بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM.

Pelabur ASN/ASB perlu dimaklumkan ke mana dana-dana saham mereka disalurkan. - Gambar hiasan
BARU-BARU ini isu mengenai hukum pelaburan dalam Skim Amanah Saham Bumiputra dan Amanah Saham Nasional (ASB/ASN) tampak kembali rancak diperdebatkan di alam siber. Facebook penulis juga dihujani dengan pelbagai persoalan untuk mendapatkan kepastian status sebenar pelaburan dalam ASB dan ASN.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Majlis Fatwa Kebangsaan), Prof Emiritus Tan Sri Abdul Shukor Husin sendiri terpaksa membuat kenyataan penegasan bahawa hukum melabur dalam Skim ASN dan ASB adalah 'Harus'. Ini termasuk dividen atau bonus yang diterima menerusi kedua-dua skim pelaburan tersebut.

Sebagai orang awam kita harus sentiasa hormat kepada pihak yang diamanahkan kerajaan terutamanya Majlis Raja-raja yang bertanggungjawab melantik para mufti untuk menganggotai Majlis Fatwa Kebangsaan untuk merungkaikan permasalahan umat mengenai hukum hakam agama.

Ini juga sebahagian daripada tuntutan ketaatan kepada pemerintah atau Ulil Amri yang antara lainnya bertanggungjawab memilih para hakim atau mufti bagi merungkai permasalahan umat. Sehinggakan dalam satu kaedah fikah disebutkan: "Keputusan atau pandangan Hakim atau Mufti (lantikan pemerintah) mendahului sebarang bentuk pandangan atau ijtihad individu."

Hakikatnya kegagalan menghormati dan mengiktiraf kedudukan pihak lebih berautoriti atau berkelayakan mengeluarkan fatwalah yang menyebabkan umat menjadi celaru kerana terlalu banyak 'mufti-mufti jadian' yang sewenang-wenang mengeluarkan hukum halal haram.

Berbalik kepada polemik ASB dan ASN ini, kenyataan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan baru-baru ini hanyalah menegaskan kembali resolusi Majlis Fatwa yang bersidang kali ke-80 pada 1 - 3 Februari 2008 yang memutuskan bahawa skim pelaburan ASB dan ASN serta dividen atau bonus yang diterima pelabur adalah harus hukumnya.

Dalam Muzakarah yang dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang turut dianggotai oleh mufti-mufti seluruh Malaysia dan individu-individu berkepakaran dalam bidang fikah dan muamalah mengharuskannya atas hujah menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Hakikatnya Majlis Fatwa mengambil pendekatan ijtihad secara kolektif yang membuat pertimbangan mengenai satu-satu isu secara kefahaman holistik yang seiring dengan prinsip dan kaedah syarak. "Berhukum atas sesuatu mesti memperkirakan kefahaman menyeluruh mengenai isu tersebut." (Al-Ghazali, Al-Mustashfa fi usul al-fiqh; 9-11)

Namun, polemik berkenaan dengan ASB dan ASN mula timbul semula apabila Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan fatwa yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011 yang memutuskan bahawa skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal lantaran bertentangan dengan hukum syarak.

Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Patuh Syariah

Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.

Sememangnya Majlis Penasihat Syariah di bawah Suruhanjaya Sekuriti telah pun mengeluarkan resolusi Syariah yang jelas mengenai pelaburan saham syarikat yang terdapat percampuran dalam aktiviti dan operasinya.

Sebagai contoh, sekiranya sebuah konsortium atau syarikat yang perniagaan utamanya patuh syariah sebagai contoh konsortium hartanah tetapi anak syarikatnya terlibat dengan aktiviti haram seperti perjudian, maka pihak Suruhanjaya Sekuriti akan menilai status kewangannya terlebih dahulu. Sekiranya, pendapatan daripada syarikat judi tersebut kurang daripada 5% berbanding pendapatan keseluruhan syarikat utama, maka kaunter saham syarikat tersebut masih dianggap patuh syariah.

