بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


                                          Bab 15
                                      Wira terpencil

“Hai…nampak kak long tak bermaya hari ni. Letih sangatkah?”
Sazali berlalu di sisi kakaknya membawa se helai tuala untuk ke bilik mandi. Kakaknya dilihatnya terbujur di atas tikar menarik rasa kasihan di hatinya. Pengalaman baru yang dilalui kakaknya itu barangkali membuatnya sangat keletihan.
“Kalau sudah terbaring mengedang tidak bergerak macam ular sawa kekenyangan itu tentulah letihnya terlalu,” sahut ibunya yang mulai bersila dengan se longgok kain yang diangkat dari jemuran. Sebentar kemudian se pasang tangannya mulai lincah melipat pakaian itu dengan kemas, satu persatu.
“Kesian kak long nak dapatkan  duit dua ringgit sembilan puluh sen seharipun kena berhempas pulas berkerja,” komen Sazali lemah dan perlahan. Seakan anak itu menyedari betapa sulit dan getirnya kehidupan yang terlakar ronanya di tanah yang baru diteroka ini. Sekiranya inginkan wang untuk menambah pendapatan perlulah berkerja keras demi mendapatkannya.
Segenap tenaga perlu dikerah. Bukan hanya berpangku tangan semata. Ternyata yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.
“Mak dah cakap dulu…tak payah kija (berkerja), tapi dia nak sangat. Sekarang terimalah padahnya…”
“Kalau tak kija masakan ada duitnya. Kak long nanti bukankah nak sambung belajar? Tentu perlukan duit yang banyak. Saya ini kalau boleh kija pasti saya juga akan kija, cari duit. Boleh bantu ayah. Tapi tak ada siapa yang nak ambil saya kija. Sebab kata mereka saya masih di bawah umur dan bersekolah rendah. Setakat menolong ayah di kebun bolehlah. Tapi takkanlah pada ayah sendiripun nak minta upah...”
Ibunya cuma tersenyum sedikit tatkala menyambut bicara anaknya itu. Hati kecilnya menyanjung tinggi keperihatinan anak lelakinya terhadap masalah kewangan yang dihadapi keluarganya. Memahaminya dan mahu bertimbang rasa.
“Mu nak ke mana pula tu. Baru mak nak bersembang denganmu dah hilang pula.”
“Nak gi mandilah mak. Petang ni saya ada latihan bola sepak di padang sekolah. Hari ni ada pemilihan pemain yang mewakili sekolah ke pertandingan peringkat daerah. Kalau nak melayan mak bersembang, terlambat pula saya nak ke sekolah. Mak gerak kak long tu, biar dia bangun layan mak kecek,”ujar anaknya petah.
‘Isyh…budak ni pandai pula dia nak mengajar mak dia.’ Ibu itu bergumam di dalam diamnya.
Aisyah membuka matanya yang sengaja dirapatkan. Namun sebenarnya dia tidak tidur. Suara bualan di antara Sazali dan emaknya melantun satu, satu ke deria dengarnya.
“Sedapnya mengata orang…,”balasnya perlahan.
“Bukannya mengata cek mek oi…hanya menceritakan perihal sebenarnya.”
Ibunya itu memperbetulkan salah tanggapan si anak.
“Kenapa terbaring saja? Tentu sebab letihkan…”
Aisyah merenung wajah polos ibunya. Renungannya yang redup itu seakan menceritakan keperihalannya. Tiada kata-kata yang terluncur daripada bibirnya. Namun air wajahnya jelas mendefinasikannya.
“Penat memanglah penat. Tapi bukan kerana penat berkija. Kijanya tak penat mana. Cuma sembur debunga ke bunga sawit. Tapi yang menjadikan penat sangat tu sebab terpaksa berjalan kaki naik bukit turun bukit. Sakit lutut dan terasa urat badan pegal membengkak…”
Terbayang pula insiden yang membuatkan tubuhnya hampir menggelungsur ke dalam gaung kerana tersilap menjejak kaki. Mujur ada seseorang menolong menariknya ke atas setelah orang itu melihatnya terkial-kial berpaut pada ranting senduduk untuk mengelakannya terjatuh lebih jauh ke bawah.
