بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Wayang pacak.
PIC GOOGLE.
SABTU malam Ahad. Pada petangnya riuh sekali suasananya dikawasan deretan kedai yang didirikan pihak LKTP untuk kegunaan peserta tanah rancangan itu yang berminat dengan aktiviti perniagaan. Beberapa buah kedai yang didirikan telah menjalankan operasi perniagaannya kelihatan maju dan mendapat sambutan masyarakat setempat. Ada yang membuka kedai menjual makanan dan minuman, kedai runcit, kedai jahit, bengkel membaiki motorsikal dan basikal pun ada.
Kewujudan pusat perniagaan di tanah rancangan ini tentunya memberi kemudahan kepada peneroka untuk mendapat kan sebarang keperluan yang dimahukan tanpa perlu bersusah-payah ke pekan yang berhampiran. Murni tidak payah lagi menggateh basikal sejauh lima kilometer untuk ke pekan SJ bagi membeli keperluan jahitan emaknya. Setakat hendak membeli benang, jarum, gelendong sekoci, boleh saja di dapatkannya kesemua itu dari kedai jahitan kak Anom yang berniaga di situ.
Pihak LKTP memang berhasrat merangsang minat peserta-pesertanya menceburi bidang perniagaan agar maju dan setanding dengan mereka yang asal-usulnya berkecimpung di dalamnya sekian lama. Selain penerokanya dibentuk tegar berusaha di dalam bidang pertanian secara betul mereka juga digalakan berniaga.
Masakan hanya membiarkan kaum lain mengaut laba di dalam bidang perniagaan sedangkan anak bangsa sendiri yang menjati dan menunjangi akar pribumi hanya menggigit jari selaku pembeli semata. Sepatutnya anak bangsa yang terpilih menjadi perserta LKTP ini mampu mengubah corak pemikiran yang lebih kreatif analatikal untuk maju di dalam bidang itu setelah mindanya disogok dengan pelbagai pembaharuan.
Nampaknya perancangan yang diatur sebaiknya itu tidak sia-sia. Kemajuannya sudah diperlihatkan. Dan di kawasan perniagaan yang sedang tumbuh maju itu menjadi tempat penduduk-penduduk di situ berkumpul untuk melakukan aktiviti yang disenangi mereka.
Sama ada dari kawasan deretan kedai-kedai itu, sesudah mereka berbelanja dan hendak pula beriadah ke padang bola atau lain-lain gelanggang sukan yang tersedia, boleh saja. Jikalau hendak ke masjid juga dekat. Sekolah kebangsaan pun berhampiran kawasan itu.
Kesemua fasilitas yang utama diletakan ditengah-tengah tanah rancangan itu. Kedudukannya yang di tengah pusat dan dilengkungi rumah-rumah peneroka menjadikannya mudah dikunjungi semua ahli masyarakatnya, menurut keperluan masing-masing.
 Kebetulan dia berada di kedai jahit Anom ketika keriuhan itu melanda sekitarnya. Apabila orang-orang bercerita tentang sesuatu yang seronok diperkatakan, ia pun teruja hendak mengetahuinya. Lehernya diperpanjangkan untuk memantau apakah yang sebenarnya sedang berlaku. Pandangannya tidak dapat mengesan apapun kecuali gerak bibir mereka yang ralit berkata-kata dengan masing-masing memegang sehelai kertas di tangan.
“Apa yang riuh diperkatakan orang tu kak?”
Pertanyaan Murni itu tidak dijawab Anom yang ralit mencari-cari sesuatu di dalam almari yang diletakannya pelbagai peralatan menjahit yang dijualnya.. Setelah menemui apa yang dicarinya dia menegakan tubuhnya yang dibongkokkan sebentar tadi untuk mengadap wajah Murni.
“Ini set jarum mesin jahit yang Murni minta…apa Murni cakap tadi?” Anom menghulurkan set jarum mesin jahit yang tersedia rapi di dalam bungkusannya sambil meminta Murni mengulangi pertanyaannya untuk memastikan jawapan yang akan diberikannya.
