بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


Lakaran cerita baru

Ibarat bunga yang menguntum mekar lagi semerbak harumnya, kehadiran Aisyah di tengah kelompok perkerja-perkerja ladang membuatkan ramai yang tertarik dan ingin mencuri pandang. Bukan setakat dari kalangan perkerja peringkat bawahan saja yang menaruh minat, malah cerita tentang keayuannya yang mengujakan itu terbawa-bawa desir beritanya sehingga ke dalam pejabat administrasi LKTP tanah rancangan itu.
Orang-orang di situ turut bergosip memperihalkan dirinya. Yang masih bujang tentulah sedang berkira-kira untuk menyunting bunga idaman sebelum disambar orang lain. Itupun kalau begitu takdirnya jodoh. Jikalau tidak pastilah hanya angan-angan kosong yang tidak mampu dinyatakan.
“Budak yang baru masuk kerja di bawah Arman tu bukan main cantik dan ayu ya…rambutnya panjang mengurai. Kulitnya mulus putih. Matanya bulat bersinar bak bintang kejora…cantik sungguh…”
“Eh…kau ni berlebihan pujinya…macam sedang membaca hikayat lama pula. Kaupun terpikat jugakah? Teringin nak masuk daun jugakah? Tapi si Masyitah tu nak kau apakan…,”balasnya menyengih dengan sinis.
 Peringatan yang tidak disenangi pula yang diterimanya. Bak menerima notis amaran daripada ketua jabatan kerana cuai melakukan tugasan. Terbantut pula hasrat dirinya untuk menceritakan sesuatu yang dirasakannya menyeronokan untuk diperbualkan sambil-sambil berkerja.
‘Sedap betul si mamat ni mengena aku ya…’
“Aku tu cakap saja. Menggambarkan keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan. Bukannya apapun. Kau yang tak pasal-pasal buruk sangka ni mengapa pulak, jeles?” Dia dengan alasan releven yang menepati kerana tetap tidak mahu kalah.
“Apahal pulak aku nak jeles. Sebenarnya kau tu yang sepatutnya jeles kat aku sebab aku masih ada peluang nak tackle budak tu kalau aku nak. Sebab aku masih solo lagi sedangkan kau dah ada Masyitah,” balasnya memberi isi yang padu, mengena tepat ke muka penerima tempelakannya lantaran sukar terelakan..
“Kau ni kalau ya pun jangan cakap kuat sangat nanti kalau didengar isteri aku yang sedang menaip tu, apa pula sangkanya. Puas pula aku nak menjawab kalau dia bertanya,” ujarnya meluah gusar.
“Dah terasa takut pula ya…lupakanlah apapun niat kau tu. Kau fikirkan si Masyitah sudah. Tak payah kau nak sibukan yang lain. Masa kau dah berlalu…sekarang ni masa untuk orang bujang trang tang tang macam aku ni…” Sengih dan gelaknya menyeri wajahnya yang ria meraikan kemenangan moral kerana fakta yang menyebelahinya.
 Seseorang tiba-tiba berdiri tercegat di antara mereka. Kedua-duanya tergamam serentak. Mengulum bahasa dalam diam dari berhamburan sewenang-wenang.
“Awak berdua ini tiba-tiba terkedu macam nampak hantu ni kenapa? Tadi bukan main rancak berborak. Apabila nampak saya terus terdiam pula...”
“Tak ada cik Idham, borak biasa saja. Saya sedang siapkan laporan perkembangan kemajuan projek peringkat lima tu. Sementara si Zaini ni sibuk bertanyakan tentang penghantaran baja ke kawasan tu sama ada sudah diterima atau belum sebab dia nak siapkan payment untuk invoice yang diberi.”
 Cerita sebelum berlakunya perbualan ringan tentang ‘budak baru’ itu yang diketengahkan. Memang pun perkara itulah yang mereka bincangkan pada mulanya sebelum melalut kepada soal yang langsung tidak berkaitan dengan kerjaya mereka. Kedua-duanya saling berbalas senyum. Membuatkan pengurus rancangan yang berdiri tegak di situ merasakan bukan itu maklumat sebenarnya yang harus diterimanya.
“Iakah begitu? Tak apalah teruskanlah kerja kamu tu. Zaini…awak masuk ke bilik saya sekejap, saya nak minta awak draf surat kepada pihak wilayah tentang bajet aktiviti sosial bagi tanah rancangan ni. Banyak program yang dirancang sempena sambutan hari peneroka pada bulan Julai akan datang.”
“Baik cik Idham…” Pegawai kerani anak negeri Johor itu mengikuti dengan akur langkah pengurus yang memasuki ruang kerjanya yang letaknya berasingan dengan ruang luas tempat pegawai ladang berkumpul setelah melakukan kerja-kerja yang berkaitan pengurusan ladang.
Sebentar lagi pasti ruangan yang kosong itu akan dipenuhi pegawai-pegawai (FA) yang pada awal paginya sibuk dengan kerja luar dari pejabat. Seramai sepuluh orang semuanya termasuk Halim yang telah pulang lebih awal ke pejabat daripada rakan-rakannya yang masih berada di segenap pelosok ladang.
Seorang pegawai perempuan yang bertanggung-jawab menguruskan aktiviti berkaitan wanita-wanita di tanah rancangan ini juga ditempatkan di sini. Dia juga akan bersama dengan kawan-kawan yang sepejabat dengannya sekembali dari membuat lawatan ke rumah-rumah peneroka melakukan tugasan yang ditentukan kepadanya.