Lelaki itu tidak dikenalinya. Tetapi imbasan ingatannya mengatakan dia pernah menemui lelaki itu. Sehinggalah Murni menceritakan perihal lelaki itu memarahinya kerana membiarkannya berseorangan berkerja di tepi jurang.
Menurut Murni lelaki itu adalah seorang mandur yang mengawasi perkerja-perkerja yang melakukan pembersihan kawasan sawit. Kebetulan dia melalui kawasan itu untuk mengawasi perkerja-perkerja yang sedang memotong pelepah sawit muda di hujung jalan itu.
Kata Murni lagi lelaki itu memang seorang yang baik, boleh diharap dan suka menolong sesiapa yang di dalam kesusahan. Mereka berdua memang sudah berkenal baik sejak lama. Dia juga yang menegur Aisyah dan Murni pada awal pagi tadi.
Hanya Aisyah yang tidak mengenali, siapakah penyelamatnya itu. Sekadar tidak lupa memberikan ucapan terima kasih yang banyak lantaran kegugupannya yang menyesak dada kerana melalui saat getir yang mendebarkan itu.
Bimbang sungguh hatinya jikalau dirinya terjatuh ke dalam gaung itu, tentulah tidak ada sesiapa yang akan menemuinya. Yang dapat dipastikannya, ia akan berkubur di situ tanpa nesan tanda. ‘Subhanallah. Astaghfirullahhal azim. Jauhilah hambamu ini daripada sebarang bencana yang tidak diingini.’ Kalbunya tidak putus-putus berdoa.
Lantaran doanya yang tulus dan telus melepasi lengkaran maya, justeru Allah mengirimkan pertolongannya melalui seseorang. Dia berfikir begitu dengan keyakinan yang total.
Cerita dirinya yang mengalami musibah pada hari pertama berkerja di ladang tersimpan kemas. Tidak diceritakannya kepada sesiapa. Apalagi kepada ibunya. Ibunya pasti akan terkejut besar jikalau ia mendengar cerita itu.
Sudah pasti ibunya itu akan mengarahkannya berhenti dari berkerja di situ saat itu juga. Itu yang tidak mahu di dengarinya.  Kemungkinan besar sakit dan lenguh urat yang dirasakannya adalah impak daripada kejadian itu.
“Dah mu nak kija sangat terimalah padahnya. Kan mak dah kata, mu takyah gi kija. Mu tu lain sikit. Tak reti buat kija lagu tu. Tak pernah pun buat kija gitu...”
Kata-kata emaknya menambahkan lagi deraan kepenatan yang dirasainya.
“Tak apalah kak long, mula-mula kija memanglah gitu. Bila dah lama sikit tentulah tak rasa lagi semua tu. Saya tengok kak Murni tu okey je. Aktif macam biasa. Pagi-pagi dia pergi berkerja. Bila petang pula terlompat-lompat di padang bermain nettball.(bola jaring) Biasa saja. Tidak ada masalah pun...” Tingkah adiknya yang tiba-tiba sudah terjengul dengan balutan tuala di pinggangnya dari bilik mandi.
 Dia begitu cepat menyelesaikan mandinya dengan menjiruskan beberapa cebok air ke badan. ‘Mandi koboi je,’ desisnya dengan senyum terkelemewek di bibir. Istilah mandi koboi memang sering digunakan kebanyakan orang di situ buat menggambarkan cara mandian yang terburu-buru dan tidak terlalu memperhatikan kebersihan diri.
Ibunya tersengih cuma, mendengarkan celoteh anak lelakinya yang kedua itu.
“Mu jangan nak bandingkan kak longmu dengan kak Murni tu. Murni tu cergas orangnya. Ligat ke sana sini. Bukan macam kak longmu. Kak longmu ni gak macam agar-agar. Kena panas sikit dah lembik nak cair…”
Sazali tertawa kecil. Komen ibunya tentang diri kakaknya itu begitu mencuit hatinya. Namun apa yang dikatakan emaknya itu ternyata benar juga pada pandangannya. Tidak wajar hendak membandingkan watak seseorang dengan seseorang yang lain. Perwatakan kakaknya yang lemah lembut dan sedikit lembab itu tentu tidak sama dengan sifat pembawakan Murni yang kontra.