“Orang-orang di luar kedai tu sibuk bercerita sesuatu dan ada pula kertas di tangan mereka. Apa yang mereka semua riuhkan?”
“Oh itu…Murni tak tahukah?” tanyanya pula.
“Orang-orang tu seronok sangat kot sebab malam ni pihak LKTP hendak menayangkan Filem P.Ramlee di tanah rancangan kita ni…kertas-kertas yang mereka pegang tu mungkin sikler yang ditabur van operator wayang gambar yang melalui jalan ini tadi…” Anom menyambung memberi jawapan kepada pertanyaannya.
Murni terangguk-angguk mendengar penerangan Anom.
‘Ada wayanglah pulak malam ni ya…seronok juga dapat tengok wayang pacak di dalam padang…daripada berkurung di dalam kelambu, menunggu malam menjadi siang. Kalau dapat tengok wayang, alangkah seronoknya.’ Hatinya bergumam ria.
“Murni tak perasan ke van LKTP yang lalu di kawasan ni tadi?” Tanya Anom  bagaikan tidak percaya pula.
“Tak. Bila saya sampai van tu dah tak ada. Saya pula lalu ikut kawasan rumah guru untuk ke sini. Van wayang tu mungkin memasuki jalan-jalan hala ke peringkat satu, sebelum berpusing memasuki jalan-jalan di seluruh tanah rancangan kita ni. Jadi tak bertembung. Sebab tu saya tak tahu…” balas Murni memberi kesimpulan yang dirajah mindanya.
Anom terangguk-angguk tanda mengiyakannya. Sejurus ia menentang anak mata gadis itu disusuli dengan pertanyaannya.
“Apa lagi yang Murni nak? boleh kak bungkuskan...”
“Err…benang warna biru, merah, putih dan hitam,” jawabnya pasti. Wanita dalam usia awal tiga puluhan itu segera mencapai apa yang diminta Murni, lalu membungkusnya.
“Lagi?...” Murni meninjau barang-barang jualan yang tersusun rapi di dalam kedai jahitan Anom sambil memikir dan mengingati pesanan emaknya, sebelum memberi kata putusnya, kemudiannya.
“Dah…cukup semuanya…”
“Aik…sikitnya! Cuma benang dan jarum saja?” sahut Anom bagaikan tidak yakin dan berpuas hati dengan belian dari pelanggannya.
“Habis kak Anom nak suruh saya beli apa lagi? Nak suruh saya borong semua barang-barang yang kak Anom jual ni ke? Eee…tak mampu. Saya beli apa yang saya perlu saja kak…itupun sebab mak yang suruh saya beli. Kalau tidak tak kuasa saya nak beli semua tu…”
“Tapi sikit sangat yang dibelinya. Belilah banyak sikit supaya kedai kak ni bertambah maju seperti kedai-kedai di pekan di luar sana. Orang-orang tempat kita ni kalau Murni nak tahu, sanggup ke pekan di luar sana hanya kerana nak beli sekotak mancis tau…” ujar Anom menggalak Murni berbelanja lebih sekali gus menceritakan persaingan sengit perniagaan yang dijalankannya dengan kedai-kedai yang ada di pekan yang telah ujud sekian lama.
 Juga gelagat orang tempatan yang suka berbelanja di luar kawasan tanah rancangan walaupun hanya untuk mendapatkan sesuatu yang biasa di jual di dalam kedai yang terdapat di sini. Sungguh memualkan sikap begitu kepadanya.
“Itu cerita kebanyakan orang kita. Tapi bukan saya. Saya pun dah lama tak beli barang-barang jahitan di kedai kat pekan tu. Semuanya dibeli dari kedai kak Anom di sini. Nak tolong bangsalah katakan heh… heh…”ujarnya tulus dengan tawanya yang segar.
“Iyakah? Baguslah begitu Murni. Mesti tolong majukan dan kayakan bangsa sendiri…terutama akak ni..heh…heh…” masing-masing saling tertawa dan mentertawakan dengan riang. Murni tentu mentertawakan Anom kerana sanggup memprovok dirinya untuk melakukan barang-barang jualannya. Sementara Anom tertawa kerana senang hatinya mendapat seorang pelanggan tetap yang setia memberi barang-barang jualannya. Wallahualam.