Pegawai perempuan ini akan menyelesaikan setiap masalah isteri-isteri peneroka yang disampaikan kepada mereka secara berhemah disamping mengajar para suri rumah tentang pelbagai ilmu kemahiran hidup yang bersesuaian dengan corak kehidupan yang maju dan masakini. Begitulah yang dipelajarinya melalui pelbagai kursus yang diikuti di tempat latihan.
Walau kadangkala kerjanya itu seolah bagai menjaga tepi kain orang kerana menjadi kewajipannya menegur dan menasihati para isteri-isteri agar menjaga kebersihan rumah dan kawasannya sebaiknya. Namun terpaksa dilakukan demi mengujudkan masyarakat yang tersusun dan sedikit berilmu di segenap segi.
Sementelah pula kebanyakan para isteri di situ memiliki pendidikan yang sangat minima malahan ada yang tidak pernah bersekolah. Sudah menjadi kewajipannya untuk membimbing mereka agar lebih berilmu guna meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih sempurna. Seterusnya merobah gaya hidup asal kepada lebih berperaturan mengikut kehendak yang ditetapkan pengurusan LKTP.
Kebanyakan para suri rumah di situ menyenanginya sebagai pegawai sosial wanita yang disebut SDA(W) yang ramah dan pandai bergaul. Walau ada sesetengah isteri-isteri yang merasakan ia melebihkan penumpuannya kepada seseorang yang disukainya saja dan tidak meliputi dengan adil kesemuanya.
Masakan dia dapat memberi penumpuan kepada semua para isteri yang tinggal di setiap peringkat. Sebab hanya dia seorang yang khusus ditugaskan dalam hal ehwal begitu. Sedangkan tanah rancangan ini mengandungi tiga peringkat utama. Setiap peringkat mempunyai 4 belok. Setiap belok yang dinyatakan itu mengandungi 36 buah rumah peneroka.
Bayangkanlah sekiranya dia perlu berinteraksi dengan isteri-isteri peneroka dari seluruh peringkat dengan se jumlah 12 belok. Iaitu merangkumi peringkat satu hingga tiga setiap hari. Mahu minyak kenderaannya terpaksa diisi berulangkali sebelum menamatkan sesi lawatan rumah ke rumah yang menjadi tugasannya setiap hari.
Masakan dia sanggup berbuat begitu. Dia perlu bijak memilih fokas yang perlu diberi perhatian dan menuntut penyelesaiannya sebagai sda(w). Selebihnya hanya perlu diperolehi maklumatnya daripada setiap ketua belok wanita yang dilantik dengan persetujuan ahli-ahli beloknya. 
Jikalau ada sesuatu program yang perlu dianjurkan atas arahan pihak pejabat LKTP wilayah, mesyuarat ketua-ketua belok dari kalangan wanita akan dipanggil. Ketua-ketua belok diberitahu tentang program yang akan dilaksanakan itu. Tanggung-jawab ketua belok itu pula untuk melibatkan segenap ahli-ahli beloknya dalam program yang direncanakan pihak pengurusan rancangan itu.
Tugas-tugas sebegitu tidaklah terlalu membebankan dirinya kerana dia mampu melakukannya. Hari ini dia menaiki motorsikalnya memasuki jalan-jalan kawasan perumahan belok J di peringkat tiga. Memantau kebersihan perkarangan rumah penghuninya yang nampaknya meriah dengan tanaman bunga aneka jenis.
Setiap rumah yang dilewati di belok itu memang begitu keadaannya. Jadi dia tidak perlu menutur sebarang komen kepada ketua belok agar menasihati ahli-ahlinya yang tidak menghiasi perkarangan rumah mereka dengan tanaman bunga-bungaan. Nampaknya kesemua mereka menggunakan  tanah seluas ¼ ekar yang diberi LKTP kepada setiap keluarga dengan memanafaatkannya sebaik-baiknya.
Di kawasan halaman di bahagian hadapan rumah ditanami dengan tumbuh-tumbuhan bunga-bungaan yang pelbagai.. Sementara di bahagian belakang pula dipenuhi dengan tanaman kontan berupa sayur-sayuran dan pokok-pokok buah-buahan sebagai tanaman kekal.
Leka dia mengamati susunan tanaman bunga yang ditanam di dalam pasu dan di atur menghiasi tepi beranda kecil setiap rumah yang dilewatinya. Sehingga dia terlupa dengan niat sebenarnya seketika. Namun minda kecilnya pantas pula mengingatkannya tentang hasratnya yang sebenar.
Hari ini dia perlu dapatkan laporan aktiviti yang di jalankan di belok J daripada ketua beloknya. Jadi dia perlu ke rumah Ani yang mengetuai ahli-ahli belok itu. Setahunya Ani baru pulang daripada kampungnya di Kelantan.
Kepulangannya ke sana kerana melahirkan anaknya yang pertama di rumah ibu-bapanya. Mudah-mudahan Ani sudah pulih dari pantangnya yang lama dan sudah boleh melakukan aktiviti biasa bersama ahli-ahli beloknya. Demikian harapannya tulus mendoakan.
Motorsikal yang ditungganginya membawa dirinya perlahan-lahan memasuki halaman rumah Ani. Deru motorsikalnya yang belum dimatikan enjinnya menggema memenuhi ruang alam dan segera menyedarkan penghuni rumah kecil itu. Ani sedang menyusukan bayinya ketika itu. Segera dikendongnya bayinya ke dalam pelukan dan membawa bersamanya ke beranda. Tilam bayinya yang tipis dan ringan turut dicapai dan membawanya bersama.
