Biarlah…aku pula yang sibuk-sibuk mengapa? Kalau abang Syam jatuh hati dengan kak Syah. Apa pula masalah aku…’ hatinya merumuskan begitu pula.
‘Tapi kesian pula pada Salmiah kalau abang Syam pilih kak Syah, bukan dirinya. Selama inipun aku berusaha untuk mempereratkan hubungan antara mereka tapi nampaknya macam tak jalan saja. Abang Syam langsung tak pedulikan Salmiah yang gilakannya separuh mati bagai pungguk rindukan bulan itu.
Kesian Salmiah…Dulu elok-elok bercinta dengan abang Man, tiba-tiba abang Man beralih hati kepada Jamilah pula. Maklumlah Jamilah lebih ayu, lebih cantik, lebih genit dan terlebih gediknya yang mampu menarik bak besi berani, lelaki yang menjadi impiannya.
Aku ni pelik betullah, kenapalah hati lelaki itu tidak lekat dan setia pada yang satu. Boleh pula berubah pendiriannya dalam sekelip mata. Hari ini kononnya cintanya separuh mati kepada yang ini. Keesokannya tatkala bertemu dengan yang lebih baik dan sempurna dari yang dulu akan berlakulah perubahan yang tidak disangka-sangka. Drastik
Kenapa pula kaum lelaki itu terlalu pentingkan paras dan rupa. Bukankah kecantikan paras rupa itu hanya sifat luaran yang tidak hakiki. Akan terhakis dan pudar semua itu bersama putaran masa. Yang kekal lagi abadi hanyalah hati yang tulus lagi suci dari peribadi yang baik. Setakat cantik rupa saja buat apa, budi bahasa langsung tak ada. Menyombong diri tak menentu.
Kononnya sebab aku ni cantik sangat sebab tu Arman gilakan aku, seperti yang dikatakan Jamilah kepada Salmiah. Eh…aku ni sudah mengumpat orang pula. Astaghfirullahalazim. Ampuni hambamu ya Allah…’ Monolog Murni bersambung semula. Dan mengakhirinya dengan penyesalan yang tidak sudah kerana jauh terbabas dari apa yang diingininya sebenar.

                                 

19 comments:

  1. wanginya melur tu...suka sangat baunya..

    ReplyDelete
  2. YA MELUR PUTIH MEWANGI DI PAGI HARI..TQ Kamsiah.

    ReplyDelete
  3. Lelaki yang bekerja di sektor yang dianggap 'low-class' seringkali dipandang rendah oleh masyarakat. Hinggakan soal jodoh pun terpaksa difikirkan semasak-masaknya jika berkenan dengan seseorang itu. Risiko untuk ditolak cintanya amat besar.

    ReplyDelete
  4. ya betul tu...tapi tika tu soal memilih perjodohan yg tinggi statusnya xlah terlalu di ambil kira...kak nak tanya kenapa susah sgt nk letak komen kat blog dik...kak ni xreti nk klik2 ni tp tiap hari kak singgah blog Sylarius...tq selalu beri komen kat blog kak...

    ReplyDelete
  5. makin menarik ceritanyer kak !

    ReplyDelete
    Replies
    1. makin lama makin intresting heh..heh...sbb citernya berkembang lagi...tq Kesuma Angsana...saja2 tulis utk sukakan hati sendiri jer.

      Delete
  6. Bunga melur ...dulu masa duduk tempat lama bunda pernah tanam...tiap jumaat india sebelah selalu mintak...nak buat sembahyang kata nya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. yeke...orang india mmg sukakan melur n dibuat kalungan bunga...yg xberkenan tu pokok melur kita hilang bunganya ya...tq BUNDA.

      Delete
  7. suci berseri warna melur putih tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. putih berseri lagi harum bunga melur ni...tq kakyon.

      Delete
  8. Gk terasa udah bab 16 ya, saya ijin nyimak aja ya Cik :)

    ReplyDelete
  9. Replies
    1. insya Allah..yeke? tq Muhammad Khairuddin Lim.

      Delete
  10. jangan ketinggalan baca ya...tq acik Aku Penghibur.

    ReplyDelete
  11. Replies
    1. JANGAN TUNGGU SAJA...TAPI DIBACA YA HEH..HEH..TQ Febri Gamesoft.

      Delete
  12. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...