Seseorang itu dizahirkan dengan membawa keperibadiannya yang tersendiri. Justeru ada sifat  kelainannya. Bukankah Allah itu Maha Pencipta dan mampu menciptakan segala-galanya menurut kemahuan-Nya? Itu yang dipelajarinya di sekolah dari guru agama dan guru-guru yang mendidiknya. Pengetahuan yang telah lama diterapkan melalui tarbiah ibu-bapanya juga.
“Kak long tu nak terbaring sajakah? Bangun-bangunlah, dah petang ni… ” Lontaran tanya si adik kepada kakaknya menggambarkan kerisauan hatinya menatap keadaan kakaknya begitu. Dia ingin melihat kakaknya lincah semula.
“Habismu nak suruh kak longmu gi mana pula?”
“Pergilah ke padang tengok budak-budak perempuan bermain bola jaring. Boleh juga berkenalan dengan orang sini,”ujar adiknya menganjurkan.
“Hari ini harap maaf saja. Kak long kepenatan. Rasanya nak berihat saja. Esok pagi dah nak pergi kija pula. Nak kena mendaki bukit lagi. Penat oh…tak payah nak buat semua tu. Lain kali saja. Lagipun kak long dah berkenalan dengan ramai orang di tempat kija tadi. Takkanlah nak berkenalan dengan semua orang, melampau tu…”
Ibunya setuju amat dengan pandangan yang diberikan anak gadisnya itu. Lagipun dia tidak gemar anaknya itu berkenalan dengan ramai orang dan mengujudkan kehidupan sosial yang sukar hendak dikawalnya.
Sebagai ibu dia adalah mentor kepada anak-anaknya. Setiap perilaku anak-anaknya perlu ada dalam pengetahuannya. Dan dia hanya akan mendorongkannya melalui jalan-jalan yang telah ditetapkannya. Jalan kebenaran yang diredhai-Nya.
“Iyalah kak long. Berehatlah. Jangan sampai demam sebab kija se hari sudah…kih…kih…” Sazali menekup mulutnya lantaran tawa yang meletus di bibirnya secara tiba-tiba. Keadaan kakaknya yang tidak bermaya seumpama se helai kertas yang basah disiram air amat melucukan pandangannya. Juga amat merisaukannya.
‘Mu perli aku ya dik. Tapi betul juga katamu Zali. Rasanya macam nak demam pula. Harap-harapnyalah tak demam. Kalau demam tak dapat pula nak gi kija esok. Sedap pula si Arman tu perli aku, tak tahan kerja ladang. Anak manja yang lembut dan lembik. Itu yang aku taknak dengar.’
“Dahlah tu. Tak payahlah nak kosek (usik) kak longmu gak. Gilah mu tu lawan bola. Main elok-elok. Jangan tergeliat urat sudah, susah pula makmu nak mengurut...”
Sazali sudah berada di muka pintu hadapan tatkala tersua dengan seseorang yang tersenyum kepadanya. Terkejut juga dia pada mulanya. Tetapi nuteral kembali setelah itu.
“Kak Murni nak ke padang bolakah?”
“Hem…nak pergi juga sekejap lagi tapi nak jengok kakak kau sekejap. Macamana dia?”
“Kak Syah okey je…Cuma terbaring saja. Letih sangat katanya...”
“Iyakah? Kesian… biar kak Murni naik ke atas sekejap.”
“Naiklah kak. Mak… kak Murni datang ni…” laung Sazali mengabarkan perihal kedatangan Murni kepada ibunya.
“Iyakah…suruh dia naik ke rumah,” balas ibunya dalam intonasi yang sama.
“Isyh…kau ni. Tak payah nak jerit-jerit panggil mak.”
Sazali tersengih saja apabila Murni mengatakan itu. Maknanya perbuatannya itu tidak berapa disenangi gadis itu.
“Saya pergi dulu ya. Kakak naiklah ke rumah…”
“Iyalah. Pergilah…”
Kedua-duanya sama-sama mengatur langkah. Seorang sedang menapak ke jalan kerikil bertanah merah menghala ke sekolahnya. Seorang lagi menjejak lantai dengan perlahan hingga menemui sasarannya.
Sebaik anak matanya bertentang mata dengan se pasang kejora milik Aisyah, gadis itu meletakan jari telunjuknya di bibirnya. Barangkali dia sedang cuba mengingatkan Murni agar tidak terlebih cakap sehingga terhambur cerita yang tidak disenangi dan tidak ingin didengarnya.