 “Mudah saja, kalau kedai kak Anom ni nak maju seperti kedai-kedai di pekan sana. Kak Anom nak tahu caranya?” ujar Murni dengan sengihnya, kononnya hendak memberi tip perniagaan kepada seseorang yang telah ada pengalaman berniaga.
“Apa tu?” balas Anom bersahaja. Namun dia sudah dapat mengagak apa yang bakal Murni sarankan kepadanya.
‘Mesti nak suruh aku jual murah ni…kalau jual murah sampai tak balik modal sapa suruh. Tak ingin aku nak buat kerja bodoh tu! Bukan senang nak cari duit beb…’
“Barang-barang jualan kak Anom ni harganya mestilah lebih murah dari yang biasa dijual orang. Ataupun boleh bagi free saja heh…heh…”
“Banyak cantik…kau nak suruh aku bankrupt. Kau ingat berniaga ni macam dalam filem Mat Sentol, 2 x 5 tu…” sanggah Anom pantas.  Di dalam kepalanya terpapar sinopsis cerita filem itu sepenuhnya.
Filem yang disebutkan Anom itu mengisahkan mengenai persaingan dua orang peniaga yang saling menurunkan harga barangan jualan untuk menarik pelanggan. Sehingga akhirnya kedua-dua peniaga itu mengisytiharkan jualan secara percuma demi melariskan jualan. Cerita filem yang melucukan untuk ditonton tetapi bukan untuk diteladani menurut Anom.
“Saya gurau sajalah kak Anom…” celah Murni mempamerkan senyum sinis.
“Saya balik dululah kak Anom,” ujarnya kemudian setelah merasakan bualan yang berlaku di antaranya dan Anom telah banyak mencuri masanya dengan sia-sia. Sedangkan dia telah berkira-kira hendak melakukan urusan lain pula.
“Kenapa cepat sangat nak balik ni…mesti sebab tak sabar nak bersiap nak pergi tengok wayang malam ni kan?” Anom menelah.
“Tak adalah kak Anom. Entah dapat pergi entahkan tidak. Hajat hati memanglah nak pergi. Sesekali dapat menonton wayang pacak ramai-ramai di tengah padang, seronok juga. Tapi kalau mak saya tak benarkan, tak dapatlah saya pergi…”
“Wah! Bukan main baik dan patuh sekali anak mak sorang ni ya…dengar cakap mak bapa. Bukan macam sesetengah anak orang tu, sanggup melawan mak bapa jikalau kehendaknya tak diturutkan,” tutur Anom memuji-muji kebaikan budi perkerti gadis remaja itu.
“Mestilah…sebab saya nak jadi anak yang soleh dan dapat masuk syurga hih..hih..” jawapannya yang bersahaja berlagu dengan tawanya yang riang.
“Iyalah Murni mudah-mudahan setiap amal bakti kita akan membawa kita ke syurga-Nya. Insya-Allah.”
“Okey kak Anom saya balik dulu dan saya beli semua barang-barang yang kak Anom jual kepada saya,” ujar Murni dengan tidak lupa melafazkan ikrar jual-beli.
“Iyalah Murni…kakak jual barang-barang yang Murni beli tu dengan sekian harga. Terima kasih banyak-banyak. Lain kali jangan lupa datang membeli lagi ya…” balas Anom dengan lafaz akad jual-beli untuk menyempurnakannya selain tidak lupa dengan lunak mempelawa pelanggan itu untuk berbelanja di kedainya lagi..
Anom tahu kebanyakan orang melupakan resam yang baik yang di ajarkan Rasul junjungan yang mulia. Tetapi mengagumkan sekali kerana gadis berusia enam belas tahun itu tahu mengenainya sedangkan ramai yang lebih dewasa memandangnya halai-balai dan tidak terlalu ambil kisah. Barangkali mereka tidak sedar jikalau barangan yang dibeli tidak disempurnakan akad jual-beli menyebabkan barangan yang dibeli itu tidak sah milik. Dan menggunakan atau memakan barang yang tidak sah milik hukumnya tentu haram dan berdosa. ‘Kenapalah hendak melakukan dosa dengan sia-sia sedangkan dengan mudah boleh mengelakannya.’ Mindanya memutuskan demikian.
        