Walau bagaimanapun, dalam kes pelaburan ASB/ASN, dana-dana ini dilaburkan dalam syarikat kewangan konvensional berasaskan riba iaitu Maybank melebihi paras 5% yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Persoalannya sekarang fatwa manakah yang hendak dituruti?

Bagi pandangan peribadi penulis, sebagai orang awam kita boleh memilih untuk mengambil pandangan atau fatwa yang dikemukakan sama ada oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ataupun Pejabat Mufti Selangor. Kedua-duanya adalah badan berautoriti untuk mengeluarkan fatwa dan mempunyai hujah tersendiri. Dalam konteks ijtihad sebegini, tiada istilah siapa yang betul mahupun salah secara mutlak, sebagaimana hadis Nabi SAW: 

"Apabila seorang hakim memutuskan sesuatu keputusan, maka dia berijtihad dan ijtihadnya betul, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berijtihad dan keputusannya salah, maka baginya satu pahala."
Walau bagaimanapun dalam konteks wara', seseorang digalakkan untuk meneliti secara terperinci setiap skim pelaburan ke mana dana-dana tersebut akan disalurkan. Yang dimaksudkan dengan wara' di sini ialah ketakwaan kita pada Allah hingga meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas atau samar-samar (syuhbah) sebagaimana yang digariskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW.

Cuma dalam konteks isu pelaburan ASB/ASN yang melibatkan proses ijtihad para ulama, tidak perlulah kita bersikap keras dan tegar mempertahankan satu pandangan hingga menidak apatah lagi memperlekehkan pandangan yang lain. Lebih buruk lagi apabila ada suara-suara bersifat tohmah dan fitnah hingga tergamak menuduh fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa adalah fatwa politik untuk menjustifikasi pendirian pemerintah.

Seharusnya sebagai umat Islam kita diasuh supaya bertasamuh atau berlapang dada dalam berbeza pandangan apatah lagi dalam hal yang melibatkan perkara-perkara ijtihad yang terbuka luas untuk umat berbeza pandangan. Malah tiada siapa berhak mendakwa pandangan merekalah yang betul dan diterima Allah.
Sebab itulah kita wajar mencontohi akhlak ulama muktabar terdahulu seperti Imam As-Syafie Rahimahullah yang menyebut: "Pandanganku benar namun boleh jadi salah, pandangan orang lain salah namun boleh jadi benar."

Justeru tepuk dada tanya iman. Walau apa pun keputusan kita tidak perlulah kita menuding jari menganggap keputusan kita sahaja betul dan orang lain salah. Apa yang penting untuk kita sentiasa memperhitungkan setiap sesuatu yang ingin kita lakukan adalah jelas aspek halal dan haramnya demi keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

* PENULIS ialah Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

16 ulasan - "USAH BERTELAGAH ISU ASN/ASB"

Pha Is delete icon 16 Mac 2014 10:44 PG

setuju.. janganlah bertekak pasal kes ASB ni sampai berpecah.. berlapang dada dalam perbezaan pendapat.. tak salah kalau nk ikut majlis fatwa kebangsaa, dan x salah juga kalau nk ikut majlis fatwa selangor tu.. tapi jgn salahkan orang lain hanya kerana mereka tak sependapat dengan kita berkenaan perkara yg khilaf ini..
cuma pesan nabi, perkara yg shubhah kalau ditinggalkan, lebih baik..

BM delete icon 16 Mac 2014 11:33 PG

Bila ada pertentangan pendapat dan hukum dan sudah timbul syak-dzan-waham sebaiknya sendiri kena fikir. Kalau air kopi yg halal bila nak diminum ada rasa syak/waham pun jadi haram kalau diminum. Tidak perlu salahkan sesiapa, pilihan ada ditangan kita...alternatif lain juga banyak. Maka... hanya iman didada yg mampu memutuskannya...fikirkanlah. Penting bagi kita mengambil berat tentang isu halal dan haram kerana sebagai umat Islam, ianya menjamin agar hidup kita dan keluarga sentiasa diredhai dan diberkati... InsyaAllah.