Murni memahami begitu pengertian yang dimaksudkan Aisyah. Jadi dia harus menghormati kemahuannya. Dia akan cuba sebaiknya mengawal bibirnya daripada menceritakan apa-apa yang berkaitan tentang kejadian di ladang tadi.
Memang itulah pesanan Aisyah kepadanya. Berulangkali dia mengingatkan supaya cerita tentang dirinya yang hampir terjerlus ke jurang itu tidak diberitahu kepada sesiapa pun.
“Hai mak cik, kak Syah.” Sapanya ramah lagi ceria.
Kedua-dua, ibu dan anak yang disapanya tidak membalas sapaannya. Namun menyambut labuhan pandangannya yang berkaca dengan senyuman penerimaan akan kehadirannya.
“Mutengoklah Aisyah ni Murni…baru kija sehari dah lembik macam kain buruk terjelepok...” Murni tersenyum cuma.
“Kesian kak Syah, penat sangat ya. Hari ini kawasan belok A yang kita masuk tu agak berbukit-bukit sikit. Penat juga nak mendakinya. Sebab saya dah biasa taklah terasa apa-apa masalah,” ujar Murni dengan hajat memberi sedikit penerangan kepada seorang ibu yang kegelabahan dengan kondisi anak perempuannya itu.
“Bagimu memanglah tak ada masalah Murni. Bagi Aisyah ni yang bermasalah sangat. Tengoklah terbaring je dia macam orang sakit berbulan.”
“Isyh mak ni, sebut gitu pulak. Yang buruk-buruk janganlah didoakan mak… takut tak terdaya mak nak menjaga saya kalau saya sakit berbulan-bulan...”
‘Astagfirullahhalazim.’ Sahut hatinya melafazkan kekesalan dan mohon keampunan kerana tergelincir sebutan. Walau tidak langsung niatnya begitu.
“Biasalah kak Syah, mula-mula berkerja memang begitu perasaannya. Saya pun macam kak Syah juga dulu. Terbaring saja lepas balik dari kerja. Lesu sangat tubuh saya ni rasanya. Tapi lama-kelamaan hilanglah semua rasa tu. Macam apa yang orang cakap tu, alah bisa tegal biasa, tak gitu mak cik…”
“Pandai jugamu berperibahasa ya Murni…”
“Bolehlah sikit-sikit mak cik. Orang tak sekolah macam saya ni mak cik, tahunya cuma sikit-sikit saja. Lainlah macam kak Syah ni. Sampai tingkatan lima sekolahnya. Mestilah banyak yang dia tahu. Berbanding dengan saya ni apalah sangatkan…” Pada pendapat Murni, mereka yang berpendidikan sehingga tingkatan lima itu sudah terlalu tinggi tahap ilmunya.
Lantaran tidak ada di dalam pengetahuannya bahawa tahap pendidikan berada sejauh yang ingin dicapai seseorang. Tidak berhenti setakat tingkatan lima saja. Selepas tingkatan lima bolehlah disambung ke tingkatan enam pula. Kemudian ke menara gading untuk ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah (phd)
Apapun tergantung kepada kemahuan individu. Namun bagi Murni dia redha kerana dirinya seadanya. Tidak menyesalinya sedikitpun walau tahap pendidikan yang diterimanya setakat sekolah rendah sahaja.
“Mu ni Murni merendah diri pula. Mududuklah bersembang dengan Aisyah ni, mak cik nak ke dapur sekejap.” Aisyah dan Murni memerhati gelagat ibu itu dengan ralit.
Hanisah bangun daripada duduknya mencempung susunan kain yang telah selesai dilipat. Langkahnya mengarah ke dalam bilik yang terletak di ruangan tengah itu. Di dalam gerobok yang terdapat di situ dia akan meletakan susunan lipatan kain yang dibawanya.
Tingkah ibunya itu membawa kembali memori Aisyah kepada peristiwa yang pernah berlaku kepadanya dan mak cik Salina di kampung  neneknya di pinggir bandar KB. Kala petang begini dia akan selalu bertandang ke rumah mak cik Salina dan leka berbeka dengannya sehingga menjelang senja. Sambil bibir mengatur aksara membentuk frasa yang membawa makna dan tangan lincah melipat kain.