“Eh…cik Imah. Naiklah cik Imah,” serunya girang kerana kehadiran sda(w) yang tidak disangka-sangkanya itu. Belum sempat Salimah membuka mulut menghulur salam kepada penghuninya namun penghuni itu sudah terjengol di muka rumahnya, menyambut kehadirannya. Sungguh mudah kerjanya. Dia tidak lupa membalas sapaan Ani dengan senyuman dan kakinya melangkah menaiki tangga lalu melabuhkan punggung di beranda. Kedua-duanya bersalaman pula.
“Ani apa khabar? Lama kita tak jumpa. Comelnya anak Ani…”Sapa  Salimah dan tangannya mengelus pipi bayi yang galak merenungnya di ribaan Ani. Teringin juga hatinya hendak meriba bayi comel Ani. Tapi dia tidak berani hendak melakukannya. Bayi itu baginya cukup rapuh laksana sesuatu yang mudah pecah walau ternyata padu dan jitu hakikatnya.
 Pemahaman bagi seorang gadis yang belum berpengalaman mempunyai bayi daripada darah dagingnya sendiri. Dia pun tidak pernah memikirkan sampai bila ia akan meneruskan kehidupan berseorangan tanpa teman yang bergelar suami. Lagipun usianya masih muda pada anggapannya. Sebaya dengan Ani. Namun Ani telah mendahuluinya menimba pengalaman sebagai seorang isteri dan kini telah menjadi ibu.
‘Ah! Buat apalah nak terburu-buru berkahwin. Kerja dulu, kumpul duit banyak-banyak, kemudian baru fikir soal kahwin, barangkali juga perkahwinan itu sangat molek buat Ani tika ini tapi tidak kepadaku, ’ getus hatinya memutuskan.
“Baik beginilah…macam cik Imah tengok. Sibuk dengan urusan anak kecil. Orang beranak kecil ni rupanya sibuk sangat. Tidak ada apa yang nak difikir melainkan anak saja. Kalau dulu dapat juga saya mengikut cik Imah naik motorsikal menemankan cik Imah melawat rumah kawan-kawan, sekarang ni dah tak boleh. Asyik nak berkepit saja dengan si kecil ni. Hinggakan jikalau dia merengek dan menangis, hendak ke tandas pun terpaksa dikendong sekali.”
Nampaknya Ani menghadapi kesulitan yang ketara dibebani kehadiran bayinya pada anggapan Salimah melalui cerita yang didengarnya dari mulut Ani.. Tentu Ani tidak dapat lagi aktif di dalam persatuan GPW (GERAKAN PERSATUAN WANITA) tanah rancangan itu seperti dahulu. Ani pastinya sukar menghadiri mesyuarat-mesyuarat anjuran GPW yang sering diadakan pada setiap bulan untuk melakukan pelbagai kegiatan sosial di tanah rancangan itu. kerana pastinya terlalu sibuk menguruskan kemasylahatan bayinya saja.
“Cik Imah tentu datang ke sini sebab nak ambil laporan mesyuarat belok bulan ini bukan?” Tanyanya menduga.
“Itu hajat sampingan saja. Hajat utamanya tentulah nak menziarahi Ani dan anak…bukankah kita ni dah lama tak berjumpa…” balasnya lunak berdiplomasi. Tanpa menyatakan ia kelihatan seolah menekankan suri itu dengan ketara.
“Saya pun tak berapa tahu apakah kegiatan ahli belok saya sepanjang saya berpantang. Tapi tentulah berterusan macam dulu-dulu juga. Setiap minggu pada hari khamis ada majlis bacaan yasin yang dibuat mengikut giliran setiap rumah ahlinya. Hari Jumaat pula ada kelas agama di surau. Kadang-kadang ada guru KEMAS yang datang mengajar memasak dan menjahit. Saya tak tahu pula kot ada kegiatan yang lain-lain…”
“Itu saja kegiatannya? Tak ada perubahan?” Tanya Salimah ingin mempastikannya.
“Saya rasa itu saja kot. Tapi kalau cik Imah nak pastikannya, kenalah tanyakan pada kak Nisah. Lagipun dia penolong ketua belok. Sepanjang ketiadaan saya tentu dia yang urus semuanya, sebab saya dah pesan begitu kepadanya...”
“Begitukah?…nampaknya terpaksalah saya singgah ke rumah kak Nisah dalam perjalanan balik nanti. Saya rasa saya tahu letak rumahnya,” balas Salimah dengan tidak berasa terlalu yakin.
“Nombor rumahnya J 21, selang 6 buah rumah dari rumah saya. Baru ni anaknya Aisyah, pulang bersama saya ke sini dari kampung. Kabarnya anaknya tu dah mula kerja kawin bunga di ladang…” Sahut Ani, disamping bercerita serba sedikit tentang apa yang diketahuinya.
Ani meletakan anak yang di ribanya ke atas tilam kecil yang di bawanya dari ruang tengah. Kelihatannya bayinya itu sudah terlelap di pangkuannya  Lega hatinya kerana anaknya itu tidak akan mengganggunya dengan ragamnya. Ada sesuatu yang terdetik di hati mahu dilakukannya.
“Saya ke dalam sekejap cik Imah. Cik Imah duduk dulu dan tolong tengokkan Haziq ni ya,” ujarnya seraya membetulkan letak Mohamad Haziq bayinya, agar ia selesa dan tidurnya lebih jenera.
“Ani nak ke mana pula? Nak buat air minuman untuk saya? Tak payah…saya sebenarnya nak cepat balik ke pejabat. Nak siapkan laporan tentang kegiatan setiap belok pada bulan ini. Cuma belok Ani saja yang belum siap lagi. Kalau dah siap bolehlah minta kak Masyitah taipkan dan kirimkan ke pejabat LKTP wilayah bersama laporan daripada pegawai-pegawai yang lain. Tak payah nak susah-susah Ani…”
Salimah menegah Ani dari melakukan apa yang dirasai firasatnya. Niatnya tidak mahu menambah kerumitan kepada ibu beranak kecil itu kerana terpaksa melayaninya dengan sepatutnya seperti yang selalu dilakukannya setiap kali ia bertandang ke rumah Ani..
