بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

“Hai Murni...” Seseorang menyapanya sebaik kelibat Murni dan Aisyah melintasinya. Murni tidak berkata apa-apa. Hanya bibirnya mengukir segaris senyuman. Dia menarik tangan Aisyah agar segera melangkah menghampiri meja yang diterangi mentol bulat yang dijana kuasanya dari sebuah generator.
“Inilah kawan saya yang baru masuk kerja hari ini bang Man.” Lelaki yang sibuk meneliti tulisan di dalam buku kerjanya mengangkat muka. Pandangannya bertembung dengan tatapan Murni.
Terpana pula hatinya melirik keelokan wajah yang berada di sebelah Murni. Hinggakan terleka tanpa bicara.
“Abang ni dengar tak apa yang saya katakan ni…” Murni segera menyedarkan lelaki itu daripada kealpaannya. Arman berada semula di dalam dirinya dan tergagau-gagau mencari pen yang terlepas dari genggaman tangan.
“Iyakah? Nanti abang cek dulu namanya dalam buku ni,” sahutnya tergagap-gagap.
“Mesti ada tu. Semalam saya dah beritahu encik Syahdan tentang tu. Takkanlah dia tak masukan lagi nama tu...”
“Siapa nama?”
“Aisyah binti Salleh,” jawab Aisyah pantas dan tepat tentang pengenalan dirinya.
“Aisyah binti Salleh ya…ya ada namanya di sini...”
‘Nama yang secantik rupanya. Mudah-mudahan rupa cantik ini tidak akan membawa kekecohan yang mencetuskan petaka yang tidak diingini.’ Hatinya merumuskan begitu pula berdasarkan pengalaman yang pernah dilaluinya.
Kebiasaannya gadis-gadis yang berparas cantik menjadi rebutan pemuda-pemuda yang berkerja di ladang itu sehingga kadangkala menimbulkan pergaduhan di antara sesama mereka. Tentu dia tidak inginkan itu yang berlaku kerana keberadaan Aisyah yang cantik itu di situ.
“Abang Man ni buat saspen orang saja. Memanglah ada. Sebab semalam saya nampak encik Syahdan tuliskan nama kak Syah ni dalam buku...” Suara itu mengusir lalu igauan yang mencelarukan mindanya.
“Kawan Murni ni sanggupkah berkerja di ladang? Nampak dirinya macam lemah lembut sangat macam tak pernah berkerja…” Pertanyaannya itu mendapat balasan reaksi yang spontan daripada Aisyah.
“Memanglah saya tidak pernah berkerja di ladang sebelum ini. Itu sebabnya saya hendak mencuba. Saya rasa tak salah kalau mencuba...”
“Jangan datang berkerja se hari, esok dah tak nampak muka. Hilang tah ke mana...”
Murni mengelekek mendengarkan balasan spontan mandur muda itu. Wajah Aisyah ketara berubah raut dan ronanya. Seakan tidak berupaya menerima lontaran gumpalan sinis ke mukanya.
 Darahnya menyirap menyerbu ke wajah menjadikannya bera. Terpaksa ditegarkan jati diri dan mengawalnya dari meledakan emosi yang bakal merendahkan reputasi dirinya di hadapan lelaki ini.
“Hari ini tentulah cerita untuk hari ini. Kita tidak tahu pula cerita keesokannya. Jadi kita perlulah menunggu esok untuk ketahui cerita seterusnya, tak gitu?”
Arman tersentak menerima bahasa tamparan yang tepat ke mukanya. ‘Budak ni bukan calang-calang nampaknya. Tak boleh nak dibawa berbahas, memang kalah…’ Hatinya menggerutu dalam diam.
Murni hanya tersengih-sengih. ‘Padan muka kau. Pagi-pagi lagi dah nak mengenakan orang. Kan dah terkena batang hidung sendiri. Kak Syah nampak saja lembut tapi tak mudah nak menewaskannya. Terimalah padahnya. Orang Kelantan tu bang…,’ bisik  sanubarinya.
Benarkah kesemua orang-orang Kelantan bersifat seperti Aisyah? Berjiwa tegar. Bersemangat padu. Pantang diremehkan kelemahan dirinya, pasti melenting. Walau tidak ketara di wajah kerana kelembutan bahasa yang diiringi senyuman manis sentiasa. Murni tidak pasti pula. Tetapi tetap merumuskan kesimpulan begitu berdasarkan pemerhatiannya.
“Dah tak ada apa-apa lagi abang nak siasat?” Tanya Murni jujur. Tapi Arman merasakan ungkapan itu berunsur perli yang menikam sukma.
“Okey. Dah siap. Pergilah bawa kawan awak ni tunggu tereler Nalappan yang nak bawa kamu semua ke ladang. Pesan dengan kawan awak tu, hati-hati sikit naik treler tu. Duduk elok-elok, diam-diam. Bimbang tercicir pula dalam perjalanan ke ladang. Nanti tak ada pula cerita untuk hari esok...”
Murni dan Aisyah bertentang mata dengan sinar redup yang berkaca. Ada senyum kecil yang terlorek di bibir. Sama-sama memahami kiasan yang tersimpan di sebalik unjuran nasihat itu. Namun tidak ikhlas menasihati kerana tergelong dalam maksud yang tersirat. 
Nasihat jitu itu memang sepatutnya diberi, guna mengingatkan perkerja-perkerja ladang agar berwaspada sentiasa demi menjaga keselematan diri. Apalagi kepada seseorang perkerja yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke ladang.
Memang pernah berlaku kejadian yang mencelakakan kepada perkerja-perkerja yang di angkut ke ladang kerana terjatuh dari treler yang membawanya. Keadaan itu berlaku mungkin kerana kurang pengawasan diri. Mengambil lewa tentangnya.
Kebanyakan perkerja-perkerja selesa duduk di atas kayu pengadang  yang nipis yang menjadi pengadang treler kiri dan kanan daripada duduk berlonggok di tengah-tengah treler yang kosong.
Mungkin disebabkan lantai treler yang agak kotor kerana terkena  tanah, buah-buah sawit, baja atau pelbagai bahan-bahan pertanian yang di isi di dalamnya sebelum ini kerana digunakan dalam pengangkutan bahan-bahan tani itu ke ladang, menyebabkan para perkerja itu tidak sudi hendak meletakan punggung di lantainya,