Hatinya dirundung rindu yang bukan kepalang pula terhadap emak angkatnya itu. Apa khabar mak cik Salina? Apa khabar pula abang Z? hatinya tertanya-tanya.  Mudah-mudahan kedua beranak yang sangat dekat di hatinya itu diberkahi Allah dengan kesihatan yang sejahtera lagi berbahagia kehidupan yang dilalui mereka..
Jikalau boleh tentu ia ingin terbang mendapatkan mereka yang dirinduinya itu. Dan sayap itu akan terus mengepak membawanya terbang lebih jauh ke USA untuk menemui seorang lagi permata hati yang dirindui teramat. Siapa lagi kalau bukan Faizal yang mendambakannya dan didambakan hatinya sesungguhnya sebagai kekasih.
Meremang bulu romanya demi frasa itu menyelinap ke urat saraf dan pembuluh darahnya. Terasa betapa agungnya istilah ‘kekasih’ itu diletakan pada sesuatu yang maujud di alam nyata. Namun tiada yang dapat mengatasi ‘kekasih’ teragung iaitu Allah s.w.t. Subhanallah. Kalimat suci itu membasahi bibirnya yang kering kontang.
Tekaknya terasa amat kehausan pula. Dia berusaha membangunkan dirinya dan duduk di sisi Murni. Sinar matanya galak menyoroti seluruh wajah Murni. Sebuah senyuman bermakna dilepaskannya.
“Wah cantiknyamu. Nak ke mana pula ni...”
“Tak adalah…kak ni ada-ada saja…” sahut Murni tersipu-sipu. Pujian Aisyah membuat atmanya kembang bak roti disiram air.
“Biasalah kak, saya ni kalau petang-petang begini suka ke padang bola. Kadang-kadang bermain bola jaring, kadangkala tengok budak-budak belia bermain bola-sepak. Seronok tau kak. Tidaklah terperuk saja di rumah dan tak tahu apa nak dibuat.” Ujar Murni serba tidak kena duduknya kerana kegusaran akibat terperangkap dalam pemerhatian Aisyah.
“Atau kau nak jumpa cik abang tadi kot…” Aisyah tergelak kerana niatnya sengaja mahu mengusik Murni.
“Tak adalah…merapu saja kak ni…”
“Kak tengok mu mesra sangat dengan cik abang tadi tu. Macam ada sesuatu yang tersembunyi saja…tengok…air muka dah berubah…” Wajah lesu Aisyah ceria kembali kerana idea yang dicetuskan ilhamnya giat mengusik gadis itu meriangkan hatinya.
“Tak adalah kak…mana ada…kak ni pandai saja nak usik saya. Abang Syam tu memang ramah dengan semua orang dan baik perangainya. Ramai yang suka kepadanya.”
“Termasuk mu kan?”, ujar Aisyah menggiat terus.
“Tak adalah kak…takut bergaduh pula saya dengan Salmiah kerana berebutkan khendaknya…”
“Oh…Salmiah yang kurus tinggi dan matanya bercelak tu suka padanya ya? …macamana pula dengan Syam tu? Dia pun sukakan Salmiah juga?”
“Entahlah kak…nampak macam baik juga. Yang kak ni sibuk tanya ni kenapa? Kakpun minat abang Syam juga kot…kih…kih…maklumlah tadikan sudah di selamatkan si wira tu…” Perbualan yang mengasyikan se pasang dara itu terhenti segera. Masing-masing mengulum kata-kata seterusnya daripada terungkap.
Hanisah muncul tiba-tiba dengan menatang se dulang hidangan minuman yang diletakannya di hadapan Murni. Aisyah menatap bundar mata ibunya yang bening itu. ‘mak ni macam tahu saja aku ni sedang kehausan dan perlukan air untuk membasahi tekak. Tepat tiba pada waktunya keperluanku itu. Terima kasih mak.’
“Kenapa pandang mak macam tak pernah jumpa ni? Kalau terasa nak minum, minumlah. Makpun dah bawakan sampai depan hidungmu. Nak tunggumu tolong gi buat air alamat keringlah tekak si Murni tu…asyik bersembang dan bergelak ja…”
‘Entah apalah yang disembangkan budak berdua ni tadi…tut..tut aku sampai terus terdiam. Mesti ada sesuatu yang nak disembunyikan dari aku ni…,’ namun bicara hatinya itu hanya beku di situ. ‘Ah…biarlah…sembang anak remaja apalah sangat…’ Hatinya memutuskan begitu pula.