“Tak susah pun cik Imah. Air panas sudah ada di dalam termos. Cuma nak kena masukan teh dan gula ke dalam cawan saja.”
“Kalau saya kata tak payah…tak payah. Bukan tak sudi nak minum. Tapi memang saya nak cepat sangat. Inipun sebelum balik ke pejabat, nak kena singgah ke rumak kak Nisah dulu. Harapnya dia ada di rumah. Kalau dibuatnya dia ikut pak imam ke ladang tentu tak siap lagi kerja saya.”
“Rasanya dia ada di rumah tu…”
“Tak apalah, kalau gitu biar saya balik dulu Ani. Ani jaga diri dan anak baik-baik. Baru habis pantang tu tak payahlah cergas sangat nak ke sana-sini. Duduklah di rumah jaga baby. Hal blok biar kak Nisah yang uruskan. Bila dah pulih dan sihat betul bolehlah kalau nak aktif semula,” ujarnya berserta sedikit pesanan.
Salimah tahu juga menasihati kepada ibu muda itu tentang serba sedikit yang diketahuinya mengenai gaya hidup wanita yang baru lepas bersalin. Pengetahuan yang dikutipnya daripada pergaulannya bersama wanita-wanita di situ yang kalangannya pelbagai peringkat umur. Tetapi kebanyakan mereka adalah wanita-wanita yang masih di peringkat sering melahirkan zuriat pewaris dunia.
Setelah menyalami Ani, dia bergegas menuruni tangga rumah  menuju hala motorsikalnya.
“Lain kali datang lagi ya…”
“Insya-Allah…”
Ani terpaksa akur dengan permintaan Salimah. Gadis sda(w) itu dibiarkan berlalu pergi, setelah injin motorsikalnya dihidupkan dan membawanya hingga hilang daripada pandangannya.
Ani mencempung bayinya dan meletakannya di dalam biliknya yang tidak berperabot. Yang ada cuma tikar mengkuang se bidang yang dihampar memenuhi ruangnya. Di hujungnya di susun bantal-bantal dan kain selimut. Pasangan yang menghuni di situ mengangap kewujudan perabot-perabot kemewahan bukanlah keutamaan.
Yang teramat penting kedua-duanya sangat berbahagia dengan kehidupan seadanya yang dilalui kini. Apa lagi Allah telah menganugerahi mereka seorang cahaya mata yang sangat comel. Terasa kehidupan ini sudah terlalu lengkap bagi Ani.
Mohamad Haziq kelihatannya sedikit pun tidak terusik dengan gangguan yang dusahakan ibunya agar tidak terlalu dirasainya lantaran tidurnya yang lena. Dia menciumi anaknya itu dengan penuh kasih sayang yang mendalam di lubuk sanubarinya, sebelum melangkah membawa dirinya ke dapur. Niatnya hendak memasak makanan tengahari untuk hidangannya dan suaminya yang akan pulang dari berkerja tidak lama lagi.
                                                        * * *
Seorang gadis bertopi lebar dan seorang lagi rakannya berjalan beriringan menyebabkan sebahagian jalan yang dilalui mereka menjadi terhad kelebarannya. Situasi demikian pasti menyulitkan kepada pengguna kenderaan yang datang dari belakang. Dan hon terpaksa dibunyikan  pengguna kenderaan sama ada motorsikal atau kereta atau lori untuk mengingatkan kedua-dua gadis itu agar menepi memberi laluan.
Salimah yang kebetulannya tidak berapa mahir lagi menunggang motorsikal tentulah memerlukan ruang jalan yang lebih luas agar kenderaan yang dipacunya bergerak lancar.
Apabila kelihatan kepadanya gelagat dua orang gadis yang seolahnya bagai mahu menutup jalan laluannya tentulah membuatnya gabra dan risau. Bimbang tidak akan dapat mengawal kenderaannya dengan sebaiknya.
Hon yang terletak di tangan motorsikalnya segera dipicit. Suaranya yang nyaring mengejutkan kedua-dua gadis yang sedang berlenggang senang dan leka dengan perbualan yang mengasyikan itu.
“Eh tepi sikit…ada orang nak lalu tu. Mu ni kalau berjalan, macam jalan ni mu yang punya.”Suara Aisyah menyentak kealpaan Murni di sisinya.
Murni lantas berpaling ke arah bunyi motor yang menderu dari belakang. Dia tersenyum sedikit. Segera pula mengubah kedudukannya membelakangi Aisyah dan tidak lagi beriringan seperti tadi.
“Cik Imah tu. Nak ke mana pula dia…” suaranya mendesis ke deria dengar Aisyah.
“Siapa?” Tanya Aisyah ketara ingin tahu mengenai nama yang sangat asing pada pendengarannya. Baru pertama kali ia mendengar nama itu disebut.
“Cik Salimah… sda tempat kita ni. Ah…kak Syah bukan kenal pun kalau saya cerita…”
“Habismu ceritalah supaya akak tahu dan kenal siapa dia...” Sebelum sempat Murni membalas pertanyaan Aisyah untuk membuka cerita, motorsikal yang dinaiki Salimah sudah melaju di sisi mereka. Salimah mengangkat tangan kepada Murni kerana dia memang mengenali gadis yang riang dan peramah itu. Tetapi senyuman manisnya dilepaskan kepada kedua-duanya. Tidak ada kata-kata yang meluncur di bibir berbahasa, lantaran dia perlu memberi fokas kepada pengendalian kenderaan yang ditungganginya.
Lagi pula dia sedang mengira bilangan rumah yang tepat berselang dengan rumah Ani untuk membelok ke rumah Hanisah yang menjadi destinasinya. Kalau tersilap kira tentu akan menyusahkannya untuk mempastikannya.