Apabila tayar treler tergeser hingga jatuh ke tebing akibat jalan licin selepas hujan atau atas sebab mengelakan kenderaan besar yang laju dari hadapan, kemalangan tentu tidak dapat dielakan. Jalan-jalan itu pun hanya dibina mengikut spefikasi jalan pertanian. Jalan bertanah merah yang berkerikil halus.
Akibatnya mereka yang menumpang punggung di juring kayu treler akan tercampak ke pinggir jalan. Apabila kecederaan berlaku tentulah mengambil masa untuk pulih. Maka rencana projek di ladang tentulah tergendala seketika.
Justeru itu pegawai-pegawai ladang dan mandur-mandur yang dipertanggungjawabkan perlaksanaannya sentiasa perlu mengingatkan anak buah yang dibawah jagaan mereka agar berhati-hati menjaga keselamatan diri masing-masing.
Namun ingatan itu hanya berkesan seketika. Sekian lama berlalu akan menyebabkannya terlupa dan tidak dipedulikan tentangnya. Justeru tabiat duduk di atas kayu pengadang tetap diulangi. Meski diketahui amat membahayakan keselamatan diri.
“Hai Murni…hari ini bawa kawan ya. Boleh nak berkenalan?” Murni tidak pedulikan sapaan itu. Langkah yang disusun atur lebih cepat geraknya untuk meninggalkan lelaki bersama kawannya yang tersengih-sengih kepadanya dan Aisyah. Gelagatnya membuat Aisyah terkesima memandang. Hatinya dirundung pertanyaan yang berbilang-bilang.
‘Mengapa agaknya Murni tidak pedulikan teguran pemuda itu? Mungkin dia tidak mendengarnya. Boleh jadi juga dia keberatan menjawab teguran itu. Pada Aisyah, sikap yang diperlihatkan Murni itu tidak manis pada pertimbangannya.
Seseorang itu wajar membalas budi bahasa yang di terimanya dengan setimpal pula. Apa yang ketara di matanya tidak menimbulkan kesalahan yang boleh menyebabkan berlaku penolakan hubungan emosi insan.
Namun kata hatinya itu pasti berbeza pula dengan apa yang dikatakan hati Murni.
“Kak Syah jangan layan budak berdua tu. Memang tak boleh pakai. Kacang hantu. Kerjanya tidak lain hanya menyakat budak-budak perempuan yang berkerja di ladang ni. Kalau kita rajin layan mulalah dia orang nak menggatal dan meleseh dengan kita. Harapkan rupa memanglah lawa. Tapi suka cari pasal dan buat masalah di ladang...”
“Begitukah…?kakak tak tahu pula. Ingatkan budak-budak tu orang baik-baik ja. Rupanya lain pula  ceritanya. Mujurlah Murni beritahu kakak. Bolehlah kakak berhati-hati bila berhadapan dengan mereka…”
Aisyah mulai curiga dengan keputusannya. Benarkah apa yang dilakukannya kini? Pengalaman yang baru dilaluinya mengajarnya bahawa tidak mudah hendak mendepani suasana yang tidak pernah menjadi kebiasaannya.
Perlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka yang telah lama dan arif bergiat di dalam bidangnya. Tidak boleh hendak memandai-mandai sendiri kerana hanya akan menyusahkan diri sendiri.
Di dalam keheningan pagi yang bertamu dia bersendirian di sudut kelam lantaran Murni meninggalkannya seketika untuk berbeka dengan kawan-kawannya. Kini yang bergentayangan di frem mindanya adalah sebuah wajah yang sangat dirinduinya. Yang teramat jauh daripada sisinya.
Sebuah keluhan dilepaskan perlahan-lahan. Apa yang dikeluhkannya tanpa kedengaran frasanya diatur? Hanya hatinya yang memakluminya.
‘Beruntungnya jalan hidup yangmu lalui Faizal. Amat mudah dan senang-lenang. Sedangkan aku terpaksa bergelut di dalam kesukaran yang sulit untuk mencapai sesuatu yangku inginkan. Sekiranya aku ingin berjaya sepertimu, aku perlu berkerja keras untuk memperoleh dana buat membiayanya. Tiada siapa yang bolehku harapkan membantuku kini. Tidak boleh lagi menyandarkan harapanku kepadamu kerana kau telah jauh.
Mu pula tidak perlu bersusah-payah seperti aku. Muhanya perlu belajar untuk mencapai cita-citamu tanpa memikirkan apapun yang berkaitan dengannya kerana ibu-bapamu mampu menyediakan apa saja kemahuanmu. Lihatlah kini aku sedang berhempas-pulas dengan hidupku yang rencam tanpaku ketahui bagaimanakah kesudahannya. Berjayakah aku melalui setiap cabarannya demi menyatakan impianku itu. Doakanlah aku Faizal. Mudah-mudahan jiwaku tegar menghadapinya. Aku juga sering mendoakan kemasylahatanmu di rantau orang sana. Apa khabar dirimu kini agaknya? Masihkah diri ini mu ingati? Masihkah diri ini bertakhta di hatimu?’
“Kak Syah…berkenallah dengan kawan-kawan saya ni. Nanti senang nak bertegur sapa. Kalau apa-apa yang terjadi di dalam ladang, senang nak dipanggil kala perlukan pertolongan…” Aisyah terkesima memandang wajah-wajah berseri dengan senyum yang mengelilinginya. Hatinya amat mengagumi kebijaksanaan Murni membina keputusan tanpa terduga.
Dia sanggup melakukan itu demi seorang kawan. Ingatan tentang lontaran kata-kata mak cik Hanisah kepadanya agar menjaga keselamatan anak gadisnya itu amat mengesankannya. Tidak boleh dipandang remeh. Menyebabkannya bertindak begitu.
“Ini Rosnah, Fadilah, Salmiah dan Hasanah. Semua ni kawan-kawan kita yang berkerja bersama-sama di ladang belok A peringkat 4. Sekumpulan perkerja lagi akan berkerja di belok B peringkat yang sama.”
Saling pula huluran tangan berjabat dan bertukar di antara mereka. Perkenalan baru yang membuahkan persepsi yang menyenangkan. Masing-masing mahu menjadi kawan kepada seorang rakan sebaya yang baru dikenali. Terlebih lagi mereka itu amat mengaguminya sebagai seorang gadis manis yang tercantik di antara mereka.