* * *

“Hai kak Syah buat apa tu? Siram bunga? Rajin kak Syah…” sapa Murni seraya menongkatkan basikalnya di tepi barisan pokok bunga raya yang ditanam rapat-rapat untuk membentuk pagar di bahagian hadapan rumah ibu-bapa Aisyah.
“Hmph…mu ni dari mana Murni. Dari padang bola berlatih netball kot…” Tanya Aisyah sambil menduga jawapannya.
“Tak…hari ni bukankah tak ada latihan netball. Kalau ada tentu saya ajak kak Syah sekali…”tegas Murni pula.
“Habis tu mu ni dari mana? Merayau-rayau kelililing kampung mencari pakwe yang hilang? kih…kih…” Aisyah terkikih kerana dirinya merasa lucu dengan telahan yang dibuatnya.
“Amboi kak Syah…sedapnya nak mengata saya ya! Nak kena kutil ni…” balas Murni kegeraman. Langkahnya diatur pantas mendekati Aisyah dengan lagak mencari sasaran tangannya hendak mengutil Aisyah yang galak berketawa itu.
Sorry…sorry… Murni, kak tu gurau ja…tapi mu ni sebenarnya dari mana. @ mu bertandang ke rumah cik Salimah kot. Mu kan selalu ke sana…”Aisyah terpaksa segera menuturkan pohon maaf kerana tidak mahu Murni menyakitinya dengan kutilan se halus gigitan semut. Walaupun gigitan semut itu tidak terlalu sakit tetapi tetap tidak mahu dirasakannya. Murni terhenti gaya, bagai terbata hajatnya demi mendengarkan pohonan maaf yang bersungguh-sungguh daripada Aisyah.
Aisyah juga sebenarnya tidak mahu kawannya itu mengganggu kerja menyiram bunga yang sedang dilakukannya. Dia ingin segera menyiapkan semburan air yang akan memberi kesegaran pada pokok-pokok kecil itu lantaran keperluannya telah dilunasi. Setelah itu akan segera menutup pilinya agar airnya tidak mengalir dan terbazir sia-sia.
Memori Murni disapa insiden tentang beberapa anekdot mengenai pili dan air setelah matanya memerhati dengan asyik keseronokan Aisyah memandikan bunga-bunganya. Jikalau dahulu, sewaktu dia dan keluarganya baru berpindah ke tanah rancangan ini, melihat seseorang bermain-main dengan air di laman tentu mengundang perasaan jengkel di hati yang lain.
Masing-masing tentu tidak menyenangi sikap sebegitu kerana apabila seseorang telah menyalutkan getahnya ke mulut pili yang didirikan di tepi jalan itu bermakna lima rumah perserta yang lain akan terputus bekalannya. Tindakan sebegitu tidak langsung digalakan, malah akan menimbulkan protes yang berpanjangan sehingga menimbulkan pertengkaran dan permusuhan kerana berebutkan bekalan air dari mulut pili yang satu.
Perserta tanah rancangan itu hanya diberikan kemudahan pili air secara berkongsi. Setiap lima buah rumah akan di dirikan sebuah pili air di tubir jalan utama. Dan kelima-lima keluarga yang menghuni di situ akan menggunakannya bersama-sama.
Untuk lebih memudahkan cara supaya tidak perlu mengangkut air dengan baldi ke rumah, masing-masing membeli salur getah yang panjang dari pekan.. Dengan memasukan getah ke mulut  pili, air pun menuruju laju ke rumah pemunya getah itu. Jikalau seseorang telah terlebih dahulu menyalutkan getah itu ke muka pili, yang lain nampaknya tentulah terpaksa menunggu giliran dengan sabar.
Kesemua penghuni di situ perlu ada rasa tanggung-jawab dan keprihatinan terhadap keperluan orang lain. Tidak hanya mementingkan kehendak sendiri semata. Setelah semua bekas buat menampung air telah penuh diisi perlulah sipemunya getah itu segera menutup pili dan mencabut getahnya dari mulut pili untuk memberi peluang kepada yang lain menggunakannya pula. 
Kini perubahan berlaku bersama arus masa. Pihak pengurusan telah membekalkan air secara individu kepada setiap rumah persertanya. Tiada lagi masalah perkelahian kerana berebutkan hendak dahulu menyalurkan air ke rumah dengan getah bergelung di tangan ke mulut pili.