‘Dahpun sampai.’ Getusnya tatkala melihat papan tanda yang mencatat nombor rumah dan nama pemiliknya. Ke situlah tempat tujuannya yang diyakini pasti.
“Eh…cik Salimah tu ke rumah kak Syah tu…” Murni mencuit bahu Aisyah dan jari telunjuknya menunjuk ke arah itu.
“Iyalah…apa yang dimahukannya ya…”Aisyah bertanya seolah bersalut kegusaran yang merisaukannya.
“Adalah kerjanya tu. Orang kerja pejabat mestilah banyak urusan pejabat yang ada kena mengena dengan mak ayah kita…”
“Entahkan mak akak tu ada ke tidak di rumah. Dibuatnya mak akak ikut ayah ke ladang macam selalu tentu kesian dia menunggu. Jomlah kita cepat sikit melangkah,” ujarnya menggesa sambil tangannya mengait tangan Murni.
“Kak Syah ni kalut sangatlah. Apa yang kak Syah nak susah, kita dah dekat nak sampai pun. Tengok tu, mak kak Syah dah terjengul di muka pintu. Tak payah nak risau tak menentu...”
“Eh…yalah. Ada pula mak di rumah. Mungkin dah balik dari ladang kot.”
Namun perjalanan kedua-dua gadis bagai tiada gendala yang mahu melambatkannya, sehingga tiba di muka tangga dan mengejutkan mereka yang berada di beranda rumah.
“Assalamualaikum…”Aisyah memberi salam kepada seisi rumah.
“Wa’alaikummussalam,”balas ibunya dan Salimah perlahan.
“Eh mu berdua dah balik?”
“Iya mak cik. Kerja dah habis tentulah kena balik. Takkanlah nak tunggu dan berumah di ladang pulak…”Murni membalas sinis.
“Mak ni…itu pula yang ditanya, si Murni ni mulutnya boleh tahan juga bisanya…” Murni tersengih dengan ulasan yang tidak di duga daripada Aisyah. Baginya ia bercakap perkara benar yang langsung tidak menyalahi.
“Maaflah mak cik, saya tu bergurau saja. Tak ada niat pun nak bersikap kurang ajar dengan mak cik. Tak betul ke kata saya tu?”
“Tak mengapa Murni, mak cik kenal mu bukan sehari dua. Dah lama. Makcik tahu sangat hati budimu lagu mana. Mu naiklah dulu temankan cik Imah ni bersembang. Syah… mari ikut mak ke dapur semetar.” Salimah meraup seluruh wajah Aisyah dengan sentuhan anak matanya. Sebuah wajah sempurna yang puas dipandang.
“Ini anak mak cik ya…saya ingatkan tadi saudara si Murni ke. Sebab rupanya ada iras-iras sedikit. Cuma Murni ni gelap sikit kulitnya, anak mak cik pula putih melepak...”
“Cik Imah terlebih memuji pula, nanti berasa hati pula Murni sebab cik Imah kata kulitnya hitam hih…hih…” Ketawa Hanisah mengikih disambut dengan sengihan Salimah. Segera ditinggalkannya beranda dan membiarkan anak dara yang berdua itu menemani tamunya. Sebentar lagi dia mengharapkan anak daranya itu akan menyusulnya ke dapur untuk membantunya menyediakan sesuatu yang dirancangnya.
“Wah…seronok mak cik menggelakkan saya ya…saya tahulah saya ni hitam berkilat berbanding dengan kak Syah yang putih melepak tu,” balas Murni lirih lantas menarik muka menunjukan rajuknya.
“Mu ni Murni jangan ambil hati apa yang mak aku royat (beritahu) tu. Tadipun mu dah kenakan dia jadi dia kenakan mu balik…”tukas Aisyah cuba memujuk kawannya itu disamping memenangkan tindakan ibu kesayangannya.
“Janganlah kisah sangat Murni, sikap orang tua memang begitu. Mereka cepat berasa hati dan tetap tidak mahu kalah. Mesti dicarinya peluang untuk mengenakan kita yang muda ni,” tutur Salimah lunak laksana air dingin yang mengalir di gurun Sahara sebagai penyejuk ruapan panasnya.
“Saya pun tak kisah sangat apa mak cik Nisah nak kata. Kami pun dah macam anak beranak juga. Boleh berlebih kurang,” sahutnya dengan sengihnya yang menyeringai.
Lega hati Aisyah mendengar pengakuan Murni yang tulus se murni namanya itu. Takdir perkenalannya dengan Murni memang tidak sia-sia. Kini tanpa terduga dia telah memiliki seorang adik perempuan pula. Akan dilestarikan hubungannya dengan Murni itu sebaiknya.
“Biar saya ke dalam dulu tengokan apa yang nak dibuat mak saya tu ya…Murni mu berbuallah dengan cik Salimah ni…”
Aisyah meninggalkan tamu emaknya itu bersama Murni. Gadis pejabat itu begitu mengujakannya dengan kerjaya yang disandangnya. Penampilan diri yang bersih lagi mempesona. Suatu ketika kelak dia berura-ura memiliki kerjaya sebaik gadis itu atau lebih baik lagi.
“Cik Imah ada urusan apa ke sini? Ada apa-apa masalah yang perlu diselesaikan di sini kot?” Murni merisik tanya.
“Tak adalah…kenapa awak fikir sebab muka saya ada di sini tentu ada masalah yang perlu saya selesaikan? Pandai sajalah awak ni…”
“Biasanya itulah yang saya dengar. Kalau ada saja muka sda dalam kawasan belok tu mesti ada perkara yang sedang diuruskannya. Misalnya hal pergaduhan rumah tangga peneroka. Atau kes anak-anak peneroka yang bermasalah. Sampai ada yang lari dari rumah…”
Kisah-kisah sebegitu adalah lumrah di situ. Apabila para peneroka di letakan setempat di kawasan perumahan terancang, tentulah apa yang berlaku di dalam kehidupan rumah tangga mereka sama ada yang baik atau yang buruk tidak dapat disorok.