                             

10 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 13 SAMBUNGAN..."

babYpose delete icon 20 April 2014 at 17:02

Assalamualaikum, wah perkataan best "terkesima" :) gadis tercantik diantara mereka biasa lebih mendapat perhatian.

paridah delete icon 20 April 2014 at 18:40

wsalam..terkesima ya...begitulah selalunya...tq babYpose.

Blogs Of Hariyanto delete icon 20 April 2014 at 19:08

kisah murni dan aisyah ini membuat penasaran, ingin membaca dari awal mula.....
keep happy blogging always...salam dari makassar :-)

paridah delete icon 20 April 2014 at 21:35

yeke...kalau nak baca dari mula klik labels NOVEL SEBUAH VERSI CHINTA..pasti bab awal hingga kini akan terpapar....tq Blogs Of Hariyanto.

Kakzakie delete icon 21 April 2014 at 12:27

Nasib baik kakak tak tertinggal bab ini..
Faizal macam lupa aje kat Aisyah...

paridah delete icon 21 April 2014 at 14:43

mujur xtertinggal kisah faizal kan...kalau x tentu tertanya-tanya....tq Kakzakie sudi ikutinya.

Kesuma Angsana delete icon 21 April 2014 at 15:28

kena baca betul2 ni takut temiss citer ni ~

paridah delete icon 21 April 2014 at 17:31

yeke..terima kasih banyak Kesuma Angsana.

ANAK KUALA delete icon 22 April 2014 at 13:34

Akan terus mengikutinya hingga ke penghujung bab....

paridah delete icon 22 April 2014 at 14:17

terima kasih dik Anak Kuala atas sokongannya...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”