Wajah Murni pula dijelah dengan iringan senyum menata bibir.
“Minumlah Murni.”pelawanya manis.
“Terima kasihlah mak cik, buat susah-susah saja. Saya datang ke sini bukannya nak minum mak cik, saja nak jenguk kak Syah. Mak cik ni kalau saya datang ke sini mesti mak cik susah-payah sediakan minuman. Itu yang buat tak sedap hati tu.” Murni meluahkan kesebalan hatinya.
“Dah adat kita begitu Murni. Setiap tetamu yang datang ke rumah kita mestilah diraikan. Meraikan tetamu tu besar pahalanya tau…” balas Hanisah dengan hasrat meratakan kembali hati yang berbongkol itu.
“Isyh makcik ni anggap saya tetamu pula. Saya ni kawan kak Syah bukannya tetamu yang makcik kena layan bersusah-payah.”
“Tak apalah Murni…mu minum saja. Rezeki dah terhidang depan mata jangan pula nak tolak. Dah mak aku ni rajin buat air untuk orang yang datang ke rumahnya apa nak kata lagi. Bukan macam setengah orang tu dah berjam meletak punggung di tikar, air minumannya masih juga tidak keluar. Kita ni dah berjalan jauh tentulah kering tekak kehausan. Tapi orang tu selamba je buat tak perasan…”
Murni menyetujui komen Aisyah yang bersahaja itu lantaran situasi sebegitu memang pernah dialaminya. Mungkin ada kekurangan yang tidak diketahui kerana penolakan adat yang baik itu untuk diadaptasikan di dalam kehidupan seseorang. Manatahu tika itu orang yang menerima kita sebagai tetamu tidak bersedia dan tidak ada bekalan gula, teh, atau kopi buat membacuh minuman. Murni sekadar menanggapi positif terhadap sesuatu yang berlaku.
“Makcik nak gi dapur semula. Tadi mak cik rebus ubi kayu  atas dapur. Takut dah masak.” Kedua-duanya tidak menyahut apa-apa dan membiarkan ibu itu menurut naluri hatinya.
“Tak apalah kak…saya nak beredar dulu. Takut nanti kawan-kawan yang lain tertunggu-tunggu pula. Saya pun dah selesai minum.”
“Dah tak sabar nak jumpa cik abang tu kot…”
“Isyh kak ni…jangan buat malu sayalah…nanti orang kata hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong. Dahlah tu jangan nak usik saya lagi. Saya pergi dulu ya…” Aisyah tersengih cuma. Dia bangun mengiringi langkah Murni hingga ke beranda yang akan meninggalkannya untuk ke destinasi tujuannya.
Menyesal pula dirinya kerana berlebihan menyakat Murni tadi. Mungkin kawannya itu tidak suka dibuat begitu. Dia pun tidak faham dengan hatinya. Seolah hatinya berkata bahawa lelaki yang berkulit hitam manis dan telah berbudi kepadanya itu memang sesuai digandingkan dengan Murni. Serasi sekali perwatakan kedua-duanya pada pandangannya. 
‘Ah…aku ni pandai saja hendak menjodohkan orang. Sedangkan aku sendiri tidak tahu siapakah jodohku. Benarkah Faizal yang telah ditentukan jodohnya untukku? Entahlah…”
“Mana Murni? Hilang pula dia…”Tanya Hanisah yang muncul dengan se pinggan ubi rebus di tangan.
“Dah hilang ke padang bola mak. Katanya nak main bola jaring.”
“Isyh budak tu sekejap saja mak tinggal dah lesap. Ini mak bawakan ubi rebus, ingat tadi nak jamu Murni…”
“Tak apalah mak, dah Murni tak ada, mak jamu saya sajalah…” ujar anaknya dengan iringan tawa bergelegak.
“Kalau nak menjamumu, setiap hari dah duk berjamu.”
“Habis takkanlah mak nak marahkan saya sebab tetamu mak tu dah hilang…”
Emak dan anak itu saling berbalas senyum pula kerana merasa mereka membahaskan perkara yang sia-sia. Setelah itu sama-sama duduk bersila menikmati ubi kayu rebus yang dicicah dengan sambal ikan bilis juga se piring budu. Itulah rezeki yang teramat enak buat kedua beranak itu petang ini.