Jikalau di kampung dahulu kebanyakan mereka hidup berjauhan antara satu sama lain. Kedudukan rumahnya jauh-jauh ada sebuah. Jadi tidak ada siapa yang dapat menilai corak kehidupan mereka.
Tetapi lain situasinya di sini. Apa saja yang membawa mudarat kepada keluarga yang diberi status peneroka diambil kira pihak pengurusannya. Menjadi tugas SDA(W) pula untuk memantau kesejahteraan hidup keluarga di bawah pengurusan itu agar sentiasa harmoni. Dan tiada gejala yang memporak-perandakannya.
“Saya ke sini bukan kerana sebab-sebab begitu. Saya pun takut nak berdepan dengan kes-kes begitu kalau ada. Sayakan masih bujang lagi, tentulah janggal saya yang disuruh menjadi penyelesai rumah tangga peneroka dan masalah sosial anak-anaknya. Tetapi kalau dah terpaksa, kena juga saya uruskan semua itu…”
Apa yang Murni katakan itu membuatkan mindanya terimbau kepada dua insiden yang berlaku melibatkan dua kes berasingan yang menuntut bijaksana penyelesaiannya
Kes pertama; melibatkan seorang isteri yang sanggup meracun suaminya kerana bencikan perbuatan suaminya yang sentiasa mendera fizikal dan mentalnya kerana membawanya berpindah ke tempat yang dianggapnya penuh dengan masalah kemiskinan hidup. Isteri itu sanggup meletakan ke dalam minuman suaminya, kaca yang ditumbuk halus lantaran kebencian terhadap suami yang meluap-luap. Niatnya tentulah hendak mengundang bencana terhadap suaminya itu.
 Perbuatannya itu di sedari dengan tidak sengaja sewaktu minuman yang hendak diminum suaminya kelihatan aneh pada firasat suaminya. Suaminya seakan melihat ada zarah-zarah bersinar di dasar gelasnya yang cerah. Selama ini isterinya itu menghidangkan minumannya ke dalam cawan tembikar yang sukar kelihatan dasarnya. Tetapi kali ini kesilapan telah berlaku dengan kehendak Allah yang Maha Kuasa. Lantas suaminya mengesyaki sesuatu yang buruk direncana isteri itu terhadap dirinya.
Nampaknya tiada kemaafan lagi. Si isteri terpaksa menerima akibat daripada kezalimannya. Tiada lagi penyelesaian secara konsultansi atau bimbingan. Isteri itu terpaksa melepaskan status sebagai penerokawati sebelum bergelar peneroka selepas kematian suaminya. Dia diceraikan dengan talak tiga.
Tugas Salimah hanya memansuhkan nama isteri tersebut seperti yang tercatat selama ini di dalam fail peribadi peneroka milik suaminya. Mujur juga suaminya itu tidak mendakwa isterinya melakukan kes jenayah terhadapnya kerana cubaan membunuh. Jikalau tidak tentu kehidupannya bertambah rusuh dan parah kerana melibatkan polis. Dan penjara pasti terbuka menerimanya untuk menghuni di dalam selnya.
Sesekali terlintas dibenaknya pertanyaan, kenapalah tega isteri itu meracun suaminya secara begitu. Seolahnya perbuatan sadis itu tidak dapat diterima akal sihatnya terjadi di dalam kelompok kecil di tanah rancangan. 
Tetapi kes kedua ini terpaksa melibatkan polis, apabila polis di minta menyiasat dan mendapatkan semula tiga anak gadis peneroka yang lari dari rumah. Seorang gadis melarikan diri dari rumahnya kerana dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali lagi dicintainya. Sementara dua orang lagi hanya ikut sama menemankan kawan mereka yang bermasalah itu.
Tugas Salimah justeru kes itu adalah; setiap hari dirinya akan ke rumah keluarga setiap gadis yang hilang itu untuk menenangkan kegundahan ibu bapa yang kehilangan anak gadis yang disayangi di samping mengabarkan perkembangan terkini dari pihak polis yang menyiasat kes itu.
Masalah itu tidak lagi hanya ditanggung oleh keluarga gadis-gadis tersebut tetapi mendapat perhatian wajar pihak pengurusan juga. Pihak pengurusan berusaha mengurangi kesedihan dan kerisauan ibu-bapa yang kehilangan anak-anak gadis itu dengan menghulurkan pertolongan yang sewajarnya.
Akhirnya ketiga-tiga gadis yang hilang arah itu ditemui tersadai di sebuah stesyen bas di ibu kota dan tidak tahu ke mana hendak menghala selepas itu kerana tidak jelas tujuan mereka. Lagipun mereka hanya berani-berani melangkah ke kota tetapi setelah berada di dalamnya mereka kekalutan dan ketakutan. Mudahlah penguatkuasa polis itu mendorong anak-anak gadis itu mengarahkan mereka menaiki jip dan menghantar mereka kesemuanya ke pejabat pengurusan LKTP Bunga Semarakapi..
 Menjadi tanggungjawab Salimah pula membawa ketiga-tiga gadis itu pulang ke rumah keluarga mereka dengan bantuan pemandu land rover LKTP. Sebelum itu ketiga-tiga gadis itu diberi kata nasihat dan bimbingan yang sewajarnya agar mereka tidak mengulangi tindakan yang menyusahkan banyak pihak itu.
Setiap sesuatu masalah itu pasti ada jalan penyelesaian yang lebih baik untuk merungkainya jika tidak terlalu menurut emosi semata. Demikian antara frasa yang dituturkan Salimah kepada gadis-gadis itu.
“Apalah dibuat dua beranak tu di dapur. Saya dah nak balik ni…” Salimah mendesis sambil berkisar duduk.