Sobri Yaacob delete icon 16 Mac 2014 1:44 PTG

itulah..saya setuju terbaca juga ramai yg berdebatkan.. semoga akan jumpa solusi yg pling bgus dan sesual utk diaplikasikan...

Migraine delete icon 16 Mac 2014 6:32 PTG

Semoga kes ini tidak sampai membuat bingung ummat, semoga ada jalan keluarnya

Qaseh Wee delete icon 16 Mac 2014 9:22 PTG

jawapan saya mudah jer . jgn libatkan diri sbb hukum kita blm tentu sama dgn hukum Allah ... x rugi pun klu x melabur .

nohas delete icon 16 Mac 2014 11:06 PTG

bagi saya, yg haram itu jelas dan yg halal itu jelas...setiap apa yg kita lakukan di dunia, kita sendiri yg akan bertanggungjawab di akhirat, pemerintah atau mereka yg berkenaan akan berlepas diri..

*kesimpulannya: banyak tempat pelaburan lain yg lebih menyakinkan

paridah delete icon 17 Mac 2014 9:41 PG

ya betul tu yg haram n halal tu jelas n mrk yg terlibat tentu mulai berfikir kearah kebaikan yg diredhai Allah...tq nohas.

paridah delete icon 17 Mac 2014 9:55 PG

asn/asb tu bukan baru wujudnya semalam...rasanya sejak QV belum lahir lagi...selama ini mrk yg terlibat diberitahu majlis fatwa bhwa xada masalah melabur didalamnya tentu sukar mrk yg terlibat kebanyakannya org2 kampung mengeluarkan pelaburan yg nilainya bukan sedikit..n melaburnya ditempat lain...mrk pun bukan faham sgt tentang saham2 ni....moga ada fatwa yg boleh menjelaskan lagi isu ni..demi mrk yg mulai tersepit ni...tq Qaseh Wee.

paridah delete icon 17 Mac 2014 9:58 PG

ya betul tu jgn tambah mengusutkan n mengelirukan mrk yg terlibat....tq Migraine sudi singgah blog karyaku..

Sobri Yaacob delete icon 17 Mac 2014 9:59 PG

datang melawat sini sis..
slamat pagi & menabung nuffnang

paridah delete icon 17 Mac 2014 10:06 PG

in sya Alllah sobri...orang2 kampung dikenalkan pada pelaburan saham asn n 10 tahun kemudian asb tentu menjadi bingung kerana sebelum ini ustaz2 mengatakan pelaburan ini boleh n xmeragukan langsung...moga ada solusi yg terbaik kpd masalah ni...tq Sobri Yaakob.

paridah delete icon 17 Mac 2014 10:26 PG

betul tu syak n waham harus diketepikan n mengambil jalan yg benar saja...tq BM.

paridah delete icon 17 Mac 2014 10:37 PG

Pendapat bernas n sederhana...terpulang kepada penerimaan masing2 ya...tapi yang harus itu lebih baik jangan dilakukan...institusi perniagaan yg didirikan dgn nilai aset billion ringgit hasil pelaburan org2 kampung tentu tidak akan terjejas sedikitpun walau berjuta pelaburnya mengeluarkan pelaburan mrk yg nilainya ada yg melebehi ratusan K...labur saja dlm saham KPFr FGV..Ternyata halal kerana berasaskan pertanian saja kan...tq Pha Is.

paridah delete icon 17 Mac 2014 10:41 PG

terima kasih sobri...rajin singgah melawat n menabung juga...

Kesuma Angsana delete icon 17 Mac 2014 10:46 PG

sudah byk kali diperjelaskan, x perlu ditokok tambah takut tambah mengelirukan kita kan kak !

paridah delete icon 17 Mac 2014 11:23 PG

YA..Sudah sedari dulu lagi diperjelaskan tapi masih ramai yg mencari-cari leak yg patut dibahaskan lagi..biasalah masing2 akan menambah ilmu agamanya setiap hari...tapi janganlah sampai mengusutkan fikiran mrk yg terlibat....tq Kesuma Angsana.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”