Tiada lagi keseronokan anak-anak gadis sunti yang mandi di tepi jalan sambil mencuci pakaian keluarga masung-masing berbesen-besen pada setiap pagi. Salah seorang darinya tentulah dia sendiri. Semuanya kini hanya tinggal kenangan.
Keperluan terhadap air memang sangat mendesak di mana-mana manusia itu berada. Justeru ianya tidak harus dipandang mudah. Mereka di sini ternyata sangat bersabar dan tidak mengambil kisah jika pertempatan mereka yang agak pedalaman itu tiada bekalan elektrik.
Sanggup berpelita ayan untuk menerangi kegelapan rumah di malam hari. Memasak menggunakan dapur kayu atau dapur minyak pun tidak menjadi masalah. Tetapi langsung tidak boleh bertolak-ansur sekiranya bekalan air bersih ada gendalanya, kerana jumlah gunaannya menyangkut semua aktiviti tidak boleh mungkir.
“Hoi! Kenapa termenung pula? Mu tak dengarkah apa yang kak Syah tanyamu?”
Murni tersedar dari lamunannya kerana sergahan Aisyah. Tangannya masih kemas memegang getah yang dipicit di mulutnya agar air dari dalamnya memancut deras mengenai pokok bunga-bungaan siramannya.
“Dengarlah weh…Tak payahlah berteka-teki dengan jawapan yang merepek-repek tu kak Syah…saya ni dari kedai mara membeli barang-barang jahitan mak saya,” ujar Murni memberitahu sejelasnya..
“Kedai mara? Di mana pula letaknya kedai mara tu? Di pekan sana kah?” Tanya gadis yang tidak berapa arif tentang beberapa lokasi yang terdapat di sini kerana jejaknya yang masih baru itu.
“Kak Syah nih…kedai mara pun tak tahu. Itu…barisan kedai-kedai yang terdapat berhampiran pejabat LKTP tu…tempat kita pergi roll call setiap pagi tu; orang di sini memanggilnya kedai mara.”
“Agaknya kedai-kedai di situ di dirikan pihak MARA kot?” sahut Aisyah seakan memahami maksud MARA sebagai sebuah agensi kerajaan yang berfungsi menjadi pemangkin perniagaan bumiputera seperti maksud singkatan namanya. Aisyah memahaminya sebagai Majlis Amanah Rakyat.
“Mungkinlah tu…saya pun tak tahu apa makna mara tu. Bila orang di sini sebut di situ kedai mara sayapun ikut menyebutnya…”balas Murni. Masing-masing terdiam sejenak. Tiada lagi kedengaran kisah ‘kedai mara’ yang dibahaskan
 “Mesti ada cerita yang nakmu sampaikan kepada kak Syah ni…jika tidak mu tentu tak singgah di sini…”sela Aisyah tanpa memandang Murni yang mulai melabuhkan punggungnya di birai tangga rumah.
“Pandai kak Syah membaca fikiran saya. Kali ni memang betul,” sahutnya menyengih.
“Apahalnya? Ceritalah…” gesa Aisyah. Getah yang menyalurkan air sudah ditutup sumbernya di meter. Dia turut sama duduk di sisi Murni. Angin halus berhembus sepoi bahasa, menjuntaikan anak rambut di wajahnya dan Aisyah menyekanya hingga di sebalik telinga.
“Kak Syah tahu…malam ni ada wayang di tempat kita ni…?” Murni mula membuka cerita.
“Tahu. Tadi ada van LKTP yang lalu depan rumah dan mengumumkan tentang tu…”
“Habis kak Syah nak tak pergi tengok wayang malam ni?” Tanya Murni. Sepasang mata yang bercahaya bak kejora yang menentang matanya ditatap lunak.
“Entahlah Murni…kak Syah tak berani nak cakap apa-apa. Kalau nak pergi, nak kena minta izin mak ayah dulu. Itu yang kak Syah malas nak buat. Belum tentu juga mak ayah akak akan benarkan,” balas Aisyah lemah. Di hatinya melonjak-lonjak keinginan untuk menyaksikan sesuatu yang pertama kali berlaku dalam sejarah hidupnya. Tapi dirasakannya sukar pula untuk dilaksanakannya.
“Apa pula susahnya! Kak Syah mintalah izin dari mak cik Nisah dan pak imam tu…sayapun nak kena minta izin dari mak ayah saya juga. Mak ayah saya pasti benarkan tapi mereka hendak pastikan saya berteman, supaya saya ni selamat. Mak ayah saya tentu bimbangkan keselamatan saya, anak perempuan mereka. Kalau kak Syah dapat pergi dan menjadi teman saya tentu tak ada masalah lagi.”
“Tapi mahukah mak ayah kak Syah benarkan kita pergi tengok wayang kalau hanya kita berdua saja?” Tanya Aisyah masih diselubungi kesangsiannya.