“Cepatnya nak balik? Awal lagi ni…ke… takutkan bos marah sebab keluar dari pejabat lama sangat kot?” Komen Murni pantas.
“Tak adalah…pengurus baru kita tu nampak okey je. Setakat ni tak pernah dengar pula dia komen pasal saya lambat balik ke pejabat bila ada urusan kerja diluar. Tapi sebelum dia menegur itu ini, saya terpaksalah buat kerja saya sebaiknya...”
“Pengurus baru ni lebih baik dari yang dulu ya? Tapi pengurus dulu pun bagus juga. Kalau kami ada latihan bola jaring dia akan turun tengok kami di padang. Siap belanja kami air minuman lagi. Isterinya pula selalu datang menolong keluarga yang hendak mengadakan kenduri. Baik sungguh. Walau dia isteri pengurus yang dihormati kami di sini, tapi dia mahu bergaul dengan kami. Terasa sungguh kehilangannya. Kabarnya cik Othman ditukarkan ke LKTP di Johorkan?”
Salimah mengangguk sekali. Apa yang dikatakan mengenai sifat diri mantan pengurus tanah rancangan ini dan isterinya itu memang tidak boleh disangkal. Kedua-duanya amat disenangi keseluruhan warga tanah rancangan kerana sikap mereka yang fleksibel dan tahu menyesuaikan diri dengan suasananya.
“Pengurus kita yang baru ni pun nampak baik dan menyenangkan. Isterinya, saya tak kenal lagi. Kabarnya seorang guru. Belum dapat nak bertukar ke sekolah di sini lagi. Tak lama lagi adalah tu, dapatlah kita semua berkenalan.”
“Jemput minum cik Imah…” Sela Hanisah mempelawa tamunya. Anak gadisnya pula meletakan sepiring biskut di atas tikar di mana kedua-dua tamu sedang duduk bersimpuh.
“Eh kak Nisah ni menyusahkan diri pula. Saya bukannya datang nak minum Cuma nak tahu tentang perkembangan di belok ni saja. Tadi saya dah ke rumah Ani, katanya kalau nak tahu dengan lebih detail kena tanya kak Nisah. Itu yang saya datang ke sini ni…”ujar Salimah dan menjelaskan tujuan sebenarnya.
“Begitukah? Kami di belok ni ada juga buat mesyuarat bulanan waktu Ani balik kampung baru ni. Tapi kami tak tambah aktiviti lain. Cuma teruskan aktiviti yang sedia ada. Kami pun tak pandai nak menambah-nambah. Apa yang dibuat dulu, itulah yang diteruskan. Itu sajalah yang saya boleh beritahu.” Kesemua yang ada di situ mendengarkan pertuturan Hanisah yang lambat-lambat dan lunak itu.
“Kalau begitu tak mengapalah. Tentu ada minit mesyuarat yang dibuatkan?”
“Minit mesyuarat secara bertulis kasar saja di dalam buku, nanti saya ambilkan.”
Bergegas pula Hanisah ke dalam biliknya mencari buku nota mesyuarat belok yang disimpannya.
“Murni, petang ni jangan lupa datang ke padang netball ya…kita nak adakan pemilihan pemain yang akan dibawa bertanding dengan LKTP Bunga Orkid.” Salimah meluncur kata untuk mengenai sasaran yang dimaksudkan. Selain menguruskan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bersangkutan wanita, beliau juga terlibat dengan gerak-kerja beliawanis di situ dalam bidang kesukanan. Khususnya permainan bola jaring..
“Iya, saya mesti datang. Tapi masalahnya pasukan kita tak ada shooter yang baik. Macam mana nak pungut mata. Layak ke kita bertanding di tempat orang. Kalau pergi setakat nak cari kalah, baiklah tak payah…” Murni mengatakan keadaan yang memusykilkan dirinya.
Sedangkan dirinya bermain di posisi center yang bebas berlarian ke mana-mana bahagian kecuali memasuki ruang defender. Tapi tidak cekap untuk menjaringkan mata sebagai shooter. Jikalau tidak dia pasti mengambil posisi itu daripada Salmiah. Sebab Salmiah ternyata lemah untuk mengendalikan posisi itu sebaiknya.
“Iyalah…pasukan kita memang tak ada shooter,” balas Salimah sesal dan kecewa.
“Haa…baru saya teringat…kata Sazali, kakaknya pandai main bola jaring. Dan jadi shooter yang mewakili pasukan sekolahnya. Apa kata kita ajak kakak Zali join pasukan kita?” Murni mengutarakan saran dengan sengihnya.
“Kakak Sazali yang mana?” Pertanyaan Salimah disertai kerutan di wajahnya. Dan Aisyah membeliakan matanya keterkejutan. Tapi Murni menyeringaikan sengihnya lebih lebar.
“Kakak Sazali yang mana lagi, yang inilah…” ujar Murni sambil menepuk-nepuk bahu Aisyah. Tapi kawannya itu membalasnya dengan cubitan halus.
“Mu ni Murni pandai sajamu. Bila masa pulok Zali tu kecek denganmu?”
“Kalau begitu baguslah. Tidak adalah masalah lagi. Aisyah datang ke padang bersama Murni ya, tolong kuatkan pasukan bola jaring kita. Lagipun jika ada sesuatu kebolehan janganlah disorokan. Hanya merugikan diri dan tidak memberi menafaat kepada yang banyak. Jikalau pasukan kita menang kerana sumbangan tenaga Aisyah, tentu bangga tanah rancangan kita. Begitu juga Aisyah. Bersama-samalah kita berkerjasama demi menjaga nama baik tanah rancangan kita,” ujar Salimah sekali gus merangsang semangat berbakti kepada Aisyah yang terkedu mendengar kepetahan gadis sda itu berbicara memotivasikan dirinya. 