20 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 15.........."

Friska Lee delete icon 27 April 2014 9:52 PTG

ceritanya begitu indahnya sista paridah dan makanan ubi itu adalah kesukaan saya :D kalau sis suka juga ya makan ubi :D

Febri Gamesoft - www.mas-feb.com delete icon 27 April 2014 10:10 PTG

Udah nyampe ke bab 15

Game Kapuk delete icon 27 April 2014 10:11 PTG

Thanks sharenya gan,,

Game Kapuk | Download Game Paling Ringan 2014
http://game-kapuk.blogspot.com/

jamielcs delete icon 28 April 2014 8:12 PG

ini sepertinya blognya negeri jiran ya :) btw bagus sharingnya :) salam kenal sis

paridah delete icon 28 April 2014 9:54 PG

yeke...terima kasih banyak friska...ya sis suka makan ubi mcm friska juga...

paridah delete icon 28 April 2014 9:55 PG

ya udah bab 15..baca ker? tq Febri Gamesoft.

paridah delete icon 28 April 2014 9:56 PG

wc...tq sudi singgah Game Kapuk.

paridah delete icon 28 April 2014 9:59 PG

ya blog jiran sebelah..salam kenal jamiecs...tq sudi singgah karyaku.

suri delete icon 28 April 2014 1:00 PTG

naskah cinta yang panjang berjelah ini sis

Aku Penghibur delete icon 28 April 2014 1:47 PTG

wow panjangnya ^_^ akan di baca nanti

paridah delete icon 28 April 2014 2:00 PTG

ya panjang juga...tq suri

paridah delete icon 28 April 2014 2:02 PTG

ya terajin update panjang sikit...tq acik Aku Penghibur...sudi membacanya.

Kakzakie delete icon 28 April 2014 2:14 PTG

Eh... tak panjanglah. Kakak baca tak puaslah pulak sebab nak cepat tahu endingnya... Siapa yg mengikuti mesti rasa tak panjang kan..kan..

Kakak dpt perkataan baru - KELEMEWEK faham dari maksud ayat dibina walau tak pernah jumpa..

Kesuma Angsana delete icon 28 April 2014 2:22 PTG

seronok membca nyer kak,,, sambil membayangkan watak & suasana dlm cerita , seronok sgt suasana kampung kan !

paridah delete icon 28 April 2014 2:28 PTG

yeke terima kasih banyak komen positifnya kak zakie...senyum terkelemewek tu senyum lebar...heh...heh..

paridah delete icon 28 April 2014 2:31 PTG

suasana dulu2 yg terpaksa dibayang-bayangkan saja...dh tiada lagi semua tu...tq Kesuma Angsana.

Irvan Robiansyah delete icon 28 April 2014 3:29 PTG

panjang juga artikelnya, sampe bab 15..
keep posting ya mbak :D

Sylarius Yusof delete icon 28 April 2014 3:40 PTG

Kerja bersihkan ladang ni, kalau tak biasa memang boleh sakit-sakit badan jadinya. Kagum pada kaum-kaum ibu yang begitu kuat bekerja memerah keringat di ladang.

paridah delete icon 28 April 2014 4:14 PTG

novel mestilah panjang...dah jemu baca yer...tq irvan Robiansyah.

paridah delete icon 28 April 2014 4:20 PTG

kerja2 di ladang tu berat...guna tenaga yg xsedikit...kaum ibu harus berkerja keras berganding dgn suami mrk utk menambah pendapatan..penat pun apa nak buat kan...tq Sylarius Yusof.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”