“Bukan kita berdua saja yang pergi tengok wayang tu…ramai lagi jiran-jiran kita yang pergi sekali. Jadi kita boleh join mereka.” Murni terkedu sejenak sebelum menyambung bicaranya setelah menarik nafas melegakan kemengahan di dada.
“Kak Syah tahu, selalu tu kalau ada wayang di tempat kita ni, mak cik Som, mak cik Gayah, mak cik Minah mesti angkut semua anak-anak mereka ke padang bola tempat tayangan tu. Siap bawa bekalan dan tikar bantal lagi…” Aisyah keliru mendengarkannya. Sepasang matanya tajam menikam pandangan teman itu. Lantas bertanya.
“Kenapa sampai terpaksa bawa bekalan dan tikar bantal? Takkanlah hendak bermalam di tengah padang tu sesudah habis tayangan wayang tu…” Murni tersengih kerana Aisyah menyimpulkan pandangan sebegitu terhadap situasi yang digambarkannya.
“Bukanlah sampai nak tidur di tengah padang tu…kak Syah nipun…”
“Dah mu kata gitu, tentulah kak Syah fikir lagu tu…” balas Aisyah tidak mahu mengalah dengan kenyataan yang dibuatnya.
“Maksudnya, orang yang bawa tikar tu supaya senang nak duduk menonton dengan anak beranaknya. Dan tikar pun dibentangkan. Jikalau yang ada anak-anak kecil tentulah penat mak mereka hendak mengendong, meriba sentiasa. Eloklah dibaringkan saja di atas tikar. Senang cerita. Tangan pun tak lenguh. Hendak di Alaskan kepala anak mestilah menggunakan bantal. Jadi terpaksalah bawa bantal bersama. Sambil menonton dengan seronok boleh juga mengunyah bekalan yang di bawa. Mengunyah kuacikah kacang rebuskah, pendeknya apa sajalah…” Aisyah mendengarkan penerangan terperinci daripada Murni yang nampaknya tidak jemu mengisahkannya dengan keterujaan..
“Oh begitu rupanya ya…Kak Syah ni memang tak tahu sebab kak Syah tak pernah pun ke tempat lagu tu. Kalau dapat pergi, inilah pengalaman pertama kak Syah…seronok juga kalau dapat rasa pengalaman baru...”
“Kalau nak rasa semua tu jom lah kita pergi tengok wayang malam ni…”
“Keinginan tu memang ada…tapi… tak berapa yakin mak-ayah akan benarkan.” Aisyah melepaskan sebuah keluhan berat. Sesak di dadanya beransur lega.
Murni juga tidak berapa yakin pak imam itu akan membenaran anak gadisnya itu mengikutnya ke tempat tayangan wayang gambar itu. Selama tayangan filem yang pelbagai tajuk dan ceritanya yang diadakan sekali dalam tempoh se bulan di sini dia tidak pernah berjumpa pak imam dan anak isterinya turut berpusu-pusu bersama kebanyakan yang lain walau sekali.
Apakala dia gatal mulut  bertanya, “Kenapa makcik Nisah tak pergi menonton wayang malam tadi? Seronok betul cerita Seniman Bujang Lapok tu. Saya asyik ketawa tak berhenti...” Jawapan yang diberinya adalah, “Pak cikmu tak beri. Katanya tak payahlah bersibuk nak ke tempat maksiat lagu tu, tempat di mana syaitan paling suka, lagipun Allah melarang kita melakukan perbuatan mungkar dan keji. Habis nak kata apa lagi!”
Murni terkedu. Padanya keseronokan dan kegembiraan kerana menonton wayang langsung tidak mencuit hati isteri imam itu. Tidak payah diceritakan apapun kepadanya tentang dunia hiburan yang melekakan penggemarnya itu kerana dia tidak akan menanggapi apa-apa.
Tidak akan menjadi cerita yang menyeronokan untuk diperbualkan bersama wanita sebaya usia emaknya itu. Nampaknya mak cik Hanisah itu mindanya tidak seperti mak cik Som atau mak cik Minah yang sering diikutinya untuk bersama-sama menonton wayang di padang.
Mereka berdua itu begitu galak dan rancak bercerita tentang filem-filem yang telah ditayangkan di situ. Seolahnya kedua-duanya adalah tenaga produksi yang telah menghasilkan karya yang sekian lama itu. Saling pula bertukar komen tentang watak-watak utama yang memegang peranan di dalam filem itu.