18 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 17..."

Kesuma Angsana delete icon 12 May 2014 at 13:26

serius terpaku membaca sambungan cerita nukilan akak ni.. terbaiklah !

Sylarius Yusof delete icon 12 May 2014 at 13:52

Dah lama tak dengar term LKTP ni. Dulu-dulu rajin ziarah sepupu kat felda-felda selalu nampak signage bertulis LKTP (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) ni.

Aku Penghibur delete icon 12 May 2014 at 19:30

yeah sambunganya ..excited nak baca ^_^

paridah delete icon 12 May 2014 at 21:53

yeke...gaya orang lama menulis..heh..heh..tq kesuma Angsana.

paridah delete icon 12 May 2014 at 22:00

LKTP ni femes pada awal penubuhannya saja..tah macam mana ditukar kpd FLDA r FELDA pada awal 70-an..tq Sylarius Yusof.

paridah delete icon 12 May 2014 at 22:01

bacalah acik...mengimbau kisah dulu2...tq Aku Penghibur.

Qaseh Vee delete icon 13 May 2014 at 00:47

org lama menulis mmg ada skill yg awesome

Jagad Kawula delete icon 13 May 2014 at 08:33

izin nyimak di pagi yang cerah ini ya mbak paridah...salam hangat dan assalaamu'alaikum ^_^

Khai♥Rin : anies delete icon 13 May 2014 at 10:49

LKTP? rs mcm diri ni dah tua bla baca term ni hehehe

Waduh ada bab terbaru lagi nih.,haha

Abdul Kholiq Hasan delete icon 13 May 2014 at 17:41

saya dua kali membaca artikel diatas tapi jujur belum menemukan poin utamanya

paridah delete icon 13 May 2014 at 20:05

yeke..terima kasih banyak..biasa2 saja...tq Qaseh Wee.

paridah delete icon 13 May 2014 at 20:07

waalaikummussalam...terima kasih Jagad Kawla sudi singgah membaca.

paridah delete icon 13 May 2014 at 20:15

kenapa ....LKTP ni terlalu lama dulu ujudnya ya Khairin anies..tq

paridah delete icon 13 May 2014 at 20:17

ya teruskan membaca sambungannya...tq Febri Gamesoft.

paridah delete icon 13 May 2014 at 20:24

wah rajinnya membaca terima kasih banyak..poin utamanya hanya kisah perjalanan hidup Aisyah n cinta yg berlegar di sekelilingnya..tq Abdul :Kholiq Hasan.

babYpose delete icon 14 May 2014 at 22:22

oh sambungan ek, bestkan kisah cinta :)

paridah delete icon 15 May 2014 at 09:13

cinta buat kehidipn kita indah....tq babYpose

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”