Yang pastinya kedua-duanya sangat meminati hero-hero filem lama yang telah ketinggalan masa itu namun sentiasa segar dan muda seperti wajahnya yang tertera di layar putih.
Apapun anggapan seseorang tentang apa saja unsur yang mewarnai kehidupan mempunyai nilai tersendiri. Kesemuanya akan bergabung sebagai rencah di dalam masakan dan memberi perisa yang pelbagai. Tergantung kepada penerimaan masing-masing.
Pada diri Murni yang masih muda ini, dia hanya mahu mengecapi kehidupan yang dapat meriakan hati kecilnya. Dia amat gembira apabila sebulan sekali dapat ke panggung terbuka di tengah padang menyaksikan wayang pacak. Tujuannya hanya untuk menonton, sudah tentulah ia hanya menonton. Dan tiada agenda lain disamping.
Setelah itu pastinya ia akan bersama-sama mak cik Som, mak cik Minah dan yang lain-lain akan berbondong-bondong pulang pula. Membawa sedikit kegembiraan bersama lantaran mengenangkan babak yang beraksi menghiburkan sehingga terlelap mata.
Tentang syaitan yang riuh berketawa kerana melihat kealpaan manusia-manusia yang obses dengan alam hiburan dan turut merasuk dengan pelbagai gaya dengan tujuan menyesatkannya seperti janjinya dengan Allah subhanahu wataala langsung tidak terjangkau minda anak remaja itu.
“Bagaimana kak Syah, mahukah keluar menonton malam ni?”
“Entahlah Murni…rasanya tak dapat kot…”
“Kak Syah cubalah minta izin dari pak Imam, manatahu terbuka hati pak Imam dan benarkan kak Syah pergi…”
“Isyh…takkannya jadi begitu…ayah akak tu nampak saja lemah lembut tutur katanya tapi hatinya tegas. Apa saja kemahuan yang dianggap menyalahi hukum agama akan disanggah. Langsung tak ada kata dua. Tiada tolak ansur...”
“Hmm…begitu ya…tak dapatlah saya nak berteman dengan kak Syah kalau saya nak tengok wayang malam ni. Terpaksalah berkawan dengan mak cik Som dan mak cik Minah, mak cik Gayah macam selalu…” Murni bersuara lirih dan lemah.
Anak remaja sepertinya tentulah merasa dia lebih sesuai bersama rakan sebaya bergandingan ke acara sebegitu. Bukannya berkawan dengan mak cik-mak cik yang telah lanjut usia tetapi merasakan dunia mereka tidak berubah bersama arus masa.
“Tak apalah kak Syah, kalau gitu biarlah saya minta diri dulu.” Aisyah tersenyum mendengar ungkapan itu.
“Tak payahlahmu nak minta diri Murni…bawa sajalah dirimu tu balik. Takpayahmu nak tinggal dirimu disini hih…hih…”
“Amboi kak Syah pandainya berlawak ya…tapi rugi tau kalau kak Syah tak menonton malam ni sebab filem P. Ramlee tu memang seronok. Kelakar gila…syok oo…” balas Murni masih mahu memancing minat Aisyah kepada ajakannya.
“Iyalah Murni. Makanlah keseronokan yangmu rasa tu sampai kenyang ya…kak Syah tak ralat pun…”sahut Aisyah bersahaja. Apapun alasan yang diberikan untuk menjadi penyebabnya nampaknya tidak mempam untuk melunturkan keyakinan tegar yang dipasakan imam Salleh ke sanubari anaknya.
                                                   

6 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 19..."

Kakzakie delete icon 26 May 2014 at 08:21

Bab ini mengimbau kenangan zaman kakak belum sekolah tadika lagi. Kat kampung ada filem dari kementerian Penerangan buat wayang free:)

paridah delete icon 26 May 2014 at 10:55

mengimbau kenangan lama dulu kan Kakzakie...tq sudi ikuti sambungan novel ni..

babYpose delete icon 26 May 2014 at 16:11

dah lama tak tengok kotak mancis PI, teringat dulu tengok wayang pun susah...

paridah delete icon 26 May 2014 at 17:05

yeke....tapi rasanya babYpose ni generasi baru yg xlalui pengalaman tu...tq.

Sobri Yaacob delete icon 26 May 2014 at 21:00

ya..ya dulu2 kat kampung ada juga wayang pacak mai.. :)
sweet memory

paridah delete icon 26 May 2014 at 22:14

zaman sobri kecik2 dulu kan...tq sobri yaakob.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”